Jumaat, 8 November 2013

TU DIA 18 TAHUN....UNIVERSITI DAH BANYAK....RAKYAT 30 JUTA JE....PEMEGANG IJAZAH BANYAK TAK KERJA LAGI.....AGAK2LAH

Kerajaan disaran tubuh kolej universiti sukan

Salmiyah Harun, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan kolej universiti sukan untuk para atlet negara bagi melahirkan ahli sukan yang bukan sahaja maju tetapi berintelektual tinggi.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, hari ini kerajaan hanya menyediakan Sekolah Menengah Sukan hanya di peringkat tingkatan lima sahaja.

"Adalah lebih baik, kerajaan sediakan sekolah untuk mereka paling kurang di peringkat diploma supaya dapat bersaing dengan para atlet di negara-negara maju," katanya.

Namun katanya, sekiranya kerajaan tidak berhajat untuk menubuhkan kolej universiti ini beliau mencadangkan kerajaan memberi insiatif ini kepada syarikat yang berkaitan kerajaan (GLC).

"Misalnya bagi pada Proton yang ada kerjasama dengan Lotus menjadi penaja untuk para ahli sukan seperti pasukan bola sepak untuk tubuhkan universiti.

"Sukan perlu pada kaitan dengan pasukan terkenal untuk mengadakan latihan dengan negara luar," katanya yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Jelasnya, usaha ini boleh direalisasikan memandangkan peruntukan Bajet 2014 untuk sukan sahaja sebanyak RM239 juta iaitu satu jumlah yang besar.

Takiyuddin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 di Dewan Rakyat hari ini. 

Zahid perlu sasar perangi lambakan pekerja asing

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan sasaran dalam usaha memerangi sepenuhnya lambakan pekerja asing khususnya yang datang secara haram ke negara ini.

Bagi DPPM, isu lambakan pekerja asing sudah menjadi terlalu serius dan perlu dibanteras semaksimum mungkin sebelum sesuatu perkara yang lebih buruk berlaku terutama terhadap rakyat di negara ini.

Ketua Penerangan DPPM, Dr Riduan Mohd Nor berkata, untuk itu, Zahid perlu meletakkan suatu sasaran angka yang perlu dicapai serta jangka masa operasi membanteras pekerja asing di negara ini.

“Sasaran ini mesti dijadikan agenda utama KDN dalam tempoh beberapa bulan dan tahun mendatang agar rakyat melihat keberkesanannya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Apa yang dikesalkan, ujarnya isu lambakan pekerja asing mewujudkan kesan yang lebih buruk kepada masyarakat di negara ini.

Menurutnya, selain industri pekerjaan yang dibolot oleh pekerja asing, peluang perniagaan turut dikuasai oleh warga tersebut.

Malah, kata beliau ada pekerja asing yang mendapat tempat membuat perumahan dan perkampungan sendiri sehingga menghilangkan identiti penduduk asal kawasan terbabit.

Katanya lagi, kesan lebih besar adalah penguasaan ekonomi serta gejala sosial yang semakin parah, lebih membimbangkan adalah jenayah yang semakin berleluasa di negara ini serta kedaulatan negara semakin terhakis.

“DPPM meminta KDN supaya meminimumkan jumlah pekerja asing dengan meletakkan mereka hanya kepada sektor-sektor yang perlu sahaja seperti sektor perindustrian, perladangan, perkilangan dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Selain itu, kara Riduan KDN perlu bersungguh-sungguh dalam mengawal sindiket pengeluaran Mykad palsu kepada warga asing dengan menggunakan sistem biometrik di segenap tempat dan setiap pekerja diwajibkan menjalani ujian tersebut.

Tambahan lagi, ujar beliau sempadan negara perlu diperketatkan dengan pemantauan dan rondaan yang kerap.

“DPPM yakin, sempadan negara sukar ditembusi sekiranya pasukan keselamatan negara mengawal perairan dan kawasan sempadan dengan baik,” katanya.

Bengkel Radio dan TV Internet pada 9 Nov

Anis Nazri, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Radio Internet PAS, Hijau.fm akan menganjurkan satu bengkel yang dinamakan Bengkel Radio dan TV Internet, pada Sabtu, 9 Nov ini.

Bengkel yang akan disertai dua orang personaliti radio dan tv sebagai fasilitator itu akan diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

Menurut Ketua Penyelaras Hijau.fm, Shuhaimi Embong, bengkel tersebut dianjurkan bagi memantapkan lagi siaran Hijau.fm sejak ia mula ditubuhkan pada 19 Mac lalu bersempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Hijau.fm yang dirasmikan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man itu telah diaktifkan semula siarannya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau pada 4 Nov lalu, selepas siarannya ditamatkan bersempena berakhirnya PRU13 pada 5 Mei lalu.

Kata Shuhaimi, bengkel sehari itu akan dirasmikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, yang juga Pengerusi Lajnah ICT PAS Pusat.

Dalam pada itu, Shuhaimi turut mengalu-alukan sukarelawan Hijau.fm dan pasukan webtv dari rangkaian Jabatan IT PAS untuk turut bersama-sama menyertai bengkel ini kelak.

Bagi yang ingin mengikuti bengkel tersebut, bolehlah menghubungi Haznizul di talian 019-2630565 atau emel kepada hijau.fm@pas.org.my.

PAS gesa siasat dalang MyKad palsu pendatang

Muhammad Faizal, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat siasatan khas bagi mengenal pasti dalang sebenar yang memberi kad pengenalan (MyKad) palsu kepada pendatang asing.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kes-kes penemuaan pegawai keselamatan yang disahkan mempunyai MyKad palsu adalah amat besar.

"Kita dilaporkan terdapat kes-kes pengawal keselamatan yang ditangkap dan disahkan memiliki IC palsu dan ia merupakan satu kes besar.

"Kita mendesak kerajaan di bawah KDN membuat suatu siasatan serta kajian khas bagi mendalami isu ini supaya ia tidak berterusan, selain itu juga kerajaan perlu menyiasat siapa dalan sebenar dalam memberi IC palsu," jelasnya kepada Harakahdaily ketika ditemui di lobi Parlimen.

Katanya lagi, sindiket itu telah terbukti menggugat kehidupan malah telah mengorban nyawa rakyat Malaysia.

"Ia tidak boleh dipandang ringan dan tidak boleh diselesaikan melalui proses pentadbiran biasa, membuat pemeriksaan syarikat keselamatan dan tangkap, sedangkan dalang sebenar kita tidak tahu siapa. Mereka tidak perlu dilindungi.

"Sindiket ini telah menyebabkan beberapa nyawa terkorban malah institut kewangan kita turut berada dalam keadaan terancam," sambung beliau yang juga AJK PAS Pusat.

Kamarudin yang turut meminta kerajaan mewujudkan satu tribunal khas untuk melihat dengan lebih mendalam supaya kes itu dapat diselesaikan dengan seberapa segera.

Katanya lagi, kerajaan perlu melibatkan pihak-pihak luar kementerian dalam memberi pandangan.

Buku Iqra': 447 kesalahan, 18 tahun tiada pembetulan

Harakahdaily, 07 Nov 2013



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary, mempersoal tindakan kerajaan yang sehingga kini masih belum membetulkan sejumlah 477 kesalahan dalam buku Iqra' yang diajar kepada pelajar sekolah kebangsaan dalam mata pelajaran pengajian al-Quran di seluruh negara.

Bercakap sewaktu membahaskan Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat hari ni, beliau berkata, tindakan itu memperlihatkan sikap tidak serius kerajaan, yang memandang remeh terhadap pendidikan Islam khususnya dalam pengajian al-Quran.

Beliau merujuk kepada satu kajian oleh aktivis pendidikan terhadap Buku Iqra' (cara cepat membaca Al-Quran) Rasm Uthmani, karangan Ustaz Haji As'ad Humam daripada Indonesia, yang didapati mengandungi 447 kesalahan dan kekeliruan.

"Kita kesal dengan sikap kerajaan yang seolah-olah memandang remeh soal pengajian Al-Quran.

"Kenapa buku Interlok ditarik balik hanya kerana ada perkataan 'paria', sedangkan dalam Buku Iqra' ada 447 kesalahan tapi terus dibiar untuk digunakan," katanya pada sidang media selepas itu.

Menurutnya, isu ini pernah dibangkit oleh ahli parlimen PAS ketika penggal lalu, namun sehingga kini, kesalahan dalam buku yang diguna sejak 18 tahun itu, tidak dibetulkan.

"Saya mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya membekukan pengagihan ini bagi mengkaji semula buku modul ini dengan diganti buku modul baru," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan dengan kuasa Menteri Pendidikan melalui KPM menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan Khas di bawah Seksyen 127 dan 144, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Peruntukan kewangan KPM bagi tahun 2014 sebanyak RM54,600,593,800 juga katanya diharap boleh dimanfaatkan untuk mengatasi masalah itu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan menggesa kerajaan bertindak segera membuat semakan dan pembetulan terhadap dakwaan kesilapan itu.

"Kalau kerajaan gagal tangani isu ini dan memandang remeh, ini satu pengkhianatan besar kepada rakyat negara ini.

"Kita sedia gerakkan bantahan rakyat secara besar-besaran. Ini soal masa depan anak-anak kita khususnya orang Islam," katanya.

Sg Limau: BN kalah, Shahidan jangan berbelit

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim tidak mengeluarkan kenyataan berbelit berhubung kekalahan BN di Sungai Limau kelmarin.

Beliau mengulas kenyataan Shahidan yang mendakwa wujudnya pengundi hantu khususnya di Bukit Besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau lalu yang menyaksikan PAS terus kekal menguasai Dun itu.

"Dulu (bila PAS bangkit soal pengundi hantu), dia kata mana ada pengundi hantu. Sekarang bila dia kalah, dia kata ada (pengundi hantu).

"Saya mintak dia tak payah spin la," kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena kepada media di lobi parlimen hari ini.

Shahidan semalam mendakwa mengesan pengundi tidak dikenali di Bukit Besar yang rata-ratanya pengaji pondok agama di kawasan itu.

Malah beliau turut menyifatkan pembangkang seperti "penyamun, yang kemudian menuduh orang lain sebagai penyamun", seperti dalam cerita P Ramlee.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, beliau yakin dakwaan Shahidan itu tidak benar kerana majoriti penduduk di Bukit Besar itu adalah penduduk asal cuma berkemungkinan bekeja di luar namun kekal mendaftar untuk mengundi di situ.

Beliau yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau menambah, Shahidan sewajarnya menggunakan saluran yang betul termasuk mengemukakan petisyen jika tidak berpuas hati dengan keputusan PRK itu.

"Dia boleh kemuka petisyen, sebab dia ada kuasa," katanya.

Tiada ulasan: