Siapa anak muda di sebalik tabir NGO “R”
M Faqih, | 16 Ogs 2012 |
Buktinya kata Setiausaha Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (Royalti - R), Hisyamudin Ghazali, kalangan pemimpin Umno juga menyokong royalti.
Begitu juga katanya, tandatangan yang dikumpul bagi menuntut royalti sekarang sudah menjangkau 80,000. Mereka yang menandatangani termasuk Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Selain itu turut memberi sokongan Adun Nenggiri, Mat Yusoff Abdul Ghani, bekas Adun Tendong, Fauzi Mohamad dan ramai lagi. Kata Syam, R sebenarnya lahir secara spontan hasil pemikiran orang muda.
Pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil 21 Mei lalu aktivis R memasang banner gergasi untuk ditandatangani bagi menyokong tuntutan royalti.
Ketika itu Annuar tampil bersama penyokong Red Warriors turut simpati perjuangan R. R menjangka dapat mengumpul 150,000 tandatangan sebelum diserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Persoalannya siapa aktivis R kalau bukan dalam kalangan pemuda PAS atau PKR. Mereka sebahagiannya bekas pemimpin gerakan pelajar ketika menuntut di universiti. Selain itu blogger yang membawa suara rakyat. Ada juga bukan Islam yang sanggup jatuh bangun bersama R.
Syam, graduan perniagaan tani dari UPM. Pernah dibicarakan di hadapan Timbalan Naib Canselor di UPM kerana menyertai demontrasi aman di hadapan parlimen membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 2004.
“Pentadbiran universiti pernah mengugut mahu membuang saya ketika berada di semester akhir. Akhirnya kes itu selesai begitu sahaja selepas UPM tidak mahu saya panjangkan ke mahkamah,” katanya ketika ditemui di sini.
Cuti tanpa gaji
Syam, 30, sekarang cuti tanpa bergaji. Beliau bekerja di Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd, agensi milik kerajaan negeri.
Anak muda berkulit putih dan mata agak sempit tidak mahu isu royalti berlalu begitu sahaja tanpa diambil kesempatan. Pernah ditempeleng JKKKP kerana memasang sepanduk royalti.
Presiden R, Nazri Deraman, 40, graduan UTM dalam bidang kejuruteraan bangunan. Sekarang pengurus di Tunjung Development Corporation Sdn Bhd.
Selain itu Abu Samah Hassan, 61, satu-satunya aktivis veteran dalam R. Beliau juga Naib Presiden R. Dan seorang lagi Naib Presiden, Dr Syed Khalid, seorang pegawai perubatan.
Lain-lain penggerak daripada blogger, facebooker dan usahawan. R sebenarnya bernaung di bawah NGO, Anak Muda Kelantan yang berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan.
NGO lain yang menyertai R antaranya, Abim, Ikram, Perkim, Pekida, Persada, Perakam dan banyak lagi.
Bercakap mengenai gerakan massa, Syam tidak menafikan R tentunya memerlukan dana yang bukan sedikit.
“Banyak program diatur sejak dilahirkan pada Mei lalu. Pada Ramadan ini sahaja 38 aktiviti diadakan. Dan selepas Hari Raya nanti lebih banyak lagi program.
“Penggerak R perlu kreatif mencari dana. Masing-masing pakat cari duit. Kami juga menjual sticker, topi, t-shirt dan pelbagai lagi produk yang bertema R.
“Sempena Hari Raya ini kami mencetak 100,000 sampul duit raya hasil tajaan rakan-rakan. Selain itu risalah kecil berkaitan royalti yang akan diedarkan kepada anak-anak perantau yang pulang bercuti,” ujarnya.
Apa yang mengkagumkan R berkembang dalam masa singkat hanya digerakkan anak-anak muda. R mencipta sayapnya sendiri melalui pelbagai aktiviti yang diadakan.
Sekarang ada Futsal R, Konvoi R, Rukat (mendaki) R, Kayak R, Berbasikal R, Gelanggang R, Boksing R dan macam-macam lagi.
Sejak berjuang di gelanggang royalti tujuh aktivis dipukul dan sembilan laporan polis dibuat. Agak menarik mengenali R.
(Nanti pendedahan lanjut dalam Harakah edisi cetak keluaran akan datang)
45 minit berdiri menadah doa di Qaryah Ramadan
Aslani M | Foto Zamani Md Zain, | 16 Ogs 2012 |
Ramai jemaah mengakui pengalaman pertama mereka berdiri tegak dengan menadah tangan hampir sejam. Di Qaryah Ramadan di Dataran Stadium amalan itu sudah menjadi rutin sejak beberapa tahun lalu apabila tiba 27 Ramadan.
Malam tadi juga menyaksikan kehadiran agak luar biasa. Sebahagian besar anak-anak muda datang sejak sore lagi. Mereka menggalas beg di belakang.
Deretan beg kelihatan di bahagian belakang ruang solat dan hadapan luar khemah. Anak-anak muda memenuhi sebahagian besar ruang solat.
Ketika waktu berbuka juga orang ramai semakin sendat. Ada yang datang bersama keluarga menikmati juadah berbuka yang disediakan secara percuma. Ketikanya ada nasi Arab.
Program malam tadi dikenali sebagai Malam Sejuta Selawat. Orang ramai berselawat beramai-ramai selepas selesai sunat tarawih kira-kira jam 10.30 malam.
Bacaan selawat diketuai Adun Demit, Ustaz Mohamad Mustafa. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Mohamad Fadzli Hassan dan ahli-ahli Majlis MPKB BRI.
Setiap yang hadir dibekalkan tasbih. Ustaz Mohamad yang juga bekas Yang Dipertua Abim Kelantan berkata, ribuan yang hadir pada program itu disifatkan membuka akaun untuk saham akhirat.
“Kita hendaklah sentiasa berselawat sebagai tanda sayang kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw,” katanya.
Program Sejuta Selawat berakhir kira-kira jam 12 malam. Anak-anak muda yang hadir kemudian berebut-rebut bersalam dengan Sheikh Hissam.
Qaryah Ramadan semakin mendapat sambutan apabila anak-anak perantau yang pulang bercuti sempena Aidilfitri datang merasai pengalaman solat di situ.
Petang ini pula akan berlangsung sembang selebriti dakwah bersama Bob Lokman dan pada pagi 1 Syawal juga diadakan solat sunat Aidilfitri. Khutbah Hari Raya dijangka disampaikan Timbalan Menteri Besar.
Nasharuddin digesa jumpa pimpinan Majlis Syura
Harakahdaily, | 16 Ogs 2012 |
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata ahli parlimen Bachok itu perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi Majlis Syura dalam waktu tersebut untuk memberikan penjelasan pada kadar segera memandangkan beliau masih ahli Majlis Syura.
“Secara asasnya, kenyataan beliau ini bertentangan dengan apa yang beliau sendiri ucapkan dalam muktamar bahawa keputusan Tahaluf Silasi bersama dengan DAP dan PKR telah melalui satu perbincangan mendalam dengan para ulamak muktabar. Ia bukannya keputusan di kedai kopi atau di tepi jalan,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Oleh sebab itu, kata Tuan Ibrahim, Nasharuddin perlu menjelaskan kedudukan beliau.
"Dan sekiranya kenyataan ini diselewengkan, maka kita harap beliau dapat membuat penjelasan bagi mengelak kekeliruan berpanjangan,” tegas beliau.
Sekiranya Nasharuddin tidak mengambil inisiatif tersebut untuk menjelaskan kedudukannya, Tuan Ibrahim berkata PAS Pusat bersama Majlis Syura akan berbincang untuk tindakan seterusnya dalam mesyuarat akan datang.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas timbalan presiden PAS itu yang disiar di Buletin Utama TV3 baru-baru ini yang mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.
Kenyataannya malam tadi itu menghangatkan semula perbahasan berhubung kedudukan Nasharudin dalam parti ekoran beliau dilihat secara terbuka menolak keputusan parti.
“Namun, Al-Quran menggesa kita seandainya datang orang fasik membawa berita kita perlu menyelidiki terlebih dahulu berita tersebut. Pengesahan kesahihan berita mesti dilakukan terlebih dahulu daripada terus menghukum,” tegas beliau.
Hargai guru SAR, pimpinan negeri beri sumbangan raya
Mohd Sabri Said, | 16 Ogs 2012 |
PERMATANG PAUH: Seramai 260 orang Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima saguhati sempena Hari Raya Aidil Fitri dari pimpinan kerajaan negeri.
Majlis penyerahan tersebut diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kubang, Bukit Mertajam disempurnakan Timbalan Ketua Menteri 1. Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Saleh Man.
Selain mereka turut menyumbangkan hamper, beras dan wang ringgit ialah Exco Agama dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malek Kasim.
Selain guru SAR, majlis semalam turut meraikan golongan miskin dengan pemberian hamper dan beras serta wang ringgit.
Rata-rata guru yang dtemui merasai syukur kerana adanya bantuan tersebut dapat meringankan bebanan mereka.
Saleh Man berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa guru-guru SAR dan berharap agar mereka meneruskan usaha mereka mendidik anak bangsa menjadi insan yang bertaqwa sekaligus menjadi pewaris kepimpinan yang cemerlang di mas depan.
"Sumbangan ini sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat atas usaha mereka yang tidak jemu mendidik anak bangsa.
Tender semula untuk lupuskan hutang NFCorp?
Harakahdaily, | 16 Ogs 2012 |
(Tiga menteri yang dikaitkan dengan skandal NFC)
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan membuat proses tender semula terhadap NFC dibimbangi bakal melupuskan RM250 juta hutang keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam kenyataannya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru.
Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 13 Ogos 2012 membuat kenyataan bahawa proses tender semula NFC sedang berjalan memandangkan kekusutan dan liabiliti kewangan membabitkan NFCorp yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil masih belum diselesaikan.
Menurut Rafizi, sehingga kini, Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa pembekuan aset yang diumumkan pada 14 Januari 2012 dahulu telah berjaya mengutip kembali semua perbelanjaan yang melanggar tujuan asal pemberian dana oleh kerajaan dari NFCorp, termasuklah memindahmilikkan aset-aset kondominium yang dibeli;
2. Dapatan dari audit oleh sebuah pasukan audit bebas yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini masih belum dibentangkan kepada rakyat;
3. Bahawa NFCorp akan membayar setiap satu sen dari RM250 juta dana rakyat yang digunakan sebelum ini apabila projek tersebut diberikan kepada kontraktor baru yang dilantik kerajaan.
"Saya berkeras bahawa kerajaan tidak boleh melantik kontraktor baru sehinggalah ketiga-tiga perkara yang disenaraikan di atas telah dilaksanakan, terutamanya perkara (3)," kata beliau dalam kenyataannya.
Bagi beliau, adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga orang menteri, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak (sebagai individu yang mempengerusikan jawatankuasa tender yang menganugerahkan kontrak kepada NFCorp), Tan Sri Muhyiddin Yassin (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu) dan Datuk Seri Noh Omar (sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika skandal dibongkar) untuk mendapatkan jaminan peribadi (personalguarantee) setiap anggota keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil bahawa dana awam RM250 juta akan dikembalikan sepenuhnya.
Melalui jaminan peribadi ini, katanya, sekiranya mereka gagal membayar dana awam RM250 juta itu apabila lantikan mereka sebagai kontraktor kepada projek ini ditamatkan, maka kerajaan wajarlah menyita apa-apa harta mereka untuk membayar balik dana tersebut.
"Saya tidak yakin bahawa ketiga-tiga menteri terbabit komited untuk mengutip kembali dana awam tersebut melihatkan tindakan mereka selama ini yang berdolak-dalih.
"Oleh sebab itu, saya berpendapat tindakan menjalankan proses tender kali kedua untuk melantik kontraktor baru adalah satu muslihat untuk melupuskan hutang NFCorp sebanyak RM250 juta tanpa disedari oleh rakyat Malaysia melalui satu lantikan kontraktor baru," katanya.
Beliau menyeru Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan perkara-perkara berikut:
1. Bahawa tidak akan ada sebarang hutang NFCorp yang akan dilupuskan dan NFCorp perlu membayar sepenuhnya RM250 juta melalui jaminan peribadi;
2. Bahawa tidak akan ada suntikan dana baru ke dalam projek NFC ini walaupun kontraktor baru dilantik kerana dana sedia ada sebanyak RM250 juta perlu digunakan dan diperolehi dari NFCorp terlebih dahulu; dan
3. Bahawa tidak ada sebarang lantikan baru akan dibuat sehinggalah dana RM250 juta dikutip sepenuhnya.
Kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan ketiga-tiga perkara ini, katanya, akan mengukuhkan lagi pandangan rakyat bahawa Umno/Barisan Nasional cuba sedaya upaya melindungi Datuk Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya.
Hubungan dengan PAS, DAP kafir mu’ahid
Harakahdaily, | 16 Ogs 2012 |
Justeru, melabelkan DAP sebagai kafir harbi, iaitu istilah bagi bukan Islam di luar negara umat Islam, yang menentang secara bersenjata negara yang diperintah oleh umat Islam, adalah salah dan sangat tidak tepat serta menzalimi hak kerakyatan mereka.
Demikian dijelaskan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat,Dr Khairuddin Razali (gambar) dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, dalam konteks hubungan antara PAS yang menetapkan dasarnya al-Quran dan Sunnah dengan DAP yang mengikat janji sepakat atas nama Pakatan Rakyat, maka ahli-ahli DAP yang bukan Islam boleh dikategorikan sebagai kafir mu'ahid, iaitu istilah bagi bukan Islam yang berikat janji dengan orang Islam.
Berikut kenyataan penuh beliau.
Dalam konteks Malaysia, ahli-ahli DAP merupakan rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan negara yang menetapkan antaranya Islam sebagai agama Persekutuan.
DAP juga tidak menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama bagi Malaysia dengan memberontak secara bersenjata.
Oleh itu, DAP merupakan warga negara Malaysia yang taat.
Melabelkan DAP sebagai kafir harbi, iaitu istilah bagi bukan Islam di luar negara umat Islam, yang menentang secara bersenjata negara yang diperintah oleh umat Islam, adalah salah dan sangat tidak tepat serta menzalimi hak kerakyatan mereka.
Dalam konteks hubungan antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menetapkan dasarnya al-Quran dan Sunnah dengan DAP yang mengikat janji sepakat atas nama Pakatan Rakyat, maka ahli-ahli DAP yang bukan Islam boleh dikategorikan sebagai kafir mu'ahid, iaitu istilah bagi bukan Islam yang berikat janji dengan orang Islam.
Malah ikatan janji antara PAS dan DAP ialah untuk menentang sebarang bentuk penyelewengan pengurusan negara, menentang kezaliman polisi-polisi pemerintahan negara, mempertahankan perlembagaan Malaysia yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Oleh itu, menyokong calon-calon pilihan raya DAP di kalangan bukan Islam yang bersepakat mengikat janji dengan Parti Islam Se-Malaysia dalam PRU13 nanti adalah tidak haram, malah ia bertepatan dengan prinsip siyasah syar’iyyah yang bermatlamat menolak dan menentang sebarang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa dan menegakkan kebenaran.
Pakatan Rakyat telah bersepakat dan berjanji setia untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia khususnya dalam 4 perkara, antaranya Islam sebagai agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-raja Melayu, hak Istimewa Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Oleh itu, pakatan antara PAS, DAP dan PKR ini menepati dan selaras dengan tuntutan Islam yang menganjurkan sebarang kerjasama atas dasar kebajikan dan taqwa.
Sheikh Mahmud Syam kunjungi Presiden PAS
Harakahdaily, | 16 Ogs 2012 |
(Ustaz Hadi bergambar dengan Sheikh Mahmud dan anaknya)
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menerima kunjungan bekas imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Mahmud Syam di rumahnya petang semalam.
Sheikh Mahmud, bekas pensyarah Universiti Ghaza dalam rangka lawatan ke Terengganu menghabis masa kira-kira setengah jam dengan Presiden PAS di rumahnya.
"Kami berbicara hampir setengah jam berkaitan isu semasa Gerakan Islam seluruh dunia," kata Ustaz Hadi dalam facebooknya.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah anak Ustaz Hadi yang juga Exco Pemuda PAS Pusat, Mohamad Khalil Abdul Hadi.
Sheikh Mahmud sudah beberapa kali datang ke Malaysia dalam misi dakwahnya dan menerangkan perkembangan terkini berlaku di Palestin.
Sebelum ke Terengganu, beliau berada di Kuala Lumpur dan sempat memberikan tazkirah di beberapa buah surau dan masjid.
Seksyen 114A: Najib terus 'flip-flop'
Muhammad Faizal, | 16 Ogs 2012 |
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus bersikap 'flip-flop' dalam tindakannya dan terbaru mahu mengkaji semula Seksyen 114A, Akta Keterangan 1950 yang telah diluluskan.
Bercakap pada, pada sidang media di Ibu Pejabat PKR semalam, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, apa yang berlaku itu akibat kerajaan tergesa-gesa meluluskan lapan rang undang-undang dalam masa sehari pada persidangan perlimen lalu.
Ekoran itu, apabila ia hendak dilaksanakan, rakyat bangkit membantah dan Najib terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mengkaji semula.
"Najib terus bersikap flip-flop dalam tindakannya membuat keputusan terutamanya dalam 114A Akta Keterangan yang mana kita lihat beliau ingin pertimbangkannya semula.
"Jika sebelum ini Akta Pilihanraya telah ditarik balik setelah kelulusan diberikan maka ia berulang kembali setelah mendapat tekanan dari rakyat," jelasnya.
Menurut Dr Hatta lagi, kelulusan yang dilakukan secara tergesa-gesa terhadap akta tersebut tanpa sebarang perbincangan yang terperinci lebih mendorong kepada kelemahan serta menjejas kewibawaan beliau sebagai Perdana Menteri.
Pakatan sebelum itu menyokong kempen Internet Blackout yang dijalankan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia kelmarin.
"Tindakan bersepadu oleh sebahagian besar rakyat yang perihatin semalam telah memberi tekanan kepada kerajaan untuk meneliti semua akta tersebut.
"Kita mahu kerajaan lebih perihatin dalam setiap perkara terutamanya yang melibatkan rang undang-undang kerana ia melibati semua pihak," kata beliau lagi.
Seksyen 114A merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 2012 yang diwartakan pada 31 Julai lalu.
Myanmar: Najib kena belajar dari PM Turki
Mohd Sabri Said, | 16 Ogs 2012 |
(Anwar sedang menyampaikan tazkirah Ramadhan di Masjid Taqwa, Bertam Indah, Kepala Batas.)
KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak patut lantang dan berani bersuara mengatakan bantahan terhadap kerajaan Myamar sebagaimana Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang berani berbuat demikian apabila berlakunya penindasan terhadap masyarakat Islam Rohingya.
Demikian kata Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan takzkirah Ramadhan di Masjid Bertam Indah, Kepala Batas semalam.
Beliau mengulas kenyataan PM Turki, Reccep Toyyib Erdogan yang mengecam pembunuhan umat Islam Mnyanmar di samping menghantar isteri dan menteri luarnya ke sana bagi melihat sendiri penderitaan umat Islam Roghingya.
"Jika Myanmar tidak berhenti menghina umat Islam, balasan kami adalah bertindak keras dan ganas," kata Erdogan dalam satu kenyataannya.
Ini tidak sambung Anwar, Najib hanya berani berhadapan dengan pembangkang dalam negeri tetapi takut bersuara terhadap negara luar yang bertindak zalim terhadap Umat Islam.
"Malaysia adalah anggota Pertubuhn Persidangan Islam (OIC) serta The Association Southeast Asean Nations (ASEAN) ada hak untuk bersuara sebagaimana Perdana Menteri Turki yang memberi amaran Kerajaan Myanmar agar jangan membunuh Umat Islam di negara itu sekiranya tidak mahu melihat kebangkitan mereka menjatuhkan pemerintah yang ada, "tegasnya.
Sebaliknya, Najib sekadar bersuara tidak boleh masuk campur hal ehwal negara luar dan biarkan pemerintahan di Myanmar berleluasa dalm tindakan mereka.
OIC juga lambat bertindak sehingga pemerintahan di Myanmar tidak gentar untuk mendengar teguran OIC, katanya yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, peranan OIC seolah tiada sengat lagi bukan sahaja terhadap Myanmar malahan Palestin dan negara Arab lain yang diancam pembunuhan Umat Islam secara berleluasa.
"Jika Malaysia lantang bersuara besar kemungkinan Myanmar sedikit sebanyak akan akur demi memelihara keharmonian, kesejahteraan dan persahabatan yang sudah terjalin sekeIian lama, " terangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan