Selasa, 19 November 2013

MASIHKAH KAU INGAT

BN tambah beban rakyat, had kereta 12 tahun

Aslani M, 19 Nov 2013
KOTA BHARU: Rakyat seumpama sudah jatuh ditimpa tangga. Selepas bebanan hidup meningkat gara-gara kenaikan harga minyak baru-baru ini, kini rakyat pula bakal berdepan larangan kereta berusia lebih 12 tahun berada di jalan raya.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan akan menambahkan lagi bebanan rakyat.

Katanya, sekarang rakyat miskin bergelut dengan kenaikan harga minyak, gula serta beberapa barang keperluan asas lain.

“Ini belum lagi dikira beban cukai GST sebanyak enam peratus yang bakal diperkenalkan tahun hadapan,” katanya di sini.

Semalam Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dilaporkan berkata, kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan.

Beliau mengulas kenyataan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang berpendapat kereta berusia lebih 12 tahun tidak selamat untuk berada di jalan raya.

Nor Azariza berkata, kesan segera polisi tersebut tentunya akan menyebabkan hutang rakyat semakin bertambah.

Katanya, memaksa rakyat membeli kenderaan baru ketika bebanan hidup meningkat menyebabkan mereka terpaksa berhutang lagi dengan institusi kewangan.

Pendakwah, ustaz & memberi hukum

Dr Zaharuddin Abd Rahman, 19 Nov 2013
Pengeluaran fatwa, pandangan dan panduan hukum khususnya di dalam perkara baru ata persoalan yang timbul di dalam masyarakat bukanlah suatu tugas yang mudah, malah ia teramat berat dan bakal dipertanggungkan bukan sahaja di dunia malah di akhirat. Justeru, suatu teknik dan kefahaman jelas perihal teknik dan metodologi penyelidikan mesti dimahiri oleh mereka yang terlibat atau ingin terlibat di dalam bidang ini. Bagi ahli fiqh dan dakwah mereka tidak boleh alpa dan lalai dalam memahami ulum hadith dan fiqahnya, manakala bagi mereka yang mendalami ilmu hadith tanpa fiqah, Imam Sufyan Uyainah berkata :
Ertinya: Jikalau ada kuasa di tangan kami, nescaya kami akan pukul dengan rotan (ranting) setiap ahli hadith yang tidak mempelajari Fiqah dan setiap ahli Fiqah (Faqih) yang tidak mempelajari hadith. (Kaifa Nata’mal Ma’a Al-Sunnah, Al-Qaradawi, hlm70)


Imam Abu Hanifah berkata:
Ertinya: Sentiasa manusia berada dalam keadaan baik selagimana wujud di kalangan mereka yang mencari (mempelajari) hadis, apabila mereka mempelajri ilmu tanpa hadis, mereka pasti akan rosak.


Imam As-Shafi’i berkata:
Ertinya: Manakah bumi yang bolehku berteduh padanya apabila aku meriwayatkan dari Nabi sallallahu alaihi wasallam satu hadis sedang aku berkata selain darinya.


Imam Ahmad berkata:
Ertinya: Tersebarnya bid’ah, barangsiapa yang tiada padanya hadis lalu pasti akan terjebak dalamnya. (Manaqib Al-Imam Ahmad, Ibn Jawzi, hlm 182)


Iman dan akhlaq mulia merupakan aspek dalaman utama yang mesti diperkukuh secara berterusan. Ini kerana, Iman itu bukanlah dengan angan-angan tetapi Iman ialah apa yang tersemat di hati dan dibuktikan dengan amalan dan usaha seseorang. Iman yang mantap akan membuahkan akhlak mulia yang bermanfaat kepada diri dan orang lain. Begitu juga, hukum dan fatwa merupakan buah yang terhasil daripada penyelidikan yang mendalam berasaskan aspek dalaman seseorang dalam melaksanakan penyelidikan. Antara aspek dalaman yang menjadi asas kepada penyelidikan hukum dan fatwa adalah seperti berikut:

1. Ikhlas

Mempunyai niat yang ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT.

2. Tiada sentimen yang mempengaruhi keadilan kajian

Penyelidikan dan kajian dilakukan dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan yang negatif seperti; marah, jemu, terlalu gembira, didesak oleh golongan yang berkepentingan, atau apa-apa juga keadaan yang menyebabkan pengkaji tidak dapat menumpukan perhatian kerana hati dan fikirannya terganggu. Seseorang itu tidak harus memberi hukum atau fatwa semata-mata kerana tamakkan harta atau kemegahan, kemarahan, dan tidak juga kerana takutkan pihak berkuasa.

Inilah yang pernah ditegaskan oleh Imam Ibnu Solah dengan katanya:
Ertinya : Hendaklah mufti (yang mengeluarkan fatwa itu) seperti perawi (hadis) yang tidak terkesan olehnya kaum kerabat dan permusuhan, mestilah hanya untuk membawa kemanfaatan dan menolak kemudaratan.


3. Lapang dada dan hati untuk pindaan dan revisi fatwa

Bersedia untuk menarik balik hukum/fatwa dan bersedia untuk melakukan semakan semula ke atas hukum/fatwa yang dibuat.

Berilmu, berlapang dada, tenang dan tegas. Keperluan terhadap ilmu adalah jelas iaitu sesiapa yang mengeluarkan fatwa tanpa ilmu akan mendapat siksaan Allah. Manakala, sikap berlapang dada membolehkan kita untuk mengkaji semula hukum atau fatwa yang dinyatakan serta menarik semula hukum atau fatwa tersebut jika berlaku kesilapan.

Semakan semula fatwa ini adalah perkara biasa dalam dunia ilmiah para ulama Islam sejak zaman silam.Imam Ibn Qayyim berkata :-
Ertinya : Tidak sesekali terhalang sesuatu keputusan ( fatwa) yang telah kamu putuskan hari ini maka ingin kamu nilaikannya semula, berpandukan ilmu kewarasan dan (maklumat baru) maka kamu kembali kepada kebenaran, sesungguhnya kebenaran itu telah lama (wujud) dan tidak sesekali dibatalkan oleh sesuatu apapun, dan pengembalian kepada kebenaran adalah amat baik " (I’lam al-Muwaqqien, 1/69)


4. Insaf (adil serta tidak emosi) dalam teks fatwa atau pandangan hukum

Ertinya, mestilah tiada sebarang bentuk provokasi, memperlekehkan pandangan seseorang yang lain di dalam teks pandangan hukum yang dikeluarkan. Ia dikeluarkan dalam bentuk penuh adab, ilmiah dan bertujuan kebaikan untuk semua pembaca dan masyarakat.

5. Pengambilan Sumber Dan Amanah Ilmu

Para ilmuwan, pengkaji, pendakwah dan penyelidik mestilah amanah dalam menyatakan sumber maklumat yang diambil dengan meletakkan nota kaki atau sebarang bentuk penyataan sumber. Ini penting bagi membolehkan para pembaca melihat dan merujuk sumber asal, selain menjadikan kita seorang yang amanah dalam menyandarkan sumber pandangan kepada pemiliknya.

Lebih penting dari itu adalah tegahan untuk memotong sesuatu pandangan di luar konteksnya, samada mengambilnya sebagai sokongan atau bantahan kepada sesuatu pandangan. Ia bukan sahaja merosakkan amanh ilmu, bahkan memabawa dosa fitnah dan menrosakkan kredibiliti penyelidik sendiri.

6. Keperluan Proses Tarjih

Tidaklah tepat bagi seorang ulama apabila ditanay suatu soalan dan mendapati terdapatnya khilaf lalu memberi jawapan seolah memberi penanya untuk membuat keputusan sendiri. Ia seperti memberi individu yang tidak berkelayakan untuk melakukan tarjih tanpa ilmu.

Justeru, ilmuwan perlu membantu dengan memandu penanya kepada pilihan yang terbaik menurut ilmu dan tarjihnya sendiri. Ulama berbeza ijtihad dalam menentukan hukum beramal dengan yang rajih kepada dua kumpulan namun majoriti mazhab berpendapat beramal dengan yang rajih serta meninggal pendapat marjuh adalah WAJIB. Malah terdapat Ijma’ di kalangan para ulama Usul fiqh (Nihayatul Sul, 3/212 ; Al-Mahsul, Al-Razi, 2/529 ; Kasyf al-Asrar, 4/76).

Berkata As-Syawkani tentang wajib beramal dengan yang rajih ini dengan katanya:
Ertinya: Ini disepakati padanya dan tiada yang bercanggah dengan keperluan ini kecuali yang tidak diambil kira pendapatnya.( Irsyad al-Fuhul, hlm 276)


7. Fiqh Taysir Di Zaman Lemahnya Iman Manusia

Memahami kemudahan dan keringan yang diperuntukan di dalam hukum Islam adalah penting hari ini, ia bukan mengajar memudah-mudahkan (tasahul) sesuatu hukum tetapi memberikan kemudahan secara hikmah.

Tasahul merujuk kepada mengambil mudah sesuatu kajian dalam menentukan hukum sehingga begitu cepat dan tergesa-gesa mengeluarkan hukum dan fatwa sebelum kajian sebaiknya. Manakala taysir adalah keringan yang diberikan oleh seseorang individu ulama yang amanah setelah kajian terpeirnci dilakukannya.

8. Lihat Kepada Audiens Dan Kesediaan Ilmu Masyarakat

Seseorang penyelidik, ilmuwan dan pendakwah perlulah mengkaji keadaan masyarakat, turun dan melihat sendiri kedaan mereka, menyedari taraf keilmuan mereka dan menyampaikan ilmu kepada mereka menurut laras bahasa yang mampu difahami oleh majority mereka sebagaimana seorang Rasul itu juga turut diutuskan dengan menyampaikan dakwah menurut bahasa kaumnya. Jangan mula membicarakan hal yang belum mampu difahami sebelum sampai masanya, kelak nanti menjadi fitnah kepada Islam dan masyarakat. Justeru proses beransur atau tadarruj itu sangat perlu difahami oleh ilmuwan.

9. Pertimbangkan Kesan Kepada Masyarakat
Sebarang jenis kajian perlu mengambil kira kesan kejutannya kepada masyarakat, perlu menimbang dan bersedia dengan alternatif terlebih dahulu. Jangan sampai membiarkan ummat terpinga-pinga dan panik tanpa sebarang jalan keluar.

Oleh itu, jangan juga tergesa-gesa mendedahkan sesuatu sebelum sampai waktunya, logika ini bukan sahaja diterima aqal biasa, malah juga bertepatan dengan sebuah kaedah fiqh yang disepakati yang berbunyi :
Ertinya : Barangsiapa yang tergesa-gesa dalam sesuatu sebelum sampai tempohnya, nescaya akibatnya adalah terhalang terus dari mendapatkannya (Al-Ashbah Wa An-Nazair, As-Sayuti, hlm 195)

Lihat bagaimana Umar al-Khattab meminta sahabat lain untuk menceraikan isteri ahli kitab yang dikahwininya kerana bimbangkan ia ditiru oleh yang lain lalu mengakibatkan wanita muslimah tidak mendapat pasangan kerana kurang menarik wajahnya berbanding wanita Eropah. Demikian juga petunjuk yang diberikan oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
Ertinya: “Wahai ‘Aisyah, kalaulah bukan disebabkan kaummu masih baru (dengan Islam), nescaya aku akan robohkan (mengubahsuai) Kaabah ini dan aku jadikan padanya dua buah pintu; pintu masuk dan keluar.” (Riwayat at-Tirmizi : Hasan Sohih)

10. Fenomena Perbezaan Ijtihad
Ada yang keliru melihat pelbagai fatwa dan pandangan ulama diberikan dalam satu-satu isu, sama ada isu yang melibatkan cabang aqidah, lebih lagi dalam isu hukum ibadah, muamalat dan sebagainya. Lebih mendukacitakan terdapat yang begitu 'tidak faham' atau sengaja 'buat-buat tidak faham' sehingga ke peringkat menuduh para ulama mencipta hukum halal dan haram menurut nafsu dan kehendak mereka sendiri, puak ini bukan sahaja menuduh dengan tuduhan sedemikian, malah menjustifikasikan tuduhan mereka dengan mengatakan mengatakan ulama ini telah mencabuli hak Allah yang boleh menetapkan hukum.

Kecetekan ilmu khususnya berkenaan Fiqh dan Usul Fiqh serta peranan dan tugas para ilmuan Islam adalah antara punca tuduhan liar sedemikian berlaku. Kejahilan ini menyebabkan ada sebahagian mereka mencerca ilmuan Islam sebagai 'ingin jadi tuhan' kerana mengharamkan sesuatu.

Memang benar, dalam Islam, seorang manusia tidak berhak untuk mengharam dan menghalalkan sesuatu, hanya Allah dan RasulNya yang menentukan. Hakikatnya para ilmuan Islam sama sekali TIDAK boleh mengharam dan menghalalkan sesuatu berdasarkan nafsu dan selera mereka, malah mereka hanya menuruti garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulnya, melalui kefahaman terhadap ayat-ayat Al-Quran, Hadis Nabi dan segala jenis tafsirnya berdasarkan konteks bahasa, sebab turun, konteks masa dan setempat dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian kumpulan manusia yang lain pula keliru dan lebih suka mencela para ilmuan Islam disebabkan perbezaan pandangan mereka dalam sesuatu isu. Mereka dituduh tidak konsisten, mengelirukan dan pelbagai lagi. Lebih buruk, apabila orang awam ini merasakan pandangan mereka yang tidak didasari ilmu itu disangka lebih benar lalu mula mencerca ilmuwan Islam yang tidak disukai mereka atau kesemuanya sekaligus.

Sebenarnya perbezaan ijtihad dalam hal ehwal hukum ini telah wujud sebelum imam-imam mazhab empat lagi, ia sudah pun bermula ketika hayat baginda nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam lagi. Terlalu banyak sebab dan punca kepada perbezaaan ini dan ia bukanlah sesuatu yang negatif sekiranya dapat difahami asasnya. Ia hanya akan menjadi negatif apabila orang ramai tidak memahaminya, taksub kepada sesuatu pandangan serta tidak pandai mengendalikannya.

11. Jangan tergesa-gesa

Jangan kita tergesa memberi pandangan yang dinisbahkan kepad ahukum Islam jika belum dirujuk terlebih dahulu kepada kitab-kitab yang sesuai atau pandangan ulama yang ahlinya. Ramai pendakwah yang apabila popular yang tergelincir dalam memberi pandangan yang sama ada salah atau kurang tepat kepada soalan yang dikemukakan. Sebahagian mungkin memaksa diri untuk memberi jawapan kerana bimbang akan dipandang kurang berilmu lantaran kegagalan memberikan jawapan segera.

Ibn Umar r.a berkata :
Ertinya : Ilmu itu ada tiga bahagian, Kitab AL-Quran yang berkata, Sunnah Nabi yang lalu dan aku tidak tahu. (Riwayat At-Tabrani dalam al-Aswat; Rujuk Majma’ Al-Zawaid)


Sangat baik lagi amanah seorang ilmuwan dan endakwah menangguhkan jawapan terlebih dahulu agar mampu membuat kajian sebaiknya sebelum memberi respons. Dan salah satu jawapan apabila kita belum bersedia adalah ‘aku tidak tahu’.

Lihat sahaja Imam Malik Bin Anas apabila didatangi seorang lelaki yang meminta fatwa berkenaan lafaz ta’liqnya yang akan menceraikan isterinya jika ada dosa yang lebih besar dari minum arak. Maka Imam Malik mengarahkan untuk balik dahulu agar beliau dapat melakukan kajian. Hanya abeberapa hari selepas itu barulah Imam Malik meberikan jawapannya. (Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)

12. Elakkan memberi pandangan sebelum mendapat gambaran jelas.

Disebutkan dalam satu kaedah:
Ertinya : Asas dalam memberi hukum ke atas sesuatu, cabangnya adalah terlebih dahulu mesti mempunyai gambaran (menyeluruh).


Kaedah ini lahir dari firman Allah:
Ertinya : Janganlah kamu duduk (berpegang) kepada sesuatu yang kamu tidak punyai ilmu padanya. (Al-Isra : 36)

Demikian beberapa panduan ringkas tanggungjawab seorang ilmuwan dan pendakwah sama ada tergolong dalam kategori terkenal atau tidak. Tanggungjawab mereka adalah sama dan berat di sisi Allah swt. Ketelitian adalah dituntut sepanjang masa dan kesilapan adakalanya sukar dielakkan namun pembetulan sentiasa diperlukan apabila ia berlaku.

http://www.zaharuddin.net/

Virus dungu dalam budaya prank dan shenanigan

Ustaz Hasrizal Abd Jamil, 19 Nov 2013

(Gambar: Ilustrasi oleh Francis Barlow di dalam hikayat “The Boy who Cried Wolf”, yang beliau gelar sebagai  DE PASTORIS PUERO ET AGRICOLIS, 1687 – wikipedia)
“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu.

Orang kampung prihatin.

Bergegas mereka memanjat bukit.

Mahu menolong.

Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya.

“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.

Anak muda itu ketawa.

Bergurau katanya.

Menguji iman orang kampung.

Orang kampung geram. Tetapi habis-habis pun, mereka mengurut dada. Seorang dua menunding telunjuk. Budak-budak, memang budak-budak. Tetapi jangan perbudakkan orang tua.

Dua Tiga Kali Bulan Mengambang

Selang dua tiga purnama, anak muda itu ketagih perhatian. Ingin mengulang keinginan.

“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.

Orang kampung terkejut.

Serangan serigala bukan khayalan. Ia pernah berlaku. Tidak mustahil berlaku lagi. Tetapi si anak muda itu pernah membuat onar. Ada atau tidak serigala?

“Jangan main-main. Ini tanggungjawab kita.” fikir pihak yang ramai.

Bergegas mereka memanjat bukit.

Mahu menolong.

Ada yang bawa parang, ada yang bawa cangkul. Ada yang terkumat kamit mulut berdoa, memohon keselamatan. Hilang kambing, besar musibahnya. Serigala lapar, buruk padahnya.

“Mana? Mana? Mana serigala durjana?” tanya orang kampung.

Anak muda itu ketawa lagi.

“Senang benar mereka ditipu!” kata hatinya.

Penduduk kampung geram. Baik hati mereka jadi permainan. Dipermain-mainkan.

“Siaplah engkau!” kata mereka.

Mengepal tangan.

Anak muda itu ketawa. Seperti ‘tengin’ tidak belajar apa-apa.

Selang Beberapa Purnama

“Hmm, bosan sungguh meneman kambing meragut rumput. Aku pula terasa seperti kambing!” anak muda menguis-nguis daun kering di bawah pokok.

“Grrr!” terdengar dengusan penuh nafsu di balik busut.

Seekor serigala besar sedang memilih mangsa antara kambing gembalanya.

Benar, ia serigala sebenar. Bukan khayalan. Bukan gurauan. Ia di depan mata. Sedang memilih mangsa.

“Tolong! Tolong! Serigala menyerang kambing saya!” jerit anak muda itu di lereng bukit.

Orang kampung terkejut.

Kemudian mereka ketawa.

“Gembala kambing mahu memperbodohkan kita lagi, seperti kambingnya? Lantakkan dia. pedulikan!” ujar orang kampung.

Tidak pernah terlontar satu kejahatan, kecuali ia akan berpatah kembali kepada pelakunya. Anak muda penggembala kambing, menangis di bukit. Habis kambingnya diratah serigala.

Tangisan yang di luar peduli.

Tiada salah siapa, kecuali diri sendiri.

Budaya Prank

Mengenakan orang dengan amaran-amaran palsu ini bukan perkara baru. Ia sudah lama diungkap di dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala ini merupakan salah satu daripada kisah Aesop’s Fables atau Aesopica merujuk kepada legasi Greece Purba antara tahun 620 and 560 BCE. Ia dikaitkan dengan ajaran Aristotle yang menegaskan bahawa orang yang berbohong mendapat habuan iaitu apabila mereka bercakap benar, mereka tidak akan dianggap benar (tidak dipercayai)” [THE LIVES AND OPINIONS OF EMINENT PHILOSOPHERS]

Budaya ini seiringian dengan mentaliti ‘loyar buruk’ yang semakin meraih keberanian untuk membesar. Ia bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan. Malah 1 April menjadi hari ‘ibadah’ untuk budaya prank ini.

Budaya-budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai suatu hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. Bergurau tidak kena tempat. Jika suatu ketika dahulu ia menjadi bahan ketawa seperti siri America’s Funniest People keluaran Amerika Syarikat sekitar 1990′an, juga Just for Laugh (Juste Pour Rire) terbitan Kanada. Tetapi lama kelamaan ia berubah menjadi versi yang agresif Jackass menjelang milenia baru.

Dengan jati diri yang rendah, apa sahaja yang datang ke sini dari sana, ditelan, diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya parody, kedua-duanya menjatuhkan harga diri kita.

Biar pun ‘Prank and Parody‘ itu kini menjadi begitu trending dan digilai ramai, tanpa rasa kolot, saya ingin meletakkan satu saranan iaitu pesanan Nabi sallallahu alayhi wa sallam, maksudnya:

“Sesuatu yang telah diketahui oleh sekalian manusia sepanjang zaman sebagai sebahagian daripada pesanan-pesanan kenabian ialah: JIKA KAMU TIDAK MALU, BUATLAH APA SAHAJA YANG KAMU MAHU”
[hadith riwayat al-Bukhari nombor 3484]

Parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan perlakuan-perlakuan yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu, ada MALU atau TIDAK ADA RASA MALU. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah memalukan diri sendiri dan mangsa ‘Prank and Parody’, tepuk dada tanya iman.

(Gambar: Remaja hilang secara misteri di Villa Nabila, JB, ditemui di rumah teman wanitanya – kredit foto: Sinar Harian)

Manakala prank yang menjadi-jadi di radio, televisyen, dan terkini di Villa Nabila, Johor Baharu (jika ia sebuah prank).

Ingatlah pesan Nabi sallallahu alayhi wa sallam, maksudnya:

Seorang Muslim itu, seseorang yang kaum muslimin lain terselamat daripada kejahatan lisah dan tangannya. Orang yang berhijrah pula, adalah seseorang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah daripadanya.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 6484]


Jangan sampai kepedulian masyarakat yang semakin menipis itu hilang sepenuhnya.

Dan ahli prank menjadi mangsa utamanya.

Orang tua-tua dahulu tidak meleret falsafahnya. Hanya berpesan, ketawa-ketawa, selepas itu menangis.

Ada akal, fikir!

http://saifulislam.com/

Kekuatan PAS pada kepelbagaiannya

Syahir Sulaiman, 19 Nov 2013
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)

Mengurus kepelbagaian dalam organisasi (diversity management) adalah satu proses yang bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan budaya dalaman yang positif di mana persamaan dan perbezaan setiap individu dan kumpulan difahami dan dihargai.

Kajian berkaitan struktur dan strategi organisasi yang dijalankan oleh Miles dan Snow (1986) menyatakan bahawa sesebuah organisasi yang terbina daripada jaringan kepelbagaian antara kumpulan (inter-team linkages) untuk berhadapan dengan perubahan pasaran dan teknologi akan menjamin kelangsungan (survival) organisasi tersebut dalam jangka masa panjang.

Rekomendasi kajian yang dibuat pada dua dekad yang lalu telah diadaptasi oleh kebanyakan entiti perniagaan multinasional yang terbukti kekal bertahan dan terus berkembang sehingga kini dengan pembudayaan sinergi dalam kepelbagaian (unity in diversity) merentasi dimensi insani dan geografi.

Apabila sebuah kelompok individu berinteraksi dengan kelompok individu yang lain, ia pasti akan menimbulkan peluang yang dapat dimanfaatkan di samping cabaran konflik yang perlu diuruskan.

PAS sebagai sebuah organisasi tidak terkecuali dalam fenomena kepelbagaian ini. PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang bersifat fundamentalis (Usuli), dinamis (Waqi’e) dan futuris (Istiqbali) telah melatari lanskap politik tanahair dan antarabangsa sejak 1951, malah turut dinasabkan seawal penubuhan Hizbul Muslimin (1948) sebagai kesinambungan perjuangan tokoh agama dan masyarakat yang mempertahankan kedaulatan tanahair pada era permulaan penjajahan.

Ia terus berkembang dengan dokongan oleh ahli dan pemimpin yang lahir dari latar belakang yang berbeza, memilih pendekatan yang berbeza mengikut kesesuaian realiti semasa demi merealisasikan hasrat perjuangan yang sama.

Terdapat dua dimensi kepelbagaian yang mempengaruhi sesebuah organisasi iaitu orientasi-hubungan dan orientasi-fungsi. Orientasi-hubungan melibatkan aspek jantina, bangsa dan umur, manakala orientasi-fungsi melibatkan aspek senioriti dan formaliti pendidikan.

PAS mengiktiraf peranan kaum hawa dengan diberikan tempat sewajarnya, baik dalam proses membuat keputusan tertinggi, menjadi calon pilihanraya, dan keterlibatan dalam penganjuran program dam aktiviti, malah jalinan antara-jantina ini akan kekal harmonis dan terus diberdayakan dalam pentas politik yang lazimnya didominasi kaum adam.

Jalinan antara kaum tidak pernah menjadi dikotomi di dalam PAS kerana PAS meletakkan kepentingan agama yang melangkaui batas perkauman dan bersedia berdialog dengan kumpulan bukan Islam bagi menyampaikan mesej dakwahnya, malah ijtihad yang diambil dengan mengiktiraf keahlian bukan Islam telah membuka ruang dakwah dan siasah yang lebih besar untuk PAS dalam lanskap demografi Malaysia yang majmuk sifatnya.

Segmentasi umur dan senioriti kekal menjadi pengikat kesinambungan mata rantai perjuangan PAS menempuhi cabaran lebih separuh abad, dengan PAS selayaknya digelar parti paling berpengalaman dalam proses demokrasi berparlimen di Malaysia.

PAS merekodkan penyertaan dalam setiap tiga belas pilihanraya umum secara aman - pernah menjadi kerajaan dan pembangkang, pernah memerintah kerajaan negeri dan pernah ditumbangkan, pernah berada dalam kerajaan Persekutuan dan pernah dibuang, serta pernah bergabung dengan parti dan NGO sekutu dan pernah berpisah.

Kelantan teroka hasil mineral tingkat pendapatan

Rizal Tahir, 19 Nov 2013


TANAH MERAH: Kerajaan negeri akan berusaha meneroka hasil mineral yang lain bagi mengelakkan kebergantungan dengan hasil balak.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, memberitahu mengikut kajian yang dibuat oleh jabatan geo sains negeri, terdapat pelbagai mineral di negeri ini.

“Hasil penyelidikan oleh geo sains, negeri ini telah dikenal pasti memiliki pelbagai jenis mineral.

“Dengan hasil penyelidikan ini, kerajaan negeri akan meneroka sumber mineral baru seperti emas dan besi bagi mengelakkan kebergantungan hanya pada hasil balak sahaja,” katanya sewaktu berucap merasmikan kilang kedua melebur emas milik CNMC Goldmine Holdings Bhd, di sini semalam.

“Ini bertepatan dengan dasar kerajaan negeri pada penggal ini bagi mencari meneroka peluang baru bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya,  selain Sokor di Tanah Merah, ada kawasan lain yang telah dikenali pasti ada pontensi memiliki emas.

“Cuma pihak kerajaan sedang menyelidik jumlah simpanan emas yang ada di kawasan-kawasan yang dikenal pasti itu.

“Sekarang ini kita ada tiga kawasan yang melombong emas iaitu dua di Tanah Merah dan satu di Gua Musang,” ujarnya lagi.

Beliau berharap, agar negeri Kelantan akan dimasukkan di dalam senarai negeri-negeri pengeluar utama emas di negara ini.

“Sekarang ini dua negeri yang disenaraikan sebagai pengeluar emas di negara ini iaitu negeri Terengganu dan Pahang,” katanya.

Mohd Amar memberitahu, selepas daripada piliharaya umum ke-13, kerajaan negeri mengamalkan polisi memberi tender terbuka kepada pihak yang berminat mengusahakan melombong mineral di negeri ini.

Jumlah itu ialah adalah bayaran lima peratus dari hasil yang diperolehi sehingga bulan November tahun ini.

Kerajaan negeri memperolehi bayaran royalti sebanyak RM1.9 juta dari hasil perlombongan emas yang dilakukan di blok Sokor, di sini.

Sementara itu, beliau juga berpesan kepada penguasa lombong di negeri ini agar menjaga alam sekitar.

“Nak cari emas pun carilah, tetapi alam sekitar jangan diabaikan sehingga dirosakan,” tegasnya.

Tambahnya, Kelantan perlu menjadi model kepada keharmonian alam sekitar dan juga manusia walaupun kerja-kerja perlombongan dilakukan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif CNMC Goldmine Holdings Bhd, Prof. Lin Xiang Xiong, pula memberitahu pihak telah melaburkan sebanyak RM10 juta bagi membina kilang kedua ini.

“Selepas pembinaan kilang kedua ini pihak kami yakin pengeluaran emas di sini akan lebih baik.

“Dari bulan jun tahun ini, pengeluran kita puratanya ialah sebanyak 15 kilogram sehingga 100 kilogram sebulan,” ujarnya.

Katanya, bulan oktober  yang lepas, pihaknya berjaya memperolehi sebanyak 81.5 kilogram emas dan 66 kg untuk bulan ini.

Tambahnya lagi, pihak menjangkan mampu mengeluarkan emas antara 500 kilogram  sehingga 1,000 kilogram emas pada tahun hadapan.

Sehingga bulan Oktober 2013, kerajaan telah menerima sebanyak rm1.9 juta royalti hasil dari perlombongan di blok Sokor ini.

Selepas majlis perasmian, Mohd Amar dan rombongannya dibawa melawat ke kilang melebur emas berkenaan dan ditunjukkan cara melabur emas yang buat.

Pengkelasan perbezaan latar pendidikan formal pula mewujudkan kelompok ulama’, professional dan aktivis, namun kepelbagaian ini sifatnya saling melengkapi dan bukan memusuhi - umpama tungku berkaki tiga, akan rebah jika satu tiada.

Ketajaman pengurusan strategi dan organisasi dipandu kefahaman wahyu Rabbani dan tauladan Nabi, dengan setiap ahli berlumba menyumbang ilmu, idea, harta dan tenaga bukan untuk kepentingan diri. Yang kaya menyumbang dari imbuhan gaji dan untung berniaga, yang miskin menyumbang dari jualan getah dan padi yang memerah tenaga.

Kejayaan PAS mengurus kepelbagaian ini bukan sahaja dicemburui lawan malah turut dikagumi kawan, dengan sinergi kerencaman jantina, bangsa, umur, senioriti dan pendidikan sesama ahli dan pimpinan di semua peringkat. Susunan batu-bata ini akan kekal menjadi formulasi keteguhan PAS dalam survival politik Malaysia dan antarabangsa.

PAS kini berada di ambang penerimaan nasional, berkat kekuatan yang ada pada kemajmukannya. Inilah sifat keadilan Islami, meletakkan sesuatu kena pada tempatnya, sebagai prasyarat hampir pada taqwa-Nya.

Kini, kibaran bendera yang sama di Sungai Limau turut berkibar megah di tengah kota metropolis Petaling Jaya. Selamat bermuktamar wahai anak muda!

Penulis ialah Pengarah Kajian Polisi DPPM.

Intipan CIA: BN cadang PAS ketuai demonstrasi

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin mencadangkan PAS agar mengetuai demonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap kegiatan intipan Amerika Syarikat di negara ini.

Bercakap ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014, Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar hari ini, secara spesifik beliau mencadangkan Abdul Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mengetuai demonstrasi tersebut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa BN juga akan turut bersama pada demonstrasi itu.

"Saya cadang Shah Alam (Khalid) ketuai demonstrasi jalanan, dan kita (BN) sokong, sebab dia ada kepakaran," katanya di Dewan Rakyat sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang sebelum itu bertanya adakah cukup tindakan kerajaan Malaysia hanya dengan menghantar nota bantahan sahaja.

Menurut Hatta, intipan Amerika itu bukan sahaja suatu pencerobohan ke atas keselamatan negara malah dibimbangi digunakan sebagai cara untuk memeras ugut negara ini.

Dalam pada itu, Khalid Samad ketika bangkit mencelah berkata, beliau menyambut baik cadangan Bung itu dan melihatnya sebagai pengiktirafan kepada PAS.

"Saya nak tengok, bila saya pohon buat demonstrasi nanti, Kinabatangan (Bung) ada di tepi saya," katanya.

Baru-baru ini, Edward Snowden mendedahkan kegiatan pengintipan global yang dibuat Amerika dan Australia ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengecam keras tindakan intipan itu, dan mempersoal sikap tidak tegas Perdana Menteri dalam soal ini.

Pendirian tegas

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyelar sikap lembut Malaysia terhadap tindakan Amerika itu.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi Indonesia yang memanggil pulang Duta Besar mereka di Australia sebagai bantahan terhadap tindakan biadap Amerika itu.

"Malu, presiden wanita (Ibu Ani Yudhoyono) punyai pendirian tegas daripada Perdana Menteri Malaysia.

"Belum ada negara selembik ini terhadap Amerika," tegasnya.

Selangor bentang bajet berimbang RM1.85 bilion

Harakahdaily, 19 Nov 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor hari ini membentangkan bajet berimbang berjumlah RM1.85 bilion bagi 2014, yang merupakan peningkatan kira-kira 13 peratus berbanding RM1.63 bilion tahun ini.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM1.225 bilion atau 66.2 peratus diperuntukkan bagi belanja mengurus, manakala lebih RM624.919 juta ataupun 33.78 peratus diperuntukkan bagi  pembangunan negeri, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa membentangkan bajet itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata daripada peruntukan mengurus, sejumlah RM421.748 juta atau 34.43 peratus adalah untuk perkhidmatan dan bekalan,  RM411.801 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM370.552  juta untuk pembayaran emolumen, RM6.416 juta untuk pembelian aset dan  RM14.591 juta bagi perbelanjaan lain.

"Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM388.728 juta atau  62.2 peratus  untuk infrastruktur, RM143.182 juta  atau 22.91 peratus untuk sektor sosial, RM90.401 juta atau 14.47  peratus untuk sektor ekonomi dan RM2.608 juta ataupun 0.42 peratus  untuk sektor perbandaran," katanya.

Bajet itu bertema “Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi,  Maslahat Rakyat” turut memperuntuk RM430 juta dari rizab negeri yang berjumlah RM2.712 bilion untuk membiayai pembangunan untuk rakyat Selangor.

Abdul Khalid berkata RM430 juta adalah untuk enam inisiatif iaitu  RM150 juta bagi pembinaan jambatan ketiga Klang, RM100 juta bagi rumah mampu milik, RM150 juta bagi pembinaan bangunan sekolah, pembangunan  usahawan, pemberdayaan belia serta pembangunan desa dan RM30 juta untuk pemberdayaan wanita.

Beliau berkata bermula tahun hadapan, semua perincian mengenai pengunaan rizab mesti dibentangkan dan mendapat kelulusan Dewan Negeri Selangor bagi memastikan ia digunakan sebaik mungkin untuk rakyat.

Beliau turut memaklumkan sidang Dewan bahawa kerajaan negeri  akan memperkenalkan amalan menyemak belanjawan negeri setiap enam  bulan untuk memantau keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan supaya perbelanjaan luar kemampuan tidak berlaku.

Sebuah Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi  dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga akan ditubuhkan, antara lain untuk menyemak segala aspek berkaitan proses, prosedur, sistem dan  modal insan untuk diselaraskan dengan standard dan amalan antarabangsa, katanya. - Bernama

Rosmah Mansor kembali 'mengganas'

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Setelah sekian lama agak menyepikan diri dari sorotan cerita-cerita sensasi, isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor secara tiba-tiba kembali menjadi bahan bualan rakyat, tulis Shahbudin Husin.

“Puncanya hanyalah kerana beliau menghadiri Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa ke 4 di Qatar, minggu lalu dengan menggunakan jet eksekutif,” tulis beliau di dalam blognya.

Di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Shahidan Kassim telah disoal bertalu-talu oleh Ahli Parlimen PR berkenaan isu tersebut sehingga banyak soalan gagal dijelaskannya dengan meyakinkan.

Beliau hanya menjelaskan pemergian Rosmah ke Qatar dengan menggunakan jet eksekutif itu adalah dengan kelulusan kabinet dan untuk kepentingan negara tetapi gagal memberi jawapan yang memuaskan tentang boleh atau tidak isteri seorang Perdana Menteri mewakili kerajaan dalam lawatan ke luar negara dan bagaimana Najib sebagai ketua kabinet telah terlibat dalam urusan yang melibatkan konflik kepentingan.

Sehubungan itu, tulis Shahbudin di media sosial, alam maya dan di alam nyata, isu Rosmah kembali menjadi perbualan dan rata-rata kecaman lebih banyak kedengaran berbanding kewajarannya mewakili negara dan menggunakan jet eksekutif itu.

“Dalam masa yang sama, Najib yang meluluskan penggunakan sejumlah wang rakyat untuk perbelanjaan isterinya itu turut dikecam manakala anggota kabinet yang menyokongnya pula dianggap tidak lebih umpama ‘kabinet dapur’ saja peranannya,” tulisnya lagi.

Baca lagi

Peristiwa Memali: Masihkah kau ingat?

Muhammad Khalil Abdul Hadi, 19 Nov 2013



Hari ini genap 28 tahun berlakunya peristiwa berdarah Memali iaitu pada tanggal 19 November 1985.

Kebetulan pada hari Sabtu lepas saya digabungkan dengan sahabat karib saya Ustaz Islah Ibrahim di dalam satu forum, beliau ialah anak sulung kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood, individu yang menjadi sasaran dalam operasi oleh pihak keselamatan di Memali.

Beliau menceritakan pengalaman yang dilaluinya sendiri ketika berlakunya peristiwa itu sehingga menitiskan air mata, berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Ayahnya yang merupakan seorang ulama lulusan ugama universiti terkemuka di Libya dan pernah menuntut di Mesir dan India.

Setelah kembalinya ke tanahair pernah bertugas di jabatan-jabatan ugama Islam di bawah kerajaan. Tetapi ilmunya tidak mengizinkannya untuk berdiam diri melihat ugama Islam dagang di kalangan penganutnya, beliau bangkit menegur dan menasihati kerajaan supaya kembali ke pangkal jalan.

Tindakannya ini dituduh sebagai pelampau, bersekongkol dengan pengganas Komunis, penganut ajaran sesat dan lain-lain lagi tuduhan jahat sehingga membawa kepada operasi berdarah Memali.

Dalam operasi itu As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood bersama-sama 13 orang lagi temannya mati dibunuh oleh anggota keselamatan kerana dituduh mengancam keselamatan negara. Kampung Memali yang damai bertukar menjadi medan perang, anggota-anggota keselamatan yang lengkap bersenjata dan disokong oleh kereta-kereta perisai berdepan dengan orang kampung yang kebingungan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Adakah orang yang hanya 'bersenjatakan' lidah menegur dan menasihati kerajaan dianggap mengancam keselamatan negara?

Inilah melampau namanya!

Kenapa pihak keselamatan negara boleh berunding dengan penceroboh Sulu yang mendarat di Sabah lengkap dengan senjata tetapi tidak diberikan hak yang sama kepada As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan penduduk Kampung Memali?

Kenapa Ayah Pin yang jelas sesat dengan kerajaan langitnya masih lagi bebas dan tidak dikenakan apa-apa tindakan?

Kalaulah beliau betul-betul pengganas kenapa YDPA, Sultan Kedah mencemar duli menziarahi perkuburannya di Parit Panjang?

Kalaulah beliau betul-betul sesat kenapa Al-Marhum Tuan Guru Hj Yahya Junid mengisytiharkan beliau dan teman-temannya adalah syuhada'?

Kalau tidak syahid dunia dan akhirat paling kurang syahid akhirat kerana mati mempertahankan nyawa, keluarga dan kampungnya daripada penceroboh. Bukankah Nabi s.a.w. pernah menyebut di dalam satu hadis yang mafhumnya; barang siapa yang mati kerana mempertahankan nyawanya maka dia adalah syahid.

Peristiwa ini kekal menjadi titik hitam sejarah negara yang tidak boleh dipadamkan. Walaupun 28 tahun sudah berlalu keadilan kepada mangsa-mangsa peristiwa Memali dan keluarga mereka masih lagi belum dilunaskan.

Di akhir pertemuan saya dengan Ustaz Islah saya terkedu apabila mendengar kata-kata beliau dengan teresak-esak menyebut; walaupun di atas dunia ini mereka yang bertanggungjawab boleh terlepas tetapi tunggulah perbicaraan di hadapan Allah Tuhan yang Maha Besar di Padang Mahsyar kelak.

"Dan jangan sekali-kali kamu menyangka Allah leka terhadap apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnnya kami lambatkan mereka sehinggalah kepada hari terbeliak mata-mata (kerana melihat azab Allah di hadapan mereka)." (Surah Ibrahim: 42)

Penulis ialah AJK Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: