Ahad, 12 Ogos 2012

KITA TENTU MAMPU MENILAI...YANG BERMORAL DENGAN TAK BERMORAL....YANG TAAT DENGAN YANG TIDAK...YANG TUNDUK DENGAN YANG SOMBONG...DAN YANG KAKI BUAT MUNGKAR TAK PENDULI HUKUM...ALLAH SANGAT TAHU BAGAIMANA NAK MENGAJAR SERTA MENGHUKUM ORANG2 MACAM NI

Tamrin keluar Umno, serah borang sertai PAS

Hazayani Zakaria, 11 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar (gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan Umno," katanya.

Gempar! Bayi ditinggalkan hanya ditemani kerengga...jom baca

http://kachipemas.blogspot.com, 11 Ogs 2012

Hati Mana Tak Meronta...Jiwa Mana Tak Tersentuh...
Bila melihat bayi yang tidak berdosa menjadi sebegini..masa berseronok tak ingat semua perkara ini, kasihanilah bayi ini

Nukilan Abu Luqman


Amerika kecam Hezbollah yang bantu Syria

Al Jazeera terjemahan Mohamad Yahya, 11 Ogs 2012
SYRIA: Ameriksa Syarikat mengecam Hezbollah, parti politik Lebanon, kerana memberi sokongan kepada Presiden Syria Bashar al-Assad,dan menyenaraikan parti politik itu dalam senarai organisasi yang dikenakan sekatan kerana hubungan mereka dengan kerajaan Syria.

Amerika Syarikat sebelum ini sudah megklasifikasikan Hezbollah sebagai “organisasi pengganas” dan  di bawah sekatan US, tetapi langkah yang diambil Amerika Syarikat Jumaat lalu betul-betul mengaitkan parti ini dengan keganasan yang berlaku di Syria, di mana Assad sedang cuba mematahkan serangan kumpulan penentang.

Hezbollah adalah sebuah parti politik tentera bersenjata yang kuat dan mendapat sokongan padu dari kalangan puak Syiah Lebanon.

“Tindakan ini mendedahkan aktiviti Hezbollah di Syria dan peranan pentingnya dalam meneruskan keganasan yang dilakukan rejim Assad terhadap rakyat Syria,” kenyataan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat Jumaat lalu.

Hezbollah telah dimasukkan dalam senarai hitam kerajaan Amerika Syarikat di bawah arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden Barack Obama Ogos tahun lepas, menjadikan kerajaan negara jiran Syria dan penyokongnya itu sebagai sasaran.

Sekatan itu dilaksanakan untuk memberi tekanan kepada Syria setelah Amerika Syarikat buat pertama kalinya meminta Assad untuk menghentikan serangan pihak tenteranya kepada kumpulan penentang.

Amerika Syarikat turut mengenakan sekatan terhadap Sytrol, syarikat minyak negara Syria kerana membekalkan minyak kepada Iran, lapor Jabatan Negara Amerika Syarikat.

“Walaupun sekatan ini adalah kesan langsung pembekalan gasolin Syria kepada Iran, Amerika Syarikat tetap  melihat sokongan Iran terhadap rejim Assad sebagai sesuatu yang tidak munasabah,” Patrick Ventrell, jurucakap Jabatan Negara, dalam satu kenyataan bertulis.

Bekas Menteri ditahan

Dalam perkembangan lain, pihak keselamatan Lebanon menahan Michel Samaha, bekan Menteri Penerangan, yang dianggap rapat dengan kerajaan Syria, berkenaan sebuah kes yang dikaitkan dengan rancangan letupan, lapor media tempatan.

Penahanan beliau pada hari Khamis lalu dikaitkan dengan rampasan bahan letupan yang akan digunakan di kebanyakan tempat di Utara Lebanon, kawasan yang dikaitkan dengan konflik di Syria, beritahu seorang pegawai kanan kerajaan yang enggan namanya didedahkan kepada agensi media AFP.

“Tuduhan terhadap Samaha adalah berkaitan dengan bahan-bahan letupan, yang telah dirancang untuk diletakkan di sebahagian tempat dalam negara ini, terutamanya di bahagian Utara,” ujar pegawai itu.

Pegawai tersebut enggan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dakwaan itu, tetapi menyatakan bahawa bahan letupan itu tidak dirampas dari rumah Samaha di mana tangkapan terhadap Samaha dibuat.

Tiada kenyataan rasmi berkenaan penahanan Samaha ataupun pengakuannya seperti yang dilaporkan oleh salah sebuah stesen TV di Lebanon.

Samaha ditahan di bawah perintah Peguam Negara Lebanon di kediamannya di Khenshara, 30km arah utara dari Beirut, pegawai kanan itu memberitahu AFP.


Iran sokong Syria


Sementara itu, seorang pegawai kanan kerajaan Iran melawat Damaskus Selasa lalu di mana pegawai itu bertemu Assad.

Saeed Jalili, pembantu kanan kepada Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberitahu Assad bahawa Iran akan terus menyokong kerajaan Syria.

Dalam perbincangan dengan Assad, Jalil berkata apa yang berlaku di Syria bukanlah “isu dalaman”.

“Dari satu segi, ia adalah konflik antara pemberontak dan kerajaan, tapi dari sudut yang lain ia adalah konflik antara kerajaan dan musuh globalnya,” ujar Jalili.

Isnin lalu, dalam lawatannya ke Beirut, ibu kota Lebanon, Jalili mengeluarkan amaran kepada negara yang menyokong kumpulan pemberontak itu.

“Mereka yang percaya bahawa, dengan menimbulkan kekacauan dalam negara lain dengan menghantar senjata dan mengeskport pengganas, akan memberi keselamatan kepada negara sendiri adalah salah,” Jalili dilaporkan berkata demikian oleh agensi berita IRNA kepada Adnan Mansor, Menteri Luar Lebanon.
(Dari video warga Iran yang ditahan)


Dalam perkembangan lain, Iran mendakwa tentera yang sudah bersara adalah antara rakyat Iran yang ditawan pemberontak.

Menteri Luar Iran, Ali Akbar Salehi berkata Rabu lalu, bahawa ahli Tentera Revolusi Iran (Iran's Revolutionary Guards) yang “telah bersara” adalah antara 48 rakyat Iran yang ditahan di Syria oleh pihak pembangkang.

Salehi berkata tentera yang “sudah bersara” itu dalam perjalanan mengerjakan ibadah di Damaskus apabila mereka ditawan Sabtu lalu.

“Beberapa tawanan Iran adalah tentera yang “sudah bersara”. Sebahagian lain pula adalah dari kementerian.,” Salehi dilaporkan berkata demikian kepada pemberita dalam perjalananan pulang dari Turki, di mana beliau meminta pertolongan untuk membebaskan rakyat Iran yang ditawan.

Maafkan Dr Mahathir, dia mudah lupa

Abdul Aziz Mustafa, 11 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata sudah tidak ketentuan apabila menyuruh orang-orang Melayu melumurkan najis ke muka mereka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Sebelum ini Dr Mahathir yang tulis bahawa Umno sudah menjadi parti perasuah dan sudah busuk hingga ke usus (rotten to the core), sudah jadi najis. Hari ini, tiba-tiba beliau mendakwa Umno yang mampu satukan orang-orang Melayu.

"Ia seperti menyuruh orang-orang Melayu mengambil najis dan melumurkan ke muka mereka," kata beliau.

Menurut Mahfuz, sebelum ini Dr Mahathir yang begitu jijik dengan Umno sehingga beliau sendiri yang isytihar diri keluar Umno.

"Dr Mahathir keluar dari Umno kononnya kerana benci sangat kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu dan juga kerana terlalu benci kepada menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin yang orang anggap sebagai Perdana Menteri de facto atau Perdana Menteri sebenar ketika itu.

"Tetapi hari ini, apabila sudah menjadi anggapan dan kesepakatan umum hatta di dalam Umno sekalipun bahawa Perdana Menteri sebenar bukan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) tetapi isterinya, (Datin Seri) Rosmah (Mansor), ramai yang hairan mengapa Dr Mahathir begitu tegar membutakan mata dan memekakkan dirinya untuk berada di dalam Umno semula sedangkan kesepakatan umum menyatakan era Najib jauh lebih buruk dari era Pak Lah," katanya.

Mahfuz (gambar) walau bagaimanapun berharap rakyat dapat memaafkan Dr Mahathir kerana jelas pemikiran bekas Presiden Umno itu sudah "tidak ketentuan dan tidak stabil lagi".

"Dr Mahathir dilanda penyakit yang selalu dia sebut sebelum ini iaitu mudah lupa.

"Apa pun yang dia kata, tidak perlulah diambilkira dan maafkanlah dia.

"Dia mudah lupa, tidak ketentuan dan tidak stabil lagi," katanya.

Bagi Mahfuz, apa sahaja kenyataan dan dakwaan Dr Mahathir mengenai Umno, tarafnya sama dengan perisytiharan Dr Mahathir bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.

"Itu dakwaan paling menggelikan hati dan tahap kebudak-budakan.

"Begitulah juga taraf apa sahaja kenyataan dan dakwaan Dr Mahathir yang lain mengenai Umno.

"Boleh dengar tetapi jangan percaya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Umno kempen umpama pelampau agama

Harakahdaily, 11 Ogs 2012

(Kempen Umno sudah jadi pelampau agama)

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan, laporan muka depan akhbar Umno, Utusan Malaysia yang mendakwa haram mengundi DAP umpama kempen pelampau agama untuk mengekalkan kedudukannya.

"Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, UMNO kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka.

"Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar," kata Ketua Penerangan PKR, Dr Mohamad Nor Manuty.

Bagi beliau, adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, Umno terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung.

"Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas," katanya.

Akibat dari pendekatan ini kata Mohamad Nor (gambar), perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang.

"Apakah agenda tersembunyi Umno dengan sengaja menimbulkan polemik ini?" soal beliau.

PKR berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah Umno telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.

"Jelas dan nyata, UMNO tidak layak lagi diamanahkan mengurus negara selepas PRU ke 13 nanti,  kerana telah kehilangan arah,  hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan," katanya.

Katanya, di bulan Ramadan yang penuh dengan kerahmatan Ilahi ini, semua pihak dikejutkan dengan pandangan seorang Tok Guru yang mendakwa bahawa umat Islam di Malaysia haram menyokong DAP kerana DAP menentang hudud and tidak mahu mendaulatkan Islam.

Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.

PKR, kata Mohamad Nor, berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.

Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami  mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.

Sebenarnya, kata beliau, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’),

Sheikh Rashid Ghanoushi  (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada Kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan Negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.

Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi.

Justeru, katanya, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.

Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi.

Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).

Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini, kata beliau lagi.

Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.

"Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan - kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah. Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang," katanya.

Lebih menarik lagi, jelas Mohamad Nor, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun).

Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun), katanya.

Di bawah kerangka ini,  konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.

Hasilnya,  semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir, jelas beliau.

Adalah jelas, cara Umno menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa.

Mat Sabu seru kuningkan ambang Merdeka

Abdul Aziz Mustafa, 11 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menyeru semua pihak memakai baju kuning dan keluar bersantai beramai-ramai di Dataran Merdeka pada malam 31 Ogos ini.

"Bukan tunjuk perasaan. NGO akan adakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka dengan keluar bersantai sambil pakai baju kuning.

"Kita semua meriahkan sambutan Merdeka dan keluar bersantai pakai baju kuning di Dataran Merdeka.

"Bukan tunjuk perasaan... (tetapi) bersantai pakai baju kuning," katanya dalam ceramahnya di sini malam tadi.

Khamis lalu, sebanyak 20 badan bukan kerajaan (NGO) menyatakan akan mengadakan sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka untuk mengingatkan kerajaan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Pengerusi Bersama Bersih Datuk A Samad Said berkata, program yang dinamakan "Janji Bersih" itu akan menyaksikan pesertanya memakai pakaian kuning sebagai lambang perjuangan menuntut reformasi sistem pilihan raya.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai program tersebut selepas ceramahnya itu, Mohamad berharap rakyat akan menjadikan sambutan Hari Merdeka tahun ini sebagai yang paling meriah dan bersejarah.

"Kita tidak menunjuk perasaan. Kita sambut Hari Merdeka bersama-sama rakyat yang berkumpul di Dataran Merdeka pada malam itu.

"Kalau ada pun perbezaan, slogan NGO yang meminta kita sambut Merdeka pakai baju kuning itu hanya berbeza satu perkataan sahaja dengan slogan yang digunakan oleh kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

"Kerajaan Umno BN guna slogan 'Janji Ditepati', NGO tersebut guna slogan 'Janji Bersih'," katanya sambil menekankan bahawa tidak ada undang-undang yang mengharamkan rakyat keluar bersantai memakai baju kuning.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menggesa NGO berkenaan agar tidak "mempolitikkan" sambutan ambang merdeka dengan turut sama di Dataran Merdeka dengan berbaju kuning.

Menjawab gesaan polis itu, A Samad berkata, program "Janji Bersih" pada 31 Ogos di Dataran Merdeka berhasrat menuntut janji reformasi pilihan raya dan bukannya berniat mempolitikkan sambutan kemerdekaan.

Beliau menegaskan, adalah tidak wajar bagi polis melarang rakyat memakai baju berwarna kuning.

"Sepatutnya tiada halangan apa-apa baju pun orang nak pakai apatah lagi kuning bukan warna haram," tegas beliau.

Gambar berbicara: Anda mampu menilainya!

http://greenboc.blogspot.com, 11 Ogs 2012







BUKANKAH IA CUKUP JELAS DAN CUKUP NYATA?

MAKA PILIHAN KINI DI TANGAN ANDA!


Laporan sebelum ini
klik untuk baca


Tiada ulasan: