Rabu, 1 Ogos 2012

REZEKI DIDUNIA AKAN TINGGAL JUA...REZEKI DIAKHIRAT YANG LEBIH HAKIKI...SYURGALAH YANG DIADAMI...USAHANYA DIDUNIA

Bidaan AP: Kereta murah pendapatan bertambah

Muhamad Faizal, 31 Jul 2012
PETALING JAYA: Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata pengurusan permit import (AP) kereta yang lebih baik bukan sahaja menjadikan harga kereta lebih murah malah pendapatan negara juga bertambah.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini beliau beliau melahirkan keyakinan bahawa jualan AP secara bidaan umum juga lebih menguntungkan negara dan boleh menggantikan cukai eksais.

"PKR telah menjelaskan bahawa jumlah cukai RM8 bilion yang dianggarkan dikenakan ke atas rakyat sekarang ini sebenarnya akan dipulangkan kepada rakyat.

"Jumlah ini akan dibelanjakan oleh rakyat di dalam ekonomi negara yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Umno BN ujarnya telah mungkir janji untuk menghapuskan AP seperti yang diumumkan di dalam Dasar Automotif Negara yang berkuatkuasa bermula 20 Oktober 2005.

Janji untuk menghapuskan AP menjelang 31 Disember 2010 tidak ditepati, sebaliknya kini sasaran itu ditangguhkan pula ke 31 Disember 2015.

"Sistem AP bukan sahaja menyebabkan harga kereta yang lebih tinggi tetapi hanya menguntungkan sesetengah pihak yang rapat dengan Umno BN.

"Janji Umno BN supaya hasil dari AP ini akan digunakan untuk membantu usahawan Bumiputra di dalam sektor automotif juga tidak ditepati," katanya.

Sehubungan itu katanya, Pakatan Rakyat menwarkan beberapa langkah baru bagi mendapatkan nilai terbaik dari AP yang dikeluarkan.

Antaranya termasuk membuka penjualan AP kepada bidaan umum bermula dengan harga-harga tertentu mengikut kategori kereta dan penggunaan bahan api.

Harga permulaan bidaan menurutnya ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat bahan api, RM20,000 bagi kategori kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kategori kenderaan berkuasa tinggi yang menggunakan bahan api yang lebih;

"PKR percaya harga purata bagi setiap AP yang dikeluarkan boleh mencecah RM40,000 apabila penjualan AP dibuka kepada proses bidaan.

"Dengan anggaran sebanyak 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa hasil sebanyak RM2.8 bilion setiap tahun kepada kerajaan," katanya.

Menurutnya lagi, walaupun harga AP akan ditentukan oleh proses bidaan untuk mendapatkan hasil terbaik kepada negara, penghapusan cukai eksais secara berperingkat bermakna harga kereta secara purata akan tetap turun.

Pendapatan tambahan dari hasil AP yang dirombak dianggarkan akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat di antara RM2 bilion hingga RM3 bilion setiap tahun bagi mengimbangi penurunan kutipan cukai eksais.

"PKR merasakan formula ini adalah lebih baik berbanding pendekatan mencekik darah rakyat melalui cukai eksais berkali ganda yang menyebabkan rakyat terpaksa berhutang untuk membayar cukai kepada kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis ini dijangkakan akan mengumumkan satu mekanisma baru bagi mengantikan cukai eksais dalam memastikan tidak akan berlaku impak yang besar kepada ekonomi negara.

MPK teruskan operasi ke atas rumah urut

Harakahdaily, 31 Jul 2012
KLANG: Sebuah premis rumah urut haram yang disyaki menawarkan perkhidmatan seks disita dalam satu serbuan di Bandar Botanic di sini.


Ketika serbuan,terdapat dua pelanggan dan tiga pekerja warga asing dari Thailand dan Myanmar manakala pemilik premis bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa di situ.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Andry Arman Masrom berkata, operasi yang diadakan adalah hasil risikan dan maklumat orang ramai serta pemantauan berterusan pihaknya terhadap premis-premis rumah urut khususnya sekitar kawasan ini.

“Antara barangan yang disita ialah tilam, bantal dan langsir serta tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK 2007 kerana beroperasi tanpa lesen.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada pihak yang melanggar undang-undang ditetapkan majlis  terutama berkaitan premis rumah urut,” katanya.

Andry berkata, rumah urut berkenaan dipercayai menawarkan tiga pakej kepada pelanggan antaranya urut batin, B2B dan perkhidmatan seks dan bayaran sekitar RM135 sehingga RM168.

Menurutnya, MPK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar kepada undang-undang dan majlis sentiasa mengalu-alukan aduan dan pendapat daripada orang awam bagi tujuan pencegahan.

Tamat kontrak tudung bukan rezeki saya - Abby

Muhammad Faizal, 31 Jul 2012
PETALING JAYA: Artis wanita yang baru menyertai PAS, Abby Abadi telah dimaklumkan bahawa kontrak beliau sebagai duta tudung Alhumaira Contemporary telah dibatalkan.


Penamatan kontrak tersebut telah dikaitkan dengan tindakan beliau menyertai PAS.


Abby Abadi ketika dihubungi Harakahdaily menjelaskan beliau menerima secara terbuka keputusan tersebut dan menyifatkkan itu bukan rezekinya.


"Saya terima keputusan pembatalan kontrak yang telah dibuat oleh syarikat tersebut.


"Mungkin ini bukan rezeki saya," jelasnya.


Abby Abadi melalui twitternya memberitahu pada 4 Julai 2012 kontrak beliau sebagai duta kepada syarikat tersebut terbatal secara rasmi.
Beliau menerimanya dengan hati yang terbuka serta meminta maaf kerana melibatkan Pakatan Rakyat.

Hari Pahlawan: Perluas skop pada sirah Rasulullah

Harakahdaily, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh perjuangan-perjuangan tanah air ketika era mereka agar menjadi kenangan dan teladan bagi membina kedaulatan negara yang kita cintai ini.
“Jadikanlah hari ini sebagai suatu hari kepada permulaan untuk kita menginsafi diri kepada para perjuang yang ikhlas berjuang dan telah berkorban apa jua demi memastikan keharmonian sistem bernegara kita dirasai hingga ke saat ini dalam semangat kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing,” kata Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar al-Hiss (gambar).

Kepada umat muslim, ujarnya hari pahlawan juga boleh diperluaskan skopnya kepada peringatan umat Islam kepada Baginda Rasulullah SAW iaitu Pahlawan Ulung Tertinggi Ummah Islam dari dahulu sehingga akhir zaman yang banyak dikisahkan dalam sirah Nabi selama ini.

"Kita sewajarnya mengambil sempena hari pahlawan ini sebagai menunjukkan rasa kekaguman kita kepada Baginda dan para sahabatnya Baginda,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sudah tentu agama Islam mendidik umatnya agar menunjukkan adab seorang muslim yang sejati hatta di dalam medan berjuang sekali pun.

“Akhirnya, kami doakan agar semoga roh-roh para pahlawan negara akan ditempatkan di tempat yang tertinggi di akhirat kelak dengan keizinan Allah SWT.

“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa para pahlawan negara yang telah kembali ke rahmatullah,” ujarnya.

Beliau juga menyeru para pahlawan negara yang masih di medan agar mencontohi tentera-tentera yang pernah dipimpin oleh Baginda Rasulullah SAW agar kekuatan dan iltizam mereka adalah pahlawan sejati yang dicorakkan oleh Islam yang sebenarnya.

Slogan ‘Sayangi Selangor’ candu tipu rakyat

Harakahdaily, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, slogan ‘Sayangi Selangor Yakini BN’ sudah terlambat yang mana rakyat menganggap ia hanya candu untuk menipu mereka.
Beliau merujuk kepada slogan itu yang telah diperkenalkan selepas Umno kalah di Selangor di dalam PRU12.

Malahan, kata beliau yang paling lucu slogan itu telah direka untuk dijadikan lirik lagu di dalam program yang melibatkan pegawai kerajaan.

“Beberapa pegawai yang menghubungi saya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Umno yang begitu melampau dan hilang haluan sehingga  memasukkan tema ini di dalam program yang dihadiri oleh pegawai kerajaan.

“Apabila tema ini dikemukakan, rakyat Selangor yang cerdik bertanya-tanya kenapa slogan ini dikemukakan?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Tanya beliau lagi, kenapa sekarang  baru hendak sayang Selangor, selama 51 tahun apa yang Umno BN buat supaya khazanah Selangor terpelihara.

“Apakah BN hanya sayang rakyat, setelah rakyat benci BN?” ujarnya lagi

Katanya, bagaimana BN hendak memaksa rakyat supaya yakin kepada BN, sedangkan peluang 51 tahun diamanahkan kepada mereka dipersia-siakan dan tidak nampak apa istimewanya Selangor berbanding dengan negeri lain.

Tambah beliau, sumber kekayaan hanya mengalir di kalangan kroni mereka sahaja dan tidak berlaku pengagihan kekayaan kepada rakyat jelata.

Jelasnya, Pakatan memerintah baru hampir lima tahun sudah terbukti dan teruji.

Menurutnya, Selangor penyumbang 23 peratus kepada ekonomi negaradan rizab negeri meningkat daripada RM400 juta kepada RM1,900 juta.

Katanya lagi, kemelut Syabas dengan kerajaan negeri menjadi tanda aras Umno memang  pembela kroni dan mengenepikan kepentingan majoriti rakyat sedangkan kerajaan pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim berusaha untuk membela rakyat sehingga beliau sendiri mengetuai demontrasi untuk menghantar memoradum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 5 Disember 2010.

“Beliau sanggup bersusah payah dan berhadapan dengan tembakan gas pemedih mata semata-mata untuk memastikan harga air tidak naik.

“Adakah Noh Omar sanggup berbuat demikian untuk rakyat?” katanya.

Menurutnya, kerajaan BN akan bermati-matian untuk merampas Selangor kerana ia adalah lubuk emas kroni yang mana memerintah negeri itu sama seperti memerintah Malaysia.

“Tidak hairan media Umno setiap saat telah diarahkan untuk menyerang Selangor walaupun dengan jalan tidak bermaruah," ujar Idris lagi.

Bersih 3.0: Ringkasan mingguan inkuiri Suhakam

JK Pemandu Bersih 2.0, 31 Jul 2012
Siasatan awam pihak Suhakam ke atas dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman Bersih 3.0 telah bermula sejak 5 Julai yang lalu. Sehingga kini, seramai 17 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan dan pada minggu lepas (23 – 26 Julai), panel siasatan telah mengambil testimoni daripada 9 orang saksi.
Bersih 2.0 berhasrat untuk membentangkan laporan ringkas berhubung testimoni yang diterima daripada orang awam yang berani tampil ke hadapan sebagai saksi. Berikut merupakan sebahagian daripada pelanggaran hak asasi manusia yang telah direkodkan sepanjang inkuiri berlangsung:

KEGANASAN POLIS

Tujuh daripada sembilan orang saksi menyatakan bahawa mereka telah diserang oleh polis dan kesemua sembilan saksi melihat anggota polis menyerang orang awam yang lain. Malah seorang saksi memberitahu, polis mengarahkan sebuah restoran A&W yang telah dikunci untuk dibuka bagi membolehkan mereka masuk. Sebaik dibuka, polis masuk ke dalam dan terus mengasari serta menahan orang awam yang berada dalam restoran berkenaan.

SALAH LAKU POLIS

Selain daripada menyerang, polis juga berkelakuan amat ganjil dan sangat tidak professional. Salah seorang daripada saksi telah memberitahu panel penyiasat bahawa dia telah dihina secara perkauman oleh anggota polis yang menyerangnya. Rantai emas yang dipakai dia juga dirampas oleh polis berkenaan dan masih belum dikembalikan walaupun laporan polis telah dibuat. Seorang saksi lain menyatakan bahawa dia melihat sebuah kereta polis dipandu dalam keadaan laju melalui kawasan yang dipenuhi dengan orang awam. Malah terdapat orang awam yang sedang duduk di kawasan tersebut. Terdapat juga seorang saksi yang memberitahu bahawa anggota polis yang memukulnya memakai uniform yang hanya bertanda nama tetapi tidak memiliki nombor pengenalan polis.

PENGGUNAAN GAS PEMEDIH MATA SECARA MEMBUTA TULI

Terdapat beberapa anggota polis dan FRU yang melepaskan tembakan gas pemedih mata secara terus terhadap orang awam walhal mereka sepatutnya melepaskan tembakan dari jarak yang selamat bagi membolehkan peserta bersurai. Seorang saksi terpaksa menderita hilang penglihatan mata sebelah kiri akibat terkena kelonsong gas pemedih mata yang ditembak dari jarak dekat. Dia baru sahaja bergraduasi dan telah kehilangan pekerjaan pertama akibat kecederaan yang dialami. Beberapa saksi lain menyatakan terlalu banyak gas pemedih mata dilepaskan di kawasan sempit yang dipenuhi orang awam menyebabkan mereka tidak mempunyai ruang untuk menyelamatkan diri. Diawal inkuiri, seorang saksi memberitahu panel siasatan bahawa dia telah terkena kelonsong gas pemedih mata di leher menyebabkan dia pengsan semasa kejadian.

MASA TIDAK MENCUKUPI UNTUK BERSURAI

Dua orang saksi memberitahu mereka ingin pulang ke rumah pada pukul 4 petang namun terhalang kerana stesyen LRT ditutup. Keadaan ini menyebabkan mereka keliru dan memaksa mereka untuk duduk di kawasan yang sarat dengan tembakan gas pemedih mata dan tembakan meriam air. Pada waktu itu juga polis datang dan menyerang mereka.

SERANGAN KE ATAS KAKITANGAN MEDIA

Tiga orang wartawan telah memberi keterangan bahawa tag media mereka telah diabaikan oleh pihak polis yang telah merampas kamera mereka, mengarahkan mereka berhenti daripada membuat rakaman dan menyerang mereka. Seorang wartawan yang berjaya melepasi dua barisan kawalan polis telah ditumbuk semasa berada di tengah-tengah benteng polis berkenaan. Polis juga enggan menyerahkan semula kad memori yang dirampas daripada kameranya.

Salah seorang petugas media pula telah diberi amaran oleh anggota polis agar tidak menangkap gambar dan anggota polis berkenaan cuba merampas kamera serta menendang tag media dia bagi membolehkan dia ditangkap. Dia kemudiannya bertanya arah kepada anggota polis berkenaan namun anggota berkenaan memberi amaran kepadanya dengan mengatakan “Kalau aku nampak kau lagi, aku akan tangkap kau.”

Petugas media yang ketiga memberitahu panel inkuiri semasa dia sedang duduk di tepi jalan, dia melihat OCPD Dang Wangi sedang memberi arahan kepada sekumpulan anggota polis dengan menggunakan haller, namun dia tidak dapat mendengar arahan tersebut. Setelah itu, kumpulan anggota polis tersebut bersurai dan mula menyerang peserta himpunan secara rawak. Tiba tiba, tujuh atau lapan orang anggota polis datang ke arahnya dan menyerangnya secara berterusan walaupun dia menjerit memaklumkan dia adalah petugas media.

KELAKUAN ANGGOTA POLIS YANG TIDAK KONSISTEN

Di sebalik ribuan peserta yang dibenarkan untuk memakai baju kuning, seorang saksi memaklumkan dia diminta oleh oleh pihak polis untuk menanggalkan baju kuning yang dipakainya dan terpaksa pulang ke rumah tanpa kemeja T.

Setakat ini, siasatan yang dijalankan oleh pihak Suhakam menunjukkan terlalu banyak pencabulan hak asasi yang telah berlaku ke atas peserta “Duduk Bantah” Bersih 3.0. Siasatan ini akan diteruskan pada minggu ini dengan pendengaran seterusnya pada 1 dan 2 Ogos. Lebih ramai saksi akan dipanggil termasuk daripada anggota polis. Bersih 2.0 mengharapkan kebenaran akan dapat didedahkan sekaligus memberikan cerita sebenar tentang apa yang telah berlaku pada 28 April 2012 apabila 250,000 rakyat Malaysia tampil untuk menuntut sebuah pilihanraya yang bersih dan adil.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 adalah: Dato’ Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), Datuk A. Samad Said (Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Khoo, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah (Kuching), Dominic Hii (Sibu), Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rias, Liau Kok Fah, Mark Bujang (Miri), Maria Chin Abdullah, Niloh Ason (Kuching), Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.

Apa kemungkinan kesan tokoh Umno BN berhijrah

Abdul Aziz Mustafa, 31 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuik Mahfuz Omar meminta rakyat bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan tindak balas Umno dan Barisan Nasional (BN) berikutan perubahan yang berlaku kini.

"Maklumat-maklumat menyatakan lebih ramai lagi yang akan meninggalkan Umno dan BN. Apa sahaja boleh terjadi termasuklah runtuhnya pemerintahan 55 tahun parti yang dipanggil parti perasuah yang busuk hingga ke usus oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu.

"Walaupun satu dua tokoh Umno peringkat bawahan pernah membuat kenyataan bahawa parti itu akan menerima perubahan tanpa bertindak ganas, tetapi rakyat perlulah bersedia menghadapi dengan matang apa jua kemungkinan tindak balas parti yang hanya hidup dengan mengapi-apikan isu perkauman itu," kata beliau.

Bagi Mahfuz, apa yang disifatkannya sebagai permulaan penghijrahan lebih ramai wakil rakyat dan tokoh Umno BN itu bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

"Dari perbincangan-perbincangan secara jujur dengan mereka sebelum ini, sebenarnya ramai ahli-ahli Parlimen BN yang sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

"Mereka melihat pentadbiran Najib sebagai pentadbiran 'flip flop' yang lebih teruk dari pentadbiran Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebelum ini, lemah dan kucar kacir," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mereka, katanya lagi, melihat keputusan kabinet Najib bersifat separuh masak seperti keputusan mengenai Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

"Mereka juga melihat polisi-polisi kabinet di"u turn"kan seperti keputusan mengenai penggabungan MAS-Air Asia sebelum ini.

"Mereka juga tidak sanggup menghadapi tekanan akar umbi Umno yang semakin tidak berpuas hati apabila kroni-kroni seperti George Kent ditawarkan projek berbilion ringgit walaupun tidak layak.

"Kesemua ini menyebabkan rasa meluat mereka terhadap Najib dan kerajaannya sampai ke tahap kemuncak," kata Mahfuz.

Menambahkan rasa benci mereka, katanya lagi, ialah apa yang mereka lihat dan dakwa sebagai campur tangan berlebihan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, dalam urusan pentadbiran kerajaan.

"Dalam perbualan-perbualan tersebut, ada pemimpin tertinggi Umno secara bergurau menyatakan BN maknanya 'bini Najib'.

"Walaupun bergurau dalam rungutan tersebut, tetapi kita dapat melihat keresahan mereka terhadap apa berlaku sehingga ada di antara mereka yang menyifatkan Rosmah adalah Perdana Menteri sebenar atau de facto Prime Minister," katanya.

Sebahahagian yang lain pula, kata Mahfuz, menyatakan rasa meluat mereka kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir.

"Walaupun tidak ramai dan tidak lantang kerana Dr Mahathir begitu dirasai sangat berpengaruh dan mata serta telinganya dikatakan ada di mana-mana di dalam Umno termasuk di kalangan ahli-ahli Parlimen parti itu, golongan yang meluat kepada Dr Mahathir mahu bekas Presiden Umno itu tutup mulut atau 'shut up'," kata Mahfuz.

Dalam perkembangan berkaitan, para pemimpin Umno kini dilaporkan sibuk menangani gelora yang berlaku di Sabah yang dimulakan dengan tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin meninggalkan Umno dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Bumburing meninggalkan BN.

Tarikh pilihan raya yang dirancang oleh Najib juga dilaporkan terpaksa dipinda berikutan perkembangan yang dilihat sebagai permulaan kepada bencana yang lebih besar kepada BN itu.

Tiada ulasan: