Jumaat, 24 Ogos 2012

INSYAALLAH SEMUA DALAM KEKUASAAN ALLAH SWT...SEKARANG ORANG SUKA MEMILIH ISLAM BUKAN KAUM LAGI...ISLAM SAJA DILIHAT BOLEH MENYATUKAN MANUSIA...ISLAM ITU SEJAHTERA@SELAMAT BUKAN SEBALIKNYA SEBAGAI DIGAMBARKAN OLEH MUSUH2 ISLAM@SYAITAN

Mansor Nafi Gelar Guan Eng 'Angkuh, Sombong'

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman menafikan menggunakan perkataan sombong dan angkuh terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.
"Perkataan seperti tokong terkeluar daripada konteks untuk memberi gambaran buruk terhadap hubungan di antara PKR dan DAP.
"Sebagai contoh, perkataan tokong sebenarnya merujuk kepada penghormatan dan sanjungan tinggi diberikan kepada Ketua Menteri oleh rakyat Pulau Pinang," kata Mansor.
Beliau berkata, pertemuan itu bukanlah mesyuarat strategik yang dirancang seperti yang dilaporkan tetapi perjumpaan tidak formal di antara ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut menafikan bahawa minit mesyuarat turut dicatat pada pertemuan itu.
Terdahulu, Mansor dilaporkan menyifatkan Lim sebagai sombong dan angkuh ketika mesyuarat strategik PKR pada Mac tahun ini.
Minit mesyuarat itu telah bocor dan disiarkan dalam sebuah blog yang dipanggil Gelagat Anwar.
Dalam minit mesyuarat yang didakwa itu, Mansor dipetik sebagai berkata DAP meminta kerusi tambahan pada pilihan raya umum akan datang.
Namun, dakwaan itu kemudiannya disangkal Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang meminta penjelasan daripada Mansor berhubung kenyataan tersebut.
Sebuah portal memetik Mansor sebagai berkata, minit mesyuarat strategik parti itu berkaitan persiapan menjelang pilihan raya umum disiarkan secara bulat-bulat dalam satu blog yang tidak dikenali.
"Dia (Lim) amat sombong, saya akan beritahu kamu...sombong dan angkuh. Ia tidak mudah. Kini lebih angkuh," katanya seperti dipetik dalam minit mesyuarat itu.
Tengku Razaleigh Nafi Jejaskan Perjuangan Umno & BN Di Kelantan
GUA MUSANG: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
"Lagi pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, Jumaat.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.
Katanya, beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab Petronas untuk menyelesaikannya.
"Sumber sebenar hasil itu (petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.
"Memanglah ramai yang membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan," katanya.
Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.
"Saya bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas kepada pembangkang.
"Saya mempunyai strategi sendiri bagi mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya. - BERNAMA
Nazri tolak cadangan undang-undang lompat parti
6:27PM Ogos 24 2012
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menolak rancangan kerajaan Pulau Pinang untuk menubuhkan undang-undang anti-lompat parti.

Nazri berkata penubuhan itu bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan.

Sebagai ahli parlimen, Nazri berkata, kebebasan untuk memilih mana-mana parti perlu diberi kepada mereka.

"Jadi, selagi kita tidak membuat pindaan pada perlembagaan, saya tidak melihat apa-apa perkembangan mengenai rang undang-undang anti-lompat parti. Perkara sama juga telah diputuskan sebelum ini di Sabah.

''Inilah apa yang saya tidak faham tentang DAP. Anda mempunyai ahli parlimen yang bercakap tentang kebebasan dan hak asasi manusia yang dijamin oleh perlembagaan.

"Pada masa yang sama, mereka mahu melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang telah dijamin," katanya seperti dipetik sebagai berkata oleh akbar harian berbahasa Inggeris, New Strait Times hari ini.

Nazri juga berkata, BN merupakan sebuah parti "bijak dan pintar" kerana tidak menerima mana-mana wakil rakyat yang berpaling tadah dari pembangkang untuk masuk ke dalam mana-mana parti komponennya.

"Tidak seperti mereka, BN bijak dan pintar. Kami tidak menerima mereka dalam parti kami (sepanjang tempoh ini).

"Jika anda adalah parti dengan prinsip, anda tidak akan mengambil pihak lain sebagai ahli. Anda perlu menghormati keputusan yang dibuat rakyat. Dalam kes kami, kami tidak mengambil mereka. Mereka boleh kekal bebas.

"Tetapi ahli politik dan ahli Parlimen di Pakatan Rakyat tidak tahu apa yang mereka lakukan. Mereka adalah contoh yang tidak baik," katanya lagi.

Lagi sokongan untuk Nurul Izzah di media Barat

Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai dan pemimpin PKR, sekali lagi disebut dalam media Barat sebagai calon pengganti kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sejak mengetuai protes menentang pemerintah pada penghujung 1998 disebut-sebut sebagai pewaris jawatan perdana menteri oleh gabungan parti-parti pembangkang.

Dalam satu tulisan yang tidak mengemukakan sebarang isu baharu, Luke Hunt di laman The Diplomat menyebut bahawa Nurul Izzah ialah salah seorang calon penerus misi Anwar.

Banyak pihak, terutama di Barat, melihat Anwar sebagai satu-satunya calon perdana menteri Malaysia gabungan pembangkang, disebabkan ideologinya yang lebih disenangi berbanding PAS, parti pembangkang terbesar dan lebih mudah diterima berbanding DAP yang dikuasai etnik Cina, selain hubungan Anwar dengan Barat yang telah lama terjalin.

Artikel bertajuk Malaysia's Opposition Leader Stepping Down? itu senada dan kelihatan hampir sama dengan satu tulisan di akhbar Inggeris Guardian awal Julai lalu, yang juga menyebut nama Nurul Izzah sebagai calon pengganti Anwar di penghujung rencana.

Tulisan agak ringkas ini sekadar mencatatkan peluang Anwar menewaskan Barisan Nasional yang semakin sukar dan keperluan menyerahkan kepimpinan kepada generasi lebih muda.

Menurut Hunt, peluang Anwar menwaskan BN semakin sukar ekoran pemberian ganjaran yang besar oleh kerajaan, ekonomi yang bertambah pulih, pemansuhan undang-undang yang mengekang kebebasan, kebebasan media dan proses perundangan yang terlaksana di bawah Najib.

Nurul Izzah kini menjadi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang paling jelas disebut sebagai pengganti bapanya sebagai pemimpin pembangkang dan calon perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan.

Beliau mempunyai sokongan kuat kelompok liberal Malaysia, ekoran pelbagai faktor termasuk populariti dan potensi untuk membawa agenda liberal tetapi tanpa mencetuskan banyak perpecahan seperti dilakukan bapanya.

Walaupun prestasinya di Lembah Pantai didakwa sesetengah pihak sebagai tidak cemerlang seperti yang dikemukakan, ahli politik yang menerima sokongan sebahagian besarnya akibat kedudukan keluarganya ini setakat ini belum mengalami kontroversi ekoran pendirian politiknya.

Anwar semakin terjejas populariti dan kredibiliti ekoran pelbagai isu, termasuk peribadi melibatkan dakwaan liwat, pendirian dalam isu homoseksualiti, dan melibatkan agama seperti pluralisme agama.

Beliau juga kini merupakan pemimpin yang jauh lebih tua berbanding ramai pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Sekiranya Anwar menjadi perdana menteri seterusnya, beliau bakal menjadi perdana menteri yang lebih tua enam tahun berbanding penjawat sebelumnya.

Tulisan terkini di media antarabangsa ini mampu meningkatkan lagi tekanan terhadap Anwar untuk berundur, sekiranya beliau tidak bercadang untuk berundur, lebih-lebih lagi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, dan mampu meningkatkan lagi sokongan kepada anaknya Nurul Izzah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mendapat liputan agak meluas media dan menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak yang mampu membantu peningkatannya.

Pemuda PAS gesa peranan aktif OIC, Asean tangani minoriti Muslim

Pemuda PAS melalui lajnah antarabangsanya telah menggerakkan dua kempen bantuan dalam bulan Ramadan ini, melibatkan minoriti Muslim di Thailand dan Burma (Myanmar).

Awal Ogos lalu, delegasi Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS diketuai pengerusi lajnah yang juga Naib Ketua Pemuda Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim mangsa keganasan di Tak Bai, Narathiwat, di selatan Thailand.

Delegasi turut disertai ahli lajnah yang lain antaranya Abdul Ariffahmi Ab Rahman, Fariz Irwan Mustafa dan Dr Rosli Alani Kader.

Ekoran perkembangan terkini politik serantau, Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS bakal memberi tumpuan khusus kepada isu minoriti Muslim khususnya di Asia Tenggara yang membentuk Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean.

Pemuda PAS bersama wakil pemuda parti Islam serantau baru-baru ini juga telah hadir ke Jakarta, Indonesia menyampaikan memorandum berhubung kekejaman terhadap Muslim Rohingya di Burma, hasil satu ketetapan yang dibuat di Kuala Lumpur Julai lalu.

Pemuda PAS mengadakan kempen kutipan bantuan yang boleh disampaikan ke akaun Bank Islam, 14014010026320.

Tindakan menyampaikan memorandum itu merupakan sebahagian usaha Pemuda PAS untuk mendesak peranan lebih aktif dan tegas Asean sebagai badan serantau dalam menangani isu kritikal seperti keganasan dan pembersihan etnik di Burma dan Thailand.

Pemuda PAS turut meningkatkan usaha mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC, agar menjalankan fungsi yang lebih berkesan dalam menangani isu dunia Islam, seperti perang saudara di Syria dan keganasan terhadap etnik Rohingya di Burma yang masih berlangsung.

OIC kini sedang mengadakan sidang kemuncak tergempar di Mekah, Arab Saudi, untuk menangani isu semasa umat Muslim.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak kini berada di Mekah menghadiri sidang kemuncak tergempar pertubuhan itu.

PAS dan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan menggesa peranan lebih tegas Malaysia dalam menangani isu Rohingya, yang berlaku di sebuah negara anggota Asean, pertubuhan serantau yang Malaysia menjadi sebuah ahli pengasasnya. 

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS melihat sidang kemuncak ini, dan pertemuan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM di Iran tidak lama lagi sebagai peluang untuk mencapai persetujuan, membina kerjasama dan meningkatkan tekad politik untuk menangani isu-isu umat dengan lebih berkesan.

PAS kini mendahului Umno dalam merebut pengundi Melayu, kata Mustafa

BUKIT GANTANG, 6 April: Sehari menjelang hari mengundi, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali memberitahu, PAS kini mendahului Umno dalam merebut hati pengundi Melayu.

"Peratusan pengundi Melayu telah memihak kepada kita dan kita telahpun mengatasi peratusan pengundi daripada Umno sekarang ini," kata Mustafa dalam sidang medianya di Markas PAS dekat Air Kuning, hari ini.

Sebelum ini, Mustafa dalam sidang medianya berkata, PAS mendahului BN dalam merebut undi bukan Melayu iaitu India dan Cina namun ketinggalan dalam merebut pengundi Melayu.

Hari ini, Mustafa memaklumkan, PAS kini berjaya mendahului Umno untuk pengundi Melayu di samping kekal untuk pengundi Cina dan India.

Ini bermakna, jika Mustafa berkata benar, calon PAS, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin bakal memenangi pilihan raya kecil ini.

“Jentera PAS menunjukkan mesra rakyat yang bersungguh-sungguh dan berbeza dengan Umno yang hanya berlakon dengan mahu meraih undi sahaja.

“Alhamdulillah, semua jentera dan pemimpin Pakatan Rakyat telah berkempen di Bukit Gantang,” ujarnya.

Pengundi luar perlu diberi cuti bergaji - Presiden PAS

MANEK URAI, 12 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranannya bagi memastikan para pengundi Manek Urai yang bekerja di luar kawasan mendapat cuti bergaji pada 14 Julai depan untuk membolehkan mereka pulang mengundi.

Kata beliau, SPR boleh mengkaji tempoh untuk mereka bercuti berdasarkan jarak tempat tinggal pengundi tersebut dengan tempat mereka mengundi dan juga faktor-faktor lain yang munasabah.

Kata Presiden PAS itu, badan yang menguruskan perjalanan pilihan raya di Malaysia itu juga perlu melakukan kempen besar-besaran dengan kerjasama media supaya pengundi luar balik menunaikan tangungjawab mereka.

"Saya percaya hari mengundi sengaja dibuat pada hari bekerja untuk menyukarkan pengundi luar pulang, sebab itu saya gesa SPR melakukan sesuatu untuk memastikan demokrasi tetap dijaga," kata beliau dalam sidang akhbar di bilik gerakan utama PAS bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

Abdul Hadi sebelum itu mendengar taklimat terkini tentang perkembangan di Manek Urai oleh Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan bersama-sama Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali dan Bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Sebelum ini akhbar Siasah melaporkan mengenai perkembangan di Manek Urai di mana kedudukan PAS agak cemas sekiranya ramai pengundi di DUN tersebut yang menetap di luar kawasan khususnya sekitar Lembah Kelang tidak pulang mengundi.

Terdapat lebih dua ribu pengundi Manek Urai berada diluar kawasan dan sebahagian besar mereka dikatakan pengundi PAS berdasarkan pilihan raya umum ke-12 tahun lalu.

"Hampir keseluruhan pengundi yang ditemui sepanjang tempoh berkempen memberikan petanda positif kepada PAS, cuma kita bimbang dengan pengundi luar kawasan tidak pulang. Jumlah mereka besar," kata Abdul Hadi ketika diminta mengulas kedudukan mutakhir PAS selepas lima hari berkempen.

Sementara itu Salahuddin dalam sidang medianya sebelum itu turut mengakui PAS tidak boleh memandang rendah saingannya dalam pilihan raya kali ini setelah meninjau sendiri gerak kerja yang dilakukan termasuk apa yang dilakukan oleh pihak lawan.

"Satu-satunya pilihan yang PAS ada ialah terus berkerja kuat sehingga saat terakhir. Umno ada peluang untuk menang sekiranya PAS leka," katanya.

PAS ganti Umno, Umno ganti PAS

PAS kini dilihat semakin bergerak ke tengah dalam spektrum ideologi, berubah menjadi semakin liberal dan inklusif.

Walaupun kenyataan ini masih tertakluk kepada perjalanan sejarah yang panjang, ia satu akibat yang semakin boleh dibayangkan dan difikirkan.

Agamawan dalam PAS masih mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat akar umbi, dan dijangka akan memberikan respons kepada hasil pemilihan yang baru berlangsung.

Walau bagaimanapun, dalam sejarah panjang kedua-dua PAS dan Umno, dapat diperhatikan perubahan pendekatan dan haluan parti-parti mewakili Melayu-Muslim utama di negara ini.

Berbanding tahun-tahun 1980-an, PAS kini sudah jauh berubah daripada garis keras dan sikap kurang menerima realiti plural masyarakat dan pengundi negara ini.

Dari satu sudut, PAS dilihat semakin berhikmah dalam menyampaikan mesej Islam, tetapi pada sudut lain, PAS dilihat semakin tunduk kepada keperluan politik pragmatik, terutama melibatkan sokongan dalam pilihan raya.

Kenyataan ini juga masih boleh diperdebatkan, tetapi semakin mudah diakui oleh ahli-ahli dan pemerhati parti Islam ini.

Di seberang lain, Umno kini, sama ada benar atau salah, semakin mengambil isu-isu Islam sebagai bahan kempen, dan semakin mengambil berat hal ehwal berkaitan masyarakat Melayu-Muslim yang sebelum ini dikuasai PAS dan diabaikan parti etnonasionalis itu.

Sebagai bahan kempen untuk pilihan raya umum akan datang, keprihatinan ditunjukkan oleh Umno dalam hal Melayu-Muslim berpotensi memberi manfaat kepadanya.

Sama ada berdasarkan sebab pragmatisme atau kesedaran sebenar, Umno semakin dekat dengan isu-isu yang sebelum ini berada dalam domain eksklusif PAS.

Walaupun berdepan cabaran komponen yang lebih asertif dan kuat menentang elemen Islam, Umno dilihat semakin terdorong untuk mengambil haluan yang lebih dekat dengan beberapa isu dasar Islam.

Akibatnya, PAS berpotensi menjadi lebih pragmatik, manakala Umno menjadi lebih lantang bersuara dalam beberapa hal ehwal Islam.

Pilihan-pilihan yang dibuat berdasarkan keperluan semasa itu, akhirnya, berpotensi pula menjadi antara ciri penting parti-parti terbabit, dan mengubah kedudukan kedua-dua parti itu dalam lanskap politik tempatan. Anda mungkin juga

PAS 60 tahun: Peluang dan cabaran gerakan Islam

PAS, parti berideologi Islam dan parti Melayu kedua terbesar di Malaysia telah mencapai usia 60 tahun, satu tempoh yang panjang dihiasi sejarah yang mencabar.

Pada usia 60 tahun, PAS kini menerajui kerajaan di dua negeri; Kelantan dan Kedah dan rakan pakatan pemerintah di Selangor.

Dalam politik nasional, PAS menjadi rakan penting Pakatan Rakyat, sebagai parti dengan ahli dan jentera paling ramai, paling berkesan dan paling kohesif.

Kualiti tersebut menjadikannya anggota paling kritikal kepada gabungan PR, gabungan yang kini menjadi satu-satunya pesaing Barisan Nasional yang kredibel.

Selain menyumbang kepada kewujudan dan keutuhan sebuah pakatan pembangkang, PAS juga sebagai sebuah parti telah melalui pelbagai perubahan, seperti kewujudan kumpulan penyokong bukan Muslim.

Dari segi imej kepada rakyat bukan Muslim, PAS telah melalui perubahan yang dramatik, seperti yang ditunjukkan melalui penubuhan dewan untuk bukan Muslim dan pendirian pragmatik berhubung isu agama dan kaum bukan Melayu-Muslim.

Kedudukan PAS kini sebagai ahli penting PR membuktikan satu perjalanan panjang yang telah dilalui dan pencapaian yang telah dicapai.

Sebagai sebuah parti politik, PAS telah melalui pelbagai debat dalaman yang telah membentuk banyak sikap dan pendirian baharu berhubung penyertaannya dalam politik.

PAS sentiasa melalui proses-proses yang membina, menjadikannya lebih matang dan lebih memahami keperluan penglibatan dalam politik nasional sebagai parti yang benar-benar bersifat nasional.

Walau bagaimanapun, beberapa isu masih perlu ditangani dengan segera dan tegas oleh PAS, sebagai proses memantapkan lagi parti sebagai sebuah parti nasional dan juga pada masa sama sebuah gerakan Islam, seperti yang ditegaskan lagi oleh presiden parti, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapannya di majlis sambutan 60 tahun.

PAS perlu memantapkan lagi organisasi parti dalam hal melibatkan pendirian rasmi isu, hubungan parti peringkat nasional dengan negeri, pengurusan melibatkan latihan, penerangan dan banyak lagi hal penting.

Satu yang masih menjadi isu ialah kenyataan yang terlalu mudah dikeluarkan oleh pemimpin parti dalam pelbagai isu, termasuk bidang yang memerlukan pertimbangan lebih mendalam.

Hal ini akan menyediakan parti untuk bergerak sebagai sebuah parti nasional dan menampakkan kredibiliti kepada umum.

Dalam hal berkaitan pengisian kemenangan, PAS perlu meningkatkan lagi keupayaan dan tenaga yang boleh dimanfaatkan untuk menyumbang kepada jentera pentadbiran, daripada kerajaan tempatan hingga ke peringkat pusat.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12, satu kritikan yang banyak diutarakan oleh pemerhati parti ialah ketiadaan atau kekurangan individu yang layak untuk memenuhi posisi-posisi penting dalam hal ehwal kerajaan.

Berhubung isu yang sama, PAS memerlukan pakar-pakar yang cukup dalam pelbagai bidang, yang mempunyai disiplin dalam bidang masing-masing tanpa dipengaruhi secara tidak wajar oleh politik, terutama politik puak dan parti.

Budaya kajian, seperti yang dibayangkan melalui penubuhan Pusat Penyelidikan PAS, perlu menjadi satu komponen penting dalam parti.

Pada masa sama, hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan pelbagai bidang, daripada alam sekitar hingga isu-isu hak asasi dan kepentingan spesifik tertentu perlu ditingkatkan, untuk mendapat pandangan yang diperlukan daripada kumpulan tersebut.

Sekiranya berjaya menguasai pemerintahan pusat, PAS akan perlu kepada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, yang sebahagiannya sudah dimiliki parti-parti sekutu dalam PR.

Di peringkat kerjasama dengan parti-parti rakan, PAS perlu bersikap realistik dan berusaha mengukuhkan kedudukannya sebagai ahli gabungan, serta menyedari penyertaan dalam sebuah pakatan memerlukan kompromi dan tindakan sebagai ahli pakatan.

Dalam hal ini, PAS perlu menyedari apa manfaat yang boleh diperolehi dan berusaha agar apa yang diperjuangkan menjadi antara agenda utama pakatan.

Kejayaan PAS tiba pada titik penting usia 60 tahun, yang meliputi tempoh sebelum merdeka hingga era suram parti pemerintah membuktikan keberkesanan dan kejayaan PAS sebagai sebuah parti dan gerakan Islam.

Segala pengajaran yang telah diperolehi sepanjang tempoh 60 tahun ini perlu dimanfaatkan untuk menjadi lebih bersedia menangani peluang dan cabaran seterusnya.

Dilema dasar luar Najib menangani NAM

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak berdepan cabaran mengimbangi usaha merapatkan hubungan dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama dengan politik Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, NAM, yang bakal berlangsung di Tehran, Iran tidak lama lagi.

Dalam usaha mendapatkan sokongan berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 dan kempen imej moderat di peringkat antarabangsa, Najib memerlukan AS dan Obama, yang mempunyai pengaruh besar dalam hal ini.

Pada masa sama, NAM, yang Malaysia berperanan sebagai ahli pentingnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, bakal menangani satu agenda kritikal berhubung hubungan AS dengan Iran dan juga melibatkan hubungan negara serantau di Asia Barat.

Di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam, OIC di Arab Saudi minggu lepas, Malaysia menunjukkan sikap selari dengan agenda Riyadh dan sekutunya Turki dan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk, GCC, dengan menyokong penggantungan Syria, sekutu utama Iran di dunia Arab.

Riyadh telah menggunakan sidang kemuncak OIC yang lalu sebagai satu medan untuk menegaskan lagi pengaruhnya dan mencapai agenda melibatkan persaingan kuasa-kuasa serantau di dunia Arab, menggunakan tarikh penting dalam bulan Ramadan dan kedudukannya sebagai negara menempatkan kota suci Mekah sebagai simbol yang mengabsahkan agendanya.

Ekoran pelbagai kepentingan termasuk ekonomi, Malaysia di bawah Najib memelihara hubungan baik dengan Saudi dan sekutu, sehingga menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi berhubung politik dalaman dan serantau negara-negara monarki terbabit.

Mahathir dalam satu kenyataan telah menegaskan kepentingan sidang kemuncak NAM di Tehran sebagai satu forum untuk "mempertahankan kepentingan negara yang mendapat layanan tidak adil Barat."

Pentadbiran Najib walau bagaimanapun dijangka tidak akan memperlihatkan sikap tegas seperti Mahathir ini, yang bakal mengguris negara-negara seperti Arab Saudi dan AS.

Kerajaan AS - dan juga sekutunya Israel - telah mengeluarkan kenyataan mengecam sidang kemuncak NAM di Tehran, mendakwa Iran menggunakan pertemuan itu untuk kepentingan agendanya.

Dalam hal ini, Najib mengambil haluan dasar luar yang berbeza berbanding pendekatan zaman Mahathir, yang lantang bersuara terhadap sikap Barat, walaupun dikritik kerana bersikap kuku besi di dalam negara.

Mahathir melalui aktivismenya dalam isu-isu antarabangsa terus menangani isu-isu sensitif kepada kuasa besar seperti Palestin, campur tangan kuasa Barat dan struktur dunia yang tidak seimbang terhadap negara Membangun, yang selari dengan semangat NAM.

Tiada ulasan: