Nak suruh ke surau atau Hard Rock Cafe, tanya Husam
- Jan 12, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata, pendirian Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan membenarkan Hard Rock Cafe dibuka di Putrajaya dengan bersyarat, bertentangan dengan nasihat Najib sewaktu berucap di Perhimpunan Agung Umno November tahun lalu.
"Berkenaan dengan Hard Rock Cafe, saya ambil nasihat Presiden Umno, ahli Umno kena pergi surau.
"Jadi kalau kena pergi surau kenapa nak buka kelab hiburan di tempat yang tak ada kelab? Kalau nak berhibur pergi Kuala Lumpurlah. Bayar tol sikit.
"Hard Rock dah ada di Jalan Sultan Ismail, dan masih kosong lagi tempat-tempat itu, pergilah ke sana," kata beliau dalam sidang media selepas program minum petang dan sembang santai bersama warga Putrajaya di medan selera Presint 9, dekat sini petang tadi.
Terdahulu, berdialog di hadapan kira-kira 50 orang yang hadir, calon PAS di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 itu berkata, PAS mencadangkan pembinaan sekolah tahfiz di Putrajaya untuk anak-anak Putrajaya dan ramai yang menyetujuinya.
"Dulu kita cadang nak bina tahfiz di Putarajaya untuk ibu bapa hantar anak-anak mereka.
"Tak ada pun orang telefon atau sms minta dibuka Hard Rock Cafe. Sekarang kerajaan nak buka kelab pula. Kenapa ini terjadi? Kerana PAS tak berjaya kuasai Putrajaya," katanya.
Tambah beliau juga, cadangan Tengku Adnan agar Hard Rock Cafe Putrajaya tidak menghidangkan minuman keras dan menyediakan persembahan nasyid sangat tidak logik.
"Dua ciri utama Hard Rock Cafe ialah mesti ada persembahan artis dan hidangan minuman keras. Macam mana pula nak jadikan versi Islamik," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Ekonomi PAS Pusat.
Pekerja Nepal cuba merusuh di Pokok Sena
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Kejadian kira-kira 9 malam itu dipercayai melibatkan kira-kira 100 hingga 200 orang pekerja kilang terbabit yang berhimpun di hadapan pintu pagar rumah majikan mereka bagi meminta majikan supaya mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan rakan mereka yang sesak nafas di asrama pekerja.
Majikan tersebut yang bimbang berlakunya sesuatu setelah melihat para pekerja asing itu berkumpul beramai-ramai, enggan keluar untuk bertemu dengan kumpulan pekerja itu.
Pekerja-pekerja warga Nepal itu kemudian naik berang setelah mendapati rakan mereka yang sesak nafas itu telah mati ekoran kelewatan majikan mengambil tindakan segera.
Bagaimanapun polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian berjaya meleraikan kumpulan pekerja kilang terbabit dan menghubungi hospital untuk engesahkan kematian salah seorang rakan mereka itu.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat Akhir Jaafar yang ditemui di tempat kejadian berkata tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana majikan bertindak cepat menghubungi pihak polis setelah melihat keadaan makin tidak terkawal.
Katanya ekoran kejadian itu, pihak polis menahan tiga pekerja lelaki warga Nepal yang dipercayai mengetuai himpunan itu dan cuba mencetuskan huru hara.
"Hasil maklumat awal kumpulan pekerja terbabit bertindak demikian kerana sebelum ini sudah tiga orang rakan mereka mati secara mengejut di asrama terbabit namun majikan mereka tidak menyiasat puncanya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian lewat malam tadi.
Siasatan lanjut akan dijalankan dengan menyoal siasat ketiga-tiga mereka yang ditahan selain mengenal pasti punca kejadian.
"Punca kematian kita hanya bergantung kepada laporan doktor. Sebab apa yang kita siasat setakat ni, dia orang ni suka minum. Kadang-kadang minum minuman tak berjenama. Kita tak pasti minuman arak apa yang diminum menyebabkan mereka sakit," katanya.
Mayat pekerja yang mati dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat. - Bernama
Lebih 1000 dipindahkan di Kelantan
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata jajahan Jeli merupakan mangsa teramai yng dipindahkan iaitu seramai 999 orang yang kini ditempatkan di empat buah pusat pemindahan.
"Mereka dipindahkan di Sekolah Kebangsaan Legeh, Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Lanas, Masjid Kampung Gemang dan Masjid Sungai Satan," katanya.
Di Tanah Merah pula mereka yang dipindahkan hanya membabitkan seramai 51orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Kulim.
Katanya kesemua mangsa itu terdiri daripada 178 buah keluarga yang dipindahkan berikutan limpahan air Sungai Golok di Jenob sejak pagi semalam.
Bacaan paras air sungai itu pada pukul 8 pagi ini adalah 24.03 meter iaitu melepasi paras bahaya 23.50 meter.
Penduduk di Rantau Panjang, Pasir Mas pula dinasihatkan supaya mengambil langkah bersiap sedia untuk berpindah berikutan paras ais Sungai Golok di Rantau Panjang kini telah melepasi paras bahaya.
Paras bacaan kini adalah 9.43 meter melepasi paras bahaya 9 meter dan sungai-sungai utama lain juga dilaporkan terus meningkat namun belum mencecah paras bahaya. - Bernama
Najib lemah, bekas menteri mahu Tun M dikembalikan
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Kelemahan itu katanya sangat ketara apabila tiada ketegasan dalam tindakan berdepan ancaman daripada sudut perkauman, agama dan tekanan ekonomi.
Kenyataan itu dilontarkannya bersekali dengan cadangan agar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu dikembalikan dalam kerajaan.
Kata beliau, cadangan pihak tertentu agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula, bukan penyelesaian kepada kelemahan Najib itu.
Namun yang lebih tepat adalah membawa kembali Dr Mahathir ke dalam kabinet negara.
“Kehadiran Dr Mahathir bukan sahaja mampu memulihkan kekusutan yang timbul pada hari ini, tetapi juga kepada BN untuk menghadapi PRU14,” katanya dipetik Sinar Harian.
Zainuddin dipetik berkata, aura Dr Mahathir masih kuat sehingga ke hari ini apabila generasi muda juga tertarik dengan setiap pandangan yang diutarakan bekas perdana menteri itu.
“Sekalipun ISA dikembalikan, jika tiada ketegasan politik dalam melaksanakan secara bijak, berani dan tegas, maka ISA tidak berkesan,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas mengenai apakah jawatan yang wajar diberikan kepada Dr Mahathir jika beliau duduk dalam barisan kepimpinan negara.
Kesihatan pemimpin Ikhwan Muslimin terus merosot
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Salah seorang dari mereka, Mohamed al- Beltagi didakwa semakin lemah selepas mengadakan mogok lapar lebih 22 hari lalu.
Perkara itu dimaklumkan isteri beliau Sanaa Abdel- Gawad kepada media semalam.
"Dia enggan minum dan berkeras meneruskan mogok lapar.
"Dia hanya mahu layanan biasa serta hak kebebasan, maruah dan keadilan rakyat Mesir dikembalikan," kata Sanaa.
Al- Beltagi telah ditahan bersama beberapa yang lain oleh tentera kudeta pada Ogos tahun lalu atas tuduhan palsu mencetus keganasan dan diletakkan di dalam tahanan di penjara Al- Aqrab di selatan Kaherah.
Beliau juga adalah bapa kepada Asmaa, yang syahid ditembak tentera kudeta ketika cuba menggempur himpunan pro Morsi sebelum ini.
Bulan lepas , pemimpin Ikhwanul Muslimin itu berikrar untuk mengekalkan mogok lapar sehingga pihak berkuasa Mesir berhenti mengambil langkah " dendam " terhadap mereka.
Beliau dikatakan dikurung secara bersendirian dan dilarang daripada dilawati oleh keluarga mahupun peguam.
Najib perlu contohi ketegasan Tayyip Erdogan
- Jan 12, 2014
- HARAKAHDAILY
Pengerusi Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Al His berkata, banyak perkara yang wajar dicontohi Najib bukan sahaja dari sudut ketegasan prinsip Edorgan itu, tetapi juga kejayaan pentadbiran beliau.
Dunia melihat bagaimana lantangnya Erdogan mengutuk keras kerajaan kudeta Mesir sewaktu tumbangnya Dr Morsi ditangan rejim As Sisi.
Beliau juga lantang mengutuk malah mengirimkan bantuan terhadap rakyat Syria ketika Basyar Asad membunuh rakyatnya sendiri.
"Erdogan adalah satu-satunya pemimpin negara yang begitu lantang mengkritik Amerika Syarikat dan sekutunya Israel dalam dasar luar mereka yang begitu zalim.
"Erdogan juga tanpa gentar mengisytiharkan mahu mengembalikan pemerintahan Uthmaniyyah di negaranya yang masih berkarat dengan fahaman sekularisme," katanya.
Dari aspek itu katanya, Malaysia di bawah pimpinan Najib dilihat jauh ketinggalan malah sering menikus bila berhadapan isu antarabangsa yang melibatkan kepentingan Amerika dan Israel.
Beliau berkata demikian mengulas kehadiran Erdogan ke Malaysia sejak kelmarin dalam misi mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Dari aspek lain pula ujar Raja Iskandar , Erdogan berjaya mengubah landskap politik dan ekonomi negaranya dari negara yang ketinggalan menjadi negara maju yang disegani di dunia.
Kejayaan beliau memimpin kerajaan dan negaranya didorong oleh sifat amanah, telus, bertanggungjawab, mengutamakan rakyat serta memerangi rasuah dan pembaziran.
Erdogan begitu berani mengambil tindakan terhadap pegawai dan menteri kabinetnya yang menyeleweng termasuk memencat mereka.
"Kita perlu mengkaji sejarah Turki lama dan moden, di mana demografi Turki yang terletak antara Asia dan Eropah berjaya berdiri dengan sendirinya tanpa bergantung kepada mana mana kuasa besar.
"Kerana itulah nama Erdogan dijulang sebagai antara pemimpin moden paling hebat dan berjaya dan tidak mustahil Najib juga mampu mencapai kehebatan seperti Erdogan," jelasnya.
Wasatiyah Najib tercalar jika masih iktiraf judi
- Jan 12, 2014
- Nuruddin Bashah
Gerakan Sokong Syariah melihat perkara ini sebagai suatu yang amat serius.
Ketiga-tiga syarikat perjudian ini akan mengadakan cabutan khas melibatkan 22 hari Selasa sepanjang tahun 2014 yang mana menyaksikan tahun ini sebagai tahun naik kos sara hidup dan rakyat digesa hidup secara wasatiyah (sederhana).
Ini bermaksud terdapat tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk tahun ini sahaja. Malah untuk Sabah dan Sarawak, jumlah cabutan adalah lebih banyak kerana terdapat 3 lagi syarikat perjudian NFO yang hanya beroperasi di Sabah dan Sarawak.
Tema sambutan Maulidur Rasul tahun 1435H atau tahun 2014 yang jatuh pada 14 Januari 2014 bersamaan dengan 12 Rabiulawal 1435H ialah "WASATIYYAH TONGGAK KESATUAN UMMAH". Tema ini adalah amat baik dan bertepatan dengan sikap cintakan syariah. Mengapa penulis memberi komen begitu? Perhatikan hadis di bawah.
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu said Sabda Rasulullah SAW:
Nabi Nuh a.s akan dipanggil pada hari kiamat lalu baginda berkata Labbaik dan Sa’daik wahai tuhan. Lalu dikatakan kepada Nabi Nuh a.s “adakah kau telah menyampaikan?” Nabi Nuh a.s berkata “ya”. Lalu ditanya kepada umatnya,”adakah dia telah menyampaikan kepada kamu?”. Mereka berkata :”Tidak ada peringatan yang datang kepada kami”. Lalu Allah s.w.t bertanya kepada Nabi Nuh a.s : “siapa saksimu?”. Nabi Nuh a.s berkata : “ Muhamad dan umatnya”. Lalu umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi saksi bahawa Nabi Nuh a.s telah menyampaikan.“Dan Rasul(Muhammad) menjadi saksi atas ( perbuatan) kamu”
(Rasulullah kemudian membaca ayat ini) Itulah yang dimaksudkan oleh Allah SWT di dalam Quran
“Dan demikian (pula) kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil(wasatan)dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. (Al Baqarah 143)
Istilah wasatiyyah adalah adil. Adil dalam ertikata menerima hukum Islam. Meletak syariah Islam di tempat paling tinggi semampu yang mungkin. Kerajaan Malaysia yang gemar menggunakan istilah wasatiyyah seolah-olah faham bahawa umat wasatiyyah akan menjadi saksi kepada dakwah Nabi Nuh di akhirat kelak. Adakah umat yang pernah melulus, mengaut hasil judi dan menambah permit judi layak menjadi saksi Nabi Nuh?
Inilah maksud penghinaan dan sikap memperlekeh istilah syariah dan meletak terma Al Quran untuk jajaan menarik sokongan rakyat semata-mata.
Allah telah berfirman di dalam Surah al-Maidah ayat 90-91 yang bermaksud :
“ Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu dengan sebab arak dan judi adan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan dari mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripda melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil ?”.
Jika pemerintah masih menganggap judi adalah ajaran serta tabiat kaum bukan Islam sebenarnya mereka juga jahil berkenan ajaran agama lain. Dalam agama Kristian, perjudian dikutuk keras sebagai amalan diskriminatif yang menguntungkan satu pihak dan menganiaya satu pihak yang lain hingga meleburkan nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan seseorang sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya The New Testament (Mark 12:31)
Demikian juga agama Buddha, perjudian dikutuk sebagai amalan yang jahat kerana ia meruntun kepada pelbagai natijah negatif yang mampu memporak-perandakan kehidupan. Dalam sebuah teks Buddha, Digha Nikaya, disebutkan bagaimana amalan perjudian mampu menjelmakan krisis moral yang parah termasuklah mencetuskan kebencian sesama manusia, menghancurkan harta benda dan menghakis kepercayaan masyarakat dan kerabat terhadap seseorang.
Pengharaman judi turut disebut dalam teks agama Hindu yang dikaitkan dengan pelbagai krisis nilai dan pendangkalan moral seperti hancurnya nilai amanah, hilangnya perasaan kasih sayang pada masa yang sama membiak amalan penyelewengan, menggejala nilai pembaziran dan membudaya pengabaian tanggungjawab dalam masyarakat (Tirukkural, 94: 931-940).
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kelihatan lantang menentang cadangan lesen judi diberikan kepada orang Islam. Malah kata beliau agama sendiri (Islam) kita dianjurkan untuk berniaga dengan perkara-perkara yang halal, bukan yang haram. Tetapi ironinya kerajaan sendiri yang memasukkan hasil cukai judi dalam akuan disatukan yang digunakan untuk mengurus perbelanjaan ter,asuk gaji penjawat awam!
Kerajaan yang suka mengguna istilah wasatiyyah ini juga sangat bergantung kepada hasil perjudian untuk menampung pendapatan negara.
Dengan tidak mengambil kisah langsung musibah akibat judi sebenarnya pertambahan haricabutan perjudian hanya akan menambahkan tempoh kerugian pelanggan dan mendorong kepada peningkatan kes hutang Ah Long dengan jumlah hari perjudian cabutan nombor ekor 178 hari tahun ini.
Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan pada sidang Parlimen September 2013, kerajaan Malaysia telah mengutip RM70.8 juta untuk cukai cabutan khas bagi tempoh Januari hingga Jun 2013.
Jawapan Parlimen pada 31 Oktober 2013 juga menjelaskan jumlah cukai pertaruhan daripada enam syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 adalah RM6.3 bilion.
Ini bermakn Secara purata kerajaan mengutip RM1.26 bilion setiap tahun daripada perjudian nombor ramalan tidak termasuk daripada Kasino Genting Highlands dan mesin slot di kelab persatuan atau persendirian.
Untuk mesin slot, cukai yang dikutip kerajaan RM73.6 juta, pada tahun 2010, RM77.3 juta (2011) dan RM82.4 juta (2012).
Jelas jika ada yang beranggapan bahawa Malaysia merupakan salah satu pusat judi yang hebat seperti Las Vegas ia bukan suatu mitos atau fitnah.
Cukup memalukan apabila beberapa ahli Parlimen berbangsa Cina menekan Parlimen bersetuju agar akuan wang disatukan tidak dimasukkan wang judi.
Sikap menambah permit cabutan judi adalah sama seperti sikap kerajaan cuba melulus lesen judi bola pada tahun 2010 semata-mata mengaut keuntungan dicelahan musim Piala Dunia dan ia suatu sikap amat tidak bertanggungjawab, menghina syariah dan menunjukkan mereka tidak layak mengalung istilah wasatiyyah ke leher.
*Penulis adalah seorang jurutera pengeluaran serta aktivis Gerakan Sokong Syariah (Gesa)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan