Rabu, 8 Ogos 2012

PEMIMPIN@PEMERINTAH AKAN HANCUR@MUSNAH DISEBABKAN DOA RAKYAT YANG DIZALIMI...LEBIH2 PEMERINTAH YANG TAK TAAT PADA ALLAH..BERPOYA2...MINUM ARAK....TAK SOLAT...AMALAN RASUAH...SALAH GUNA KUASA...PECAH AMANAH..BERMEWAH2...GASAK HAK RAKYAT DLL...MAKA TUNGGU SAJA HUKUMAN DARI ALLAH SWT

Kebangkitan pemuda mendepani pilihan raya

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin, 08 Ogs 2012
Pemuda digambarkan sebagai unsur kekuatan dan menjadi tiang seri kepada pembangunan umat. Pemuda Islam bukan setakat mampu menghadapi gelodak cabaran namun terpikul dipundaknya risalah Islam yang merupakan risalah Nabi Muhammad S.A.W dan risalah Al-Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya, maka sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (al- Kahfi : 13)

Justeru,peranan pemuda Islam dalam Parti Islam Se-Malaysia amat ditagih bagi merealisasikan kemenangan Parti Islam pada Pilihanraya Umum ke-13 ini. Kemenangan Parti Islam di beberapa  buah negara di Timur Tengah seperti di Mesir dan Tunisia adalah berpunca daripada kekuatan pemuda  yang mendokong dan menegakkan Islam. Saya ingin gariskan secara ringkas kekuatan-kekuatan yang wajib dimiliki oleh semua pemuda mujahid Islam ini agar menjadi pedoman dan panduan dalam mendepani pilihan raya yang semakin mendekati kita.

Antara kekuatan yang saya maksudkan adalah seperti berikut:

Pertama: Niat yang ikhlas kepada Allah Taala
Pengorbanan yang ikhlas kepada Allah Taala tidak akan mengharapkan imbuhan dan balasan duniawi tetapi akan mengharapkan keredhaan Ilahi. Pengorbanan yang ikhlas tidak mengharapkan keuntungan kebendaan, pangkat dan kedudukan tetapi mengharapkan keuntungan ukhrawi yang dijanjikan oleh Allah Taala iaitu syurga yang abadi. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah Dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (at-Taubah : 111)

Marilah kita mencontohi keikhlasan para sahabat yang tidak mengharapkan sebarang keuntungan duniawi dalam berjuang. Kisah para sahabat seperti Musab bin Umair, Suhaib ar-Rumi yang ditawarkan sama ada ingin memilih harta atau ikut berjuang bersama nabi oleh musuh-musuh Allah menjadi sumber kekuatan dan panduan kepada kita. Kisah kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud lantaran mengejar habuan dunia di depan mata dengan sanggup menggadaikan amanah dan tanggungjawab kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW menjadi pengajaran yang sangat berharga kepada kita sebagai mujahid Islam. Semoga kita terselamat dari tipu daya syaitan yang ingin menyesatkan.

Kedua: Kekuatan dalam memahami sejarah perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW.
Pemuda-pemuda harus belajar, memahami dan menghayati sejarah hidup Rasulullah sebagai panduan dalam berjuang dan urusan hidupnya. Mereka sepatutnya  melihat sedalam-dalamnya kekuatan yang dimiliki oleh Rasulullah SAW dan generasi sahabat, namun akibat kecuaian umat Islam suatu ketika dahulu, pemuda-pemuda lebih mengetahui sejarah barat. Malah memalukan kerana mereka mengenali Napoleon lebih baik berbanding Nabi Muhammad SAW. Mereka tidak mengetahui melainkan kekejaman Islam dan terpesona dengan peradaban Barat. Firman Allah Taala yang bermaksud:


“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (al-Ahzab ayat 21)

Bermula nabi dibangkitkan sehinggalah nabi wafat, baginda tidak pernah berehat daripada menyerahkan seluruh kehidupan baginda kepada menegakkan Islam. Sikap pengorbanan yang tinggi ini telah membawa kepada penyertaan Rasulullah SAW dalam 28 siri peperangan. Rasulullah SAW bukan sekadar memberi arahan dan melihat dari jauh peperangan yang berlaku tetapi Rasullullah SAW jugalah yang memimpin dan berada dalam barisan paling hadapan. Begitulah sepatutnya yang wajar kita contohi, iaitu bukan hanya pandai memberikan cadangan dan kritikan tetapi turut sama terlibat mendokong dan menggerakkan semua aktiviti serta program yang menuntut kebersamaan. Firman Allah Taala yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff : 4)
Ketiga: Kekuatan Bersatu Kerana Islam
Pemuda-pemuda Islam yang berkefahaman jitu dan sanggup bekerja untuk Islam seharusnya bertanggungjawab untuk saling bantu membantu sesama pekerja Islam dan sama-sama berusaha untuk mengembalikan keagungan Islam dan memenangai PRU 13 ini. Tugas ini amatlah berat dan cita-cita ini tidak akan tercapai sekiranya pemuda-pemuda Islam bergerak secara bersendirian. Islam memerlukan pekerja yang bergerak secara berkumpulan dan jiwa pekerjanya diikat dengan tali kasih sayang dan ukhuwwah walaupun terdapat perbezaan corak kerja antara kelompok-kelompok Islam.

Sekiranya Umno mampu untuk bersatu menentang PAS,kenapakah petugas-petugas Islam tidak mampu berganding bahu dan saling bantu membantu serta  bahu membahu untuk melaksanakan tanggungjawab siasah dan dakwah ini ?
Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang-orang kafir sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Jika kamu (orang-orang Islam) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (al-Anfal : 73)

Wahai pemuda-pemuda Islam jangan sampai kedapatan diantara kita yang sering memberi alasan dan sebab tidak turut serta dalam setiap aktiviti dan program yang dilaksanakan.Sebahagian kita sering memberi alasan pekerjaan,keluarga dan kekangan masa untuk tidak bersama.Ingatlah sekiranya kita memberi seribu alasan sedangkan saudara kita yang lain sibuk berhempas pulas pada setiap ketika berada di medan perjuangan.Persoalannya adilkah kita dan layakkah kita mendabik dada mengaku berjuang bersama tetapi tidak dalam bekerja dan berkorban? Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (Surah at-Taubah:24)

Keempat: Kekuatan Beramal Dengan Islam
Pohon yang rendang tidak bermanfaat seandainya tidak mengeluarkan buah. Begitulah perumpamaan seorang yang berilmu tetapi gagal beramal dengan ilmunya. Janganlah pemuda Islam menjadi bahan tempelakan Allah seperti Allah menempelak bangsa-bangsa terdahulu yang menerima kitab samawi dan mereka belajar tentangnya tetapi tidak dengan ajaran yang dipelajarinya.
Firman Allah yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang dipikul ke atas mereka Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya (tidak beramal dengan kandungannya) adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab tebal. Amat buruklah perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.” (al Jumu’ah : 5)

Dakwah Islamiah lebih cepat tersebar melalui qudwah yang baik yang terpancar melalui akhlak dan perilaku umat muslimin. Seandainya pemuda Islam gagal untuk beramal dengan ajaran Islam yang telah dipelajari dan difahaminya, maka usaha penyebaran dakwah akan terbantut. Islam amat indah jika dibaca di dalam buku tetapi dek kerana kesilapan penganutnya yang enggan beramal dengan ajaran Islam secara total maka tampaklah keburukan umat Islam.

Amat menyedihkan umat Islam kini tatkala mendengar kata-kata seorang Barat yang baru menganut agama Islam; “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang mengenalkan aku kepada Islam sebelum aku mengenali orang-orang Islam”.

Dalam berhadapan dengan pilihan raya semakin hampir ini, kita disaran supaya mendekati masyarakat dengan mempamerkan nilai akhlak yang baik dan mulia. Menggunakan segala kemahiran yang dipunyai seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, teknologi atau sebagainya untuk merealisasikan misi dakwah dan siasah. Perlihatkan kepada mereka bahawa pemuda PAS adalah pemuda yang bersedia dan mampu untuk memimpin dan membimbing golongan muda sekiranya kita diberi mandat untuk memerintah.

Inilah empat kekuatan yang mesti dilangsaikan oleh pemuda PAS untuk memastikan kemenangan PRU yang ke-13 ini. Kita sepatutnya memeriksa setiap kekuatan ini  wujud di dalam diri. Adakah semua tuntutan ini sudah dihadami dan ditunaikan ataupun sebaliknya?. Berbanggalah kita semua tatkala hari kemenangan Islam tiba dan kita merupakan penolong agama Allah. Firman Allah Taala yang bermaksud:

“Dan pada hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman dengan pertolongan Allah. Dia yang menolong sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Pengasih.” (ar- Rum : 4-5)

Semoga kita menjadi batu bata kepada binaan Islam, pewaris generasi Solahuddin al-Ayyubi. Takbir!

Ustaz Yusmi Haniff Ariffin merupakan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sepang

Pemerintahan Assad mulai goyah - US

Al Jazeera Terjemahan Mohamad Yahya, 08 Ogs 2012

Riad Farid Hijab (gambar), Perdana Menteri Syria yang meyertai kumpulan pembangkang Isnin lalu, menuduh Presiden Bashar al-Assad melakukan “genosid” atau penghapusan bangsa terhadap rakyatnya sendiri, yang membuatkan Washington memberi komen bahawa rejim itu mulai “meretak dari dalam”.

Patrick Ventrell, pemangku timbalan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (US Department of State), berkata bahawa penglibatan Hijab dalam kumpulang pembangkang “memberi isyarat bahawa rejim  Assad sudah mulai goyah dan kehilangan kuasa.”

Jay Carney, jurucakap Rumah Putih, berkata:"Ini adalah isyarat bahawa cengkaman kuasa Assad tidak lagi kuat seperti dahulu."

"Jika beliau tidak mampu mengekalkan perpaduan dalam lingkungan kecilnya sendiri, ini menunjukkan ketidakupayaan beliau untuk mendapat sebarang sokongan dari kalangan rakyat Syria yang tidak diugut dengan senjata api."

Rumah Putih mengulangi desakannya supaya Assad untuk meletak jawatan dan menghentikan kezaliman yang telah mencengkam Syria semenjak pemberontakan terhadap pemerintahan Assad bermula pada Mac tahun lalu.

Hijab mengumumkan pada hari Isnin lalu melalui jurucakapnya Muhammad el-Etri, bahawa beliau telah menyertai kumpulan pembangkang, setelah satu laporan televisyen nasional yang mengatakan bahawa beliau telah dipecat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata empat dekad pemerintahan oleh keluarga Assad akan menemui keruntuhannya.

Hijab, tokoh Sunni Muslim dalam regim Assad yang didominasi puak ‘Alawiyyah, menjadi pegawai kerajaan pangkat tertinggi yang melarikan diri dari rejim Assad selepas beliau menyeludup masuk ke Jordan pada malam Ahad lalu.

Hijab akan meninggalkan Jordan dan berlepas ke Qatar, mengikuti jejak langkah beberapa pemimpin berprofil tinggi yang lain yang turut menyertai pembangkang, Etri memberitahu agensi media AFP.

Beliau dilantik sebagai perdana menteri pada 23 Jun lalu selepas berlangsungnya pilihanraya yang disifatkan oleh pembangkang sebagai janji kosong.

Selasa lalu, agensi media Anatolia yang berpusat di Turki melaporkan bahawa 1,137 rakyat Syria, termasuk seorang general telah melarikan diri ke Turki dalam tempoh semalaman.
Kumpulan baru ini menjadikan bilangan pelarian rakyat Syria di Turki mencecah 50,000 orang.

Pertempuran sengit di Aleppo
Sementara itu, tentera Syria terus membedil kawasan-kawasan di medan pertempuran penting di Aleppo pada Selasa lalu, lapor sebuah badan yang memperjuangkan hak manusia.

Kumpulan pemberontak bertempur dengan pihak tentera di Bab Antakya, Aziziyeh, Bab Janin dan Sabaa Bahrat, kawasan-kawasan pusat bandar dan juga berdekatan Istana Keadilan di bahagian barat, lapor Badan Pemerhati Hak Manusia Syria (Syrian Observatory for Human Rights) yang berpusat di Britain.

Pihak tentera turut membedil Shaar, Sakhur dan daerah-daerah Qatarji di bahagian timur, tambah badan itu lagi
Seorang aktivis pembangkang dari Suruhanjaya Am Revolusi Syria (Syrian Revolution General Commission) berkata pihak tentera turut menggunakan helikopter tempur untuk membedil Hanano, kawasan timur Aleppo.

Pertempuran di bandar terbesar Syria yang mengandungi 2.7 juta penduduk itu telah mengakibatkan 46 nyawa terkorban  pada hari Isnin lalu, dengan majority korban adalah orang awam, lapor badan pemerhati itu.

Pegawai kanan keselamatan berkata pada Ahad lalu, bahawa pihak tentera telah siap mengatur kedudukan tentera bantuan di Aleppo, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20,000 tentera, yang bersedia untuk pertempuran penentuan di kota yang telah menjadi medan pertempuran sengit semenjak 20 Julai lalu.

Suratkhabar harian pro kerajaan, Al-Watan melaporkan bahawa pihak “pengganas”, yang mendakwa telah mengawal lebih kurang separuh dari kota Aleppo, mempunyai seramai 6,000 hingga 8,000 pejuang.

Koresponden AFP melaporkan bahawa di sebalik pertempuran sengit di sesetengah kawasan sekitar bandar, pihak tentera tampaknya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan tanah  penghabisan.

Leftenan Jeneral Babacar Gaye, ketua misi pemerhati UN di Syria, membuat rayuan bagi pihak orang awam Isnin lalu, di ambang kerisauan berlakunya pertumpahan darah yang lebih besar.

"Saya menggesa agar semua pihak untuk melindungi orang awam dan menghormati hak mereka di bawah undang-undang kemanusian antarabangsa. Orang awam tidak sepatutnya terdedah kepada bahaya bedilan dan penggunaan senjata berat," ujar beliau.


Rakyat Iran terbunuh


Sementara itu, Iran telah menyatakan keprihatinan mereka terhadap nasib 40 rakyat jemaah haji yang telah diculik oleh kumpulan pemberontak dari sebuah bas di Damaskus ketika lawatan rakyat Iran itu ke tempat-tempat suci kaum Shiah.

Kumpulan pemberontak menyatakan bahawa mereka mengesyaki bahawa tahanan mereka itu adalah tentera yang dihantar untuk membantu Assad.

Jurucakap kumpulan pemberontak bagi kawasan Damaskus berkata pada Isnin lalu, tiga dari warganegara Iran itu telah terkorban terkena bedilan meriam pihak kerajaan, dan yang selebihnya akan dibunuh jika bedilan meriam itu tidak dihentikan.

Selasa lalu, Iran memutuskan bahawa Menteri Luar Negara Iran, Ali Akbar Salehi akan pergi ke Turki dan berbincang tentang Syria dan situasi rakyat Iran tersebut.

Kedutaan Iran memberitahu bahawa Salehi akan berjumpa dengan Menteri Luar Negara Turki, Ahmet Davutoglu di Ankara pada hari Selasa.

Wartawan Al-Jazeera, Nisreen El-Shamayleh, yang melaporkan dari Amman, berkata: "Perbincangan itu akan berfokus pada isu Syria, terutamanya tentang nasib 48 warga Iran yang telah ditangkap oleh kumpulan pemberontak di Damaskus."

"Secara asasnya apa yang kami fahami adalah Iran telah meminta Turki dan Qatar, dua negara yang mempunyai hubungan yang kuat dengan kumpulan pembangkang Syria, untuk memudahkan urusan pelepasan warga Iran," lapor Nisreen.

Kumpulan pembangkang Syria berkata mereka bukannya jemaah haji akan tetapi adalah ahli pengawal revolusi Iran, mereka cuba untuk membantu tentera Syria dalam menghancurkan penentangan dan membunuh ahli kumpulan pembangkan."

Saeed Jalili, setiausaha kepada Majlis Tertinggi  Keselamatan Nasional Iran (Iran's Supreme National Security Council ), kini berada Damaskus untuk berbincang dengan Presiden Syria, menurut laporan stesen televisyen nasional Iran.

"Menurut kumpulan pembangkang, adanya penyelarasan yang berterusan antara kerajaan Syria dan kerajaan Iran," lapor Nisreen.

"Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army) mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa pihak keselamatan dan pegawai tentera Iran telah berulang kali datang bertemu pegawai Syria, dan memberikan mereka nasihat teknikal dan sokongan taktikal kepada kerajaan Syria.
---------------------------------------------------------------------------------------
Laporan asal http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2012/08/20128785425222591.html

Timbermine: Tok Guru mohon rakyat solat syukur

Rizal Tahir, 08 Ogs 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memohon pemimpin dan rakyat negeri ini menunaikan solat sunat syukur berikutan keputusan mahkamah dalam kes saman Timbermine terhadap Kelantan kelmarin.

Perkara itu disampaikan Tuan Guru melalui Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan kepada Harakahdaily hari ini.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan PAS Kelantan mengucapkan terma kasih kepada jawatankuasa bertindak kes ini dan juga team peguam yang bertungkus-lumus mempertahankan kerajaan negeri,”ujarnya.

Isnin lalu Mahkamah Rayuan Malaysia telah mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang mengarahkan Kelantan membayar RM560 juta (RM1.2 bilion termasuk faedah) kepada Syarikat Timbermine Sdn Bhd.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

PAS Kota Samarahan santuni masyarakat

Salmiyah Harun, 08 Ogs 2012
KOTA SAMARAHAN: Melihat kesusahan dan penderitaan sebilangan masyarakat yang kurang bernasib baik, PAS Kota Samarahan terpanggil untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Bersempena Ramadhan Al-Mubarak, seramai 105 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas dikenalpasti untuk menerima sumbangan itu.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat,  Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, dalam program Sekampit Beras Negara Kebajikan.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Pengkalan Kuap baru-baru ini berkata, program sebegini amat bermakna dan membahagiakan dalam kehidupan mana-mana insan apabila dapat menggembirakan hati insan lain yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rekod pendapatan tertinggi pada 2011 iaitu melebihi RM4 billion,  katanya, sepatutnya pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN, hendaklah lebih cakna atau prihatin kepada rakyatnya.

"Bukan sekadar membuat pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rohani kepada semua rakyat," katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Samarahan, Zul Ramzi beserta dengan pimpinan Pemuda negeri dan Kawasan Petrajaya.

Harapan beliau agar sumbangan itu dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam bulan Ramadhan ini tambahan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang prihatin dan benar-benar bersifat rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Kehadiran Abang Ahmad Kerdee dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.

Sementara itu, Abang Ahmad dan rombongannya juga turut membuat tinjauan khas ke tempat pelupusan sampah di Kota Samarahan yang menjadi masalah kepada masyarakat sekitar kawasan ini.

Dari tinjuan yang dilakukan katanya, tempat ini tidak diselenggara dan diurus dengan baik, menyebabkan bau busuk dan sampah sarap terbiar begitu sahaja.

Tambah memburukkan lagi keadaan, kawasan ini berdekatan dengan penempatan penduduk tempatan, antara kampung yang berdekatan ialah Kampung Plaie, Kampung Sungai Batu, Kampung Rembus, Kampung Jegoi dan Kampung Baru.

Menurut penduduk Kampung Sungai Batu yang ditemui, masalah bau busuk akan bertambah buruk apabila waktu hujan dan mereka telah menanggung masalah ini sejak 20 tahun yang lalu.

Menurut Abang Ahmad Kerdee turut menyatakan kekecewaan beliau mengenai pengurusan pusat pelupusan sampah yang begitu teruk.

"Bukan itu sahaja, aktiviti pembakaran terbuka di pusat pelupusan sampah ini memburukkan lagi keadaan," katanya.

Justeru katanya, penduduk sekitar berharap agar PAS Kawasan Kota Samarahan dapat membawa permasalahan ini ke pihak berkuasa tempatan agar penderitaan mereka selama 20 tahun akan berakhir terutama sebelum bulan Syawal menjelma tidak lama lagi.

Kenapa dolak-dalih dalam royalti - Ku Li

Harakahdaily, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan Menteri Besar Kelantan mengenai royalti Petroleum, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) menempelak sikap pihak yang suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak untuk Kelantan.

Dalam posting terbaru melalui Facebook beliau, anggota Parlimen Gua Musang itu mempersoalkan "Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?"

Beliau menghubungkan komen beliau itu dengan muka depan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 (gambar kanan) yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.

Tengku Razaleigh dipercayai mempertikaikan penubuhan Jawatankuasa untuk mengkaji pemberian bayaran tunai/royalti Petroleum yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan meminta beliau menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Mohamad itu.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dalam kenyataannya meminta kerajaan Pusat agar menyelesaikan isu pembayaran royalti ini menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kata beliau, isu ini akan menyusahkan BN jika ia tidak diselesaikan sebelum itu.

NUJ sokong SOP elak wartawan dikasari

Hazayani Zakaria, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyambut baik keputusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi berhadapan dengan petugas media yang membuat liputan sesuatu perhimpunan.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Chin Sung Chew (gambar) berkata, SOP polis terhadap petugas media amat penting bagi mengelakkan mereka dikasari polis ketika menjalankan tugas.

"NUJ berasa gembira dan meraikan keputusan PDRM ini kerana dengan adanya SOP boleh mengurangkan peristiwa yang tidak diingini seperti yang berlaku di perhimpunan sebelum ini," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memaklumkan bahawa SOP itu akan diumumkan sebulan daripada sekarang dan akan dirangka dengan mengambil kira pandangan dan cadangan petugas media yang pernah membuat liputan di perhimpunan seperti perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Sehubungan itu, PDRM akan memanggil wakil media untuk duduk berbincang mengenai SOP itu dan mahu mana-mana petugas media yang dicederakan tampil memberikan pandangan mereka.

Mengulas perkara itu, Chin berkata ianya akan dibawa ke mesyuarat NUJ pada Jumaat ini.

"NUJ akan bermesyuarat Jumaat ini jadi saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat dan mungkin kita akan berhubung dengan polis lebih awal untuk menyatakan kesediaan menghantar wakil untuk berbincang," katanya.

Sebelum ini, Panel Siasatan Bebas mengenai perhimpunan Bersih 3.0 mendapati tiadanya SOP di kalangan pasukan polis menjadi punca berlakunya insiden wartawan dan jurugambar mendapat kecederaan.

Pada Perhimpunan Bersih 3.0, dua wartawan dimasukkan ke hospital akibat dipukul polis manakala beberapa wartawan dan jurugambar dikasari termasuk kad memori kamera mereka dirampas dan dilarang mengambil gambar.

Tiada keperluan pelajar bawa telefon ke sekolah

Salmah Mat Husain, 08 Ogs 2012
KOTA BHARU: Penggunaan ‘gajet’ oleh pelajar khususnya di sekolah bukan menyelesaikan beban, sebaliknya akan menambahkan beban di kalangan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri,  Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata tiada keperluan langsung bagi membolehkan cadangan penggunaan telefon oleh pelajar di sekolah.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco ketika diminta mengulas berhubung perkara itu sebentar tadi.

“Secara peribadinya saya tidak bersetuju kerana ianya akan mengganggu pelajar di sekolah.

“Kalau ada masaalah pelajar di sekolah, mereka boleh menggunakan telefon awam atau pihak sekolah juga boleh menghubungi ibu bapa masing-masing sekiranya ada masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata keputusan sama ada pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah atau sebaliknya masih dalam perbincangan.

Amar seterusnya berkata, dengan adanya kemudahan alat itu, penyebaran perkara yang tidak sihat akan mudah berlaku dan disalahgunakan oleh pelajar.

“Kerana itu kebenaran membawa telefon bimbit di sekolah tidak ada kepentingannya, apa lagi ianya akan membuatkan mereka leka dengan gajet tersebut,”ujarnya.

Kami tidak faham apa itu Islamophobia - Ketua Paderi

Terjemahan Mohamad Yahya, 08 Ogs 2012
BURSA (Turki): Elpidophoros Lambriniadis, warga metropolitan Bursa, Turki dan juga Ketua Paderi di Seminari Halki (Halki Seminary) berkata,"Kami tidak tahu apa itu Islamophobia dan tidak juga memahaminya kerana kami tidak takut dengan rakan-rakan mahupun jiran-jiran kami yang beragama Islam."

Bercakap kepada AA di Halki Seminary, Lambriniadis menjelaskan pandangan seminari mereka tentang Islamophobia.

Mengulas tentang isu Islamophobia yang selalu dimainkan di media selepas kejadian 11 September, Lambriniadis berkata, "Kami tinggal di Istanbul sebagai pengikut ajaran gereja, rakan-rakan dan jiran kami semuanya adalah beragama Islam. Kami tidak tahu apa itu Islamophobia dan tidak juga memahaminya.

"Kami tidak takut dengan rakan-rakan dan jiran-jiran kami yang beragama Islam. Kami menyayangi antara satu sama lain. Saya percaya persepi yang mengatakan Islam adalah ganas di negara lain hanya bermotifkan politik," katanya.

Beliau menegaskan, mereka  tidak takut dengan mereka yang tinggal di kawasan kejiranan yang sama, dalam komuniti yang sama "kerana saya mengenali mereka."

"Kami tahu tentang Islam dan kami tidak takut dengannya," kata Lambriniadis. -------------------------------------------------------------------------
Berita asal di http://www.turkishweekly.net/news/139880/we-do-not-know-neither-understand-what-islamophobia-is-seminary-chief-priest-says.html.

Royalti: Tak perlu JK Khas, ikut formula Terengganu

Harakahdaily, 08 Ogs 2012

KOTA BHARU:
NGO Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (Royalti) mencadangkan Kerajaan Negeri Kelantan agar menolak penubuhan jawatankuasa bayaran tunai royalti yang dicadang Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya Nazri Deraman (gambar kiri) berkata, penubuhan jawatankuasa itu sebenarnya lebih kepada gimik politik BN semata-mata memandangkan bayaran royalti itu boleh dibuat mengikut formula yang digunapakai terhadap Terengganu.

"Ianya (penyelesaian tanpa adanya jawatankuasa bayaran tunai) telah terbukti berjaya (di Terangganu), malah Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia.

"Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak dan Gas di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Cadangan itu katanya juga antara yang terkandung dalam memorandum yang akan diserahkan kepada Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

Selain menuntut kerajaan negeri menolak penubuhan jawatankuasa itu, mereka juga mahu kerajaan negeri mendesak kerajaan pusat membuat bayaran segera iaitu sebelum 1 Syawal, tanpa perlu kepada penubuhan jawatankuasa itu.

Ianya selaras dengan perjanjian yang dibuat antara Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut:

PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.

"Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975," katanya lagi.

Ameerah gesa wanita muda sertai Xpresi Sabtu ini

Harakahdaily, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat turut mempelawa seluruh anak muda Malaysia untuk ke Program Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya bertemakan “Maknakan Kemenangan”, Sabtu ini.

Pengerusi Ameerah, Faridah Samad berkata, golongan wanita muda harus mengambil peluang ini untuk memberikan saranan, berdiskusi terhadap polisi dan manifesto PAS serta Pakatan Rakyat demi mengisi dan memaknakan kemenangan.

"Peranan golongan profesional menentukan jatuh bangun negara sememangnya signifikan sejak dahulu lagi. Ameerah dalam mendekati golongan profesional di kalangan wanita muda mendapati rata-rata mereka telah siap bagi mengisi kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU13.

"Kita dapat lihat dengan begitu jelas kebangkitan golongan muda yang inginkan perubahan sudah tidak dapat ditahan-tahan. Di kalangan mereka adalah golongan profesional yang sebahagian besar adalah kaum wanita," katanya dalam satu kenyataan.

Program itu akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 11 Ogos di Kediaman Rasmi MB Selangor, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam.

Pendaftaran bermula jam 2 petang, disusuli dengan aktiviti Xpresi dan dijadualkan berakhir dengan majlis berbuka puasa bersama Presiden PAS.

Anak muda beperluang memberikan saranan, berdiskusi terhadap polisi dan manifesto PAS serta Pakatan Rakyat demi mengisi dan memaknakan kemenangan.

Pendaftaran awal boleh dilakukan melalui borang pendaftaran maya di capaian http://tiny.cc/Xpresi-Profesional-Muda.

Xpresi boleh diikuti secara langsung melalui kemudahan video-conferencing bagi rakan-rakan di Sabah, Sarawak dan luar negara.

Cernaan idea yang bersifat “bottom up”, bakal merancakkan wacana Xpresi Profesional Muda ke Putrajaya.

Logo Merdeka Pakatan diperkenalkan esok

Harakahdaily, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan mengumumkan logo Merdeka ke 55 dan Hari Malaysia 2012 esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pakatan Rakyat, pimpinan utama Pakatan akan membuat pengumuman rasmi mengenainya esok.
(Laman Facebook 101 cadangan logo Merdeka)


Di majlis pengumuman itu, pihak Sekretariat Pakatan Rakyat juga akan mengedarkan pelekat kereta yang memapar logo tersebut.

Sejak dua minggu lalu, Pakatan menyiarkan cadangan logo Hari Merdeka ke 55 dalam satu laman Facebook bertajuk "101 cadangan logo logo Merdeka - Sebangsa, Senegara, Sejiwa".

Lebih 15 logo yang dicadangkan oleh rakyat Malaysia dipaparkan di situ dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pelbagai pihak.

1,345 orang telah berkongsi laman ini manakala 1,076 orang pengguna Facebook juga memperkatakannya.

Dari pelbagai pandangan, komen dan cadangan itulah Pakatan Rakyat memilih logo yang bakal diumumkan esok.

Pakatan mengambil inisiatif untuk membuat logo baru sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 ekoran bantahan meluas terhadap logo, tema dan lagi Hari Kemerdekaan yang dibuat oleh kerajaan BN.

Menteri yang menguruskan hal ini, Datuk Seri Rais Yatim telah menarik balik logo yang diperkenalkannya namun masih mengekalkan lagu dan tema 'Janji Ditepati' yang diperkenalkan.

Tiada ulasan: