Kisah pelarian Rohingya: 'Myanmar tanah air kami'
20 Ogos 2012
Walaupun keganasan etnik yang berlaku sejak awal Jun lalu menyebabkan lebih 80 terbunuh manakala lebih 80,000 hilang tempat tinggal, beberapa anggota komuniti Rohingya yang ditemui di Kuala Lumpur masih berharap agar konflik itu segera berakhir.
Presiden Myanmar mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya 27 anggota untuk menyiasat keganasan etnik di wilayah Barat negara itu.
Dalam pertemuan dengan Sinar Harian Online minggu lalu, Mohd Alam Shamsudin, 47, yang berasal dari daerah Mongdu di negeri Rakhien (Arakan) berkata, walaupun hak kewarganegaraan etniknya dinafikan, namun ia adalah tanah kelahiran mereka.
"Mana mungkin saya lupakan tanah air saya, tanah kelahiran saya dan kaum keluarga yang terpaksa saya tinggalkan demi keselamatan.
"Saya memutuskan untuk meninggalkan kampung halaman pada tahun 1989 dan menjadi pelarian ketika berusia 24 tahun kerana tidak tahan menanggung penderitaan akibat ditindas.
"Orang Rakhien ketika itu memang memandang orang Islam Rohingya dengan penuh kebencian dan setiap apa yang dilakukan oleh kami adalah salah di mata mereka, sebaliknya apa yang mereka buat adalah betul belaka," katanya.
Ujar Mohd Alam, orang Rohingya bukan sahaja sukar mendapatkan status warganegara, malah mereka juga terpaksa menghadapi diskriminasi selain pergerakan yang dihadkan termasuk dalam isu perkahwinan serta anak.
Menyingkap bibit awal ketika berada di negara ini, Mohd Alam mengakui pernah ditangkap pihak polis kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah pada 1992.
"Saya gagal menunjukkan pasport seperti yang diminta pihak berkuasa kerana apa yang saya ada hanyalah surat daripada Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCHR).
"Saya kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang selama dua bulan sebelum dihantar ke Penjara Pudu selama lebih kurang tiga hari dan dihantar ke Hadyai, Thailand.
"Dari sana, saya berusaha masuk kembali masuk ke negara ini kerana di sana pelarian-pelarian ini dilayan dengan teruk sekali," kata bekas pelajar sekolah tinggi ini.
Anak saudaranya, Mohd Alam yang turut berada di negara ini, Abd Rashid Azizulhuk, 37, berkata, walaupun pernah melalui beberapa episod sedih sepanjang menjadi pelarian, namun hatinya tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupannya.
"Dari kampung, saya berjalan kaki ke Thailand yang memakan masa berhari-hari dan bekerja di kilang pengimpal selama sembilan bulan," katanya. Duit yang dikumpul itulah dia gunakan untuk datang ke Malaysia pada 1993 dengan menaiki bas. Tambang ketika itu RM25.
"Pada awal ketibaan saya di sini, saya berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup termasuklah terpaksa menahan perut kerana tidak ada duit untuk makan selama beberapa hari, tidak dibayar upah selepas selesai membuat pekerjaan dan kesukaran berkomunikasi kerana sukar memahami bahasa Melayu.
"Saya juga pernah ditahan selama tujuh bulan dan 27 hari di kem tahanan pelarian di Sepang.
"Kini hidup saya lebih teratur kerana mempunyai kerja yang tetap dan di sini saya bekerja di sebuah kilang besi," katanya ketika ditemui di rumah yang di sewa bersama kawan-kawan Rohingya di Kampung Cheras Baru, baru-baru ini.
Selain Mohd Alam dan Abd Rashid, turut tinggal serumah ialah Mohd Nesar Kamal Hussain, 40. Dia mengakui sering merindui kampung halamannya hanya mampu mengikuti setiap perkembangan yang berlaku di Arakan melalui televisyen ataupun akhbar.
Dia turut menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan di negara itu terutamanya sepanjang bulan Ramadan lalu.
"Saya juga ada menelefon keluarga di kampung. Saya juga tidak boleh bayangkan kesukaran umat Islam di sana kerana walaupun mereka ada wang, belum tentu mereka boleh membeli apa-apa," katanya.
Selain Mohd Nesar, Noor Mohammed, 46, yang berasal dari Sittwe, berhijrah ke Malaysia pada 1966 pada usia 28 tahun. Dia tidak dapat kembali ke Arakan.
"Pada tahun 1995, saya baru habis belajar dalam jurusan Tafsir, Fekah dan Hadis dari Madrasah Al-Jamiah Islamiah di Cittagong, Bangladesh.
"Ketika cuba masuk kembali Myanmar, saya telah dihalang oleh tentera dan dituduh sebagai ektremis Islam hanya kerana penampilan pakaian saya yang berjubah, berkopiah serta menyimpan janggut," katanya.
Atas nasihat guru-gurunya, Noor kemudiannya datang ke Malaysia kerana mereka berpendapat adalah lebih selamat datang ke sini kerana sebuah negara Islam.
"Saya agak bernasib baik kerana mempunyai pasport kerana sudah lama tinggal di Bangladesh dan berjaya mendapat status Penduduk Tetap.
"Disebabkan saya mempunyai sijil agama dan kebetulan sebuah masjid di Sentul memerlukan imam, saya kemudiannya ditawarkan untuk bekerja di situ," katanya yang bertindak sebagai imam hingga sekarang.
Bapa kepada dua orang cahayamata lelaki ini berkata, setiap kali menjelang Aidilfitri, lebih 200 orang Rohingya yang datang dari sekitar Kuala Lumpur termasuk Ampang, Sentul dan Selayang untuk solat di masjid itu.
Katanya, peluang inilah yang digunakan oleh sesama mereka untuk bertanya khabar sambil mengeratkan hubungan.
Mohamad Talib Mohd Muslim, 39, yang juga sepupu Noor, merupakan rakan sekuliah di madrasah yang sama ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Sentul Utara berkata, jika diberi pilihan untuk memilih negara ketiga, dia tetap mahu tinggal di Malaysia kerana negara ini sangati aman dan damai.
Mohamad Talib yang sudah berkahwin dengan seorang wanita Indonesia tiga tahun lalu itu tiba di Malaysia 10 tahun lalu selepas tidak tahan dengan tekanan yang dihadapi di Myanmar.
"Saya bersama 100 orang yang lain datang ke sini dengan menaiki bot dari Myanmar dan tiba di Thailand. Dari sana saya dihantar ke Klang.
"Pada peringkat awal, saya terpaksa bertukar-tukar kerja kerana berhadapan dengan masalah komunikasi sehinggalah sekarang saya sudah bekerja sebagai penghantar ayam di Pasar Chow Kit.
"Walaupun dengan gaji RM45 sehari dan waktu bekerja dari 3 pagi hingga 8 pagi, saya gembira dan bahagia di sini," kata pemegang kad pelarian UNHCR ini.
Penafian hak warganegara kumpulan ini bermula apabila Myanmar tidak mengiktiraf etnik Rohingya yang berketurunan Bengali sebagai rakyatnya kerana kumpulan itu hanya memasuki negara itu pada kurun ke-19 ketika pemerintahan British.
Rata-rata setiap anggota etnik Rohingya yang berada di Malaysia meletakkan harapan yang tinggi agar segala kerintangan yang dilalui akan berakhir dalam wakt terdekat.
Bila? Itu yang menjadi tanda tanya!
Taib: Sarawak akan bincang semakan royalti minyak dengan kerajaan pusat
20 Ogos 2012
Sambil bersetuju bahawa pemimpin negeri daripada pihak kerajaan dan pembangkang di negeri itu mencapai kesepakatan berhubung isu itu, beliau berkata kedua-dua pihak perlu duduk berbincang mengenainya.
Katanya ini lebih-lebih lagi susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
"Perkara ini akan dibincangkan dengan kerajaan pusat berdasarkan hubungan baik saya dengan perdana menteri," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya beliau di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) di sini.
Awal bulan ini, Najib mengumumkan bahawa jawatankuasa itu diberi enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum membuat cadangan kepada kerajaan pusat, yang akan menamatkan segala persoalan yang menyelubungi isu pembayaran royalti.
Bagaimanapun beberapa pemimpin politik di negeri ini berpendapat semakan semula royalti petroleum kepada negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu perlu merangkumi Sarawak dan Sabah memandangkan kedua-dua negeri berkenaan adalah penyumbang utama pengeluaran petroleum negara.
Naib Pengerusi Wanita Barisan Nasional Sarawak Datuk Fatimah Abdullah dipetik sebagai berkata sudah tiba masanya perjanjian mengenai bayaran lima peratus royalti minyak itu disemak semula memandangkan kadar itu dibuat lebih dari empat dekad lepas.
Selain itu, Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng pula berkata menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk menjaga kepentingan kedua-dua negeri agar berada pada kedudukan yang setara dengan negeri di Semenanjung. - Bernama
Pas yakin isu Karpal-Nasha tidak jejas Pakatan
20 Ogos 2012
Pada masa yang sama, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar beranggapan bahawa Karpal tidak akan meneruskan hasrat mengambil tindakan perundangan yang hanya akan membuka ruang kepada parti pesaing mereka untuk membuat provokasi dan mengambil kesempatan.
Katanya, beliau juga percaya pemimpin-pemimpin DAP juga mempunyai pandangan yang sama.
"Saya fikir Karpal tidak akan bawa kes ini ke mahkamah. Mungkin, ketika beliau bercakap (pada Jumaat lalu) dalam keadaan emosi... saya yakin beliau tidak akan membawa kes, tindakan yang hanya akan membuka ruang kepada parti seperti Umno dan media mereka untuk membuat provokasi, mengambil kesempatan menimbulkan kemarahan.
"Saya fikir dan yakin rakyat cukup matang untuk memahami keadaan, apa yang berlaku... pendirian Karpal dan Nasharudin yang sudah jauh daripada pendirian parti (Pas) sekarang," kata beliau sambil menambah, "jika begitu keadaan, mengapa kita harus membuka ruang untuk tindakan provokasi pihak-pihak tertentu."
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemimpin dan anggota Pas dilihat mengamalkan politik tidak matang dalam isu pertemuan bekas Nasharudin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Makkah.
Pada Khamis lepas, selepas pulang dari Makkah, Nasharudin berkata pertemuan antara Najib dan para ulama di Makkah baru-baru ini tidak sedikit pun menyentuh soal Umno atau Pas kerana isu yang dibincangkan adalah lebih besar daripada itu iaitu mengenai ummah.
Sehari sebelum itu, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak hairan jika Nasharudin keluar
daripada Pas setelah dilihat bersama Najib di Makkah pada Selasa lepas.
Nasharudin juga dipetik berkata Pas harus keluar dari PR jika DAP terus menentang soal hukum hudud.
Perkembangan itu membawa kepada kenyataan Karpal bahawa beliau telah memulakan prosiding mahkamah ke atas Nasharudin kerana melabelnya sebagai seorang yang anti-Islam. Nasharudin menyahut cabaran Karpal itu dan bersedia untuk jumpa di mahkamah.
Ketika ditanya sama ada perkembangan terbaru ini akan menjejaskan kedudukan PR menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Mahfuz yang juga Ahli Pokok Sena berkata, ia tidak ada kaitan dengan parti sama ada Pas atau DAP.
"Pendirian ini bukan gambaran parti. Itu adalah tindakan peribadi... terserah kepada mereka," katanya lagi.
Ketika ditanya sama ada kepimpinan PR sudah membincangkan isu berkenaan, beliau memberitahu, "setakat ini belum ada."
"Setakat ini belum sempat berbincang sebab ia berlaku ketika dekat dengan Aidilfitri. Kemungkinan dalam beberapa hari lagi, atau apabila kami mengadakan mesyuarat nanti, kami akan ambil peluang," katanya lagi.
Khairy nafi Pemuda Umno tadbir laman FB kontroversi, laporan polis esok
20 Ogos 2012
Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu membuat laporan polis esok.
"Ya, bukan laman FB kami," kata Ketuanya, Khairy Jamaluddin menerusi mesej Twitter lewat malam tadi menjawab pertanyaan susulan pengikutnya.
Menerusi mesej seterusnya, Khairy berkata, pihaknya sudah ada maklumat susulan berkenaan dengan pengurusan dan pentadbiran laman yang membawa mesej yang "memudaratkan."
"Kami akan membuat laporan polis esok (hari ini)," kata beliau.
Bagaimanapun dalam mesej yang dikemaskinikan hari ini, Khairy berkata, laporan polis akan dibuat esok.
Laman sosial itu mengakui ia sebagai milik Pemuda Umno memuatkan mesej itu awal pagi kelmarin tetapi telah dikeluarkan selepas ditegur oleh kepimpinan PR termasuk Ketua Pembangkangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kandungan awal mendapat reaksi daripada kedua-dua PR dan penyokong Barisan Nasional (BN).
Malah perkara itu turut dinafikan oleh Khairy, yang juga Ketua Pemuda BN kelmarin dan berjanji akan menyiasat siapa pengendali dan pentadbirnya.
Laman itu memaparkan wajah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama dan disusuli dengan siri laporan berkaitan dengan aktiviti pemimpin-pemimpin Umno khususnya dari Selangor.
Poster yang kontroversial itu menyatakan: “Jika anda setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia, teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat. ‘God bless you my son’ (Tuhan berkatimu, anakKu).”
Pemaparan bahan berkenaan menjadi perhatian ketika spekulasi mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin meningkat.
Isu Nasha: Pas amal politik tidak matang, kata Mustapa
19 Ogos 2
"Mereka sepatutnya mengamalkan politik secara terbuka, tidak bermakna jumpa dan bergambar bersama, nak 'sertai' terus. Kita perlu matang dalam berpolitik,
bukan macam budak-budak," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Najib bersama anggota Kabinet di kediaman rasmi Perdana
Menteri di Seri Perdana di sini.
Pada Khamis lepas, selepas pulang dari Makkah, Nasharudin berkata pertemuan antara Najib dan para ulama di Makkah baru-baru ini tidak sedikit pun menyentuh soal Umno atau Pas kerana isu yang dibincangkan adalah lebih besar daripada itu iaitu mengenai ummah.
Sehari sebelum itu, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak hairan jika Nasharudin keluar
daripada Pas setelah dilihat bersama Najib di Makkah pada Selasa lepas.
Mengulas isu pertikaman lidah antara Nasharudin dan Pengerusi DAP Karpal Singh mengenai isu hudud, Mustapa berkata perkara berkenaan melibatkan kedua-dua individu tersebut dan BN tidak akan masuk campur terhadap soal tersebut. - Bernama
Najib nasihat ahli Umno 'jangan putus asa' juang hak
20 Ogos 2012
Dalam perutusan sempena Aidilfitri dipetik Umno Online, Presiden Umno ini berkata, ahli-ahli Umno perlu merapatkan saf barisan dan meneruskan perjuangan yang mulia ini untuk agama, negara dan rakyat yang tercinta.
“Jangan sekali-kali membenarkan fitnah serta tohmah melemahkan semangat kita.
"Jika kita tidak bersyukur, alpa, bersengketa dan memilih jalan yang salah, maka apa yang kita nikmati selama ini akan hilang," kata beliau yang juga Perdana Menyeri.
Aidilfitri disambut semalam. Seperti biasa, beliau juga menyampaikan perutusan Aidilfitri kelmarin.
Sambil menggesa ahli-ahli Umno agar menguatkan pegangan terhadap perjuangan, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menambah, "tidak ada sebarang makna buat parti kita yang telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara selama 55 tahun, yang telah membangun dan memajukan negara ini jika kita tewas dalam medan ujian sebenar kesan dari tindak tanduk kita yang membelakangkan parti dan mengutamakan kepentingan peribadi."
Jelas beliau, selama sebulan menunaikan ibadah puasa umat Islam telah melalui proses jihad melawan hawa nafsu dan muhasabah diri.
“Diharapkan kedua-dua elemen jihad dan muhasabah ini akan melahirkan individu yang lebih bersyukur, kental jati dirinya dan prihatin terhadap jerih perih mereka yang kurang bernasib baik.
“Teruskanlah amalan tradisi Syawal membuka pintu rumah dan pintu hati kita," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan