Sabtu, 11 Ogos 2012

BUATLAH APA2 KENYATAAN...IKUT SUKALAH...BIAR ALLAH SWT MENENTUKAN...INGATLAH KEMATIAN...INGATLAH BERAPA BANYAK DOSA YANG TELAH DIBUAT...BERAPA BANYAK TEMBERANG DAH KITA BUAT...DAN BERAPA BANYAK MENOLAK TUDUHAN ORANG...WALAUPUN MEMANG KITA BUAT..ALLAH TAHU APA YANG KAUORANG TELAH BUAT...HUKUMAN SEDANG MENUNGGU...JANGANLAH BERLAGAK SUCI@CLEAR

KJ: BN boleh menang 90 kerusi pembangkang

10 Ogos 2012
Khairy Jamaluddin
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin
BUKIT MERTAJAM - Pemuda Umno akan memberi tumpuan di 90 kawasan diwakili pembangkang yang diyakini boleh dimenangi Barisan Nasional (BN) jika diberi lebih perhatian kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah pengundi atas pagar.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pemilihan 90 kawasan itu dibuat selepas Pemuda Umno menjalankan kaji selidik baru-baru ini, bagi mengenal pasti kawasan yang mampu dimenangi BN.
“Sudah pasti kita melihat kawasan tumpuan tertentu terutama Parlimen yang ada harapan menang dan melalui kaji selidik dijalankan Pemuda Umno, sebanyak 90 kawasan pembangkang dikenal pasti mempunyai peluang cerah untuk BN menang.
"Kawasan itu ditakrifkan sebagai atas pagar dan jika diberi tumpuan yang lebih serta dilipat gandakan usaha, saya percaya BN boleh menang, lagi pun kekalahan di parlimen terbabit pada pilihan raya umum lepas hanya sedikit dan tipis," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Ramadan Pemuda Umno Pulau
Pinang. Seramai 350 penerima terdiri daripada warga emas, fakir dan orang kelainan upaya menerima wang tunai dan barangan keperluan.
Khairy berkata, menerusi kaji selidik yang dijalankan itu juga mendapati sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 90 parlimen berkenaan boleh dimenangi BN.
 Sementara itu, beliau berkata pihaknya tidak akan mengabaikan kawasan Parlimen yang dimenangi BN dan akan mempertahankan kerusi tersebut.
“Pemuda juga memberi perhatian kepada parlimen-parlimen yang memang menjadi kubu kuat kita supaya kerusi di situ dipertahankan dan saya percaya dengan tumpuan khusus di 90 kawasan yang dikenal pasti itu, BN akan mampu memperoleh kemenangan dua pertiga," katanya. - Bernama
Hanya Umno boleh satukan orang Melayu, kata Mahathir

10 Ogos 2012
BALING - Hanya Umno sebuah parti terbaik dalam menyatukan orang Melayu di negara ini dan membawa pembangunan kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, ini kerana, Umno yang mula berpolitik membantu rakyat di negara ini mencapai kemerdekaan dan seterusnya membawa pembangunan manakala parti lain untuk orang Melayu, hanyalah parti serpihan.
"Dulu waktu kita kuat, kita tak mengada-ngada buat benda yang tak baik. Kita bangunkan negara kita sampai dunia iktiraf Malaysia sebagai negara
membangun yang cukup maju.
"Ini hasil pentadbiran dilakukan sebuah parti (Barisan Nasional) yang diketuai Umno yang mewakili orang Melayu. Orang Melayu tiada niat tak baik kat
kaum lain. Kita tolong mereka dan kita tolong diri kita juga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Tok
Bandar di sini, semalam.
Turut hadir, isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Pengerusi
Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Penyelaras Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Dr Mahathir berkata, kerana itu, orang Melayu perlu bersatu di bawah Umno walaupun parti itu kini dikatakan tidak begitu kuat dalam menyatukan orang
Melayu berikutan perpecahan dalam kalangan kaum berkenaan.
"(Kalau nak bersatu) Takkan badan besar masuk serpihan. Yang serpihan yang kena kembali kepada asal. Ada orang nak jadi Perdana Menteri sampai sanggup pecahkan Umno untuk dapat sokongan bagi diri dia. Dia fikir diri dia sahaja dan bukan negara serta rakyat," katanya.
Dr Mahathir berkata perjuangan Umno adalah perjuangan benar kerana itu ketika beliau memimpin Umno, beliau sanggup menerima pemimpin daripada parti
serpihan yang mahu kembali kepada Umno. - Bernama
Cabar Pandelela, peminat tuntut 'janji kerat'
RAZIATUL HANUM A. RAJAK dan SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI
10 Ogos 2012
Laman sosial yang menyokong Pandelela.
Laman sosial facebook yang menyokong Pandelela.
[DIKEMAS KINI JAM 4.30 PETANG] SHAH ALAM - Gara-gara pertikai kebolehan penerjun negara, Pandelela Rinong, para peminatnya menuntut seorang pemegang akaun laman sosial Facebook, Johari Pain agar menunaikan janji yang dia sanggup memotong kemaluan jika atlet itu memperoleh pingat dalam acara Sukan Olimpik yang disainginya.
Johari membuat kenyataan itu beberapa jam sebelum Pandelela bersaing dalam peringkat akhir acara 10m Platform Wanita awal pagi tadi (waktu Malaysia) selepas berjaya di separuh akhir.
Pandelela dari Sarawak memperoleh pingat gangsa, sekali gus mencatatkan rekod sebagai atlet wanita pertama membawa pulang pingat.
Johari antara lain menulis: "Gua berani kerat xxxx laa kalau Pandelela menang pingat malam nih.. (saya berani memotong anu kalau Pandalela menang pingat malam ini...)."
Tindakannya itu berhadapan dengan reaksi marah dan tersinggung, yang rata-ratanya menggesa dia memohon maaf.
Johari yang menggunakan akaun Twitter @JohariPain dalam mesej meminta maaf berkata, "saya sudah memohon maaf, tapi tidak pulak orang nak print screen... siap suruh buat permohonan maaf dekat @buletintv3 lagi."
"Sedangkan Nabi boleh ampunkan umat, takkanlah manusia biasa tidak boleh memaafkan orang lain... saya sedihlah," katanya dalam mesej Twitter berikutnya.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian Online mendapati laman sosial itu telah pun ditutup sejak tengah hari tadi.
Pemegang akaun itu juga telah memohon maaf atas keterlanjuran.
Laman Facebook yang dibuka untuk menyokong Pandelela menyebut, "Johari sudah meminta maaf atas tindakkannya mengeluarkan status berbaur lucah terhadap atlet Malaysia."
Ini merupakan kes kontroversi kedua melibatkan kejayaan dan prestasi atlet negara mengutip pingat dalam Sukan Olimpik 2012 di London.
Sabtu lalu, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mempertikaikan Datuk Lee Chong Wei selepas beliau gagal memperoleh pingat emas dalam acara badminton.

Pemantauan ke atas laman sosial Facebook dan Twitter mendapati mereka menuntut Johari, yang menggunakan nama Johari Yahiko dan alaun @JohariPain, agar menunaikan janji kerana Pandelela berjaya memperoleh pingat gangsa kira-kira jam 3 pagi tadi.
Ketua Pemuda Barisan Nasional dan Umno, Khairy Jamaluddin berkata, "orang yang paling benci tema 'Janji ditepati' adalah brader yang kata nak potong kemaluannya jika Pandelela menang pingat Olimpik. Oh mai."

Seorang peminat Pandelela, Putera Miza berkata: "Kesian Johari Pain, kena kerat kali kedua, kah kah kah. Siapa suruh cakap macam tu, kan dah terkena. Apa lagi kita potong potong potong."

Insan Kerdil pula berkata: "Inilah orang kata terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya."
Afiq Maolenin berkata: "Johari Pain juga dikenali sebagai Yahiko Akatsuki. Hahahaha! dari orang Kelantan jadi orang Jepun sesat pulak."
Sementara itu, terdapat beberapa akaun yang didaftarkan atas nama "Johari Pain Mohon Kerat", "Johari Pain dah potong ke belum", "Johari Pain ku tunggu janji mu", "Janji Johari Pain Janji Dikerat." telah mendapat jumlah pengikut yang ramai semenjak Johari mengeluarkan kenyataan "janji kerat" di laman sosial Facebooknya.
Seorang lagi peminat Khairulnnisa, menyatakan di Twitter "bila dah gelabah dan-dan buat statement 'sedangkan Nabi ampunkan umat', ada akal tak nak guna sebelum buat statement potong penis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat status yang memuji kemenangan penerjun negara itu melalui laman sosial Facebooknya.

Dalam pada itu, dipetik Bernama, Pandelela berkata kejayaannya di Sukan Olimpik London semalam akan memberi inspirasi kepada anak muda negara menceburi sukan tersebut.

Beliau berkata kejayaan itu juga bukan sahaja kepada dirinya dan rakan sepasukan tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Kejayaan ini merupakan berita gembira kepada skuad terjun sebab kami tidak pernah menyumbangkan pingat kepada Malaysia di peringkat Olimpik," kata anak kelahiran Sarawak berusia 19 tahun itu selepas acara itu di Pusat Akuatik, London.
Shahrizat tidak tahu anaknya terlibat dalam projek NFC

10 Ogos 2012
Shahrizat Abdul Jalil bersama anak sulungnya, Wan Shahinur Izmir
Shahrizat Abdul Jalil bersama anak sulungnya, Wan Shahinur Izmir (kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi kes Pusat Fidlot Nasional. – Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak mengetahui anak keduanya terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) sehinggalah diberitahu pada 2007.

Shahrizat berkata sebelum itu beliau tidak mengetahui bahawa Wan Shahinur Izran Mohd Salleh, 28, telah menjadi pengarah syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) sejak Disember 2006.

Beliau mula mengetahui perkara itu apabila suami beliau, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Ismail memberitahu mahu anak-anak mereka pulang ke tanah air dari luar negara untuk membantu menguruskan projek tersebut.

"Saya tidak tahu mengenai bidaan projek tersebut. Saya hanya tahu pada sekitar 2007 selepas suami saya menyatakan hasrat mahu anak-anak pulang ke tanah air untuk membantunya dalam projek ini.

"Ia berlaku selepas beliau (Mohd Salleh) telahpun memperoleh projek itu," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ranjit Singh dalam prosiding kes saman fitnah terhadap Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan pengarah strategi parti itu, Mohd Rafizi Ramli.

Ranjit mewakili kedua-dua defendan.

Shahrizat turut menafikan mengetahui projek NFC lebih awal dan perbincangan mengenai NFC bukanlah atas kapasiti sebagai seorang menteri sebaliknya perbualan antara suami isteri.

Ditanya bukankah Wan Shahinur Izran masih terlalu muda untuk dilantik sebagai pengarah syarikat kerana baru berusia 22 tahun ketika itu, Shahrizat berkata ia tidak salah kerana anaknya telah tamat pengajian ketika berusia 19 tahun di Amerika Syarikat serta antara pelajar terbaik.

Katanya Wan Shahinur Izran tinggal bersamanya sejak 2004 dan dua lagi iaitu Wan Shahinur Izmir, 32, dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, 26, berada di luar negara dan kembali ke Malaysia pada 2007 untuk menyertai NFC.

Tambahnya walaupun beliau, suami dan Wan Shahinur Izran tinggal sebumbung tetapi mereka tidak ambil tahu urusan kerja masing-masing.

Shahrizat berkata beliau mula meneliti pembabitan ahli keluarganya dalam projek itu pada tahun lepas selepas tersiar di media dan meminta suaminya memberi penjelasan.
 
Ketika ditanya oleh Ranjit bahagian manakah di dalam kenyataan kedua-dua defendan sehingga memudaratkan dirinya, Shahrizat berkata:

"Kata-kata mereka membuatkan orang ramai menyalahkan saya."

Di awal prosiding, mahkamah ditunjukkan tayangan video mengenai sidang media melibatkan kedua-dua defendan di bangunan Parlimen.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau dalam isu NFC.

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi sebagai ganti rugi teladan dan teruk daripada defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat bersekutu.

Prosiding di depan Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera bersambung 18 Sept.- Bernama
Pemilihan calon pemuda adalah bersih dan bebas dari skandal

10 Ogos 2012
ALOR SETAR - Pemilihan calon daripada Pergerakan Pemuda Umno di setiap negeri merupakan calon yang bersih dan bebas daripada perkara yang boleh dijadikan isu pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pihaknya melakukan siasatan terperinci terhadap calon yang disenaraikan sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tak sandarkan kepada laporan yang diterima semata-mata malah turut mendapatkan laporan daripada pelbagai sumber lain menyenaraikan nama calon terpilih," katanya selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada 200 penerima di Masjid Rafeah, Taman Uda di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Rembau berkata pihaknya hanya menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri terhadap nama-nama calon yang dicadangkan untuk bertanding pada PRU akan datang.

Katanya beliau yakin setakat ini calon yang dicadangkan kepada Perdana Menteri adalah calon yang berwibawa dan calon boleh menang pada PRU kali ini.
 
Khairy berkata selain itu Pemuda Umno juga mahu mengekalkan jumlah calon Pemuda seperti PRU 2008 iaitu sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Selain bantuan kepada warga miskin Khairy juga turut menyertai program Khatam al-Quran bersama lebih 20 pelajar tahfiz sekitar daerah ini anjuran Pemuda Umno Malaysia dan Kedah.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim.- Bernama
Kita bersedia ditolak, kata Najib
NORHASPIDA YATIM
10 Ogos 2012
Najib Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedia ditolak sekiranya tidak berjaya memenuhi janji kepada rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji adalah sendi kepada masyarakat dan ia bukan satu permainan politik.

“Kita bersedia ditolak oleh rakyat jika tidak kotakan janji.

“Dalam soal ini kita bukan bermain politik, tetapi apa yang penting kita jangan sekadar bercakap, tetapi tidak tunaikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Dana Khas Hari Raya di Kampung Padang Nenas, semalam.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan, tema sebenar kerajaan ialah berpaksikan kepada Islam, bukannya berpaksikan kepada politik.

“Rakyat tidak perlu gusar kerana kita berada pada landasan betul. Apa yang kita buat berlandaskan al-Quran dan sunnah. “Kita berjuang untuk tunaikan janji kita kepada rakyat.

Dengan sokongan rakyat, saya harap Malaysia dinobatkan negara Islam pertama bergelar negara maju,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Tepoh, Muhammmad Ramli Noh.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan Sumbangan Ehsan Ramadan RM170,000 kepada 1,000 orang kurang berkemampuan.
Jangan asyik salahkan Umno, Noh ingatkan PR

10 Ogos 2012
Noh Omar
Datuk Seri Noh Omar
KUALA LUMPUR - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini membidas tindakan pembangkang yang berterusan menyalahkan Umno dan BN atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Katanya tindakan tersebut dilihat tidak lebih sebagai untuk menjaga hubungan antara tiga parti - PKR, DAP dan Pas.
"Inilah perangai (sebenar) PKR yang selalu hendak mencari salah orang lain tetapi salah sendiri dibutakan. Ibarat pepatah Melayu,'Gajah di depan mata mereka tak nampak, tapi kuman di seberang laut nampak'," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.
Noh yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Umno kini memulakan kempen pelampau agama.

Laporan itu disiarkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.
Akhbar itu memetik pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang dilapor berkata adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.
Abdullah berkata umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.
Dalam pada itu, Noh berkata Anwar kelihatan seperti takut untuk menegur pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menentang pelaksanaan hukum hudud yang dihasratkan oleh Pas jika berjaya menawan Putrajaya. - Bernama
Dr Asri: Soal haram dosa undi jangan sampai mudarat negara
Wartawan Sinar Harian
10 Ogos 2012
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM - Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap pandangan seperti haram dan berdosa mengundi DAP tidak membawa kemudaratan, dan 'fatwa' sedemikian perlu diteliti semula dalam konteks politik sebenar negara ini.

Mohd Asri berkata, oleh kerana perkara tersebut merujuk kepada DAP, rakan politik dalam Pakatan Rakyat (PR), Barisan Nasional (BN) juga ada parti komponen yang mempunyai pendirian seakan sama dengan DAP.

"Itu, kalau kita kata haram, kena melihat pada alasan mengapa kita kata begitu.

"Kalau kita kata haram (mengundi DAP) kerana dia tidak menyokong negara Islam, ada juga parti dalam BN seperti MCA dan MIC tidak menyokong... jadi kita mengambil pendirian sebahagian sahaja (dalam mengatakan haram dan dosa)," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Mohd Asri mengulas kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat Abdullah Sa'amah, dipetik Utusan Malaysia kelmarin bahawa bahawa umat Islam tidak boleh menyokong DAP kerana ia haram serta berdosa.

Gesaan itu adalah ekoran pendirian parti Pas untuk terus bekerjasama dengan DAP sedangkan pengerusi DAP Karpal Singh berkeras supaya Pas menggugurkan niat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.

Mohd Asri, Ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia dan baru pulang ke tanah air selepas dilantik sebagai felo di Pusat Pengajian Islam Oxford selama lapan bulan menambah, jika perkara tersebut dilihat secara menyeluruh dan perlu dibincangkan, ia harus dibawa ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan.

"Kita tidak boleh membuat fatwa sendiri, kita kena bincang perkara ini supaya tidak bercelaru," kata beliau sambil berkata, pandangan sedemikian tidak wajar membawa kepada kemudaratan dalam negara yang penduduknya pelbagai kaum dan agama.

Katanya, realiti politik di negara ini berbeza dan ia disedari oleh komponen Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Sambil menekankan bahawa beliau tidak mahu menyentuh secara mendalam soal fatwa, Mohd Asri berkata, jika DAP dilabel sebagai "kafir harbi", ia akan membawa kesan yang mendalam, seolah-olah meminta orang Islam  berperang.

"Saya tidak kata apa yang diperkatakan itu betul atau salah, tetapi kenyataan dikeluarkan mengenai soal haram dan dosa, perlu diteliti semula, kemudian boleh berbincang. Saya lihat itu hanya pandangan peribadi sahaja," kata beliau lagi.

"Kemungkinan dia tidak tahu kesan kenyataan, kesan perkataan dikeluarkan, tidak tahu bahawa ia boleh membawa kepada permusuhan, tidak baik bagi negara majmuk dan pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Mohd Asri juga berkata, beliau tidak memihak kepada PR atau BN yang ada parti komponen atau wakil rakyat bukan Islam.

"Juga ada wakil bukan Islam dalam kerajaan. Jadi, kita perlu fikir semula perkara (kenyataan) itu semula," katanya lagi.

"Haram perlu kedua-dua sebelah. Kita tidak boleh memilih, hanya satu parti... jadi kita memerlukan penjelasan, kita kena menjustifikasikan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, pada 1980-an, Pas sendiri pernah berpendirian sedemikian dengan menggunakan perkataan kafir ke atas penyokong BN.

"Tetapi hari ini mereka sedar bahawa pemerintahan negara ini memerlukan sokongan pelbagai pihak. Pas sudah berubah. Dan, hari ini seolah-olah Umno mengambil pendirian macam Pas tahun 1980-an.

"Esok, keadaan akan berubah. Jadi kita boleh menggunakan agama sebagai panduan berpolitik, tetapi tidak harus menjadikan ia sebagai instrumen politik.

"Agama mengatasi politik. Jadi, kita jangan campur aduk politik dan agama, jangan gunakan agama untuk politik," katanya lagi.
Lihat anak bulan Syawal 18 Ogos

10 Ogos 2012
KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan Syawal bagi menetapkan tarikh Hari Raya Puasa ialah pada petang Sabtu, 18 Ogos bersamaan 29 Ramadan ini, menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja hari ini.

Menurut kenyataan itu Majlis Raja-raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh itu adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

"Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen," kata kenyataan itu.

Jawatankuasa berkenaan akan melihat anak bulan Syawal di Pontian Kecil; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara; Telok Kemang, Port Dickson; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Kuala Langat; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Daerah Manjong; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang).

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi; Menara Alor Star; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap KUSZA, Setiu; Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampong Tembeling, Kuala Krai; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu; Tanjong Lubang, Miri; Teluk Bandung, Kuching; Tanjung Batu, Bintulu.

Tempat lain ialah di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan; Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang, Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan; Tingkat 13 Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). - Bernama
Suami didakwa bunuh eksektutif TV9

10 Ogos 2012
Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31,
Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh isterinya.
PETALING JAYA - Suami eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9 Nur Syaleza Jaffar, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh isterinya itu, bulan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 31, eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Tertuduh yang memakai baju-T berkolar berwarna ungu mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah kepadanya.

Norazman Bashah, didakwa membunuh Syaleza, 31, di kediamannya di No.115, Tingkat 1 Blok O, Apartment Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, di antara jam 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai lepas.

Norazman Bashah yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk tarikh sebutan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Akhbar sebelum ini melaporkan  seorang eksekutif pentadbiran wanita stesen televisyen TV9 ditemui mati di kediamannya di Damansara Damai.- Bernama
Kerana dendam, buruh mati dipukul di Hulu Terengganu

10 Ogos 2012
HULU TERENGGANU - Gara-gara perselisihan faham dan dendam, seorang buruh maut setelah dipukul menggunakan objek keras dalam satu pergaduhan di Kampung Tajin Banggol di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berumur 24 tahun didatangi tiga lelaki berusia antara 20 dan 23 tahun yang bertindak membelasah mangsa berhampiran sebuah bengkel motosikal.
Timbalan ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata kejadian itu adalah rentetan perselisihan faham antara mangsa dan seorang daripada suspek beberapa jam sebelum insiden.
Kira-kira pukul 9.45 malam Selasa, mangsa dipercayai menampar muka suspek dan kedua-duanya dipercayai mabuk. Berang dengan tindakan itu, suspek kemudian membawa dua rakannya membelasah mangsa, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
"Mangsa juga dipercayai dihentak ke lantai dan dipukul sehingga pengsan, sebelum diseret dengan motosikal sejauh 700 meter dan dicampak di hadapan rumah mangsa," katanya.
Hamzah berkata ibu mangsa hanya menyedari kejadian itu kira-kira pukul 6.30 pagi apabila ternampak mangsa terbaring di depan rumah.
Ibunya cuba mengejutkan pemuda itu namun tiada tindak balas menyebabkan dia menghubungi ambulans untuk dibawa ke hospital bagi mendapat rawatan.
Mangsa yang dihantar ke Hospital Hulu Terengganu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira 9 pagi.
"Selepas dua jam siasatan dijalankan pihak polis berjaya menahan ketiga-tiga suspek di rumah masing-masing, dua daripadanya di Kampung Tajin dan seorang di Kampung Gemuruh, di sini.
"Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Sementara itu, adik perempuan mangsa yang berusia 22 tahun ketika ditemui, berkata abangnya berkelakuan pelik beberapa hari sebelum kejadian.
Katanya abang sulungnya itu ada menyatakan dia tidak mahu membeli baju raya pada tahun ini kerana raya tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepadanya.
"Kami sekeluarga terkejut ketika adik-adik  hendak ke sekolah ternampak abang dalam keadaan terlentang di sebelah motor dengan hidung serta kaki dengan kesan diseret.
"Pada mulanya kami ingat dia tertidur bagaimanpun selepas beberapa kali dikejut masih tiada respons dan terus menghubungi pihak hospital,"katanya. - Bernama

Tiada ulasan: