Seorang pemimpin PKR Cabang Lembah Pantai Pathavachalam Sundram mendakwa menerima ugutan bunuh oleh seorang individu yang didakwa tidak berpuas hati dengan tindakannya ketika menyertai satu program dialog bersama menteri wilayah persekutuan.

Pathavachalam mendakwa beliau menerima ugutan itu melalui dua panggilan telefon oleh individu yang tidak dikenalinya pada 16 Ogos lalu – dua hari selepas program dialog bersama Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

NONE"Semua ini adalah berkaitan dengan dialog saya dengan Raja Nong Chik Zainal Abidin pada masa beliau memperkenalkan pemaju projek tapak IPD Brickfields.

"Pengugut tersebut mengutuk mengenai pertikaian saya dengan menteri tersebut. Saya dan ramai lagi NGO membantah penubuhan pondok polis di tempat balai polis di situ," katanya (foto, kiri).

Tambahnya, beliau bersama NGO Little India Action Committe yang diketuainya mahu supaya cadangan membina pondok itu digantikan dengan balai polis.

Dalam laporan polis itu, Pathavachalam seterusnya berkata, beliau menerima ugutan pertama daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Sudukattu Ravi (Ravi dari kubur) pada  awal pagi 16 Ogos.

"(Lelaki itu) mengugut saya bahawa dia akan membunuh dengan memotong saya dan juga akan menghapuskan keluarga saya," katanya.

Beliau seterusnya membuat laporan kedua apabila menerima satu lagi panggilan telefon daripada nombor yang sama pada malam 16 Ogos.

"Apabila saya beritahu dia bahawa laporan telah dibuat semalam, dia pun marah dan terus berkata siapapun tidak boleh menyelamatkan saya lagi dan bila-bila masa pun saya akan dibunuh," kata usahawan hartanah itu lagi.
Janji 'kerat' Johari Pain versi kedua
WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR
24 Ogos 2012
Janji 'kerat' Johari Pain versi kedua
Kenyataan 'berani mati' individu yang menggelar dirinya, Jat Raindy yang tersebar di Facebook, semalam, mengundang perasaan marah peminat bola sepak Kedah
SELEPAS tewasnya juara treble 2007 dan 2008, Kedah pada aksi pertama kumpulan B Piala Malaysia kepada Juara Liga Premeir 2012, ATM 2-0 di laman sendiri kelmarin, seorang lelaki yang menggelar dirinya Jat Raindy sanggup memotong kemaluannya jika Kedah berjaya di dalam saingan Piala Malaysia.

Terdahulu, Jat telah menulis tentang kekecewaannya di laman sosial Facebook serta mendakwa skuad Kenari layak jatuh ke saingan Liga Perdana berdasarkan prestasi yang tidak konsisten yang ditunjukkan.

Jat bagaikan mahu mengulangi fenomena yang dicetuskan Johari Pain di laman sosial Facebook sebelum ini yang sanggup memotong kemaluannya seandainya atlet terjun negara, Pandalela Rinong berjaya memperoleh pingat pada saingan temasya Olimpik 2012 di London baru-baru ini.

Johari membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum Pandelela bersaing dalam peringkat akhir acara 10m Platform Wanita, namun selepas Pandalela berjaya memperoleh pingat gangsa pada acara kegemarannya, jelas Johari Pain tidak mengotakan janji bahkan memohon maaf kepada semua peminat sukan tanah air melalui Twitternya di atas keterlanjurannya.

Bagaimanapun, tindakan Johari yang jelas berhadapan dengan reaksi dan marah dan tersinggung rakyat Malaysia rupanya masih gagal diambil iktibar oleh Jat yang jelas telah menyinggung perasaan penyokong setia Hijau Kuning.

Selepas teruk mengkritik Hijau Kuning di atas prestasi yang kurang kosisten, Jat turut menambah komennya, “okyh aq krat XXXX sampai kat XXXX un xpa..aq dok as..mai cr aq law kdah lyak..."

Jat yang menulis kenyataan tersebut di laman sosial Facebook Penyokong Setia Hijau Kuning sanggup memotong kemaluannya sekiranya pasukan tersebut mara sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, komen beliau dipadamkan admin laman tersebut.

Kemudian, kenyataan itu dimuatkan kembali oleh laman sosial Persatuan Bola Sepak Kedah dan mendapat reaksi kurang senang peminat pasukan Kedah.
Akta antilompat parti perlu, kata MP BN
WAN NASRAH ABDUL RAHIM
24 Ogos 2012
Akta antilompat parti perlu, kata MP BN
Datuk Idris Haron
Khairy Jamaluddin
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin
SHAH ALAM - Pindaan perlembagaan kepada Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang tindakan melompat parti perlu diperhalusi dan dikaji dengan lebih komprehensif untuk kepentingan semua pihak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Idris Haron berkata, jika mengambil kira sembilan wakil rakyat PKR yang meninggalkan parti itu, ia bukan melompat parti, tetapi mereka menubuhkan satu badan bebas lain kerana tidak berpuas hati dengan pimpinan tertinggi.

"Ketika ramai ahli parlimen pembangkang yang meninggalkan parti, kebanyakan dari mereka tidak masuk Umno atau parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi mereka mewujudkan entiti lain.

"Berkemungkinan akta ini boleh dipertimbangkan sekiranya ia memberikan faedah kepada semua pihak," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas cadangan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang mahu akta itu dipinda secepat mungkin kerana isu lompat parti sudah terkena batang hidung sendiri.

"Karpal memang seorang yang tidak konsisten kerana sentiasa mengeluarkan kenyataan yang menyebelahi kepentingan pembangkang, peribadi dan keluarganya, termasuklah ketika bercakap tentang hukum hudud dengan pandangan yang keterlaluan sehingga menghina agama lain demi kepuasan diri sendiri. Saya sudah tidak yakin kepada apa yang diusulnya," katanya.

Sebelum ini, Karpal mahu BN meminda ke atas Artikel 10(1) Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang tindakan melompat parti yang membabitkan wakil rakyat dan berjanji Pakatan Rakyat (PR) akan memberi sokongan kepada Kerajaan Pusat.

Beliau turut meminta pimpinan BN untuk mempertimbangkan langkah alternatif kepada keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang membawa usul berkenaan pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) November ini. Dimana, Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) boleh membawa perkara ini kepada Mahkamah Persekutuan, sebagai pengganti kepada Mahkamah Agung dan mahkamah tertinggi di negara ini, untuk menyemak semula deklarasi 1992 dalam kes Nordin Salleh.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau bersetuju meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang tindakan melompat parti sekali gus meminta ia dapat digubal sebelum Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13).

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, cadangan tersebut perlu diusulkan pada sesi parlimen yang akan datang.

"Kalau ada wakil rakyat yang nak lompat, dia perlu letak jawatan dahulu dan pilihanraya kecil perlu diadakan.

"Calon yang dipilih mestilah atas kehendak diri sendiri dan juga parti yang mereka wakili. Jadi, ia tidak adil untuk mereka memecahkan amanah pengundi yang memilih mereka berdasarkan parti," katanya.

Beliau berharap, undang-undang ini boleh menjadi realiti.

Menurutnya, beliau berasa risau sekiranya tiada undang-undang atau akta seperti ini, berkemungkinan rakyat akan menyaksikan sekali lagi usaha pihak tertentu untuk mengulangi rancangan 16 September 2008 lalu di mana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu wakil rakyat melompat parti sekaligus menumbangkan kerajaan.
Hudud: Umno kritik tapi tak positif, kata Nik Aziz
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
24 Ogos 2012
Mansor nafi gelar Guan Eng ‘angkuh, sombong’
Suasana ketika Nik Abdul Aziz dikunjungi Mohd Asri. – Foto ihsan laman sosial Nik Aziz
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hudud yang dibentangkan Pas Kelantan sudah menjangkaui 19 tahun sedangkan Umno pula  tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi parti itu yang dikatakan adil.
“Umno khususnya bekas Presidennya (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang sudah bersara, tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi Umno, tempoh 19 tahun, satu huruf pun hudud ala Umno masih belum wujud.

“Jika manusia belajar selama 19 tahun, tetapi sedikitpun tidak mengerti, apa gelaran yang akan diberi? Mengaku sahaja Umno tidak berminat untuk melaksanakan hudud," kata beliau sambil menegaskan "apa yang dibisingkan hari ini hanya sekadar nyanyian politik semata-mata."
"Tangan menuding kepada orang lain, diri sendiri berkudis seribu,” kata beliau menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Beliau yang sedang berehat di HUSM atas nasihat doktor berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang dipetik sebagai berkata bahawa Pas telah memberi gambaran yang salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP dan mengelirukan orang bukan Islam.

Di akhir kenyataan yang diposkan menerusi laman sosial Facebook, Nik Aziz juga sertakan satu foto menunjukkan beliau dikunjungi Asri. Tetapi tidak pasti bila Asri mengunjungi beliau, tetapi difahamkan ia pertemuan lama.
Mengulas teguran Asri itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, digubal mengikut pakar perlembagaan dan undang-undang negara.
Katanya, antara mereka termasuk pakar undang-undang seperti Tan Sri Prof Ahmad Ibrahim dan Datuk Paduka Seri Setia Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman. Kedua-dua ini pada masa itu dianggap sebagai rujukan utama di dalam undang-undang syariah.

Antara nama lain yang terlibat pula ialah Tun Salleh Abbas, Dr Abdullah Abu Bakar,  Datuk Hasbullah Mohd Hassan, H Wan Mutalib Embong, Datuk Harun Taib dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhamad.

"Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa enakmen tersebut telah sempurna tanpa sebarang kecacatan, namun untuk menyatakan bahawa ia digubal sambil lewa amatlah tidak benar sama sekali,” katanya.

Nik Aziz berkata, beliau berterima kasih dengan teguran Asri  dan menegaskan, Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan sekiranya ia mempunyai kelemahan.

Dalam masa yang sama,  beliau menyokong kenyataan Asri yang menyebut bahawa ada golongan yang mengkritik hudud sudah rosak akidahnya.
Hudud: Pendirian Pas tidak konsisten, dakwa Umno Johor
Wartawan Sinar Harian
24 Ogos 2012
SENAI – Ketua Penerangan Umno Johor menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berhubung pelaksanaan hudud masih belum sesuai dilaksanakan adalah retorik semata-mata.
Menurut Datuk Samsol Bari Jamali, keputusan pelaksanaan hudud oleh Pas dilihat tidak konsisten dan bermusim, malah beliau enggan mengulas lebih lanjut berkenaan kenyataan Dr Dzulkefly kerana enggan Umno diheret sama dalam isu terbabit.

Katanya, Pas perlu menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku dalam Pakatan Rakyat (PR) terlebih dahulu kerana rakan politiknya sendiri jelas telah menentang pelaksanaan hudud berbeza dengan Umno yang sering konsisten dengan setiap keputusan diambil.

“Saya enggan untuk komen lebih lanjut dan tidak melayan sebarang retorik. Saya perhatikan kenyataan mereka (Pas) adalah secara bermusim dan tidak konsisten dan tidak mahu Umno dikaitkan dalam isu ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Umno dicabar tetap pendirian dalam isu agama
Wartawan Sinar Harian
23 Ogos 2012
SHAH ALAM – Umno dicabar menyatakan pendirian berhubung isu kedaulatan Islam demi menjaga kesucian agama rasmi penduduk di negara ini kerana mereka didakwa berkali-kali diperlekehkan rakan komponennya, MCA.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, sudah tiba masanya Umno mengkaji semula kedudukan MCA sebagai parti komponen mereka dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa, dalam isu berkenaan, Umno bersikap‘double standard’ apabila lantang menyerang DAP, namun hal sama tidak dilakukan terhadap MCA sehingga mencetuskan tanda tanya siapa sebenarnya ‘abang besar’ dalam BN.

“Justeru, usahlah Umno bermimpi merampas kembali Selangor kalau sikap mereka begitu mengelirukan dalam isu ini. Kelemahan Umno begitu terserlah dan layaklah mereka dipinggirkan dari terus mentadbir negeri Selangor ini.

“Mereka tidak menghormati Sultan Selangor sebagai Ketua Rasmi Agama Islam di negeri ini. Mereka tidak pernah berhasrat memartabatkan Islam sebagai salah satu rujukan pentadbiran, namun bersikap membisu apabila isu Islam dibangkitkan dan semangatnya diinjak adalah sesuatu yang amat mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung kenyataan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim yang dilaporkan berjanji untuk menghalang sebarang usaha penubuhan kerajaan Islam di Selangor kepada ahli-ahli MCA pada satu Konvensyen MCA Selangor, baru-baru ini.

Azmizam berkata, AMK kesal kerana Lim yang juga Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya bertindak lebih waras dalam memainkan sentimen agama dan bukannya menyuarakan pandangan semata-mata terdesak merebut kembali Selangor.

“Saya berpendapat, rakyat Selangor memilih untuk mengubah kerajaan pada 2008 dengan berpaksikan kematangan dan melangkaui sentimen politik melampau dengan memilih gabungan parti politik  jauh lebih baik dan terbukti berjaya mentadbir Kerajaan Negeri lebih sistematik serta telus.

“Kenyataan Datuk Donald Lim dilihat lebih kepada kenyataan seorang pemimpin parti yang terdesak dan tidak berdaya lagi untuk bersaing lebih kompetitif dalam melaksanakan demokrasi dengan lebih adil,” katanya.
Isu hudud hanya mainan politik

23 Ogos 2012
SHAH ALAM – DAP Selangor menganggap isu hudud hanyalah mainan politik pihak tertentu untuk menakut-nakutkan orang ramai berbilang kaum, demi kepentingan peribadi.
Naib Pengerusinya, Charles Anthony Santiago berkata, ini kerana, isu berkenaan menjadi ‘panas’ ketika ini disebabkan musim pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir dan perkara itu dimanfaatkan sepenuhnya pihak terbabit bagi meraih publisiti di media.

“Apabila PRU semakin hampir, semua (orang) bercakap mengenai hudud kerana hendak dapat tempat dalam surat khabar.
“Apa yang dibangkitkan oleh Karpal Singh (Pengerusi DAP), DAP dan PKR tertakluk kepada Perlembagaan Malaysia, iaitu Malaysia adalah negara sekular dan Islam adalah agama rasmi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Karpal ‘semakin keterlaluan’ kerana cuba merendah dan mempertikaikan hukum hudud  dalam mengatasi jenayah.
Semalam, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan itu dan beliau turut mendakwa pendekatan Karpal itu ‘bakal berdepan dengan kemarahan umat Islam’.

Charles Anthony berkata, adalah lebih baik jika semua pihak menumpukan perhatian terhadap isu ekonomi, kemiskinan dan isu lain berkaitan rakyat, daripada memikirkan isu hudud yang sengaja diperbesar-besarkan.
Isu royalti: Saya tidak memihak sesiapa, kata Ku Li
Wartawan Sinar Harian
24 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
GUA MUSANG -  Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Lagi pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena-mengena dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.
Katanya, beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab Petronas untuk menyelesaikannya.
"Sumber sebenar hasil itu (petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.
"Memanglah ramai yang membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan," katanya.
Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.
"Saya bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas kepada pembangkang.
"Saya mempunyai strategi sendiri bagi mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya. - Bernama
Pas Kelantan pertikai jawatankuasa royalti rangkumi Pahang
Wartawan Sinar Harian
24 Ogos 2012
Wan Ismail Wan Jusoh
Wan Ismail Wan Jusoh
KOTA BHARU- Pas Kelantan mempertikaikan jawatankuasa khas, yang ditubuhkan Kerajaan Pusat, memasukkan Pahang sebagai negeri yang perlu mendapatkan royalti sedangkan negeri tersebut didakwa tidak mempunyai minyak petroleum.

Ahli Badan Perhubungan Pas Negeri Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh berkata, pihaknya difahamkan jawatankuasa itu ditubuhkan bagi menimbang semula pemberian royalti di negeri-negeri Pantai Timur.

“Memang Pahang berada dalam negeri Pantai Timur, namun negeri itu tidak ada minyak petroleum, jadi tidak usahlah mengheret Pahang supaya mendapat royalti.

“Pahang tidak ada kena mengena dengan minyak petroleum, jika Kerajaan Pusat mahu beri juga, kita (Pas) tidak halang, tetapi bayaran itu bukan atas tiket royalti sebab royalti untuk negeri yang mengeluarkan minyak dan gas,” katanya kepada Sinar Harian semasa Majlis Hari Raya  Aidilfitri di Pejabat Pas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, di sini, semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat disaran menimbangkan semula royalti cadangan pemberian royalti kepada Pahang dan mengasingkan isu negeri itu.

Menurutnya, Kerajaan Negeri dan rakyat menuntut royalti dibayar secara tunai, bukan membentuk jawatankuasa khas.

“Sekadar mahu menubuhkan jawatankuasa memang sesiapa pun boleh buat, tetapi apa yang rakyat mahu, bayaran tunai dibuat dua kali setahun iaitu pada setiap 1 Mac dan 1 September setiap tahun.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini seolah-olah satu tindakan melengah-lengahkan pembayaran yang boleh menyebabkan lama-kelamaan ia menjadi tidak sah dan terbatal,” kataanya.