BN guna premis awam, pemuda PAS lapor polis
Harakahdaily, | 03 Nov 2013 |
JERAI: Dewan Pemuda PAS Kedah membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir dan juga calon BN Dr Sohaimi Lazim kerana didakwa melanggar peraturan pilihan raya.
Kedua dua mereka didakwa telah dan akan menggunakan Sek Men Keb Dulang sebagai tempat berkempen dalam program Berani Hijrah yang dijadual diadakan semalam.
Menurut Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria, tindakan berceramah, meletakkan lambang parti dan bertemu penyokong BN dalam kawasan sekolah tersebut adalah bersalahan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24 b (7), yang melarang penggunaan premis awam untuk kempen pilihan raya.
"Saya dengan ini mahu pihak polis mengambil tindakan sewajarnya untuk menghalang acara kempen yang salah ini," katanya.
Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di sini semalam.
Turut serta ketika membuat laporan polis tersebut termasuk Pengarah Jabatan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, dan exco pusat yang lain.
Pengundi Sg LImau dengar apa kata Dr Asri (video)
http://inderasipejuang.blogspot.com, | 03 Nov 2013 |
(Video) Pengundi-Pengundi Dun N.20 Sungai Limau Dengar Apa Kata Dr. Asri Ni
Tak Patut-Tak Patut ada ke Dr Asri ni kata yang Duit Rakyat tu bukan nya Duit Mak Bapak dia orang Pemimpin Umno...
Subsidi gula, diabetes dan ketentuan Allah
Danial Razali, | 03 Nov 2013 |
Saya terkejut apabila mendengar perkara 161 Ucapan Bajet 2013. Benarkah itu yang termaktub atau saja-saja memanda perdana menteri menokok? Oleh kerana tidak berpuas hati, saya menyemak semula teks ucapan bajet 2014. Memang benar, ada nas ditulis bahawa 2.6 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun keatas mengidap penyakit diabetes lantas langkah pengurangan subsidi (menaikkan harga) gula akan dilaksanakan serta merta selepas lapan jam pengumuman itu dibuat. Sungguh hebat. Saya tidak menyangka perkara ini tertulis dalam ucapan bajet. Pasti Perdana Menteri UK David Cameron terpaksa di-nyah-penyakit sindrom Angelman selepas mendengar ucapan tersebut sebelum benar-benar bersedia menerima lawatan DS Najib yang dijadualkan berlangsung dua hari selepas Ucapan Bajet 2014.
Menurut International Diabetes Federation (IDF), jumlah pesakit diabetes di Malaysia pada tahun 2012 adalah seramai 2.1 juta orang daripada 371 juta orang pesakit dari seluruh dunia. Sebelum menulis artikel ini, saya telah mendapatkan khidmat nasihat tentang diabetes daripada sahabat-sahabat yang berlatar pendidikan perubatan. Menurut mereka, diabetes berlaku bukan hanya disebabkan oleh pengambilan gula yang berlebihan tetapi boleh juga disebabkan oleh faktor keturunan dan gaya hidup individu. Saya tidak mahu membahaskan tentang diabetes kerana tidak mempunyai kelayakan yang cukup tentangnya. Biarlah para cerdik pandai perubatan yang menerangkan punca-punca berlakukanya diabetes agar masyarakat awam faham dan mengambil pengajaran awal tentang kesannya yang sangat mengerikan.
Saya tidak kesali akan penyataan gula penyebab diabetes kerana memang jelas terdapat kaitan yang signifikan antara keduanya berdasarkan pandangan sahabat-sahabat yang berkelayakan dalam bidang perubatan. Namun saya berasa sangat kecewa kerana hal itu menjadi alasan ampuh kerajaan dalam menghalalkan tindakan mereka mengurangkan subsidi (menaikkan harga) gula. Jika kita menggunakan saluran tidak berhikmah, kita sebagai warga negara Malaysia yang cintakan kesihatan dan anti-ketirisan boleh sahaja menyoal kerajaan kenapa perlu menggunakan kereta baru Honda Accord 2.4L dan 2.0L sebagai kereta rasmi di saat harga minyak melambung tinggi dan bebanan hutang negara meningkat? Walhal bukankah dengan menaiki kenderaan awam lebih menjimatkan kos jika dibandingkan dengan alasan kerajaan bahawa kereta honda Accord tersebut lebih murah kos petrol dan servisnya? Ataupun bukankah dengan berjalan kaki atau berbasikal boleh menyihatkan badan berbanding hanya duduk di dalam kereta?
Namun kita tidak se'kelakar' kerajaan dalam membangkitkan persoalan dan alasan. Walaupun kita dididik dengan 'hanya duduk diam' dan 'kalau tidak setuju keluar sahaja dari Malaysia', kita masih berhikmah dalam menyoal. Apakah alasan ini wajar?
Kembali kepada isu gula, perlu difahami oleh semua warga Malaysia bahawa proses pengeluaran gula di Malaysia adalah bermula daripada peringkat mengimport gula mentah adripada luar negara. Gula mentah ini ditapis oleh syarikat-syarikat gula seperti MSM dan beberapa syarikat yang dibenarkan kerajaan. Bunyinya seperti oligopoli tetapi ada logiknya kerana kos pengeluaran mampu dikurangkan. Selepas ditapis, gula ini akan dipasarkan di pasaran domestik melalui peruncit dan pengedar ataupun pemain industri. Pengguna biasa (baca marhaen) pula akan mendapatkan gula yang ditapis secara langsung melalui peruncit dan pengedar ataupun menggunakan gula yang ditapis secara tidak langsung melalui produk industri seperti minuman dan makanan ringan yang ada dalam pasaran. Tahun 2012 menyaksikan permintaan gula di Malaysia adalah dipelopori oleh sektor perindustrian iaitu sebanyak 60 peratus manakala isi rumah menggunakan 40 peratus.
Menurut statistik data Bank Dunia, harga gula global pada Januari 2011 adalah sebanyak USD0.297 bagi setiap paun. Harga ini kemudian turun kepada USD0.24 bagi setiap paun pada Januari 2012 seterusnya turun lagi kepada USD0.189 bagi setiap paun pada Januari 2013. Namun begitu, mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Januari 2012 telah mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian jangka panjang (LTC) bersama pengeksport dunia selama tiga tahun bagi mengimport gula mentah dengan harga tetap USD0.26 bagi setiap paun yang bermula pada tahun 2012 sehingga tahun 2014. Keyakinan ini adalah disebabkan oleh kejayaan kerajaan menjimatkan RM2 bilion hasil perjanjian harga gula mentah sebanyak USD0.175 bagi setiap paun yang memeterai melalui perjanjian jangka panjang (LTC) 2009-2011 dengan pengeksport dunia.
Sekali imbas, ketidaktentuan harga pasaran gula mentah dunia telah menyebabkan kerajaan bertindak memeterai perjanjian jangka panjang (LTC) 2012-2014 dengan kadar pembelian tetap sebanyak USD0.26 per paun. Hal ini kerana kerajaan bimbang sekiranya harga gula mentah dunia naik secara mendadak melebihi paras USD0.26 per paun dan sekiranya hal ini berlaku, maka kerajaan akan mendapat manfaat kerana telah membuat perjanjian harga yang tetap dengan pengeksport dunia.
Akan tetapi, hakikatnya kerajaan telah pun diingatkan tentang pengeluaran gula mentah melebihi permintaan yang menyebabkan harga gula mentah turun ke satu paras sangat kurang daripada USD0.26 per paun. Bahkan pada tahun 2012, Ahli Parlimen DAP Tony Pua telah membangkitkan rasa tidak puas hati dan bertanyakan apakah rasionalnya penetapan USD0.26 per paun sedangkan harga gula mentah dunia pada waktu itu hanyalah USD0.24 bagi setiap paun dan menunjukkan trend menurun. Telahan Tony Pua itu ternyata benar apabila harga gula mentah dunia turun menurut data Bank Dunia sehinggalah mencapai USD0.176 pada bulan September 2013.
Sebagai memudahkan kefahaman, saya senaraikan harga gula yang telah ditapis/diproses (yang ada dalam pasaran tempatan) dalam dua keadaan iaitu mengikut harga gula mentah menerusi perjanjian LTC 2012-2014 dan mengikut harga sebenar gula mentah. Andaikan kos pengeluaran menjadi gula yang ditapis adalah konstan iaitu sebanyak USD0.18 per paun (merujuk kepada kos pengeluaran MSM - 2012). Oleh itu, harga satu paun gula yang telah ditapis (mengikut harga mentah LTC) adalah USD0.44 per paun manakala harga gula yang telah ditapis jika menurut harga gula mentah semasa pada bulan September 2013 hanyalah sebanyak USD0.356 per paun. Jika ditukar mengikut unit mata wang Ringgit Malaysia (katakan USD1 = RM3.06) dan unit kilogram (100 paun = 45.3592 kg), maka kita akan mendapati harga gula yang telah ditapis menurut LTC 2012-2014 adalah RM2.96 sekilo atau sekitarnya kerana perubahan USD ke RM yang tidak konstan sepanjang masa. Manakala harga gula yang telah ditapis mengikut harga gula mentah September 2013 pula hanyalah sebanyak RM2.40 sekilo.
Bayangkan betapa besarnya negara kita mengalami kerugian dek kerana ramalan kerajaan yang tidak tepat berkenaan harga gula mentah dunia. Adakah kita tidak boleh menyalahkan kerajaan walhal kerajaan (dengan adanya cerdik pandai ekonomi dan industri) sangat mampu menggerakkan satu jabatan didalam yang berfungsi membuat kajian dan pembangunan (R&D) dalam memastikan harga yang paling sesuai sebelum ianya digazetkan dalam perjanjian?
Tambahan lagi, menurut laporan tahunan MSM 2012, MSM sebagai pemain terbesar industri gula di Malaysia telah berjaya mencapai jumlah pendapatan sebanyak RM2.3 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM202 juta. MSM telah mengeluarkan kira-kira 900,620 tan metrik gula halus pada 2012 yang merupakan 57 peratus daripada jumlah pengeluaran gula di Malaysia. Apakah kerajaan akan mengarahkan MSM mengurangkan pengeluaran (yang mengakibatkan keuntungan pada tahun berikutnya berkurangan) sebagai langkah sokongan kepada kempen anti-diabetes dan kempen pengurangan pengambilan gula seperti yang dihikayatkan dalam Bajet 2014? Sudah tentu tidak. Bahkan MSM sendiri meletakkan sasaran untuk meningkatkan jumlah pengeluaran gula sehingga 36 peratus kepada 1.5 juta tan menjelang 2016.
Jadi apakah maksud perdana menteri menyatakan penyakit diabetes perlu dibendung dan sehubungan dengan itu kerajaan memansuhkan subsidi gula dalam perutusannya? Tidak lain tidak bukan hanyalah sekadar satu penghinaan kepada intelektualisme kami rakyat marhaen Malaysia. Apakah kerajaan berasa sangat mudah menipu kami rakyat jelata? Mungkin pada pandangan kerajaan,kami rakyat yang telah lama ditindas tidak pandai mengira harta berjuta-juta kerana hanya ada syiling-syiling lama dan habuk debu sahaja dalam poket seluar kami. Namun, kami warga marhaen mengingatkan kerajaan, kami mungkin boleh ditindas, tetapi kami tidak sesekali boleh ditipu dan dipermainkan!
Sangat jelas di sini bahawa punca utama yang menyebabkan pengurangan subsidi (kenaikan harga) gula bukanlah disebabkan kebimbangan serius kerajaan terhadap peningkatan jumlah pengidap diabetes di Malaysia. Apa yang sebenarnya berlaku adalah lebih kepada mengambil kesempatan ke atas alasan tersebut bagi menutup segala kebodohan dalam mentadbir urus harta kekayaan negara. Mungkinkah selepas ini harga kereta akan dinaikkan dengan alasan bagi mengurangkan kesesakan yang melimpah di jalan raya? Tidak mustahil ini akan berlaku kerana kerajaan langsung tidak menyebut tentang janjinya mengurangkan harga kereta dalam Bajet 2014. Ya, semuanya boleh berlaku di Malaysia. Andai marhean tidak suka, wajarlah mengambil buku merah dan terbang ke benua lain sebagai penutup segala cerita.
Bagi saya, alasan diabetes adalah satu pembodohan dan kelakar. Tetapi lebih kelakar lagi, saya tidak dapat melihat taring ulama muda Umno yang pada sangkaan saya sentiasa berjiwa kental dalam memberikan komen. Saban hari selepas ucapan 25 Oktober 2013, saya menanti respons mereka di hadapan TV3 dengan harapan ada berita yang bertajuk "kenaikan gula ketentuan Allah (baca Tuhan bagi non-muslim Semenanjung)". Di manakah mereka tatkala pemimpin mereka mengatakan diabetes disebabkan gula dan penawarnya adalah menaikkan harga? Sikap berdiam diri ini menyebabkan saya tertanya-tanya, apakah kemenangan dalam pemilihan telah menggadaikan segala prinsip yang selama ini dipegang? Maafkan saya wahai ILMU, bukan niat ingin menyindir, hanya sekadar terkenangkan "harga naik ketentuan Tuhan".
Penulis merupakan calon ijazah doktor falsafah dalam bidang Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Riuh isu Serdang Perdana, sembunyi Kg Chubadak
Selangorku, | 02 Nov 2013 |
Beliau berkata, selain dipercayai bagi menjejaskan imej Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR), tindakan itu juga mampu menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.
Tian Chua menegaskan, media arus perdana didapati cuba menyembunyikan isu perobohan rumah di Kampung Chubadak, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kerana bimbang menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Isu di Serdang Perdana ini sengaja disensasikan dengan perspektif perkauman untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Selangor, tetapi nasib penduduk Kampung Chubadak langsung tidak disentuh,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak merobohkan binaan haram sebuah restoran selepas mendapat aduan daripada orang awam, di Serdang Perdana, pada 28 Oktober lalu.
Binaan haram yang disewakan kepada peniaga warga asing itu didapati terletak berhampiran pusat membeli-belah dan laluan utama sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya serta pejalan kaki di kawasan itu.
Mengulas isu Kampung Chubadak, Tian Chua memberitahu ketika ini pihaknya sedang memantau perkembangan kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan rumah penduduk Kampung Chubadak.
Katanya, dua buah rumah sudah dirobohkan minggu lalu, manakala kira-kira 200 buah rumah lain dijangka bakal mengalami nasib sama.
Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR berkata, DBKL seharusnya mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk menentukan tempoh perpindahan dan nilai pampasan yang sewajarnya.
“Sehingga kini, DBKL masih belum menjawab persoalan yang dibangkitkan termasuk tidak memberitahu pemaju yang bakal memajukan kampung terbabit,” katanya.
Berapa banyak penyamun, pengawal samun kedai emas pula
Harakahdaily, | 01 Nov 2013 |
Kejadian semalam apabila sebuah kedai emas di pusat membeli belah KL Festival, Setapak disamun pengawal keselamatan yang menjaganya menambah lagi koleksi pengawal keselamatan yang ‘memakan tuannya’.
Sebelum ini seorang pengawal keselamatan menembak mati dan menyamun sebuah bank di USJ Sentral 2, Subang Jaya. Lelaki tersebut dipercayai memiliki Mykad palsu berjaya melarikan diri tanpa dikesan sehingga sekarang.
“DPPM melihat kes ini amat serius dan perlu diambil tindakan segera,” ujar Ketua Penerangannya, Dr Riduan Mohd Nor.
Katanya, syarikat terbabit perlu bertanggungjawab di atas kejadian tersebut dan menjelaskan bagaimana kakitangannya boleh terlibat melakukan jenayah.
Jika perlu, kata beliau syarikat tersebut boleh ditamatkan perkhidmatan, digantung lesen, disaman, dan lain-lain tindakan tegas sebagai peringatan kepada mereka.
Tambahan pula, ujar beliau siasatan atau kajian menyeluruh perlu dibuat berkenaan modus operandi jenayah terancang seperti ini.
“Apakah penjenayah sudah memasuki fasa terbaharu dengan menukar strategi dan modus operandi mereka dalam melakukan sesuatu operasi jenayah?
“Mungkinkah penjenayah bergerak melalui platform rasmi serta mempunyai pakaian uniform seperti pengawal keselamatan untuk melakukan jenayah terancang?” soal beliau dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mereka sanggup bersabar berulan-bulan atau bertahun lamanya dengan memasuki kursus latihan, mendapatkan lesen, membuat Mykad palsu, serta menjalankan tugas sama seperti pengawal keselamatan yang lain semata-mata merancang sesuatu jenayah yang begitu strategik.
Justeru, ujarnya DPPM berpendapat pasukan keselamatan seperti Polis, Rela, tentera dan lain-lain perlu dikerahkan untuk memantau pergerakan pengawal keselamatan di mana-mana premis penting.
Selain menggunakan kamera litar tertutup, kata beliau pemantauan perlu dibuat setiap masa sama ada secara sedar atau tidak bagi mengelakkan pengawal keselamatan melakukan jenayah di sesuatu lokasi dan tindakan pencegahan yang pantas terhadap kegiatan jenayah yang dilakukan.
Tambahnya, pengawal keselamatan dibekalkan senjata api untuk mengawal premis penting namun mereka juga boleh membahayakan nyawa orang lain sekiranya mereka melakukan sesuatu di luar batasan undang-undang.
“Tidak ada siapa mampu mencegah kegiatan mereka andai mereka nekad melakukan jenayah,” ujarnya lagi.
Justeru, kata beliau pasukan keselamatan yang bertugas memantau dan memerhatikan pergerakan mereka sepanjang masa boleh menjadi sebab penjenayah berfikir panjang sebelum melakukan jenayah.
Mungin juga, ujarnya lagi penjenayah terpaksa menukar strategi lain pula sekiranya pergerakan mereka sudah dapat dihidu oleh pasukan keselamatan negara.
P Pinang tangguh Merdeka Ride ® Jambatan Kedua
Harakahdaily, | 01 Nov 2013 |
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola program berkenaan, Datuk Farizan Darus dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan dengan penangguhan tersebut, katanya para peserta yang telah mendaftar untuk menyertai Program Merdeka Ride ® Jambatan Kedua Pulau Pinang boleh membuat pilihan untuk terus kekal menyertai program pada tarikh yang akan ditetapkan kelak, mendermakan keseturuhan bayaran penyertaan tersebut kepada penganjur selaras dengan hasrat program ini yang merupakan program kebajikan atau untuk tidak menyertai program ini tetapi mengambil jersi.
Katanya, program itu adalah sebahagian daripada program perasmian Jambatan Kedua di bawah naungan Yang di-Pertua Negeri dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Lions Clubs of Penang Host serta Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB).
Tambahnya, tujuan program itu adalah untuk kayuhan amal yang akan disumbangkan kepada beberapa badan kebajikan yang ada di Negeri Pulau Pinang termasuk Tahung Bencana Alam TYT.
Katanya, segala kesulitan amatlah dikesali dan Jawatankuasa Penganjur amat berharap bahawa penyertaan kesemua peserta yang telah mendaftar dapat diteruskan atas semangat untuk memberi sumbangan kebajikan kepada Badan-Badan Amal yang ada di Negeri Pulau Pinang termasuk sumbangan kepada Tabung Bencana Alam Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan