Rabu, 8 Ogos 2012

SEMUA JANGAN DIPOLITIK....HARI MERDEKA DLL...JANGAN PULA ESOK ORANG BERKEMPEN DITANDAS2...KEMUDIAN BERJAYA MENARIK ORANG RAMAI...TIMBUL PULA TANDAS JANGAN DIPOLITIKKAN...

Ku Li: Selesai segera isu royalti
Wartawan Sinar Harian
8 Ogos 2012
Logo Isu Royalti
Isu Royalti Minyak
SHAH ALAM - Tengku Razaleigh Hamzah berharap isu tuntutan royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan akan diselesaikan segera kerana ia bukan rumit dan tidak melibatkan Kerajaan Pusat.
Bekas Pengerusi Petronas berkata, isu berkenaan timbul hanya kerana Petronas tidak menunaikan hak Kerajan Negeri Kelantan seperti yang termaktub dalam perjanjian semasa Kelantan menyerahkan sepenuhnya hak milik Petroleum kepada syarikat minyak negara itu.
Beliau beberapa kali menekankan bahawa isu royalti lima peratus itu adalah antara Kerajaan Negeri dan Petronas.
"Jadi sekarang Petronas yang bertanggungjawab menyelesai perkara ini dengan kerajaan negeri, jadi tak berbangkit lagi soal pertikaian antara sesiapa pun cuma kelemahan Petronas kerana tidak membayar kepada kerajaan negeri," katanya dalam temu bual dengan Astro Awani hari ini.
Bekas Menteri Kewangan ini mengulas penubuhan Jawatankuasa Tuntutan Royalti Negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri, Sabtu lalu.
Jawatankuasa itu akan dianggotai wakil kerajaan Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan masing-masing. Ia akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Tengku Razaleigh juga berharap semua pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu dapat mencari penyelesaian yang terbaik demi kepentingan rakyat.
"Saya harap dengan ikhlaslah cuba selesaikan tuntutan rakyat ini kerana ini adalah hak dan milik mereka jadi kalau kita berlengah-lengah susahlah semua pihak dan saya percaya kerajaan mahu jawatnkuasa khas ini bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan perkara ini.
"Bagi saya kerjanya mudah sangat, rujuk balik kepada akta dan perjanjian itu saya rasa selesailah," katanya.
Beliau juga menyatakan kesediaan menawarkan khidmat nasihat sekiranya diminta oleh jawatankuasa berkenaan.
Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian tersebut dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 1975.
Dalam wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, beliau mahu kerajaan BN menyelesaikan isu royalti sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh membidas sikap pihak tertentu yang  didakwa suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak Negeri Kelantan.
Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam Facebooknya kelmarin mempersoalkan “Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?”
Beliau menghubungkan komen tersebut kepada muka hadapan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.
Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa tersebut.
Nik Aziz: Kami tak boikot panel, duit mahu cepat
ROSMIZA KASIM
8 Ogos 2012
Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan tidak sesekali akan memboikot penubuhan Jawatankuasa Bayaran Royalti sebaliknya meminta bayaran royalti, yang menjadi hak negeri itu, disegerakan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, setakat ini Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang untuk memboikot jawatankuasa yang diketuai, bekas Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad itu.

“Kita tidak boikot jawatankuasa ini, apa yang kita mahu duit ini diberikan kepada kita dan kalau boleh diberikan dengan cepat.

“Ini kerana harta itu adalah milik Kelantan, tidak perlu banyak bercakap, ia merupakan hak negeri ini,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau menyampaikan Surat Aku janji Projek Pembangunan Tanah Anak Muda Negeri Kelantan kepada enam penerima di Dewan Teratai di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.

Nik Aziz juga memberitahu, beliau sudah menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV berhubung perkara tersebut.
Semua negeri PR guna Sebangsa, Senegara, Sejiwa
NOOR AZURA SAHRIL
8 Ogos 2012
Mustafa Ali
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
SHAH ALAM – Kesemua empat negeri Pakatan Rakyat (PR) akan menggunakan tema Hari Kemerdekaan yang sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa walaupun semalam telah menetapkan tiga tema kemerdekaan berbeza bagi keempat-empat negeri ditadbir.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah bersetuju untuk bersama-sama menggunakan tema tersebut.

Beliau berkata, pada awalnya keputusan menggunakan tema berbeza atas dasar menghormati negeri-negeri yang telah menetapkan tema masing-masing.

“Sebelum ini, hanya Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Exco negeri Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum PR  membuat keputusan untuk menggunakan tema itu.

“Bagaimanapun Kedah dan Kelantan yang menggunakan tema berbeza akhirnya sepakat menggunakan tema yang sama,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, keputusan PR menggunakan tema tersebut kerana menentang tema 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Sebelum ini, PR mendesak Kerajaan Persekutuan supaya menukar tema Hari Kemerdekaan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati agar ia tidak mencerminkan Barisan Nasional (BN) semata-mata.

Kelmarin, PR menegaskan pendiriannya mahu menggunakan tema berbeza bagi negeri ditadbir mereka.

Tema sambutan Hari Kebangsaan bagi Kelantan ialah Menerajui Perubahan, Kedah memilih Terus Berbakti manakala Pulau Pinang dan Selangor berkongsi tema yang sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

Difahamkan, perbezaan tersebut adalah bukti semangat demokrasi masih hidup dalam PR kerana negeri-negeri diberikan kebebasan untuk memilih tema mereka sendiri.
Gerakan: Jangan politikkan sambutan merdeka
ROSNANI SAAD
8 Ogos 2012
Gerakan: Jangan politikkan sambutan merdeka
Keng Liang (kanan) menunjukkan tema sambutan Hari Kemerdekaan yang dipilih Kedah pada sidang media.
ALOR SETAR - Sambutan Hari Kemerdekaan tidak seharusnya dipolitikkan sehingga wujud empat tema termasuk tiga tema berlainan di negeri ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata, sepanjang lebih 50 tahun lalu, hanya satu tema yang digunakan untuk meraikan sambutan kemerdekaan negara, berbeza dengan situasi yang berlaku pada sambutan ke-55 tahun kali ini.

Menurutnya, Kerajaan Pusat menetapkan tema Janji Ditepati manakala di negeri ditadbir PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor memilih tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa; Kedah (55 Tahun Merdeka: Terus Berbakti) manakala Kelantan (Menerajui Perubahan).

"Ini merupakan peristiwa kali pertama dalam sejarah kemerdekaan negara, malah tiga tema berbeza di negeri PR menunjukkan mereka gagal memahami erti sebenar sambutan Hari Kemerdekaan, yang sebenarnya perlu disambut dalam suasana perpaduan.

"Kita perlu sedar negara tidak mungkin mencapai kemerdekaan jika tidak bersatu, jadi kenapa mahu menggunakan tema masing-masing demi agenda peribadi," katanya pada sidang media, hari ini.

Keng Liang berkata, kemerdekaan negara dicapai semua negeri di Semenanjung Malaysia secara serentak dan sambutan tidak bererti jika wujud tema berlainan, seakan-akan wujud taktik 'pecah dan tadbir' atau divide & rule seperti zaman penjajahan dahulu.

"Kepada pihak berkenaan, jangan ambil kesempatan memecah-belahkan rakyat dan kemudian memerintah negara.

"Justeru, saya berharap negeri di bawah PR, khususnya Kedah, dapat mengenepikan kepentingan politik dan menyambut Hari Kemerdekaan dengan satu tema, ini bukan pertandingan tema sambutan," katanya.

Menurutnya, belum terlewat untuk PR mengubah keputusan dan menukar tema sambutan Hari Kemerdekaan, dengan mengenepikan kepentingan politik. Jika kerajaan di Kedah mendakwa mengalami masalah kewangan untuk berbuat demikian, Pemuda Gerakan sedia membantu mencari tajaan dan sumbangan.

"Bukan susah untuk menukar tema, tidak perlu keluarkan wang untuk mencetak baru sebaliknya boleh ditampal sahaja pada perkataan sedia ada, memandangkan rekaan yang digunakan tidak jauh berbeza dengan Kerajaan Pusat," katanya.
Royalti hantar memo gesa Kelantan tolak jawatankuasa khas
Wartawan Sinar Harian
8 Ogos 2012
SHAH ALAM - Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (Royalti) mahu Kerajaan Negeri Kelantan menolak cadangan penubuhan Jawatankuasa Bayaran Tunai yang ditubuhkan oleh Kerajaan Pusat minggu lalu.

Dalam satu memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Royalti berkata, jawatankuasa itu hanya satu perkara "gimik PRU13" dan sama sekali tidak menepati semangat "kenegaraan atau persekutuan" dalam Malaysia.

Oleh itu, pertubuhan bukan kerajaan ini mahu Kerajaan Negeri Kelantan menolak cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan.

Selain itu, ia juga mahu penyelesaian tanpa adanya jawatankuasa seumpama itu dan bayaran dibuat mengikut formula yang digunakan untuk Terengganu.

Royalti juga mahu bayaran tunai terus dibuat kepada Kerajaan Negeri Kelantan daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera.

BERIKUT ADALAH KANDUNGAN PENUH MEMORANDUM:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
MEMORANDUM  DAN TUNTUTAN AGAR KERAJAAN NEGERI MENOLAK CADANGAN PENUBUHAN JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI YANG DICADANGKAN OLEH PERDANA MENTERI MALAYSIA BAGI MENYELESAIKAN ISU TUNTUTAN ROYALTI NEGERI KELANTAN.
KEPADA
Y.A.B. Dato' Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Negeri Kelantan.
DARIPADA
GABUNGAN PROFESIONAL TUNTUT ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN (ROYALTI) MENGENAI ISU TUNTUTAN ROYALTI, PENDARATAN MINYAK DAN GAS KE NEGERI KELANTAN.

ROYALTI KELANTAN: TOLAK JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI DAN TEMPOH ENAM BULAN ADALAH TIDAK RELEVAN.
Assalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh;
Yang Amat Berhormat Dato Bentara Setia Tuan Guru;
Dengan hormatnya, ini adalah MEMORANDUM  kepada Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan. Suka kami menarik perhatian pihak YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru bahawa isu Pengeluaran Petroleum sebagai Hasil Bumi Negeri Kelantan adalah satu isu yang amat serius dan harus diselesaikan secara melampaui Batasan Kepentingan Politik yang sempit.
Pertama (1);
Kami mewakili NGO-NGO dan Rakyat Negeri Kelantan merakamkan penghargaan dan jutaan terima kasih di atas kesungguhan pihak Kerajaan Persekutuan dalam memikul Amanah dan Tanggungjawab yang telah diberikan oleh majoriti rakyat negara Malaysia terutamanya di dalam isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan yang selama ini telah dinafikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan sejak tahun 2005.
Kami percaya, majoriti rakyat Negeri Kelantan akan memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sekiranya pihak Kerajaan Malaysia sanggup berlaku Jujur, Adil dan Ikhlas dalam menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan setelah pihak Kerajaan Persekutuan membuat keputusan membuka meja rundingan bagi menyelesaikan masalah berbangkit dan mengutus surat jemputan secara rasmi kepada pihak Kerajaan Negeri Kelantan.
Kedua (2); 
Surat Rasmi yang telah dihantar oleh Y.A.B Dato’ Seri kepada Y.A.B. Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Negeri Kelantan, antara lain isi kandungannya menyebut bahawa;
  • Jawatankuasa ini akan membuat kajian dan bersidang dalam tempoh 6 bulan sebelum memutuskan Tuntutan Bayaran Tunai Kerajaan Negeri Kelantan dibuat secara adil, telus dan saksama.
Merujuk kepada perkara di atas, kami ingin menarik perhatian YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru tentang pendirian pihak kami berkenaan dengan hal yang berkaitan.
Ketika kunjungan Y.A.B Dato’ Seri ke Negeri Kelantan pada 1hb. Ogos, 2009 dan melalui perbincangan Y.A.B Dato’ Seri dengan Y.A.B Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Negeri Kelantan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Y.A.B Dato’ Seri telah menyatakan bahawa kajian masih sedang dijalankan berkenaan dengan masalah Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan dan ianya telah disiarkan dan menjadi tajuk utama di media-media arus perdana; media elektronik, media cetak, termasuk juga melalui sebaran media baru.
Setelah 3 tahun berlalu, tiada sebarang keputusan Hasil Kajian yang telah dijalankan oleh pihak yang dipertanggungjawabkan oleh YAB Perdana Menteri? Apakah pihak berkenaan telah menemui “jalan buntu” sehingga Y.A.B Dato’ Seri mengambil keputusan membuka meja rundingan dengan Kerajaan Negeri Kelantan justeru memerlukan tempoh masa lanjutan sehingga           enam (6) bulan untuk membuat satu (1) lagi kajian dan juga membuat rundingan bagi mencari titik penyelesaian berhubung dengan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan?
Pihak kami merasa agak hairan dengan perkembangan ini dan kami juga yakin bahawa  Rakyat Negeri Kelantan lebih-lebih lagi turut merasa hairan dengan perkembangan terbaru ini. 37 tahun setelah Perjanjian Petroleum dimeterai antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan PETRONAS, Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dengan PETRONAS dan juga Kerajaan Persekutuan dengan PETRONAS, pihak Kerajaan Persekutuan nampaknya masih belum jelas dan juga masih “samar-samar” dengan Perjanjian yang pada asalnya telah dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pihak yang terlibat termasuk Kerajaan Persekutuan sendiri.
Secara jelasnya, pihak kami melihat perkara ini sebagai “Gimik PRU13” pihak-pihak berkepentingan dan ianya sama sekali tidak menepati semangat “Kenegaraan atau Federalisme” di dalam Negara Malaysia.
Ketiga (3) - TUNTUTAN;
3 TUNTUTAN;
  1. KERAJAAN NEGERI PERLU MENOLAK CADANGAN penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan
  2. PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri MENGIKUT FORMULA NEGERI TERENGGANU
  3. membuat BAYARAN TUNAI TERUS kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan UNTUK DIJALANKAN KAJIAN.
Pihak kami ingin mencadangkan beberapa perkara untuk diambil perhatian oleh YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru dalam menyelesaikan isu berbangkit;
Tuntutan Pertama (1);
Supaya tawaran untuk mengadakan “rundingan” (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan) bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Kerajaan Negeri Kelantan tidak dilihat sebagai “Gimik PRU13” oleh Rakyat Negeri Kelantan khasnya dan Rakyat Negara Malaysia amnya, maka NGO ROYALTI menuntut cadangan penubuhan jawatankuasa bayaran tunai cadangan Kerajaan Persekutuan itu DITOLAK dan bayaran perlu dibuat segera tanpa ada sebarang jawatankuasa lain.
Kerana sebenarnya cadangan penyelesaian sebenarnya sudah dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan juga PETRONAS pada 9hb. Mei, 1975 di mana antara lain menyebut ( Petikan dari Perjanjian Petrolium 1975 ):
  1. 1.     (1) PETRONAS hendaklah membayar wang tunai kepada KERAJAAN secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroliam yang didapati dan diperolehi di Kelantan dan dijual oleh PETRONAS atau ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya dalam tempoh yang diperuntukkan dalam fasal 2.
(2) Nilai yang akan dipakai bagi maksud fasal kecil (1) Fasal ini ialah harga jualan f.o.b purata tiap-tiap enam bulan yang diperolehi oleh PETRONAS atau ejen-ejennya.
(3) Apa-apa petroliam yang digunakan oleh PETRONAS, ejen-ejen atau kontrektor-kontrektornya bagi maksud meneruskan penggorekan dan pengeluaran hendaklah disifatkan sebagai dijual bagi maksud mengira pembayaran wang tunai di bawah fasal ini.
  1. 2.     Pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah dibayar pada tiap-tiap setengah tahun. Pembayaran bagi petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang pertama hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan September dan pembayaran mengenai petroliam yang didapati, diperolehi dan dijual dalam tempoh setengah tahun yang kedua hendaklah dibuat pada atau sebelum satu haribulan Mac dalam tahun yang berikutnya.
  2. 3.     Adalah dipersetujui dan ditetapkan bahawa pembayaran wang tunai yang kena dibayar di bawah Perjanjian ini hendaklah kena dibayar hanya selagi petroliam diperolehi dan tidaklah kena dibayar sedemikian jika petroliam tidak lagi diperolehi oleh kerana apa-apa sebab jua pun dan dalam hal yang demikian tiada apa-apa pembayaran sebagai pampasan akan kena dibayar kerana terhentinya pembayaran wang tunai yang jika tidak kerana demikian akan kena dibayar di bawah Perjanjian ini.
Tuntuan Kedua (2);
Atas alasan yang sama juga, penyelesaian dan formula yang digunapakai dalam isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Terengganu juga boleh digunapakai dalam menyelesaikan Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan memandangkan ianya telah terbukti berjaya, dipersetujui, mencapai kata sepakat dan dipraktikkan sementelah lagi Terengganu dan Kelantan adalah kedua-duanya di Semenanjung Malaysia. Iaitu PENYELESAIAN TANPA ADANYA JAWATANKUASA BAYARAN TUNAI kepada Kerajaan Negeri.
Pihak kami percaya sekiranya formula yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan digunapakai di Kelantan, pada masa akan datang tidak akan timbul lagi masalah berbangkit memandangkan Negeri Terengganu dan Kelantan berjiran, sama-sama berada di tanah Semenanjung Malaysia dan kedua-duanya merupakan negeri penyumbang kepada Pengeluaran Minyak & Gas di Malaysia.
Tuntutan Ketiga (3);
Bagi dilihat sebagai Jujur, Ikhlas dan tidak sekadar permainan “Gimik PRU13” Kerajaan Persekutuan dalam membuat tawaran bagi menyelesaikan isu Tuntutan Royalti Minyak & Gas Negeri Kelantan, pihak kami menuntut agar:
Kerajaan Negeri Kelantan melalui YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru mendesak agar kerajaan malaysia melalui petronas membuat BAYARAN TUNAI kepada kerajaan negeri daripada pengeluaran gas dan minyak dalam perairan Kelantan dengan kadar segera ( sebelum 1hb Syawal 1433H ) dan tidak perlu tempoh 6 bulan untuk dijalankan kajian.
Bayaran Tunai yang bolehlah dipanggil “Bayaran Pendahuluan” perlulah dimasukkan ke akaun Kerajaan Negeri Kelantan dan bukannya melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Permbangunan Persekutuan (JPP) atau mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan dan mana-mana agensi yang tidak diiktiraf oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Kelantan – Petronas 1975.
Pihak kami merasakan bahawa tidak menjadi masalah bagi Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Y.A.B Dato’ Seri Perdana Menteri untuk menerima syarat-syarat yang ditetapkan diatas cadangan NGP ROYALTI dalam meluluskan “Pendahuluan Bayaran Tunai” memandangkan kuasa penuh bagi meluluskan dan memberi arahan pada PETRONAS dimiliki secara “total” oleh Y.A.B Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di mana di dalam Akta Kemajuan Petroleum di bawah tajuk “Perbadanan” jadual 3 (2) menyebut bahawa;
  • Perbadanan itu hendaklah tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh dari semasa ke semasa mengeluarkan apa-apa arahan sebagaimana yang difikirkannya patut.
Bersama ini juga pihak kami sertakan kenyataan ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang bertarikh Pada 12hb. November, 1975 Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu Tun Abdul Razak di dalam Sidang Dewan Rakyat berkata;
  • " Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap Negeri akan menerima 5% daripada nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan Negeri tersebut yang dijual oleh PETRONAS atau ejensi-ejensi atau kontrektor-kontrektornya ". 

Mohon YAB Dato Bentara Setia Tuan Guru mempertimbangkan cadangan dan tuntutan daripada NGO ROYALTI. Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Dengan Hormatnya,

…………………………..............
HAJI NAZRI BIN DERAMAN
Pengerusi Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (ROYALTI)

Memorandum ini bertarikh;
19 Ramadhan,1433H bersamaan 8hb. Ogos, 2012M
SPR nafi pekerja asing jadi pemilih guna Kod 71

8 Ogos 2012
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
KOTA KINABALU - Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof hari ini menafikan bahawa ramai pekerja asing dimasukkan ke dalam senarai daftar pemilih menggunakan kod pengenalan '71' yang merujuk kepada rakyat Malaysia lahir di luar negara.

Beliau berkata perkara itu tidak harus dipertikaikan kerana setakat ini hanya 171,023 pemilih berdaftar yang direkodkan mempunyai kad pengenalan di bawah kod itu.

Sebelum tahun 2001, kod '71' digunakan pada nombor kad pengenalan individu rakyat Malaysia yang lahir di luar negara dan warganegara asing yang mendapat status pemastautin tetap (PR).

Bagaimanapun selepas 2001, semua warganegara asing yang mendapat PR tidak lagi dirujuk dengan kod '71', sebaliknya menggunakan kod berdasarkan negara kelahiran masing-masing, contohnya Singapura (66) dan Indonesia (61).

Abdul Aziz mengulas perkara itu kepada media kerana ada pihak mempertikai penggunaan kod '71' itu kononnya digunakan untuk mendaftarkan pekerja asing sebagai pengundi setelah beberapa nama yang mempunyai kod '71' di tengah-tengah nombor kad pengenalan mereka dikesan tersenarai dalam daftar pemilih.

Beliau berkata mengikut rekod Daftar Pemilih Induk (DPI) SPR, seramai 8,743 pemilih berdaftar di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai kod 71 dan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi seramai 32,485 orang.- Bernama
Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan
Nik Nurfaqih Nik Wil
8 Ogos 2012
KUALA LUMPUR- Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.
  
Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia.
  
"Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
  
Katanya walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.
  
"Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.
"Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan," katanya.
  
Bagaimanapun beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.
  
"Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka," katanya.
  
Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan Bernama selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.
  
"Dah lama berlaku, sejak zaman saya dahulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza," kata seorang penjawat awam.
  
Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata aktviti itu dilakukan setiap tahun.
  
"Tahun lepas pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon," katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.
  
Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.
  
"Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu," katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan ataupun program.
  
"Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah," katanya.
  
Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.
  
Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. -Bernama

Tiada ulasan: