Khamis, 9 Ogos 2012

BILA SEBUT MORAL TENTU ORANG YANG BERKATA ITU MORALNYA BAIK...JIKA TIDAK NAMPAK CANGGUNG@MACAM TAK KENA...BEGITU JUGA JANJI..BAGAIMANA PULA JANJI KITA DENGAN ALLAH PADA KETIKA KITA DIALAM ROH...KALAU KITA BENAR2 BERMORAL SUDAH KITA MENYOKONG HUDUD SEBAB NAK MEMBENTERAS PENYAKIT MORAL...NI TIDAK...KITA MENENTANG...NI MENUNJUKKAN KITA SUKA RAKYAT TERUS MENERUS ADA MASALAH MORAL...HUDUD NI UNDANG2 CIPTAAN ALLAH...SUDAH TENTU ALLAH LEBIH TAHU...SEBAB MANUSIA ALLAH YANG CIPTA...ORANG YANG TAK BERAPA CERDIK AJE MACAM TAK SEDAR DIRI

Mengapa sekarang kerajaan mahu polis berbaiah?

Harakahdaily, 09 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat kerajaan BN berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbaiah dengan kerajaan untuk membantu mengharmonikan negara.

“Bagi DPPM, tindakan kerajaan dilihat usaha untuk memastikan pegawai PDRM terus terikat dengan kerajaan sama ada masih bekerja ataupun sudah pencen,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Ini, ujarnya berdasarkan kepada sentimen pegawai tinggi polis kebelakangan ini menyertai Pakatan Rakyat seperti Datuk Fauzi Shaari, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta ura-ura ada bekas pemimpin tertinggi lain PDRM yang dikatakan akan menyertai PAS tidak lama lagi.

“Cadangan ini dilontarkan mungkin kerana kerajaan BN merasa gerun dengan kebangkitan rakyat dan penyertaan bekas pegawai tinggi kerajaan khususnya dari PDRM memberi impak yang besar kepada UMNO-BN dalam PRU13,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, kata beliau DPPM merasa musykil mengapa sekarang kerajaan mahu PDRM berbaiah dengan mereka.

“Apakah selama ini PDRM tidak berbaiah negara tidak berada dalam keadaan aman dan harmoni?

“Apakah Perdana Menteri menaruh perasaan syak wasangka kepada PDRM bahawa PDRM akan membelot atau mengkhianati tugasan mereka jika mereka tidak berbaiah?” tanya Riduan.

Beliau berkata, DPPM bersetuju dengan pandangan Datuk Fauzi Shaari bahawa tidak perlu PDRM berbaiah kerana jika anggota polis memahami kerja mereka satu ibadah, mereka harus bekerja dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh.

DPPM juga, ujarnya merasakan yang penting bukannya baiah, tetapi tarbiyah diterapkan dalam diri setiap anggota PDRM supaya berlaku jujur, amanah, integriti serta menjauhi rasuah.

Dalam hal ini, kata beliau kerajaan tidak perlu menyekat pegawai kerajaan agar terus menyokong mereka melalui baiah yang dicadangkan.

“Hormati nilai demokrasi yang memberi pilihan kepada rakyat memilih parti yang mereka suka, dan itu adalah hak mereka di negara ini,” katanya lagi.

Umum lokasi AES jika ikhlas mahu didik pemandu

Harakahdaily, 09 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut kerajaan melalui PDRM memaklumkan lokasi-lokasi kamera AES di seluruh negara jika benar-benar ikhlas untuk mendidik pengguna jalan raya.

“SAMM menuntut supaya Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pengangkutan, JPJ mahupun PDRM itu sendiri supaya menyiarkan lokasi-lokasi kamera AES di seluruh negara supaya kenderaan lebih berhati-hati ketika menggunakan jalan raya dalam musim perayaan ini,” kata Penyelaras Kebangsaan SAMM, Yaser Sheikh Abd Rahman.

Ia, katanya bertepatan dengan kenyataan kerajaan bahawa sistem AES bukan untuk keuntungan syarikat tetapi mendidik pengguna malah dengan penyiaran lokasi kamera ini akan lebih meningkatkan kesedaran pengguna kepada perception of being caught seperti yang dimahukan oleh kerajaan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, jika kerajaan gagal mengumumkan lokasi-lokasi kamera AES tersebut maka akan menyerlahkan sikap sebenar dan matlamat mengaut keuntungan semata.

Sistem AES iaitu satu sistem perangkap kesalahan lalu lintas akan mula beroperasi dan saman yang dikendalikan syarikat akan dilaksanakan bermula 12 Ogos ini.

Yaser berkata, walaupun terdapat banyak bantahan tetapi terhadap penswastaan saman lalu lintas, seperti biasa pemerintah tidak mempedulikan suara rakyat dan tetap melaksanakan sistem saman yang akan menguntungkan pemodal besar ini.

Menurutnya, dilaporkan pemilik kenderaan boleh disaman sehingga RM2,000 kerana sistem itu.

Katanya lagi, untuk melaksanakan sistem itu pelbagai alasan lunak dilagukan ke telinga rakyat, antaranya menyatakan bahawa AES bukan untuk keuntungan syarikat tetapi bagi mendidik pengguna.

Pada perayaan ini, ujarnya SAMM juga menasihatkan semua pengguna kenderaan mempertingkatkan langkah berjaga-jaga dari faktor kecelakaan jalanraya mahupun kehilangan wang ringgit anda akibat disaman syarikat swasta.

SAMM sendiri, jelasnya akan mengadakan kempen keselamatan jalanraya dengan cara yang tersendiri di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Berhati-hati di jalanraya, ingatlah orang yang tersayang dan peranan besar kita kepada negara,” katanya.

Tema Merdeka: Selangor setuju, Pulau Pinang akur

Salmiyah Harun, 09 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor bersetuju untuk turut menggunakan tema perayaan Hari Merdeka Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' sebagaimana diputuskan oleh Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpandangan walaupun tema ini ringkas tetapi ianya mempunyai makna yang mendalam dan mampu menyeru seluruh rakyat  Selangor - tanpa mengira bangsa, agama dan pendirian politik - untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan.

"Apa yang penting, Kerajaan Negeri Selangor berharap rakyatnya mempunyai jiwa yang merdeka serta bertanggungjawab untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik.

"Kami berharap tema ini akan memeriahkan lagi perayaan kemerdekaan peringkat Negeri Selangor yang akan diadakan pada ambang Merdeka pada malam 30 Ogos 2012 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam," demikian menurut Khalid dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akur dengan keputusan kepimpinan pusat Pakatan Rakyat untuk menggunakan satu tema pada hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Mansor Othman, pendirian ini membuktikan kata sepakat dalam Pakatan Rakyat dan bukannya ketidaksefahaman sepertimana tohmahan pihak-pihak tertentu.

Katanya, Pulau Pinang, seperti juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain sentiasa mendokong semangat kesetiakawan dan menghormati persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Keputusan awal untuk menggunakan tema merdeka yang berlainan adalah kerana Pulau Pinang telah pun memilih tema terlebih awal, sepertimana juga negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain," katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam laman facebooknya.

Justeru itu, katanya,  pendirian ini membuktikan sekali lagi sikap keterbukaan Pakatan Rakyat walaupun berbeza pendapat tetapi setelah kata sepakat dicapai, mereka kembali bersatu memperkasakan Pakatan Rakyat demi kepentingan rakyat.

Sebelum ini, tiga negeri Pakatan Rakyat  memutuskan untuk menggunakan tema sendiri, iaitu Kelantan dengan temanya 'Menerajui Perubahan', Kedah pula 'Terus Berbakti' dan Pulau Pinang ‘Budaya Bersih, Merdekakan Rakyat’ sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Menurut Pengerusi Panel Tema Merdeka Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said yang juga pengerusi bersama Bersih, ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ merupakan tema yang paling sesuai dan merupakan denyut nadi rakyat.

Pakatan Rakyat memilih temanya sendiri bagi menggantikan tema rasmi Kerajaan Persekutuan  ‘Janji Ditepati’.

Serupa tapi tak sama...

http://shalehudin.blogspot.com, 09 Ogs 2012
AURAT WANITA DARI AL QURAN DAN HADIS

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (Surah An-Nur, 31)

1. Bulu Kening

-Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)

-"Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian

-"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada

-"Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " (An-Nur : 31)

5. Gigi

-'Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.' (Riwayat At-Thabrani)

-"Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah"(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan

-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: 'Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan

-"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya" (Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata

-"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya." (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)

-"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik."( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, "Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan

-"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. "(An Nur : 31).
-"Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." (Riwayat Al Bazzar).
-"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian

-"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-"Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ahzab : 59).

12. Rambut

-"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
 

PRU13: Anak muda dan media baru

Zulkifli Sulong, 08 Ogs 2012
Parti yang menguasai minda anak muda akan menentukan parti mana yang akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, sehingga kini para pengkaji politik Malaysia mendapati, pengundi di bawah umur 40 tahun menghampiri 48 peratus jumlah pengundi dalam pilihan raya ke 13 nanti.

Jumlah ini akan meningkat kepada 52 peratus jika pilihan raya ke 13 diadakan pada tahun akan datang.

Yang paling menariknya, 30 peratus pengundi Malaysia masih belum membuat keputusan parti manakah yang akan mereka sokong dalam pilihan raya nanti.

"Dan hampir kesemua mereka adalah di bawah umur 40 tahun," kata seorang penyelidik.

Beliau juga memberitahu, hampir 70 peratus dari pengundi muda ini dipengaruhi oleh media baru.

Ini bermakna, media baru bakal menjadi faktor penting dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesiapa yang berjaya menggunakan media baru akan menguasai minda 30 peratus pengundi atas pagar ini dan seterusnya memiliki undi mereka.

Menurut ranking Alexa.com, Facebook adalah media baru yang paling popular di Malaysia di ikuti Google, Youtube, Blogspot, Wikipedia, Blogger dan seterusnya Twitter.

Laman Malaysia yang paling popular adalah laman Maybank2u diikuti Mudah.my, Lowyat.net dan Cari.com.



(Laporan dalam Busuk.org yang banyak menarik anak muda)

Laman berita yang paling popular di Malaysia pula adalah Malaysiakini dikuti The Star (2), Harian Metro (3), Utusan (4), Berita Harian (5) dan Harakahdaily (6).

Ini bermakna, media alternatif iaitu Malaysiakini menjadi sumber berita politik yang paling utama bagi rakyat negara ini.

Namun, 30 peratus anak muda yang di atas pagar tadi tidak pergi ke laman berita ini walaupun mereka dipengaruhi media baru.

Ini kerana, mereka tidak minat dengan politik dan tidak akan pergi ke laman-laman yang melaporkan berita politik ini.

Menurut satu diskusi yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, anak muda di Malaysia boleh dibahagi kepada 4 kumpulan penting.

Mereka adalah kumpulan intelektual, pro sukan, pro hiburan dan wanita remaja.

Hanya kumpulan intelektual sahaja yang pergi ke laman-laman politik seperti Malaysiakini dan Harakahdaily.


(Antara laporan yang popular dalam BeutifulNara.com yang  menjadikan laman ini dimasuki anak muda)

Namun tiga kumpulan lagi itu tidak pergi ke laman-laman yang serius ini.

Laman yang popular di kalangan remaja khasnya tiga kumpulan ini sudah tentulah Facebook.

Hampir kesemua pengguna laman web di Malaysia mempunyai akaun Facebook, menjadikan laman ini paling popular di Malaysia khasnya di kalangan anak muda.

Di samping Facebook, mereka pergi ke laman Busuk.org yang berada diranking ke 49 laman web di Malaysia dan BeatifulNara.com (68).

Kedua-dua laman ini tidak membincangkan isu politik tetapi hanya sesekali sahaja menyiarkan tulisan berunsur politik.

Busuk.org misalnya penuh dengan berita pengajaran dan pengalaman berdasarkan cerita peribadi penulisnya di samping agama dan hiburan yang pro Islam.

BeatifulNara pula penuh dengan cerita sensasi, pengajaran dan yang paling popular adalah cerita artis dan dunia hiburan.

Ia sesuai dengan mottonya Selebriti, Hiburan dan Gosip.

Pendek kata, kedua-dua pihak samada BN atau Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini bakal mengharungi pengalaman baru dalam kempen mereka.

Mereka terpaksa bercakap dan berinteraksi dengan kumpulan pengundi yang tidak minat untuk bercakap dan berinteraksi dengan mereka.

Kalau selama ini BN menguasai politik Malaysia melalui 3M iaitu Money, Mechinery dan Media, kini tidak lagi.

Ini kerana, dengan pergabungan antara tiga parti pembangkang utama iaitu PAS, PKR dan DAP, BN kini mempunyai lawan yang amat ampuh.

Kalau selama ini, BN sentiasa menang melalui penguasaanya ke atas media, dalam pilihan raya umum akan datang ini tidak akan berlaku lagi.

30 peratus pengundi atas pagar ini bukan lagi dipengaruhi media yang dikuasai BN (TV, radio atau surat khabar) tetapi media baru yang tidak ada pihak yang boleh mengawal.

Ini menjadikan benarlah apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib Razak bahawa pilihan raya ke 13 akan datang ini adalah ibu kepada segala pilihan raya bagi BN dan Umno.

Ini kerana, tidak ada lebihnya BN dalam pilihan raya ini kerana padang kini sudah hampir sama rata.

Mungkin kerana itulah, isu-isu perkauman, 13 Mei dan seumpamanya menjadi senjata baru BN untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia.

Namun melalui media baru, sampai ke manakah strategi itu.

Kebangkitan pemuda mendepani pilihan raya

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin, 08 Ogs 2012
Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (al- Kahfi : 13)

Justeru,peranan pemuda Islam dalam Parti Islam Se-Malaysia amat ditagih bagi merealisasikan kemenangan Parti Islam pada Pilihanraya Umum ke-13 ini. Kemenangan Parti Islam di beberapa  buah negara di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia adalah berpunca daripada kekuatan pemuda  yang mendokong dan menegakkan Islam. Saya ingin gariskan secara ringkas kekuatan-kekuatan yang wajib dimiliki oleh semua pemuda mujahid Islam ini agar menjadi pedoman dan panduan dalam mendepani pilihan raya yang semakin mendekati kita.

Antara kekuatan yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

Pertama: Niat yang ikhlas kepada Allah Taala
Pengorbanan yang ikhlas kepada Allah Taala tidak akan mengharapkan imbuhan dan balasan duniawi tetapi akan mengharapkan keredhaan Ilahi. Pengorbanan yang ikhlas tidak mengharapkan keuntungan kebendaan, pangkat dan kedudukan tetapi mengharapkan keuntungan ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah Taala iaitu syurga yang abadi. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah Dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (at-Taubah : 111)

Marilah kita mencontohi keikhlasan para sahabat yang tidak mengharapkan sebarang keuntungan duniawi dalam berjuang. Kisah para sahabat seperti Musab bin Umair, Suhaib ar-Rumi yang ditawarkan sama ada ingin memilih harta atau ikut berjuang bersama nabi oleh musuh-musuh Allah menjadi sumber kekuatan dan panduan kepada kita. Kisah kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud lantaran mengejar habuan dunia di depan mata dengan sanggup menggadaikan amanah dan tanggungjawab kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang sangat berharga kepada kita sebagai mujahid Islam. Semoga kita terselamat dari tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan.

Kedua: Kekuatan dalam memahami sejarah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.
Pemuda-pemuda harus belajar, memahami dan menghayati sejarah hidup Rasulullah sebagai panduan dalam berjuang dan urusan hidupnya. Mereka sepatutnya  melihat sedalam-dalamnya kekuatan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat, namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka mengenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat. Firman Allah Taala yang bermaksud:


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzab ayat 21)

Bermula nabi dibangkitkan sehinggalah nabi wafat, baginda tidak pernah berehat daripada menyerahkan seluruh kehidupan baginda kepada menegakkan Islam. Sikap pengorbanan yang tinggi ini telah membawa kepada penyertaan Rasulullah SAW dalam 28 siri peperangan. Rasulullah SAW bukan sekadar memberi arahan dan melihat dari jauh peperangan yang berlaku tetapi Rasullullah SAW jugalah yang memimpin dan berada dalam barisan paling hadapan. Begitulah sepatutnya yang wajar kita contohi, iaitu bukan hanya pandai memberikan cadangan dan kritikan tetapi turut sama terlibat mendokong dan menggerakkan semua aktiviti serta program yang menuntut kebersamaan. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff : 4)
Ketiga: Kekuatan Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling bantu membantu sesama pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam dan memenangai PRU 13 ini. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pemuda-pemuda Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.

Sekiranya Umno mampu untuk bersatu menentang PAS,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu serta  bahu membahu untuk melaksanakan tanggungjawab siasah dan dakwah ini ?
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu (orang-orang Islam) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (al-Anfal : 73)

Wahai pemuda-pemuda Islam jangan sampai kedapatan diantara kita yang sering memberi alasan dan sebab tidak turut serta dalam setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan.Sebahagian kita sering memberi alasan pekerjaan,keluarga dan kekangan masa untuk tidak bersama.Ingatlah sekiranya kita memberi seribu alasan sedangkan saudara kita yang lain sibuk berhempas pulas pada setiap ketika berada di medan perjuangan.Persoalannya adilkah kita dan layakkah kita mendabik dada mengaku berjuang bersama tetapi tidak dalam bekerja dan berkorban? Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah at-Taubah:24)

Keempat: Kekuatan Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (al Jumu’ah : 5)

Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.

Amat menyedihkan umat Islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam; “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.

Dalam berhadapan dengan pilihan raya semakin hampir ini, kita disaran supaya mendekati masyarakat dengan mempamerkan nilai akhlak yang baik dan mulia. Menggunakan segala kemahiran yang dipunyai seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, teknologi atau sebagainya untuk merealisasikan misi dakwah dan siasah. Perlihatkan kepada mereka bahawa pemuda PAS adalah pemuda yang bersedia dan mampu untuk memimpin dan membimbing golongan muda sekiranya kita diberi mandat untuk memerintah.

Inilah empat kekuatan yang mesti dilangsaikan oleh pemuda PAS untuk memastikan kemenangan PRU yang ke-13 ini. Kita sepatutnya memeriksa setiap kekuatan ini  wujud di dalam diri. Adakah semua tuntutan ini sudah dihadami dan ditunaikan ataupun sebaliknya?. Berbanggalah kita semua tatkala hari kemenangan Islam tiba dan kita merupakan penolong agama Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih.” (ar- Rum : 4-5)

Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam, pewaris generasi Solahuddin al-Ayyubi. Takbir!

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepang

Judi, hudud: MCA sejak awal lagi tolak

Aslani M, 08 Ogs 2012

KOTA BHARU: Penceramah Umno, Abdullah Sa’amah (Haji Lah Geting) disifatkan ketinggalan zaman apabila menganggap MCA dan MIC bukan kafir harbi.

Sedangkan sebelum ini MCA melalui proksinya secara terang-terangan mahu menyamankan kerajaan Kelantan kerana mengharamkan premis judi sejak 1990.

Namun usaha parti kompenan BN itu menghidupkan semula aktiviti judi di Kelantan ditolak Mahkamah Rayuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mahkamah sebulat suara menerima rayuan kerajaan Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) membatalkan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi tahun lepas.

Saman tersebut difail pada Julai 2011 oleh tiga penduduk Kelantan, Wong Meng Yit, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa dan Gan Han Chuan.

Mereka dikatakan mendapat sokongan padu MCA ketika memfail saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, begitu juga dalam isu hudud kenyataan pemimpin MCA sejak dari awal lagi secara jelas menolak.

“Buktinya banyak kenyataan dibuat pemimpin MCA terutamanya presidennya sekarang yang mempertikaikan hudud. Mungkin mereka langsung tidak diberi kefahaman oleh pemimpin Umno.

“Kalau hendak cari makan dengan Umno sekali pun janganlah pula mengeluarkan kenyataan sehingga boleh diketawakan orang kampung,” katanya yang Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian.

Abdullah dalam kenyataan disiarkan akhbar Umno hari ini mendakwa umat Islam diingatkan tidak menyokong DAP kerana ia adalah haram dan berdosa kerana menentang penubuhan negara Islam dan hudud.

Abdul Rahman berkata, rakyat Kelantan sudah lama mengenali siapa Haji Abdullah yang kini menggunakan ilmunya untuk mencari makan dengan Umno.

“Penduduk di Geting tahu siapa Haji Lah. Kenyataan yang dikeluarkan itu sudah jelas menggambarkan Umno benar-benar kepupusan idea untuk berdepan dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Tak perlu baiah, kata bekas pengarah JSJ

Hazayani Zakaria, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu sehingga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbaiah dengan kerajaan kerana tugas anggota polis sememangnya menjaga keselamatan awam dan negara.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, jika anggota polis memahami kerja mereka satu ibadah, mereka harus bekerja dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh.

"Itu hak perdana menteri untuk membuat seruan tapi sememangnya penjawat awam khususnya anggota polis yang faham konsep ibadah, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Namun katanya, anggota polis harus faham bahawa mereka hanya bertanggungjawab terhadap kerajaan dalam soal tugas namun berhak membuat pilihan untuk memilih parti mana untuk menerajui kerajaan.

"Memang kerja kena ikut pertauran yang ditetapkan oleh kerajaan tapi anggota polis kena tahu bezakan kerajaan dan parti.

"Kalau bab mengundi, hak mereka untuk memilih parti mana yang difikirkan lebih baik," katanya yang menyertai PAS Mei lalu.

Semalam, Najib berkata sekiranya kerajaan membantu PDRM, PDRM akan membantu kerajaan dan negara.

'Jalur Malang': Nizar beri penjelasan

Anis Nazri, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menafikan beliau menghina Jalur Gemilang, sebaliknya berkata Umno yang berbuat demikian.

Ia berikutan tindakan Umno melalui Menteri Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meletakkan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema kemerdekaan tahun ini.

Bercakap kepada Harakahdaily, Nizar berkata pilihan tema berbaur kempen politik itu untuk diiringkan bersama Jalur Gemilang itu sendiri menunjukkan betapa bendera kebanggaan negara itu dihina.

"Umno dan BN yang menghina Jalur Gemilang apabila meletakkan tema kempen politik mereka seiring dengan bendera negara.  Itu yang saya ingin bawakan pemikiran rakyat supaya berfikir usaha Umno itu," tegas beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kecaman yang diterima beliau ekoran tweet beliau berkenaan Jalur Gemilang dan kemerdekaan.

Isnin lalu, Nizar dlam tweetnya menulis  "Janji ditepati: malang perayaan Kemerdekaan tahun ini di buat oleh Kabinet BN, luntur semangat nak kibarkan jalur gemilang, jalur malang!".

Mengulas lanjut, Nizar berkata apa yang dimaksudkan beliau ialah Jalur Gemilang itu yang malang, bukannya menukarkan nama Jalur Gemilang kepada Jalur Malang.

"Saya katakan malang perayaan merdeka kali ini dibuat BN keraa slogan politik mereka, hingga menyebabkan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang luntur. Malanglah Jalur Gemilang bila tidak dikibarkan.  Jalur Gemilang itu yang malang," jelas beliau lagi.

Mengakui penggunaan ayat di laman maya, khususnya laman sosial boleh menimbulkan pelbagai pemahaman yang berbeza, Nizar bagaimanapun berkata ramai yang mengecam tweet beliau itu menunjukkan betapa tidak fahamnya mereka terhadap patriotisme.

"Ramai di kalangan yang mengecam saya tidak faham tentang semangat patriotisme. Sebaliknya, hanya menunjukkan tahap patriotisme yang dididik Umno selama 54 tahun ini," tegas beliau.

Tiada ulasan: