Jumaat, 22 November 2013

MENDIDIK ANAK...KREDIT PASTI NEGERI PERLIS

APA PUNCA ANAK DERHAKA




Sabda Rasulullah s.a.w. "Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun . Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)"


dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya... .. bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif... . itu salah...

"Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan . Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka".

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka .

"Saya pernah tinjau, anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

"Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup." Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan "bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka". inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita...

DOA ANAK-ANAK TERMAKBUL
Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak
tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa
yang samseng, ia sudah tentu membawa padah.

BERTAUBAT SEBELUM MELARAT
Jika Tuhan menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi apa caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka? Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah. Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu redha dan Allah ampunkan dosa.

Allah maha pengampun dan luas rahmatnya. Tetapi jangan ambil kesempatan buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram atau bala turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya tayar kereta pecah, jangan lihat dengan mata kasar, selidik apa salah yang telah kita buat hari ini. Pertama bagaimana hubungan kita dengan Tuhan, jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua, bagaimana pula hubungan dengan ibu?

"Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita."

HUBUNGAN DENGAN BAPA
Lazim ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. "Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu tetapi dalam konteks Islam, kalau berlaku pertembungan, nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu barulah sekali kepada bapa." Bagaimanapun sebaik-baiknya, kasih sayang dan perhatian biar sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati. Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada
yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah tidak ambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua."


USAH DERHAKA KEPADA MENTUA
Mentua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya kenapa tidak sayang orang yang melahirkannya juga? "Saya tahu, ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mentua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung," jelasnya.

Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. "Sebaliknya anak perempuan, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah adalah emak dan ayahnya. "Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada dirumah isterinya pun tidak kenal dengan mentuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru. Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya.

Nabi Ismail insaf di sebalik simbol kata-kata ayahnya, bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu diceraikan. Nabi Ismali berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa NabiIbrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi, katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Ada sebanyak 501 tips yang diberikan oleh penulis iaitu Robert D. Ramsey untuk mempertingkatkan potensi anak-anak anda dan seterusnya menempatkan anak-anak anda dikalangan winners. Tips ini menurut penulis jika diamalkan mampu menjadikan anak-anak. Kita sebagai winners. Penulis berpendapat apa yang membezakan antara winners dan losers
Adalah mudah iaitu:-

Winners percayakan diri mereka dan boleh membayangkan diri Mereka dikalangan orang yang berjaya sementara losers merasakan diri Mereka tidak boleh.

Tips;

  1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).
  2. Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)
  3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)
  4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).
  5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan , mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.
  6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).
  7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh . Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.
  8. Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)
  9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya .
  10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri . Mereka akan menirunya.
  11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya .Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah.Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).
  12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.
  13. Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka . Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan andasuami isteri.
  14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.
  15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalammasa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda.Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.
  16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,
  17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna . Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.
  18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.
  19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.
  20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.
  21. 40 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak


    Menurut Pakar Motivasi Dr Hasan Hj Mohd Ali, terdapat 40 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak. Iaitu;

    1) Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    2) Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat.

    3) Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak.

    4) Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak.

    5) Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disaji untuk anak-anak.

    6) Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan.

    7) Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan.

    8 ) Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak.

    9) Kurang melahirkan kasih sayang.

    10) Sering mengeluh di hadapan anak-anak.

    11) Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi & pulang dari sekolah.

    12) Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan.

    13) Tidak memberatkan pendidikan agama dikalangan anak-anak.

    14) Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak.

    15) Tidak programkan masa rehat dan riadah anak-anak.

    16) Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca.

    17) Mengizinkan anak menjamah makanan @ minuman yang tidak halal.

    18) Tidak tunjuk contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak.

    19) Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak.

    20) Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dan anak-anak.

    21) Tidak menggunakan bahasa yang betul.

    22) Suka bertengkar di hadapan anak-anak.

    23) Senantiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak.

    24) Tidak Membimbing Anak-anak supaya mematuhi syarat.

    25) Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak.

    26) Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak.

    27) Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak.

    28) Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak.

    29) Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak.

    30) Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak.

    31) Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak.

    32) Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak.

    33) Kerap Meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak.

    34) Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

    35) Sering mengancam dan menakutkan anak-anak.

    36) Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan.

    37) Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman keatas anak-anak.

    38) Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak.

    39) Tidak tegas mendidik anak-anak.

    40) Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama.


    Teknik mengajar anak MENGHORMATI dan mengeratkan hubungan ibu bapanya

    1. Jika si ibu marahkan anak, bapa DILARANG backing anak semasa anak itu dimarahi. Begitulah sebaliknya. Jika tidak, anak akan hilang rasa hormat terhadap ibu/bapa yg memarahi. Anak mencontohi apa yg diajar/dididik oleh ibu bapanya. Apabila berlaku percanggahan arahan/undang2, anak akan menjadi keliru arahan/undang2 siapakah yg patut dipatuhi. Si ibu atau si bapa. Apabila berlaku pertentangan pendapat yg terang2 ditunjukkan ibu bapa ke atas anak ketika dimarahi, ia telah menjatuhkan MARUAH dan MARTABAT org yg memarahi (ibu/bapa). Anak hilang rasa hormat dan merasakan perbuatan nakal mereka adalah betul belaka kerana ada yg backing.

    2. Bapa DILARANG menengking/mengherd ik/bertengkar dengan ibu di hadapan anak2. Begitulah sebaliknya. Anak mencontohi tindak tanduk ibu bapa. Satu rutin putaran kehidupan akan kembali dilakukan oleh anak ke atas ibu yg sering ditengking oleh bapa di hadapan anak2.

    3. Sentiasa masak utk anak dan ajak anak sama2 masak/makan, makanan hasil tangan ibu ini dapat mengeratkan hubungan rohani anak dan ibu.

    4. Ibu bapa MESTI makan bersama anak-anak

    Tips Mendidik Anak Zaman Globalisasi

    Psikologi Anak Zaman Globalisasi

    Mengikut apa yang disarankan oleh Rasulullah saw, mendidik anak haruslah sesuai denga zamannya. Zaman yang kita lalui sekarang jauh berbeza dengan zaman ibu bapa kita dahulu. Jika zaman dahulu, anak-anak mudah dibentuk dengan rotan, akan tetapi zaman sekarang tidak lagi. Malah, lagi dirotan, lagi memberontak.
    Zaman kini penuh dengan informasi. Anak-anak dibesarkan dengan kemudahan internet di rumah. Semuanya dalam genggaman mereka. Jadi persekitaran mereka sudah berubah. Persekitaran memang mempengaruhi perkembangan si anak.

    Oleh sebab itu, mereka lebih mahukan kebebasan dan bersikap demokrasi. Inilah yang menjadi cabaran besar buat ibu bapa zaman kini.

    3 Peringkat dalam Mendidik Anak

    Peringkat pertama ketika usia 7 tahun pertama. Ketika ini mereka hanya ingin bermain. Permainan adalah rakan terbaik mereka. Mereka juga inginkan kasih sayang. Tanpa kasih sayang yang cukup, emosi mereka akan terganggu. Oleh sebab itu, sekiranya ibu bapa menghalang anak meneroka atau bermain, anak-anak akanmembeontak, seolah-olah ibu bapa tidak faham dan tidak kenal anaknya sendiri.

    Peringkat kedua ketika usia 7 tahun kedua (8-14 tahun). Pada usia ini, ibu bapa perlu ingat bahawa inilah peringkat “disiplin”. Mendisiplinkan anak dan tegas dengan mereka adalah ketika peringkat ini. Oleh sebab itu, saranan Rasulullah adalah merotan anak yang tidak solat ketika usia 10 tahun.  Jika umur anak sudah mencecah 17 tahun, apa kesan rotan terhadap mereka? Lari dari rumah, memberontak atau melawan semula. Peringkat remaja bukanlah peringkat yang sesuai untuk merotan.

    Peringkat ketiga ketika usia 7 tahun kedua (15-22 tahun). Pada umur ini, ibu bapa perlu menjadi kawan kepada anak. Lebih banyak berbincang daripada mengarah. Zaman inilah yang kebanyakan ibu bapa menghadapi masalah. Pendekatan yang digunakan seringkali berunsur kekerasan. Sedangkan mereka lahir dalam zaman demokrasi, zaman yang membentuk pemikiran mereka untuk bebas bersuara. Jadi kaedah ibu bapa dalam mendidik anak haruslah selari dengan peredaran zaman. Bukanlah memanjakan mereka, akan tetapi mendengar pendapat mereka. Anak-anak ketika usia ini sangat menghargai orang tua yang ingin mendengar isi hati mereka.

    Kita bagaimana? Anak kita  berada pada tahap yang ke berapa? Adakah kita benar-benar faham keperluan anak kita sekarang?

    Psikologi Anak : Komunikasi secara berkesan


    Bagi mereka yang telah mempunyai cahaya mata tentu memahami betapa sukarnya untuk mengawasi tingkah-laku anak-anak, terutamanya dalam 'usia nakal' mereka. Ketika dalam peringkat usia ini, sifat ingin tahu dan ingin mencuba sedang giat berkembang.

    Sebagai ibu bapa, kita tentu tidak mahu melihat anak-anak kita terjebak ke dalam aktiviti tidak sihat seperti gangsterisma atau perkara-perkara yang boleh memudharatkan seperti bermain api dan sebagainya. Kita juga ingin mengawasi pergaulan anak-anak kita agar tidak bergaul dengan golongan yang rendah akhlaknya. Dalam usaha kita memainkan peranan sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kadang-kala kita tersilap dari segi kaedah menegur anak-anak kita. Akhirnya, niat baik kita bertukar menjadi mimpi buruk.

    Antara kesilapan yang sering dilakukan ketika menegur anak ialah dengan menggunakan ayat yang berbentuk negatif. Contohnya, "kenapalah awak ni malas sangat nak baca buku?". Kritikan sedemikian jika diulangi selalu akan menjadi kenyataan. Ini kerana perkataan ibu bapa terhadap anak-anak adalah doa yang makbul. Dari segi psikologi, kritikan yang negatif akan membentuk minda anak yang negatif. Jadi, jangan persalahkan mereka jika mereka benar-benar menjadi malas!

    Kesilapan kedua ketika menegur ialah kita asyik menegur berulang-ulang kali tetapi tidak memastikan anak mengikut teguran kita. Contohnya, kita menyuruh anak yang sedang menonton televisyen pergi bersiap untuk bersolat, kita mesti memastikan mereka terus melakukan arahan kita. Jangan mengulangi arahan tersebut beberapa kali. Ini kerana teguran yang sama beberapa kali akan menjadi leteran.

    Teguran yang berkali-kali tanpa merubah tingkah-laku anak-anak boleh membawa dua kesan besar. Pertama, mungkin anak akan benci kepada leteran ibu bapa. Kedua, sifat hormat anak-anak kepada ibu bapa akan berkurangan.

    Dalam pada itu, ibu bapa perlu konsisten menegur anak-anak yang melakukan kesalahan yang sama. Contohnya, jika hari ini kita tegur anak yang sedang bermain mancis, jika esok dia bermain lagi kita mesti menegur juga. Teguran yang tidak konsisten akan menyebabkan anak keliru. Semalam tidak boleh, hari ini boleh pulak!

    Kesilapan ketiga ialah mengugut atau mengancam anak. Anak yang selalu diugut ketika proses tumbesarannya akan menjadikan dia seorang yang penakut bila besar kelak. Malah, kemungkinan juga dia akan jadi tukang ugut pula suatu hari! Ini kerana anak-anak biasanya akan mengikut tingkah laku dan gaya hidup penjaganya.

    Akhir sekali, sudahi usaha kita dengan doa. Walaupun kita sudah menegur dan menasihati anak kita dengan baik, tetapi hanya Allah s.w.t. jualah yang dapat mengubah hati mereka. Jika perangai anak-anak tetap tidak berubah, bersabar dan letakkan pengharapan pada Allah s.w.t. Insya-Allah, kita mampu mendidik anak-anak menjadi insan soleh dan solehah.


    Berikan kebebasan kepada anak memilih.

    Salah satu keunikan manusia berbanding hidupan lain ialah keupayaan berfikir dan seterusnya membuat kesimpulan yang rasional. Walaupun semua orang berkeupayaan melakukan proses kognitif ini, namun tidak semua orang berani mengemukakan pandangan atau hasil pemikirannya. Hal ini berlaku antaranya disebabkan oleh didikan dan persekitaran yang dilalui oleh seseorang semasa zaman kanak-kanaknya.

    Kanak-kanak biasanya kurang diberikan kebebasan untuk membuat pilihan atau keputusannya sendiri. Kebiasaannya ibubapalah yang menjadi 'dicision- maker'. Secara tidak langsung, amalan ini seolah-olah mengongkong kebebasan mereka untuk memberi pandangan; sekaligus mematikan sifat kreativiti mereka. Lama-kelamaan, mereka juga akan hilang keyakinan diri.

    Sepatutnya, ibubapa melibatkan anak-anak dalam proses membuat keputusan. Mereka seharusnya diberi peluang mengemukakan pandangan. Ini akan membantu mereka dalam perkembangan minda dan sekaligus anak-anak akan merasakan diri mereka lebih dihargai. Contohnya, apabila kita hendak membeli baju anak-anak. Sebaiknya bawalah bersama anak untuk memilih bajunya sendiri. Sekiranya kita merasakan mereka belum pandai membuat pilihan yang terbaik, pilihlah beberapa helai dan biarlah keputusan akhir dilakukannya sendiri.

    Dalam Islam, kita digalakkan untuk bermusyawarah. Budaya ini sepatutnya disemai di dalam institusi kekeluargaan bilamana hendak membuat sebarang keputusan yang penting dalam keluarga. Selain melibatkan mereka dalam proses membuat keputusan, ia juga dapat mengeratkan talian kekeluargaan dan sifat percaya-mempercayai sesama ahli keluarga.

    Hargailah pandangan anak-anak. Jika pandangan mereka tidak dapat diterima atau kurang menepati kehendak syariat, berikan kepada mereka alternatif. Elakkan daripada 'mencantas' setiap luahan rasa mereka. Jika anak-anak dihargai, insya Allah mereka akan membesar menjadi insan yang lebih proaktif dan berani.



    A. Petua Merangsang Anak Yang Mempunyai Masalah Komunikasi :

    1. Ibu bapa harus memberikan perhatian yang khusus bila diperlukan.
    2. Pamerkan kasih sayang dengan jelas.
    3. Puji anak secara khusus.
    4. Berikan penerimaan & penghargaan sekerap yang mungkin.
    5. Hormati kawan-kawan anak.
    6. Kongsi perasaan ibu bapa dengan anak-anak.
    7. Kongsi hobi dengan anak.
    8. Lakukan sesuatu yang istimewa untuk anak.
    9. Bentuk suasana komunikasi yang selesa.


    B. Petua Merangsang Keistimewaan Anak :

    1. Kenali dan nyatakan ciri istimewa anak.
    2. Terima dan galakkan anak memberi pandangan dan cadangan.
    3. Terima dan hargai anak walaupun ada kesilapan dan kelemahan.
    4. Cari keunikan dalam idea atau perlakuan anak dan beri pujian.
    5. Beri peluang anak untuk mencuba atau bertindak secara unik.
    6. Hormati setiap pandangan anak walaupun ada yang tidak disetujui oleh ibu bapa.
    7. Hormati barang kepunyaan dan biliknya.
    8. Beri peluang anak melakukan sesuatu kerja atau tugasan mengikut caranya sendiri.


    C. Petua Meningkatkan Keyakinan Diri Anak :

    1. Bantu anak meningkatkan kemahiran berkomunikasi
    Galakkan beri pandangan.
    Dengar ceritanya.
    Suruh ceritakan pengalaman di sekolah setiap hari.

    2. Libatkan anak dalam merangka peraturan dalam rumah tangga dan dalam menyelesaikan masalah.
    Jadual harian di rumah.
    Tanggungjawab mengenai bilik tidur.
    Tanggungjawab membantu kerja-kerja dirumah.

    3. Nilai proses penyelesaian masalah yang dijalankan oleh anak.

    4. Beri penghargaan untuk setiap 1 kejayaan walaupun kecil.

    5. Hormati aras ketrampilan anak dan sentiasa ingat yang dia sedang belajar.

    6. Galakkan anak membuat matlamat peribadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang.

    7. Beri sokongan dan galakan bila anak dapat mempengaruhi orang lain secara positif.

    8. Terima perubahan dalam peranan yang dimainkan oleh anak. Contoh : Masa kecil suka ikut bapa ke mana-mana. Bila sudah besar tidak mahu lagi ikut bapa.


    D. Petua Merangsang Anak Agar Mendengar Cakap Ibu Bapa :

    1. Elakkan dari berleter. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak lebih bersedia mendengar cakap ibu bapa jika disampaikan menggunakan tiga ayat atau kurang.

    2. Tarik perhatian anak terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu kepada anak.

    3. Rangsang emosi anak sebelum memberi nasihat atau arahan. Emosi yang sesuai akan dapat merangsang tindakan.

    4. Ulang perkara atau perkataan yang penting beberapa kali agar jelas dan nampak peri mustahaknya.

    5. Jangan beri arahan sahaja. Terangkan juga cara dan apa yang dibuat dan kenapa ia perlu dilakukan.

    6. Jangan menggunakan perkataan "orang pertama" - kamu, anda, awak. Ia akan merangsang bantahan atau naluri melawan. Gunakan bahasa "orang kedua"
    "Abah harap kamu mandi sebelum Maghrib".
    "Abah sedih kalau kamu bergaduh dengan kawan".

    7. Beri anak pilihan dalam perkara-perkara yang dilakukan. Ini akan membuatkan mereka terasa dihormati dan berkebolehan.

    8. Minta cadangan dari anak untuk menyelesaikan masalah mereka.
    Contoh :
    i. Anak diminta belikan lampu picit untuk membolebkan dia tidur sendiri di bilik.
    ii. Anak mencadangkan ayahnya membelikan bakul untuk baju bagi mengelakkan pakaian kotor berselerak.

    9. Beri maklumat yang lengkap sebelum sesuatu perkara berlaku.
    Contoh :
    Bapa: Nenek tu tak suka bising-bising, jadi apa yang patut kamu buat bila nenek tidur kat rumah kita esok?
    Anak: Ok lah, Saya tak buka radio kuat-kuat seperti biasa.

    10. Gunakan fantasi untuk memberi kesedaran pada anak.
    Anak : Abah.. ,naik teksi bah.Tak bestlah naik bas.
    Bapa : Eh..Kalau abah jutawan, jangankan teksi, abah belikan kamu helikopter untuk pergi dan balik dari sekolah!!!

    11. Gunakan humor untuk mengelakkan pertengkaran atau kenang semula cerita lama yang lucu untuk meredakan suasana yang tegang.


    E. Mendidik Anak Mengenali Perasaannya :

    1. Apabila ibu bapa cuba memahami dan menerima perasaan, elakkan dari mengulang semula apa yang anak sebut. Gunakan perkataan lain untuk menjelaskan perasaan anak.
    Contoh 1:
    Anak : "Saya takut pada lipaslah abah!"
    Ayah : "Oh ya, abah lupa yang Shakir tak selesa kalau ada lipas dalam bilik".

    2. Dengan mempamerkan yang kita faham dan simpati mengenai perasaannya, anak akan terdorong untuk bercerita dengan lebih lanjut mengenai perasaannya. Ibu bapa juga perlu mendidik anak mengenali emosi yang mereka rasakan.
    Contoh 2 :
    Anak : Boringlah pergi sekolah, Cikgu asyik bentak-bentak aje!
    Ayah: Oh... .Jadi Shazwan rasa tak seronok bila cikgu marah ke?
    Contoh 3 :
    Anak : Bencilah Zaidah tak jemput jamuan harijadinya!
    Ayah : 0h... .Hidayah rasa marah dan kecil hati sebab kawan tak jemputlah ye !"


    Kesilapan oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak.

    Dewasa ini purata ibubapa yang gagal mendidik anak-anak ke arah pengamalan Islam secara syumul begitu ketara sekali dan semakin membimbangkan. Impaknya dapat dilihat dengan jelas dalam senario kehidupan anak–anak itu sendiri. Hal ini jika berterusan akan merosakkan diri mereka, kasih sayang terhadap ibubapa mereka, hubungan antara keluarga, orang tua dan ahli masyarakat setempat. Lebih jauh lagi, tempiasnya akan tersebar terhadap Islam dan negara.

    Faktor penyebabnya ialah bapa, selaku ketua, pemimpin dan pelindung terhadap keluarga, dan ibu selaku penasihat dan penggerak kepada peranan bapa. Malangnya peranan ini gagal dilaksanakan.

    Antara kesilapan yang dilakukan ialah :

    1. Kurang penekanan terhadap kewajipan solat ; Tidak mengajar anak solat dengan betul dari segi bacaan dan perbuatan kerana sifat menyerah tanggungjawab tersebut kepada ustaz di sekolah atau kelas Fardhu Ain. Kalau anak–anak solat pun tidak pernah diuji secara praktikal atau diperhati betul salahnya solat tersebut. Begitu juga, jika dibawa anak–anak ke masjid, ibubapa tidak mengambil pusing anak–anak mereka sama ada mereka sudah masuk saf atau tidak. Apa salahnya jika jarang–jarang ibubapa solat di belakang anak–anak. Dalam hal ini ada di kalangan ibubapa yang tidak memaksa secara tegas supaya anak–anak solat seperti solat Subuh atas alasan kasihan ( melihat mereka nyenyak tidur) dan juga semasa menghadiri sesuatu majlis keraian, kenduri, perayaan dan seumpamanya.

    2. Tidak memberi perhatian terhadap pembelajaran bacaan Al Quran anak–anak ; Anak–anak tidak ditanya atau menyuruh membaca semula apa yang pelajari pada hari itu dalam bentuk ulangkaji. Juga tidak ditanya guru Al-Quran tentang kemajuan dan sikap anak–anak semasa belajar sama telah untuk memberi kuasa veto kepada si guru bagi merotan anak-anak mereka.

    3. Tidak memberi rangsangan dalam bentuk hadiah dan pujian terhadap anak– anak yang cemerlang dalam solat, bacaan Al-Quran ( hafalan lagi baik ) dan hafalan wirid serta doa.

    4. Tidak menanam sikap kecintaan kepada Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W.

    5. Tidak mengambil kisah pemakanan anak–anak ; sama ada di rumah atau di luar yang kebanyakan bersumberkan syubahah seperti makanan segera, minuman berkarbonat dan lain–lain lagi. Atau bersumberkan pembelian wang haram atau syubahah.

    6. Membiarkan anak–anak bergaul bebas ; tanpa memerhatikan latar belakang kawan–kawan mereka dari segi penjagaan solat, latar pendidikan, akhlak dan keluarga ( faktor pengaruh). Walau bagaimanapun anak–anak tidak boleh dikongkong kerana akan menghalang kematangan mereka dalam pergaulan.

    7. Memberi kebebasan berpakaian tanpa menutup aurat ; khususnya anak perempuan. Ramai ibubapa golongan baru segaja memilih dan mengatur pakaian anak-anak mengikut ‘trend’ zaman ini. Sepatutnya anak–anak perlu diajar cara pakaian bersopan bermula zaman awal kanak-kanak lagi. Ingat, panas akhirat mengatasi panas dunia !!

    8. Terlalu menekankan kecemerlangan akademik ; dengan menghantar tuisyen petang dan malam serta hujung minggu (tuisyen sekolah dan persendirian : tidak semua tetapi ada) sehinggakan anak–anak menjadi letih tetapi mengabaikan pendidikan Islam.

    9. Membiarkan anak-anak menonton hiburan melampau ; dan drama yang tidak bermoral, mendengar muzik barat / cinta serta membaca novel cinta, majalah hiburan yang diketahui tiada motif / unsur mendidik rohani.

    10. Tidak membawa anak–anak menziarahi kubur ; yang bertujuan untuk mengingatkan hari penyudah hidup.

    11. Tidak membawa anak–anak terutamanya anak yang remaja berziarah ke rumah ahli keluaga dan saudara mara sambil memperkenalkan antara satu sama lain.

    12. Tidak memanggil anak-anak supaya bersalam dan bermesra dengan tetamu yang datang ke rumah ( tetapi dengan menjaga adab kesopanan ).

    13. Tidak memperjelaskan hukum hakam agama dalam semua aspek kehidupan baik rohani, jasmani dan ketuhanan kepada Yang Maha Esa.

    14. Tidak menanam sikap menolong orang susah, fakir dan miskin serta amalan bersedekah.

    15. Ibubapa tidak menunjukkan contoh tauladan tingkah laku yang baik selaras dengan kehendak Islam.

    16. Ibubapa terlalu mengejar dunia sehingga semua di atas tidak terlaksana !!

    Suasana Sambutan 25 Tahun PASTI Negeri Perlis.

     
     



















     

    Meneliti PROSES PENDIDIKAN YANG DIANJURKAN ISLAM (Al-Quran dan Hadith)



    Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan ” Insan Rabbani” yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.


    Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.

    Membentuk Dunia Kanak-kanak.

    Sebelum anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.

    Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

    Atas itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

    “wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)”

    Ketika Anak Dalam Kandungan

    Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:

    Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.
    Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

    Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.

    Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.

    Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya
    Setelah Anak Dilahirkan

    Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.

    Abu Rafi meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud:

    ” Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a” (Riwayat Abu Daud dan Termizi)


    Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:

    “Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


    Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.

    Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

    “Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya”. ( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)

    Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.

    Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.

    Umur antara 5 hingga 7 tahun.

    Pada peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.

    Menurut pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:

    1.Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.

    2.Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.

    3.Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.

    4.Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .

    5.Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.

    6.Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

    7.Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.

    8.Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.

    Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

Tiada ulasan: