Khamis, 2 Ogos 2012

ADA YANG FIKIR MASYUK DUIT... RAKYAT BELAKANG KIRA...ADA YANG TAK MASYUK SEBAB GOPOH-GAPAH

Selemah-lemah Pak Lah tidak tarik logo Merdeka

Harakahdaily, 02 Ogs 2012
KUANTAN: Selemah-lemah Tun Abdullah Badawi (Pak Lah), tidaklah sampai logo sambutan Hari Kemerdekaan perlu ditarik balik seperti sekarang, di zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

“Maknanya zaman Najib lebih lemah daripada pentadbiran Pak Lah,” kata Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad (gambar).

Suhaimi berkata, buat pertama kali dalam sejarah negara, tema Merdeka gagal memberikan inspirasi pada rakyat sehingga rakyat mencadangkan tema yang baru.

“Najib sememangnya sedang melengkapkan kejatuhan BN,” tambah beliau.

Pada 29 Julai yang lalu, Datuk Seri Rais Yatim menarik balik logo Hari Kemerdekaan negara yang ke-55 akhirnya selepas diserang kiri dan kanan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu turut menjelaskan tiada logo rasmi digunakan bagi sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini, melainkan logo 1Malaysia seperti mana sambutan pada tahun lepas bercanggah dengan kenyataannya yang lepas ketika mempertahankan logo tersebut.

Malah, Rais berhelah bahawa "Bahan hiasan (artwork) yang dipaparkan oleh sesetengah pihak setakat ini hanyalah paparan selingan bukan logo rasmi."

Suhaimi juga berkata PAS Pahang menyambut baik cadangan tema Merdeka yang dipilih rakyat, melalui Pakatan Rakyat iaitu “Sebangsa, Senegara dan Sejiwa.”

Beliau berkata tema itu lebih menepati hasrat rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

“PAS Pahang mencadangkan semua kain rentang, bunting yang akan dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat dan rakyat sempena sambutan Merdeka meletakkan tema baru ini.

“Malah, negeri-negeri Pakatan Rakyat seharusnya menggunakan tema dan logo yang akan dikeluarkan kemudian dalam acara rasmi sambutan kemerdekaan di negeri masing-masing,” cadang beliau.

Rohingya, ISA dan keterbukaan Mat Sabu

Ahmad Lutfi Othman, 30 Jul 2012
Ramadan melewati fasa 10 hari pertama. Begitu pantas masa berlalu. Bagaimana azam untuk menyempurnakan amalan-amalan wajib, juga melipatgandakan tuntutan sunat, selain bertadarus, tarawikh, sedekah, menaja berbuka puasa, berbuat baik dengan ibu bapa, famili dan umat seluruhnya?

Semoga dapat dimanfaatkan sepenuhnya tempoh keemasan penuh keberkatan. Ya, mungkin ini Ramadan terakhir kita ... Bayangkan, rakan-rakan atau saudara-mara yang bersama kita pada Ramadan tahun lalu, kini sudah pergi buat selamanya.

Sekembalinya saya menjalani latihan fisio dan terapi, selepas hampir seminggu di wad HUKM, mengingatkan betapa tinggi nilai kesihatan dan masa lapang. Ramai pesakit kronik, termasuk strok, merupakan orang muda. Saya perhatikan mereka begitu gigih dan tekun  menjalani rawatan pemulihan, meskipun perlu memakan masa lama. Pergantungan kepada Allah begitu tinggi dalam saat-saat sukar seperti itu.

Melalui Harakah, untuk Ramadan berbaki ini, di samping lebih berdisiplin mengikuti pelan rawatan pemulihan yang ditekankan Prof Dr Zamrin Dimon, saya bertekad untuk mempromosi kerja-kerja kebajikan, khususnya membantu keluarga tahanan ISA, fakir miskin, ibu tunggal, dan mereka yang terlantar tidak berupaya.

Alhamdulillah, respons pembaca Harakah, seperti lazimnya,  cukup menggalakkan. Ada rakan lama tiba-tiba menghubungi saya, selepas terusik dengan rayuan dana ISA itu, sekali gus menderma. Rupanya ramai yang tidak menyedari masih ada insan dizalimi dan dikurung tanpa bicara di Kem Tahanan Kamunting, Taiping selepas ISA diisytihar mansuh.

Meneliti penyata akuan Maybank, saya dapati begitu ramai menyumbang, daripada  sekecil RM5 sehingga ribuan ringgit. Dalam hati terdetik, kita perlukan gerakan kebajikan yang lebih tersusun, sistematik dan efisyen, serta dapat dipercayai. (Sumbangan kepada keluarga mangsa yang teraniaya  dan bekas tahanan ISA itu boleh disalurkan terus kepada  akaun Maybank 564070000336 atas nama HARAKAHDAILY DOT COM).

Tidak dilupakan kisah tragis saudara seaqidah yang paling teruk dizalimi, iaitu minoriti Muslim Rohingya di Myanmar. Ramai di antaranya menjadi pelarian sejak sekian lama, dan sebahagiannya berada di sekeliling kita, di Malaysia tercinta ini.

Tidur saya agak terganggu mengenangkan nasib mereka. Saya kira ramai lagi resah mendengar dan menatap berita sedih itu. Rasanya, tidak banyak yang telah kita lakukan untuk membantu mereka, dan ini amat menyedihkan.

Kita seperti begitu tidak berupaya, cukup daif dan sekadar menunggu takdir, apatah lagi dengan sekatan tertentu daripada regim junta Burma, yang memisahkan minoriti Muslim itu daripada masyarakat antarabangsa. Sekurang-kurangnya untuk masa terdekat, sokongan dana kewangan dan bekalan makanan amat diperlukan; dan kita tentu saja boleh meringankan bebanan mereka.

Petang Jumaat lalu, selepas mendapat rawatan alternatif daripada Ustaz Kamal Ashaari, yang juga berpengalaman diserang strok, saya tiba-tiba menyedari, Harakah juga tidak mengambil sikap proaktif dalam menyalurkan bantuan kepada Rohingya.

Dan ini tentu sahaja memalukan diri saya sendiri, yang sekian lama cuba berusaha membantu golongan teraniaya di negara ini, yang nasib mereka lebih beruntung daripada Muslim Rohingya.

Agak gelisah saya mencari idea, terutama dalam keadaan tubuh yang mudah penat. Segera saya teringat sosok personaliti NGO yang tidak pernah kenal lelah, Cikgu Mohd Azmi Abdul Hamid. Difahamkan Presiden Teras itu pun "bukannya sihat sangat", tetapi ia langsung tidak membataskan aktiviti kemasyarakatannya.

Saya mengirim SMS memaklumkan hasrat Harakah untuk lebih berperanan dalam isu Rohingya ini, terutama dari segi menyalurkan bantuan kewangan. Cikgu Azmi mencadangkan tabung khas dibentuk Harakah, tetapi bagi saya, kami sudah banyak menubuhkan dana khas seumpama itu. Lebih baik yang sedia ada di bawah kawalan beliau sendiri.

Cikgu Azmi bersetuju dan minta diiklankan Tabung Mustadhafin Rohingya, atas nama akaun Sekretariat Himpuna Ulama Rantau Asia (SHURA), BIMB 12047010037282. Ia anjuran Majlis Perundingan Prtubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan SHURA. Dia memberi nama-nama untuk dihubungi, Ahmad Tarmizi 0175606131, Salman Siddiqy 0134013342


Insya-Allah, tabung itu akan Harakah uar-uarkan secara lebih meluas bagi menggembleng sokongan berterusan umat Islam Malaysia. Saya menyeru pembaca agar dapat menyumbang, terutama semasa bulan Ramadan ini. Moga-moga ia dapat meringankan sedikit keperitan yang ditanggung generasi demi generasi itu.

Desakan, tekanan dan lobi juga perlu diteruskan, termasuk terhadap kerajaan negara ini, dalam usaha mencari penyelesaian yang tuntas ke atas krisis kemanusiaan yang semakin parah itu. Dunia yang nampak bisu itu  mesti digerakkan. Info perlu disalurkan, kempen kesedaran wajar dimulakan secara lebih terancang dan menyeluruh.

II.

Dalam perkembangan lain, saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam forum "ISA: Penyeksaan yang sempurna", anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), minggu lalu.

Bukan soal pengalaman penalis, termasuk Mat Sabu dan Hishamuddin Rais, mengenai penyeksaan semasa dikurung tanpa bicara. Kisah dan cerita sedih seumpama itu bukan rahsia lagi.

Saya lebih teruja dengan pendirian Mat Sabu mengenai peranan penting badan bukan kerajaan (NGO), termasuk sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU13 nanti. Satu pandangan terbuka yang meraikan penyertaan politik lebih menyeluruh daripada masyarakat sivil.

Beliau mahu NGO, seperti GMI, terus bersikap kritikal terhadap pemerintah dan bekerja kuat untuk membangkitkan kesedaran rakyat terhadap hak mereka. Mereka harus terus menjadi kumpulan pendesak untuk mengkritik dasar kerajaan, termasuk Pakatan Rakyat, jika ia meneruskan dasar yang zalim dan penyelewengan seperti kerajaan BN.

Tambah Mat Sabu, jika keberanian itu tidak ditonjolkan, beliau bimbang, kerajaan yang mengambil alih,  iaitu Pakatan, "akan mencari jalan memperkenalkan undang-undang malah kadang kala lebih teruk daripada kerajaan yang diambil alih" demi  mempertahankan kuasa mereka.


"Bila orang dapat kuasa, amat susah kuasa itu digugat. Sebab itu kumpulan memperjuang hak asasi perlu terus hidup dan kuat, walaupun sesiapa sahaja memerintah. Sebab, senang kita cakap apabila dapat kuasa. Bila dapat kuasa, sudah mula kita ugut orang. Aku bongkar ini, aku dakwa (kau) bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi), sedangkan kita nak hapuskan OSA itu.

"Penyakit orang berkuasa, dia (buat apa sahaja) nak kekalkan kuasa... Dalam sejarah pemerintah nak serah kuasa memang susah nak berlaku," katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sememangnya kuasa perlu dibataskan dan dihadkan. Seseorang individu atau mana-mana kumpulan yang berkuasa mutlak, walaupun awalnya nampak baik dan menguasai kerajaan melalui sokongan orang ramai (demokrasi) dengan menjatuhkan sang diktatotor, ia boleh bertindak zalim dan lupa diri jika kuasanya tidak dihadkan atau diimbangi.

Ungkapan popular yang selalu kita dengar ialah kenyataan Lord Acton, pakar perundangan England, iaitu "power tendes to corrupts and absolute power corrupts absolutly", atau "kuasa itu cenderung disalahgunakan, dan kuasa yang mutlak itu lebih dahsyat penyalahgunaannya."

Justeru, peranan NGO atau kumpulan pendesak atau dalam pengertian lebih menyeluruh, masyarakat sivil, amat perlu disuburkan. Setiap pemerintah tidak perlu gundah-gulana dengan penyertaan politik proaktif oleh kumpulan-kumpulan berkepentingan itu.

Mereka harus didampingi dan bukannya dimusuhi, meskipun suara kumpulan berkenaan begitu lantang, vokal dan mungkin mendedahkan kelemahan dan membongkar kesilapan pemerintah. Pastinya NGO yang bebas daripada kawalan pemerintah ini harus dibiar bertindak sebagai watchdog terhadap dasar-dasar dan program kerajaan.

NGO seumpama itu sebenarnya berperanan untuk menyuburkan demokrasi dan mampu menjaga kepentingan rakyat terbanyak, yang mengatasi atau melangkaui kepentingan politik yang sempit. Untuk mengharapkan fungsi "semak dan imbang" dalam parti pemerintah sendiri, tentulah cukup sukar. Cabaran daripada parti lawan pula sering ditafsirkan sebagai "bermotif politik"dfan mahu merebut kuasa.

Saya kira tafsiran yang diberikan terhadap masyarakat sivil ini agak menarik untuk diteliti: "Masyarakat sivil adalah satu set institusi bukan kerajaan yang punya kekuatan untuk mengimbangi kuasa kerajan, menghalang pemerintah daripada bertindak bertentangan dengan nilai-nilai kemanusiaan. Masyarakat sivil juga bertindak sebagai pengawal keamanan dan penjaga kepentingan umum. Masyarakat sivil juga merupakan sebuah institusi yang mampu menghalang pemerintah daripada mendominasi dan memanipulasi masyarakat terbanyak."

Keterbukaan Mat Sabu itu menandakan satu bentuk politik baru yang cuba diperkenalkan Pakatan Rakyat, yang wajar dialu-alukan. Ramai yang menantikan bagaimana konsep itu dapat dilaksanakan nanti jika rakyat benar-benar mahukan satu kerajaan baru terbentuk selepas PRU13 nanti.

Perubahan politik di Johor, Sabah

Abd Shukur Harun shukurharun@yahoo.com, 01 Ogs 2012
Tidak terdengar lagi rhetoric megah Umno/BN bahawa Johor dan Sabah adalah ‘simpanan tetap’ atau kubu pertahanan terkuat Umno sejak zaman berzaman.

Dengan perkembangan terbaru politik di Sabah pula, negeri itu akan juga mengakhiri zamannya sebagai kubu kuat Umno/BN. Demikianlah putaran roda politik dan setiap pelaku di pentas politik sewajarnya menyedari hakikat ini.

Perkembangan baru di Sabah, menunjukkan Pakatan Rakyat dijangka akan mendapat sekurang-kurangnya 14 kerusi di Sabah ekoran tindakan dua anggota Parlimen BN menyokongnya baru-baru ini. Ini jangkaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam tulisannya dalam Harakahdaily kelmarin di mana beliau menyimpulkan bahawa simpanan tetap BN di Sabah dan Sarawak sudah tamat.

Beliau berkata, 55 kerusi parlimen dari 57 dari Sabah-Sarawak (Borneo) telah dibolosi dan sudah tidak ada lagi jaminan BN mendapat sokongan dari kedua-dua negeri ini.


"Hari ini diramalkan ialah 14 kerusi dari Sabah termasuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Pensiangan akan mudah tumbang kepada Pakatan Pembangkang," kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu yang mengulas tindakan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Wilfred Bumburing yang meninggalkan BN dan menyokong Pakatan Rakyat.

Penganalisis politik di Sabah meramalkan akan ramai lagi Adun dan Ahli Parlimen Sabah dari BN akan meninggalkan komponen parti itu dan akan menyertai Pakatan Rakyat.

Gelombang ini dikatakan sukar ditahan disebabkan beberapa isu, antaranya, isu kemiskinan terutama di kawasan pedalaman yang tidak ada perubahan sejak zaman berzaman, isu pendatang luar yang melimpahm hampir-hampir tidak terkawal, isu tanah dan pelbagai lagi.

Bagaimana pula di Johor - sebuah negeri yang sentiasa dimegahkan oleh Umno sebagai kubu kuatnya. Perkembangan menunjukkan bahawa oleh kerana banyaknya kerusi campuran baik di peringkat Parlimen mahupun Dun di negeri itu menyebabkan ketirisan mendadak sokongan pengundi terutama di kalangan pengundi Cina.

Kini tidak lagi terdengar suara angakuh pemimpin Umno Johor yang  selama ini bermegah bahawa Johor adalah kubu terkuat Umno. Kalau tidak masakan Muhyidin Yasin menyeru Umno/BN supaya mempertahankan kawasan parlimen Gelang Patah dari jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang. Nusa Jaya yang terletak di Gelang Patah adalah pusat pentadbiran kerajaan Johor yang baru.

Saya berkunjung ke Gelang Patah beberapa bulan lalu dan mendengar sendiri ulasan dari beberapa penduduk di situ, khususnya kalangan masyarakat Cina, bahawa mereka sangat tertekan dengan harga barang naik, peluang pekerjaan yang sangat terbatas dan lain-lain.

Seeorang petani Melayu di situ, Haji Solihin Markom, memberitahu bahawa orang kampung di sini hanya memerhatikan perubahan dari kampung menjadi bandar sedangkan “kedudukan kami macam dulu juga.”

Yang heboh di sini, katanya, ialah kesibukan orang kampung menjual tanah kerana harga mahal. Tetapi, katanya, adakah mereka berfikir selepas menjual tanah mereka, akhirnya mereka hendak ke mana kerana harga rumah semakin mahal di mana-mana.

“Adakah pemimpin politik yang ada di Johor memikirkan hal ini,” tanyanya.

Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamad pernah mendedahkan secara terperinci mengenai isu penjualan saham KFCH & QSR kepada CVC serta isu salah urus tadbir tanah oleh kerajaan Johor melalui KPRJ dan isu-isu lain.

Sudah sampai masanya, katanya, PAS/Pakatan Rakyat Johor menggandakan usaha dalam mendapatkan mandat dari rakyat untuk menerajui kerajaan dalam usaha mengembalikan hak rakyat yang telah diabaikan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Tan Ah Eng (BN) mengekalkan kerusi parlimennya P162 Gelang Patah. Peratusan kaum ialah Melayu 33.54%, Cina 54.06% India: 12.22%

Tan Ah Eng (BN) (33,630) menewaskan Dr. Zaleha Mustafa (PKR) (24,779) dengan majoriti 8,851. Jumlah pengundi undi waktu itu 60,653.

Menurut penganalisis politik di Johor, dalam pilihan raya umum 2008, pengundi Cina belum memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dari Pakatan Rakyat. Namun, dengan perkembangan terkini, peratus sokongan pengundi Cina jauh lebih meningkat, bahkan hampir-hampir lapan puluh lima peratus dikatakan menyokong Pakatan.

Ini yang membimbangkan Muhyidin Yasin menyebabkan beliau menggesa Umno/BN mempertahankan Gelang Patah. Jika terjadi kejatuhan Gelang Patah, menimbulkan kesan paling buruk kepada Umno/BN.

PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman  berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum  ini'.

Pada PRU yang lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.
Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Ini adalah keputusan 2008 yang lalu, di mana kini PAS/Pakatan menaruh harapan akan meraih kemenangan lebih banyak lagi bukan saja di Muar, tetapi juga kawasan Parlimen dan Dun di Batu Pahat, Pontian, Tanjung Piai, Kulai Jaya, Kluang bahkan Johor Bahru  sendiri.

Kawasan Parlimen Tanjong Piai (P165) kini diwakili oleh Wee Jeck Seng dari MCA. Pihak Umno di kawasan ini dikatakan sangat bimbang dengan kedudukan kawasan ini memandangkan Pakatan Rakyat sedang berusaha bersungguh-sunggu untuk menawan kawasan tersebut yang merupakan kawasan kerusi campuran antara Melayu dan Cina.

Kebanyakan kerusi campuran ialah antara 50:50 iaitu antara bilangan pengundi Cina dan Melayu. Hanya beberapa kawasan Parlimen di Johor yang dikatakan mempunyai jumlah pengundi Melayu yang agak ramai. Antaranya, Mersing, Kota Tinggi dan Pontian. Ini yang menyebabkan pemimpin Umno sangat bimbang, memandangkan sokongan pengundi Cina kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah.

Penganalisis berpendapat, pada PRU akan datang, dijangkakan antara 80 hingga 90% pengundi Cina akan mengundi DAP, sementara antara 70 hingga 80% akan mengundi PAS/PKR.

Inilah gelombang perubahan yang akan melanda Johor dan Sabah, walaupun pemimpin BN cuba menafikannya, tetapi pada hakikatnya begitulah. Tunggulah PRU akan datang ini.

Lagi tokoh Umno akan isytihar sertai PAS

Harakahdaily, 02 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Pada 11 Ogos ini seorang lagi tokoh Umno akan mengisytiharkan diri keluar dari parti itu untuk menyertai PAS.

Pengisytiharan itu akan dibuat pada majlis sambutan Badar Al-Kubra anjuran Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat yang akan diadakan di Dewan KUIZM, Taman Melewar Gombak.

"Pada program tersebut juga ada tokoh Umno akan membuat pengisytiharan menyertai PAS di hadapan Tuan Guru Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan orang ramai," kata setiausaha lajnah itu Misbahul Munir Masduki.

Menurut beliau lagi, tujuan majlis ini diadakan ialah untuk  menaikkan semangat dan momentum kepada ahli dan pendokong PAS.

Ianya bermula dari buka puasa, dikuti solat fardhu Maghrib, Isya dan Solat Sunat Tarawih.

Selepas itu amanat pimpinan akan disampaikan oleh Ketua Penerangan PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Presiden PAS Datouk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Setiap tahun PAS Pusat menganjurkan majlis memperingati Perang Badar dengan tujuan mengambil semangat perjuangan para sahabat yang berjaya menghancurkan musuh Islam yang jumlahnya lebih ramai.

"Semangat inilah yang perlu diambil, dengan jumlah yang minoriti tetapi berbekalkan iman, jihad, pengorbanan dan ukhuwah berjaya menewaskan jumlah musuh yang jauh lebih ramai dan siap dengan perlengkapan senjata," katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke majlis itu.
BN yakin Sabah tidak akan lumpuh
Jamilah Hamzah
1 Ogos 2012
Ahmad Maslan
Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) yakin sokongan rakyat di negeri Sabah tidak akan lumpuh meskipun dua ahli Parlimen kanan perikatan itu memutuskan untuk keluar parti dan mengumumkan akan menubuhkan parti politik baru.

Ketua Penerangan dan Biro Publisiti BN, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya yakin dengan sokongan itu kerana sedang giat mengaktifkan jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap kerusi Parlimen.

Wakil rakyat kerusi Tuaran dan Beaufort keluar parti di sebalik spekulasi bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan dipanggil selepas sambutan Aidilfitri.

Penganalisis dan pemerhati politik melihat perkembangan itu dilihat akan memberi kesan ke atas BN dalam dalam PRU13 khususnya di Sabah yang dianggap sebagai 'sokongan hayat' perikatan tersebut.

Malah, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, BN perlu menggerakkan jentera di peringkat PDM supaya rakyat lebih dekat kepada parti.

"Di Sabah kalau kita aktifkan PDM ini, tidak kan lumpuh sama ada di Beaufort ataupun Tuaran.

"Kita aktifkan PDM dengan aktiviti yang diadakan sepanjang Ramadan ini supaya masyarakat dan pemimpin lebih dekat dengan rakyat," kata beliau pada Program Tamu Sahur atau Nur Ramadan sempena bulan Ramadan di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini memberitahu bahawa aktiviti Nur Ramadan atau Tamu Sahur perlu diteruskan dan dipergiatkan secara aktif oleh semua sayap parti di PDM bagi mendapat sokongan rakyat.

"Bukan setakat berbuka puasa, tarawih atau bersahur tapi sepanjang hari akan diadakan aktiviti.

"Kita akan ada pelbagai aktiviti baru untuk mendekatkan rakyat dan pemimpin," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort berkuat kuasa serta-merta.

Semalam beliau digugurkan sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sehari kemudian, Ahli Parlimen Tuaran dari Upko, Datuk Seri Wifred Bumburing pula mengisytiharkan meletak jawatan sebagai Pengerusi BN kawasan itu.

Upko merupakan parti komponen BN.

Dalam pada itu, dipetik Bernama, Pergerakan Pemuda Umno Sabah menyuarakan sokongan padu kepada Umno dan BN yang diterajui Presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Awang Kadin Tang berkata, isu peletakan jawatan Lajim  sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Beaufort, sudah dijangka, dan ia tidak memberi impak kepada keutuhan Umno dan BN negeri terutama di Beaufort.

Sambil menyatakan Umno dan BN pernah melalui pelbagai cabaran yang lebih besar daripada isu peletakan jawatan oleh Lajim, beliau berkata peletakan jawatan itu tidak memberi banyak perubahan kepada kekuatan Umno dan BN apatah lagi 'kalau isu perletakan ini didorong oleh kepentingan peribadi'.

"Pemuda Umno Sabah yakin dan tegas bahawa di bawah kepimpinan Umno negeri dan Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) bukan sahaja ekonomi negeri ini menjadi berkembang dan mantap sehingga banyak pelabur dalam dan luar negara datang melabur di Sabah, malah kekuatan Umno dan BN juga kian bertambah padu dan jitu," katanya dalam kenyataan, semalam.

Awang Kadin berkata: "Memanglah kalau diri kita sendiri sudah merasakan bahawa tidak mungkin akan terpilih menjadi calon (pilihan raya) seperti yang dinyatakan oleh Lajim sendiri baru-baru ini, maka kita akan terbawa-bawa dengan kepentingan diri, sambil menyatakan kononnya parti yang kita sertai dulu sebagai tidak baik."

"Tindakan ini tidak menghairankan kita. Jika seseorang ahli atau pemimpin itu seorang pejuang dan berjuang untuk parti dan rakyat, mungkin kenyataan serupa itu tidak mungkin dijadikan alasan sebabnya Sabah kini kian maju pembangunannya dan mantap ekonominya yang terbukti dari simpanan RM100 juta pada awal tahun 1994 tapi sejak 2002 hingga kini telah mencapai hampir RM4 bilion," katanya.

Beliau berkata, alasan Lajim meletak jawatan untuk membawa perubahan di Sabah dan memperjuangkan hak rakyat serta menghapuskan rasuah, adalah sebagai gimik politik semata-mata.

"Apa yang diperkatakan oleh Lajim itu sudahpun dilakukan oleh kerajaan BN dan banyak program yamg membawa kebaikan kepada kehidupan rakyat telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri dalam dasar transformasinya di semua sektor dan Musa dalam dasar hala tujunya yang telah membawa Sabah menikmati pelbagai kemajuan," katanya.

Awang Kadin menambah, Pemuda Umno dan BN Sabah sudah lama bersiap sedia dan sentiasa mempastikan bahawa jentera Pemuda sentiasa berada ditahap paling mantap untuk mempastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negeri terutama di Beaufort.
Jawatan mahkamah: Ketua Hakim Negara tegur JPA

1 Ogos 2012
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
PUTRAJAYA - Hakim-hakim Mahkamah Sesyen dan majistret kanan tidak boleh dilantik bagi mendengar saman sivil membabitkan tuntutan wang yang tinggi kerana Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum meluluskan jawatan seperti yang diharapkan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Beliau berharap perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin kerana ia adalah penting bagi membolehkan pentadbiran badan kehakiman melaksanakan pindaan
kepada Akta Mahkamah Rendah 1948 yang diluluskan Parlimen dua tahun lalu.
"Saya berharap (JPA) tidak akan mengambil masa yang lama," katanya kepada pemberita selepas majlis mengangkat sumpah atas pelantikan Datuk Abdul Karim
Abdul Jalil sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Arifin, yang kelihatan tidak gembira, berkata Kabinet meluluskan pelantikan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret kanan.

"Kami mahu hakim mahkamah sesyen dan majistret dengan pengalaman empat hingga lima tahun sebelum mereka boleh mendengar kes-kes sivil agar keputusan
dan penghakiman yang diberikan di mahkamah-mahkamah rendah adalah berkualiti," katanya.
Badan kehakiman menunggu respons JPA berhubung rayuannya bagi menaikkan gred bagi jawatan hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret-majistret kanan yang tidak diluluskan seperti apa yang diharapkan badan kehakiman.
Majistret dengan kuasa yang ada sekarang terhad untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM25,000, akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar tuntutan sehingga RM100,000 mengikut pindaan itu.
Sementara itu pindaan itu memberi kuasa kepada hakim-hakim mahkamah sesyen untuk mendengar tuntutan sivil sehingga RM1 juta. Pada masa ini bidang kuasa
mereka terhad kepada RM250,000 dan ke bawah.
Arifin berkata pegawai badan kehakiman yang berpengalaman boleh dilantik bagi menguatkuasa pindaan itu yang mana akan mengurangkan bilangan hakim-hakim
mahkamah tinggi untuk mendengar tuntutan sivil dan dengan itu membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan ke atas badan kehakiman.
Dalam perkembangan lain, Arifin berkata versi rasmi bagi peraturan gabungan bagi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-Mahkamah Rendah yang baharu dikuatkuasakan adalah versi Bahasa Malaysia dan jika wujud sebarang pertikaian berhubung tafsiran peraturan-peratuan itu, mahkamah akan merujuk kepada versi Bahasa Malaysia.
Beliau berkata ini merupakan kali pertama versi Bahasa Malaysia dijadikan teks yang berwibawa.

Peraturan-peraturan mahkamah bertujuan bagi memudah dan menyeragamkan prosedur mengenai litigasi sivil bagi peguam-peguam dan orang awam mula berkuatkuasa hari ini.
Arifin berkata ia mengambil masa tiga tahun bagi badan kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan wakil-wakil peguam Malaya, Sabah dan Sarawak untuk merumuskan
peraturan-peraturan itu.
Sebelum itu, Abdul Karim, 53, bekas ketua pengarah Jabatan Insolvensi di Pejabat Perdana Menteri menerima surat pelantikan daripada Arifin dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Beliau akan ditempatkan sebagai pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Melaka. - Bernama
Al-Humaira pertahan tindakan tamat kontrak Abby Abadi
SITI JULIANA MOHD JOHAR
1 Ogos 2012
Logo Al-Humaira Contemporary (AHC)
Logo Al-Humaira Contemporary (AHC)
SHAH ALAM - Al-Humaira Contemporary (AHC) mempertahankan tindakan syarikat butik tudung itu membatalkan kontrak Duta Tudung yang digalas oleh pelakon, Arbaiyah Abdul Manan atau yang lebih dikenali sebagai Abby Abadi baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary berkata, keputusan tersebut diambil kerana objektif sebenar perniagaan pihaknya kini tidak lagi selari dan tidak mencapai matlamat diharapkan.
Menerusi kenyataan di Facebook AHC, yang diposkan Isnin lalu, pengurusan Al-Humaira Contemporary menjelaskan bahawa pihaknya terkilan kerana dituduh oleh pelbagai pihak dengan kata-kata kurang elok, cacian dan ugutan yang diterima daripada peminat selebriti itu selepas Abby menaikkan status mengenai isu penamatan kontrak Duta Tudung di laman Twitternya, baru-baru ini.
Al-Humaira Contemporary tidak menyebut nama Abby tetapi merujuk kepadanya melalui tulisan “seorang artis yang baru beberapa bulan bertudung yang juga merupakan bekas duta AHC."
Kenyataan Al-Humaira Contemporary menambah, “tindakan untuk menamatkan kontrak beliau tiada kaitan dengan penolakan kami kepada ajaran Islam atau pun menolak konsep rezeki ALLAH seperti yang diperkatakan oleh pengikut beliau.”
“Cuma objektif sebenar kontrak yang telah kami tandatangani sebenarnya tidak mencapai matlamat seperti yang kami harapkan dan pihak kami sebenarnya berhak mengikut undang-undang untuk menamatkan kontrak pada bila-bila masaselaras mengikut situasi dan keadaan,” kata kenyataan syarikat tersebut.
Al-Humaira Contemporary turut berharap semua pihak akan menghormati keputusan yang telah dibuat syarikat berkenaan.
Dalam satu mesej Twitter semalam, susulan kepada entri sebelum itu, Abby yang menyertai Pas baru-baru ini sebagai ahli seumur hiudp berkata, dia menerima penamatan kontraknya sebagai Duta Tudung dengan terbuka.
“Tentang kontrak Duta Tudung tu, takpe sahabat-sahabat ku, rezeki di mana-mana.  Saya terima itu memang bukan rezeki saya.  Insya-ALLAH, ada je rezeki lain nanti,” kata beliau menerusi laman Twitternya semalam.
Abby yang terkenal dengan gelaran Inspektor Haliza menerusi drama Gerak Khas, menyerahkan borang keahlian bulan lalu.
Abby menyatakan kesungguhan beliau mendekati Pas adalah kerana parti itu ikhlas memperjuangkan Islam berdasarkan al-Quran.
Isu air Selangor: Rakyat jadi mangsa politik
NUR FARHANA ABDUL MANAN
1 Ogos 2012
Datuk Sohaimi Shahadan
Datuk Sohaimi Shahadan
BALAKONG – Rakyat negeri ini bakal menerima bahana akibat sikap degil Kerajaan Negeri yang enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Air Langat 2 apabila bekalan air di flat Taman Putera Budiman di sini terpaksa dicatu sejak seminggu lalu.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, krisis air bukan kerana kekurangan sumber bekalan air mentah tetapi berpunca daripada sikap Kerajaan Negeri yang masih enggan melaksanakan projek Loji Rawatan Langat 2 untuk memproses air terawat.

Katanya, beliau juga kesal Kerajaan Negeri terus menjadikan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai kambing hitam menyebabkan rakyat yang menanggung rugi, sedangkan hakikat sebenar kegagalan itu berpunca daripada Kerajaan Negeri sendiri.

"Rakyat perlu faham Syabas hanya berfungsi sebagai operator agihan yang membeli air dirawat untuk dibekalkan kepada pengguna. Syabas mengalami kekurangan air untuk dibekalkan kepada rakyat tetapi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan barisan Exconya masih berdolak-dalik memberikan pelbagai alasan yang mengelirukan.

“Apa yang berlaku di flat ini adalah kerana keegoan dan keangkuhan Abdul Khalid kononnya bekalan air masih mencukupi sedangkan penduduk di sini sudah hampir seminggu terseksa kerana bekalan air terpaksa dicatu,” katanya kepada pemberita, semalam.

Turut hadir Penyelaras Parlimen Serdang, Datuk yap Pian Hon.

Sebelum itu, beliau bersama ahli GPRS mengagihkan 500 tong air kepada penduduk flat Taman Putera Budiman bagi membantu meringankan beban penghuni flat tersebut dibelenggu masalah gangguan air sejak seminggu lalu.

Sohaimi berkata, jika kerajaan Selangor pandai menguruskan air, sudah tentu keadaan ini tidak akan berlaku.

"Bagaimana Kerajaan Negeri mengatakan krisis air tidak berlaku sedangkan ada rakyat menderita kerana tidak mendapat bekalan air? Malangnya, Kerajaan Selangor tidak mahu mengaku kelemahan diri sendiri lantas menuding jari menyalahkan orang lain pula," katanya.

Beliau menegaskan, masalah itu tidak akan menjadi isu sekiranya Kerajaan Negeri mengetepikan soal politik dan mengutamakan rakyat dalam tindakan.

“Ini bila Syabas hantar air... mereka pun hantar air... tetapi lori digunakan kita tidak tahu datang dari mana. Kebersihannya dan kandungan dibawa juga diragui,” katanya.

Beliau berkata, GPRS bersama ketua kampung, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan membuat lawatan ke loji pemprosesan air di Hulu Langat hari ini supaya wakil-wakil penduduk ini dapat melihat sendiri bagaimana pemprosesan air dengan lebih jelas dan mendapatkan maklumat sebenar berhubung isu tersebut.

“Kasihan kerana rakyat mengharungi keadaan tidak selesa, mengangkut air yang disediakan Syabas sehingga ke tingkat lima bagi yang tinggal di pangsapuri dalam keadaan berpuasa.

Lebih menyusahkan, sekiranya pangsapuri diduduki tiada kemudahan lif,” katanya.

Beliau berkata, jika masalah tidak diselesaikan dengan baik, tidak mustahil banyak lagi kawasan-kawasan baru yang akan terbabit.

"Dalam keadaan rakyat menderita tidak ada air ini pun Kerajaan Negeri masih hendak berpolitik," katanya.

Tiada ulasan: