Jumaat, 3 Ogos 2012

SELAGI HUDUD TIDAK DILAKSANAKAN...MASALAH ROGOL.....MURTAD...TAK SOLAT..CURI ...MINUM ARAK DLL...MALAH TURUNNYA BALA DARI ALLAH TAK KAN DAPAT DISELESAIKAN...PENGUASA MACAM TAK MINAT NAK LAKSANAKAN HUDUD

Gadis Pertikai Hukum Allah Diberi Balasan Serta Merta

Posted on the August 3rd, 2012 under Agama by admin

  • Share

Sebagai seorang hamba Allah, kita perlu tahu bahawa kita adalah insan yang lemah dicipta oleh Allah SWT. Maka jika Allah berkehendakkan sesuatu, maka Dia akan berikan kepada siapa yang dikehendakinya. Di bawah ini terdapat sebuah kisah yang melibatkan seorang gadis. Gadis ini mempunyai imej yang bukan seperti seorang Islam. Ikuti kisah apakah yang menyebabkan gadis ini diberi balasan oleh Allah SWT.
Pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walaupun tinggal di bumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.
Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu, ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya: “Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki…. ” nasihat orang tua itu.



Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: “Siapalah kamu hai orang tua? Adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihatiku?Apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badan ku di khalayak ramai?Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?”
Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. ” Jika ISLAM itu BENAR, tempatkan bilikku di Neraka, Ambil handphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku,” katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.
Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis manis. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.
Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri. Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat. Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.
Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na’uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.
Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul ‘alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan.
Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut . Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang pemilik yang menjadikan bumi ini.
Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t. taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan agar Dia memberikan kekuatan agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amin.Kisah ini dikongsikan dan diceritakan bersama oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan sana.
Jangan ingat sekiranya kita melakukan maksiat, kita seperti merasakan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Allah SWT sentiasa menerima taubat bagi sesiapa yang mahu bertaubat denganNya. Namun, jika engkar, Allah SWT sudah menyediakan neraka bagi hambaNya yang kufur.
Sumber: Melayukini


Norman Hakim Sebak Lihat Memey & Abby Berpelukan

Posted on the August 3rd, 2012 under Artis by admin

  • Share

PETALING JAYA: Insiden Memey Suhaiza dan Abby Abadi berpelukan sambil menangis merupakan saat paling bermakna apabila kedua-dua mereka mahu menamatkan persengketaan yang terjadi selama ini.
Norman Hakim berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia bersama isterinya, Memey mahu mengambil anak-anak yang berada bersama Abby di sebuah lokasi di Shah Alam.
“Ketika itu tujuan saya dan Memey ke Shah Alam bertujuan untuk ambil anak-anak saya yang pada waktu itu dengan Abby. Kalau nak ikutkan sejak sekian lama saya dan Abby agak jarang berkomunikasi apatah lagi Memey.



“Dan apabila sampai di lokasi itu, tiba-tiba Abby menarik tangan Memey dan memeluknya sambil menangis.
“Saya agak terkejut dan semua senyap seketika. Anak-anak pula menjerit ‘yeay! Mummy dan mama dah baik!”. Terasa macam filem Hindustan pula. Ia adalah satu keajaiban sebenarnya yang penuh bermakna dalam bulan Ramadan ini,” ceritanya ketika dihubungi mStar Online di sini petang Khamis.
Tambah Norman, keadaan itu juga membuatkan dia begitu sebak dan bersyukur kerana doanya untuk melihat bekas isteri dan Memey menghapuskan sengketa terlaksana dan seterusnya dapat menyatupadukan keluarga.
“Saya ada juga tanya kepada mereka, apa yang membuatkan kedua-duanya kembali berdamai? Mereka cakap ‘ ini rahsia perempuan’.
“Apa-apa pun saya bersyukur kepada Ilahi tiada lagi persengketaan antara kami dan yang paling gembira semestinya anak-anak. Anak sulung saya, Danish siap bergurau dan berkata, kalau mama dan papa kahwin, Danish nak jadi pengapit,” tuturnya.
Menceritakan pula detik mereka berbuka puasa bersama-sama di rumah Abby pada Rabu lalu, Norman telah menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) meminta kebenaran untuk berbuka puasa di rumah Abby dan dia tidak mempunyai masalah tentang hal itu.
“Rasa seronok sangat dapat berbuka puasa bersama-sama. Abby dan Memey juga rancak berbual mengenai bayi di dalam kandungan Memey yang berusia dua bulan itu.
“Selepas itu, Abby telah menghadiahkan sepasang telekung kepada Memey sebelum kami menunaikan sembahyang jemaah Maghrib bersama,” tuturnya.
Ditanya adakah perdamaian itu membuka jalan untuk Norman mengambil semula Abby sebagai isteri, pelakon itu hanya menyerahkan perkara tersebut kepada takdir.
“Saya tak tahu nak cakap apa. Lagipun saya tak tahu apa status Abby sekarang ini. Cuma saya mengharapkan yang terbaik selepas ini dan akan sentiasa berdoa serta berusaha untuk menjaga keharmonian keluarga.
“Memey pula sangat fleksibel dengan saya. Malah, dengan apa yang telah dilakukannya sekarang ini (berbaik dengan Abby) adalah satu pengorbanan besar sebagai isteri.
“Bagaimanapun, saya dan Memey ada merancang untuk menunaikan umrah bersama-sama Abby. Itu pun selepas Memey bersalin pada Februari tahun depan,” katanya.
Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3.
Mereka bercerai pada 18 Disember 2008.
mStar
Ibu, anak ditahan mabuk di pusat hiburan
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
KUALA TERENGGANU  –  Memalukan! Seorang ibu bersama anak gadisnya bukan sahaja tergamak mencemari kesucian Ramadan dengan berhibur di sebuah pusat hiburan, malah mereka dengan tidak rasa bersalah meneguk minuman keras di tingkat empat Plaza Perdana, di sini, awal pagi semalam.

Aktiviti maksiat kedua-dua beranak itu yang tinggal di Rumah Pangsa Bukit Depu, Kuala Ibai, di sini, terbongkar apabila mereka antara 52 pengunjung yang ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda Bulan Ramadan’ oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama anggota Penguat kuasa Syariah Kuala Terengganu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, ‘si ibu’ yang berusia 34 tahun dan si anak 16 tahun ditangkap ketika sedang asyik menuang minuman keras sambil berhibur dengan dikelilingi lelaki bukan muhrim, rata-rata dalam kalangan buruh dan nelayan.

Kedua-dua beranak itu yang berpakaian menjolok mata ditahan bersama lima wanita dan tujuh lelaki di bawah Seksyen 23 (1) Enakmen Jenayah Syariah Takzim Negeri Terengganu 2001 atas kesalahan minum minuman memabukkan.

Turut ditahan, seorang pondan berusia 32 tahun atas kesalahan memakai pakaian dan menyamai perempuan di tempat awam.

Siasatan awal mendapati, dua beranak itu yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan sebelum ini pernah ditahan beberapa kali atas kesalahan sama dan didapati tidak pernah insaf.

Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berhubung terdapat premis yang membenarkan remaja bawah umur masuk dengan menawarkan pakej serendah RM10 sahaja jika tidak mahu minum minuman keras di samping turut menjalankan urus niaga lebih masa.

Dalam serbuan itu juga, beberapa botol minuman keras dan gelas minuman keras turut dirampas sebagai barang kes manakala tiga pekerja premis terbabit yang beragama Islam serta pemiliknya turut ditahan atas kesalahan menyediakan dan menjual minuman keras kepada orang Islam.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian semalam mengesahkan tangkapan dan operasi berkenaan.
Pembantu rumah dakwa dirogol majikan
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Pembantu rumah dakwa dirogol majikan
Mangsa membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya
KULIM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 28 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kulim kira-kira jam 2.30 pagi kelmarin setelah mengadu dirogol oleh majikannya.

Mangsa yang datang ke Malaysia pada 15 Mei lalu dijanjikan gaji bulanan RM500 sebulan bagaimanapun tidak menerima sebarang bayaran sehingga hari ini.

Menurut mangsa, sepanjang tinggal bersama majikannya, dia telah dirogol sebanyak tiga kali dan kejadian berlaku ketika isteri suspek dan anaknya yang sudah bersekolah tiada di rumah.

“Kejadian berlaku pada Ahad, ketika itu isteri dan anaknya tiada di rumah. Isterinya bekerja sebagai seorang guru sekolah manakala anaknya bersekolah dalam tingkatan empat. Apabila kedua-dua mereka keluar dari rumah, hanya tinggal saya dan suspek sahaja di rumah.

"Suspek kemudian menghampiri saya dan memuji saya cantik sebelum bertindak agresif terhadap saya. Suspek meminta saya melayani kehendak seksnya tetapi saya enggan berbuat demikian. Suspek naik berang dan mengugut untuk membunuh saya sekiranya tidak mahu melayani kemahuan seksnya,” katanya.

Mangsa berkata, kali terakhir dia dirogol dua minggu lalu. Bagaimanapun Ahad lalu suspek sekali lagi cuba merogolnya tetapi dia memaklumkan kepada suspek kesan luka yang terdapat pada kemaluannya masih belum sembuh dan sakit.

Katanya, perlakuan itu berlaku beberapa kali sehingga dia mengambil keputusan untuk melarikan diri dari rumah majikannya dan meminta bantuan dari jiran berhampiran sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan.

Sementara itu. Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, suspek sudah ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan terhadap laporan dibuat mangsa.
Ibu terkilan ditipu perancang perkahwinan
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
JOHOR BAHRU – Seorang ibu meluahkan rasa terkilan apabila hasratnya untuk mengabadikan gambar perkahwinan dua anaknya tidak kesampaian selepas ditipu perancang perkahwinan.

Penjawat awam yang ingin dikenali sebagai Habibah berkata, dia melanggan dua pakej perkahwinan merangkumi pelamin dan foto untuk dua anak lelakinya dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM6,200.

Menurutnya, pakej foto perkahwinan yang berharga RM2,700 dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan antaranya bingkai, album gambar, cakera padat (CD) dan ‘storyboard’.

Habibah berkata, bagaimanapun selepas tiba masanya, dia hanya diberikan dengan tiga album biasa berserta foto tidak seperti yang dijanjikan dalam tawaran.
Menurutnya, tindakan sedemikian menguburkan hasratnya mengabadikan gambar kenangan majlis perkahwinan yang julung kali diadakan dalam keluarganya.

Presiden TTPM, M Suppiah telah mengeluarkan perintah mengarahkan syarikat berkenaan membayar balik jumlah keseluruhan pakej foto perkahwinan sebanyak RM2,700 kepada pihak yang menuntut dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.
Mayat lelaki ditemui tertiarap
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Mayat lelaki ditemui tertiarap
Polis menjalankan siasatan ke atas mayat mangsa yang ditemui berdekatan kawasan bekas lombong dekat Kampung Telaga Cina.
KUALA MUDA – Seorang lelaki warga Myammar ditemui mati dalam keadaan tertiarap berdekatan kawasan lombong dekat Kampung Telaga Cina di sini kira-kira jam 3 petang semalam.

Mangsa, Saw Ngein, 39, ditemui dalam kawasan semak kecil dalam lopak air berdekatan bekas lombong lengkap berpakaian ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala.

Mayatnya didapati tertiarap di mana bahagian mukanya tersembam ke permukaan air dengan kesan lumpur kelihatan di seluruh bahagian badan.

Selain itu, tapak kaki mangsa turut kelihatan bewarna kehitam-hitaman seperti terpijak kawasan berminyak.

Difahamkan, kepala mangsa turut terdapat kesan tetakan dan kesan darah turut kelihatan di atas permukaan tanah tidak jauh dari mayat mangsa ditemui.

Penduduk, Chang Keng Kok, 36, berkata, kawasan berkenaan menjadi tumpuan kaki pancing setiap hari memandangkan berdekatan dengan Pekan Semeling.

Menurutnya, operasi melombong pasir turut terdapat di kawasan itu selain menjadi laluan setiap hari penternak ayam dan lembu yang menggunakan jalan berkenaan ke kawasan penternakan.

Kek Kok berkata, terdapat ramai warga asing yang bekerja di kawasan sekitar namun tidak mengenali mangsa.

“Saya dengar dari penduduk kampung sahaja mengatakan akan terjumpa mayat lelaki di sini dan sebaik sahaja dimaklumkan, terus datang untuk melihat keadaannya,” katanya.

Dia berkata, sebaik sampai ke lokasi kejadian, dia ternampak orang ramai mengerumuni lokasi kejadian di mana mayat seorang lelaki ditemui kemungkinan akibat dibunuh.

Sementara itu,  Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis masih menjalankan siasatan dan punca serta masa sebenar kejadian masih disiasat.

“Kita hanya akan perolehi maklumat setelah proses bedah siasat selesai dijalankan dan sehingga kini polis masih mengumpul maklumat dari segala aspek bagi membantu siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pesong akidah remaja miskin
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Pesong akidah remaja miskin
Pelancong asing turut menemui Pengerusi IPSI , Kamaruddin Abdullah (kiri) bagi mendapatkan penerangan mengenai agama Islam di sekitar Masjid Kapitan Keling.
GEORGETOWN – Laporan Sinar Harian mengenai sekumpulan remaja dihasut murtad ketika berbuka puasa semalam mendapat reaksi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini.

Dakyah bertujuan memesongkan akidah umat Islam itu dipercayai sudah semakin terbuka dan meluas di negeri ini, malah sebuah rumah pangsa di Padang Tembak di sini dipercayai menjadi lokasi sekumpulan individu bergerak aktif cuba memesongkan akidah umat Islam.

Perkara itu didedahkan sendiri Setiausaha Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) Pulau Pinang, Nursyazwani Bukhori.

Menurutnya, rumah yang menjadi pusat operasi memesongkan akidah umat Islam itu berselindung di sebalik kerja kebajikan buat remaja yang kurang mendapat kasih sayang.
“Mereka mengambil kesempatan ke atas remaja Islam yang ibu bapa mereka balik lewat malam kerana bekerja dan yang tidak mendapat kasih sayang secukupnya.
“Mereka ini akan memasak makanan dan menyediakan tempat tidur kepada remaja berkenaan. Pada masa sama, kesempatan ini akan digunakan untuk mempengaruhi secara halus kalangan remaja itu untuk berpaling daripada Islam," katanya.

Amal budaya tempatan taktik dekati sasaran

Nursyazwani berkata, pendekatan yang diambil kumpulan ini dilihat semakin berani dan  terbuka, malah sanggup mengamalkan budaya tempatan supaya fahaman mereka lebih mudah meresapi golongan sasaran ini.

Menurutnya, antara taktik yang digunakan ialah penyebar agama berkenaan akan memakai baju kurung untuk mudah menambat hati orang Melayu.

“Kita mungkin berasa bangga melihat orang asing memakai baju kurung sedangkan mereka sebenarnya ada agenda lain yang tersembunyi. Mereka juga cuba mempelajari Bahasa Melayu untuk memudahkan pergaulan.
“Bukan itu sahaja, beberapa cara untuk menarik remaja kita khasnya dalam kalangan mereka yang masih lemah pegangan agama ialah menggunakan perkataan agama Islam sendiri antaranya ALLAH SWT dan penggunaan kitab," katanya.
Ketika ditanya mengenai penyebaran dakyah sehingga di pusat membeli belah terkemuka sekitar Georgetown, IPSI juga mengakui ada menerima aduan sedemikian.
Nursyazwani mengakui ada lelaki asing yang akan mendekati umat Islam berbuka di sebuah restoran makanan segera.

“Apa yang dapat dilakukan oleh kami ialah mewujudkan satu bahagian di dalam IPSI bagi menyiasat perkara sedemikian, namun NGO lain perlu turut sama memantau perkara ini daripada menjadi makin meruncing," katanya.
“Kita juga tidak boleh menyalahkan penyebar dakyah ini sahaja, kerana mereka mengambil kesempatan terhadap kelemahan kita, jadi kita sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk menyelesaikannya,” katanya.

Terdengar sendiri hasutan

Timbalan Pengerusi 2 Pertubuhan Aktivis Pengupayaan Insan Malaysia (ApiPenang), Asti Toba antara individu yang mendengar sendiri dua lelaki asing menghasut seorang pengayuh beca yang beragama Islam untuk memeluk agama mereka.
Asti berkata, perkara itu disedarinya ketika membuat kiraan data kumpulan gelandangan sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling.

Menurutnya, pelancong berkenaan pada mulanya sekadar bertanya mengenai kawasan Masjid Kapitan Keling tetapi lama kelamaan berubah topik perbualan.

“Setelah kami menjauhi pakcik beca berkenaan saya sendiri mendengar mereka sedang menyampaikan dakyah berkenaan, tetapi masih kurang jelas, namun kami bernasib baik kerana selepas solat Maghrib pakcik berkenaan menunggu kami.

“Dia menceritakan semua yang terjadi dan nampak ketakutan. Lelaki asing itu memaksa pakcik beca mengaku tuhannya adalah benar dan Nabi Muhammad SAW salah. Mereka juga berjanji membawa pakcik berkenaan ke pusat agama mereka keesokannya.

“Tetapi pakcik itu tidak datang ke tempat biasanya kerana takut dijumpai lelaki asing itu,” katanya.
Ibu muda mohon bantuan
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Ibu muda mohon bantuan
Mohd Aiddil Idham yang kini ditahan di IJN dijangka akan menjalani pembedahan membetulkan saluran darah ke jantung yang terbalik dalam tempoh tiga minggu lagi.
KEMAMAN –  Seorang ibu muda buntu memikirkan cara untuk membiayai kos pembedahan anak sulungnya yang menghidap masalah saluran darah ke jantung terbalik sejak dilahirkan pada 23 Julai lalu dan kini ditahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Wan Norshafieka Wan Shaharuddin, 18, berkata, bayinya Mohd Aiddil Idham Mohd Faizal Azuan, 10 hari, itu dilahirkan secara normal di Hospital Kemaman pada 23 Julai lalu, namun ketika menerima suntikan beberapa jam selepas dilahirkan, tubuh bayi itu secara tiba-tiba bertukar menjadi biru-kebiruan.

Wan Norshafieka yang masih berpantang di rumah ibunya di Kampung Mak Lagam di sini berkata, bayinya itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada sebelah petangnya sebelum keesokannya dihantar pula ke IJN.

“Petugas hospital kemudian merujuk bayi saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dan doktor mengesahkan bayi saya mengalami masalah jantung dan menerbangkan anak saya ke IJN dengan ditemani suami.

“Ketika tiba di IJN, rawatan laser dilakukan ke atas bayi saya untuk pecahkan saluran darah dan doktor memberitahu pembedahan akan dilakukan dalam tempoh tiga minggu untuk membetulkan kembali saluran darah ke jantung anak saya yang terbalik ini. Kos pembedahan nanti dianggarkan berjumlah RM20,000.

“Sehingga sekarang perkembangan bayi saya dipantau doktor dan sekiranya keadaannya stabil baru boleh dibedah. Kos rawatan laser baru-baru ini adalah sebanyak RM6,000 tetapi kami masih belum buat pembayaran penuh dan hanya mampu memberi pendahuluan sebanyak RM300," katanya.

Katanya, suaminya, Mohd Faizal Azuan Mahamood, 20, menjaga bayi mereka itu di IJN memandangkan dirinya dalam pentang bersalin dan terbatas dari segi pergerakan.

Menurutnya, suaminya hanya bekerja secara kontrak dan pendapatan tidak menentu sekitar RM700 sebulan, sementara dia pula tidak bekerja menyebabkan mereka tidak mampu untuk menanggung kos pembedahan.

“Mahu mengharapkan pertolongan keluarga pula, mereka juga bukan orang senang dan hanya boleh membantu sekadar termampu sahaja. Ayah saya juga hanya bekerja kampung,” katanya.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang  bersimpati dan mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Wan Norshafieka di talian 010-5797168 atau menyalurkan sumbangke akaun miliknya iaitu 120301000015289 bagi akaun Lembaga Tabung Haji atau 2006521000043166 (Agro Bank).
Ibu gadai nyawa tiap hari
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Ibu gadai nyawa tiap hari
Rokiah sedang memproses daun palas untuk dipasarkan menjelang perayaan akan datang.
RANTAU PANJANG - Seorang ibu di sini, terpaksa bergadai nyawa setiap hari demi membesarkan enam anaknya sejak 35 tahun lalu.
Rokiah Isamil, 59, berkata, pekerjaannya mencari dan membekalkan daun palas bukanlah perkara mudah memandangkan daun palas ini terdapat di kawasan semak.

"Sepanjang tempoh 35 tahun ini, banyak risiko yang terpaksa dihadapi. Saya pernah dibelit ular sudu selar kerana terpijaknya ketika sedang mencari daun palas.
"Alhamdulillah saya terselamat dan saya tetap teruskan kerja hingga kini," katanya.

Menurutnya, walau kini anaknya sudah mencecah umur antara 25 hingga 43 tahun, dia tetap meneruskannya.

"Tidak pernah timbul rasa jemu dalam diri kerana itulah kerja yang dilakukan selama ini untuk membesarkan mereka," katanya.

Rokiah berkata, permintaan terhadap daun palas meningkat menjelang musim perayaan memandangkan orang ramai menggunakannya membuat ketupat.

"Hari biasa saya cuma hantar 1,000 pelepah seminggu ke Wakaf Che Yeh. Namun, menjelang raya, jumlah ditingkatkan.

"Tahun lalu sahaja, saya jual sekitar 5,000 pelepah dan akan cuba meningkatkannya kepada 10,000," kata nenek kepada enam cucu ini.

Dia berkata, antara lokasinya mencari daun palas ialah sekitar Lubok Jerak dan Gual Dalam.

"Bagaimanapun, kawasan mencari daun palas semakin berkurangan membuatkan saya melebarkan pencarian ke beberapa kawasan lain bagi mendapatkan bekalan mencukupi," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai harga yang ditetapkan, Rokiah berkata, ia berbeza dari harga sekitar 35 tahun lalu.

“Daun ini dijual mengikut gred antara RM18 hingga RM25 berbanding sekitar RM3 untuk 100 pelepah, 35 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Menurutnya, setelah diproses, daun palas itu akan dihantar ke Wakaf Che Yeh, Machang dan Tanah Merah, iaitu lokasi baru sempena bulan Ramadan.

“Namun, pada hari biasa, saya hanya menjual di Pasir Mas dan Wakaf Che Yeh sahaja,” katanya.
Kereta pemain KL terbakar
NOOR AZLIDA ALIMIN
3 Ogos 2012
Kereta pemain KL terbakar
Anggota Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, berusaha memadamkan kebakaran melibatkan kereta Proton Waja, yang terbabas selepas cuba melarikan diri daripada pihak polis, semalam.
PASIR MAS – Seorang wanita berusia 20-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun pada jam 2 pagi di Kampung Galok, Chetok semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, wanita ini ditahan selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbakar setelah melanggar lampu jalan.
Katanya, wanita yang berasal dari Pasir Puteh itu ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak, namun dua lagi rakannya berjaya meloloskan diri.
“Sepasukan polis dari cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen membuat rondaan dan mendapati ketiga-tiga individu ini berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kita mengekori dan menahan mereka di ke Kampung Kubang Bemban, namun suspek kemudiannya memecut serta hampir melanggar anggota berkenaan,” katanya, semalam.
Menurutnya, bagi menghalang perbuatan suspek, tembakan dilepaskan di bahagian tayar menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di bahu jalan.
Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat pemotong besi, parang dan pengumpil besi di dalam kenderaan berkenaan.
Menurutnya, kenderaan berkenaan milik pemain bola sepak Liga Super Kuala Lumpur yang dipinjamkan pasukan Kelantan yang dipercayai curi sebelum ini.
“Pemiliknya, membuat laporan polis berhubung kehilangan kenderaannya, selepas menyedari kereta yang diparkir di Kelantan Trade Centre(KTC) Kota Bharu, hilang sehari sebelum kejadian.
“Siasatan dijalankan mengikut Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 379a/411 kerana memiliki kenderaan curi; Seksyen 6 kerana memiliki senjata merbahaya dan Seksyen 28 Kesalahan Kecil kerana memiliki peralatan pecah rumah,” katanya.
Yong Heng berkata, saksi diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini.
Bas terbalik, sembilan nyaris maut
Wartawan Sinar Harian
2 Ogos 2012
Bas terbalik, sembilan nyaris maut
Kedudukan bas ekspres yang melintang menghalang laluan setelah terbalik
ALOR GAJAH - Sembilan termasuk seorang pemandu nyaris maut apabila bas ekspres dinaiki terbalik di Jalan Pegoh-Jelatang, berhampiran persimpangan lampu isyarat di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 petang itu, bas dipandu Mohd Zabri Ali, 44, dari arah Simpang Ampat menuju ke Melaka Sentral hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

Mohd Zabri berkata, dia gagal mengawal stereng selepas lampu isyarat bertukar merah.

"Saya cuba tekan brek bila lihat lampu isyarat merah tetapi brek gagal berfungsi dan saya terpaksa memaut stereng ke susur kiri untuk mengelak merempuh kenderaan yang sudah bergerak dari arah pekan Alor Gajah menuju ke Jelatang.

“Keadaan bas terhuyung- hayang dan terus terbalik ke kanan menghalang laluan jalan raya. Saya dan semua penumpang segera selamatkan diri kerana bimbang bas terbakar," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Robert Edmund, 49, berkata, dia terkejut apabila menyedari pemandu bas menekan brek mengejut ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat sebelum stereng dipaut ke kiri dan bas kemudiannya terbalik ke kanan.

“Ketika bas menghala laju ke susur kiri, saya dapat agak bas akan terbalik berdasarkan pengalaman bekerja sebagai pemandu bas kilang,” katanya.

Menurutnya, semua penumpang menyelamatkan diri dengan keluar menggunakan cermin hadapan bas yang dipecahkan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, bas ekspres terbabit dari Terminal Seremban menuju ke Melaka pada jam 6.30 petang tetapi hilang kawalan apabila tiba di persimpangan lampu isyarat. “Tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Alor Gajah sebagai pesakit luar,” katanya.
Tragedi selepas berbuka puasa
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Tragedi selepas berbuka puasa
Keadaan motosikal mangsa yang remuk.
ALOR GAJAH - Seorang remaja lelaki nyaris maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh paip pembetung menyebabkan batu penahannya pecah, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira 8.15 malam berdekatan Klinik Kesihatan Masjid Tanah, di sini, apabila Mohd Zakuan Dzulkifli, 20, sedang dalam perjalanan dari pekan Masjid Tanah menuju ke Lubok Redan.

Mangsa yang menuntut di sebuah kolej di Kuala Sungai Baru baru selesai berbuka puasa bersama dua lagi rakan sekuliahnya di sebuah restoran makanan segera di pekan berkenaan, sebelum terbabit dalam kemalangan.

Rakan mangsa, Noratikah Shahrudin, 20, berkata, ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal sendirian bergerak awal, manakala dia dan seorang lagi rakan menaiki motosikal lain.

"Apabila saya melalui jalan berkenaan, saya dapati motosikal Mohd Zakuan sudah terselit antara pembetung dengan jambatan besi.

“Saya lihat Mohd Zakuan sudah tercampak ke tengah jalan dan mengerang kesakitan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Noratikah berkata, tidak lama selepas itu, sebuah ambulans dari klinik berdeka-tan tiba dan membawa mangsa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan susulan.

Menurutnya, dia difahamkan sebelum kejadian, mangsa menoleh ke belakang untuk melihat sama ada rakan yang mengekori ada di belakang. Namun, katanya, Mohd Zakuan gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke kiri jalan.

“Akibat rempuhan itu, motosikalnya remuk teruk. Sementara, besi pada paip pembetung itu pecah dan tercampak ke tepi jalan sebelah kiri.

“Mujur ketika dia tercampak ke tengah jalan tiada kenderaan lain dipandu laju," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Mohd Rizuan Rahmat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.20 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama tiga anggota lain.

Jurucakap Hospital Alor Gajah mengesahkan mangsa patah kaki kiri dan tangan kiri dan kini masih dirawat di hospital berkenaan.
Banjir lumpur terburuk
Wartawan Sinar Harian
3 Ogos 2012
Banjir lumpur terburuk
Antara barangan yang tidak sempat diselamatkan
Banjir lumpur terburuk
Keadaan di luar rumah Mariam yang dilanda banjir lumpur dalam kejadian pagi semalam.
PASIR PANJANG – Dugaan buat penduduk Kampung Batu 14, Pasir Panjang, di sini apabila 10 rumah dilanda banjir lumpur dalam satu kejadian yang berlaku pagi semalam.

Penduduk, Md Aris Jamaluddin, 67, berkata, sejak dia menetap di situ kira-kira 35 tahun lalu, ia adalah kejadian banjir paling buruk yang pernah dialaminya.
“Kita percaya, sistem perparitan tak sempurna selain terdapat kerja-kerja pembinaan lebuh raya. Ini disusuli hujan lebat selama hampir tiga jam menyebabkan banjir lumpur berlaku di sini.
“Kawasan ini biasa berlaku banjir tetapi kali ini lebih teruk apabila banjir lumpur turut memasuki rumah penduduk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, semalam.
Menurutnya, masalah banjir di kawasan tersebut sering dibangkitkan kepada pihak bertanggungjawab, namun hingga kini masih tiada langkah mengatasi diambil pihak berkenaan.
“Ini yang menimbulkan rasa kesal penduduk di sini. Setiap kali banjir, banyak kerugian yang terpaksa ditanggung selain membazir masa dan juga tenaga untuk membersihkan rumah.
“Jika sistem perparitan di sini tidak diselenggara secepat mungkin, tidak  mustahil dalam masa terdekat kejadian  banjir   lumpur  ini  akan berulang memandangkan sekarang musim hujan.
“Kejadian ini sebenarnya merupakan kali kedua berlaku sejak tiga minggu lalu, namun kali ini lebih teruk,” katanya.

Anggap ujian Ramadan

Sementara itu, menurut isterinya, Saleha Ahmad, 58, persiapan raya termasuk barangan elektrik banyak yang rosak akibat banjir kerana tidak sempat diselamatkan.

“Air masuk begitu laju sehingga saya tidak sempat menyelamatkan barang-barang untuk dibawa naik ke kawasan rumah yang lebih tinggi.

“Hujan mula turun sekitar jam 7.30 pagi kemudian lebat sekitar jam 10 pagi. Kira-kira satu jam kemudian, hujan berhenti dan air banjir berserta lumpur mula memasuki rumah.

“Keadaan pagi tadi (semalam) memang kelam kabut ditambah saya hanya tinggal berdua bersama suami dan cucu yang berumur tidak sampai setahun sementara anak sudah pergi kerja,” katanya.

Menurut Saleha, semua anak-anaknya yang tinggal di Melaka, Seremban dan Shah Alam terpaksa balik ke kampung untuk membantunya membersihkan rumah.

“Saya dan suami memang tidak mampu membersihkannya sendiri kerana lumpur turut memasuki bilik dan segenap ruang rumah.

“Namun, kami menerima dugaan  ini dengan sabar. Mungkin ini ujian yang diberikan oleh-Nya sempena Ramadan,” katanya sambil tersenyum.

Sedih kenangkan sambutan Aidilfitri

Seorang lagi penduduk, Mariam Haris, 35, memberitahu, ketika kejadian dia baru sahaja selesai mendapatkan rawatan Hospital Port Dickson.

“Tuan rumah menghubungi saya memaklumkan kejadian ini dan sebaik tiba di rumah, banjir lumpur telah memasuki kediaman hingga ke paras lutut dan semua barang terapung-apung.

“Memang banyak barang yang rosak, tetapi apa boleh buat benda dah nak berlaku. Sedih juga apabila mengenangkan sekarang ini bulan puasa dan Aidilfitri dah nak dekat,” katanya.
Menurutnya, sebelum dia keluar rumah untuk ke hospital, dia tidak menyangka hujan yang turun menyebabkan banjir sebegini buruk berlaku kerana kebiasaannya air hanya naik di kawasan perkarangan rumahnya.

JKM akan salur bantuan secepat mungkin

Sementara itu, itu Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daerah, Rahmat Sahat berkata, pihaknya akan menyalurkan bantuan pemulihan secepat mungkin kepada semua mangsa banjir terlibat.

Dalam pada itu, menurut sumber Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS), daerah, pihaknya telah mengenal pasti punca berlaku banjir dan akan menyegerakan operasi pembersihan sistem perparitan yang tersumbat di kawasan berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati kontraktor yang dilantik untuk kerja pembinaan lebuh raya telah menyelenggara sistem perparitan di jalan utama Batu 14, Pasir Panjang supaya banjir lumpur tidak terus mengalir ke kawasan rumah penduduk.
GRO sanggup menyorok bawah meja
SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN
3 Ogos 2012
Gadis-gadis terbabit berjaya dikesan walaupun menyorok di bawah meja yang sempit.
Gadis-gadis terbabit berjaya dikesan walaupun menyorok di bawah meja yang sempit.
BANDARAYA MELAKA - Tindakan lima gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) yang cuba menyorok di bawah meja untuk mengelak dikesan penguatkuasa tidak berhasil apabila ditahan dalam serbuan di sebuah kelab, malam kelmarin.

Cubaan mereka yang turut bersembunyi di sebalik sofa itu dapat dikesan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pejabat Imigresen negeri ketika menyerbu sebuah kelab yang terletak bertentangan dengan sebuah sekolah dekat Banda Hilir, kira-kira jam 11 malam.

Lima pelayan itu antara 35 ditahan dalam pemeriksaan dilakukan ke atas 40 wanita berpakaian seksi, dipercayai turut memberikan khidmat seks untuk pelanggan.

Timbalan Pengarahnya, Mohammad Azlan Jawawi berkata, serbuan dalam Operasi Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) itu disertai 18 anggota dan pegawai Imigresen bermula jam 11 malam hingga 2 pagi dalam dua serbuan berasingan.

“Seramai 40 GRO berusia 22 hingga 44 tahun diperiksa dan 35 daripadanya iaitu 19 warga China, 11 Vietnam, tiga Filipina dan dua warga Indonesia ditahan dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di negara ini.

“Risikan mendapati, kelab berkenaan turut menawarkan aktiviti tidak bermoral dan dengan bayaran RM150, pelanggan boleh membawa GRO yang dipilih ke satu lokasi lain,” katanya pada sidang media selepas operasi, awal pagi semalam.

Menurutnya, ada GRO yang bertindak seolah-olah tiada apa-apa berlaku, dipercayai bagi mengelirukan penguat kuasa kononnya mereka adalah rakyat tempatan.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerbu rumah pekerja sebuah ladang dekat Kesang Pajak, Jasin kira-kira jam 1 pagi sebelum menahan 15 lagi lelaki warganegara Indonesia.

“Ketika serbuan, semua 20 lelaki sedang tidur sebelum pemeriksaan dilakukan dan mendapati 15 daripadanya melanggar syarat pas, tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada permit sah dan bekerja dengan majikan lain daripada didaftarkan,” katanya.

Menurutnya, seramai 50 orang ditahan dalam dua serbuan itu disiasat di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963.

Sa’labah, si kaya yang kedekut

3 Ogos 2012
SA'LABAH bin Hatib, kehidupannya cukup sederhana, beliau adalah seorang lelaki yang taat menunaikan ibadah dan selalu berjemaah bersama Nabi Muhammad SAW. Kehairanan menerpa Rasulullah, apabila setiap kali usai solat, Sa’labah segera bangkit pulang ke rumahnya tanpa sempat bersalaman dan berzikir dengan jemaah lain.

Pada suatu hari, Rasulullah bertanya kepada Sa’labah.” Hai Sa’labah, "Mengapa engkau cepat bangkit dari duduk mu apabila selesai menunaikan solat bersama kami?”.

Lelaki itu menjelaskan kepada Rasulullah, beliau hanya mempunyai sehelai kain untuk solat. Beliau perlu cepat kembali ke rumah supaya kain yang dipakainya itu akan dipakai pula oleh isterinya untuk solat. Bagaimanapun, di sebalik ketaatannya itu, Sa’labah ada menyimpan sedikit perasaan ingin menjadi kaya. Berjumpalah Sa’labah dengan Rasulullah dan mengharapkan supaya Nabi berdoa kepada ALLAH supaya beliau beroleh kekayaan.

Mendengar permintaan Sa’labah itu, Rasulullah memandangnya dengan penuh kehairanan, lalu Baginda bertanya, “Untuk apa rezeki yang banyak itu wahai Sa’labah? Menurut pendapat ku, lebih baik bersederhana kerana rezeki yang banyak akan menyusahkan kita kelak!”, hujah Rasulullah. Sa’labah terdiam. Dalam diamnya itu nafsu ingin kaya yang sudah lama tertanam di hatinya semakin menjadi-jadi.

Tidak lama selepas itu, Sa’labah menyampaikan lagi permohonannya kepada Rasulullah. Permintaannya kali ini disertai dengan alasan yang lebih kuat, antara lain Sa’labah berkata; “Kalau aku kaya kelak, golongan miskin dan melarat akan ku beri bantuan secukupnya, akan ku dirikan hospital, membangunkan rumah ibadah.

Pendek kata, segala harta yang dikurniakan akan digunakan sebaik-baiknya demi keredaan ALLAH,” Mendengar ucapan Sa’labah yang bersungguh-sungguh itu maka Rasulullah mendoakan kepada ALLAH agar Sa’labah dikurniakan-Nya dengan harta yang banyak.

ALLAH memakbulkan permintaan hamba dan Rasul-Nya. Rezeki Sa’labah makin bertambah. Kambing Sa’labah makin membiak dengan banyaknya.

Semenjak kekayaannya bertambah, ibadahnya pun semakin berkurangan. Solat berjemaah tidak lagi dihadirinya akibat terlalu sibuk menguruskan kambingnya sudah berkembang biak itu. Dahulu sebelum beroleh harta kekayaan Sa’labah pernah berjanji kepada Rasulullah bahawa dia ingin menggunakan segala kekayaannya itu untuk berjuang ke jalan ALLAH tetapi dia tidak menepati janji.

Pada suatu hari turunlah ayat mewajibkan zakat kepada Nabi. Maka perintah zakat itu segera disampaikan oleh Rasulullah kepada segenap umat Islam yang mampu tidak terkecuali Sa’labah. Ketika amil sampai ke rumah Sa’labah, beliau tidak mempercayai suruhan itu bahkan mencurigai Rasulullah sendiri. Padanya itu hanya peraturan Rasulullah kerana cemburu disebabkan kambingnya yang banyak yang mesti dizakatkan dan bukannya perintah ALLAH.

Sa’labah tidak mempedulikan utusan Rasulullah. Dia masih juga tidak mahu membayar zakatnya kerana disangkanya perintah menunaikan zakat itu adalah ciptaan Rasullullah sendiri. Baliklah  amil itu dengan perasaan hampa. Begitulah sifat Sa’labah setiap kali utusan Rasulullah datang. Ada sahaja helah dan alasan yang dikemukakannya untuk mengelakkan dari membayar zakat.

Pada masa itu, turunlah Firman ALLAH: “Di antara mereka, ada yang berjanji kepada ALLAH. Sekiranya aku diberi rezeki yang banyak, aku akan banyak memberi sedekah, aku akan menjadi orang yang soleh. Tetapi, setelah  mereka memperoleh rezeki yang berlimpah ruah lalu mereka menjadi orang yang bakhil dan berpaling dari janjinya. Akhirnya mereka ditimpa penyakit Munafik pada hari di mana mereka itu kembali kepada ALLAH disebabkan mereka mengingkari janjinya sendiri dan disebabkan  kebohongan mereka. Apakah mereka tidak tahu, bahawa ALLAH itu Maha
Mengetahui segala  rahsia dan apa yang tersirat dalam hati mereka dan bahawa ALLAH itu mengetahui segala perkara ghaib .” (Surah al-Baqarah: 75-78)

Salah seorang daripada sahabat Sa’labah yang mengetahui turunnya ayat itu segera memberitahunya. Kata sahabat Sa’labah tersebut: “Berhati-hatilah engkau.

Apakah kambing-kambing mu yang banyak itu akan engkau bawa ke mati? Dahulu engkau telah berjanji kepada ALLAH dan bukan hanya kepada Nabi Muhammad! Sa’labah sahabat ku, zakat yang diminta oleh utusan Rasulullah itu bukanlah untuk Baginda dan bukan pula Baginda yang mengadakan hukum zakat itu.” Mendengar penjelasan sahabatnya itu, membuatkan Sa’labah sedar akan kesalahan dan keangkuhannya selama ini.

Sa’labah bukan sahaja insaf, malah merasa takut yang amat sangat.

Tanpa berfikir panjang lagi. Sa’labah berjumpa Rasulullah dengan membawa berpuluh-puluh ekor kambing untuk dizakatkannya. Tetapi Rasulullah hanya menggelengkan kepala sambil mengatakan bahawa Baginda tidak menerima zakat itu, bahkan pintu zakat sudah tertutup bagi Sa’labah.

Mendengar jawapan tersebut Sa’labah menangis sekuat-kuat hatinya.

Sa’labah kembali ke rumahnya dengan membawa kambingnya itu. Hatinya penuh dengan penyesalan. Usaha Sa’labah hendak menyerahkan zakat ternakannya gagal. Hinggalah ke zaman pemerintahan Khalifah Osman bin Affan iaitu selepas kewafatan Rasulullah dan Saidina Abu Bakar.

Beliau tetap dalam keadaan takut, kecewa dan menyesal kerana zakatnya tidak diterima lagi sedangkan ancaman ALLAH sudah turun ditujukan kepada orang yang enggan membayar zakat.

SUMBER: http://dakwah-imanyakin.blogspot.com

Menyamar jadi pengemis Muslim

Posted on the August 3rd, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

DUA pengemis berketurunan Cina menutup muka ketika ditahan penguat kuasa di Bazar Ramadan, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor kelmarin.
SHAH ALAM – Taktik licik dua beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim bagi menagih simpati pengunjung sebuah Bazar Ramadan di sini terbongkar dengan penahanan mereka kelmarin.
Kedua-dua wanita berusia 65 dan 63 tahun itu ditahan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor ketika mereka mengemis di Bazar Ramadan Seksyen 13 di sini dengan memakai jubah dan bertudung labuh.



Siasatan awal JKM mendapati kedua-dua beradik berasal dari Cheras, Kuala Lumpur itu mula mengemis sejak awal Ramadan.
Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.
Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Abd. Rahman berkata, kedua-dua wanita itu turut menipu kerana mereka merupakan penerima bantuan JKM sebanyak RM300 seorang setiap bulan.
Beliau berkata, mereka ditahan selepas menukar seluar dan baju biasa yang mereka pakai dengan jubah dan tudung labuh yang mereka bawa di sebuah tandas berdekatan.
“Ketika ditahan, mereka cuba memberi alasan menggunakan hasil jualan tisu berharga RM1 sepeket kepada orang ramai untuk menyara anak mereka yang sedang terlantar sakit.
“Malangnya, apabila pihak kami menyuruh mereka mengucap dua kalimah syahadat bagi membuktikan mereka orang Islam, kedua-duanya tidak tahu.
“Yang sebenarnya, pengunjung Bazar Ramadan tidak beli pun tisu mereka sebaliknya terus beri duit kepada kedua-dua pengemis itu,” katanya.
Kosmo

Tiada ulasan: