Rabu, 29 Januari 2014

SAPE NAK MENGAKU BERAK TENGAH JALAN

KOTA BHARU:  Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, mengakui sayur kangkung turun harga sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Kemaman, baru-baru ini.
Menurutnya, kenaikan harga kangkung tidak berlaku kerana tiada seorang pun menteri kabinet atau kroni mereka terlibat dengan perniagaan kangkung.
“Sekiranya sayuran itu dimonopoli oleh syarikat mereka sudah tentu ianya akan naik harga sebagaimana gula, minyak masak,  gas, petrol dan lain-lain,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Ibrah dari kisah Nabi Yusof: Perancangan Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat” pada Kolokium Agenda Kesejahteraan Rakyat di Dewan Teratai, dekat sini hari ini.
Program sehari itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.
Ucaptama majlis disampaikan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Husam menambah, akibat tiadanya agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat, kepentingan kroni dan peribadi membuatkan rakyat menderita.
“Kerana itu kehidupan rakyat pelbagai peringkat, apa lagi yang berpendapatan rendah dihimpit kenaikan harga barang khususnya keperluan harian,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri,dan para pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik).
KUALA LUMPUR: PAS Selangor mengikuti perkembangan politik di negeri itu secara langsung dan berhati-hati, kata Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman (gambar).

Katanya, PAS Selangor menganggap isu kekosongan kerusi Dun Kajang adalah isu dalaman PKR yang tidak ada kena mengena dengan jawatan dan kedudukan Menteri Besar (MB) Selangor pada waktu ini.

Jelasnya, apa saja keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi Adun atau menentukan siapa calon, adalah hak PKR untuk menentukannya dan PAS Selangor tidak akan terlibat campur.

“Selagi isu jawatan MB Selangor tidak dikaitkan, maka PAS hanya menjadi pemerhati sahaja,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun, kata beliau sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan MB, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan diterima oleh rakyat dan PAS Selangor akan turut menghantar senarai calon MB yang dirasakan layak dan sesuai.

“Ini termasuk menamakan Pesuruhjaya PAS Selangor sebagai calon utama kita,” katanya yang juga Adun Paya Jaras.

Beliau berkata, PAS negeri akan menghantar nama itu untuk pertimbangan PAS Pusat dan terserah kepada kepimpinan Pusat untuk menentukannya kemudian.

“Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Dengan itu, kata beliau PAS Selangor minta ahli-ahli PAS di semua peringkat untuk terus bertenang dan menunggu arahan terus dari PAS Selangor dari masa ke semasa.

“Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat (PR) kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh PR,” jelasnya.
MELAKA: Tulisan Jawi semakin diancam kepupusan apabila tulisan Rumi lebih menjadi pilihan akibat generasi muda Malaysia, yang diharap memikul tanggungjawab mempertahankan tulisan itu, kini semakin meminggirkan tulisan warisan yang wujud sejak tahun 1300 itu.
  
Bagi pakar tulisan Jawi berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok ini tidak boleh diterima sama sekali kerana nasib tulisan Jawi secara mutlak terletak di tangan generasi muda Malaysia dan bukan warga asing walaupun diiktiraf pakar tulisan Jawi setinggi langit sekalipun.
  
"Tulisan Jawi milik setiap rakyat Malaysia, mereka paling layak pertahankan tulisan ini dan jika generasi muda tidak berbuat demikian, tulisan Jawi akan hilang begitu sahaja.
  
"Memang ramai warga asing berminat dengan tulisan ini tetapi hanya minat mengkaji, jarang ada warga asing seperti saya yang berusaha untuk pertahankan tulisan ini," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
  
Kang yang mengetuai Jabatan Pengajian Malaysia di Busan University of Foreign Studies, Korea Selatan sebelum itu menyampaikan syarahan bertajuk 'Inovasi Tulisan Jawi Untuk Generasi Baharu' di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di sini.

Turut hadir Naib Canselor KUIM Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim.

Mengulas cara terbaik untuk menarik generasi muda Malaysia mempelajari tulisan Jawi, Kang berkata langkah pertama ialah membentuk sebuah sistem pembelajaran menjadikan tulisan Jawi mudah dipelajari dan difahami.
  
"Generasi muda Malaysia ramai sudah tahu baca Rumi, jadi mula di situ jadikan Jawi itu lebih tepat ejaan dengan sebutan selari dengan Rumi. Perlu diatasi masalah seperti perkataan 'pudu' dieja fa-wau-dal-wau tetapi ejaan Jawi itu boleh juga merujuk kepada podo, podu atau pudo," katanya yang fasih berbahasa Melayu.
  
Kang berkata bagi mempopularkan kembali tulisan Jawi dalam kalangan generasi muda Malaysia, inisiatif luar biasa seperti yang dilakukan penyanyi Korea Selatan Psy yang mempopularkan budaya Korea melalui lagu 'Gangnam Style' boleh dilakukan.
  
"Gangnam Style ini memang suatu yang luar biasa kerana mengambil kuda, iaitu sesuatu yang dilihat biasa di Korea, dan dijadikan pula sebagai suatu yang di luar kebiasaan. Malaysia juga punya identiti unik tersendiri yang menarik perhatian dunia yang boleh ditonjolkan bagi menarik generasi muda," katanya.
  
Kang berkata tulisan Jawi adalah suatu warisan universal bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak seharusnya diletakkan eksklusif hanya perlu diwarisi generasi muda bangsa Melayu.

Ini kerana, katanya, tulisan Jawi merupakan sesuatu yang wujud sejak dahulu lagi di negara ini dan diterima pakai oleh semua masyarakat Malaysia sebelum tulisan Rumi diperkenalkan sekitar tahun 1960-an.
  
"Tulisan jawi ini dahulunya begitu (diterima pakai semua rakyat Malaysia) jadi sekarang perlu diteruskan begitu, diwarisi begitu dan sampai bila-bila pun mesti begitu," kata Kang.
  
Beliau turut menceritakan betapa 15 orang pelajarnya dari Korea Selatan gagal untuk mempelajari tulisan Jawi dan bahasa Melayu yang betul sepanjang tempoh program pertukaran pelajar dengan sebuah universiti di negara ini.
  
"Antara sebab pelajar saya ini tidak dapat belajar bahasa Melayu yang betul kerana orang muda di sini tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul. Banyak guna bahasa pasar sahaja, apatah lagi hendak belajar tulisan Jawi kerana orang muda di sini tak pandai tulis Jawi," katanya.
  
Kang berkata dalam negara yang rancak membangun dan menuju Wawasan 2020 ini, jati diri generasi muda perlu diperkukuh dengan warisan antaranya tulisan Jawi yang diterap dalam diri mereka bagi memastikan masyarakat Malaysia membangun dengan nilai peradaban yang tinggi.

Kang tidak takut untuk dikritik dengan pendapatnya tentang tulisan Jawi malah mengalu-alukan teguran terutama daripada generasi muda di negara ini bagi memastikan tulisan Jawi dapat dimartabatkan ke tahap tertinggi.
  
"Apa yang saya kecewa ada pihak mengkritik saya dan buku saya mengenai Jawi, dengan berkata ini tidak betul, tetapi dalam masa sama tidak mahu membetulkan. Mereka hanya tahu kata itu salah tetapi tidak berusaha betulkan... jika mereka usaha betulkan, saya amat gembira kerana Jawi akan menjadi lebih baik," katanya.
  
Kang sejujurnya tidak mahu menyinggung sesiapa dalam isu ini tetapi amat kecewa kerana masa depan tulisan Jawi yang begitu dicintainya dilihat gelap kerana generasi muda Malaysia semakin meminggirkan tulisan warisan itu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif dan Editor KL Pos Media & Production Sdn Bhd Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menafikan bahawa beliau adalah pemilik blog 'Papa Gomo'.
  
Beliau membuat penafian itu di Mahkamah Tinggi pada pendengaran kes saman Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya berhubung paparan video seks ketua pembangkang berkenaan dengan seorang lelaki.
  
Wan Muhammad Azri, 31, juga menafikan beliau adalah penulis, penerbit dan penyebar artikel atau imej berunsur fitnah terhadap Anwar dalam blog www.papagomo.com.
   
"Saya tiada pengetahuan mengenai artikel-artikel itu dan imej-imej tersebut. Blog saya adalah Malayrights.blogspot.com dan bukannya 'Papa Gomo'," katanya ketika disoal peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar.
  
Bekas anggota polis itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau pernah ditangkap, ditahan reman dan disoal siasat berhubung laporan polis terhadap blog 'Papa Gomo' sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, Anwar memaklumkan mahkamah bahawa perkataan yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri dalam artikel berkenaan adalah fitnah dan penyiaran imej serta artikel dalam blog itu memberi kesan buruk terhadapnya sebagai seorang pemimpin politik.
  
"Ia memberi kesan buruk terhadap persepsi rakyat Malaysia, terutama orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini, terhadap saya dan perkara seperti ini dipandang hina oleh masyarakat di negara ini, terutama masyarakat Melayu," katanya.
  
Beliau berkata meskipun penyebaran artikel berkenaan menyaksikan majoriti undi kepadanya bertambah pada pilihan raya umum lepas, ia tetap memberi kesan negatif.
  
Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.
  
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosilah Yop bersambung hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Feb depan untuk keputusan kes saman penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog 'Papa Gomo' yang didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkannya dalam video seks dengan seorang lelaki di laman berkenaan.  
  
Hakim Rosilah Yop menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam N.Surendran dan Lateefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam Jasbeer Singh Kawna yang mewakili Wan Muhammad Azri Wan Deris (defendan) (gambar).
  
Surendran ketika ditemui pemberita memberitahu bahawa mahkamah menetapkan tarikh itu untuk keputusan selepas kes berkenaan ditutup hari ini.
  
Jasbeer Singh pula memaklumkan kepada pemberita pihaknya memohon tarikh baharu untuk memanggil saksi terakhir yang sepatutnya hadir ke mahkamah, bagaimanapun ia dibantah peguam plaintif (Anwar) dan mahkamah memutuskan kes itu ditutup," katanya
  
Pada 21 Mac tahun lepas, Anwar memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta kerana mendakwa Wan Muhammad Azri menyiarkan empat siri perkataan fitnah di laman blog berkenaan pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.
  
Selain ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah, beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej berkenaan.
  
Prosiding perbicaraan yang bermula semalam telah memanggil dua saksi plaintif termasuk Anwar dan seorang saksi defendan iaitu Wan Muhammad Azri  memberi keterangan. - Bernama
KUALA LUMPUR:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor pada 5 Feb ini.
  
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada pukul 12.05 tengah hari ini berhubung peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang Lee Chin Cheh.
  
Mesyuarat khas itu akan diadakan di ibu pejabat SPR di Putrajaya dan diikuti sidang media oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - Bernama
Ramai yang pernah membaca Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui dan ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan Pengerusi Kristian Persekutuan Malaysia Bishop Ng Moon Hing dalam versi Bahasa Inggeris, namun tidak pula menemui versi perjanjian itu dalam Bahasa Melayu.

Sebelum saya bercerita panjang, di sini saya nukilkan isi kandungan Penyelesaian 10 Perkara yang dibuat dalam satu surat bertarikh 11 April 2011 versi terjemahan Bahasa Melayu bagi rujukan pembaca semua.

1. Bible dalam semua bahasa boleh diimport ke dalam negara, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia.

2. Bible ini juga boleh dicetak di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ini adalah perkembangan baru, yang patut disambut baik oleh kumpulan-kumpulan Kristian.

3. Bible di dalam bahasa asal Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang boleh juga dicetak tempatan dan diimport.

4. Di Sabah dan Sarawak, dengan pengiktirafan kepada komuniti Kristian yang besar di negeri-negeri ini, tiada sebarang syarat dikenakan kepada pengimportan dan cetakan tempatan Bible dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia/Indonesia dan bahasa Asal. Tiada keperluan untuk sebarang cop mahupun nombor siri.

5. Mengambil kira kepentingan komuniti Muslim yang besar di Semenanjung, Bible di dalam Bahasa Malaysia/Indonesia, samada yang diimport atau dicetak tempatan, mesti tertera perkataan “Christian Publication” (Penerbitan Kristian) dan lambang salib dicetak di bahagian muka depan.

6. Sejajar dengan semangat 1Malaysia dan pengiktirafan bahawa ramai yang berulang-alik di antara Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia, tiada sebarang kekangan untuk mereka bagi membawa Bible dan bahan-bahan Kristian ketika perjalanan.

7. Satu arahan telah dikeluarkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan keputusan kabinet dilaksanakan dengan baik. Kegagalan untuk mematuhi arahan akan menyebabkan pegawai dikenakan tindakan disiplin di bawah General Orders. Satu taklimat komprehensif oleh pegawai tertinggi, termasuk Peguam Negara, akan diberikan kepada semua kakitangan awam yang terlibat untuk memastikan pemahaman yang baik dan perlaksanaan yang elok terhadap arahan ini.

8. Untuk Bible yang ditahan di Kuching, penerbit Gideon boleh mengambil balik 30,000 Bible tanpa sebarang bayaran. Kami akan memastikan mereka yang terlibat akan dibayar pampasan. Tawaran itu juga diberikan kepada para pengimport 5,100 Bible di Pelabuhan Klang, yang telah dipungut oleh Bible Society Malaysia (BSM) minggu lepas.

9. Selain isu Bible, kerajaan ingin menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan kumpulan Kristian dan semua kumpulan agama yang lain untuk mengatasi masalah antara agama dan bekerja ke arah mencapai semua aspirasi keagamaan mengikut perlembagaan, dengan mengambil kira undang-undang lain yang berkaitan dengan negara ini. Untuk memastikan perkara ini dilakukan segera, sebagai Perdana Menteri, saya akan bertemu dengan wakil-wakil daripada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) tidak lama lagi untuk membincangkan penyelesaian masa hadapan.

10. Menteri-Menteri Kristian di kabinet akan membuat perjumpaan berkala dengan wakil-wakil Kumpulan Kristian untuk membincangkan isu-isu mereka dan bekerjasama dengan kementerian berkenaan dan saya, untuk menyelesaikannya.

Tahukan kita semua bahawa dalam 'Penyelesaian 10 Perkara', isu Allah tidak disentuh. Yang disentuh hanyalah Bible, secara khususnya Bible Bahasa Malaysia/Indonesia, yang mesti mempunyai perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang “Salib” di muka depannya jika ia diimport dan cetakan tempatan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia.

Namun begitu, tidak pasti samada ia melanggar penyelesaian 10 perkara ini jika ada mereka yang memiliki buku Bible Bahasa Melayu/Indonesi tanpa perkataan “Penerbitan Kristian” dan lambang “Salib” di muka depan dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung kerana perkara 6 menjanjikan tiada sekatan untuk berbuat demikian.

Saya bukan seorang Kristian, oleh itu artikel ini, saya tidak akan menyentuh mengenai penggunaan nama khusus Allah. Namun bagi saya, jika terdengar nama Allah, saya akan teringat Islam, jika terdengar nama Jesus, saya akan teringat Kristian. Jarang terkeliru.

Minggu lepas, Najib telah menegaskan penyelesaian 10 perkara tertakluk kepada undang-undang yang sedia ada. Ini bermaksud jika wujud mana-mana undang-undang negeri mahupun persekutuan yang menyebut larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan muslim, kabinet akan memihak kepada undang-undang.

Maka sekarang persoalannya ialah apakah kabinet telah melanggar undang-undang atau menggalakkan golongan tertentu untuk melanggar undang-undang yang sedia ada dengan membenarkan Bible yang menggunakan kalimah Allah untuk diimport dan dicetak secara tempatan?

Kabinet kata boleh cetak dan import Bible Bahasa Malaysia/Indonesia yang menggunakan terjemahan God/Lord kepada Allah (saya tak pasti yang mana satu), tapi tertakluk pada undang-undang yang sedia ada.

Kalau dah tahu ada negeri yang mempunyai undang-undang yang sedia ada yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, mengapa kabinet masih benarkan?

Jika ada pihak yang didapati melanggar undang-undang yang sedia ada, mereka berkata kabinet yang memberikan lampu hijau. Kabinet pula kata, ya boleh tapi tertakluk pada undang-undang yang sedia ada – ia sama seperti “Pandai-pandailah kamu interprestasi apa yang ditulis.”

Bagi kumpulan yang selalu menembak kerajaan dan menyerunya menghormati perlembagaan dan undang-undang, inilah yang sedang dilakukan oleh kabinet dalam penyelesaian 10 perkara ini.

Bagi kumpulan yang mendesak kabinet menjunjung penyelesaian 10 perkara ini pula sebenarnya pula menyuruh kabinet melanggar perlembagaan dan undang-undang yang sedia ada bagi negeri-negeri yang tidak membenarkannnya.

Bekas pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Dr Abdul Aziz Bari adalah betul dalam hal ini di mana beliau menegaskan penyelesaian 10 perkara bukanlah satu undang-undang.

Jika kerajaan betul-betul ikhlas dengan penyelesaian 10 perkara ini, Najib harus membawa penyelesaian 10 perkara ini untuk dibahaskan dan diluluskan di parlimen.

Betulkah penyelesaian 10 perkara ini satu perkara yang diterima oleh semua ahli di dalam kabinet? Melihat reaksi bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, yang duduk di dalam kabinet ketika penyelesaian 10 perkara ini diwujudkan, telah menimbulkan kesangsian kepada persoalan ini.

Mungkin sebelum ke parlimen, Najib juga perlu mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan mungkin satu referendum daripada rakyat Malaysia, samada penyelesaian 10 perkara ini boleh diterima.

Merdeka Centre dan UMCEDEL telah membuat kajian bahawa orang Islam Melayu di negara ini majoritinya (melebihi 70%) yang berpendapat kalimah Allah adalah esklusif untuk kegunaan orang Islam.

Mungkin mereka juga boleh membantu mendapatkan hasil kajian, berapa peratus orang Islam-Melayu yang tahu mengenai penyelesaian 10 perkara, dan berapa yang bersetuju dengan penyelesaian 10 perkara yang diutarakan Najib.

Sehingga itu berlaku, penyelesaian 10 perkara sebenarnya tidak wujud. Yang wujud ialah undang-undang yang sedia ada.

Dan Najib tersepit dalam hal ini kerana beliau memerlukan sokongan masyarakat Melayu-Islam dari Semenanjung dan Kristian di Sabah-Sarawak untuk Umno-BN terus kekal hidup di PRU14.

Lebih memudaratkan, penyelesaian 10 perkara ini jika dipersetujui mahupun ditolak, mesti ada pihak yang dilihat ‘tewas’ dalam mempertahankan kesucian dan hak agama mereka.

Silap siapa akhirnya?
PETALING JAYA: PAS hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan PKR yang meletakkan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Naib Presiden PAS, Slahudin Ayub berkata, PAS sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat sentiasa mendokong semangat kebersamaan dan muafakat bersama PKR dan juga DAP.

"Ini semangat yang ada dalam Pakatan Rakyat, setiap parti akan memberi sokongan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan itu milik Pakatan Rakyat, khususnya (kali ini) PKR," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau ditemui selepas hadir mewakili PAS pada sidang media PKR hari ini di mana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon PRK Dun Kajang.
Turut hadir pada sidang media itu Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Salahudin berkata memang sudah menjadi kebiasaan mana-mana parti dalam Pakatn Rakyat yang bertanding, akan disokong oleh rakan parti yang lain dengan mengambil semangat calon itu adalah calon Pakatan Rakyat.

Mengulas pemilihan Anwar pula, Salahuddin berkata, ianya adalah keputusan terbaik yang dirasakan oleh PKR bagi menyelesaikan masalah dalaman parti itu, dan menerima secara terbuka.

"Pencalonan Anwar itu bagi saya isu dalaman PKR dan ia sebagai penyelesaian terbaik, kita diberitahu kekosongan dan tanggungjawab sebagai rakan Pakatan Rakyat kita akan memberi sokongan.

"Begitu juga jika berlaku dalam PAS mahupun DAP, parti-parti akan memberi sokongan," jelasnya.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pada sidang media turut menyatakan sokongan kepada calon pilihan PKR itu.

Jelasnya, DAP akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan Pakatan Rakyat di Selangor boleh mencipta kecemerlangan yang lebih baik.

Tiada ulasan: