Rabu, 8 Ogos 2012

KINI RAKYAT MELIHAT PARTI YANG DIWAKILI...BUKAN CALON...JIKA SATU2 TEMPAT KUAT SATU PARTI...KITA CALON YANG BAIK TAPI BUKAN DARI PARTI...MEREKA INSYAALLAH TAK KAN BERI UNDI...JANGAN SEBUT AMAN SEBAB ADA ANGKATAN TENTERA...KALAU ALLAH BAGI TSUNAMI MACAM MANA...JANGAN LUPA KUASA TERATAS DAN TERTINGGI ADALAH ALLAH SWT....

Chong Wei 'winnable candidate' PRU13?
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
7 Ogos 2012
 Chong Wei 'winnable candidate' PRU13?
Lee Chong Wei (dua, kanan) menunjukkan pingat perak yang dimenanginya kepada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim (kiri) ketika tiba di KLIA. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Datuk Lee Chong Wei 'winnable candidate' Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?

Di sebalik spekulasi PRU13 akan dipanggil dalam waktu terdekat, sementara nama pemain nombor satu negara itu pula menjadi sebutan banyak pihak, beberapa peminat Chong Wei secara terbuka berkata akan mengundi beliau jika dipilih sebagai calon.

Bagaimanapun mereka tidak menyebut parti yang Chong Wei sepatutnya wakili.

"Jika Datuk Lee Chong Wei bertanding pilihan raya (PRU13), saya akan mengundi beliau," kata selebriti Adibah Noor, yang menghantar mesej Twitter kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Penyanyi dan pelakon ini berkata demikian beberapa jam selepas Chong Wei, yang mengutip pingat perak kedua Sukan Olimpik, kembali ke tanah air awal pagi tadi.

Walaupun Chong Wei gagal dalam misi memenuhi harapan pingat emas pertama bagi negara, beliau telah menarik perhatian dan sokongan jutaan rakyat Malaysia.

Adibah menambah, "(Chong Wei) seorang yang tidak banyak bercakap, (tetapi) menyatukan rakyat Malaysia tanpa berkata sepatah pun. Ya, saya akan mengundi dia."

Dia seterusnya menulis, "apa pun, saya tidak kisah apa respons anda kepada dua mesej saya sebelum ini."

Pandangan itu disokong pengikut Adibah bernama Azizul Idris.

Azizul berkata: "Saya juga! Rakyat Malaysia yang tulen."

Bagaimanapun seorang lagi pengikutnya yang bernama Amal Jamil seolah-olah tidak bersetuju dengan berkata: "Macam ini pun ada."

Seorang lagi pengikut Adibah, Zamzuriani Md Daud juga menyokong pendirian Adibah.

Kata Zamzuriani: "Datuk Lee Chong Wei seorang yang menangis untuk negara, sudah pasti saya akan mengundi dia."
Pelajar Unisel dihalang masuk kolej kediaman

7 Ogos 2012
KUALA SELANGOR - Lebih 1,000 penuntut Universiti Selangor (Unisel) berhadapan masalah mendapatkan tempat tinggal berikutan pengurusan kolej kediaman institusi itu didakwa enggan membenarkan mereka menduduki asrama masing-masing selepas mereka mendaftar masuk hari ini.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Mohd Jeffri Abu Hassan berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu secara rasmi oleh pengurusan Unisel dan hanya mendapat tahu secara lisan daripada beberapa pihak berkaitan.
"Perkara ini tidak diisytiharkan, apa yang kami tahu asrama tidak dibuka kerana pekerja (yang mengendalikan urusan asrama) tidak mendapat gaji oleh sebab itu mereka tidak datang bekerja... ketua mereka turut bercuti sejak Jumaat lalu tanpa meninggalkan apa-apa notis pemberitahuan berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, penuntut yang tidak dapat memasuki kolej kediaman terdiri daripada pelajar semester kedua hingga tahun akhir.
"Penuntut tahun satu dan penuntut baru telah mendapat kunci dan boleh tinggal di asrama masing-masing kerana mereka telah mendaftar awal iaitu pada seminggu yang lepas...pada waktu itu pejabat operasi asrama masih lagi dibuka," katanya.
Beliau berkata, bagi menangani masalah itu pihak MPP dengan kerjasama Badan Kebajikan Hal Ehwal Pelajar telah menyediakan asrama sementara bagi membantu penuntut yang tidak mempunyai tempat tinggal.
Dua beradik Nurini Anwar, 20, dan Nurhaya, 18, menyifatkan masalah itu sebagai satu beban kepada penuntut.
"Saya dan adik datang dari kampung untuk menyambung pengajian di sini dan apabila perkara ini berlaku, kami kecewa... pagi tadi apabila sampai dari kampung kami diberitahu oleh pihak (pengurusan) kolej tidak boleh masuk ke asrama sebab tidak ada kunci... itu sahaja alasan yang diberikan," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam laporan akhbar sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa Unisel berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
Hutang itu termasuk tunggakan bayaran melibatkan kos penyelenggaran di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor itu.
Selain berhadapan dengan masalah penginapan, penuntut juga terpaksa menanggung beban kewangan apabila Unisel didakwa membuat potongan wang dari Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka, melebihi dari jumlah yang sepatutnya.
Mengulas lanjut mengenainya, Mohd Jeffri mendakwa pelajar mengadu bahawa baki wang pinjaman PTPTN yang diterima mereka pada Sabtu lepas jauh berkurangan.
"Bagi penuntut yang mengambil Ijazah Sarjana Muda, mereka akan memperolehi wang pinjaman dari PTPTN minimum sebanyak RM8,000 untuk setiap semester manakala bagi pelajar diploma, mereka akan menerima RM4,000...separuh daripada jumlah itu pula akan ditolak untuk membayar yuran pengajian...namun apa yang menyedihkan ada penuntut mengadu kepada saya yang mereka menerima baki wang pinjaman hanya berjumlah kira-kira RM1,000.
"Kami sebagai penuntut ingin tahu ke mana perginya wang kami...dan kenapa kami tidak diberitahu mengenainya dan apa sebab Unisel melakukan tindakan sedemikian," kata Mohd Jeffri. - Bernama
PR ramal Najib panggil PRU bulan merdeka
Jamilah Hamzah
7 Ogos 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Kerajaan Pusat pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil kesempatan mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Najib akan mengumumkan tarikh PRU-13 dalam bulan kemerdekaan dan tariknya mungkin pada bulan September atau November.
Menurutnya, PR telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya ini walaupun tarikhnya masih menjadi keraguan semua pemimpin politik.
"Najib akan ambil kesempatan dengan Hari Kemerdekaan kali ini untuk memulihkan kembali imej dan umumkan tarikh PRU.
"Apa pun tarikh PRU kita (PR) telah bersedia untuk menghadapinya," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Pada akhir Jun lalu, ketika mengumumkan tema Hari Kemerdekaan 'Janji Ditepati', Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, Sarawak akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September manakala sambutan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Kuala Lumpur.
Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.
"Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 September kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak," kata Rais.
Sementara itu, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke berkata, walaupun BN sentiasa memberi tekanan terhadap PR untuk memecah belahkan parti, namun kekuatan PR tidak akan runtuh dan sedia menghadapi PRU pada bila-bila masa.
Menurutnya, isu lama dan skrip yang sama dikaitkan dengan PR tidak akan menggugat perpaduan PR antara parti.

"Saya yakin BN akan guna skrip lama untuk pecah belahkan PR. Tapi PR tidak akan tergugat dan bersedia hadapi PRU pada bila-bila masa yang akan diumumkan Najib," kata beliau yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP.
Jawatankuasa khas perlu libatkan Ku Li
NURRUL HUDA AHMAD LUTFI
7 Ogos 2012
Lebuh raya rakyat: Ku Li nasihat Kelantan bincang Pusat
Tengku Razaleigh Hamzah
KOTA BHARU- Kerajaan Kelantan mahu jawatankuasa khas berhubung isu bayaran tunai hasil petroleum dianggotai penggubal Akta Kemajuan Petroleum 1974, termasuk bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pelantikan itu penting supaya hasil perbincangan dapat dicapai berlandaskan undang-undang sekali gus tidak menafikan hak rakyat negeri ini.

“Saya mencadangkan kalau boleh jawatankuasa ini perlu dianggotai penggubal akta ini yang masih hidup seperti bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor termasuk juga bekas Pengerusi Petronas sendiri, Tengku Razaleigh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri berkata, pengisian jawatankuasa khas itu tidak boleh bersifat mengkaji tetapi perlu lebih kepada kaedah menyegerakan bayaran royalti minyak kepada Kelantan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Petroleum 1975.

“Saya sarankan supaya Kerajaan Pusat tubuh jawatankuasa ini bukan untuk mengkaji tetapi ditubuhkan bagi mempercepatkan bayaran royalti minyak negeri ini seperti yang termaktub dalam perjanjian,” katanya.

Beliau tidak menafikan berkemungkinan akan wujud situasi Kerajaan Pusat tidak akan melunaskan bayaran royalti kepada Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, Husam mencadangkan supaya Kerajaan Pusat mempercepatkan tempoh pelaksanaan jawatankuasa khas itu dari enam bulan kepada satu bulan sahaja.

“Tempoh enam bulan lama sangat dan bagi saya penubuhan jawatankuasa khas ini disifatkan menghabiskan masa dan wang ringgit sahaja. Rakyat negeri ini hanya mahukan hak mereka dan royalti perlu dibayar, itu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Husam berkata, sebagai sebuah kerajaan yang sering melaungkan slogan ‘mendengar suara rakyat’ termasuk menggalakkan transformasi itu, Kerajaan Pusat disarankan memartabatkan hak rakyat negeri ini.

Sabtu lepas,  Najib mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang akan mengkaji secara adil dan telus mengenai isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Najib berkata, jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari Kerajaan Pahang, Terengganu dan Kelantan yang diperkenankan Sultan negeri tersebut.

Dalam soal wakil kerajaan negeri bagi menganggotai jawatankuasa khas itu nanti Najib menegaskan wakil itu mestilah tidak memihak kepada mana-mana parti sebaliknya mempunyai semangat dan jiwa memperjuangkan rakyat Kelantan.
Pakatan protes filem Tanda Putera, dakwa bakal undang kontroversi
Jamilah Hamzah
7 Ogos 2012
Mustafa Ali
$entry.content.caption.value
PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa filem Tanda Putera, yang bakal ditayangkan pada 13 September ini, akan 'memanaskan' lagi semangat perkauman di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, filem yang bakal ditayangkan untuk menyatukan rakyat dilihat tidak akan memberi kesan baik tetapi lebih memburukkan sentimen perkauman.

Menurutnya, kerajaan perlu menayangkan filem tersebut kepada PR terlebih dahulu untuk dikaji dan melihat kesesuaiannya ditayangkan kepada umum.

"Filem yang bakal ditayangkan Tanda Putera itu akan membakar lagi sentimen perkauman dan ia sekali gus tak akan mencapai apa sebenarnya motif filem tersebut.

"Kita (PR) minta kerajaan tayangkan filem itu kepada PR dahulu untuk dikaji dan dinilai supaya tak akan timbul masalah lain," katanya pada sidang media hari ini.
Sinopsis filem Tanda Putera mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail, yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam 13 Mei 1969.
Justeru itu, Mustafa berkata kerajaan perlu lebih peka dan menitikberatkan soal sensitiviti masyarakat dalam penayangan sesuatu filem untuk mengelakkan kejadian tidak diingini pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurrul Izzah Anwar menambah kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan wang rakyat untuk ke arah keharmonian dan penyatuan rakyat bukan hanya membuat filem untuk agenda sempit BN.
"Seharusnya BN guna wang untuk satu padukan rakyat bukan memenuhi agenda sempit dengan membuat filem yang dapat memberi kesan kepada rakyat dan negara ke arah keburukan," katanya yang juga Naib Presiden PKR.
Sutradara filem sepanjang 117 minit itu, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau lebih mesra dengan panggilan Shumi sebelum ini dipetik media berkata, Tanda Putera sebenarnya dibikin khas bagi mengenang jasa dan pengorbanan dua tokoh hebat tersebut.
Tanda Putera dibintangi barisan pelakon hebat, antaranya Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norashikin.
Filem hasil kerjasama Pesona Pictures dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) ini juga menelan kos yang bukan sedikit, iaitu RM4.8 juta termasuk promosi.
Dompok yakin tiada lagi anggota keluar UPKO

7 Ogos 2012
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok
Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Tan Sri Bernard Dompok
 PUTRAJAYA - Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok yakin tiada lagi wakil rakyatnya akan bertindak keluar parti dan menyokong pembangkang.
Sehubungan itu beliau menggesa pihak yang berkenaan agar berhenti daripada menyebarkan desas-desus berkaitan perkara tersebut, susulan tindakan Timbalan Presiden parti Datuk Wilfred Bumburing yang juga Anggota Parlimen Tuaran meninggalkan UPKO.

"UPKO menentang tindakan itu (ahli politik lompat parti). Khabar angin ini telah lama tersebar dalam parti. PM (Perdana Menteri) tahu mengenai perkara ini kerana saya telah maklumkan kepada beliau.
"Sekarang perkara itu telah berlaku dan saya yakin tidak ada lagi MP (anggota parlimen) dan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) yang akan keluar parti," katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Dompok yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi melancarkan sambutan hari kebangsaan kementeriannya, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Imigresen, di sini.
Semalam sebuah akhbar tabloid melaporkan 13 lagi ahli politik Sabah termasuk Adun, MP dan senator akan keluar parti masing-masing dan menyokong pembangkang.
Bulan lepas Anggota Parlimen Beaufort yang juga Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Lajim Ukim dan Bumburing secara terbuka menyatakan sokongan kepada pembangkang menerusi penubuhan parti baharu Pakatan Perubahan Sabah.
Khamis lepas Dompok menepis khabar angin UPKO akan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dengan menyatakan: "Kami fikir BN yang mampu berikan apa yang kami mahu." 
Mengenai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pendatang asing di Sabah, Dompok berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan perincian termasuk terma rujukan serta senarai anggota panel pada Sabtu ini.
"Kami sudah lama meminta penubuhan RCI ini. Kami hargai keikhlasan Najib menubuhkan RCI bagi menyelesaikan isu yang sudah berlarutan sejak dahulu lagi.
"Saya telah berkhidmat di bawah tiga perdana menteri, tetapi hanya Najib bersetuju untuk menubuhkan RCI. Saya hormati beliau atas tindakannya itu," katanya.- Bernama
Musa: Pakatan Pembangkang di Sabah hanya 'syok sendiri'

7 Ogos 2012
KOTA KINABALU - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang cuba memberi bayangan seolah-olah Barisan Nasional (BN) negeri mula goyang dan berpecah berikutan tindakan beberapa pemimpin BN yang menyokong pembangkang.
Beliau berkata semua itu adalah tipu helah pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi BN negeri itu berkata keadaan di Sabah sebenarnya tenang dan orang-orang tertentu terutama pembangkang sahaja yang "syok sendiri".
"Jangan khuatir dan gusar, tidak ada apa-apa masalah. Ini merupakan cakap-cakap biasa bagi pembangkang bila ada dua (anggota Parlimen) keluar BN, dia orang heboh besar-besaran.
"Sebenarnya, dulu banyak juga wakil rakyat atau anggota Parlimen yang keluar (dari pakatan pembangkang)...kita tidak heboh kerana bagi kita itu perkara biasa," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan cek peruntukan Pakej Rangsangan Khas (PRK) bagi sekolah-sekolah mubaligh Sabah untuk  tahun 2012 di SM Lok Yuk Likas, dekat sini hari ini.
Musa berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa terdapat satu lagi kejutan politik akan berlaku di Sabah pada 12 Ogos ini.
Ketua Menteri berkata Umno dan BN di negeri ini sentiasa bersatu dan bekerjasama bagi memastikan BN Sabah terus berada dalam kedudukan yang mantap dan kuat.
Beliau yakin rakyat sabah akan terus menyokong BN kerana mereka sedar bahawa kerajaan BN sahaja berupaya menepati janji terutama dalam soal pembangunan.
"BN mempunyai "good track record" dan saya yakin rakyat tahu menilai yang mana baik dan yang mana tidak baik," katanya.
Mengenai sumbangan kepada sekolah mubaligh berkenaan, Musa berkata sumbangan kewangan kira-kira RM3.7 juta daripada kerajaan pusat untuk 74 sekolah mubaligh di Sabah tahun ini menunjukkan kerajaan BN benar-benar prihatin terhadap keperluan rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis penyerahan kuih-muih Hari Raya Aidilfitri kepada pasukan anggota keselamatan di Auditorium Tun Raffae, Menara Tun Mustapha, Musa berkata kerajaan negeri sentiasa menghargai sumbangan dan jasa anggota keselamatan yang membantu mewujudkan suasana aman dan harmoni.
"Kita bersyukur kerana kita berada dalam keadaan baik dan dapat mengadakan majlis perayaan tanpa ragu-ragu berbanding negara lain yang tidak aman dan menghadapi pelbagai masalah, pergolakan dan peperangan.
"Oleh itu, kita mesti ingat bahawa ada pasukan keselamatan atau anggota keselamatan yang sentiasa menjaga dan memastikan bahawa negara kita dalam keadaan aman dan sentosa," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: