Jumaat, 8 November 2013

JASA TOK GURU DIHARGAI

Tuan Ibrahim tarik diri tanding Timbalan Presiden

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan sempena Muktamar ke-59 bermula 22 November ini.

Keputusan itu dinyatakan dalam satu kenyataan di facebook beliau sebentar tadi.

Bagaimanapun, beliau hanya akan bertanding jawatan Naib Presiden, iaitu jawatan yang pernah disandang beliau empat tahun lalu.

"Pada saya, jawatan (timbalan presiden) itu adalah sangat besar dan di luar kemampuan saya untuk memikulnya buat masa kini, tambahan pula terdapat beberapa nama lain yang layak untuk memikul amanah ini.

"Tambahan pula buat masa ini, saya masih diamanahkan sebagai Pesuruhjaya Negeri Pahang, yang memerlukan tumpuan gerak kerja dan masa yang banyak bagi menghadapi PRU ke-14 akan datang.

"Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar PAS ke-59 kali ini," katanya.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Keputusan penerimaan pencalonan

Terdahulunya, saya ucapkan terima kasih dan penghargaan tidak terhingga kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya  dalam Mesyuarat Agung PAS kawasan masing-masing.

Pencalonan ini adalah satu penghormatan tinggi kepada saya. Setelah surat pencalonan yang dihantar oleh Jawatankuasa pemilihan, saya dapati ada tiga jawatan yang dicalonkan, iaitu Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Pusat. Saya berasa amat bertuah atas kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh kalian semua.

Di dalam Perlembagaan PAS, hak pencalonan diberikan sepenuhnya kepada PAS kawasan, manakala yang dicalon pula diberikan hak untuk menerima atau tidak menerima.

Keputusan seseorang calon untuk tidak menerima pencalonan bukan bermakna calon tidak menghargai pencalonan kawasan; manakala keputusan menerima pula tidak harus dilakukan sekadar untuk alasan merai kehendak kawasan.

Pada pandangan saya, kepimpinan adalah amanah besar yang perlu dipikul di dunia sampai ke akhirat. Kerana itu, keputusan menerima atau tidak menerima perlu dilakukan berdasarkan kemampuan seseorang untuk memikul amanah tersebut. PAS kini berhadapan dengan cabaran besar masa depan dan muafakat dalam Pakatan Rakyat yang perlu diperkukuhkan serta ukhuwah jamaah yang perlu diperkasakan, antara faktor penting dalam penilaian kemampuan menerima atau tidak sesuatu jawatan itu.

Walaupun saya amat menghargai kepercayaan dan penilaian tinggi yang diberikan oleh PAS kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden, namun pada saya, jawatan itu adalah sangat besar dan di luar kemampuan saya untuk memikulnya buat masa kini, tambahan pula terdapat beberapa nama lain yang layak untuk memikul amanah ini.

Tambahan pula buat masa ini, saya masih diamanahkan sebagai Pesuruhjaya Negeri Pahang, yang memerlukan tumpuan gerakerja dan masa yang banyak bagi menghadapi PRU ke-14 akan datang.

Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar PAS ke-59 kali ini.

Penerimaan ini adalah seimbang bagi merai kehendak kawasan yang mencalonkan saya sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Presiden.

Namun, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan parti dalam menghadapi cabaran yang lebih besar pada masa depan.

Keputusan untuk bertanding Naib Presiden adalah keputusan yang diambil diri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana- mana pihak. Ia lebih kepada penilaian diri dengan kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Sebagai seorang ahli PAS, saya tetap istiqamah dalam memberi khidmat dan terus berusaha menguatkan jamaah dan memenangkan parti Islam sekalipun tanpa sebarang jawatan.

Akhirnya, saya ingin berpesan agar jangan sesekali kita termasuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh bagi memecah-belah antara kita, dan jangan pula kita membenarkan apa yang musuh tuduh kepada kita. Semua pihak sama ada aktivis, ulamak atau profesional adalah tenaga penting bagi memperkukuhkan perjuangan parti.

Mari kita memperkukuhkan jamaah ini dengan memelihara ukhuwah, thiqah pada pimpinan dan menghargai mereka yang lama dalam perjuangan yang berliku ini, serta tasamuh dalam perbezaan pandangan. Setiap orang perlu memainkan peranan sebagai faktor penyatu parti. Menyatukan parti tidak harus diletakkan di atas bahu mana-mana individu tertentu sahaja.

Kepada semua yang telah memberikan sokongan, kepercayaan, bantuan, nasihat dan teguran kepada saya, saya ucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Salam dari Doha

7 November 2013

Jamil Khir, mengaku sajalah jualan murah kempen BN

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Kenapa susah sangat Jamil Khir mengaku bahawa jualan murah itu memang sebahagian daripada acara kempen pilihan raya BN?

“Mengaku sahajalah, kalau memang itu hakikatnya,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, memang benar jualan murah ada di mana-mana dan pasaraya juga kerap melakukannya tetapi belum pernah rasanya gula dan beras turut dijual murah.

Bagi beliau, biasanya jualan murah di kampung-kampung dan di mana saja hanya  melibatkan pakaian, barangan plastik, pinggan mangkuk dan sebagainya.

Katanya, sejak lebih 56 tahun merdeka, belum pernah ada jualan murah gula dan beras kecuali di Sungai Limau.

“Murahnya pula bukan kepalang. Gula hanya dijual RM1 sedangkan harga biasanya RM2.84 manakala beras pula hanya RM5 sedangkan harga biasanya RM13,” tulisnya lagi.

Menurut Shahbudin lagi, sudah tentu kalau bukan kerana pilihanraya dan maksud membeli undi, tiada siapa sanggup menjual harga semurah itu.
Baca lagi

Tiada pemberhentian kakitangan Syabas - Khalid

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan tiada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, Syabas hanya akan bertukar pentadbiran di bawah kerajaan negeri sahaja dan tidak membabitkan tenaga kerja syarikat itu.

“Satu perkara yang jelas tidak ada pemberhentian membabitkan tenaga kerja Syabas, bermakna kakitangan akan terus bekerja tetapi di bawah pemilik yang lain, itu sahaja,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid berkata, jika keputusan berkenaan syarat yang dikemukakan kerajaan negeri kepada Syabas dipersetujui hujung tahun ini, proses pengambilalihan itu akan mengambil masa selama tiga hingga enam bulan.

Katanya, kerajaan negeri sudah menerima surat daripada kerajaan Pusat yang menyatakan persetujuan pengambilalihan syarikat konsesi air terbesar di Selangor itu.

“Kita sudah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan berkenaan perkara ini mesti diselesaikan, tetapi perbezaannya adalah duit sahaja, walaupun itu penting tetapi kesamaan pendapat sudah ada,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu adalah Syabas, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

Masjid bawah tanah pertama di dunia

http://detikislam.blogspot.com, 07 Nov 2013
Turki kini sedang membina sebuah Masjid di bawah tanah yang pertama di dunia di daerah Buyukcekmece di Istanbul. Reka bentuk seni bina ini pernah memenangi tempat pertama dalam pertandingan Seni Bina Festival Dunia untuk kategori tempat ibadah.

"Masjid adalah tempat untuk ketenangan dan Solat," kata Mehmet Narin, Mufti Buyukcekmece mengatakan kepada World Buletin pada Isnin, 4 November.

"Masjid adalah lanjutan daripada Kaabah ," tambahnya.

Penggabungan intipati Islam dan sandaran reka bentuk dengan sentuhan moden, Masjid Sancaklar yang diilhamkan oleh Gua Hira iaitu tempat Nabi Muhammad SAW pertama kali menerima wahyu.

Dibina tujuh meter di bawah permukaan, Masjid ini dibina oleh arkitek Turki saudara Emre Arolat.

Masjid dibina dengan keluasan 1200 meter persegi di bawah tanah, diterangi oleh beberapa jalur lampu dan cahaya matahari untuk menampakkan kesan persekitaran jiwa.

Berdasarkan dari reka bentuk masjid standard, Masjid Sancaklar mempunyai ruang ibadah yang luas dengan kapasiti lebih dari 650 jamaah.

Menjadi Masjid di bawah tanah pertama di dunia jadi Masjid Sancaklar direka tanpa menara atau sabit.

TG Nik Aziz terima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate

Rizal Tahir, 07 Nov 2013



KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate oleh kerajaan negeri.

Anugerah julung kali diadakan itu sempena program Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelate 2013 yang diadakan dua tahun sekali.

Majlis yang penuh bersejarah itu diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini tengah hari tadi.

Anugerah berkenaan diberikan kepadanya memandangkan beliau sentiasa menjadi idola pada anak muda tanpa mengira bangsa di negara ini.

Sementara itu, pemain berbisa pasukan The Red Warriors, Mohammad Badri Mohd Radzi, atau lebih dikenali sebagai ‘Piya’ dianugerahkan Tokoh Sukan.

Penyerang di posisi ‘attacking midfielder’ itu juga turut mendapat jolokan ‘Kapten Marvel’.

Sementara itu Tokoh Ulama Muda pula dianugerahkan kepada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Tokoh Akademik pula Prof Madya Dr Irfan Mohammad.

Selain itu Tokoh Usahawan, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris dan Anugerah Khas Murabi Anak Muda Kelate pula dianugerahkan kepada allahyarham Datuk Yahya Othman.

Kerajaan Kelantan turut menghadiahkan wang tunai RM2,000, pakej umrah, plak dan sijil yang ditanda tangani oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kepada empat orang tokoh tersebut.

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi dan wakil-wakil rakyat.

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian itu, berkata kerajaan negeri menganugerahkan beberapa tokoh kepada golongan muda dengan harapan mereka menjadi contoh pada masyarakat khasnya anak muda.

“Kehebatan anak muda dalam beberapa kategori telah dicungkil untuk diberi anugerah khas pada mereka semoga anak muda yang lain ingin menjadikan contoh yang sama,” ujarnya.

Sambungnya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan golongan itu bersendirian tanpa memandu arah pada jalan kebaikan kerana mereka adalah bakal pentadbir negeri dan negara.

Tegasnya, apa lagi golongan ini mudah dibentuk, ke arah mana mereka ingin dibawa.

“Sejarah Islam di zaman Rasulullah telah membuktikan anak-anak muda sebagai perisai kekuatan Islam seperti Saidina Ali, Saidina Omar, Abu Bakar dan sebagainya.

“Sahabat baginda ini sewajarnya menjadi contoh bagaimana kehebatan darah muda mereka dimanfaatkan untuk Islam dan masyarakat,” ujarnya.

Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat.

JPP: Kenapa Persekutuan nak langgar undang-undang?

Hazayani Zakaria, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat mendakwa Kerajaan Pusat melanggar Perlembagaan apabila menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, fungsi JPP yang dicadangkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah sama dengan tugas ahli majlis PBT.

Beliau berkata, JPP adalah tidak perlu memandangkan kerajaan negeri sudah berkuasa ke atas PBT.

"Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM63 juta untuk tubuh JPP, ini bagi saya memang adalah pelanggaran kepada peruntukan Perlembagaan.

"Kami perintah Kelantan 1990, Kerajaan Persekutuan tubuh JPP, kerajaan dalam kerajaan. Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) juga di bawah kerajaan negeri tapi Kerajaan Persekutuan buat juga JKKK.

"Sekarang kerajaan negeri lantik ahli majlis, Persekutuan pun lantik lagi. Jelas bercanggah dengan undang-undang dan bermotif politik.

"Kami akan menentang perkara ini. Kalau kerajaan nak bagi kemudahan kepada rakyat bagi sahaja melalui PBT. Kenapa buat satu tindakan yang tidak selaras?

"Ini pilihan rakyat kepada kerajaan negeri. Kerajaan negeri laksanakan undang-undang kenapa Perseketuan nak langgar undang-undang?" kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyeru pihak kerajaan tempatan dan kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap perkara yang disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa Kerajaan Persekutuan dari Kerajaan Negeri dan PBT.

"Mengikut kenyataan menteri, tujuan penubuhan JPP ini juga penuh dengan tujuan politik, iaitu kekalah Umno BN di kawasan bandar dalam PRU13.

"Maka dalam konteks ini, JPP mungkin bertumpu di PBT Kerajaan Pakatan Rakyat. JPP mungkin bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

"Ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Pusat tidak menghormati mandat rakyat yang mengundi Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat," katanya.

Pakatan Rakyat juga kata beliau seharusnya membenarkan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yng dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk memberi mandat yang lebih besar kepada pentadbiran PBT.

"Kami percaya pilihan raya tempatan akan menjadikan ahli majlis lebih efektif dalam uruan perbandaran," katanya.

Tiada ulasan: