Selasa, 28 Ogos 2012

BILA APA KITA BUAT TAK IKUT SYARIAT...MAKA PADAHNYA@RASIKO SENDIRI KENA TANGGUNGLAH

'Biar Majlis Syura tentukan kes Nasha'
ZUMURNI HAMZAH
27 Ogos 2012
Nik Aziz
Nik Aziz Nik Mat
MACHANG - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan kepada Majlis Syura untuk meneliti kes membabitkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya nasib Ahli Parlimen Bachok itu kepada Majlis Syura Pas yang dijangka bersidang pada 9 September ini.

"Saya tak mahu ulas tentang tu, biarlah Majlis Syura sendiri yang tentukan, saya tak boleh," kata beliau yang akan mempengerusikan pertemuan Majlis Syura.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis meraikan pelajar Yayasan Islam Kelantan yang bakal melanjutkan pengajian masing-masing ke Timur Tengah dan Majlis Aidilfitri di Markaz Ulama Pas (Madu), dekat sini, hari ini.

Kelmarin, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ditemui selepas mesyuarat Biro Politik berkata Majlis Syura akan memutuskan nasib Nasharudin.

Nasharudin sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila mencadangkan supaya parti itu keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP terus menentang hukum hudud.


Dua minggu lalu, media memaparkan gambar Nasharudin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama di Makkah.

Nasharudin juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan usaha ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan Umno-Pas.
Wanita kongsi kisah silam dirogol bomoh
AHMAD ISMADI ISMAIL
27 Ogos 2012
Wanita konsi kisah silam dirogol bomoh
Rosilawati memberi kata-kata semangat keoada Nur Izah
“SAYA bukan pembawa sial, saya tidak salahkan takdir kerana ia takdir ALLAH SWT yang ditentukan-Nya,” itu luahan Nur Izah, 28, (bukan nama sebenar) memulakan bicara ketika menceritakan detik hitam yang terpaksa ditempuhinya.

Tragedi hidupnya bermula selepas kematian neneknya, lima tahun lalu. Sejak dilahirkan Izah dijaga neneknya kerana ibu bapanya sibuk urusan kerjaya.

“Sejak kembali ke pangkuan ibu bapa, baru saya ketahui bahawa mereka mengamalkan ajaran sesat dan percaya kepada seorang bomoh yang berusia lingkungan 40-an,” katanya.

Menurutnya, keluarganya mengambil jalan singkat dengan membawanya berjumpa bomoh berkenaan di ibu kota setelah didakwa membawa ‘sial’ kepada keluarga.

Malang bagi Izah apabila niat keluarganya menemui bomoh terbabit dengan harapan masalah yang dihadapi mereka berjaya dipulihkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dirogol lelaki terbabit.

“Kejadian berlaku apabila bomoh terbabit mendakwa saya menjadi punca masalah rumah tangga serta kewangan ibu bapa,” katanya.

Nur Izah berkata, episod hitam bermula apabila bomoh berkenaan menjalankan upacara dengan mengarahkannya mandi terlebih dulu bagi ‘membuang sial’, sebelum membawanya ke bilik untuk rawatan seterusnya.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia tidak menyedari niat jahat bomoh terbabit kerana menganggap ia sebahagian rawatan yang perlu dilalui.

“Saya diperkosa setiap kali berjumpa dengan bomoh berkenaan. Saya juga pernah dipukul abang dan dimarahi keluarga jika saya ingkar untuk menjalankan ‘rawatan’ itu,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kejahilan tentang ilmu agama turut menjadi punca perkara ini berlaku ke atas keluarga.

“Banyak perkara dijanjikan bomoh berkenaan seperti kewangan keluarga kembali pulih dan pelbagai janji manis. Difahamkan beberapa orang turut menjadi mangsa bomoh terbabit,” katanya.

Nur Izah berkata, dia memaafkan perbuatan keluarganya dan berdoa agar mereka kembali ke pangkal jalan.

“Saya tidak salahkan mereka, ia berkemungkinan terpengaruh dengan hasutan bomoh tersebut sehingga rumah, kereta dan harta ditukar milik ke atas nama bomoh berkenaan,” katanya.

Menurutnya, setelah perkara itu dimaklumkan kepada ibu saudaranya, dia diselamatkan dan di hantar ke Pertubuhan Kebajikan Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani), Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Ibu saudara saya membuat laporan polis. Demi keselamatan, saya ditempatkan di rumah ini untuk belajar ilmu agama,” katanya.

Peluang kedua

Rumah Insani turut dihuni seorang remaja bekas penagih dadah. Jefri, 19, (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi kisah silamnya.

“Saya serik dengan pengalaman sebagai penagih sejak di bangku sekolah. Biarpun dibesarkan dengan kasih sayang ibu bapa.

“Saya harap peluang kedua ini, dapatdigunakan untuk hidup lebih gembira dan tenang,” katanya.

Menurutnya, semuanya bermula kira-kira 11 tahun lalu ketika tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia bersama rakan ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengamalkan gaya hidup bebas.

“Aktiviti itu diteruskan sehingga saya mengabaikan persekolahan dan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Jefri berkata, dia sanggup mencuri besi, menjual tong gas apabila kesempitan wang untuk membeli dadah jenis heroin.

“Saya juga mencuri wang ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan bekalan. Saya langsung tidak ambil peduli kesusahan mereka,” katanya.

Menurutnya, kini dia tidak akan mensia-siakan ‘kehidupan kedua’ yang diberikan selepas menjalani proses pemulihan dengan menumpukan sepenuh masa kepada keluarga untuk menebus segala kesilapan lalu.

“Saya memenuhi hasrat arwah ayah agar saya dapat sambung belajar di Yaman. Saya berazam untuk bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Menurutnya, namun setelah pulang kampung dan berjumpa semula  rakan lamanya, dia terjerumus  buat kali kedua.

“Saya berharap ini yang terakhir kerana saya ingin pulih sepenuhnya dan menjadi anak yang baik. Saya tidak sanggup untuk pulang ke kampung kerana masyarakat tidak mempercayai saya lagi,” katanya.

Rumah Insani

Sementara itu, Pengurus Rumah Insani, Ustaz Ahmad Fauzi Hussain berkata, pihaknya membantu ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah segi sosial, dadah dan mental.

“Kami berusaha menjadikan remaja terbabit sebagai insan yang bertakwa, beriman, beramal soleh, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Menurutnya, kini seramai 10 pelatih lelaki dan 25 pelatih wanita yang menjalani pemulihan di Rumah Insani yang telah beroperasi sejak 2006.

“Pengasas Rumah Insani adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek yang berusaha membantu remaja yang bermasalah. Sehingga kini seramai 600 remaja telah melalui proses pemulihan dan rawatan,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, antara punca remaja bermasalah faktor persekitaran, pengaruh kawan dan ibu bapa yang tidak mengawal pergaulan anak mereka.
Susulan 2 bouncer ditembak: Polis tahan 10 lelaki

27 Ogos 2012
Polis tahan 10 lelaki bantu siasatan kes dua bouncer ditembak
Polis menanda bukti kes di lokasi kejadian di sebuah kelab malam di Jalan Doraisamy, awal pagi semalam.
KUALA LUMPUR - Seramai 10 lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes dua 'bouncer' atau pengawal kelab hiburan di Jalan Dooraisamy, di sini yang ditembak mati di hadapan premis berkenaan awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 dan 37 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan bila kesemua lelaki itu ditahan.

Dalam insiden kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, dua 'bouncer' berumur dalam lingkungan awal 20-an dikatakan menghalang sekumpulan enam lelaki tempatan daripada memasuki kelab hiburan itu kerana premis berkenaan telah tamat waktu operasi.

Kumpulan itu bagaimanapun berterusan mendesak 'bouncer' berkenaan agar membenarkan mereka memasuki kelab tersebut namun tindakan itu telah mencetuskan pergaduhan sehingga berlaku kejadian tumbuk-menumbuk antara mereka.

Seorang daripada kumpulan lelaki itu naik berang apabila melihat dua rakannya dipukul teruk, lalu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan ke arah kedua-dua 'bouncer' berkenaan yang mengenai bahagian kepala mangsa pertama dan bahagian rusuk kiri mangsa kedua yang menjadi punca kematian.
  
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan meneliti secara terperinci aspek pengawasan dan keselamatan di kelab hiburan bagi memastikan insiden serangan tembakan itu tidak berulang, kata Datuk Bandar Datuk  Ahmad Phesal Talib.

Beliau berkata DBKL telah mengarahkan pegawai terlibat agar membuat pemantauan terhadap kelab hiburan bagi memastikan ia mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita telah mengadakan perbincangan dengan pegawai terlibat dan meminta mereka membuat pemantauan bagi memastikan kelab hiburan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sebagai contoh beroperasi pada waktu yang telah ditetapkan sahaja.

"Selain itu ketetapan had umur bagi pengawal disko juga perlu diberi perhatian oleh pihak pengurusan pusat hiburan bagi memastikan mereka merupakan golongan terlatih dan berpengalaman bagi berhadapan situasi yang tidak dijangka (serangan tembakan)," katanya kepada Bernama ketika dihubungi bagi mengulas insiden tersebut.  - Bernama
DAP serah kepada Karpal selesai isu Nasha
Jamilah Hamzah
27 Ogos 2012
 Nasharudin Mat Isa
Nasharudin Mat Isa
KUALA LUMPUR - DAP menyerahkan kepada Pengerusinya, Karpal Singh untuk menyelesaikan isu membabitkan bekas Timbalan Pas, Nasharudin Mat Isa.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, Karpal perlu menyelesaikan dan mengeluarkan kenyataan sendiri mengenai isu itu.

Menurutnya, DAP tidak berhak untuk membuat keputusan berhubung isu melibatkan dua pemimpin Pakatan Rakyat itu.

"Biar dia jawab isu itu. DAP tak boleh jawab.

"Kita tak ada hak nak jawab, bagi Karpal yang buat penyataan sendiri," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Seminggu lalu, Karpal membuat kenyataan mahu memulakan prosiding mahkamah terhadap Nasharudin yang mengeluarkan kenyataan bahawa wakil rakyat itu anti-Islam dan tidak menerima hudud.

Pas pula yakin isu tersebut tidak akan dibawa ke mahkamah.

Nasharudin bertegas sedia jumpa Karpal di mahkamah.

Justeru, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan perkara itu adalah perkara antara Karpal dan pemimpin tersebut, dan yang berhak mengeluarkan kenyataan adalah Karpal sendiri.
Bicara Isnin: Kucing diseksa sebelum menjadi lauk
Wartawan Sinar Harian
27 Ogos 2012
 Ismail Mohd Ali
Presiden Peminat Kucing Malaysia, Ismail Mohd Ali
Kekejaman terhadap kucing bukan sahaja ketika memakan dagingnya, tetapi fikirkan bagaimana ketika membunuh binatang comel itu sebelum dijadikan hidangan atas meja.

Presiden Peminat Kucing Malaysia, Ismail Mohd Ali berkata, perbuatan segelintir manusia  dipercayai warga asing yang memakan kucing adalah perbuatan sangat tidak berperikemanusiaan kerana haiwan  tersebut perlu melalui tragedi pembunuhan yang cukup tragis sebelum dijadikan hidangan lazat.

“Cuba fikirkan bagaimana mereka yang memakan kucing itu perlu membunuhnya terlebih dahulu. Saya percaya mereka menangkap haiwan itu dan kemudian mematikannya sama ada dipukul dengan teruk atau apa cara pembunuhan sekalipun.

“Tentunya cara kematian kucing itu sangat ngeri dan pembunuhannya sangat kejam. Inilah yang kita kecam,” ujar Ismail yang mempunyai kedai kucing di Shah Alam. 

Ketika wartawan Bicara Isnin berkunjung ke kedainya tempoh hari, Ismail sedang menyediakan  ayam mentah untuk kira-kira 100 kucing yang dimilikinya.

“Kita jaga kucing bukan untuk dimakan. Haiwan ini untuk disayangi kerana ia membantu kita mengurangkan tekanan hidup.

“Tetapi nampaknya kehadiran warga asing di negara ini telah menimbulkan satu budaya baru yang lama kelamaan boleh menjadi kebimbangan masyarakat. Kita khuatir jika amalan memakan kucing berleluasa di kalangan peminat makanan eksotik.

“Nampak seperti remeh, tetapi kita perlu ingat bahawa ini membawa bahaya kepada keselamatan kucing domestik. Begitu juga perasaan pemilik kucing yang melepaskan kucing mereka, namun kemudian hilang, dan hakikatnya jadi hidangan lazat di atas meja warga asing. Keadaan ini sungguh kasihan,” katanya sambil tangannya ligat membersihkan ketulan peha ayam.

Katanya, warga asing seperti Myanmar dan Vietnam dikatakan paling gemar memakan kucing dan perlu kita fikirkan bahawa warga asing di negara ini semakin ramai.

“Sedarkah kita amalan itu seperti menjadi wabak yang menular di kalangan warga asing. Bayangkan mereka tinggal di negara ini dan memakan makanan eksotik yang enak secara  percuma dengan menangkap serta mencuri kucing-kucing kita.

“Ini yang membimbangkan peminat-peminat kucing kerana kita takut  budaya ini meluas  dan akhirnya menjadikan kucing sebagai hidangan kegemaran selain anjing.

“Berdasarkan omongan orang, daging kucing juga sesedap daging arnab. Dagingnya kenyal dan lazat dimasak kari, rendang dan sambal. Semakin orang tahu rasa daging kucing, semakin ramai penggemar yang mahu memakannya,” ujarnya yang banyak mendapat pengetahuan tentang haiwan itu menerusi Internet.

Katanya, sedangkan dalam keadaan negara yang makmur dan mempunyai banyak makanan untuk santapan, tidak semena-mena  hadir amalan yang seolah-olah mengheret masyarakat  ke dalam kancah budaya memakan haiwan yang jika difikirkan tidak tergamak dimakan berdasarkan sifat dan keadaan tubuh haiwan itu.

Bahkan ujarnya, amalan warga asing itu sedikit demi sedikit membangunkan budaya kurang ajar kerana perbuatan menangkap  kucing yang mungkin ada pemiliknya boleh kita anggap mencuri.

“Bayangkan sekiranya amalan memakan kucing terus berleluasa dan jadi amalan kebiasaan? Dibimbangi kucing domestik akan mudah pupus. Apabila yang berkeliaran sudah habis, bagaimana pula nasib kucing kita di rumah?.

“Saya mewakili peminat-peminat kucing yang lain membantah terhadap penggemar daging kucing. Mengapa kucing yang hendak dimakan, hanya orang kejam sahaja yang tergamak meratah daging haiwan sejinak itu,”  tegasnya.

Dengan itu beliau berpesan, supaya pemilik kucing berhati-hati  sekiranya tidak mahu kucing kesayangan menjadi hidangan di atas meja.

“Saya nasihatkan pemilik kucing supaya meletakkan kucing di tempat selamat. Bukan sahaja untuk penjagaan, tetapi juga bagi mengelakkan sebarang kekejaman serta kucing anda menjadi santapan si penggemar daging kucing,” akhiri beliau.
Bicara Isnin: Bertentangan pesanan Nabi
Wartawan Sinar Harian
27 Ogos 2012
Bicara Isnin Kucing
Bicara Isnin
DAGING kucing merupakan daging yang digemari malah mendapat permintaan ramai di beberapa negara. Selain sebagai binatang peliharaan, kucing masih diternak dan disembelih sebagai sumber protein di negara seperti Myanmar, Vietnam dan China.

Di negara-negara yang menyayangi kucing sebagai haiwan peliharaan yang sewajarnya disayangi, menganggap memakan daging kucing adalah tindakan tabu dan bertentangan dengan kebiasaan manusia bertamadun sehingga amalan memakan daging haiwan comel itu di beberapa buah negara mendapat kecaman keras dunia.

Sama seperti di Malaysia, perbuatan memakan daging kucing oleh warga asing bukan Islam yang bekerja di sini sememangnya mendapat kecaman dan tohmahan daripada pelbagai rakyat tempatan pelbagai kaum tanpa mengira agama. Apa yang pasti, di negara ini, kucing dianggap haiwan peliharaan comel yang seharusnya disayangi dan bukanya dijadikan hidangan lauk malah melabelkan pemakan kucing sebagai kejam.

Malah, kepada umat Islam, perbuatan menyayangi kucing adalah dituntut.

Berkongsi informasi sama daripada beberapa blog dan laman sosial media Muslim mengenai haiwan comel ini, ada memaparkan kisah Rasulullah s.a.w dengan kucing kesayangan Baginda bernama Mueeza. Menerusi informasi dan kisah yang dikongsikan jelas menunjukkan bahawa kucing adalah haiwan peliharaan yang dipesan oleh Nabi agar dikasihi dan disayangi.

Turut dikisahkan, Nabi pernah bersabda bahawa kucing adalah haiwan yang tinggal di dalam rumah. Ini bermakna, kucing adalah haiwan peliharaan dan bukannya haiwan ternakan untuk dimakan.

Nabi juga berpesan kepada para sahabat supaya menyayangi kucing peliharaan seperti menyayangi keluarga sendiri.

Membuktikan betapa Rasulullah s.a.w menyayangi kucing, terdapat kisah di mana Baginda sanggup menggunting bahagian jubahnya semata-mata tidak mahu mengganggu Mueeza yang tidur lena di atas jubah tersebut.

Menerusi kisah ini, menunjukkan kucing adalah haiwan sangat dicintai Nabi dan perbuatan segelintir pemakan kucing bertentangan dengan pesanan Nabi.
Wanita Umno mahu rampas Kuantan dari PKR
ROSILAWATI ROSEDI
27 Ogos 2012
Datuk Maznah Mazlan
Datuk Maznah Mazlan.
KUANTAN - Ahli Wanita Umno di negeri ini diseru menunjukkan kesetiaan dan memberikan sokongan padu terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan dalam memastikan kemenangan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Exco Wanita Umno, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, segala keputusan yang telah ditetapkan pucuk pimpinan negeri dan pusat hendaklah diterima dengan tangan terbuka.

Beliau juga juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, Wanita Umno secara lazimnya tidak mendesak untuk menjadi calon walaupun diakui berkemampuan dalam memimpin.

“Jentera Wanita sentiasa bersedia menerima arahan namun beberapa aspek yang perlu diperbaiki dalam meraih undi sekali gus merampas kembali Parlimen Kuantan daripada pihak pembangkang.

“Pada PRU12 lalu, sebanyak 11,470 undi rosak. Jumlah ini angka besar, dan ia juga menjadi tanggungjawab jentera untuk memastikan situasi ini tak berulang pada PRU 13,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kuantan kali ke-12 di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Zaitun Mat yang disertai 220 perwakilan daripada bahagian tersebut.

Beliau juga mengingatkan ahli supaya tidak tenggelam kerana perbezaan dan bersikap individualistik kerana ia boleh menjadi kudis sebaliknya sehati sejiwa dan menyingkirkan elemen negatif supaya parti tidak menjadi lemah.
Maznah juga menggesa supaya ahli tidak berdiam diri dengan sebarang isu yang timbul dengan mendapatkan fakta serta maklumat daripada pemimpin untuk menangkis hujah daripada pihak pembangkang.
Keluarga Tun Ghafar kecewa kenyataan Mat Sabu
AMRAN ALI
27 Ogos 2012
Ahmad dan Zainon (kanan) ketika sidang media di rumahnya, semalam.
Ahmad dan Zainon (kanan) ketika sidang media di rumahnya, semalam.
MELAKA - Ahli keluarga Allahyarham Tun Ghafar Baba mahu Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menarik balik kenyataannya berhubung dakwaan mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menyertai Pas sekiranya masih hidup, sama seperti anaknya Tamrin.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkan ketika menyampaikan satu ceramah di Bukit Katil, Melaka pada 12 Ogos lalu, dan kandungan ceramah itu turut disiar di laman blog bertajuk, 'Jika Tun Ghafar umur panjang, dia pun masuk Pas'.

Menantu Allahyarham Tun Ghafar yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah berkata, beliau dan keluarga cukup sedih dengan kenyataan itu dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Saya mewakili keluarga sedih dengan kenyataan dibuat Timbalan Presiden Pas itu dalam ceramahnya pada Ramadan lalu. Kita mahu beliau menarik balik kenyataan yang telah mengguris hati kami semua.

“Saya yakin, sekiranya Tun Ghafar masih hidup, beliau tidak akan sama sekali menyertai perjuangan Pas yang tidak  relevan dan tidak menguntungkan perjuangan bangsa,” katanya kepada media di sini, semalam.

Isteri kepada Ahmad Hamzah yang juga anak kepada Tun Ghafar, Datin Zainon Ghafar turut menafikan dakwaan Timbalan Presiden Pas itu yang kononnya ada melakukan lawatan ke rumah bapanya ketika pemimpin itu sedang sakit teruk.

Sementara itu, ketika ditanya tentang kemasukan Tamrin ke dalam Pas, Zainon berkata, mereka sekeluarga tidak nampak apa yang menyebabkan abangnya itu berbuat demikian.

“Saya rasa lebih baik tanya tuan punya diri sendiri.Hanya dia dengan ALLAH sahaja tahu tujuan sebenar,” katanya.
Mat Sabu: Saya memang ada lawat Tun Ghafar ketika sakit
RUZY ADILA IDRIS
27 Ogos 2012
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mempertahankan kenyataannya bahawa beliau pernah menziarahi bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba ketika diserang strok.

“Saya menziarah Allahyarham (Tun Ghafar) di rumahnya di Damansara berhampiran dengan bangunan Parlimen beberapa tahun lalu dan ditemani oleh sahabat saya, bekas ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ahmad Subky Abdul Latif.

“Ketika itu, tidak ada sesiapa di rumah kecuali isteri kedua Allahyarham, Toh Puan Dayang Heryati Abdul Rahim,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyangkal kenyataan anak Tun Ghafar, Datin Zainon yang menafikan dakwaan Mohamad ada melakukan lawatan ke rumah bapanya ketika pemimpin itu sedang sakit teruk.

Tambah Mohamad, lawatan tersebut sekadar lawatan biasa kerana Allahyarham Tun Ghafar merupakan seorang negarawan dan pernah bersama-bersama beliau di Parlimen.

“Walaupun kami berbeza parti tetapi kami mempunyai hubungan yang baik,” jelas beliau yang juga bekas Ahli Parlimen.

Ketika diminta mengulas desakan ahli keluarga Allahyarham Tun Ghafar yang mahu beliau menarik balik kenyataannya yang mengatakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu akan menyertai Pas sekiranya masih hidup, sama seperti anaknya Tamrin.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.
“Kali ini saya perlu berhati-hati sebelum mengulas apa-apa dan saya perlu meneliti kembali rakaman ucapan saya.

“Saya kena tengok dulu macam mana saya kata dan perkataan yang saya gunakan, mungkin ada perkataan ‘dan’ ke, ataupun ‘koma’, itu perlu diteliti,” tegas beliau, yang dipercayai merujuk kepada kontroversi berkenaan kenyataan menyentuh peristiwa Bukit Kepong.

Kes berkaitan sedang didengar di Butterworth.

Kenyataan terbaru didakwa dikeluarkan ketika menyampaikan satu ceramah di Bukit Katil, Melaka pada 12 Ogos lalu, dan kandungan ceramah itu turut disiar di laman blog bertajuk, 'Jika Tun Ghafar umur panjang, dia pun masuk Pas'.

Semalam, menantu Allahyarham Tun Ghafar yang juga Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah berkata, beliau dan keluarga cukup sedih dengan kenyataan itu dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab.
Isu darjah kebesaran: Soalan 'sukar' untuk dijawab, kata Guan Eng
Jamilah Hamzah
27 Ogos 2012
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu membawa perjuangan demi kepentingan rakyat, bukannya mengejar kedudukan atau darjah kebesaran.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya juga tidak pernah mengatakan akan menerima atau menolak pingat atau darjah kebesaran sebab ia tidak pernah ditawarkan kepada pemimpinnya.

Justeru kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, sukar untuk menjawab soalan berkenaan dengan isu tersebut sekarang.

"Saya tak pasti, bagaimana nak menjawab bagi perkara ini... Kita bukan nak gelaran datuk.

"Kita perlu tunggu gelaran itu diperkenan oleh raja (istana) dahulu sebelum saya menjawab

"Mana boleh jawab 'ya' tanpa perkenan raja, dan kalau jawab 'tidak', akan dianggap tidak menghormati raja," katanya lagi.

Guan Eng berkata, menerima darjah dan bintang kebesaran bukanlah matlamat beliau menjadi pemimpin.

"Kita berjuang untuk rakyat bukan untuk mendapat anugerah. Lagi pun untuk menerima anugerah mesti diperkenan oleh raja dulu," katanya kepada sidang media di sini.

Laporan media minggu lalu memetik seorang pemimpin  DAP Selangor mencadangkan pemimpin-pemimpin parti itu supaya melakukan anjakan paradigma dengan menerima darjah dan bintang kebesaran yang dikurniakan oleh Raja-Raja Melayu.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, perubahan itu perlu bagi membuktikan bahawa DAP tidak anti-Islam, anti-Melayu dan anti-Institusi Raja Melayu.

"Sampai masa pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Dr Chen Man Hin... mereka patut terima darjah kebesaran Raja Melayu," katanya.

Tiada ulasan: