Selasa, 7 Ogos 2012

SAHABAT2 DULU MENANGIS KERANA NAK MENINGGALKAN RAMADAN YANG PENUH DENGAN KEBERKATAN....

Bafia: Rafizi jumpa Tun Salleh selepas raya

Muhammad Faizal, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli memberitahu beliau akan bertemu dengan mantan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas selepas cuti hari raya bagi mendengar khidmat nasihatnya berhubung pendakwaan Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989, yang dikenakan terhadapnya.

Rafizi yang ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur semalam mengesahkan beliau menerima panggilan daripada Salleh Jumaat lalu yang memaklumkan kesediaan beliau memberi pandangan terhadap tuduhan Bafia.

"Tun Salleh ada menghubungi saya dan menyatakan sokongan serta menyatakan ada ruang yang boleh dihujahkan dalam mahkamah melalui Bafia.

"Beliau berpendapat apa-apa undang-undang kerahsiaan tidaklah boleh mengenepikan kepentingan awam," jelasnya.

Tambahnya lagi, Tun Salleh berpendapat itulah sudut yang perlu dihujahkan.

"Dalam mengatasi soal itu, Tun Salleh meminta saya dan peguam dapat duduk berbincang dengannya supaya beliau dapat memberi pandapat dan khidmat guaman mana yang perlu.

"Kita sudah bersetuju dan lepas raya kita akan cari satu tarikh yang sesuai untuk berbincangan, pertemuan ini lebih kepada khidmat nasihat dari sudut perundangan bukannya terlibat secara langsung dalam kes tersebut," sambung Rafizi.

Untuk makluman, Rabu lalu, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap pertuduhan  mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi dituduh di bawah Seksyen 97(1) Akta Bank dan Intitusi Kewangan 1989, yang menetapkan hukuman maksimun 3 tahun penjara atau denda RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

PM Syria sertai pembangkang

Terjemahan Mohamad Yahya, 07 Ogs 2012
SYRIA: Perdana Menteri Syria, Riad Farid Hijab (gambar), melalui jurucakapnya telah mengumumukan bahawa beliau telah menyertai kumpulan pembangkang.

Pengumuman itu dibuat selepas satu laporan televisyen nasional melaporkan bahawa beliau telah dipecat dari jawatannya.

Isnin lalu, pihak berkuasa Jordan mengesahkan kepada Al-Jazeera bahawa bekas Perdana Menteri itu telah selamat tiba di Jordan selepas diseludup masuk melalui sempadan Syria-Jordan,

“Hari ini, saya mengumumkan bahawa saya tidak akan lagi bersama dengan rejim pembunuh dan pengganas, dan saya mengumumkan bahawa saya telah menyertai revolusi yang memperjuangkan kebebasan dan maruah.

"Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula pada hari ini, saya adalah seorang tentera dalam revolusi ini,” kata Hijab di dalam satu kenyataan yang dibaca jurucakapnya Muhammad el-Etri.

Etri juga turut menyangkal dakwaan bahawa Hijab telah dipecat, dan mengatakan bahawa kerajaan hanya membuat pengumuman tersebut sejurus selepas mereka menyedari bahawa Hijab telah melarikan diri ke Jordan.

Etri berkata bahawa rancangan untuk menyertai pembangkang telah dibuat berbulan lamanya, dan rancangan itu hanya dilaksanakan serentak dengan penubuhan Tentera Pembebasan Syria (Free Syrian Army).

Bekas Perdana Menteri itu turut menggalakkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan Syria yang lain untuk turut menyertai pembangkang selepas pengumumannya menyertai pembangkang.

‘Tiada lagi alasan untuk tidak menyertai pembangkang’ kenyataan Hijab yang ditujukan kepada pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang jawatannya lebih rendah dari beliau.


Menuju ke Qatar
Bagaimanapun, Hijab memberi peringatan bahawa, kerajaan Syria berkemungkinan akan “memberi tindak balas yang rawak dan bersifat histeria."

"Mereka akan melakukan lebih banyak pembunuhan dan setiap pegawai tinggi kerajaan yang mahu menyertai pembangkang perlu bertindak dengan bijak dan menjaga keselamatan diri dan keluarga.

“Rejim ini hanya menggunakan satu bahasa, dan bahasa itu ialah bahasa pembunuhan,” kata Etri kepada Al-Jazeera.

Hijab akan meninggalkan Jordan dan berlepas ke Qatar dalam masa beberapa hari lagi, mengikut jejak langkah pimpinan berprofil tinggi lain yang turut menyertai pembangkang.

“Hijab akan pergi ke Doha, kerana media internasional berpusat di situ. Dia akan bertolak ke Qatar, mungkin pada esok hari, atau hari-hari yang berikutnya,” Etri memberitahu agensi berita AFP di ibukota Jordan.

Seorang ahli pembangkang Syria di Jordan berkata bahawa Hijab akan bertolak ke Qatar “dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi.”

“Kami sedang melakukan persiapan untuk menguruskan ketibaan Hijab di Doha dalam tempoh beberapa jam sahaja lagi, berkemungkinan besar pada pukul 2200 GMT (5 pagi Malaysia, Selasa) Tujuh dari adik beradiknya akan tinggal di Jordan,” kata beliau kepada AFP.

“Kami faham betapa sensitifnya isu ini kepada Jordan. Kami tidak mahu menimbulkan masalah kepada kerajaan Jordan, yang sudah mempunyai hubungan yang tegang dengan rejim Syria,” kata ahli pembangkang tersebut yang enggan namanya disebarkan.


‘Tidak diberi pilihan’


Presiden Bashar al-Assad telah melantik Hijab, bekas Menteri Pertanian pada 23 Jun lepas, ekoran pilihanraya pada bulan Mei.

Etri mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun tidak diberi pilihan apabila dilantik memegang jawatan tersebut.

“Rancangan untuk menyertai pembangkang ini telah bermula sejak lebih dari dua bulan. Hijab diberi dua pilihan, sama ada menjadi Perdana Menteri, ataupun dibunuh. Namun, Hijab ada pilihan ketiganya sendiri, iaitu untuk menyertai pembangkang dan menjatuhkan rejim dari dalam,” kata Etri kepada Al-Jazeera.

“Saya percaya bahawa dia adalah pegawai kerajaan yang mempunyai jawatan paling tinggi (untuk menyertai pembangkang), dia adalah satu-satunya (yang mampu melakukannya) dan ini akan memberi kesan-kesan yang amat buruk dan teruk kepada rejim, dan implikasi yang signifkan kepada keruntuhan rejim sekaligus kepada kejayaan revolusi”.

Omar Ghaliwanji, Timbalan Perdana Menteri Syria, telah dipilih untuk memangku jawatan Perdana Menteri, lapor sebuah media nasional Isnin lepas.

Pihak berkuasa mewar-warkan bahawa pilihanraya Mei adalah satu langkah besar untuk reformasi politik Syria, tetapi pembangkang menolak dakwaan tersebut dan menyelarnya sebagai satu janji kosong.

Hijab telah menjadi pimpinan parti Baath dari tahun 1998, dan telah dilantik menjadi ketua kerajaan Latakia ketika tercetusnya rusuhan anti kerajaan yang pertama di Latakia tahun lalu.

Rula Amin, wartawan Al-Jazeera yang melaporkan dari Beirut, berkata walaupun Hijab bukanlah individu penting dalam lingkungan kecil Assad, tetapi penglibatannya dalam pembangkang akan menjadikan beliau pegawai kerajaan yang paling berprofil tinggi untuk menolak autoriti Assad.

George Jabbour, penasihat kepada bekas Presiden Syria, Hafez al-Assad, menyifatkan penglibatan Hijab dalam pembangkang sebagai “sesuatu yang tentunya amat signifikan.”
Laporan asal
http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2012/08/20128691725705233.html

Timbermine gagal saman Kelantan RM800 juta

Aslani M, 07 Ogs 2012
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berjaya mengenepikan tuntutan saman RM800 juta sebuah syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd atas dakwaan melanggar beberapa perjanjian yang ditandatangani 35 tahun lalu.

Ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan pada persidangannya 23 Julai lalu menolak tuntutan saman tersebut dengan kos sebanyak RM300,000.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, kerajaan negeri diwakili peguam terkenal, Datuk Sulaiman Abdullah bersama seorang lagi peguam, pada awal perbicaraan lagi sudah berjaya mengenepikan tuntutan syarikat berkenaan.

“Ini berita yang cukup menggembirakan kita di tengah-tengah bulan Ramadan yang penuh berkat ini,” katanya pada program ceramah Ghazwatul Badar di padang Majlis Daerah Ketereh malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Dr Muhammad Fadzli Hassan.

Program tersebut bermula jam 5 petang dengan tazkirah disampaikan Adun Pasir Tumbuh, Ustaz Mohamad Mustafa. Solat Maghrib diimamkan Menteri Besar.

Bagaimanapun ketika mahu menunaikan solat Isya hujan turun dengan lebat sehingga menyebabkan tempat solat dipindahkan ke pentas di astaka padang.

Mereka yang solat di padang di bawah khemah basah kerana air hujan melimpah ke bawah khemah. Biar pun begitu mereka tetap meneruskan solat tarawih.

Pada awal tahun lepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan kerajaan negeri membayar membayar RM800 juta kepada Timbermine sebagai ganti rugi termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar.

Selain itu ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Syarikat mengemukakan saman ekoran perjanjian yang dibuat pada 1964 dibatalkan pada Mac 1975 oleh Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohamed Nasir.

Ekoran itu kerajaan Kelantan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Mapim kumpul 4 kontena makanan untuk Rohingya

Harakahdaily, 07 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berjaya mengumpul empat kontena makanan seberat 160 tan metrik yang sedia dihantar ke kem pelarian Rohingya di sempadan Myanmar-Thailand.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia adalah hasil sumbangan orang ramai daripada lapan pusat pengumpulan di Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, sumbangan tersebut termasuk beras, minyak masak, tepung, gula, mi segera dan makanan bertin telah dapat dikumpul untuk keperluan pelarian di kem tersebut.

“Dianggarkan terdapat 110,000 pelarian berada di Kem Mae Sot,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau berkata, kontena tersebut dijangka akan dihantar pada 10 Ogos melalui Thailand.

Royalti: Rakyat Kelantan jangan terpesona

Rizal Tahir, 07 Ogs 2012
KOTA BHARU: Rakyat Kelantan diingat tidak ‘terpesona’ dengan penubuhan jawatankuasa khas pembayaran tunai hasil petroleum kepada kerajaan negeri kerana ianya belum pasti akan berlaku.


Apa lagi jawatankuasa itu diumumkan ketika Negara akan menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, berkata penubuhan jawatankuasa itu bukan pemutus bayaran tunai akan dibayar terus pada kerajaan negeri, apa lagi enam bulan tempoh jawatankuasa itu bersidang.

“Selepas itu, ianya akan diproses selama 80 hari, kita nak pilihanraya dah tak lama, jawatankuasa ini masih bersidang, jadi mana untung dan baiknya untuk rakyat?

“Bila selesai sekalipun belum tentu ianya akan dibayar pada kerajaan negeri, kita dah lama kenal Umno dan BN ni, kalau tak buat kerja menipu bukan Umno la jawab dia,” ujarnya yang juga Adun Mengkebang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis tadarus dan penyampaian elaun guru-guru Pasti Kelantan. (Gambar)

Beliau juga turut mengingatkan rakyat Kelantan, walau apapun janji Perdana Menteri untuk royalti namun sejarah penipuan dan sekatan yang dilakukan sejak sekian lama, jangan dilupakan.

Tegasnya, jika tiada penipuan sebanyak RM7,000 juta royalti yang sepatutnya dibayar kerajaan pada Kelantan.

Abdul Latif juga turut berkata, percanggahan kenyataan antara pemimpin Umno berhubung royalti cukup membuktikan penubuhan jawatankuasa khas hanya untuk ‘memujuk’ hati rakyat Kelantan.

Katanya, kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed yang mendakwa sebanyak RM61 juta wang ehsan telah diagih pada rakyat di negeri itu ternyata palsu.

“Pada masa yang sama pula, timbalannya, Datuk Dr Awang Adek pula berkata sebanyak RM24 juta telah diagihkan untuk tujuan yang sama, jadi macamana ni?” soalnya.

Sebelum ini kedua pemimpin itu mendakwa Kelantan tidak berhak mendapat royalty memandangkan kedudukan telaga minyak jauh dari perairan Kelantan dan berbagai lagi dalih yang dibuat mereka.

Akhirnya, pada minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berhubung penubuhan jawatankuasa khas itu.

Sementara itu sebanyak RM368,300 peruntukkan alaun telah dibayar kepada guru-guru Pasti seluruh Kelantan pada majlis itu.

Selain itu, sumbangan untuk program keceriaan Pasti pula sebanyak RM10,000 dan sumbangan untuk program Alam Ria Pasti sebanyak RM3,000 untuk setiap kawasan.

Turut berucap pada majlis itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Musa.

Simpati Dana Ramadhan jejaki insan istimewa

Saidah Hairan, 07 Ogs 2012
SUBANG: Melihat kekurangan golongan orang kurang upaya (OKU), Robiah Sayuti, 56, dan Jasni Selamat, 30an mengalami kecacatan fizikal akibat demam panas waktu kecil.

Simpati memandang golongan ini, Dana Ramadan Dewan Muslimat PAS Pusat dan Jabatan Pengarang Harakah akan terus menjejaki insan-insan istemewa sepanjang bulan Ramadan.

Robiah merupakan ibu tunggal yang mengalami buta sejak kecil. Namun beliau tidak menjadikan alasan untuk terus menagih simpati daripada orang ramai. Ibu tunggal ini merupakan wanita cekal dan istiqamah dalam perjuangan PAS.

(Gambar: Siti Zailah mengedarkan bubur lambuk sebelum berbuka puasa.)

Setiap kali PAS Cawangan Paya Jaras menganjurkan program beliau akan menginfak air. Beliau antara wanita yang istiqamah dalam usrah.

Walaupun Jasni mengalami kecacatan fizikal dan sedikit terencat akal, ketaatan menjalani perintah Allah tidak pernah dilupakan. Wajah yang periang dan peramah, mudah tersenyum menjadikan ramai orang menyukainya. Jasni tetap menunaikan solat fardu dan mengamalkan puasa sunat.

Surah Al-Ma’un ayat 1-7 Allah berfirman maksudnya: “Tahukah kamu orang yang mendustakan agama itulah orang yang mengherdik anak yatim dan tidak memberi makan orang miskin, maka celakalah bagi orang-orang yang sholeh yaitu orang-orang yang lalai dari sholatnya, orang-orang yang berbuat riya dan enggan menolong dengan barang berguna”.

Berpandukan ayat ini, Dewan Muslimat PAS Pusat bersama Jabatan Pengarang Harakah telah menganjurkan berbuka puasa serta menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal dan orang susah di DUN Paya Jaras.

Lajnah Kebajikan PAS Selangor serta Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras turut memberi kerjasama menyediakan tempat dan memberi sumbangan. Dalam majlis rengkas dan santai itu, Pesuruhjaya PAS, Dr Abdul Rani Osman turut melancarkan Semarak Kasih, Lajnah Kebajikan PAS Selangor.

Dalam ucapan, beliau mengingatkan supaya umat Islam menjadikan ramadan sebagai bulan mendidik menjadi insan yang baik.

"Bulan ini perlu dihayati sebagai bulan penuh kemuliaan untuk mendapatkan peluang yang disediakan Allah. Puasa merupakan medan latihan yang memutuskan jiwa dan nafsu daripada melakukan perkara biasa," katanya.

Sementara itu, Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, puasa ibarat perisai dan puasa yang sempurna bukan sahaja mengukuhkan silaturahim tetapi menjadi benteng azab neraka.

"Kita kena jaga hubungan dengan Allah kerana matlamat ramadan untuk mencapai keredaan Allah. Ramadan perlu banyak menghulurkan sedekah terutama golongan miskin dan anak yatim," katanya.

Zailah berjanji akan bekerjasama dengan Jabatan Pengarang Harakah serta DUN fokus untuk ditawan pada PRU nanti menjejaki insan-insan istemewa supaya mereka turut menikmati keceriaan bulan ramadan.

Penyelaras DUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bersyukur dengan kesudian Jabatan Pengarang Harakah diketuai Ahmad Lutfi Othman yang menjadikan DUN Paya Jaras tempat pertama menanjurkan berbuka puasa.

"Saya berterima kasih dengan Ahmad Lutfi yang dalam keadaan uzur tetapi masih mampu menaja jamuan berbuka puasa bersama DMPP," katanya.

Siti Zailah bersama Mohd Khairuddin dan Mariam Abd Rashid turut mengagihkan bubur lambuk, air mineral dan kurma kepada ibu-ibu tunggal dan orang susah sambil bertanya khabar. Beliau turut melancarkan air mineral Amal Malaysia. Majlis berbuka puasa dan sumbangan itu ditutup dengan solat maghrib berjemaah.

Memandangkan ramai lagi ibu-ibu tunggal, OKU dan anak-anak yatim yang perlu diberi sumbangan, DMPP dan Jabatan Pengarang Harakah mengalu-alukan sumbangan ke Dana Ramadan nombor akaun Maybank 564025400533 atau hubungi Nadia 013-3767312.

10 akhir Ramadan: waktu terbaik bagi persiapan menjelang PRU-13

Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah, 07 Ogs 2012
Selasa, 18 Ramadan 1433H. Bermakna sudah 17 hari Ramadan berlalu, dan kini hanya tinggal 12-13 hari lagi untuk kita semua merebut segala fadhilat dan ganjaran yang dijanjikan pada Bulan Ramadan ini. Bagaimana Ramadan kita sehingga ke saat ini? Adakah iman kita telah berlaku transformasi? Bagaimana dengan ketaqwaan kita? Jawablah untuk diri kalian sendiri.

Dua hari lagi, kita semua bakal memasuki fatrah terakhir Ramadan. Fatrah 10 hari terakhir Ramadan yang disimpulkan di dalamnya akan fadilat dan ganjaran yang dapat menjauhkan kita daripada neraka Allah SWT. Sesungguhnya 10 hari terakhir ini adalah tempoh yang sangat genting dan kritikal. Ramai kalangan ummat Islam yang sudah tidak lagi fokus kepada ibadah apabila memasuki 10 akhir Ramadan ini. Bahkan hati-hati mereka sebenarnya lebih merindui kedatangan Hari Raya E’idul Fitri, dengan pelbagai perancangan dan persiapan yang dilaksanakan.

Inilah hakikat manusia, mudah lupa dan mudah untuk berasa puas. Awal Ramadan disambut dengan meriah, pertengahannya mulalah untuk suram, dan fatrah terakhirnya terus dilupakan. Mereka gagal untuk melihat akan ganjaran yang lebih besar yang ada pada 10 terakhir Ramadan itu sendiri. Walhal pada tempoh itu Allah SWT telah menjanjikan satu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan. Pun begitu, bagi seorang pejuang Agama Allah SWT, kalian jangan sekali-kali tergolong dalam golongan yang dinyatakan di atas. Sebaliknya, jadikanlah 10 terakhir Ramadan itu sebagai satu pesta ibadah yang lebih hebat daripada awal dan pertengahannya.

Sebagai seorang pejuang Islam, saya pasti dan yakin bahawa kita semua memahami akan kepentingan hubungan yang erat antara kita dengan Allah SWT. Kita menyakini bahawa Allah SWT sahajalah yang berkuasa untuk menjadikan dan mentaqdirkan sesuatu. Kita juga meyakini bahawa kemenangan itu adalah milik Allah SWT. Kita juga sedar dan percaya bahawa Allah SWT sangat menyukai hamba-hamba-Nya yang berjuang untuk menegakkan Agama Islam yang mulia ini. Dan kita juga meyakini bahawa Allah SWT pasti akan memberikan bantuan, pertolongan bahkan kemenangan kepada para pejuang agama-Nya yang sangat menjaga hubungannya dengan Allah SWT.

Justeru, dalam usaha kita, para petugas parti Islam, mempersiapkan diri kita menjelang PRU-13 nanti, saya merasakan bahawa 10 hari terakhir Ramadan itu adalah tempoh waktu yang sangat sesuai dan terbaik untuk kita semua memperkemaskan persiapan kita menuju jihad pilihan raya yang dikatakan semakin hampir ini. Hal ini kerana, antara persiapan yang paling penting bagi seorang pejuang agama ialah persiapan rohani, yang berkait rapat dengan ibadah dan pengabdian diri kita kepada Allah SWT.

Rebutlah semangat 10 akhir Ramadan ini untuk kita meningkatkan tahap persiapan rohani kita semua. Suka untuk saya cadangkan kepada para pimpinan semua peringkat untuk memberikan fokus kepada program-program berbentuk ibadah khusus seperti Qiamullail dan I’tikaf pada tempoh 10 terakhir Ramadan ini. Ya, mungkin akan ada yang mengatakan, semua itu perlu dilakukan sendiri oleh para petugas islam tanpa perlu menunggu arahan mahupun program daripada Jemaah. Namun sedarlah, ramai para petugas yang tidak mampu dan sangat berat untuk melakukan semua ini secara bersendirian. Pun begitu jika dilaksanakan secara berjemaah, saya percaya bahawa ramai yang mampu memberikan komitmen yang baik.

Akhirnya, ingatlah bahawa PRU-13 itu adalah satu jihad, sedangkan jihad itu adalah satu daripada tuntutan Islam. Jihad adalah sangat penting bagi memastikan Islam itu berada pada tempat yang tertinggi sekali dan dilaksanakan di muka bumi ini. Untuk berjihad, individu Muslim itu perlulah bersedia dari segenap sudut, dan persiapan yang paling penting sekali adalah persiapan rohani. Persiapan rohani ini mampu dibentuk melalui ibadah kepada Allah SWT.

Justeru, gunalah peluang 10 akhir Ramadan ini untuk kita meningkatkan pengabdian diri kepada Allah SWT. Dan ingatlah bahawa Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas beribadat kepada Allah SWT. Ya, kita mendambakan kemenangan pada PRU-13 nanti, untuk kita melaksanakan dan mengamalkan agama Allah SWT secara keseluruhannya di bumi Malaysia ini. Dan pasti kemenangan itu menjadi milik kita jika kita benar-benar ikhlas dan menjaga hubungan kita dengan Allah SWT. Siru ‘Ala Barakatillah. AllahuAkbar.
Mohd Afif Rabbani Bin Abdullah,
PASTI Negeri Kelantan.

Olimpik: Kabinet patut iktiraf kejayaan Chong Wei

Lim Kit Siang, 07 Ogs 2012
Kabinet pada hari Rabu ini patut memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai “Malaysian Sportsperson of the Decade” di atas kejayaannya dalam meraih dua pingat perak dalam Sukan Olimpik – satu pencapaian yang tiada bandingan dengan mana-mana ahli sukan Malaysia sebelum ini.
Rakyat Malaysia jelas hampa dan kecewa dengan kegagalan Chong Wei untuk memenangi pingat emas dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki malam semalam, yang terlepas dari genggamannya.

Walau bagaimanapun, tiada yang lebih kecewa daripada Chong Wei sendiri, yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan dengan azam dan keberanian untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik yang pertama bagi Malaysia.

Tiada penafian Chong Wei sebagai seorang tokoh sukan yang gagah bagi semua rakyat Malaysia dalam tempoh sepuluh tahun ini, yang dibuktikan dengan pencapaiannya yang jelas tiada tandingan dengan kemenangan dua pingat perak dalam sukan Olimpik bagai negaranya – dalam Sukan Olimpik 2008 di Beijing dan Olimpik 2012 di London.

Kerana inilah, penganugerahan dan pengiktirafan “Malaysian Sportsperson of the Decade” harus diberikan kepada Chong Wei oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 pada 31 Ogos dan 16 September yang akan membawa satu pengertian yang amat penting dan unik, sebagai simbol kesepakatan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri.

Penganugerahan Chong Wei ini juga mampu untuk membaiki kesan tindakan UMNO/Barisan Nasional dalam memecah-belahkan rakyat Malaysia serta merampas simbol dan erti sebenar identiti sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 dengan keputusan mereka untuk menggunakan tema “Janji Ditepati” sebagai tema Hari Kemerdekaan/Hari Malaysia bagi tahun ini, dengan logo yang begitu hodoh serta lagu yang menjijikkan.

Walaupun pelan untuk menggunakan logo yang begitu hodoh iu sudah digugurkan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim enggan berganjak dari menggunakan tema “Janji Ditepati” serta tema lagu yang mengiringnya dengan mengatakan bahawa pemilihan tema tersebut merupakan keputusan Kabinet.

Sekiranya saya meneliti tema dan lirik “Janji Ditepati” yang disandang UMNO/BN dengan pandangan serong yang berat sebelah, saya pasti akan bersetuju dengan maksud lirik tersebut, seperti:

“Janji sudah ditepati
Kini masa balas budi” atau

“Ini janji kita, BRIM Satu Malaysia
Ini janji Satu Malaysia, terima Satu Malaysia,
Kata kita dikota, Klinik Satu Malaysia
Janji kita ditepati, Kedai Satu Malaysia.”

Ini adalah kerana UMNO/BN memang tidak tahu malu apabila merampas simbol serta identiti dan maksud sebenar sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 dengan tema mengarut yang tidak sensitif serta lagunya yang pasti akan menjadi bahan ketawa kepada majoriti rakyat Malaysia yang berfikiran secara matang, yang memperkukuhkan lagi dan menjustifikasi mengapa selepas 55 tahun dibawah pimpinan yang lapuk mengapa negara ini memerlukan satu perubahan baru dalam pucuk pimpinannya.

Tindakan ini kemungkinan akan membawa padah kepada UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum Ke-13 ini yang akan menentukan jika UMNO/BN sudah sampai ke penghujung mereka sebagai kuasa mutlak Putrajaya.

Walaubagaimanapun, sebagai seorang nasionalis dan patriot Malaysia, saya mengekot apabila mengingati perampasan identiti dan maksud sebenar sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 oleh puak UMNO/BN dengan tema “pilihanraya” mereka “Janji Ditepati” dan lagu tema yang lebih jijik lagi – sesuatu yang tidak boleh diterima pakai oleh mana-mana negara yang menganggapnya sebagai sebuah negara yang benar-benar berdemokrasi dan yang mampu menilai diantara betul dan salah dan kerajaan pada satu-satu masa.

Sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu juga memberi kebenaran kepada UMNO/BN untuk merampas identiti serta maksud sebenar sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49, maka tindakan beliau itu amat merugikan – bagi dirinya dan bagi tanahair ini sekali.

Tetapi mampukah beliau mengurangkan kesan buruk tindakan memecah-belahkan rakyatnya sekiranya majlis penganugerahan “Malaysian Sportsperson of the Decade” bagi Chong Wei disertakan bersama dalam sambutan kemerdekaan ini, di atas kejayaannya meraih dua pingat perak dalam sukan Olimpik bagi tanahairnya?

Salam Idulfitri 1433H

Maaf Zahir Batin, 07 Ogs 2012
Makluman: Harakahdaily memberi peluang kepada warga Malaysia yang menuntut, bertugas dan menetap di luar negara untuk menyampaikan ucapan sempena Ramadhan dan Idulfitri 1433H kepada kaum keluarga dan sahabat handai di negara ini. Foto beserta nama, alamat dan ucapan boleh dihantar ke e-mel editorharakahdaily@gmail.com.


Yong Musirrah Zahari dari Kolej Perempuan Kobe, Japan ingin mengucapkan Salam Ramadhan dan Aidil Fitri 1433H kepada suami Azmi Md Lani, seluruh ahli keluarga Zahari's dan Md. Lani's, sanak saudara dekat dan jauh, dan tidak lupa kepada semua guru-guru dan sahabat handai. Dikesempatan ini, Yong ingin berterima kaseh atas segala  sokongan padu kalian dan seikhlas hati ingin memohon Maaf Zahir & Batin. Yong mendoakan kita semua diberkati oleh Ilahi untuk kekal dengan semangat Ramadhan Al-Mubarak  hingga bertemu ramadhan seterusnya.

Assalamualaikum, selamat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan yang mulia ini dan Salam AidilFitri diucapkan kepada Ayahanda & Bonda yang berada di kampung, Mohamad Noor bin Abdul Rahman dan Zalina binti Maulud serta Mohamad Safwan bin Mohamad Noor(along), Siti Sarah binti Mohamad Noor(kakngah) dan Siti Shairah binti Mohamad Noor(adik).  Salam Aidilfitri juga ditujukan kepada sanak saudara, guru-guru, sahabat-sahabat, serta yang mengenali diri ini. Semoga amal ibadah kita diterima olehNya dan memperoleh rahmat dan keampunanNya. Insha allah. 
Daripada: Muhammad Haniff bin Mohamad Noor, Universiti Yarmouk, Jordan.
Gambar dari kiri:  Muhammad Haniff bin Mohamad Noor, Mohamad Safwan bin Mohamad Noor dan Mohamad Noor bin Abdul Rahman (ayahanda).


Saya Muhammad Islahuddin bin Zaabar dan isteri Hasliza bte Bahruji yang kini berada di Cardiff, United Kingdom ingin mengucapkan salam lebaran buat keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan di Malaysia. Istimewa buat ibu dan ayah, Azizah bte Husin dan Zaabar bin Abu Bakar di Kg Chenderah, Jasin, Melaka, kami ucapkan "Selamat Hari Raya, dan Maaf Zahir Batin. Semoga kita bertemu di tahun hadapan". Manakala, buat mak dan abah isteri, Amnah bte Md Noor dan Bahruji bin Abdullah di Felda Air tawar 4, Kota Tinggi, Johor, kami ucapkan " Salam Aidilfitri. Juga, maafkan salah silap kami".  Tidak lupa juga buat semua adik beradik; Muhammad Idris, Nur Laily, Nur Asyikin, Nur Syakinah, Nur Atiqah dan Muhammad Izzat, adik beradik isteri; Hasrina, Zulkarnaen, Haslinda, Amirul, Siti Noraisah dan Mohd Amri, "Selamat Hari Raya". Minal aidil wal faizin.


Salam Ramadhan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin buat keluarga tercinta terutamanya Bonda Hjh. Siti Eshah, Bonda Hjh. Rajimah dan Ayahanda Hj. Zainal Abidin dan seluruh ahli keluarga tersayang di Pantai Remis, Perak. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan di KPM dan UUM dan yang mengenali kami di seluruh tanahair.  Kami memohon ampun dan maaf dari kejauhan dan doakan kejayaan kami diperantauan ini. Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.
Daripada: Mokhtar Mohd Yusoff, Nor Azizah Zainal Abidin, Muhammad Haikal Mukhlis, Muhammad Harith Mukhlis dan Alya Nabeeha.
Dari: University of Waikato, Hamilton, New Zealand.


Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan dan Salam Aidilfitri ditujukan khas buat ayahanda dan bonda kami iaitu Hj. Abd Rahman Kassim & Hjh Sarifah Harun yang berada di Kampung Jaha, Matang, Taiping, dan Hj. Mohamad Noor B Mohammad & Hjh. Hamizah Shafain yang berada di Bukit Goh, Kuantan, Pahang; kaum keluarga & sanak saudara, rakan sekerja dan  sahabat handai di UIA Kuantan, UniKL Royal College of Medicine (Ipoh, Perak), SMK Bukit Goh, SMK Seri Perak (Parit Buntar), sahabat seperjuangan di Parit Buntar, penaja iaitu KPT dan UIA, dan juga mereka yang mengenali kami dimana jua berada. Salam ingatan tulus ikhlas, maaf zahir & batin dari kami di Brisbane, Australia.
(Dari kiri) Adnan Abd Rahman, Arif Zakuan, Zaswiza Mohamad Noor, Alya Zulaikha, Ahmad Zaidan, University of Queensland, Brisbane, Australia.


Salam aidilfitri kami ucapkan buat semua keluarga, guru-guru dan sahabat-sahabat di Malaysia, dari kami pelajar tahun akhir Maahad Qiraat Fatayat Mansourah, Mesir.
Fatanah Hamzah, Azyan syazwani Ahmad Adri, Amirah Solehah Abdul Khalil, Nurul Izzah Muda, Nur Shuhada Tajudin, Nurul Nadirah Awg Mohd Nor,
Siti Fairus Muhammed, Fatinajmin Omar, Zainab Abu Bakar, Siti Nur Hidayah Abdul Samat.
Daripada: Fatanah Hamzah No.4 , Abu Al-Futtuh Street, Utubis Jadid, Moansourah, Egypt.


Kami  pelajar tahun 4 bidang Ekonomi dan Perbankan Islam ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada keluarga dan sanak saudara kami yang berada di Temerloh dan Jerantut Pahang .Kami memohon beribu kemaafan kerana tidak dapat pulang beraya pada tahun ini.Tidak lupa juga kepada para pendidik dan rakan rakan yang mengenali kami.
Dari kiri: Sarah Athirah Saruchi,Jaziha Jamaluddin, Universiti Yarmouk, Jordan


Salam Ramadhan dan Selamat menyambut Aidil Fitri 1433H diucapkan kepada ayahanda dan ibunda tercinta Mohd Zulkefli bin Arof dan Nor Shahirah binti Mat Salleh serta seluruh ahli keluarga di Perlis, warga pendidik di SK Kg Salang, SMKA Arau, Kolej Islam Sultan Alam Shah serta sahabat-sahabat dan yang mengenali diri ini dengan ucapan Kullu Am wa antum bikheir dan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin..Semoga kita semua beroleh keberkatan dalam segala gerak kerja harian kita dan diharapkan doa dari kalian agar dipermudahkan segala urusan seterusnya dapat berkhidmat dan berbakti kepada semua. Salam Aidilfitri ikhlas dari Mohd Fikri Aiman bin Mohd Zulkefli Mahasiswa Tahun 3 Kuliah Ulum Islamiah Universiti Azhar Kaherah.


Selamat berpuasa dan selamat menyambut hari raya aidilfitri khususnya Tokma Azizah dan keluarga di Taman Desa Keramat Kuala Lumpur serta Tok Fatimah dan Wan Idris sekeluarga di Kubang Semang Pulau Pinang. Tidak lupa juga warga UTEM MELAKA serta rakan taulan di tanahair. Kami mohon maaf zahir dan batin jika ada kesalahan lampau. Doakan juga kejayaan kami di sini yang dahagakan kerinduan kalian. Salam Aidilfitri.
Dari Numa, Batrisyia, Khuzairi dan Siti Khadijah Electronic Department University of Strathclyde, Glasgow, Scotland


Salam Ramadhan & Selamat menyambut Aidilfitri diucapkan kepada bonda tercinta Darina Daud dan ayahanda Muhamad Baharudin Mahmmud, adik beradik di Kota Bharu, saudara mara di Kelantan & Kuala Lumpur. Juga kepada pihak penaja MARA,guru-guru SMK(A) Falahiah,pensyarah GMI & MFI dan akhir sekali kepada Zhafrie Akmal,Hafizuddin Hassan serta sahabat handai yang mengenali diri ini....Maaf Zahir Batin...Salam rindu daripada Mohd Hakimi Muhamad Baharudin pelajar tahun pertama Ecole Nationale Superieure D'Ingenieurs Sud Alsace, Mulhouse France.


Bonjour Malaysia!!! Kami pelajar tahun satu Kejuruteraan Perancis di IUT Aix-En-Provence, Marseille ingin mengucapkan selamat Berpuasa serta Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada keluarga tercinta, sanak saudara dan semua rakan-rakan yang mengenali diri kami. Tidak lupa juga kepada para pendidik yang telah banyak berjasa.
Gambar dari kiri: Alia Amira, Arief Mirkhael, Nik Mohammad Izzul Azfar, Amir Zamri, Alif Syafiq


Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan Salam Idulfitri 1433H kepada keluarga di Kota Damansara, saudara mara di Terengganu, Pahang dan Selangor, guru-guru dan rakan-rakan bekas pelajar SK Seberang Marang, SMA Marang, SM Imtiaz Kuala Berang, SMA (A) Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu, SMKA Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu dan semua kenalan di mana sahaja. Semoga menjadi hamba Allah yang bertaqwa dan maaf zahir batin.
Salam sejahtera daripada Nurul Mardhiyyah Azmi pelajar pengajian Islam Universiti Ibn Tofail, Kenitra, Maghribi.


Kami pelajar kejuruteraan dan senibina dari University of Strathclyde, Glasgow ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada keluarga tercinta, sanak saudara dan semua rakan-rakan yang mengenali diri kami. Tidak lupa juga kepada para pendidik yang telah banyak berjasa.
Dari kiri: Hanafiah, Najhan, Aizat Tajudin, Nur Farhana Mustahidin, Idris Ab Ghafar, Najib Ramli.


Salam Ramadhan Kareem dan Salam Aidilfitri saya ucapkan kepada ayah dan mak tersayang:Abd Hadi & Hanisah Ibrahim, ahli keluarga di Kota Bharu,Kelantan, sanak-saudara, rakan-rakan, guru-guru SARJANA, MRSM Taiping, pensyarah di INTEC, pihak penaja JPA dan semua yang mengenali diri ini. Maaf zahir dan batin..doakan Hanis di sini. Daripada: Hanis Sadikin Abd Hadi, pelajar tahun akhir Bachelor of Pharmacy, University of Otago, New Zealand. Gambar dari kiri: Nadwanie Harniza Ibrahim,  Hanis Sadikin, Nurfatin Nadiah.


Tengku Syaaree Tengku Abu Bakar
Alamat: 53 Emerald Crescent, Springfield, 4300 Queensland, Australia
Ucapan: Salam Ramadhan & Selamat Hari Raya Aidilfitri saya ingin ucapkan kepada isteri, Umi Syafinaz tercinta & anakanda Tengku Nurin Damia tersayang yang berada di Terengganu. Tidak lupa juga bonda, ibu & bapa mertua yang juga berada di Terengganu & kaum keluarga, sahabat handai serta siapa yang mengenali diri saya ini. Ingin saya meminta maaf jika ada tersilap kata, moga-moga di maafkan. Semoga semuanya sihat belaka hendaknya dan menyambut kedatangan aidilfitri nanti dengan sempurna. Salam perantau dari saya, Tengku Syaaree yang bekerja di Brisbane, Australia. Maaf zahir dan batin.

"Kami pelajar Universiti Yarmouk, Jordan mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan Salam 'Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh ahli keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh rakyat Malaysia. Semoga amal ibadah kita di bulan Ramadhan Kareem diterima oleh Allah s.w.t.
"Kullu 'aam wa entum bikhair..."
Gambar:
Duduk dari kanan : Aizat Abdullah, Ilham Hussainy, Luqman ul-Hakim.
Berdiri dari kanan : Muhd Hannan, Muhd Farhan, Muhd Ainuddin, Muhd 'Ariff, Muhd 'Izzuddin.

Nama pengirim : Muhammad 'Izzuddin Mohamad Yusoff
Tempat            : Irbid, Jordan.


Selamat menyambut Ramadhan dan Aidilfitri diucapkan kepada bonda tercinta Norizan Bte Mohd Noh dan ayahanda Syed Mohd Khair serta adik dan kakak di Gombak, saudara mara di Bagan Datoh dan Changkat Tin. Juga kepada sahabat dan guru di Ma'had Attarbiyah Islamiyah (MATRI) dan SK Ren Ibnu Kathir Gombak (SRIKG). Inshallah raya tahun depan balik kampung. Salam rindu dari Syed Ahmad Fathi bin Syed Mohd Khair pelajar tahun akhir State Marine Technical University Saint Petersburg, Russia.


Salam Ramadan dan Salam Aidilfitri buat Ayahbonda Maizainah Sulong dan Abdul Jalil Milin di Bandar Tun Razak, Cheras serta Latipah Jantan & Omar Osman di Kg. Lindungan, PJ , adik beradik tersayang, sanak saudara, juga teman teman di SK Bdr Teknologi Kajang, SK Betau, K.Lipis, FGV, Petugas Kilang Felda dan semua yang mengenali kami dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin Dari (kiri) Rabiatul Adawiyah,Siti Khadijah Maisarah, Luqmanul Haqqim, Dahniar Abdul Jalil, Abdul Rahman dan Irwan Omar, Becancour, Quebec, Canada


Salam Ramadhan Kareem dan Salam Aidilfitri kepada keluarga tercinta, sanak saudara di Malaysia khususnya di Kuala Kangsar Perak, Yan Kedah, Bukit Besar Terengganu, Pernu Melaka, dan Skinchan Selangor  juga tenaga pengajar kami di UNISZA DAN KUIS dan semua yang mengenali kami. Maaf Zahir Batin dan doakan kami semoga dipermudahkan segalanya.
Ramadhan dirindui, Syawal disyukuri, Salam Aidilfitri. Kullu Sanah wa Entum Bikhair.
Dari kami mahasiswa Kuliah Adab dan Syariah Mu'tah University of Jordan
(Dari kiri: Nurul Qayyimah Kamaruzaman, Tasnim Sabri, Nur Afifah Zaki, Nurul Ain Addenan, Siti Murni Shahrom)

Tiada ulasan: