Isnin, 27 Ogos 2012

YANG BEKERETA BESAR...DAN MEWAH ..RUMAH YANG TERSERGAM INDAH..GAJI RATUS2 RIBU..SUAMI ISTERI YANG GAJI BERIBU2...GELANG SAMPAI KEKETIAK..KEBUN BEREKAR2..RUMAH SEWA BERATUS2 PINTU HULURLAH DERMA UNTUK MEREKA YANG HENDAK BELAJAR AGAMA...DAH KAYA KONGSI2LAH KEKAYAAN TU...

Selesaikan segera isu kutipan sampah di Perlis

Bashir Ishak, 27 Ogs 2012
KANGAR: PAS Perlis meminta Kerajaan Negeri Perlis menyelesaikan segera masalah pungutan sampah di negeri ekoran kemelut yang melanda antara Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan syarikat konsesi pembersihan Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman).

Kemelut melanda apabila MPK pada 23 Ogos lalu mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatan E-Idaman yang didakwa gagal memenuhi tahap pencapaian dan melanggar perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

Bagaimanapun E-Idaman meneruskan kerja kutipan sampah pada 24 Ogos walaupun lori-lori sampah mereka dihalang untuk memasuki tempat pelupusan sampah di Padang Siding, Arau.

Pengurusan syarikat itu memutuskan untuk meneruskan perkhidmatan mereka berikutan  pembuangan sampah dan sisa pepejal yang meningkat secara mendadak pada musim perayaan.

Sementara itu, MPK memaklumkan bahawa buat sementara waktu ini, kerja-kerja pengutipan sampah akan diserahkan kepada sebuah syarikat swasta yang mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja pembersihan.

Mengulas isu ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Rus'sele Eizan (gambar atas) berkata tindakan MPK itu tidak wajar kerana mereka belum melantik sebuah syarikat yang akan menggantikan E-Idaman.

Menurutnya, maklumat yang beliau perolehi, syarikat yang akan mengutip sampah buat sementara waktu ini adalah sebuah syarikat sub-kontraktor yang bekerja dengan E-Idaman juga.

"Hari tu saya hairan kenapa MPK buat keputusan tidak membenarkan lori sampah E-Idaman buang samaph di Padang Siding? Kalau tak pergi buang di situ ke mana mereka nak buang sampah tu?

"Dengan melantik kontaktor semnetara ini, saya ingat jangan sampai jadi macam orang-orang dulu sebut 'ibarat buang kentut ambil tahi'. Pergi ambil yang baru nak bagi busuk lagi keadaan," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat.

Tegasnya lagi, PAS Perlis memandang serius isu ini kerana melibatkan kepentingan rakyat Perlis serta kesihatan mereka.

"Kenapa ditamatkan kontralk E-Idaman secara mengejut. Jangan sampai nak jaga kepentingan syarikat tertentu sampai kita menyusahkan rakyat.

"Kita harap agar isu ini diselesaikan segera secara dan baik. Jangan biar rakyat yang menjadi mangsanya nanti,"ujarnya lagi.

Guardian pecat penulis dikaitkan dengan Malaysia

Terjemahan Mohamad Yahya, 27 Ogs 2012
LONDON: Penulis Anti-Islam dan pro-Zionis yang berbangsa Amerika, Joshua Trevino (gambar), yang mengkritik pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah dipecat dari menjadi kolumnis oleh suratkhabar harian Britain, The Guardian.

Dalam satu kenyataan bersama mengumumkan berita tersebut, akhbar itu berkata Trevino (gambar) telah melanggar kod editorial, satu peraturan yang memerlukan penulis untuk mendedahkan apa-apa kepentingan kewangan yang berkaitan dengan subjek yang ditulis.

Februari lalu, Trevino telah menulis satu artikel bertajuk "Peter King mempunyai telinga, tetapi adakah dia mendengar?" di mana beliau sekali lagi menunjukkan pandangan sayap kanan dan anti-Islamnya yang melampau, menyerang pertubuhan-pertubuhan Islam di Amerika Syarikat sambil memuji Najib untuk kritikan beliau terhadap Ikhwanul Muslimin di Mesir yang mula memegang tampuk pemerintahan awal tahun ini.

The Guardian berkata mereka mendapati bahawa penulis yang berpusat di Texas itu adalah perunding bagi agensi yang mempunyai kepentingan perniagaan di Malaysia. Mereka juga mendapati Trevino mengusahakan sebuah laman web yang dipanggil Malaysia Matters.

Walaupun entiti itu tidak dikenal pasti, tetapi ia dipercayai sebagai FBC Media, sebuah syarikat yang terlibat dalam skandal media yang dikaitkan dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) tahun lepas.

"Di bawah garis panduan kami, hubungan antara Joshua dan agensi sepatutnya didedahkan sebelum artikel itu diterbitkan dalam usaha untuk memberikan penjelasan penuh kepada pembaca kami," kata Janine Gibson, ketua editor Guardian Amerika Syarikat.

Dalam artikelnya, Trevino adalah dalam elemen tipikal beliau mengkritik pertubuhan-pertubuhan Islam Amerika dan menyatakan rasa tidak puas hati bahawa Washington tidak pernah tegas dengan "radikalisasi Islam".

Tetapi penyokong kuat parti Republikan yang berkhidmat sebagai penulis ucapan untuk Presiden George Bush itu memuji Najib.

Najib dan Trevino telah berjumpa sebelum ini dan berbincang di Istanbul mengenai Islam dan demokrasi.

Dalam perjumpaan itu, Najib membayangkan bahawa Ikhwanul Muslimin di Mesir sebagai "ganas", tuduhan biasa yang dilemparkan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dan sekutu Barat terhadap kumpulan Islam yang pernah diharamkan itu.

"Ikhwan, kata PM," Trevino memetik kata-kata Najib, "tidak harus menjadi sebahagian daripada proses [demokrasi] selagi mereka tidak menolak keganasan dan ekstremisme.

Sesiapa yang mahu menjadi sebahagian daripada proses politik harus mengamalkan nilai-nilai yang serasi dengan demokrasi, "katanya.

"Itulah ketua negara Islam yang demokratik menegaskan beberapa prinsip asas Burkean," tambah Trevino.

Trevino, yang secara terbuka memuji tentera Israel yang membunuh peserta konvoi bantuan Flotila pada tahun 2010, telah banyak kali bercakap menentang liputan media Barat dalam tuduhan liwat terhadap Anwar, berkata tiada sebarang unsur politik mengenai pendakwaan tersebut.

Kenapa tiada tepuk-sorak pertumbuhan 5.4%?

-, 27 Ogs 2012


Saya bukan seorang ‘pessimist’ dan tidak juga seorang ‘sadist’. Tetapi ketika pengumuman dibuat tentang pertumbuhan ekonomi meningkat sebanyak 5.4% dalam suku kedua baru-baru ini, mengapa saya tidak seronok -‘euphoric’- macam sesetengah pemimpin Umno?

Bukankah pencapaian itu lebih baik dari pertumbuhan 4.7% dari suku pertama tahun ini dalam suasana ekonomi global menguncup dan tidak menentu?

Mengapakah saya suka bercakap tentang ‘bahaya’ dan ‘mala-petaka’ yang bakal menimpa rakyat dan negara (yakni pessimist) dalam suasana ekonomi negara dikatakan adalah lebih baik sekarang?

Apakah saya seorang “sadist”sengaja menyiksa dan menyakitkan hati Najib, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu?

Yang penting ini bukan pandangan saya sahaja bahkan pakar-pakar ekonomi dan badan-badan penyelidik dan kewangan antarabangsa yang lebih awal merakamkan kekhuatiran tersebut.
Jadinya, pandangan saya ini bukanlah kerana saya seorang pembangkang di Parlimen (Federal Opposition MP). Saya akan cuba pendekkan analisis dan permudahkan penerangan ini.

Kunci pencapaian ini boleh difahami kalau kita perhatikan dari manakah sumbangan pertumbuhan ini dan apakah kesan baik-buruk kalau pertumbuhan terus dipacu berdasarkan kaedah dan pendekatan itu? Perhatikan dari tabulasi berikut:


(Pertumbuhan 5.1 peratus dicapai separuh pertama 2012)

Ternyata dua sumbangan besar petumbuhan adalah dari sektor pembinaan (22.2 peratus - awam dan swasta) dan permintaan dalam negeri. Tidak dinafikan sektor perkhidmatan (6.3 peratus), perkilangan (5.6 peratus) dan perlombongan (2.3 peratus) juga meningkat.

Gabenor Bank Negara mengakui bahawa projek kejuruteraan mega besar (dalam ETP) dan juga yang kedepan nanti membantu menyokong pertumbuhan ekonomi termasuk projek saluran paip Sabah-Sarawak bernilai RM4.6 bilion, projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar bernilai RM12.5 bilion dan loji tenaga Janamanjung berharga RM5 bilion.

Namun angka pertumbuhan (growth numbers) bukan segala-galanya tambahan hanya untuk satu suku tertentu. Tak ramai pun yang faham erti angka pertumbuhan ini. Tetapi ramai yang ‘memuja’ dan terkadangkali ‘mendewa’ angka pertumbuhan ini.
Mungkin kita boleh bincang tentang ‘Pertumbuhan atau Growth’ itu sendiri di lain penulisan, khasnya tentang ‘Brown Growth Vs Green Growth’ atau Pertumbuhan ‘Mapan Vs Tak Mapan (Lestari)’.

Dalam rangka itu juga, penulis mengingatkan semua bahawa pertumbuhan 5.4% dicapai dengan dipacu dua faktor utama; pertumbuhan bidang pembinaan dan permintaan domestik yang terdiri dari penggunaan isi-rumah (domestik).

Persoalan maha pentingnya ialah: Apakah pertumbuhan seperti ini mapan atau ‘sustainable’? dan lebih penting lagi ialah: Apakah pertumbuhan seperti ini akan dapat mengatasi kemelut ekonomi yang sedang cuba di tangani oleh Model Ekonomi Baru (NEM) ciptaan PM Najib?

Pertumbuhan yang dijana dengan sektor ‘pembinaan’ dan khasnya dari pihak awam adalah kegiatan yang membawa kesan negatif dan buruk dalam jangka jauh. Pakar-pakar ekonomi merakamkan kerunsingan bahawa usaha perbelanjaan besar kerajaan atau dengan kata lain ‘pump-priming’ dengan pelbagai projek mega infrastruktur adalah tidak “sustainable” atau mapan dalam jangka jauh. Benar ia membawa kerancakan khasnya dalam sektor ‘construction’, namun apakah ‘kos’ dan dampaknya?

Kesan langsung perbuatan ini adalah HUTANG! Fitch Rating, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa, menyebutkan bahawa hutang kerajaan Malaysia telah buat pertama kalinya mencecah 55% KDNK tahun ini, berbanding 45% dalam tahun 2009.

Fitch Rating
juga sekaligus memberi amaran keras kepada kerajaan Malaysia, bahawa perbelanjaan besar pihak awam dalam pelaburan infrastruktur dan pembinaan telah mencetuskan hutang yang sangat mengkhuatirkan. Penarafan kewangan awam Malaysia pada tahap A and BBB mesti diperbaikki, tegas Fitch kepada kerajaan Malaysia.

Projek mega seperti MRT dan Tun Razak Exchange, TRX (dulunya KLIFD) asalnya disebut sebagai swasta, kemudian bertukar menjadi Awam dan Swasta (PFI) dan akhirnya hanya ditanggung semua oleh kerajaan. Seluruhnya meningkatkan bebanan hutang awam.

Dalam nada yang seiring, sebuah think-tank ekonomi; Asli’s Centre for Public Studies (CPPS) juga merakamkan penegasan kekhuatiran yang serupa. Dalam Belanjawaan 2013 nanti, Najib diberi amaran supaya tidak bermewah dengan pemberian ‘goodies’ untuk menyuntik ‘feel good factor’ di ambang pilihanraya ke-13 ini. Najib dingatkan supaya tidak berkompromi dengan masa depan ekonomi Negara dengan perbelanjaan yang tidak pruden (reckless).

Seperkara lagi adalah aspek perbelanjaan isi-rumah atau domestic yang menjadi penjana pertumbuhan suku kedua ini juga. Ternyata segala polisi ‘pemberian’ termasuk kenaikan gaji dan lain lain, meninggalkan kesan yang positif terhadap pertumbuhan dalam suku kedua ini. Akan tetapi apakah ini juga satu kaedah yang mapan?

Pendedahan baru-baru ini dalam sebuah akhbar tempatan bahwa kegilaan masyarakat negara ini menjalani gaya hidup moden dengan berhutang keliling pinggang begitu menggerunkan. Maklumat terkini menunjukkan lebih enam juta isi rumah di Malaysia mempunyai jumlah hutang terkumpul sebanyak RM653 bilion.

Angka cukup menakutkan sebab ia telah melonjak dari 33% KDNK padatahun 1997 (semasa krisis kewangan), 78% 2011 dan kini tentunya 80% nisbah KDNK. Tidak diketahui secara hutang tak berbayar (NPL) terkini.

Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.

Lebih malang lagi kalau hutang isi-rumah ini dinisbahkan dengan ‘pendapatan boleh berbelanja’ bermakna pendapatan tolak semua hutang (disposable income), maka statistik adalah seperti berikut berbanding negara-negara jiran. (Hutang: pendapatan boleh berbelanja dalam peratus).

Indonesia – 38%, Thailand – 53%, Singapura – 105% tetapi Malaysia – 140% !

Sebanyak 116,379 kes bankrap dicatatkan oleh Jabatan Insolvensi dari tahun 2005 hingga April 2012. Ini bermakna 58 diisytihar bankrap setiap hari.

32% adalah di kalangan mereka berumur 35-42 tahun berpunca dari kegagalan menyelesaikan hutang; hutang kenderaan yang tinggi, pinjaman peribadi (kad redit) dan pinjaman perumahan adalah tiga punca utama golongan tersebut terpaksa menanggung hutang yang banyak.

Tentunya dalam negara terperangkap dalam jajaran pendapatan rendah-sederhana dan modal insan yang berada pada tahap produktiviti yang rendah, untuk mengharapkan faktor sebaagi pemacu utama pertumbuhan adalah satu yang tidak mapan.

Najib seperti yang disaran pakar-pakar ekonomi wajar memberikan fokas untuk mengeluarkan ekonomi negara dari beberapa kemelut akibat urus-tadbir kewangan pincang dan tidak pruden.

Di samping berdepan dengan permasalahan struktural yang dibelenggu monopoli dan subsidi yang regresif, tahap hutang akibat terlalu lama menanggung deficit yakni selama 14 tahun, ekonomi yang terbeban dengan pelbagai aspek kegagalan penswastaan dan amalan kronisme serta ‘sistem penghantaran’ yang sarat dengan rasuah dan ketirisan.

Justeru hutang awam (kerajaan Persekutuan yang telah mncecah 55% KDNK yang tidak dizinkan oleh Akta Pinjaman Tempatan, jurang kaya miskin yang terus melebar, pergantungan pendapatan negara kepada hasil minyak dan gas serta tenaga kerja asing yang tidak berketrampilan.

Berlatarbelakangkan kesemua kemelut ekonomi dan gejala pengurusan kewangan Negara ini, mampukah kita bertepuk dan bersorak dengan pertumbuhan di suku kedua tahun ini?

Jangan sampai dipanggil orang tiga suku pulak ya!
-----------------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah anggota Parlimen Kuala Selangor dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

PAS Kelantan sumbang RM54,000 untuk pelajar Yik

Rizal Tahir, 27 Ogs 2012
MACHANG: PAS Kelantan melalui sumbangan Badan Amal Kesejahteraan Insan (Amal) membelanjakan sejumlah RM54,000 sebagai sumbangan kepada lebih 330 orang pelajar bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) ke Timur Tengah.


Sumbangan berkenaan disampaikan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis meraikan pelajar Yik ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Dewan Ulama (Madu), di sini tengah hari tadi.

Turut menyampaikan sumbangan pengerusi Amal, Datuk Mohd Amar Abdullah (gambar) dan Pengarah Yik, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Seramai 330 orang pelajar bakal melanjutkan pengajian mereka dalam bidang perubatan, Pengajian Islam, kejuruteraan di Jordan, Mesir, Morocco dan Arab Saudi.

Tuan Guru ketika berucap pada majlis itu mengingatkan pelajar berkenaan berhati-hati di bumi anbia kerana mereka akan sentiasa diuji.

Menurutnya, Timur Tengah tempat kelahiran para nabi, namun pada masa yang sama golongan taghut juga lahir di tempat yang sama.

“Guna ilmu yang kita pelajari sebaik mungkin, jangan kita pula mudah terpesong dengan ajaran yang tidak selari dengan kehendak Islam,” katanya.

Sementara itu Tengku Azmi, memberitahu, daripada 330 orang calon, seramai 59 akan melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran di Mesir, 186 pelajar pula ke Jordan untuk bidang pengajian Islam dan kedoktoran.

“Manakala 17 pelajar yang lulus Imtihan Qabul akan melanjutkan pengajian dalam bidang pengajian Islam di Mesir,” ujarnya.

Kenapa Umno berdolak dalik dengan hudud?

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 27 Ogs 2012
Hudud adalah salah satu daripada cabang hukum jenayah mengikut syariat Islam, wujudnya bersama Qisas dan Takzir. Hukum Hudud adalah hak Allah yang dinaskan dalam Al-Quran dan Hadith-Hadith Mutawatir yang menjelaskan kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya. Bagi penganut Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan Islam yang menjadi agama cara hidup (way of life). Tuntutan untuk beriman dan beramal dengan Islam adalah bukan sahaja wajib ke atas ahli PAS dan penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua penganut Islam dalam NGO atau secara individu dan ahli mana-mana parti politik, termasuklah ahli UMNO yang beragama Islam, walau pun UMNO adalah sebuah parti kebangsaan yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra bukan Islam seperti orang asal dan Siam. Seluruh majoriti penganut Islam dalam UMNO wajib beriman dan beramal dengan Islam mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah, sama sahaja dengan ahli PAS dan penyokongnya.

Ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan hukum dan perintahnya, antara lain telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah dan Surah Al-Nur, di mana kedua-duanya adalah surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah).

Permulaannya sangat tegas (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (Al-Maidah: 1)

Di antara perjanjian itu ialah mengucap Dua Kalimah Syahadah, mengaku dan percaya menjadi penganut Islam. Pengucapan dan penerimaan dua kalimah syahadah ini adalah syarat terpenting menjadi seorang Islam, iaitu beriman dengan Allah dan RasulNya.

Firman Allah (maksudnya): “Ini ialah satu ‘surah’ yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya)” (An-Nur: 1)


Adapun melaksanakan undang-undang syariat Islam seperti hudud, qisas dan takzir ini pula wajib melalui proses kehakiman Islam dan sistemnya yang adil. Maka haram dilaksanakan secara spontan oleh individu, atau keluarga atau JKK peringkat kampung atau kumpulan atau penguasa daerah atau negeri, tanpa suatu proses kehakiman. Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa politik sepenuhnya dengan adanya Negara Berdaulat atau kerajaan yang berkuasa. Di sinilah maka Rasulullah SAW tidak melaksanakan undang-undang hudud ketika berdakwah di Makkah iaitu ketika tidak mempunyai kuasa pemerintahan. Pelaksanaannya berlaku di Madinah, iaitu setelah adanya kuasa negara dalam sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang berdaulat dan mengadakan sistem kehakiman melalui seluruh perjalan mahkamah.

Adanya penganut bukan Islam dalam masyarakat majmuk adalah tidak menjadi halangan, di mana banyak ayat-ayat dalam surah Madaniyyah yang sebab turunnya adalah bagi menjawab kalangan bukan Islam yang menentang hukum Hudud dan sebagainya, dalam keadaan mereka berada bersama masyarakat majmuk di-Madinah. Pelaksanaanya pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju, kerana kefahaman berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaanya. Akhirnya seluruh anggota masyarakat Madinah menerima hukum hudud, termasuklah bukan Islam secara tanpa paksaan, setelah mereka melihat kesannya yang mampu mendidik masyarakat, keadilannya yang menyeluruh dan wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.

Perlu juga kita fahami bahawa hukumannya adalah sangat menggerunkan, tetapi syarat menjatuhkan hukuman dan pelaksanaannya adalah sangat sukar atau ‘sangat memayahkan’ dengan syarat-syaratnya yang sangat ketat. Ini berlaku apabila individu yang dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan hanya sedikit alasan yang kecil maka hukuman hudud tidak boleh dijatuhkan, pilihannya sama ada dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir yang lebih ringan daripadanya. Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan penjenayah terlepas adalah sama sekali tidak benar, kerana hukuman takzir dalam kerangka hukuman yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula akan mengambil tempatnya. Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah adalah lebih digalakkan daripada diheret ke mahkamah.

Hukuman hudud tidak dijatuhkan ke atas penjenayah oleh beberapa khalifah Islam, bukan kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya tidak mencukupi.

PAS hanya berkuasa di peringkat negeri Kelantan dan pernah di Terengganu melalui sistem Demokrasi dan Federalisma. UMNO pula melanggar adab dan akhlaknya apabila tidak menghormati konsep demokrasi dan federalisma ini dengan mendera rakyat negeri Kelantan dan Terengganu yang menolak UMNO-BN dalam pilihanraya itu. Walaupun berdepan dengan kekangan ini, PAS tetap secara konsisten melangkah menunaikan kewajipannya melaksanakan Islam sebagai ad-Din. Akhirnya, Undang-undang Jenayah Islam bersama undang-undang yang lain telah dibentang dan diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipilih melalui Pilihanraya Umum lalu. Peringkat pertama PAS menang di Kelantan di awal 90-an bersama Semangat 46. Dalam melaksanakan amanah ini, Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS dengan berpandukan bidang kuasa kerajaan negeri, di antaranya melaksanakan beberapa aspek hukum Islam di bawah kuasa Majlis Perbandaran dan Daerah seperti menghapuskan lesen premis perjudian serta mengawal penjualan arak bagi rakyat bukan Islam sahaja serta membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing, termasuk dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib dilindungi.

Bagi undang-undang jenayah Syariat, kerajaan negeri terlebih dahulu menyusun daripada nas Al-Quran dan Hadith. Ianya disusun secara terkini oleh kalangan para ulama dan pakar undang-undang daripada kalangan PAS bersama ahli-ahli akademik daripada pusat pengajian tinggi. Setelah selesai maka ianya dibawa kepada umum sebelum dibentang ke dalam DUN Kelantan. Draf cadangannya pula telah terlebih dahulu dibentangkan dalam satu seminar yang diadakan di Hotel Concorde KL di mana semua parti politik dan NGO Islam dan bukan Islam telah dijemput. Proses yang sama dilakukan di Terengganu semasa pemerintahan PAS bersama rakan-rakan yang lain. PAS juga menerima kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO human rights antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua persoalan yang dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan PAS di negeri Kelantan dan Terengganu. Ahli Parliman PAS juga pernah cuba membawa usul pindaan perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an, tetapi dihalang oleh proses peraturan mesyuarat (Standing Orders of the Dewan Rakyat) dan sengaja diletakkan dalam senarai yang akhir tanpa kesempatan dibahas, apatah lagi untuk ke peringkat kelulusan.

Semuanya menunjukkan bahawa PAS hingga kini, dan akan datang, akan terus mempertahankan matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi ruang demokrasi yang ada. PAS akan terus berpegang kepada batas kerjasama Tahaluf Siyasi (persefahaman) mengikut batas hukum Islam yang menjadi hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuh PAS. Dalam masa yang sama PAS juga menghormati dan mengakui akan perbezaan pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dalam beberapa perkara, tetapi semuanya tidak menghalang untuk PAS kukuh bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat ini untuk bergerak di atas common policy platform yang telah dipersetujui dan kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa, rasuah, ketirisan, demokrasi songsang amalam BN sejak sekelian lama, dasar ekonomi pincang yang menekan rakyat dan sebagainya. Ternyata sejak lebih 50 tahun berada di tampuk kuasa, UMNO-BN tidak menunjukkan minat untuk melakukan perubahan yang dinyatakan di atas, di mana mereka hanya berminat membolot kuasa politik dan pemerintahan untuk meneruskan kerakusan mereka sahaja.

Perlu juga kita ingat, bahawa UMNO adalah parti paling besar menguasai Kerajaan Negeri dan Pusat serta memimpin Barisan Nasional kerana berjaya memujuk bangsa Melayu Islam mengundinya setiap kali pilihan raya umum. Kerajaan UMNO-BN ini mempunyai kuasa Negeri dan Pusat berlipat kali ganda lebih daripada PAS. Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), JAKIM, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di banyak negeri dan Pusat Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga kini UMNO turut juga mempunyai mantan pemimpin PAS yang tidak sabar bersama PAS kerana terlalu lambat mendapat kuasa di peringkat pusat, lalu bergayut dengan UMNO yang lebih banyak kuasanya di peringkat negeri dan pusat walaupun mereka tetap tidak melaksanakan tuntutan Islam ini. Hakikatnya ialah UMNO wajib meletakkan pelaksanaan syariat Islam seperti hudud ini di atas kepala dan bahu mereka, bukannya disepitkan di bawah ketiak untuk hanya dipergunakan bila melawan PAS atau untuk mendapat undi pilihan raya semata-mata.

Setelah lebih 50 tahun diberikan kuasa, maka UMNO wajiblah mempengaruhi rakannya dalam BN bagi melaksanakan syariat Islam dan seluruh hukum Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. PAS pula tentulah wajib menyokong segala usaha melaksanakan hukum Allah, termasuklah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi dan keadilan dalam masyarakat, membenteras rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya daripada semua pihak. Maka berdosalah PAS kalau tidak menyokong dan menolong jika ada usaha ikhlas dan langkah daripada UMNO atau mana-mana pihak yang benar-benar menegakkan hukum Islam. Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat ke arah itu. Bahkan, seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan tertinggi UMNOlah yang menghantar surat rasmi kepada Kerajaan PAS Kelantan suatu masa dahulu untuk diambil tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras ingin melaksanakan hukum Islam ini.

Perlu difahami oleh kita semua, bahawa hukum Allah adalah amanah daripada Allah, kepada sesiapa sahaja yang mengaku Islam apabila menjadi pemimpin yang memegang kuasa pemerintahan, bukan hanya khusus kepada PAS sahaja. Kalau tidak menunaikan amanah ini bermakna khianat, dan sesiapa yang menyokong dan mendukungnya juga adalah pengkhianat terhadap Allah dan Rasul Nya SAW. Laknatnya lebih besar apabila melihat kemungkaran dan jenayah merebak di hadapan mata kerana gagalnya undang-undang ciptaan manusia, namun tetap mempertahankan undang-undang yang nyata lemah dan sesatnya.

Malangnya UMNO hanya memalu gendang kosong melalui gendang media yang dikuasainya supaya PAS bersilat dengan DAP dan ramai yang menjadi pemerhati dan menunggu PAS keletihan, atau dipersalahkan, lalu tarikh pilihan raya pun diumumkan. UMNO tidak menjawab apabila MCA berkata UMNO jangan hilang akal dengan hukum hudud. Malangnya UMNO terus mengulit orang Melayu Islam dengan gendang dan alat medianya, supaya terus menjadi bangsa khayal dengan janji, bangsa pelupa dan mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam jahil murakkab (tidak tahu, buat macam tahu).

Kepada sesiapa yang berkemampuan dan berkenaan pula, termasuklah pengamal media arus perdana, jangan selama-selamanya menjadi tukang sapu UMNO dan pembawa sampahnya, jagalah maruah diri dan agama sebelum pintu taubat ditutup. PAS tetap istiqamah dan menerima setiap pandangan yang membina dan menentang tanpa berganjak terhadap semua penghalang, yang datang daripada segenap penjuru dan semua kalangan, sama ada kerajaan, bukan kerajaan, dalam Negara dan luar Negara, kerana yakin kepada Islam adalah daripada Allah Pencipta Alam seluruhnya.

PRESIDEN PAS

Penganjur optimis polis benarkan 'Janji Demokrasi'

Hazayani Zakaria, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Penganjur sambutan ambang kemerdekaan 'Janji Demokrasi' optimis pihak polis akan membenarkan program tersebut diadakan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Pengarah Eksekutif Empower Selangor, Maria Chin Abdullah berkata, kira-kira setengah jam berdialog, polis tidak menyatakan akan membenarkan atau tidak sambutan itu diadakan sebaliknya menekankan aspek keselamatan peserta.

"Polis tidak cakap mereka benarkan atau tidak (sambutan) tapi kami sudah terangkan apa yang akan berlaku pada hari itu dan tidak melanggar akta perhimpunan aman 2012," kata beliau kepada pemberita selepas dipanggil memberikan maklumat mengenai sambutan yang akan diadakan pada 30 Ogos ini di Balai Polis Dang Wangi petang tadi.

Maria berkata, beliau turut memberitahu polis bahawa gabungan Janji Demokrasi hanya akan berada di sekitar Dataran Merdeka dengan memakai baju kuning dan hanya Sasterawan Negara, A. Samad Said yang akan membacakan puisi.

"Seperti yang kita cakap sebelum ini, sebarang ucapan, kain rentang dan sepanduk tidak dibenarkan. Kita akan berada di Dataran Medeka selama dua jam dan akan bersurai selepas jam 12 tengah malam," katanya.

Selain Maria, seorang lagi penganjur, Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Yong Yew Wei yang akan mengetuai sambutan di Jalan Sultan turut hadir dalam pertemuan tersebut.

"Dialog dengan polis hari ini berjalan baik dan kami mengharapkan polis memberikan kerjasama untuk memantau keadaan di Dataran Merdeka dan Jalan Sultan," katanya.

"Janji Demokrasi' turut mendapat sokongan PAS dan ahli-ahlinya diserukan memenuhkan Dataran Merdeka dengan memakai pakaian kuning.

Kerajaan bagaimanapun akan mengadakan sambutan ambang kemerdekaan tahun ini di Bukit Jalil.

Bukan 7, 12 tetapi Jengka 10, 11 dan 16 juga tiada air

Harakahdaily, 27 Ogs 2012

(Masalah ini bukan  di Jengka 7 dan 12 sahaja tetapi Jengka 10, 11 dan 16 juga tiada air)

JENGKA: Masalah ketiadaan air di Jengka 7 dan 12 pada hari raya baru-baru ini juga berlaku di Jengka 10, 11 dan 16.

Demikian beritahu seorang pembaca Harakahdaily melalui emailnya hari ini.

Beliau memberikan maklum balas itu hasil laporan Harakahdaily hari ini berdasarkan laporan khas yang dibuat oleh sebuah akhbar harian.

Dalam laporan itu, Sinar Harian melaporkan, penduduk Jengka 7 dan 12 sentiasa sahaja menghadapi masalah ketiadaan air pada setiap sambutan hari raya.

"Ini berlaku semenjak kami mula menetap di Felda tahun 70an," kata Khairi Muzakir dalam emailnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, "kerajaan yang ada buat tak tahu je."

Sebelum ini, Harakahdaily melaporkan, penduduk beberapa kawasan di Temerloh termasuk taman perumahan juga menghadapi masalah ketiadaan bekalan air bersih.

Ia bukan sahaja berlaku semasa hari raya bahkan pada hari-hari lain juga.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin berkata, mesalah air di Kelantan akan diselesaikan jika BN memerintah negeri itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga berkata, ia akan menyelesaikan masalah air di Kelantan jika BN diberikan mandat.

Sehubungan itu, ramai antara mangsa masalah air di Pahang ini meminta Najib menyelesaikan masalah air di Pahang ini sebelum sibuk memperkatakan masalah di negeri lain yang mempunyai masalah sendiri.

Ini kerana, Pahang dikatakan mempunyai sumber air yang banyak iaitu Sungai Pahang yang terpanjang di Malaysia itu.

Pihak BN pula sedang melobi agar kerajaan negeri Selangor meluluskan projek Langat 2, iaitu projek penyaluran air sungai Pahang ke Selangor melalui terowong dan sungai buatan manusia.

Namun kerajaan negeri Selangor tidak berapa berseruju kerana ia melibatkan kos yang terlalu tinggi.

Jika dilaksanakan, kerajaan negeri yakin, tarif air akan dinaikkan di Selangor dan bakal membebankan rakyat.

LAPORAN BERKAITAN


Air: Serang Pakatan tetapi negeri BN yang kering

Pelajar Sabah perlukan sumbangan untuk ke Mesir

Salmiyah Harun, 27 Ogs 2012
KOTA KINABALU: Badan Perhubungan PAS Sabah memohon orang ramai membantu dua pelajar lepasan Maahad Tahfiz Al-Quran negeri itu bagi melanjutkan pelajaran mereka di Maahad Fatayad, Mansoura, Mesir pada September ini.

Pelajar terbabit adalah Noraizon Dilim, 21, dan Anisah Rajim, 22 (gambar). Kedua-dua mereka merupakan lepasan Diploma Tahfiz al-Quran Jakim 2012 dan 2011.

Noraizon merupakan anak yang bongsu daripada 13 orang adik beradik dan sekarang menetap di kampung Rancangan Sg Manila Sandakan Sabah.

Bapanya, 72, sudah uzur dan tidak berkemampuan untuk bekerja akibat strok yang dialaminya sejak sekian lama, manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa.

Sementara itu, Anisah mempunyai enam orang adik beradik, beliau anak yang kelima. Bapanya merupakan seorang peneroka di Felda Sahabat 16, Lahad Datu Sabah. Ibunya Hasiah Bintang, 47 tahun adalah suri rumah sepenuh masa.

Orang ramai yang mahu menyumbang bolehlah berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan kewangan ke akaun Noraizon Dilim 10043020078578 (Bank Islam) atau menghubunginya di talian 0139664820.

Ataupun ke akaun Anisah Rajim 1212729000061031 (BSN) atau menghubunginya di talian 0144559371.

Kelab Penyokong Umno IPTA tindakan terdesak

Muhammad Faizal, 27 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan tindakan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menubuhkan kelab penyokong  di setiap kampus intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah tindakan terdesak apabila sokongan kepada BN Youth Volunteer dan BN media sosial tidak mendapat sambutan.
Pengarah Biro Mahasiswa AMK, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli (gambar) sebagai sebuah negara demokrasi AMK tidak menghalang mana-mana parti cuba mendampingi mahasiswa.

Namun, katanya setiap perlaksanaan haruslah mengambil pendekatan membina secara ilmiah bukannya indoktrinasi permaksaan.

"Kita tidak ada masalah langsung untuk Pemuda umno mendekati mahasiswa tetapi setiap apa yang mereka ingin lakukan perlu mengikut garis panduan demokrasi.

"Kita tidak mahu mahasiswa berada dalam keadaan tertekan dengan sikap paksaan yang dilakukan oleh Pemuda Umno dalam usaha mereka mencari sokongan," jelasnya kepada Harakahdaily.

Malah beliau juga bertegas agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memberi ruang kepada Pakatan Rakyat untuk masuk ke kawasan kampus secara terbuka tanpa ada halangan dari pihak lain.

"Jika Pemuda Umno dengan begitu mudah dapat memasuki kawasan kampus, kita juga berharap KPT memberi ruang seluas-luasnya sepertimana diperolehi oleh Umno untuk memasuki kawasan kampus.

"Kita tidak ada sikap pilih kasih timbul selepas ini dan jika Umno boleh mendekati mahasiswa kenapa Pakatan Rakyat pula dihalang," sambungnya lagi.

Beliua jugab turut menyatakan bahawa AMK akan melancarkan dialog Jaringan Mahasiswa bersama AMK di seluruh kampus dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin berkata ia adalah langkah awal yang diambil Pemuda Umno selari dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 2012 baru-baru ini, yang kini membenarkan mahasiswa untuk telibat dan memegang jawatan dalam mana-mana persatuan dan pertubuhan termasuk parti politik.

Beliau juga akan masuk ke setiap kampus IPTA dalam masa terdekat untuk mengadakan sesi dialog bersama mahasiswa dan merangka penubuhan kelab itu.

Tiada ulasan: