Khamis, 7 November 2013

ALLAH MENCIPTA MANUSIA...LELAKI PEREMPUAN....BEGITU JUGA ALAT KELAMIN TERMASUK NAFSU SERTA IBLIS DAN SYAITAN...MAKA TENTU ALLAH TAHU MENGUBAL UNDANG2 UNTUK MANUSIA KERANA SIFAT ALLAH MAHA BIJAKSANA SERTA MAHA ADIL....JADI KENAPA TOLAK HUKUM ALLAH@HUKUM HUDUD...ADAKAH KITA LEBIH BIJAKSANA DARI ALLAH....MEMANG KITA BODOH DAN CARI NAHAS

Apabila zina lebih mudah daripada kahwin

http://drmaza.com, 07 Nov 2013
Disiarkan pada Nov 07, 2013
APABILA ZINA LEBIH MUDAH DARIPADA KAHWIN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga ‘ketidak fahaman’ tok kadi dan seterus pengurusan pejabat agama dan mahkamah syariah. Kerenah-keranah yang berbagai telah memangsakan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
MANGSA NAFSU SOMBONG
Umpamanya, urusan kenduri kahwin atau walimah telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi memboleh kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf ‘jenama keluarga’. Sehingga ada pasangan yang terpaksa menunggu bertahun kerananya. Apatah lagi jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya, seperti sabda Nabi s.a.w:
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam ertikata lain, jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa, asalkan diadakan walimah. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; ‘kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya.
Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah. Apa yang lebih buruk apabila ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta lalu hanya dijemput orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maka, menderitakan bakal suami-isteri disebabkan keangkuhan keluarga.
KERENAH KURSUS KAHWIN
Saya bukan anti kursus kahwin. Amat baik kursus tersebut jika diuruskan dengan mantap dan betul. Dalam kursus tersebut boleh disampaikan maklumat hukum-hakam nikah yang disyariatkan Allah sehingga jenerasi muda dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam. Syariat Islam yang mudah dan penuh hikmat dapat diserap dalam pemikiran bakal pasangan, kursusnya mereka yang masih muda. Agar mereka dapat menyelami kehebatan ajaran Islam ini. Maka kursus itu menjadi saluran dakwah penuh professional, mantap, berkesan dalam jiwa dan penghayatan. Malangnya, ada kursus kahwin hari ini seakan projek lumayan untuk mengaut yuran peserta. Bukan sedikit saya terima laporan seluruh negara penceramah kursus kahwin yang berunsur lucah, lawak bodoh serta menggambarkan Islam begitu menakutkan dan susah untuk difahami dan dihayati. Hukum-hakam diterangkan secara berbelit-belit dan menyerabutkan peserta. Maka, kita lihat walaupun yuran kursus nampaknya makin tinggi dan peserta semuanya diwajibkan berkursus, masalah keretakan rumah tangga bagi generasi baru makin meningkat.
TOK KADI TAK FAHAM HUKUM
Saya juga amat tidak selesa melihat tok kadi yang selalu mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya. Padahal akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut. Tidak disyaratkan mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka.
Sehinggakan sarjana fekah semasa Dr Abd al-Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut:
“Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim: Sesungguhnya seorang arab badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w), arab badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi:
(Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian, maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima”).
Juga al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) menyebut:
(Apabila bakal suami berkata kepada wali (bakal isteri) kahwinkanlah aku dengannya, lalu wali berkenaan diam seketika, atau bertanya: “apa yang awak ada (mahar)?”, atau kedua mereka diam lalu wali itu berkata: “aku nikahkan engkau dengannya”, maka itu adalah harus (sah). Ada hadis mengenainya yang diriwayatkan oleh Sahl daripada Nabi s.a.w).
Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya. Tiada cerita satu nafas atau sekali lafaz dalam akad seperti yang ditokok tambah oleh jurunikah. Apa yang penting proses ijab dan qabul amatlah mudah. Syaratnya, ia lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi, ia menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah.
KHURAFAT AKAD SATU NAFAS
Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah. Justeru itu Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) menyebut: “Nikah itu terlaksana (sah) dengan apa sahaja yang dihitung oleh orang ramai sebagai nikah; dalam apa bahasa, atau lafaz atau perbuatan”. (petikan Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, 2/355).
Apa yang ingin saya jelaskan betapa proses ijab qabul itu begitu mudah dan senang. Memadai jika bakal suami menjawab: “aku terima nikahnya”. Tidak timbul terpaksa berulang kali seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak membuli pengantin. Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas, dan pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin: perlu ulang ke? Lalu mereka pun dengan sukanya menyebut beramai-ramai ‘sekali lagi!, sekali lagi! Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak.
KERENAH ‘MAHKAMAH’
Setelah berkahwin, rumahtangga yang dibina seperti yang diajar oleh Islam hendaklah menjadi syurga, bukan neraka. Jika perkahwinan tidak dapat membawa kebahgiaan, insan tidak disuruh memperjudikan hidup keseluruhan kerana isteri atau suaminya. Walaupun talak itu bukan perbuatan yang baik, namun ia dibenarkan jika terpaksa. Insan mempunyai matlamat hidup, bukan sekadar untuk bertungkus lumus kerana masalah seorang lelaki atau wanita. Maka Islam mengajar cara-cara yang berbagai demi menyelamatkan rumah tangga dari talak. Jika gagal, Islam juga mengajar talak untuk mengelakkan kezaliman berlaku antara salah satu pihak; suami atau isteri. Firman Allah:
(maksudnya) “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231).
Jika penerusan perkahwinan hanya memberi mudarat kepada pasangan, maka talak itu disuruh oleh al-Quran. Malanglah kaum wanita yang sepatutnya telah dikeluarkan oleh al-Quran dari kezaliman atau kemudaratan si suami, tiba-tiba terjatuh dalam kezaliman batin akibat proses birokrasi sesetengah mahkamah atas nama syariah. Maka, wanita hari ini ada yang terseksa batinnya kerana menunggu proses mahkamah yang kadang-kala memakan masa bertahun-tahun. Bagaimana mungkin isteri yang sudah tujuh lapan tahun suaminya tidak mengambil tahu soal nafkah zahir dan batin tetap disahkan oleh mahkamah bahawa dia masih suami sekalipun isteri berulang meminta dipisahkan.
Kata Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan menyebut:
“Jika suami gagal menunaikan nafkah untuk isteri, kadi memisah antara mereka jika isteri memilih untuk berpisah…Hal ini diriwayatkan dari sejumlah para sahabat dan tabi’in” (al-Mufassal, 7/217).
Beliau juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:
“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat”.
Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh al-Imam Ibn Taimiyyah:
“Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (dipasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (ibid 8/439).
Semua perbahasan yang begitu banyak boleh didapati dalam khazanah Islam itu menggambarkan rumahtangga untuk kebahgiaan hidup insan bukan untuk kedukaan mereka. Jika rumahtangga itu mengundang kedukaan, insan diberi peluang keluar oleh syarak untuk keluar dari daerah itu dengan segera. Malanglah, jika pintu keluar itu dihalang oleh kerenah biorokrasi mahkamah. Hakim barang kali ringan lidahnya menyebut: “kita tangguhkan perbicaraan kerana suami tidak hadir” sedangkan kesan jiwa begitu besar dan berat ditanggung oleh isteri
Sebenarnya dalam Islam, jalan kepada halal dan kebahagian dibuka dengan begitu luas dan mudah. Dukacita, jika atas nama agama kita menyusahkan jalan yang halal dan dalam masa yang sama ada pula pihak-pihak lain yang memudahkan jalan yang haram. Perlaksanaan agama hendaklah bukan sahaja mendakwa adil, tetapi hendaklah juga kelihatan adil.

Peluang kedua individu muflis disokong

Hambali Akram,
Pengumuman kerajaan untuk memberi peluang kedua kepada indivdu muflis dan pelepasan kepada golongan yang disenarai hitam oleh institusi bank amat wajar.

Menurut maklumat daripada Jabatan Imigresen, sejumlah 30 peratus mereka yang dilarang keluar negara akibat dasar sekarang terdiri daripada golongan penjamin – khususnya sebagai penjamin pinjaman peribadi, pendidikan, kereta atau rumah dan bukan pinjaman komersial.

Oleh itu, saya mengesyorkan agar tumpuan yang lebih diberikan kepada mereka yang muflis akibat menjadi penjamin kepada orang lain. Hal ini kerana golongan ini disifatkan teraniaya oleh sikap tidak bertanggungjawab pihak peminjam.

Peminjam biasanya akan bersedia lebih awal melarikan diri atau memindah apa-apa aset atas nama orang lain sebelum diisytiharkan muflis. Mereka tidak pernah ambil peduli nasib yang diterima oleh penjamin yang bersusah payah membantu agar mereka memperoleh pinjaman.

Bagi penjamin pula, mereka biasanya tidak bersedia dengan situasi diisytihar muflis dan akibatnya menjadi mangsa dan terpaksa menanggung hutang peminjam yang hilang entah ke mana.

Sepatutnya nasib golongan penjamin ini telah lama dibela. Namun, sekurang-kurangnya pengumuman ini memberi sedikit harapan untuk mereka kembali hidup dalam suasana normal.  Pasa masa yang sama, kerajaan dan institusi kewangan hendaklah proaktif mencari dan menghukum peminjam yang sengaja mengambil kesempatan atas kelemahan sistem undang-undang negara.

Punca sebenar kematian Yasser Arafat terdedah!

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 07 Nov 2013

Presiden Palestin, Yasser Arafat yang meninggal dunia pada 2004, dipercayai telah diracun menggunakan bahan polonium berdasarkan satu kajian makmal yang dilakukan di Switzerland.

Baca lagi

Karpal mahu PAS dibatal hanya putar belit

Harakahdaily, 07 Nov 2013
KUALA LUMPUR: “Saya telah bercakap dengan Karpal dan beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan,” jelas Lim Kit Siang dalam kenyataan kepada Harakahdaily, malam tadi.

Justeru, Ketua Parlimen DAP itu meminta semua pihak mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Berikut kenyataan beliau.

Semua orang mesti berjaga-jaga memandangkan ada pihak yang sedang cuba merosakkan kesepaduan Pakatan Rakyat.

Terbaru ialah dakwaan bahawa Pengerusi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh mahu pendaftaran PAS dibatalkan.

Saya telah bercakap dengan Karpal dan beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak langsung menyeru supaya pendaftaran PAS dibatalkan.

Beliau mengkritik Persatuan Peguam Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kerana mengugut Majlis Peguam lantaran sokongan yang diberikan badan tersebut terhadap akhbar mingguan Katolik, Herald; sambil menekankan bahawa demi kepentingan perpaduan nasional, badan-badan politik atau profesional tidak wajar beroperasi dalam kerangka perkauman atau keagamaan.

Rakyat Malaysia yang rasional dan patriotik kian bertambah runsing dengan melonjaknya kadar retorika perkauman, kurangnya toleransi agama serta kebencian di negara ini.

Kerisauan sebegini tidak wajar dibiar terpinggir dan diputarbelitkan dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas kononnya Karpal mahu PAS dibatalkan pendaftarannya.

Apa yang diperlukan kini ialah supaya warga Malaysia yang rasional dan patriotik untuk mengekalkan fokus mereka menuntut supaya segala retorika perkauman kebencian dan kurangnya toleransi agama ini kian berkurang kerana ia jelas berlawanan dengan nilai-nilai wasatiyah dan inklusif yang dirangkum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam polisi 1Malaysianya, selain di kempen antarabangsanya ke arah ‘Global Movement of Moderates’.

Tiada ulasan: