Jumaat, 17 Ogos 2012

APA YANG TAK GUNA...JANJI MENANG..KEMENANGAN SEMUA ORANG MAHU...ORANG TAK MAU KALAH...BEGIU JUGA SYURGA SEMUA MAHU...WALAUPUN AMALAN YANG BUAT AMALAN SYAITAN

Ruang maya bagai mimpi buruk buat pemerintah

Mohd Yusof Hadhari,
Kita semua pasti bersetuju bahawa ruang maya dengan politik di ruang nyata sangat hubungan rapat, saling bergantung, serta berkesalingan. Masing-masing pemimpin menerangkan tindakan mengawal atau mengganggu dan mengguna ruang tersebut demi mempertahankan kelangsungan sesebuah parti sebagai pemerintah. Melihat kepada pemerintah Iran yang memberikan alasan biasa iaitu ‘keselamatan negara’ demi mengabsahkan tindakan pemerintah yang mengawal ketat ruang maya. Tindakan kawalan dilakukan sejurus kemunculan Revolusi Hijau yang dilakukan tanpa keganasan. Kemunculannya akibat daripada rakyat Iran yang yakin telah berlaku penipuan semasa Pilihan Raya Presiden pada Jun 2009. Sebagaimana kebanyakan negara-negara pengamal autokrasi, pemerintah Iran mengawal ketat bahkan mencegah media konvensional seperti akhbar bercetak, radio dan televisyen daripada membuat liputan ke atas peristiwa itu.

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya, bagi saya hubungan berkesalingan ruang maya dengan politik Malaysia di ruang nyata bermula selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim daripada semua jawatan parti dan politik. Rakyat Malaysia juga tidak pernah menikmati kebebasan bersuara seperti rakyat di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Kebebasan bersuara sebagai suatu konsep politik di Malaysia diperkenalkan oleh bekas penjajah British dan mereka juga bertanggungjawab memperkenalkan peruntukan undang-undang yang membataskan kebebasan tersebut. Selepas merdeka, atas alasan dan justifikasi mencegah ketegangan kaum pemerintah Malaysia telah meningkatkan cengkaman menerusi undang-undang apabila memperkenalkan pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960), Akta Rahsia Rasmi (1972), Akta Hasutan (1948), Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (1984) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971).

Disebabkan terhadnya peluang politik di ruang nyata, ia menyebabkan para reformis memilih untuk memanipulasi ruang nyata yang tidak dikongkong. Kebelakangan ini lanskap politik di Timur Tengah disamakan oleh parti pembangkang dengan keadaan politik negara dan ini tidak disenangi oleh BN sehingga menyebabkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim mengugut untuk menggunakan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi mendakwa pihak pembangkang.

Menurut Dato’ Seri Utama Dr Rais lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Polis DiRaja Malaysia dan agensi yang berkaitan akan memantau laman sosial Facebook, sistem pesanan ringkas dan media alternatif yang lain (Berita Harian, 6 Mac 2011). Menteri Dalam Negeri pula, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein pula menjelaskan pemerintah boleh bertindak menurut peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) (Berita Harian, 6 Mac 2011). Sebelum itu, dalam persidangan Dewan Negara 3 Ogos 2010, Dato’ Seri Utama Dr Rais menegaskan kesemua jenis kandungan di ruang maya adalah tertakluk kepada empat akta iaitu Akta Hasutan (1948), Kanun Keseksaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Utusan Melayu, 8 Mac 2011).

Baru-baru ini kita mula di perkenalkan pula dengan Seksyen 114 A, “Andaian Fakta dalam Penerbitan”, merupakan pindaan terbaru terhadap Akta Keterangan 1950. Pindaan tersebut yang diluluskan Dewan Rakyat tanpa didebatkan terlebih dahulu pada 18 April 2012 dan melalui Dewan Negara pada 9 Mei 2012. Seksyen 114 A, yang boleh diguna pakai dalam kes jenayah dan juga sivil, mengandaikan bahawa pemilik, pengendali, hos, editor, pelanggan sesebuah rangkaian atau laman web, atau pemilik komputer atau peralatan mudah alih dianggap bertanggungjawab menyiarkan atau mengulangsiarkan isi kandungan yang terdapat pada rangkaian, laman web atau peralatan terbabit.

Pelaksanaan Seksyen 114 A mempunyai kesan yang luas terhadap setiap pengguna internet yang meliputi pelbagai platform seperti emel dan media sosial. Pindaan ini awal-awal lagi telah meletakkan kesalahan ke atas individu yang memiliki laman web atau peralatan yang mana kenyataan atau isi kandungan berunsur hasutan tersiar. Di bawah Seksyen 114 A, individu atau organisasi yang mengendali, menyelia atau menyediakan ruang untuk forum, blog atau perkhidmatan pengehosan web adalah bertanggungjawab terhadap segala kandungan yang terdapat dalam perkhidmatan terbabit. Mereka juga bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan oleh pihak lain yang menyamar menggunakan identiti mereka di internet. Hasilnya, Seksyen ini mengancam kebebasan bersuara di internet, serta mengancam prinsip asas keadilan, demokrasi dan hak asasi manusia.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh parti pemerintah untuk memastikan mereka terus berkuasa. Setelah lebih 15 tahun pertapakan ruang maya di Malaysia, dan rakyat sudah mula menjadikan ruang maya sebagai sumber maklumat dan melontarkan pandangan untuk kebaikan negara tetapi hari ini ruang itu mula di sekat. Seksyen 114 A  mengundang kemarahan majoriti rakyat kepada pemerintah di sebabkan hanya ruang maya sahaja dapat di gunakan untuk rakyat bersuara selain demontrasi yang sering di sembur gas pemedih mata dan dihujani bom asap. Namun, “ganggu” didapati bukan lagi trend terkini dalam pengurusan ruang maya. Justeru, memfokus kepada “guna” menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, fokus dijangkakan bakal membawa faedah besar kepada parti pemerintah. Oleh itu, ruang maya boleh dikenalpasti sebagai peluang dan bukan ancaman. Rakyat mahukan pemerintah di kalangan orang yang berani.

Mohd Yusof Hadhari
Mantan Ketua Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)

Hudud Umno sudah mati

Subky Latif, 17 Ogs 2012
Percubaan Adun Umno Johor menyarankan supaya kerajaan BN Johor melaksakan hudud mendapat sambutan panas sekejap dan cadangan Ulama Muda Umno supaya Umno ada sayap ulama juga panas sekejap.

Panas sekejap dalam peribahasa Melayu ialah panas-panas tahi ayam.
Sekarang hudud anjuran ahli Umno sudah mati dan seruan mengadakan Majlis  Ulama atau seumpanya buat UMNO juga sudah mati.

Semuanya tenggelam dalam polemik hudud yang dicadangkan oleh PAS yang diloyar-burukkan oleh Umno sebagai hudud PAS dan hudud PAS adalah hudud palsu. Para pemimpin menolak dan tidak memberi laluan kepada enakmen berkaitan hudud yang diluluskan di Kelantan  dan Terengganu kerana loyar buruknya mengira ia hudud palsu.

Loyar buruk itu sekadar helah bahawa golongan itu amat nipis imannya terhadap hudud. Bila ditanya adalah orang Umno menentang hudud, jawapannya tidak. Mereka pun mahu hudud.

Barang dijauhkan ia menyerupai orang yang solat di belakang Rasulullah SAW di Masjid Nabawi, yang mengaku beriman di hadapan baginda, tetapi menolak kerasulan baginda  di belakangnya.

Ketika ADUN Johor itu menyarankan hal itu, beria-ia Umno menyahutnya untuk beberapa hari, tetapi seluruh jentera propaganda Umno Melaka-laga PAS dengan DAP atas isu hudud itu.

Hingga ada yang cuba mensabitkan tentangan DAP terhadap hudud itu malayakkannya dikatagorikan sebagai kafir harbi, lalu dikatakan haram hukumnya mengundi, menyokong dan bekerjasama dengan DAP.

Jika dilanjutkan lagi tentang kafir harbi, halal darahnya ditumpahkan.

Apa maksud segala perkembangan panas ini? Ia adalah untuk mematikan isu orang Umno minta hudud dilaksanakan dan ada ulama makan gaji dengannya minta Umno ada sayap ulama.

Apabila semuanya gamat dengan apa yang dikatakan polemik hudud antara PAS dan DAP, maka isu hudud yang dibawa PAS terus hidup menjadi perbincangan semua pihak.

Cadangan Adun Johor itu tenggelam dan mati. Maka Umno tidak sibuk lagi dengan hudud yang dikatakan hudud sebenar itu.

Yang timbul di tengah masyarakat ssekarang, yang benar-benar memperjuangkan hudud itu adalah PAS. Walaupun sekiranya Umno pula mati selepas PRU 13 nanti, tidak pula mudah bagi PAS melaksanakan hudud itu serta merta, kerana ia memerlukan kerelaan DAP dulu, tetapi isu tidak mati.

Mungkin PAS akan mengambil masa 20 tahun atau 30  tahun sebelum DAP mempersetujui ia boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam saja, tetapi dakwah  atas hudud itu akan berjalan.

Mungkin Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang mati dulu, Karpal Singh dan Lim Kit Siang juga mati  dulu, isu hudud belum selesai, tetapi tidak boleh orang PAS yang kemudiannya berputus asa atas pelaksanaan itu.

Dalam suasana kedua-dua parti itu berbeza pandangan atas isu itu, Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Hadi memahami mengapa DAP bersikap begitu dan Lim Kit Siang dan Karpal juga memahami mengapa PAS konsisten dengan pendiriannya. Dengan satu perkara yang mereka tidak setuju tidak menghalang mereka untuk bersetuju dalam banyak pekara lain.

Sehingga ini Karpal dan DAP tidak melarang PAS terus berdakwah tentang hudud dan mahu melaksanakan hudud. Paling menarik dalam perkembangan yanag terbaru Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik Setiausaha Agung DAP menyatakan DAP membuka pintu muzakarah dengan PAS tentang hudud.

Semua ini adalah perkembangan antara orang muda DAP dan orang muda PAS. Kedua-dua akan hidup lama lagi dan mereka ada tanggungjawab membangunkan negara dan bangsa Malaysia menuju ambang keadilan, merdeka dan sejahtera.

Hudud yang dibawa PAS tetap hidup tetapi yang mati hudud yang dicadangkan oleh Adun Umno.

'Fatwa' kafir harbi bukti Umno guna agama untuk politik

Muhammad Faizal, 16 Ogs 2012
SHAH ALAM: PAS Selangor bertegas bahawa Umno sudah tidak bopleh dijadikan tempat bergantung umat Islam yang cintakan kepada agamanya.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman berkata, Umno sepatutnya sebagai sebuah parti pemerintah harus membuat penjelasan secara konsisten tentang Islam agar difahami oleh semua termasuk bukan Islam.

Namun malangnya, Umno lebih gemar mengelirukan rakyat dengan fatwa songsang mereka termasuk terbaru menggelar DAP sebagai kafir harbi.

"Tindakan Umno yang berdiam diri setelah fatwa 'kafir harbi' menunjukan mereka tidak serius untuk memartabatkan Islam, melainkan untuk politik mereka sahaja," jelasnya pada sidang media di Pejabat PAS di sini.

Timbalan Persuruhjaya PAS II Selangor, Sallehen Mukhyi pula berkata, agama digunakan Umno hanya untuk kepentingan politik mereka sahaja termasuk mengexploitasi ahli agama mengeluarkan fatwa-fatwa yang jeles meleset.

"PAS Negeri berpendapat bahawa amatlah perlu umat Islam kembali kepada asas-asas agama Islam termasuk dalam persoalan politik.

"ini penting untuk mengatasi kekeliruan yang dihasilkan oleh golongan yang ingin memutar belitkan ajaran Islam demi kepentingan politik mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor, Khalid Abd Samad memberitahu istilah kafir harbi merupakan istilah yang cukup bahaya kerana ia seperti menghalalkan darah golongan yang digelar itu.

"Umno sendiri sentiasa mengapi-apikan rakyat negara ini dengan fahaman perkauman yang menebal serta bercanggah dengan ajaran Islam yang meminta keharmonian kaum itu perlu diutamakan.

"Tindakan seperti ini menimbulkan kekeliruan kepada seluruh rakyat serta kegagalan Umno menaikkan syariat Islam di negara ini," jelas Khalid.

Pelajar agama aktif aktiviti masyarakat - BSM

Mohd Nor Yahya, 16 Ogs 2012

BACHOK: Lebih 40 sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (Yik) mempunyai Persatuan Bulan Sabit Merah (BSM) dan aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Keaktifan dan penyertaan yang begitu menggalakkan pelajar-pelajar sekolah agama menyebabkan BSM menubuh Cabang Yik yang dipengerusikan Nazari Mohd Noor.

Nazari yang juga seorang pegawai di Yik berkata, mengambil kira peranan aktif sekolah agama menyebabkan tahun ini BSM Kebangsaan dan BSM Kelantan menganjurkan program khidmat sosial dan berbuka puasa di Maahad Amir Indra Petra.

“Pemilihan Maahad Amir Indra Petra dibuat selepas mengambil kira kesungguhan pelajar sekolah berkenaan menyertai badan berpakaian seragam Bulan Sabit Merah,” katanya ketika ditemui di majlis berkenaan baru-baru ini.

Turut diraikan di majlis terbabit ibu bapa pelajar. Hadir sama Setiausaha Agung BSM Kebangsaan, Datuk Nordin Razak, Pengerusi BSM Kelantan, Wan Ali Wan Ahmad, Timbalan Pengerusi, Dr Seri Buana Zainuddin dan Naib Pengerusi, Tuan Ghazali Tuan Long.

Nazari juga berkata, sekolah Yik menjadi juara pada perkhemahan perdana peringkat negeri baru-baru ini. Seorang peserta lelaki juga dipilih sebagai peserta terbaik.

Sementara itu Nordin berkata, program khidmat sosial BSM merupakan aktiviti tahunan di peringkat kebangsaan.

“Pemilihan sekolah Yayasan Islam Kelantan merupakan satu penghormatan yang tinggi dan ia juga selari dengan penubuhan BSM Cabang YIK,” ujarnya di majlis berkenaan.

Sempena program tersebut seramai 50 pelajar miskin menerima sumbangan kewangan yang didermakan tokoh-tokoh korporat dan bantuan zakat.

Teka teki di kerusi Parlimen Bachok

http://msomelayu.blogspot.com, 17 Ogs 2012
JELANG IMSAK

Kedudukan kerusi parlimen Bachok masih menjadi teka teki apakah ianya akan ditandingi oleh Pas atau PKR. Persoalan ini timbul apabila PKR Kelantan dikatakan telah mengemukakan formula cadangan agar kerusi parlimen Machang yang kini dimilikinya ditukar dengan Bachok. Bachok adalah kerusi Pas.

Katanya PKR Kelantan telah menghantar surat cadangan itu kepada Perhubungan Pas negeri menjelang puasa lalu yang mengusulkan perkara itu. Tetapi sampai sekarang ini surat cadangan itu belum mendapat apa-apa tindak balas dari Pas.
Ariffin Mahmod atau Pin Atira.

Cadangan itu adalah dalam menyelesaikan masalah PKR Kelantan. Kedudukan kerusi Machang yang kini disandang oleh Saifuddin Nasution Ismail tidak begitu selesa. Perkara ini jelas kalau Machang selesa atau tidak hadapi apa-apa masalah tidak mungkin akan timbul idea berkenaan.

Tindakan itu wajar untuk mencari kemenangan. Tidak ada guna PKR bermegah dengan memiliki (bertanding di banyak kerusi) tetapi kalah. Lebih baik PKR menumpukan kepada kerusi atau kawasan yang boleh menang walaupun bertanding hanya satu dua kerusi sahaja. Yang penting dalam soal ini ialah kemenangan.

Mengenai Machang ada juga alasan lain mengatakan PKR tidak mampu bertahan apabila wakil rakyat kini Saifuddin akan dibawa bertanding di Kedah. Kalau bukan Saifuddin sukar untuk PKR menang di situ. Masalah dihadapi PKR di Machang ialah parti itu tidak ada calon yang boleh mengganti Saifuddin. Masalah lain katanya Pas tidak memberi kerjasama sepenuhnya kepada PKR?

Sebagai penyelesaian atau mengatasi masalah maka kawasan baru sebagai ganti dicari. Kawasan itu ialah Bachok. Bagi PKR mereka ada alasan sendiri kenapa memilih Bachok bukan kawasan lain. Kononnya di situ PKR ada calonnya yang juga mampu untuk berdepan dengan Awang Adek Husein. Orang itu ialah bekas ketua pemuda Umno Bachok di zaman Ahmad Zahid Hamidi menjadi ketua, iaitu Zaiyadi Awang Noh.

Memang Zaiyadi layak dan sesuai untuk berdepan dengan Awang Adek memandang beliau mempunyai keluarga besar dan juga mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Tetapi masalahnya yang menjadi persoalan Zaiyadi bukan ahli PKR. Apabila cadangan untuk meletakkan Zaiyadi yang masih belum menjadi ahli PKR dan masih Umno maka banyaklah protes dan suara-suara yang kurang sedap diperkatakan termasuk pemilihan Zaiyadi itu berdasarkan kroni? Kalau benar Zaiyadi bersedia untuk jadi calon di situ kesilapannya beliau ialah kerana tidak sedia mengambil risiko meninggalkan Umno awal-awal.

Semasa majlis berbuka puasa dengan para pemimpin Pas di Shah Alam dua minggu lepas saya ada merisik perkara ini - cadangan PKR itu, kepada beberapa orang pimpinan Pas Bachok termasuk Yang Dipertuanya sendiri Omar Mohammad. Menurutnya Omar tidak timbul soal Bahcok hendak ditukar ganti dengan Machang. Setakat ini katanya tidak ada perbincangan apa-apa.

Walaupun Adun Perupok itu ada mendengar desas desus itu tetapi belum ada kata putus dan Pas kawasan Bachok sendiri tidak membincangkannya. Begitu juga bila dirisik dengan bekas wakil rakyat Bachok Wan Nik Wan Yusuf yang juga pengarah pilihan raya Pas Kelantan, menurutnya perkara itu tidak timbul. "Tidak ada," katanya sambil menggeleng kepala tiga kali.

Cadangan PKR itu juga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pemuda Pas Bachok kerana mereka juga ada calon untuk diletakkan di kerusi parlimen itu. Ketuanya Marzub Shaari dikatakan berkelayakan untuk diletak berdepan dengan Awang Adek. Sudah pasti apabila pemuda menayangkan calonnya, formula pertukaran itu tidak mendapat sokongan semua pihak.

Sementara itu di dalam membicarakan siapa atau parti mana akan berhadapan dengan Awang Adek timbul satu nama lain yang dikira sepadan kalau diadukan dengan Awang Adek. Sosok itu ialah Ariffin Mahmood atau lebih dikenali dengan Ariffin Atira. Beliau seorang pemaju pembangunan yang berjaya di Kelantan dan banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada Pas secara tersembunyi.

Mungkin nama Ariffin ditonjol kerana latar belakang dan kejayaan dalam bidang pembangunan serta pengalamannya yang agak luas dalam aspek ekonomi. Walaupun dia bukan anak Bachok tetapi kalau Pas mahukan seorang yang setanding dengan Awang Adek dalam aspek profesional Ariffin dikira layak. Kelulusan dalam bidang pembangunan dan perancangan bandar dimilikinya juga memungkin kenapa beliau cuba ditonjolkan untuk berdepan dengan Awang Adek. Tetapi saya kira penjualan nama Ariffin ini sebagai test merket saja.

Bagaimana pun nama ini boleh diambil kira oleh Pas Bachok dan juga Pas Kelantan sendiri sekiranya Pas Bachok merasakan beberapa nama yang disenaraikan tidak berapa 'rak' (berdaya) nuntuk berdepan dengan Awang Adek. Beliau juga dilihat sebagai sangat berminat untuk memperhambakan diri dalam politik.

Di sudut lain Ariffin juga dikatakan mempunyai sumber kewangan yang cukup bagi berdepan dengan timbalan menteri kewangan itu? Dan keistimewaan lain yang ada kepadanya, Ariffin boleh bukan saja menyumbang harta benda tetapi buah fikirannya terutama mengenai pembangunan ekonomi untuk Kelantan. [wm.kl.5:45 am 17/08/12]

Ladang Rakyat terima mohon maaf Kickdefella

Mohd Nor Yahya, 17 Ogs 2012
KOTA BHARU: Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan (PPLRK) telah menerima permohonan maaf secara rasmi dari penulis buku “Ladang Rakyat, Ladang Airmata Rakyat“ yang dikatakan mengandungi beberapa fakta yang salah dan telah menyebabkan reputasi Ladang Rakyat terjejas.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPLRK, Dr. Nazmi Ghazali Azmi, permohonan maaf yang dipohon oleh Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdifella) dan syarikat penerbit buku tersebut Wadah Bakat Sdn Bhd itu membuktikan segala unsur-unsur negatif yang cuba dibawa oleh penulis buku tersebut telah berjaya disekat dari disebarkan kepada masyarakat secara meluas.

(Gambar: Dr Nazmi menunjukkan surat permohonan maaf yang diterima daripada Kickdefella.)
“Alhamdulillah setakat ini kita telah berjaya mengesan pengedaran buku tersebut dan Syed Azidi telah berjanji untuk berusaha menyekat pengedaran buku itu, kita difahamkan buku itu ditulis oleh beliau untuk disebarkan pada perhimpunan agung Umno dulu.

“ Ladang Rakyat kini boleh menarik nafas lega kerana permohonan maaf yang dibuat di mahkamah pada 12. Ogos lalu dari Syed Azidi atau Kickdefella itu telah dapat mengangkat kembali reputasi Ladang Rakyat dan saya juga menyeru orang ramai yang memiliki buku itu agar tidak mempercayai isi kandungannya,“ ujar beliau lagi.

Nazmi juga berkata Syed Azidi juga telah menyedari terdapat beberapa elemen yang tidak mempunyai fakta-fakta tepat terhadap pihak Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat dalam buku tersebut dan menyesali terhadap kekeliruan apa yang ditulis dalam buku itu.

Mengapa ramai mengelak berzakat?

Ahmad Lutfi Othman, 17 Ogs 2012
Harakah kali ini merupakan edisi terakhir penghujung Ramadan. Ia berada di pasaran (Khamis) tiga  hari sebelum Aidilfitri. Pastinya suasana sudah berubah. Kemeriahan hari raya terasa di mana-mana. Mungkin ramai sudah pulang ke kampung halaman atau masih sibuk membuat persiapan terakhir.

Tiga hari, jika dikira bermula pagi Khamis ini sehingga senja Sabtu nanti, bermakna masih berbaki lebih kurang 60 jam untuk kita menghirup dan menikmati Ramadan yang agung. Sambil bermuhasabah bagaimana 26 hari yang berlalu telah dimanfaatkan (ataupun dibazirkan), kita tidak sepatutnya lalai dengan kesempatan yang masih ada. Rebutlah peluang yang belum pasti dapat kita dakap lagi tahun depan.

Soalnya, tentulah sukar dan sulit sekali kita memberikan tumpuan untuk beribadah setulusnya ketika perhatian lebih difokuskan kepada karenah menyambut Aidilfitri. Di malam-malam akhir Ramadan, yang menjanjikan "pembebasan daripada api neraka" ini, mungkin ramai yang terpaksa berasak-asak di perhentian bas dan stesen keretapi untuk pulang ke kampung. Tidak kurang juga yang menghabiskan malam sepanjang lebuh raya, kadang-kadang terpaksa mengharungi kesesakan.

Teringat saya kehidupan berkaca semasa di kampus, hampir 30 tahun lalu. Ada rakan yang cukup sensitif menjaga malam-malam akhir Ramadan, yang terselit saat-saat penuh kemuliaan, Lailatulqadar.

Sepanjang lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), rakan saya itu hanya menempah tiket untuk perjalanan siang hari untuk pulang ke desa, di Kedah. "Tak sanggup aku tidur lena di atas bas pada malam yang orang lain khusyuk sujud menyembah Ilahi, beriktikaf di masjid dan bertadarus," katanya.

Ada juga sahabat saya yang "beruzlah" dua tiga hari sebelum Syawal, khususnya untuk khatam al-Quran dan menekuni maksud ayat-ayat suci. Seorang daripadanya, pada siang terakhir Ramadan, berteleku mencapai sasaran, untuk menghabiskan bacaan al-Quran, untuk "pusingan" kedua. Saya masih ingat, pada siang 30 Ramadan itu, dia dapat menyelesaikan 11 juzuk terakhir.

Amalan berpuasa tidak dapat lari daripada kita terpanggil untuk mengingati, malah merasai, penderitaan orang susah terbiar. Namun, melihat riuh-rendah bazar Ramadan dan seribu satu menu juadah berbuka di hotel-hotel, saya tidak pasti apakah sebahagian besar kita terhimbau keprihatinan terhadap golongan melarat dan terpinggir, saudara seaqidah, dalam dan luar negara?

Ramadan juga mengingatkan kita tentang ibadah zakat. Pastinya zakat fitrah akan ditunaikan sebaik mungkin, soalnya bagaimana dengan kewajipan zakat berkaitan profesion masing-masing?

Sebagai anak daripada keluarga petani, saya melihat para pesawah cukup cermat dan berusaha untuk melayakkan diri sebagai pembayar zakat. Tiada tanda-tanda mereka cuba mencari helah untuk mengelak daripada zakat, meskipun sebahagian besar mereka masih diserkup kemiskinan. Ya, sebahagiannya wajar menerima zakat tetapi tidak "mencari helah" untuk mengelak kewajipan rukun Islam.

Seingat saya, walaupun ada pengiraan kadar zakat yang lebih "lunak" untuk bendang yang terpaksa menggunakan pam untuk saliran (5 peratus), namun mereka tetap memilih pengiraan "kaedah air hujan" (10 peratus), walaupun menyedari zakat yang perlu dikeluarkan adalah dua kali ganda lebih tinggi. Langsung tidak terasa beban untuk "membersihkan (tazkiyah) harta" mereka itu meskipun kadar zakatnya 10 peratus langsung daripada produktiviti, dan bukannya keuntungan.

Saya tidak pasti dengan ketulusan berzakat bagi orang yang berkerjaya lebih lumayan (dan profesional), walaupun kadarnya hanya 2.5 peratus, itu pun selepas ditolak perbelanjaan tertentu. Apakah ramai di antara kita menyedari -- dengan sungguh-sungguh - bahawa dalam harta kekayaan kita  itu ada hak bagi golongan fakir dan miskin.

Alhamdulillah kesedaran berzakat semakin meningkat. Dahulu, mungkin kita mendengar ada wanita yang jahil tentang kewajipan zakat emas, sengaja memakai perhiasan berkenaan untuk tempoh tertentu bagi mengelak tuntutan zakat. Moral cerita itu adalah, berbeda dengan ibadah lain, misalnya haji, ramai yang mungkin mempunyai "taktik licik" untuk mengelak daripada menunaikan zakat, termasuk bagi zakat simpanan wang, terutama untuk membatalkan tempoh haul atau cukup setahun.

"Mengapa kita bersusah-payah menyimpan duit, bertahun-tahun, untuk melayakkan diri bagi menunaikan haji, tetapi amat sedikit yang berbuat demikian bagi meningkatkan diri mencapai kedudukan sebagai pembayar zakat," tegur seorang rakan, pensyarah pengajian Islam.

Isu zakat juga menyentuh soal integriti institusi pengumpul zakat, khasnya daripada segi kejujuran dan agihannya. Saya tidak mahu menyentuh lebih dalam hal berkenaan. Semoga, dalam amalan di Malaysia, tiada sebarang "salah laku"  berkaitan dengannya.

Dalam pada itu, saya begitu tertarik dengan tulisan kata pengantar penerbit buku "Bersedekahlah dan Tunggu Keajaiban yang Akan Terjadi", tulisan Abu Ahmad Abdul Fattah.

Antaranya, ditekankan bahawa membela orang miskin dan melarat adalah perintah agama, sehingga al-Quran melabelkan "pembohong atau pendusta" bagi mereka yang tidak mempedulikan orang miskin dan anak yatim (al-Maun: 1-3). Ketika Allah berbicara tentang kenikmatan syurga kepada penghuninya, Ia menjelaskan hadiah itu kerana, "Dahulu mereka gemar memberi makan orang miskin, anak yatim dan para tawanan" (al-Insan: 8).

Salam Aidilfitri, maaf zahir batin. Juga ribuan terima kasih kepada penderma yang budiman, yang banyak menyumbang khususnya untuk tabung membantu keluarga tahanan ISA dan golongan fakir miskin, yang dianjurkan Jabatan Pengarang Harakah.

Aidilfitri: BN digesa ketepikan dendam politik

Muhamad Yusri Amin, 17 Ogs 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) hendaklah mengenepikan dendam politik terhadap rakyat Kelantan dengan mengambil kira semangat Aidilfitri yang bakal menjelang.

Anak-anak muda mahu kerajaan persekutuan mengutamakan kepentingan rakyat termasuk membina lebuh raya Kota Bharu-Gua Musang sebagai melengkapkan komitmen kerajaan negeri merancang Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai.

Setiausaha Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (R), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, sudah sampai masanya kerajaan pusat tidak lagi mengamalkan politik sempit sehingga menyusahkan rakyat.

Lagi pun katanya, hak rakyat untuk mendapatkan lebuh raya sebagaimana negeri-negeri lain dinafikan sejak 1985.

“Banyak kemalangan yang berlaku di Kelantan kemungkinannya berpunca jalan yang sempit tidak mampu menampung pertambahan kenderaan terutamanya di musim perayaan sekarang.

“Terbaru tragedi 10 kakitangan kerajaan nyaris maut apabila bas yang mereka naiki terhumbang ke dalam cerun di kilometer 57 jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Sungai Lakit, Gua Musang, awal pagi semalam,” katanya di sini.

Beliau ditemui pemberita selepas mengagihkan 2,000 keping sampul duit raya kepada wakil-wakil setiap Parlimen di Kelantan di sebuah pasar raya petang semalam.

Hisyamuddin juga berharap kerajaan pusat segera menunaikan tuntutan pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

“Berikan royalti dan bina lebuh raya di negeri ini kerana adalah hak rakyat Kelantan yang diabaikan sejak sekian lama,” ujarnya.

Menurutnya tunggakan royalti petroleum 5 peratus kepada Kelantan kini berjumlah RM7 bilion sejak 2005.

R juga turun padang mengagihkan sampul raya kepada kakitangan jabatan kerajaan, agensi kerajaan negeri, persekutuan, pasukan keselamatan dan  media cetak.

Penagihan secara percuma dilakukan di agensi pelancongan, hospital, badan bukan kerajaan, kedai runcit, pasar raya seluruh Kelantan, Pasar Borong Wakaf Che Yeh dan Tesesco.

Turut diedarkan di Qaryah Ramadhan dan masjid di seluruh Kelantan serta di semua pintu masuk utama Kelantan hari ini dan esok.

Tiada ulasan: