PRK Sungai Limau: Blogger Umno 'belasah' Khairy
Harakahdaily, | 06 Nov 2013 |
KUALA LUMPUR: Walaupun para pemimpin Umno cuba memperkecilkan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau, 4 November lalu, lain halnya dengan beberapa blogger Umno.
Paling teruk dikritik ialah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan kejayaan BN mengurangkan majoriti undi PAS sebagai satu 'tamparan hebat' dan 'kemenangan moral buat BN'.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan menyifatkan wakil rakyat baharu Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abd Samat 'tidak boleh duduk selesa' kerana kejayaan BN menembusi kubu kuat PAS itu.
Bagaimanapun pandangan Khairy disanggah blogger Umno, Alahai Si Luncai yang mahu Ahli Parlimen Rembau itu menarik balik kenyataan tersebut.
"Kalau menang dengan majoriti 1,084 undi dikatakan menerima tamparan hebat, yang kalah 1,084 undi dengan segala kekuatan maksima nak dikatakan apa?
"Aku sekali lagi harap akan ada pihak buat pencerahan. Kita nak mengadap kerja besar PRU14. Kalau kita tak betulkan cara berfikir orang Umno, khasnya pemimpin kanan parti, aku bimbang kita pakat-pakat rasa seronok dengan 'kejayaan' di Sungai Limau," tulisan Alahai Si Luncai dipetik.
Seorang lagi blogger Umno yang berasal dari Kedah muncul dengan komen yang lebih pedas melalui entri "Ini perangai Pemuda Umno kalau hangpa nak tahu".
"Bila majlis, merekalah ke depan, kat atas pentas dan sama VIP dan VVIP.
"Bila pemilehan, mereka lah yang nak kuasai hampir semua jawatan - dari cawangan hingga ke atas Majlis Tertinggi dan pucuk kepimpinan?
"Bila pilihanraya, mereka lah yang menguasai 80% senarai calun?
"Bila jawatan sebagai Menteri, Pengerusi Agensi dan GLC, Setiausaha-setiausaha dan pegawai khas Menteri dan lain-lain ... hampir semua jantan belaka!
"Tapi bila berkempen dan meraih undi, berperang dengan kumpulan provokasi pembangkang, perempuan yang berhempas pulas. Kenapa?
"Mana Pemuda Umno? Promote diri depan Menteri kah?
"NKP (Naib Ketua Pemuda Umno) siap janji dalam meeting nak bawa 2 ribu pemuda... Tapi semua tu cekelat angin..
"Kalau macam ni la SOP Pemuda, alamatnya lingkup BN PRU14... Gerak kerja pemuda Umno bawah KJ dan NKP fail..." tulis bloger tersebut.
Blogger The Unspinner pula menyifatkan Pemuda Umno gagal melaksanakan tugas pada PRK Dun Sungai Limau.
"Mereka hanya hooray hooray bila Khairy datang," tulisnya.
Kegagalan jentera Umno membawa keluar 2000 'pengundi putih' (penyokong BN) juga dijadikan faktor kekalahan BN.
"Pengangkutan adalah tugas Bahagian (Umno), dan sedikit sebanyak Wanita (Umno) dengan Pemuda (Umno) memainkan peranan utama. Takkan perempuan ditugaskan bawa kereta dan motor untuk bawa orang keluar mengundi.
"Pasti ada nak kata jentera tempatan tak bermaya. Memang difahami mereka agak takut sebab akan dipulau masyarakat selepas PRK, tapi Pemuda (Umno) luar di mana?" soal The Unspinner.
Protes pencabulan hak asasi Orang Asal Sarawak
Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan, | 06 Nov 2013 |
Kerajaan Negeri Sarawak dibawah pemerintahan Ketua Menteri Taib Mahmud telah mencabuli Hak Bumiputera Sarawak secara konsisten dan berterusan melalui rampasan tanah milik bumiputera Sarawak untuk pembalakan haram pembinaan tiga empangan mega di Batang Ai, Bakun dan Murum serta pembinaan terancang sembilan lagi empangan di Baram dan daerah-daerah lain yang menyebabkan air sungai yang melimpah pemindahan monokultur minyak kelapa sawit secara berleluasa ke kawasan milik Bumiputera Orang Asal Sarawak penghasilan sisa toksik, pencemaran dan penggunaan tenaga yang banyak oleh industri-industri peleburan di kawasan industri (SCORE) di sepanjang pesisir pantai Sarawak.
Pemusnahan alam sekitar secara terancang dan dahsyat ini telah membawa kesan yang tidak dapat dibaikpulih kepada komuniti bumiputera Orang Asal. Mereka telah melindungi hutan sejak zaman-berzaman sebagai sumber makanan, kawasan ladang kecil-kecilan, tempat penempatan (rumah panjang), tempat penyembahan dan tanah pengebumian mereka. Kehidupan mereka dan adat resam mereka bergantung kepada tanah-tanah mereka serta hutan-hutan yang tidak diteroka. Tanah adalah jiwa Orang Asal.
Pengusiran Orang Asal daripada tanah-tanah mereka telah terbukti sebagai satu pemusnahan budaya. Penempatan semula secara paksa Orang Asal ke Sungai Asap untuk membuka jalan kepada pembinaan Empangan Bakun telah menyebabkan kemiskinan dan kesusahan dalam komuniti Orang Asal tersebut. Penempatan baru yang disediakan kerajaan adalah sebahagian daripada kawasan ladang kelapa sawit dan tidak sesuai untuk penanaman padi bukit dan pelbagai tanaman lain. Penempatan tersebut juga terletak jauh daripada kawasan hutan yang pernah didiami mereka. Sekolah-sekolah dan klinik-klinik yang dipohon oleh komuniti Orang Asal kepada pihak kerajaan tidak mencukupi. Di samping itu, kemudahan-kemudahan yang disediakan dibina secara tidak teliti dan sambil lewa serta kebanyakannya tidak berada dalam keadaan bersih dan selamat. Penempatan semula secara paksa ini boleh disamakan dengan penempatan “Kampung Baru” ketika Perintah Darurat pada tahun 1948 hingga 1960 di Persekutuan Tanah Melayu. Tambahan pula, keadaan hidup Orang Asal ini meyerupai keadaan di kem perlindungan orang pelarian.
Perlindungan Tanah Bumiputera Orang Asal (Blockade) di Murum, Sarawak
Sejak 23 September 2013, komuniti-komuniti Penan di Murum telah memulakan perlindungan/kepungan (Blockade) yang ketiga kali sebagai tindakbalas terhadap kegagalan Kerajaan Negeri Sarawak dan badan-badan berkaitan dengannya memberikan pampasan dan gantirugi yang adil. Seluruh komuniti Penan termasuk wanita dan kanak-kanak telah berkumpul dan bertahan di bawah terik matahari dan hujan lebat semenjak enam minggu lepas bagi menyuarakan protes mereka.
Perlindungan Tanah Bumiputera Orang Asal (Blockade) di Baram, Sarawak
Komuniti Orang Ulu di Baram juga telah memulakan perlindungan/kepungan (Blockade) mereka semenjak 23 Oktober 2013 bagi menghalang kerja-kerja pembinaan Empangan Baram daripada terus dijalankan. Mereka, secara aman, telah meminta para pekerja di Empangan Baram untuk meninggalkan kawasan tersebut. Para pekerja empangan telah memenuhi permintaan mereka dan meninggalkan lokasi pembinaan secara aman. Kerja-kerja pembinaan Empangan Baram yang dilakukan telah dihentikan.
Desakan Masyarakat Sivil Malaysia
Gerakan hak asasi Orang Asal di Malaysia secara umumnya, dan gerakan hak asasi Orang Asal di Murum dan Baram secara spesifiknya, adalah tidak terpisah dengan gerakan Masyarakat Sivil Malaysia dalam menentang sebarang ketidakadilan dan penindasan yang melibatkan masyarakat Malaysia secara seluruhnya. Kami memprotes dengan keras penindasan yang dilakukan ke atas kami seperti ini. Desakan-desakan Orang Asal di Murum dan Baram juga adalah desakan-desakan kami.
Masyarakat Sivil Malaysia mendesak Kerajaan Negeri Sarawak, badan-badan, kontraktor-kontraktor dan agen-agen berkaitan dengannya:
1. Serta-merta menghentikan proses penakungan air di Empangan Murum dan menghentikan pembakaran rumah-rumah panjang milik komuniti Penan di Murum. Seterusnya, mereka perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa ada unsur-unsur ugutan, paksaan, korupsi dan salahguna kuasa atau percubaan untuk membahagi dan memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok-kelompok kecil.
2. Serta merta menghentikan segala kerja berkenaan kaji selidik dan pembinaan Empangan Baram. Seterusnya, mereka perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa ada unsur-unsur ugutan, paksaan, korupsi dan salahguna kuasa atau percubaan untuk membahagi dan memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok-kelompok kecil.
Masyarakat Sivil Malaysia juga mendesak Polis Diraja Malaysia:
3. Perlu segera menghentikan sekatan-sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota Polis bagi membolehkan bekalan makanan dan minuman, bantuan perubatan, sukarelawan, para wartawan dan pekerja-pekerja media alternatif dapat keluar masuk ke Murum tanpa sebarang gangguan. Polis Diraja Malaysia juga perlu memberikan khidmat yang paling profesional dalam melindungi Orang Asal di Murum dan Baram yang cuma mempertahankan Hak Asasi mereka yang dikurniakan dan dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia, untuk hidup dengan aman di Malaysia.
___________________________________________________
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Badan ‘Damn the Dams Action Group’ (Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan) dan dipersetujui oleh organisasi-organisasi Masyarakat Sivil Malaysia berikut:
List of individuals and organizations endorsing the Statement
Masyarakat Sivil Malaysia Menyokong Perlindungan Hak Asasi Bumiputera (Orang Asal) Sarawak daripada Pembinaan Empangan Hidroelektrik di Murum dan Baram, Sarawak.
Dikeluarkan pada 6hb November 2013 di Kuala Lumpur, Malaysia.
Q&A: Had kawasan masjid bagi wanita haid
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 06 Nov 2013 |
Apa hukum wanita haid duduk di serambi atau anjung masjid atau di tingkat bawah masjid yang digunakan untuk meletak dan menyimpan barang-barang keperluan masjid, bukannya di tempat yang dikhaskan untuk solat? Adakah tempat tersebut dikira hukum masjid juga?
Jawapan;
Kawasan yang dilarang untuk diduduki oleh wanita yang sedang haid ialah kawasan disediakan sebagai ruang solat atau diwakafkan sebagai tempat solat (oleh pemberi wakafnya). Adapun tempat-tempat yang bukan disediakan sebagai ruang solat (tetapi disediakan untuk tujuan lain seperti dewan orang ramai, bilik seminar, stor dan sebagainya), tidaklah dilarang wanita haid untuk duduk di situ walaupun kedudukannya bersebelahan dengan ruang solat.
Kalimah al-Masjid dari segi bahasa bermaksud tempat sujud. Sujud di sini adalah perkataan simbolik kepada solat kerana sujud adalah salah satu rukun utama di dalam solat. Mengikut istilah (yang sedia difahami di sisi ulama); Masjid bermaksud tempat yang disediakan secara tetap untuk dilaksanakan solat lima waktu di situ. Jika turut dilaksanakan solat Jumaat di situ, maka ia dinamakan al-Masjid al-Jami'. Melihat kepada pengertian ini, kawasan tempat perhimpunan solat hari raya, madrasah-madrasah, tempat-tempat menghafal al-Quran dan seumpamanya tidaklah tertakluk dengan hukum masjid (walaupun sekali sekala ditunaikan solat di situ), kerana tempat-tempat tersebut tidak dibina untuk tujuan solat lima waktu. (al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
Berkata Imam al-Nawawi; Jika wanita turut sama hadir di tempat perhimpunan solat atau di masjid (pada hari raya), hendaklah mereka yang dalam haid menjauhi ruang solat dan hendaklah mereka duduk di pintunya sahaja. (al-Majmu', bab Solat al-'Idain). Dari penjelasan Imam Nawawi ini dapat kita fahami bahawa kawasan di luar ruang solat di masjid tidaklah dilarang wanita yang haid untuk duduk di situ sekalipun bersebelahan dengannya.
http://ilmudanulamak.blogspot.com
Blog boikot barangan Cina akan disaman MT Umno
http://darisungaiderhaka.blogspot.com, | 06 Nov 2013 |
Blog Boikot Barangan Cina DAP akan disaman Syarikat Ahli Majlis Tertinggi UMNO
Sudahlah racist bodoh pula.. itulah perkataan yang sesuai buat Admin Blog Boikot Barangan Cina yang diujudkan oleh macai UMNO bagi menjalankan gerakan boikot produk berkaitan Cina..
Baca lagi
Mengapa harga gula hanya turun di Sungai Limau?
Harakahdaily, | 06 Nov 2013 |
Semasa pilihan raya kecil Dun Sungai Limau harga gula diturunkan sehingga RM1 sekilo.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan alasan untuk mengelakkan penyakit diabetes (kencing manis) tetapi semasa pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau gula dijual dengan harga yang murah.
“Sungguh beruntung penduduk di Sungai Limau kerana dapat membeli gula dengan harga murah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, mengapa hanya semasa kempen PRK Sungai Limau kerajaan dapat menurunkan harga gula tetapi selepas itu harga gula naik semula seperti biasa.
“Mengapa hanya semasa PRK harga gula boleh diturunkan sedangkan apabila tiada PRK harga gula susah hendak diturunkan walaupun harga gula dunia sudah jatuh?
“Di mana keikhlasan kerajaan untuk menjaga kesihatan rakyat?” tanya beliau lagi.
Di sini, katanya jelas menunjukkan betapa tidak ikhlasnya kerajaan BN terhadap rakyat kerana mereka hanya mementingkan undi dan kekuasaan dari menjaga kesihatan rakyat.
Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan dan kesihatan rakyat, sepatutnya kerajaan tidak mempermainkan perasaan rakyat dengan menipu rakyat semasa berkempen dengan menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan dan menganggap rakyat Malaysia seolah-olah seperti anak-anak kecil yang tidak mengerti untuk menjaga kesihatan diri sendiri.
Contohnya, ujar beliau harga gula boleh diturunkan semasa PRK tetapi selepas itu naik semula tanpa memberi sebarang sebab mengapa harga gula hanya turun semasa pilihan raya saja.
Ini, kata beliau jelas satu penipuan yang nyata terhadap rakyat kononnya kerajaan menaikkan harga gula sebab hendak menjaga kesihatan rakyat tetapi semasa PRK semua masalah kesihatan diketepikan begitu saja.
“Kita menggesa pihak kerajaan segera menurunkan semula harga gula pada harga sebelumnya atau lebih murah lagi,” katanya.
Beliau berkata, penyakit diabetes tiada kena mengena dengan kenaikan harga gula.
Walaupun harga gula naik, ujar beliau penyakit diabetes masih juga berlaku selagi ada orang yang mengambil guna secara berlebihan dalam makanan dan juga minuman.
Tambahnya, adalah lebih baik pihak kerajaan memberi penerangan tentang menjaga kesihatan serta mengawal bahan makanan dan minuman yang menggunakan gula secara berlebihan daripada menaikkan harga gula.
“Akibat kenaikan harga gula, hampir semua makanan seperti roti dan minuman juga naik. Kenaikan harga gula hanya membebankan kehidupan rakyat biasa,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan