• Prof Dr Shazali Abu Mansor Prof Shazali
1 / 1
SHAH ALAM – Ekonomi negara dijangka mencapai pertumbuhan lima peratus tahun ini.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, bagaimanapun sumbangan isi rumah kepada pertumbuhan ekonomi akan berkurangan berikutan peningkatan inflasi yang menjejaskan kuasa membeli pengguna.

“Pengurangan subsidi minyak dan kenaikan tarif elektrik antara yang menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi. Kadar inflasi yang meningkat pula akan memberi kesan kepada pengurangan keupayaan berbelanja pengguna.

“Jika dulu, isi rumah antara faktor terbesar pertumbuhan ekonomi. Tetapi, tahun ini sumbangan itu dijangka berkurangan sedikit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, keupayaan berbelanja pengguna akan berkurangan akibat kenaikan yang berlaku melebihi pendapatan.

“Sebagai contoh, katakan pengguna mendapat kenaikan gaji lima peratus. Daripada gaji RM2000, naik RM100.

“Namun, dengan kenaikan RM100 sebulan, mereka perlu hadapi kenaikan tol, tambang bas sekolah anak-anak dan sebagainya. Tidak banyak benda boleh dibeli.

“Jadi, ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana kuasa beli pengguna menyumbang kepada lebih 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, anggaran pertumbuhan lima peratus masih boleh dicapai dengan kekuatan sektor perkhidmatan dan pemulihan ekonomi dunia, terutamanya Amerika Syarikat.

“Begitu juga sekiranya anggapan pertumbuhan adalah sama dan tidak ada kejutan seperti bencana atau peperangan. Maka, sasaran lima peratus itu mungkin dapat dicapai.

“Ini disokong peningkatan sektor perkhidmatan seperti Tahun Melawat Malaysia, perbankan kukuh dan pendidikan yang memberi kekuatan kepada ekonomi negara," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pemotongan subsidi bahan api buat kali kedua, beliau berkata, perkara itu bukan masalah.

“Ini kerana harga minyak bukan bergantung kepada kawalan kerajaan tapi harga pasaran dunia. Tetapi, kerajaan perlu kawal kenaikan lain seperti tol dan tarif elektrik yang bukan berada dalam pasaran sempurna.