Rabu, 8 Ogos 2012

PUSAT ZAKAT JANGAN CUAI MENJALANKAN TUGAS...BAYARAN DITERIMA ADALAH SEBAGAI AMIL...BUKAN LAIN DARI ITU...TUGAS AMIL MENGUTIP ZAKAT,BUAT KIRA2@AKUAN...MEMBANCI PENERIMA ZAKAT SERTA MENGHANTAR@MEMBERI ASNAF2 YANG PATUT MENERIMANYA...BUKAN TUNGGU ORANG MINTA BARU BAGI...INGAT SALAH TUGAS@KERJA YANG DIAMANAHKAN...MAKA NERAKA LAH TEMPAT AULA UNTUKNYA

Merdeka: Kedah guna logo dan tema bersama

Harakahdaily, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Semua negeri Pakatan Rakyat akan menggunakan logo dan tema yang sama dalam sambutan Merdeka ke 55 apabila Kedah memutuskan berbuat demikian hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dan dimaklumkan kepada beliau hari ini.

"Saya telah menerima panggilan telefon dari Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah memaklumkan keputusan itu hari ini," kata Mustafa.

Menurut Mustafa yang meruapakan Pengerusi JK Pemilihan Logo Hari Kemerdekaan ke 55 Pakatan Rakyat, beliau telah berbinacang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak mengenai perkara ini semalam.

"Alhamdulillah hari ini Kedah sudah membuat keputusan menggunakan logo bersama yang diputuskan Pakatan," kata beliau.

Bagi Mustafa (gambar), keputusan Kedah ini menunjukkan betapa hebatnya demokrasi dalam Pakatan Rakyat.

"Kami jawatankuasa peringkat pusat telah bersetuju menerima Kedah dan Kelantan menggunakan tema dan logo mereka sendiri untuk sambutan Kemerdekaan ini walaupun kita ada logo kita sendiri.

"Ini kerana, mereka telah membuat keputusan awal dari keputusan Pakatan tentang pemilihan logo itu.

"Sekarang, mereka (Kedah dan Kelantan) yang membuat keputusan sendiri untuk menggunakan logo dan tema yang sama," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Semalam Kelantan membuat keputusan untuk menggunakan logo dan tema merdeka yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun memutuskan tema mereka sendiri sebelum ini iaitu 'Kelantan Menerajui Perubahan'.

Kedah telah membuat keputusan untuk menggunakan tema 'Terus Berbakti' sebelum ini kerana ia diputuskan sebelum Pakatan Rakyat memutuskan untuk mempunyai tema tersendiri.

Pakatan memutuskan untuk mempunyai tema sambutan Merdeka ke 55 sendiri selepas tidak bersetuju dengan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat 'Janji Ditepati'.

Ini kerana, tema itu selari dengan tema kempen BN sedangkan sambutan kemerdekaan adalah untuk semua rakyat negara ini.

Tema Pakatan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dihasilkan oleh satu penal yang diketuai oleh Datuk A Samad Said.

Logo sambutan Merdeka ke 55 dan Hari Malaysia 2012 akan diperkenalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat esok.

'Jalur Malang': Nizar beri penjelasan

Anis Nazri, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menafikan beliau menghina Jalur Gemilang, sebaliknya berkata Umno yang berbuat demikian.

Ia berikutan tindakan Umno melalui Menteri Penerangan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meletakkan slogan 'Janji Ditepati' sebagai tema kemerdekaan tahun ini.

Bercakap kepada Harakahdaily, Nizar berkata pilihan tema berbaur kempen politik itu untuk diiringkan bersama Jalur Gemilang itu sendiri menunjukkan betapa bendera kebanggaan negara itu dihina.

"Umno dan BN yang menghina Jalur Gemilang apabila meletakkan tema kempen politik mereka seiring dengan bendera negara.  Itu yang saya ingin bawakan pemikiran rakyat supaya berfikir usaha Umno itu," tegas beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kecaman yang diterima beliau ekoran tweet beliau berkenaan Jalur Gemilang dan kemerdekaan.

Isnin lalu, Nizar dlam tweetnya menulis  "Janji ditepati: malang perayaan Kemerdekaan tahun ini di buat oleh Kabinet BN, luntur semangat nak kibarkan jalur gemilang, jalur malang!".

Mengulas lanjut, Nizar berkata apa yang dimaksudkan beliau ialah Jalur Gemilang itu yang malang, bukannya menukarkan nama Jalur Gemilang kepada Jalur Malang.

"Saya katakan malang perayaan merdeka kali ini dibuat BN keraa slogan politik mereka, hingga menyebabkan semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang luntur. Malanglah Jalur Gemilang bila tidak dikibarkan.  Jalur Gemilang itu yang malang," jelas beliau lagi.

Mengakui penggunaan ayat di laman maya, khususnya laman sosial boleh menimbulkan pelbagai pemahaman yang berbeza, Nizar bagaimanapun berkata ramai yang mengecam tweet beliau itu menunjukkan betapa tidak fahamnya mereka terhadap patriotisme.

"Ramai di kalangan yang mengecam saya tidak faham tentang semangat patriotisme. Sebaliknya, hanya menunjukkan tahap patriotisme yang dididik Umno selama 54 tahun ini," tegas beliau.

Tak perlu baiah, kata bekas pengarah JSJ

Hazayani Zakaria, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak perlu sehingga meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbaiah dengan kerajaan kerana tugas anggota polis sememangnya menjaga keselamatan awam dan negara.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari berkata, jika anggota polis memahami kerja mereka satu ibadah, mereka harus bekerja dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh.

"Itu hak perdana menteri untuk membuat seruan tapi sememangnya penjawat awam khususnya anggota polis yang faham konsep ibadah, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Namun katanya, anggota polis harus faham bahawa mereka hanya bertanggungjawab terhadap kerajaan dalam soal tugas namun berhak membuat pilihan untuk memilih parti mana untuk menerajui kerajaan.

"Memang kerja kena ikut pertauran yang ditetapkan oleh kerajaan tapi anggota polis kena tahu bezakan kerajaan dan parti.

"Kalau bab mengundi, hak mereka untuk memilih parti mana yang difikirkan lebih baik," katanya yang menyertai PAS Mei lalu.

Semalam, Najib berkata sekiranya kerajaan membantu PDRM, PDRM akan membantu kerajaan dan negara.

JK Royalti: Tok Guru sudah menghadap Sultan

Rizal Tahir, 08 Ogs 2012
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau telah menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan wakil negeri itu yang akan dicadang menganggotai jawatankuasa khas bayaran tunai royalti.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, belum mengemukakan cadangan siapakah individu yang bakal menduduki jawatankuasa itu nanti kerana ianya belum dibincangkan diperingkat kerajaan negeri.

"Kita tak bincang lagi, mesyuarat exco hari ni pun tak bincang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Kelantan, di Dewan Teratai petang tadi.

Penubuhan jawatankuasa khas itu sebelum ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mengkaji isu bayaran tunai petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Mengulas cadangan beberapa pihak agar Tengku Razaliegh Hamzah dipilih menyertai jawatankuasa itu, Tuan Guru berkata ia boleh dicadang, tetapi tidak semestinya dipilih.

Sementara itu, ketika diminta mengulas cadangan agar Kelantan memboikot jawatankuasa itu pula, Tuan guru berkata pihaknya tidak bercadang untuk berbuat demikian namun berharap agar banyarannya dipercepatkan dan bukan menunggu tempoh enam bulan.

"Tak ada sebab nak dilambatkan, sebab ia hak Kelantan," katanya.

Berhubung masaalah air yang terputus di Pasir Mas, menteri besar berkata ianya berpunca daripada musim kemarau dan bukannya masaalah pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB).

Katanya, hujan yang jarang berlaku sekarang membuatkan air sungai menjadi kering.

"Peralatan canggih macamana sekalipun tidak mampu mengatasi masalah kekurngan air akibat kemarau.

"Masalah air bukan saja berlaku di Kelantan. Tetapi negeri lain juga sebagaimana yang dilaporkn dalam akhbar baru-baru ini," katanya.

Yang perlu anda tahu tentang Zakat Fitrah

Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 08 Ogs 2012
Ramai umat Islam yang masih keliru tentang kewajipan zakat fitrah, bukan keliru status hukumnya, tetapi bagaimana melaksanakannya. Inilah antara Q&A yang diharap mampu menjelaskan kekeliruan itu. Selamat membaca.

Soalan 1: Apakah makna zakat fitrah dan siapakah yang diwajibkan ke atasnya?

Jawapan: Zakat fitrah bermakna zakat badan atau zakat jiwa. Semua orang Islam diwajibkan, sama ada lelaki, perempuan, orang tua, kanak-kanak, bayi, orang gila, merdeka mahu pun hamba sahaya.

Dalilnya, Abu Hurairah r.a menyatakan: “Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya – daripada kalangan kaum muslimin,” (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim)

Fuqaha memang berbeza pendapat tentang siapakah yang perlu mengeluarkannya, sama ada diri sendiri ataupun wali nasab, yakni orang yang wajib menanggung nafkah. Amalan di Malaysia, zakat fitrah ini dikeluarkan oleh wali bagi semua tanggungannya. Dalam hal ini ada sebuah hadis: “Bayarlah zakat fitrah daripada semua orang yang menjadi tanggungjawab kalian.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi).

2. Bagaimana dengan anak angkat, anak yatim dan anak tiri?

Jawapan: Perkara paling asas, fuqaha menyatakan orang yang wajib menanggung nafkah itulah wajib memberikan zakat fitrah tanggungannya. Di sini, yang wajib ialah mereka yang dinamakan sebagai wali nasab (sedarah daging) atau penanggung nafkah, iaitu bapa, datuk, bapa saudara dan sebagainya lagi.

Jika anak angkat, andai sudah tiada wali nasab yang boleh dihubungi, maka penjaganyalah yang wajib membayarkan zakat fitrahnya. Ada juga pandangan, jika sudah dibuat perjanjian dengan bapa kandungnya bahawa bapa angkat akan menanggungnya, maka terlepaslah kewajipan bapa kandungnya.

Andai anak yatim, sama juga jika sudah tidak berjumpa dengan mana-mana wali nasab, maka penjaganya yang wajib membayarkannya. Jika anak tiri, pun masih kena lihat, andai sudah tiada wali nasabnya, maka bapa tirinyalah yang wajib mengeluarkannya.

Namun, jika kesemua mereka sudah ada kemampuan sendiri, misalnya walau masih belajar namun mendapat biasiswa atau wang hasil kerja sampingan, maka mereka lebih berhak mengeluarkannya sendiri. Tetapi, penjaga yang bukannya wali nasab masih boleh mengeluarkannya dengan syarat memaklumkan dahulu kepada anak-anak jagaannya itu.

3. Adakah anak-anak perempuan yang sudah bekerja dikira masih tanggungan bapanya?

Jawapan: Anak yang sudah bekerja sendiri, sama ada lelaki dan perempuan, maka mereka lebih berhak mengeluarkan sendiri zakat fitrahnya. Bahkan, jika mereka mahu mengeluarkan zakat fitrah ibu bapa juga boleh, dan mereka perlu memaklumkannya kepada ibu bapa.

4. Bagaimana pula dengan waktu menunaikan zakat fitrah?

Jawapan: Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya satu Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: “Telah mewajibkan Rasulullah saw zakat fitrah pada bulan Ramadan.”

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan. Manakala Abu Hanifah pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib atau paling utama sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri. Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

5. Apakah yang perlu dilakukan jika terlupa menunaikannya?
Jawapan: Islam telah menyediakan satu ruang waktu yang amat luas bagi umatnya menunaikan zakat fitrah dan tidak sepatutnya ada orang boleh terlupa. Selalunya orang terlupa bila sengaja menunggu sehingga ke saat akhir. Jadi, jangan bertangguh.

Mungkin ada orang berhujah, mereka mahu menunggu ke saat akhir menunaikan zakat fitrah, demi mendapatkan pahala yang lebih besar. Berkenaan pahala ini, fuqaha tidak pula beranggapan menunaikannya lebih awal akan kurang pahalanya berbanding menunaikannya saat-saat akhir, lagi pun ia adalah tergantung kepada Allah SWT yang menentukannya.

Orang yang terlupa wajib segera mencari mana-mana fakir miskin dan serahkanlah zakat fitrah pada waktu itu juga dan fuqaha menyatakan ia sudah menjadi qada. Iringi juga dengan taubat dan berazam untuk tidak melalaikan lagi zakat fitrah selepas ini.

6. Ada orang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya?

Jawapan: Menunaikan zakat fitrah adalah wajib dan berpuasa juga wajib, maka mengabaikannya adalah berdosa. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: “Rasulullah saw telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri,” (Riwayat Bukari dan Muslim).

Ulamak fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran, na’uzubillah.

7. Adakah orang miskin juga wajib membayar zakat fitrah?


Jawapan: Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Syaratnya, mereka mesti ada makanan yang cukup bermula dari malam satu Syawal hingga tamat satu Syawal. Orang miskin yang memenuhi syarat ini, wajib mengeluarkan zakat. Cuma ada sebahagian fuqaha menyatakan, jika orang miskin itu menjadi mampu disebabkan bantuan zakat, maka mereka tidak dibebani untuk mengeluarkan zakatnya, kerana punca hartanya adalah dari zakat juga.

8. Ada orang mahu membayar zakat fitrah dengan beras bukan wang, apa komen ustaz?

Jawapan: Mengikut ketetapan asal, zakat fitrah memang begitu. Tetapi, sebahagian fuqaha berpendapat adalah harus mengeluarkan zakat fitrah dengan harga (wang). Pada zaman Umar bin Abdul Aziz r.a, baginda berfatwa zakat fitrah boleh dibayar dengan nilai wang. Memandangkan penggunaan wang lebih sesuai pada hari ini, maka ia lebih diraikan demi kemaslahatan ummah seluruhnya.

9. Ada orang berkata, jika tidak keluarkan zakat fitrah maka pahala puasa akan tergantung. Benarkah?

Jawapan: Terdapat sebuah hadis mengenai persoalan ini, iaitu: “(Ibadah) bulan Ramadhan digantungkan antara langit dan bumi dan tidak diangkat kepada Allah kecuali dengan zakat fitrah,” (Riwayat Ibn Asakir). Tetapi, para ulama hadis mempertikaikan kesahihan hadis ini, kerana ada di antara perawinya yang tidak dikenali (majhul) dan ia juga bercanggah dengan mafhum hadis lain mengenai keutamaan beribadah khususnya di bulan Ramadan.

Bagi saya, fokuskan untuk melaksanakan setiap ibadah, sama ada solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Setelah ia ditunaikan dengan sempurna dan sah, maka serahlah kepada Allah SWT, sama ada mahu menerima atau menolaknya.

10. Adakah zakat fitrah hanya untuk fakir miskin sahaja?

Jawapan: Hal ini adalah khilaf dalam kalangan ahli fikah. Sebahagian menyatakan ia hanya untuk fakir dan miskin dan sebahagian yang lain menyatakan, zakat fitrah juga sama seperti zakat harta dan lapan asnaf masih boleh menikmatinya.

Malahan ada ulama’ yang menyatakan seorang kafir zimmi di dalam Negara Islam juga berhak mendapat zakat fitrah jika mereka adalah golongan fakir. Perbincangan ini boleh dirujuk ke dalam kitab Bidayatul Mujtahid, Juz 1, hal. 584; Fikih Sunnah, Jilid 3, hal. 129, Hukum Zakat, hal. 964 dan Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 2, hal. 190.

11. Apakah majikan wajib membayar zakat fitrah pembantu rumahnya?

Jawapan: Majikan tidak wajib, kerana pembantu itu bukan tanggungan yang wajib dinafkahinya. Pembantu itu ada gajinya sendiri dan dia wajib menjelaskan zakat fitrahnya sendiri. Namun, jika majikan mahu menjelaskannya juga, perlu memberitahu kepada pembantunya, sebagai tanda minta izin daripadanya.

12. Apakah anak yang lahir pada waktu Maghrib hari terakhir Ramadan wajib zakat fitrah juga?

Jawapan: Tidak wajib, kerana anak itu hanya hidup pada waktu Syawal sahaja. Bukan sekadar itu, orang yang hidup sepanjang Ramadan dan meninggal dunia sebelum masuknya waktu Syawal, maka tidak wajib juga zakat fitrah. Ini kerana, hanya orang yang hidup pada dua waktu, Ramadan dan Syawal sahaja wajib zakat.

13. Apakah anak yang dikandung sudah cukup bulan tapi belum lahir hingga masuk Syawal wajib zakat juga?

Jawapan: Tidak wajib, Cuma sunat muakkad sahaja. Islam tidak mengambil kira semasa bayi masih berkeadaan janin (dalam rahim ibu) dan inilah pendapat yang kuat sebagaimana yang disebut oleh Dr. Yusuf al- Qaradawi, di dalam kitabnya, Hukum Zakat.

Soalan 14: Adakah seorang muallaf (saudara baru) juga wajib bayar zakat fitrah?

Jawapan: Jika muallaf itu masih kecil (belum akil baligh misalnya), maka orang yang menaunginyalah yang mengeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi, jika sudah dewasa atau remaja, maka jika mereka mampu mereka keluarkan sendiri. Jika tidak mampu, maka tidaklah wajib zakat fitrah ke atasnya.

Soalan 15: Bolehkah ustaz jelaskan hikmah zakat fitrah?

Jawapan: Pertama, zakat fitrah menjamin kegembiraan kepada penerimanya, seperti mana nabi menjanjikan dua kegembiraan bagi orang yang berpuasa, iaitu waktu berbuka (termasuk berhari raya) dan ketika menatap wajah Allah (hadis Muslim). Maka, bagaimana orang miskin boleh gembira jika tiada bantuan di hari raya.

Kedua, zakat fitrah juga menepati kehendak puasa yang bermaksud mengembalikan manusia kepada fitrah. Apabila zakat fitrah ditunaikan, maka akan terhakislah rasa tamak dan haloba dalam diri dan diganti dengan rasa rendah diri dan saling berkongsi.

Ketiga, membersihkan orang yang berpuasa daripada dosa. Ibnu Abbas menyatakan: “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

Keempat, menjadi bukti ketaatan manusia beriman kepada Allah SWT. Ini kerana, jika mereka berpuasa tetapi enggan berzakat, maka jelaslah kualiti keimanannya di tahap mana?

Kelima, zakat fitrah itu menjadi kemuncak kepada amalan di bulan Ramadan, yakni berkongsi sedikit kekayaan. Andai jumlah RM7 itu masih dipertikaikan, maka bagaimana pula seseorang itu mampu berkongsi sesuatu yang lebih besar dalam hidupnya dengan orang lain.

Soalan 16: Apakah boleh kita menunaikan zakat harta selain fitrah di bulan Ramadan?

Jawapan: Memang boleh bahkan dianjurkan sangat-sangat. Ini kerana, mafhum daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah daripada Salman al-Farisi, bahawa setiap amalan sunat dalam bulan Ramadan diganjari pahala wajib dan satu amalan wajib diganjari 70 kali ganda pahalanya.

Maka, andai kita berzakat RM1 ribu, maka pahalanya seolah-olah kita sudah berzakat RM70 ribu! Orang yang haul zakatnya belum tiba, boleh berniat mendahului haul zakat dan di sisi Islam, ia memang diharuskan.

Soalan 17: Soalan terakhir saya, kenapakah kadar zakat fitrah di Malaysia berbeza-beza antara setiap negeri?

Jawapan: Panjang jawapannya, namun ringkasnya saya boleh katakan, ada dua sebab kenapa berbeza. Pertama, pentadbiran zakat di Malaysia adalah tertakluk kepada bidang kuasa negeri. Maka, setiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwanya sendiri yang akan memutuskan harga zakat fitrah yang sesuai di negeri masing-masing. Pengasingan kuasa ini telah digazetkan di dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu di dalam Jadual Kesembilan (Perkara 74, 77) Senarai Perundangan, Senarai II – Senarai Negeri.

Kedua, boleh jadi harga sekilogram beras adalah berbeza antara negeri-negeri. Ada negeri yang agak mahal, ada yang agak murah dan ia adalah sesuai dengan kondisi sosio-ekonomi rakyat negeri berkenaan. Maka, harga zakat fitrah di Selangor adalah sesuai dengan harga beras di Selangor (yakni RM7.00). Manakala di negeri lain, sesuailah dengan negeri mereka pula. Wallahua’lam.

Ustaz Hamizul Abdul Hamid ialah Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
http://www.hamizul.com/

Air S'gor: Umno buat silap besar, kata Rani

Muhammad Faizal, 08 Ogs 2012
SHAH ALAM: PAS menyifatkan tindakan Umno Barisan Nasional (BN) yang cuba mensabotaj Selangor dengan menimbulkan isu krisis air di negeri itu sebagai kesilapan besar.

Bercakap kepada Harakahdaily, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, kini rakyat Selangor boleh menilai sikap kerajaan Pusat dan BN negeri dalam isu itu.

"Rakyat lebih cerdik dan sedar dengan apa yang telah ditimbulkan oleh Umno-BN dalam soal krisis air, walaupun terdapat sabotaj telah dilakukan oleh pihak Syabas Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd (Syabas).

"Ini merupakan satu kesilapan besar mereka kerana segala apa yang dilakukan itu akan memberi impak kepada politik mereka," katanya.

Beliau turut berpendapat, dengan isu air yang dimainkan oleh Umno-BN, belum pasti parti itu dapat merampas kembali Selangor dari Pakatan Rakyat.

"Umno-BN ingat dengan memperbesarkan isu air ini mereka dapat mengambil balik Selangor, itu tidak akan berlaku kerana rakyat negeri ini mengetahui keadaan yang sebenarnya.

"Malah rakyat juga tahu Umno-BN berada dalam keadaan yang terdesak sebab itulah mereka terpaksa mereka cipta isu air walaupun pada hakikatnya ia sebaliknya," sambungnya lagi.

Tambahnya lagi, tinjauan rambang yang dilakukan menunjukkan rakyat negeri ini tidak termakan momokan Umno BN malah akan terus bersama mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Rakyat akan terus mempertahankan kerajaan Pakatan yang terus menjaga kebajikan terutama dalam soal pemberian air percuma bukannya kerajaan yang menyusahkan rakyat demi kepentingan agenda politik mereka," tambah beliau lagi.

Dalam isu air Selangor, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim secara terbuka telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan kerajaan pusat.

Namun sehingga sekarang tidak ada sebarang jawapan diperolehi dari kerajaan pusat mahupun pemimpin Umno-BN untuk berdebat isu tersebut.

Menurutnya lagi, Akhbar Sinar Harian sanggup menganjurkan prgram debat tersebut jika pihaknya mendapat jawapan kesanggupan dari pihak kerajaan untuk berdebat dengan Khalid dalam isu krisis air di Selangor.

Bukan JK Khas Royalti, tapi JK pilihan raya - Wahid

Salmiyah Harun, 08 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: PAS Terengganu menyifatkan penubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sebagai  jawatankuasan untuk pilihan raya.

Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Abdul Wahid Endut berkata, jawatankuasa itu tidak perlu ditubuhkan kerana perjanjian Petronas dengan kerajaan negeri sudah terang lagi bersuluh.

"Buat apa lagi jawatankuasa ini kerana semua perjanjian sudah ada. Memang sahih minyak di perairan Kelantan tetapi Pusat mendaratkan di Thailand.

"Kerana nak pilihan raya. Jawatankuasa ini untuk pilihanraya,” tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah antara wakil rakyat yang aktif membawa usul dan mengemukakan persoalan berhubung royalti petroleum sama ada di Dewan Undangan Negeri Terengganu mahupun di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau mengingatkan Kelantan agar tidak mudah tertipu dengan permainan oleh kerajaan Pusat.

Abdul Wahid tidak menolak apa yang telah berlaku terhadap Terengganu sebelum ini mungkin boleh terjadi kepada Kelantan.

Misalnya, kata beliau pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 2009,  Najib Tun Razak menyampaikan wang hasil minyak berjumlah hampir RM500 juta kepada Terengganu tetapi itu adalah royalti untuk tahun 2009.

“Apa yang berlaku di Terengganu sekarang? Sudah tiga tahun Terengganu tidak mendapat royalti. Petronas bayar terus kepada kerajaan pusat akhirnya hasil itu telah diberikan kepada semua negeri di Malaysia ,” tambahnya.

Abdul Wahid turut mempersoalkan apa tujuan Najib Tun Razak memasukkan negeri Pahang dalam jawatankuasa tersebut, sedangkan Pahang tidak ada minyak?

"Nampaknya Najib mahu mengalihkan ke negeri kelahirannya juga. Selepas ini jika Johor menuntut royalti, Najib akan memasukkan negeri itu pula ," kata beliau.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

Judi, hudud: MCA sejak awal lagi tolak

Aslani M, 08 Ogs 2012

KOTA BHARU: Penceramah Umno, Abdullah Sa’amah (Haji Lah Geting) disifatkan ketinggalan zaman apabila menganggap MCA dan MIC bukan kafir harbi.

Sedangkan sebelum ini MCA melalui proksinya secara terang-terangan mahu menyamankan kerajaan Kelantan kerana mengharamkan premis judi sejak 1990.

Namun usaha parti kompenan BN itu menghidupkan semula aktiviti judi di Kelantan ditolak Mahkamah Rayuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mahkamah sebulat suara menerima rayuan kerajaan Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) membatalkan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi tahun lepas.

Saman tersebut difail pada Julai 2011 oleh tiga penduduk Kelantan, Wong Meng Yit, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa dan Gan Han Chuan.

Mereka dikatakan mendapat sokongan padu MCA ketika memfail saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, begitu juga dalam isu hudud kenyataan pemimpin MCA sejak dari awal lagi secara jelas menolak.

“Buktinya banyak kenyataan dibuat pemimpin MCA terutamanya presidennya sekarang yang mempertikaikan hudud. Mungkin mereka langsung tidak diberi kefahaman oleh pemimpin Umno.

“Kalau hendak cari makan dengan Umno sekali pun janganlah pula mengeluarkan kenyataan sehingga boleh diketawakan orang kampung,” katanya yang Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian.

Abdullah dalam kenyataan disiarkan akhbar Umno hari ini mendakwa umat Islam diingatkan tidak menyokong DAP kerana ia adalah haram dan berdosa kerana menentang penubuhan negara Islam dan hudud.

Abdul Rahman berkata, rakyat Kelantan sudah lama mengenali siapa Haji Abdullah yang kini menggunakan ilmunya untuk mencari makan dengan Umno.

“Penduduk di Geting tahu siapa Haji Lah. Kenyataan yang dikeluarkan itu sudah jelas menggambarkan Umno benar-benar kepupusan idea untuk berdepan dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Artis PAS perlu terus berkarya

Abd Shukur Harun, 08 Ogs 2012
Menghadiri Seminar anjuran Pusat Penyelidikan PAS Pusat di Taman Melewar baru-baru ini untuk mendapatkan input para peserta bagi buku gagasan Negara Berkebajikan, saya merasakan ada usaha gigih pihak PAS untuk melengkapkan kandungan gagasan tersebut.
Gagasan Negara Negara Berkebajikan ini tentunya diharapkan menjadi dukumen penting untuk di ketengahkan kepada rakyat bahawa inilah program PAS jika berkuasa. Dokumen tersebut menyentuh seluruh aspek kehidupan – ekonomi, pendidikan, khidmat sosial dan segalanya. Malah diberikan fokus kepada aspek kesenian dan kebudayaan yang bermoral tinggi.

Pada pendapat saya bahawa Negara Berkebajikan yang dijanjikan oleh PAS ini adalah implimentasi dari karengka besar Negara Islam itu sendiri. Ini bermakna, konsep Negara Berkebajikan itu adalah wajah dan praktik dari Negara Islam. Dengan itu, saya kira, terjawab dan tertolaklah fitnah dari musuh politik PAS dan mereka yang keliru, kononnya, PAS sudah tidak memperjuangkan Negara Islam.

Namun penerangan yang jelas, mudah, terperinci dan menyeluruh kepada rakyat sewajarnya dilakukan oleh PAS selama ini supaya kekeliruan dapat dikurangkan dan dapat menjawab fitnah.

Dalam seminar sehari itu perbincangan oleh peserta memberikan input baru atau tambahan kepada dokumen Negara Berkebajikan yang telah dibukukan tidak lama dulu.

Perbincangan wacana atau hari hari itu ialah mengenai Isu Perumahan Awam dan Penyelesaiannya oleh Prof. Datuk Dr. Nik Muhamad Zain Nik Yusuf, mantan Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi. Juga pembentangan ‘Sistem Percukaian Di Malaysia – Suatu Penilaian dengan panel pembicaranya – Dr. Khairuddin Aman At-Takiri, Dr. Rosli Yaakop dan Dr. Dzulkefly Ahmad.

Saya hendak mendengar wacana seterusnya di seminar tersebut atas tajuk ‘Huburan Dikalangan Anak Muda’ oleh Dato’ Fattah Mahmood, Ustaz Firdaus Jaafar dan artis Cik Farah Asyikin Zulkifli. Hadir sama di atas pentas ialah Bob Lokman. Semua mereka memberikan pandangan.

Namun setelah mendengarnya, ternyata yang dibincangkan ialah lebih banyak kepada perihal implimentasi penguatkuasaan kepada panduan persembahan hiburan negeri-negeri berkenaan. Tentunya ini boleh dijadikan input kepada Negara Berkebajikan. Biasalah ia mengundang pelbagai pandangan yang berulang-ulang sejak dulu lagi, di mana Kelantan dan juga Kedah sudahpun menyediakan garis panduannya. Dengan itu tidak perlulah saya bincangkan lagi.

Dalam seminar itu, saya mewakili Semiman Paksi Rakyat (Paksi) yang memberikan pandangan bahawa PAS/Pakatan Rakyat - seperti yang pernah disebutkan oleh Dinsman – sewajarnya mengambil inisiatif mengenengahkan aktivti seni yang tidak negatif sebagai alternatifnya.

Di sinilah sepatutnya PAS/Pakatan Rakyat bukan saja menggalakkan kegiatan seni budaya yang bermoral tinggi, tetapi juga memberi sokongan dan bantuan kepada penggiat seni alternatif ini. Ertinya PAS/Pakatan Rakyat perlu menyediakan ruang luas untuk seniman melahirkan karya alternatif dan ini mesti difikirkan secara serius, bukan sebagai selingan agenda saja.

Jika PAS/Pakatan Rakyat tidak serius menangani aspek seni budaya ini bermakna ia memandang sepi kegiatan yang boleh menarik perhatian pengundi, terutama pengundi muda dan ini sangat merugikan.

Pada pendapat saya, dengan kemasukan berepa atis atau penggiat seni ke dalam PAS adalah petanda yang sangat menarik. Oleh itu biarkanlah para karyawan itu meneruskan kegiatannya, malah menyedia ruang luas dan melindunginya. Yang perlu ialah pendedahan kepada mereka terhadap yang seni yang bagaimana dikehendaki Islam.

Biarkanlah yang berlakon itu terus berlakon, yang menulis skrip teater dan lagu meneruskan karya mereka. Di sini ada ketentuan umum, terutama dari para ulama, bahawa wanita dilarang menyanyi di khalayak ramai, kerana dikhuatir suara dan gaya mereka akan mengungdang hal-hal yang dilarang agama.

Dengan Kelantan kini membenarkan muslimat menyertai tilawah Al-Quran, timbul pertanyaan, tidak mungkinkah wanita juga boleh menyanyi seperti lagu-lagu patriotik dan nasihat seperti ‘Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu’, ‘Bahtera Merdeka’ oleh Aishah, malah lagu ‘Selimut Putih’ El-Suraya dari Medah menjadi lagu popular suatu masa dulu. Ia bukan saja di dengar oleh orang biasa, malah oleh sesetengah agamawan sendiri.

Tentu saja ada pertanyaan, bagaimana jika Aishah terus menyanyikan lagu berunsur dakwah dan pendidikan. Masyarakat sedang menunggu jawapan terhadap persoalan ini.

Kini juga tentunya, ramai para penggubah dan penulis lirik yang menjadi ahli dan penyokong PAS. Bob Lokman boleh terus menggubah lagu, menulis lirik, menyanyi dan berlakon. Begitu juga Abby Abadi, Hairie Othman dan lain-lain boleh meneruskan karya mereka.

Di sini tidak perlulah para artis naik ke pentas untuk berceramah politik, justeru adalah wajar mereka melaksanakan peranan mereka di bidang seni. Namun jika berminat juga, maka tidak mengapalah.

Teater dakwah seperti ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ karya Dinsman telah mendapat sambutan baik ketika dipentaskan dipelbagai tempat, termasuk belasan masjid di seluruh negara. Gisikan biola telah dibenarkan oleh Dato’ Dr. Haron Din untuk mengiringi teater ini ketika dipentaskan di masjid di Bangi, bersebelahan dengan pusat rawatan Darul-Syifa Dato’ Dr. Haron Din.

Saya percaya banyak lagi para seniman yang berbakat besar di dalam PAS boleh terus melahirkan karya mereka dan di sinilah sekali lagi saya katakan peranan Lajnah Seni Budaya mendepani persoalan ini amat penting.

Perlu diingat bahawa dengan sifat Islam yang syumul, sempurna dan anjal –tidak hanya mengandungi hukum hakam dan usuludin – tetapi juga meliputi seluruh kehidupan insan. Alangklah baiknya jika sifat Islam ini bukan saja diterima dan dimengertikan, tetapi juga dilaksanakan.

Tiada ulasan: