Pertemuan isu hudud selepas PRU13
23 Ogos 2012
Pengerusinya, Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, seminar tersebut amat penting kerana akan mengumpulkan semua pihak termasuk pemimpin parti-parti politik bagi melontarkan pandangan masing-masing mengenai hudud.
"Kita mahu memberikan pemahaman kepada masyarakat supaya mereka jelas mengenai hukum hudud yang dianjurkan Islam. Seminar ini nanti bukan sahaja kepada umat Islam bahkan juga kepada orang bukan Islam.
"Dengan penganjuran seperti ini, orang bukan Islam akan memahami dan menerima baik hukum hudud," katanya, semalam.
Katanya, pemahaman hudud kepada orang bukan Islam bukanlah bererti memaksa mereka memeluk agama Islam tetapi ia penting demi kesejahteraan, kemakmuran dan penyatuan masyarakat berbilang agama dan kaum di negara ini.
"Saya harap pertemuan itu nanti bukanlah menjadi medan kepada parti-parti politik menegakkan pendirian mereka sahaja tetapi harus menjadi medan perbincangan yang sihat selaras dengan tuntutan Islam," katanya.
Isu hudud semakin menjadi perhatian selepas Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu laporan baru-baru ini mempertikaikan hukum Islam tersebut dalam mengatasi jenayah.
Ekoran kenyataan Karpal tersebut, beberapa pemimpin Pas terutamanya Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan menyifatkannya sebagai 'keterlaluan'.
Hudud: Mufti tegur pendirian Karpal
22 Ogos 2012
Katanya, tindakan Karpal menentang pelaksanaan hukum hudud dilihat tidak menghormati sensitiviti umat Islam.
“Karpal perlu menghentikan segala kritikan dan tohmahan yang dilemparkan selama ini kerana telah mencetuskan kekeliruan pelbagai pihak.
“Dalam situasi ini, Karpal harus menghormati sensitiviti semua agama terutama agama Islam berikutan Islam adalah agama rasmi di Malaysia,” katanya.
Muhamad Baderudin berkata, Raja-raja Melayu juga merupakan seorang yang beragama Islam dan oleh demikian, tidak wajar bagi Karpal berbuat demikian.
“Karpal harus menghormati agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia,” katanya.
BN boleh laksana hudud jika ikhlas
22 Ogos 2012
Menurutnya, jika Umno ikhlas, undang-undang Islam itu telah lama dilaksanakan tanpa perlu campur tangan Pas.
“Mereka berkuasa untuk laksanakannya. Mereka berkuasa gubal undang-undang. Mengapa tidak dari dahulu ia dilaksanakan?
“(Matlamat) mereka menuntut kerjasama Pas hanyalah agenda politik. Mereka tidak ikhlas dalam memperjuangkan hasrat ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Harun berkata, Umno perlu menunjukkan komitmen mereka jika mereka bersungguh-sungguh mahu melaksanakannya.
“Undang-undang Islam bukan melaksanakan hudud semata-mata. Jika Umno berhasrat, laksanakan dahulu dan kemudian kita akan nilai,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Umno boleh memperkenalkan hukum hudud jika Pas bergandingan dengan BN membangunkan sebuah negara Islam.
Dr Mahathir, yang juga bekas Presiden Umno berkata, BN amat mengalu-alukan penyertaan Pas jika ia berpisah dari Pakatan Rakyat (PR) dan hudud hanya dapat dilaksanakan jika Pas menyertai
Umno untuk bersama-sama membina negara dan menggubal perundangan Islam.
Umno pertikai Pas guna hudud menang PRU
22 Ogos 2012
Timbalan Pengerusi Biro Agama dan Pendidikan Umno Terengganu, Muhammad Ramli Nuh menegaskan, kenyataan itu sama sekali tidak benar kerana Umno tidak pernah menolak undang-undang syariah terbabit.
Bagaimanapun, katanya apa yang dipertikai Umno adalah kaedah digunakan Pas yang dilihat hanya menggunakan isu itu untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya umum.
“Kita tidak tolak undang-undang hudud. Kalau orang Islam menolak hudud, dia terkeluar daripada Islam dan tidak semudah itu kita mahu menolak hudud.
“Apa yang kita pertikaikan adalah kaedah Pas menggunakan hudud untuk memperlihatkan mereka adalah pejuang Islam demi mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
“Ini adalah isu politik untuk perangkap Umno kerana apabila Umno berbahas, mereka akan mengatakan Umno menolak,” katanya.
Merujuk laporan Sinar Harian Ahad lalu, DAP berhak menyatakan pendirian termasuk tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penolakan DAP terhadap undang-undang Islam terutama oleh pengerusinya, Karpal Singh bukan sesuatu yang menghairankan kerana Karpal dan majoriti ahli serta pemimpin DAP bukan beragama Islam.
Dalam nada sinis, Abdul Hadi berkata, Umno yang hampir kesemua ahlinya beragama Islam pun juga sudah lama menolak hudud.
MCA Selangor, Johor tolak hudud
22 Ogos 2012
Pengerusinya, Datuk Donald Lim menegaskan, MCA tidak pernah menerima pelaksanaan hudud.
“Apa yang disuarakan Pengerusi MCA Kedah (Datuk Chong Itt Chew) itu adalah pandangan peribadinya saja,” katanya ketika diminta mengulas pendirian MCA Selangor terhadap pelaksanaan hudud di negara ini.
Semalam, Sinar Harian melaporkan Itt Chew bersetuju dengan undang-undang Islam berkenaan sekiranya pelaksanaannya membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.
Setiausaha MCA Selangor, Wong Koon Mun pula berkata, MCA sebelum ini pernah berbincang berhubung isu hudud itu di peringkat negeri dan Pusat dan berpendirian tidak menerima undang-undang berkenaan kerana rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kalau ikut Presiden MCA (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek), memang kita tak setuju. Kalau 80 peratus penduduk sesebuah negara itu orang Islam, sesuailah jika hudud dilaksanakan.
“Susah hendak komen isu ini sebab kalau saya kata sokong (hudud) nanti orang Cina tak suka. Tapi kalau kata tidak sokong, orang Islam pula tak suka,” katanya.
Beliau mendakwa, sesebuah negara tidak boleh mengamalkan dua undang-undang pada satu masa dan jika hudud dilaksanakan, bagaimana hukuman itu dijatuhkan jika melibatkan pesalah orang Islam dan bukan Islam.
“Bagaimana jika ada dua atau tiga orang merompak terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Apabila kes di bawa ke mahkamah, ia akan dibawa ke mana? Apakah ia mengikut syariah atau sivil?" katanya.
Sementara itu, MCA Johor turut berpendirian tidak menyokong pelaksanaan hudud.
Naib Presidennya, Datuk Ng See Tiong berkata, MCA tidak pernah menyatakan sokongan malah pendirian pucuk pimpinan di peringkat negeri ini juga sama seperti Pusat yang membantah cadangan pelaksanaan hukum Islam itu.
“Kami tidak pernah bersetuju dan menyokong pelaksanaan hudud oleh Pas. Bahkan pemikiran dan pendirian kami tetap sama dengan pendirian yang pernah dinyatakan oleh MCA Pusat.
“Lagipun, kami tidak pernah memberi sebarang kenyataan bahawa kami bersetuju tentang pelaksanaannya. Kami yakin dan tetap pada pendirian tersebut,” katanya.
Hadi dakwa kerjasama dalam BN tidak fokus Islam
22 Ogos 2012
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, percampuran politik yang terjalin antara Umno, MCA dan MIC tiada kaitan dengan agama Islam dan tidak menekankan perkara itu sebagai asas utama dalam menjalinkan kerjasama.
“Kerjasama Pas dan DAP adalah kerjasama berasaskan agama Islam yang dinyatakan Rasulullah SAW, iaitu Islam wajib melaksanakan syarat-syarat dimeterai, kecuali syarat menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.
“Walaupun fahaman berbeza, tidak sama, tetapi ada persamaan berasaskan kemanusiaan. Disebabkan dasar kemanusiaan inilah, Islam benarkan kita bekerjasama dengan pihak lain,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mengenai sikap terlalu tolak ansur orang Melayu sehingga ada pihak lain ambil kesempatan dan status hubungan Pas serta DAP pada sesi dialog dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Perantau anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu, semalam.
Menjawab pertanyaan berhubung dakwaan sebuah jabatan kerajaan di Pulau Pinang melakukan diskriminasi dengan membuang pekerja Melayu, Abdul Hadi mendakwa, ia berlaku kesan pemerintahan BN di negeri itu sebelum ini.
“Lebih 90 peratus pegawai dilantik ketika mereka memerintah lebih mementingkan politik daripada tanggungjawab pentadbiran. Sebab itu tidak mustahil DAP di Pulau Pinang juga menghadapi perbuatan tidak dipilih oleh BN semasa pemerintahan mereka,” katanya.
Beliau berkata, tidak mudah untuk DAP memerintah sekiranya saki baki parasit politik masih wujud.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali berkata, beliau masih belum menerima maklumat mengenai kes itu dan akan melakukan siasatan bagi memastikan sama ada ia benar-benar berlaku.
Kemenangan Pas ditentu pengundi luar
22 Ogos 2012
Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Datuk Hussin Awang berkata, ia kerana masyarakat kini telah sedar dan mahukan perubahan dalam pemerintahan negara berdasarkan pemerintahan yang telus dan adil.
“Masyarakat sedia bawa perubahan, secara menonjolnya kita telah nampak bahawa mereka kini adalah ejen kepada satu gelombang yang mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.
“Kita harap Terengganu tidak terkecuali dan tidak tercicir dari gelombang ini kerana kemenangan yang kita cita-citakan ini sedikit sebanyak ditentukan mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perantau anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu, semalam.
Menurutnya, sokongan pengundi luar sekali gus bertindak sebagai kunci kemenangan kepada sebahagian besar peti undi Pas di negeri ini.
“Kita telah menyaksikan kegagalan Barisan Nasional (BN) mentadbir beberapa negeri di sebelah Pantai Barat, ini menunjukkan telah tiba masanya rakyat bangkit untuk mengubah pentadbiran kepada yang diinginkan mereka.
“Tidak mustahil, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang, gelombang besar ini akan melanda dan rakyat akan ubah pentadbiran negara kepada yang lebih baik,” katanya.
PKR: Umno, BN semakin tak menentu
22 Ogos 2012
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim berkata, kecelaruan pendapat yang berlaku itu menggambarkan bahawa tiada kesepakatan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan.
Ahmad berkata, perpecahan pendapat antara dua pimpinan MCA negeri menunjukkan parti komponen itu sudah tidak konsisten lagi dengan pentadbiran BN.
Katanya, cubaan BN memainkan isu perlaksanaan hukum hudud juga tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya memberi semangat dan suntikan baru kepada barisan pimpinan dalam menarik sokongan rakyat.
“Tujuan BN mengenakan isu perlaksanaan hukum hudud terhadap Pas adalah cubaan untuk memecahbelahkan PR.
“Walaubagaimanapun, PR akan sentiasa terus bersama berjuang untuk merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, Umno dan BN menggesa Pas keluar PR adalah kerana mereka takut gelombang besar PR yang bakal menenggelamkan mereka semasa PRU-13 nanti.
“PRU-13 nanti adalah perlawanan sebenar, satu lawan satu,” katanya.
Ahmad Kassim berkata, seluruh ahli serta pimpinan PR sentiasa bersama walaupun berbeza pandangan dan pendapat dalam sesuatu perkara.
Katanya, perlaksanaan hukum hudud bukan sesuatu yang mudah di negara ini. Sebaliknya harus memandang aspek perlembagaan negara, agama serta politik.
“PR perlu memenangi dua pertiga kerusi parlimen sebelum membolehkan perlembagaan dipinda selaras dengan hukum syarak.
“Bagaimanapun, sekiranya satu pertiga selebihnya dimenangi oleh orang bukan beragama Islam, ia sukar bagi PR untuk melaksanakan hukum hudud.
“Dalam situasi ini, semua kerusi parlimen harus dimenangi oleh orang Islam untuk memudahkan perlaksanaannya,” katanya.
Ujarnya lagi, setiap umat Islam tidak harus berganjak daripada bersetuju mengenai perlaksanaan hukum hudud kerana ia merupakan sebahagian daripada undang-undang Islam.
Pas Kelantan: Dr M tak konsisten dalam isu hudud
22 Ogos 2012
Mohd Amar berkata, ketika zaman pemerintahan Dr Mahathir, beliau yang bersungguh-sungguh menolak undang-undang Islam itu dilaksanakan.
“Semasa Dr Mahathir jadi Perdana Menteri beliau sendiri bagi amaran keras kepada Kelantan menerusi satu surat yang sehingga kini masih ada dalam simpanan Kerajaan Negeri .
“Menerusi surat itu, beliau (Dr Mahathir) ada kata kalau Kelantan tetap meneruskan hukum hudud, tindakan tegas akan dikenakan kepada Kerajaan Negeri. Tetapi sekarang ini beliau cakap lain pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan Dr Mahathir menyarankan Pas menyertai Umno untuk bersama-sama membina negara dan perundangan Islam.
Dalam laporan tersebut, Dr Mahathir ada menyebut Umno akan mewujudkan sebuah negara Islam yang lengkap jika Pas berbesar hati menyertai Umno dan mengalu-alukan Pas ke dalam parti tersebut sekiranya ia berpisah daripada Pakatan Rakyat (PR).
Sehubungan itu, Mohd Amar menyifatkan kenyataan Dr Mahathir itu seperti orang ‘nyanyuk’ yang cakap tidak serupa bikin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah berkata, Pas tidak perlu menyertai Umno untuk merealisasikan hudud kerana biarpun berada dalam PR, Pas tetap berpegang teguh memperjuangkan hudud termasuk syariat Islam.
“(Dr Mahathir) dulu cakap lain, sekarang cakap lain. Kita tidak perlu sertai Umno jika hendak laksanakan hudud sedangkan Umno sendiri pun tolak hudud,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar menganggap tindakan MCA Kedah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan hudud hanya sekadar kenyataan politik untuk membersihkan imej MCA.
Beliau berkata, sebelum ini MCA menerusi Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang lantang bersuara menolak hudud dengan keras.
“Soi Lek sebelum ini jelas dengan pendiriannya tidak mahu hukum hudud menerusi kenyataannya dalam media dan pernah kata hudud ketinggalan zaman dan menakutkan pelabur yang sekali gus membuatkan pelabur akan lari,” katanya.
Mohd Amar berkata, kenyataan MCA Kedah itu bercanggah dengan Presiden sendiri dan menyifatkan berkemungkinan tidak sedar akan pendirian ketua mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan