Daun pisang 
KEMAMAN – Kenaikan harga daun pisang menjadi punca harga satar di Geliga dan Kuala Kemaman menjadi RM5, berbanding harga sebelum ini RM4.

Peningkatan harga sebanyak RM1 itu untuk menampung kos daun pisang yang naik mengejut dari RM15 kepada RM20 sepeket dengan berat kira-kira 5kg.

Peniaga, Zamzarinawati Mohd Ganti, 33, berkata, keadaan itu menyebabkan peniaga tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga satar bagi menampung kos yang semakin meningkat.

“Saya mula jual satar dengan harga RM5 untuk 10 biji pada bulan puasa tahun lalu setelah daun pisang mula naik harga. Sejak itu, harga satar masih kekal sehingga sekarang walaupun harga isi ikan naik 50 sen untuk setiap kilogram sejak musim tengkujuh melanda negeri ini.

“Dahulu harga isi ikan ialah RM7.50 sekilogram dan sekarang dah jadi RM8. Kami para peniaga masih  bertimbang rasa terhadap pembeli,” katanya.


Menurutnya, bekalan daun pisang yang dibelinya datang dari Thailand, justeru harganya mengikut harga pasaran yang bergantung pada bekalan dan permintaan.

Selain satar, satu lagi makanan tradisional popular yang menjadi identiti Kemaman iaitu otak-otak turut naik harga daripada RM4 kepada RM5 untuk 10 biji.

Jelas Zamzarinawati, semasa musim hujan pada Disember lalu harga kelapa juga naik kepada RM3 sebiji namun, harga kelapa kembali turun kepada RM2 sebiji ketika ini sekali gus membolehkan peniaga menarik nafas lega kerana kelapa adalah bahan utama dalam penyediaan satar dan otak-otak.