MCA Pulau Pinang berpendapat keputusan DAP negeri untuk membentangkan undang-undang antilompat adalah tindakan yang salah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk berpersatuan.

Setiausaha MCA Pulau Pinang Lau Chiek Tuan berkata tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai tindakan politik untuk menggambarkan bahawa DAP sebagai baik dan dalam masa sama memburukkan nama baik kerajaan BN.

"Secara ironinya, DAP sendiri menerima anggota parti yang melompat parti dari Umno bagi menaikkan imej mereka sebagai mesra orang Melayu dan pemimpin DAP yang lain berdiam diri berhubung tindakan dua Anggota Parlimen Sabah baru-baru ini dan mengalu-alukan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Manis dari Umno menyertai DAP," katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Lau berkata orang ramai perlu sedar bahawa ramai anggota PKR adalah mereka yang melompat parti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bekas anggota Umno dan menteri, yang secara ironinya menyandang kerusi Parlimen di Pulau Pinang.

"Oleh itu, DAP sepatutnya menghentikan lakonan ini dan memberi lebih perhatian berhubung tanggungjawab mereka kepada orang ramai," katanya.

- Bernama
Fokus Biro Politik Pas di sebalik 'ribut kecil'
Wartawan Sinar Harian
25 Ogos 2012
Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
ANALISIS - Pas mengadakan mesyuarat Biro Politik seperti lazimnya hari ini. Bagaimanapun pertemuan kali ini dilihat akan menarik perhatian ekoran perkembangan semasa termasuk soal hukum hudud dan kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR).

Turut menjadi perhatian ialah 'pertikaman lidah' antara bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh, yang mahu memulakan tindakan prosiding mahkamah.

Sebelum ini pemimpin Pas sendiri dan PKR yakin bahawa tindakan perundangan yang diperkatakan oleh Karpal tidak akan menjadi kenyataan.

Pertemuan hari ini dijadual bermula 12 tengah hari dan satu sidang media dijangka diadakan empat jam kemudian.

Pas lazimnya mengadakan mesyuarat Biro Politik sekali dalam sebulan. Ia lebih kerap diadakan ketika desas-desus Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin meningkat, kata Naib Presiden, Salahuddin Ayub ketika dihubungi lewat malam tadi.

"Mesyuarat esok mesyuarat Biro Politik sahaja. Kami adakan sebulan sekali. Tetapi disebabkan musim pilihan raya, ia diadakan lebih kerap... khususnya selepas sambutan Aidilfitri.

"Kami akan membincangkan semua perkara yang berkaitan, isu-isu semasa... kalau timbul isu YB Nasharudin, kami akan bincang... begitu juga isu hudud dan kerjasama DAP," kata beliau sambil menambah, tiada perkara yang khusus.

Mesyuarat penuh jawatankuasa kerja Pas Pusat akan diadakan minggu kedua bulan depan. Keputusan mesyuarat lazimnya akan dilaksanakan dengan segera.

Ketika ditanya sama ada isu Nasharudin-Karpal akan diberi tumpuan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, "bukan isu besar. Tetapi jika bangkit, kami akan bincang."

"Terpulang kepada mesyuarat esok (hari ini)," katanya lagi.

Bagaimanapun Salahuddin berkata, beliau akan membawa fokus 'suasana politik Johor' ke mesyuarat hari ini.
"Melihat kepada perkembangan di Johor, di mana sokongan dilihat terus meningkat kepada Pakatan Rakyat, saya akan memfokus soal perkembangan di Johor," kata beliau yang akan bertanding di Johor pada PRU13.

"Kami akan membincangkan strategi untuk meneruskan cengkaman di Johor. Saya rasa Johor akan menentukan gelombang sokongan kepada Pakatan Rakyat, gelombang dari arah selatan, pada pilihan raya kali ini," kata beliau lagi.

Datuk Mahfuz Omar, seorang lagi Naib Presiden juga mengakui bahawa tiada isu-isu "besar" yang akan menjadi tumpuan hari ini.

Sebaliknya, kata beliau, Biro Politik akan membincangkan perkembangan berkaitan dengan PRU13.

"Tetapi saya tidak nampak akan ada keputusan sampai hendak keluar Pakatan Rakyat, tidak... tidak," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, merujuk kepada desakan beberapa pihak termasuk Nasharudin agar Pas keluar PR jika DAP terus membantah hudud.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online semalam, Mahfuz berkata, tidak timbul soal Pas perlu keluar PR hanya kerana perbezaan pendirian membabitkan kedua-dua komponen itu.

"Ini isu lama, cuma dibawa oleh pihak-pihak tertentu," kata beliau tetapi menegaskan isu berkenaan akan dibincangkan jika ditimbulkan.

Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan isu royalti minyak dan penubuhan jawatankuasa khas akan disentuh pada mesyuarat hari ini.

Mesyuarat hari ini akan turut dihadiri oleh seorang lagi Naib Presiden, Datuk Paduka Husam Musa, yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum.

Awal bulan ini Kerajaan Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas berhubung bayaran tunai hasil petroleum negara. PR telah memutuskan untuk menolak jawatankuasa itu, sebaliknya mahu royalti kepada Kelantan dibayar dengan segera.

Biro Politik Pas terdiri daripada 20 anggota. Mesyuarat biro ini lazimnya dipengerusikan oleh presiden dan beliau tidak hadir, timbalan presiden atau naib presiden akan mengambil alih peranan itu. Difahamkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mempengerusikannya.
Pas jarang mengadakan sidang media selepas mesyuarat Biro Politik. Melainkan apabila timbul isu-isu besar dan menarik kenyataan media akan dikeluarkan.
Seorang anggota Biro Politik yang tidak mahu namanya dipetik berkata, pertemuan hari ini perlu keluar dengan kenyataan pendirian mengenai isu semasa agar ia dapat menyusun strategi dan pendekatan berkesan menghadapi PRU13.

"Satu isu yang selalu menjadi tumpuan ialah soal agama dan kaum khususnya hukum hudud. Perkara ini bukan isu baru, sudah berulang kali ditimbulkan, dijadikan peluru untuk menyerang Pas.

"Jadi, Pas berada di situasi mencabar untuk menyusun strategi menangani isu ini... sebab ini peluang terbaik untuk Pas memenangi PRU13," katanya mengulas kepentingan mesyuarat hari ini.

"Perkembangan di Sabah dan Sarawak juga akan menjadi fokus mesyuarat hari ini," katanya merujuk kepada siri isu yang telah mengisi arena politik negara sejak sebulan lalu.

Jadi, akan ada sebarang keputusan besar?
Seorang lagi pegawai yang rapat dengan ibu pejabat Pas merumuskan begini: kemungkinan besar tidak akan ada keputusan yang memeranjatkan.

Pas, katanya, dijangka menegaskan semula pendirian dalam isu hudud dan pada masa yang sama meneruskan kerjasama dalam PR dan mesej Buku Jingga.

"Saya tidak melihat isu 20 tahun boleh selesai dalam mesyuarat dua jam. Cara terbaik ialah meminta semua pemimpin 'tutup mulut'. Ini isu lama, semua orang tahu. Jadi, pemimpin Pas perlu tumpu pada isu lebih besar menjelang PRU," katanya yang tidak menolak isu hudud dan Nasharudin akan menjadi perhatian.
Mahfuz: Tak timbul isu Pas harus keluar PR
Wartawan Sinar Harian
25 Ogos 2012
Mahfuz Omar
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, tidak timbul soal Pas harus keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan mengakhiri hubungan dengan DAP ekoran isu 'perbezaan' pendirian dalam soal hukum hudud.
Katanya, Pas dan DAP tidak perlu menamatkan kerjasama yang telah dibina hanya disebabkan isu hudud sebab partinya, yang memerintah Kelantan sejak 1990, sudah pun menggubal hukum hudud ketika membentuk kerajaan tanpa gabungan kerjasama DAP di negeri Pantai itu.
"Ada pihak membuat kenyataan Pas perlu keluar dari Pakatan Rakyat... saya hendak menjelaskan, Pas tidak perlu keluar dari Pakatan Rakyat kerana isu penentangan berkenaan dengan hudud.
"Kalau kata DAP tidak setuju dan kami harus keluar Pakatan Rakyat, Pas sebenarnya telah meluluskan hukum hudud pada 1992, di Kelantan.
"Bagaimanapun Kerajaan Negeri Kelantan, pimpinan Pas tidak dapat melaksanakan disebabkan halangan dan ugutan oleh Kerajaan Pusat, oleh bekas Perdana Menteri, halangan daripada Umno," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa yang dilaporkan menggesa parti itu keluar PR ekoran pendekatan DAP terus menentang hukum hudud.
Nasharudin dikatakan telah mencadangkan agar Pas keluar PR jika DAP menentang hudud seperti yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.
Beberapa pihak lain termasuk dari Umno juga melahirkan pendirian yang sama.
Dr Mahathir pula berkata, Pas boleh keluar dari PR dan bekerjasama dengan Umno untuk memperkenalkan hukum hudud di negara ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Pas dan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) ketika Pilihan Raya Umum 1990.
"Pada waktu itu, tidak ada apa-apa hubungan rasmi dengan DAP... Pas menang di Kelantan tanpa ada DAP.
"Jadi, tidak timbul isu Pas harus keluar dari Pakatan Rakyat sekarang, sebaliknya hubungan Pas dan DAP telah membawa banyak perubahan positif sejak kebelakangan ini," katanya dengan merujuk kepada pendirian DAP dalam menyokong pendirian Pas berhubung isu judi bola dua tahun lalu.
"Ini kita dapat lihat di Selangor dan juga di Pulau Pinang," katanya lagi.
Selain itu katanya, DAP juga bekerjasama dengan Pas dalam soal memperjuangkan usaha melawan rasuah.
"Kerjasama Pas dan DAP telah berjaya menolak rasuah. Isu tuntutan pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), kerjasama kami telah membawa kepada pemansuhan undang-undang ini," katanya lagi.
Hak milik tanah: Khaled mahu MB Johor tepati janji
MOHD FIRDAUS YON
25 Ogos 2012
Hak milik tanah: Khaled mahu MB Johor tepati janji
Khaled Nordin bercakap kepada pemberita semalam.
JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri dirayu supaya memandang serius dan menyegerakan proses pemberian hak milik tanah yang dipohon penduduk di 10 perkampungan setinggan di Parlimen Pasir Gudang.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman diharapkan dapat mengotakan janji dibuat ketika Bajet Negeri Johor 2003 untuk memberikan hak milik tanah yang diterokai kepada penduduk.

Menurutnya, kira-kira 10,000 penduduk di kampung terbabit sudah lama bersabar untuk mendapatkan hak masing-masing ke atas tanah yang mereka terokai sejak 20 hingga 100 tahun dahulu.

“Usia perkampungan terlibat ada yang mencecah sehingga 100 tahun dan sebagai sebuah kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat, hak mereka selaku peneroka awal kampung berkenaan harus diiktiraf dengan memberikan (hak milik) geran tanah yang telah dijanjikan.

“Umno Bahagian Pasir Gudang sudah kemukakan kepada Kerajaan Negeri mengenai tanah-tanah ini dan sehingga hari ini, hanya Kampung Pasir Gudang Baru sahaja yang telah mendapat geran masing-masing (Notis 5A),” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, hal berkenaan perlu dibangkitkan semula memandangkan ia berkait rapat dengan tema Hari Merdeka iaitu ‘55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’ dan juga sempena menyambut Aidilfitri.

“Tema ini menunjukkan bahawa apa yang kerajaan buat dan janjikan, sentiasa cuba dicapai dan dilaksanakan. Oleh itu, kita berharap apa sahaja perkara yang perlu dilaksanakan di Parlimen Pasir Gudang dapat dilaksanakan.

“Kita tidak mahu perkara-perkara yang dijanjikan kepada rakyat tidak tertunai sekali gus mencemarkan nama baik kerajaan.

“Justeru, saya berharap dalam mengambil kira tema Hari Kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi, Kerajaan Negeri dapat menunaikan janji mengenai soal tanah setinggan yang dipohon penduduk,” katanya.

Mohamed Khaled juga percaya Kerajaan Negeri mampu mengendalikan isu berkenaan dengan kadar segera walaupun tanah di kampung terlibat dimiliki oleh dua pihak iaitu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Teguh Tebrau Berhad.

Katanya,  KPRJ adalah milik penuh Kerajaan Negeri dan dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mengotakan janji yang telah dilafazkan, manakala tanah milik Teguh Tebrau diharap dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

“Beberapa penyelesaian telah dicadangkan termasuk menukar pemilikan tanah kerajaan di tapak bekas Penjara Air Molek, di sini dengan tanah milik syarikat tersebut yang menempatkan sebahagian kampung berkenaan.

“Apabila ia berjaya dilaksanakan, saya rasa isu pemberian geran tanah itu tidak lagi menghadapi sebarang masalah besar,” katanya.
Guan Eng: Kami sedia jual tanah, BN tak respons
MOHD ISKANDAR OTHMAN
25 Ogos 2012
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Kerajaan Negeri bersedia menjual tanah seluas 0.45 hektar di Jalan Zainal Abidin kepada Barisan Nasional (BN) untuk dibangunkan dengan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, walaupun sebelum ini BN menyatakan kesediaannya untuk membeli tanah berkenaan namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan susulan yang dilakukan.

“Tanah berkenaan kita jual melalui tender terbuka dengan harga RM232 sekaki persegi namun mereka (BN) mendakwa kononnya harga itu jauh lebih rendah dengan harga pasaran iaitu RM450 sekaki persegi.

“Jadi kita suruh mereka beli tanah berkenaan dengan harga RM450 sekaki persegi dan mereka sebelum ini cakap nak beli tanah berkenaan namun sudah hampir sebulan tidak ada langsung perkembangan tentang hasrat itu," katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersedia menjual tanah berkenaan kepada mana-mana pihak yang menawarkan harga tertinggi dan berharap BN tidak omong kosong sahaja.

“Kalau cakap nak beli tolong beli dengan harga RM450 sekaki persegi dan wang berkenaan kita akan gunakan untuk tujuan membina rumah mampu milik.

“Jangan cuba alihkan perhatian rakyat dengan membuat tuduhan tidak berasas kononnya saya terlibat dalam lembaga tender dan mempunyai kepentingan dalam projek pembinaan hospital swasta,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemuda BN Pulau Pinang, Oh Tong Keong bersedia membeli tapak tanah kosong seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin daripada Kerajaan Negeri untuk dibangunkan dengan perumahan kos rendah.

Beliau berkata Pemuda BN menawarkan untuk membeli tapak tanah itu pada harga RM450 sekaki dengan keseluruhan kos RM21 juta.

“Duit tidak menjadi masalah kerana kami akan kumpulkan dana daripada orang perseorangan dan beberapa syarikat yang sukarela untuk membantu, apa yang penting sekarang ini keperluan untuk rakyat, kebajikan mereka harus diutamakan,” katanya.

Tanah di Taman Manggis itu menjadi isu apabila tapak itu pada mulanya dicadangkan untuk fasa kedua PPR tetapi Kerajaan Negeri dikatakan menjualnya kepada pemaju untuk membina hotel 19 tingkat, hospital enam tingkat dan tempat letak kereta lima tingkat.

Tong Keong berkata Pemuda BN akan memastikan pembinaan rumah kos rendah itu dilaksanakan secepat mungkin jika tawaran itu diterima.
Kemaruk memadu kasih, sanggup panjat tingkap
Wartawan Sinar Harian
25 Ogos 2012
Superintendan-Wooi-Kooi-Cheang
$entry.content.caption.value
TAMPIN – Hanya kerana mahu memadu kasih, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di bandar ini ponteng sekolah.

Tujuannya hanya kerana mahu menemui kekasihnya berusia 17 tahun di Kampung Keru, dekat sini, 13 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, pelajar perempuan itu sanggup memanjat tingkap rumah kekasihnya bagi melampiaskan nafsu ketika   umat Islam lain berpuasa.

Menurut sumber, ketika kejadian ibu remaja lelaki terbabit sedang tidur selepas bersahur dan langsung tidak menyedari kehadiran remaja perempuan itu yang masuk secara sembunyi melalui tingkap.

“Namun, perbuatan terkutuk remaja berkenaan disedari jiran tetangga setelah dia keluar dari rumah kekasihnya dari tingkap sama sekitar jam 1.30 petang.

“Susulan kejadian tersebut, ibu remaja perempuan berkenaan yang dimaklumkan mengenai perbuatan terkutuk anaknya itu mendesak anaknya menceritakan perkara sebenar sebelum akhirnya remaja perempuan itu menyatakan dirinya telah dirogol tetapi atas dasar suka sama suka,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan  ibu mangsa membuat laporan polis pagi 23 Ogos lalu.

Katanya, siasatan polis telah membawa kepada penahanan suspek lelaki di rumahnya di Kampung Keru.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 13 Ogos lalu antara jam 7 pagi hingga 1.30 petang di rumah suspek dan mangsa pula dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk menjalani pemeriksaan.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula semalam (kelmarin). Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

“Oleh itu, saya tegaskan kepada mana-mana individu yang melakukan persetubuhan dengan remaja bawah umur walaupun atas dasar suka sama suka atau dengan kerelaan ia adalah satu kesalahan," katanya.