Rabu, 15 Ogos 2012

AKHIR ZAMAN BILA MANUSIA BERTUHAN KAN WANG SERTA BERKIBLAT KAN WANITA...TERIMALAH HAKIKAT KITA BERADA DI AKHIR ZAMAN

Pemuda PAS Ktan minta Nasharuddin lepas MP Bachok

Harakahdaily, 14 Ogs 2012

(Nasharudin bersama Presiden Umno dan beberapa pemimpin Arab di Mekah)

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) meminta bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan pendiriannya dengan jelas samada masih ingin bersama PAS atau membawa haluan yang bertentangan dengan kehendak parti.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," kata Setiausahanya, Mohd Nuri Mat Yaacob dalam kenyataannya yang dihantar kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Nasharudin  yang dikeluarkan oleh beliau seperti yang tersiar di dalam Buletin Utama TV3 hari ini di mana beliau mencadangkan agar PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika DAP menentang hudud.

Beliau juga dilihat bersama-sama dengan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak di Mekah sedangkan pada awal Ramadhan lalu beliau telah pergi ke sana.

"DPPNK melihat cadangan beliau tersebut hanyalah mengulangi hujah-hujah yang diratib oleh pemimpin-pemimpin Umno selama ini.

"Sedangkan semua pihak sedia maklum bahawa kerajaan pusat yang ditunjangi oleh Umno dan BN lah yang sebenarnya menghalang pelaksanaan hudud di Kelantan selama ini," kata Nuri dalam kenyataannya.

Ditambah dengan sikap beliau yang dilihat pro Umno sejak kebelakangan ini, DPPNK melihat amat wajar untuk beliau membuat pengisytiharan rasmi adakah beliau masih setia bersama PAS atau sebaliknya.

"Jika beliau sudah tidak berminat bersama-sama dengan PAS, amatlah wajar untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok daripada terus menerus mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat Bachok di dalam PRU12 yang lalu," katanya.

Bagi DPPNK, katanya, PAS sedikitpun tidak rugi jika individu seperti beliau mengangkat kaki meninggalkan parti.

Melayu jangan kena tipu lagi dan lagi dan lagi

Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 15 Ogs 2012
Saya tak nak percaya takdir atau destini orang Melayu ialah mereka kena tipu sepanjang zaman. Inilah dia akibat bersetia dalam mati. Komrad Kassim Ahmad semasa dia sibuk bersosialis dahulu ada buat sajak. Bunyi nya: Sekian lama kita mati dalam setia. Kali ini kita hidup dalam durhaka.
Tidak mengapa kalau dia sendiri tidak percaya lagi tentang apa yang dia tulis. Rakyat terutama orang Melayu, kalau mahu kenal erti hidup mesti durhaka.

Kita kian hampir menyempurnakan ibadat puasa. Kena lah tahu beberapa iktibar dari ibadat puasa tersebut. Menahan lapar, dahaga dan menjauhi dari menggauli isteri. Ertinya, melatih diri meninggalkan kebiasaan. Perkara yang biasa dalam hidup manusia ialah makan, minum dan menggauli isteri. Tuhan suruh tinggalkan kebiasaan2 ini. demikian juga, kebiasaan orang Melayu ialah mengundi dan menyokong UMNO. Jadi tinggalkan kebiasaan menyokong UMNO, sokong PR.

Hidup orang Melayu tidak ada makna jika asyik menerima sesuatu sebagai sudah termaktub. Jangan sekali kali membiasakan diri menerima penentuan yang dibuat oleh orang lain. Ini yang UMNO suka buat. Ia menghambakan orang Melayu. Apa istimewanya mereka? Banyak mana cerdiknya mereka.
Ada termaktub di mana-mana, PM Malaysia mesti berbinkan Tun Razak, berbinkan Hussein Onn, berbinkan Mahathir? tidak ada. Ada disebut dalam mana-mana kitab, bahawa semua fkiran yang datang dari Najib mesti ok punya atau terbaik? Janganlah kita taksub sangat dengan pengunggulan sesuatu tokoh. Meraka tidak ada lebih dari kita dan  kita pun tidak kurang dari mereka.
Orang Melayu mesti membebaskan diri mereka dari belenggu penjara minda. Kita memilih dan mendaulatkan seseorang bukan sebab dia berbinkan sifulan2- tapi kita angkat pemimpin berdasarkan apa yang dia boleh sumbang dan berdasarkan kelebihan yang dia ada.

Kalau orang Melayu hendak majukan diri mereka mesti membiasakan diri dengan nilai2 kejayaan dan pencapaian dan kesewarjagatan( achievement values and universalism). Apa makna nya istilah2 ini?

Maknanya, seperti dalam masyarakat yang lebih maju, semua orang dinilai mengikut apa yang dia boleh lakukan dan bukan mengikut siapa mereka. Siapa mereka tidak penting lagi. Seorang anak petani yang berwibawa dan ada kemahiran lebih berguna dari seorang anak bangsawan yang bodoh. Dalam masyarakat moden dan maju, sesiapa sahaja boleh menawarkan diri untuk apa apa jawatan berbanding hanya di tentukan boleh melakukan kerja2 yang ditetapkan oleh masyarakat. Contoh: orang dari kasta bawah hanya boleh bekerja sebagai tukang cuci tandas. Walaupun dia ada ijazah kolej atau university, disebabkan dia datang dari keturunan yang tak betul, dia tidak boleh buat keraja yang lebih mulia.

UMNO suka prinsip ini sebab bolehlah mereka menentukan yang jadi PM mesti datang dari keluarga bangsawan dan elit. Bodoh pun takpe, apa keturunan itu penting. Itu UMNO. Rakyat menolaknya.

Kalau kita terima asuhan UMNO, orang Melayu akan feudal. Feudal ertinya, majoriti rakyat akan dihamba abdikan. Elit Melayu turun temurun akan memerintah Melayu kebanyakan walaupun yang memerintah bodoh dan bebal. Yang di bawah tidak akan dapat naik ke atas, kerana ini ketetapan hidup. Selagi kita tidak mempersoalkan ketetapan sementara ini maka selama itu kaum Melayu akan tertindas.

Cuba orang Melayu berfikir - apa sebab mereka lebih mundur dari kaum Cina misalnya? Walhal Melayu dan Cina terdedah kepada cuaca yang sama, kepada persekitaran yang sama. Namun, kaum Cina lebih maju dalam ekonomi berbanding dengan orang Melayu. Apa pasal?

Persekitaran yang sama menghasilkan keputusan yang berlainan? Macam mana boleh jadi begini? Jawapan nya kita dapati dengan membezakan nilai2, motives, serta insitusi sosial dan politik. Orang Melayu mundur sebab institusi politik mereka UMNO. Orang Melayu mundur sebab institusi sosial mereka memihak kepada golongan bangsawan dan elit. Orang Melayu mundur sebab nilai2 yang mereka pegang menyekat mereka dari kebebasan. Yang jadi penyekat sebetulnya ialah UMNO. Jadikan orang Melayu penakut dan sentiasa bergantung kepada UMNO. Itu pasal UMNO mengeksploitasi orang Melayu.
Orang Melayu kalau hendak maju mesti ada semangat jebat yakni enggan menerima secara babi buta. Kita Melayu mesti ada budaya enggan menerima sesuatu sebagai sudah termaktub. Kebiasaan mencabar sesuatu kedudukan, pandangan akan melahirkan Melayu yang robust dan rugged.  Dengan cara ini timbul Melayu yang ada jati diri dan tidak takut untuk bersaing.

Tapi sentiasa ditipu oleh UMNO, itulah yang terjadi. Pimpinan untuk bangsa Melayu ini bagus setakat Hussein Onn sahaja. Mulai Dr Mahathir - nasib orang Melayu menjadi lebih teruk. Memang benar kita ada pembangunan fisikal yang menakjubkan- tapi nikmat merasai pembangunan tersebut lebih untuk orang Melayu yang terpilih, dipilih oleh Mahathir. Nikmat kemajuan dan pembangunan dirasai lebih oleh kaum lain yang mempunyai kuasa ekonomi. Rakyat terbanyak terus bergantung kepada kerajaan. Bergantung maknanya mereka tidak merdeka dan tidak ada pilihan.

Selama 22 tahun di bawah pemerintahan Mahathir, 6 tahun di bawah Pak Lah dan sekarang di bawah Najib, demikianlah nasib orang Melayu. Ya - Najib pun tipu orang Melayu. Rakan baik dia semua tauke Cina tapi dia biarkan UMNO menghasut orang Melayu berkelahi dengan Cina dan India.
Asyik kena tipu. Ingatlah pengajaran berpuasa. Meninggalkan kebiasaan. Tinggalkan kebiasaan menyokong UMNO. - http://sakmongkol.blogspot.com

Cyanide Bkt Koman: Apa yang perlu anda tahu

Pemuda Tua, 15 Ogs 2012
Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia, yang wujud dalam perlbagai bentuk. Sama ada dalam bentuk gas yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).

Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.

Penggunaan bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru,  dan Filipina kerana ancamannya kepada keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Pendedahan berterusan bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak. Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan oksigen.

Kesan pendedahan langsung bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya  kematian.

Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.

Di Beijing China, kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai Bambana.

Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan burung.

Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu  mengalami ruam-ruam merah di badan mereka, muntah dan ceret-beret.

Kemalangan yang melibatkan bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Zulkefly Mohamad Omar serta Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.

(Pintu masuk ke syarikat perlombongan Raub Australian Gold Mining [RAGM] seluas 300 ekar di Bukit Koman, Raub, Pahang)

“Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya kurang dari 500 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran politik MCA itu jelas tidak berapa sesuai kerana spesifikasi bahaya bahan kimia Cyanide yang digunakan untuk melombong emas di situ iaitu Sodium Cyanide dan Hydrogen Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia.

"Pihak RAGM, pihak berkuasa tempatan, serta agensi berkaitan pada pandangan saya harus mengambil kira faktor ‘social obligation’ atau khidmat masyarakat untuk melaksanakan konsultansi pihak awam terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak lokasi syarikat perlombongan itu diputuskan serta diluluskan.
"Secara peribadi, saya berpandangan bahawa syarikat perlombongan emas seperti RAGM seharusnya diklasifikasikan sebagai INDUSTRI BERAT dan seharusnya lokasi Industri Berat seperti RAGM ini berada di dalam Kawasan Perindustrian dan tidak seperti sekarang, ”  ujar Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Beliau juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan Cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan penggunaan bahan kimia Cyanide ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas.

Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan Cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan Cyanide di atas sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat telah pun dikuatkuasakan. Persoalannya, adakah garis panduan yang ketat ini seperti di Eropah wujud di Malaysia.

“Kita dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa tidak ada latihan ‘Emergency Response Plan (ERP) atau latihan Plan Tindakan Kecemasan yang dibuat pihak pengurusan RAGM dengan penduduk terdekat setelah 3 tahun beroperasi. Seolah-olah ia sesuatu yang tidak penting memandangkan lokasi syarikat perlombongan itu dengan kawasan penempatan penduduk adalah terlalu dekat (<500 br="br" meter="meter">
"Kegagalan peralatan operasi syarikat RAGM boleh berlaku dan jika ini berlaku, kebocoran bahan kimia Cyanide serta bahan kimia yang lain boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk setempat termasuklah kepada Alam Sekitar.

"Persoalannya, bagaimanakah operasi menyelamat akan digerakkan secara efektif jika bencana ini berlaku. Malah, merujuk kepada Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), jika berlaku kebakaran di tangki simpanan cyanide itu, pengasingan atau ‘isolation’ serta ‘evacuation’ atau proses pemindahan pekerja/penduduk haruslah dipertimbangkan pasukan ‘Emergancy Response Team (ERT)’ sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu.

"Kita juga dimaklumkan terdapat Kem Tentera di Kampung Bukit Koman. Pihak RAGM juga harus mengambil kira keselamatan anggota tentera kita di sana selain penduduk setempat,” ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang serta Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Zulkefly dan Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Datuk Sri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Datuk Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang serta Datuk Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub.

Malah kenyataan Datuk Sri Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman  kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.

“Adakah mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran Cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?” ujar Zulkefly.

Memetik kenyataan Andansura (gambar kiri), selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands didedahkan PAS minggu yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh Cyanide di Bukit Koman Raub. Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.

Kerana sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan inilah,  PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan “Himpunan Hijau Raub” 2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.

Dapat RM2 juta keluarkan fatwa haram undi DAP

http://milosuam.blogspot.com, 15 Ogs 2012
MINGGU lepas, pada 8 Ogos 2012, seorang pengasas pondok Geting, Abdullah Sa'amah mengeluarkan fatwa mengharamkan orang Islam mengundi DAP.

Malah beliau turut mengharamkan orang Islam mengundi parti-parti yang bekerjasama dengan DAP sambil menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Fitnah, rasis, cemarkan Ramadan

Abd Shukur Harun, 15 Ogs 2012
Hanya beberapa hari saja lagi Ramadan Kareem tahun ini akan melabuhkan tirainya. Mereka yang penuh takwa, yang merasakan nikmat dan indahnya Ramadan, kepergian bulan mulia ini diiringi dengan air mata – entah berjumpa lagi atau tidak tahun depan.

Sepanjang Ramadan ini, majlis dan surau terutama di bandar, meriah dan makmur dengan kehadiran jemaah yang melimpah – lebih daripada biasa – bersolat tarawih, bertadarus, qiamullail dan segalanya. Lebih lagi dengan menunggu ketibaan malam Lailatul-Qadr.

Demikianlah mereka mendakap Ramadan Kareem dengan penuh khusyuk, di masjid dan surau yangn menjadi destinasi utama untuk beribadah. Itulah wajah umat yang berusaha untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Tetapi malangnya, di luar masjid, terutama di dunia politik, keadaan jauh berbeza dengan suasana di rumah Allah itu. Dunia politik tanah air, walaupun pada bulan Ramadan, terus menerus diselubungi suasana fitnah, perkauman yang seru, penyelewengan, tipu daya, perlakuan orang-orang yang sempit fahaman agamanya, malah keadilan Islam menjauh.

Semuanya ini adalah sampah sarap dan kotoran yang memudaratkan manusia pada ketika umat yang benar-benar mencari keredhaan Allah SWT menjalankan ibadah Ramadhan yang murni itu.

Fahaman Islam yang sempit disebabkan kejahilan, kekeliruan dan mungkin juga dikeranakan oleh kepentingan duniawi adalah gejala yang merosakkan kesyumulan Islam yang menuntut umatnya bersikap wasatiyyah – sederhana, seimbang, adil dan menjadi saksi antara manusia dan Rasul pula menjadi saksinya.

Yang lebih mengerikan ialah suasana fitnah yang marak menyala, beriringan dengan suara dan aksi perkauman yang sangat mengerikan, seolah-olah menjadi budaya masa kini. Pada hal Islam menentang keras segala bentuk perkauman kerana ia suatu kezaliman. Malah Nabi SAW sendiri dalam hadisnya mengatakan tidak mengaku umatnya mereka yang meniupkan perkauman.

Fitnah yang tajam dan hasutan begitu berleluasa untuk menghancurkan musuh politik dengan apa carapun – baik melalui siaran media cetak, temu ramah, tayangan video, media on-line, blog, majlis parti politik dan pelbagai lagi. Lebih-lebih lagi menjelag pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Seolah-olah pelaku yang meniupkan fitnah, hasutan dan perkauman yang tajam ini tidak terikat dengan batas hukum, undang-undang, etika moral dan kemanusiaan. Mereka melakukan dengan cara ‘membujur lalu melintah patah’. Seolah-olah dunia politik adalah medan untuk melakukan segalanya demi untuk kuasa.

Tiupan perkauman yang kencang – melaga-lagakan antara kaum dan parti politik menjadi fenomena terkini dan nampaknya tidak ada tanda-tanda akan berhenti.

Ternyata politik survival of the fittes dan konsep politik Machiavelli – tujuan menghalalkan cara - menjadi amalan pelaku politik sekular ini. Dalam keadaan begini – yang berlaku walaupun pada bulan Ramadan – memberi gambaran seolah-olah tidak ada tempat untuk memikirkan dosa pahala.

Dalam suasana yang gawat ini, golongan intelektual, malah sesetengah agamawan juga membisu seribuh bahasa. Malah lebih malang lagi ada pula segolongan kecil mereka ini yang ikut serta ‘merancakkan’ suasana seperti ini, sama ada mereka sedar ataupun tidak.

Disebabkan kegawatan ini, tentu saja ada yang bertanya, di mana roh dan semangat Ramadan. Di mana sentuhan kekudusan Ramadan yang di dalamnya diturunkan al-Quran dan Lailatul Qadr. Di mana perginya jati diri Melayu/Islam, kalau adapun jati diri mereka. Jelaslah bahawa politik sekular memungkinkan semuanya ini berlaku.

Oleh itu, sungguh malang, negara Melaysia yang akan menyambut 55 tahun merdeka di selubungu suasana yang sedemikian rupa.  Ini adalah ‘penyakit’ yang sangat merbahaya sedang menyerang tubuh umat di negeri ini.

Kita akan menyambut Edul-fitri dalam dalam dua tiga hari lagi dan selepas itu akan menyambut ulang tahun ke 55 kemerdekaan negara ini, tetapi sungguh malang ia akan disambut dalam suasana yang sedemikian rupa.

Di sinilah, menurut pendapat saya, para pendukung gerakan Islam dan politik Islam seperti PAS menggandakan usaha mereka untuk menjernihkan semula suasana yang kotor dan memudaratkan ini.

Saya percaya masih ramai lagi umat Islam yang prihatin, para intelektual dan ulama yang berwibawa, sedang berusaha membetulkan kerosakan dalam masyarakat ini. Walaupun usaha ini amat sukar, tetapi ini sebenarnya adalah jihad menentang kemungkaran. Tentunya fitnah, hasutan, perkauman yang sempit dan seumpamanya ini adalah kemungkaran.

Edul-Fitri yang akan kita sambut ini hanya bermakna jika segala kemungkaran – terutama di pentas politik ini – dapat dibersihkan. Inilah cabaran yang sangat besar dihadapi oleh umat dan mari kita memanjatkan doa semoga Allah SWT menyelamatkan negara dan umat ini.

Allahu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar! 
Selamat Menyambut Edul-Fitri, maaf zahir batin

Perkataan Allah dan Muhammad di tapak kasut

http://idahsalam.blogspot.com, 15 Ogs 2012

Allah dan Mohamad di tapak kasut ...ini betul-betul kerja kafir

Tiada ulasan: