Sabtu, 11 Januari 2014

TAK DE CARA LAIN MENAHAN KEBANGKITAN RAKYAT....TUNGGU SAJA KEBANGKITAN DARI KUBUR SETELAH MATI...MENERIMA DAKWAAN ALLAH SWT

KUALA LUMPUR: Musyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cadangan untuk memperkenalkan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ialah cadangan orang yang kehabisan modal untuk bercakap.

“Bayangkan sendiri jika anda ataupun anak-anak ditangkap di bawah ISA tanpa diberikan ruang untuk membela diri, apa perasaan pada masa itu?” tanya beliau menerusi tulisan di facebook.

Beliau menegaskan bahawa ISA ialah undang-undang kejam dan tidak bertamadun.

Justeru, kata beliau, untuk menyelesaikan konflik, boleh gunakan saluran undang-undang yang ada.

Jelasnya, Islam sendiri mengajar tiga kaedah perlu diambil apabila berlaku pertembungan; menyeru dan menjelaskan dengan berhikmah, menggunakan peringatan yang baik dan berdebat dengan menggunakan hujah.

“Ini yang disyorkan oleh Islam. Jika segala ruang perbincangan telah digunakan, saluran undang-undang menjadi pilihan. Itupun melalui perbicaraan yang adil,” ujarnya.

Masalahnya, kata beliau ruang perbincangan tidak dibuka, perdebatan yang matang langsung tidak berlaku bahkan perbicaraan yang adil hanya tinggal mimpi sahaja, alih-alih ISA mahu digunakan.

SHAH ALAM: Jingga 13 Malaysia hari ini melancarkan kempen 1 juta tandatangan bagi membantah tindakan kerajaan yang menaikan harga minyak termasuk tarif elektrik sehingga berlakunya berlakunya rantaian kenaikan barang keperluan yang lain.

Kempen yang bermula di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan diperluaskan ke seluruh negara sehingga bulan Mac nanti.

Timbalan Koordinatornya, Amizudin Ahmat menjelaskan Jingga 13 amat perihatin terhadap kesusahan yang ditanggung oleh rakyat akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Katanya, atas keperihatinan tersebut tandatangan yang berjaya dikumpul ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berserta dengan memorandum sebagai tanda desakkan rakyat atas kesulitan yang mereka hadapi.

"Bermula hari ini kita memulakan kempen 1 juta tandatangan rakyat Malaysia yang membantah kenaikan harga barang.

"Kempen ini akan berterusan ke seluruh negara dan berakhir di Sabah pada bulan Mac nanti, ke semua tandatangan yang berjaya kita kumpul akan diserahkan kepada kerajaan berserta dengan memorandum bantahan," jelasnya pada sidang media.

Menurut beliau kempen ini adalah bertujuan untuk mendapatkan sokongan rakyat yang tidak bersetuju dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.

"1 juta tandatangan adalah menunjukkan protes rakyat dan kita mahu kerajaan tahu apa yang ditentang oleh rakyat akibat keputusan tersebut.

"Kita akan terus bertemu dengan rakyat dan meminta sokongan mereka melalui tandatangan agar usaha murni bantahan kenaikan harga barang ini berjaya," sambung beliau.

Menurutnya lagi, selain daripada tandatangan yang dikumpulkan secara bertemu dengan rakyat, mereka yang ingin menyertai bantahan tersebut secara dalam talian di http://change.org/en-GB/petitions/rakyat-malaysia-bantah-barang-naik.

Jelas beliau, Jingga 13 akan terus mendesak kerajaan di bawah Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menurunkan segala kenaikan kos sara hidup ini dan lebih memahami kesusahan yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan berantai.

KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari mempersoalkan siapa sebenarnya keliru dalam isu kalimah Allah yang telah ditimbulkan sejak kebelakangan ini.

Beliau pada program wacana "Polemik Kalimah Allah dan Rampasan Bible, antara undang-undang dan sensitiviti agama" anjuran PAS Lembah Pantai semalam di KL Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH) menjelaskan golongan yang keliru adalah mereka yang tidak mengetahui apa itu Islam secara mendalam.

"Saya tidak nampak siapa yang keliru dalam isu ini, penjelasan daripada penganut Kristian dan mereka yang hadir mendengar wacana tidak ada seorang pun yang keliru.

"Malah di luar sana kebanyakkan mereka boleh menerima kerana tidak ada satu pun ancaman yang timbul.

"Kalau tidak ada yang keliru, jadi mereka yang memperbesarkan isu ini sebenarnya keliru. Kalau golongan yang faham sebenarnya erti Islam tidak timbul perasaan keliru tetapi jika sebaliknya inilah yang terjadi," jelas beliau di hadapan kira-kira 200 yang hadir.

Beliau yang turut mempertikaikan pandangan sesetengah pihak mengatakan wujud ancaman kepada umat Islam di negara ini apabila kalimah Allah diguna oleh masyarakat Kristian.

Katanya, masyarakat Islam merupakan golongan majoriti di negara ini dan berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan, adalah suatu yang mustahil jika golongan Kristian yang minoriti mampu mengancam keamanan negara ini.

"Wujud ancaman, saya tidak nampak langsung ancaman kepada umat Islam di negara ini. Kita berada dalam kelompok majoriti dan bagaimana golongan minoriti dapat mengancam kita.

"Semua kenyataan tersebut tidak boleh diterima akal, negara mempunyai undang-undang dan kita berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama rasmi, jadi bagaimana Kristian boleh timbulkan ancaman.

"Saya tegaskan Perlembagaan yang ada tidak pernah gagal dalam pelaksanaannya, tetapi yang gagal adalah kita yang tidak dapat memahami roh dalam Perlembagaan tersebut termasuk juga gagalnya kita memahami apa Islam sebenarnya," sambung beliau.

Menurut beliau, isu yang telah ditimbulkan ini telah memberikan publisiti negatif kepada negara di peringkat antarabangsa kerana gagal mewujudkan suasana hormat menghormati antara pelbagai kaum dan anutan agama.

Malah jelasnya lagi, isu tersebut sengaja disebarkan bagi tujuan keuntungan kepada pihak tertentu sahaja.

"Negara ini telah mendapat publisiti negatif secara percuma kerana kita gagal mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara pelbagai kaum dan agama.

"Agenda ini hanya untuk keuntungan kepada pihak tertentu sahaja, yang bertujuan untuk kepentingan politik serta mengalihkan isu yang lebih penting seperti bebanan hidup yang dihadapi oleh rakyat.

"Sebelum ini isu 13 Mei dihangatkan bagi menakutkan orang Melayu terhadap kaum Cina, kemudiaan Syiah pula diperluaskan dengan menuju kepada pimpinan PAS sebagai menarik undi Melayu dan sekarang cuba menakutkan Melayu dengan Kristian, jadi agenda-agenda sedemikian kita perlu berhati-hati agar tidak termasuk dalam perangkap," jelasnya.

Beliau yang meminta agar semua pihak membuat tindakan susulan untuk merungkaikan kekeliruan dan salah faham yang sengaja disebarkan oleh pihak tertentu untuk mendapat keuntungan politik semata-mata.

"Isu seperti ini memang diberi perhatian oleh masyarakat Melayu dan saya berharap usaha yang bersungguh-sungguh perlu dibuatkan bagi memberi penjelasan kepada orang Melayu agar mereka lebih faham dan tidak termakan dengan komen atau pandangan sempit serta negatif yang tidak selaras dengan masyarakat majmuk negara ini.

"Sebagai umat Islam yang sepatutnya menegakkan yang makruf dan menegahkan yang mungkar, sepatutnya mereka perlu hayati konsep Islam itu yang dibawa oleh Rasulullah SAW sebelum ini untuk kesejahteraan seluruh masyarakat dunia dan bukan untuk golongan tertentu sahaja," sambung beliau.

Beliau yang pada masa yang sama turut memberitahu apa yang diperkatakan bukan bermaksud menentang keputusan istana tetapi bagi meredakan kekeliruan yang wujud dalam masyarakat negara ini terutamanya golongan Melayu.

Turut menjadi panel pada wacana semalam adalah Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat serta Setiausaha Agung National Evangelical Christian Fellowship Malaysia (MECF), Eugene Yapp.
KUALA LUMPUR: Selepas pilihanraya dan dengan kedudukan yang kekal rapuh di sisi rakyat, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, menghapuskan subsidi gula, membenarkan kenaikan tarif elektrik dan sebagainya telah menyebabkan berlakunya rantaian peningkatan dalam banyak harga barang, sekaligus menyebabkan kos sara hidup menjadi semakin mahal.

Dalam masa yang sama, kemewahan dan pemborosan pemimpin, terutamanya Perdana Menteri tidak pernah berubah, tulis Shahbudin Husin.

Katanya, kecintaan kepada gaya hidup mewah, memiliki barang-barang mahal, jamuan dan perjalanan dengan kos yang tinggi, terus juga bermaharajalela.

Baginya, seruan berjimat, mengikat perut dan berubah hanyalah ditujukan kepada rakyat marhaen tetapi tidak kepada diri mereka sendiri.

Secara nyatanya, menurut beliau kelemahan kerajaan sekarang adalah berpunca daripada kelemahan yang ada pada Najib sebagai Perdana Menteri.

“Beliau telah gagal melonjakkan ekonomi dan menambah pendapatan negara sehingga yang terfikir di kepalanya untuk mengelakkan kewangan negara terus merudum ialah dengan menaikkan cukai, menghapuskan subsidi dan mengambil lebih banyak wang daripada poket rakyat,” tulisnnya lagi di dalam blognya, semalam.

Tambahnya, tetapi oleh kerana pendapatan negara tidak diseimbangkan dengan kemewahan dan pemborosan, dalam masa yang sama hutang negara terus juga meningkat.

Menurutnya, ketika Najib mengambil alih kepimpinan pada 2009, hutang negara hanyalah RM362 bilion tetapi kini telah meningkat sekali ganda menghampiri RM600 bilion.

Di samping kedudukan ekonomi makin merudum dan gagal dipertingkatkan, kelemahan kepimpinan Najib juga telah menyumbang kepada munculnya pelbagai isu dan kekalutan dalam negara.
Untuk Sebelah Sana

Ya, untuk sebelah sana...
telah tersebar ke seluruh negara
akan sebuah makluman yang membanggakan kalian
bersorak gembira ceria bagai dikata
kerana janji-janji telah dikota dengan jayanya
apalah sangat dengan kenaikan harga itu
mereka sedia, mereka sanggup, mereka tidak bantah
kerana mereka telah memilihnya dengan besar hati
mereka yakin dengan slogan ‘mereka didahulukan, pencapaian diutamakan’
mereka sudah lafaz janji setia janji ditepati dipeti-peti undi
mereka tidak akan lawan, mereka setia bersetuju gembira
naik bagaimana banyak sekali pun, mereka tetap sedia dan setia
mereka sanggup berkorban dan terkorban demi janji ditepati
mereka sanggup mati demi pertiwi bangsa diketepi sekali tidak
tradisi membela rakyat diyakini sepenuh jiwa raga

Ya, untuk sebelah sana...
derhaka pada sang penguasa tidak sekali-kali tidak
enam puluh tahun sudah cukup berjasa pada mereka
liat, kilat sampai berkarat tetap digenggam erat setia
naik, naik dan naik lagi tidak ada apa-apa pada mereka
biar hidupnya biasa-biasa, biar hidupnya susah-susah
naik, naik dan naik lagi semua itu tidak mereka kesah’
apa yang pihak oposisi peduli mereka tidak gemari
sengsara-sengsara, susah-susah mereka setia
mereka mensyukuri nikmat yang diberi
tanpa peduli diri mereka diperjudi
sang penguasa berjasa dulu, kini dan selamanya
mereka hadami slogan itu sedalamnya menjiwa
hingga mereka percaya itu hanya tempat bergantung semata-mata
kenaikan harga itu semua sudah ketentuan Allah segala
itu, ikut kata ulamak muda pandai bicara


Ya, untuk sebelah sana...
mereka setia membabi buta segala yang dikerah
sang penguasa terus menerus memaksa tanpa peduli
demi sebuah agenda transformasi apa lagi wasatiyah,
mereka peduli apa dengan kenaikan harga
janji semua-semua itu ada jangan tidak ada
tidak peduli pada suara oposisi dianggap fitnah kepada penguasa
mereka percaya kenaikan harga itu demi rasioalisasi subsidi
kenaikan untung untuk rakyat juga diambil peduli
itu sabda sang penguasa juga menteri-menteri yang mereka percayai
untung  nasib BRIM akan diberi lagi misi janji-janji ditepati dilunasi
apa lagi yang oposisi tidak puashati pada menteri, itu kata mereka
mereka taat setia pada sang penguasa kerana penguasa ada berkata;
hanya parti pemerintah tempat bergantung untuk mereka
percaya dan percaya segunung harapan mereka menunggu harapan.

Ya, untuk sebelah sana...
entah kapan mereka ini bisa menyedari permainan keji dari sang penguasa
belum ada petanda yang bakal menginsafi diri mereka
pegangan khurafat terlalu mencengkam menjiwa pada diri
apakah ini takdir untuk mereka terus taat setia membabi buta
cukuplah apa yang mereka terus sokongi dan dokongi
lambat laun kepedulian segera bertunjang dijiwa mereka
itupun jika mereka, dapat mengikis karat-karat yang menebal didada-dada mereka
atau pun
kita saksikan sahaja, apa lagi yang mereka terus puja-puja muja-memuja sang penguasa
kerana itu semua takdir yang menentu segalanya,
untuk sebelah sana, moga insaf dan sedar diri
cukuplah penipuan enam puluhan tahun itu.

Masshah 2013
Bilik buku, Meru
KUALA TERENGGANU:  Banjir gelombang kedua mula melanda Terengganu apabila 155 orang daripada 45 keluarga di daerah Kemaman dipindahkan sejak awal pagi semalam.
              
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga pukul 9 pagi ini,  tiga pusat pemindahan mangsa banjir dibuka di daerah itu iaitu Balai JKKK Padang Kubu yang menempatkan 87 orang (26 keluarga), Berek Kilang Padang Kubu (33 orang dari lapan keluarga) dan Rumah Pegawai Sungai Mas (35 orang dari 11 keluarga).
              
Kesemua mereka mula berpindah ke pusat pemindahan kira-kira pukul 8 pagi semalam berikutan kawasan kediaman mereka yang rendah dinaiki air limpahan hujan.
              
Dalam kejadian banjir gelombang pertama baru-baru ini, daerah Kemaman merupakan kawasan yang teruk terjejas menyebabkan berpuluh ribu orang terlibat dalam musibah itu.
              
Sementara itu, di daerah Kuala Terengganu, cuaca buruk pagi ini dengan angin kencang disertai hujan lebat sekali-sekala. - Bernama
KUALA LUMPUR:  Tiga individu yang menaiki pesawat Cessna 172 yang terhempas berhampiran Empangan Batu, Ulu Yam setelah dilapor hilang Jumaat petang ditemui selamat kira-kira 5 pagi ini.
              
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi hari ini berkata ketiga-tiga mangsa itu ditemui dengan bantuan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.
              
Beliau berkata dua orang cedera parah manakala seorang lagi cedera ringan dan kesemua mereka dihantar ke Hospital Selayang pada pukul 7.45 pagi untuk rawatan.
              
"Maklumat penuh mengenai mereka belum kami peroleh," katanya.
              
Pesawat itu dilapor terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika di kawasan Batu Caves kira-kira 5.15 petang semalam.
              
Bagaimanapun juruterbang pesawat itu dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor (KPDS) yang hanya dikenali sebagai Kapten Saiful dilapor berjaya menghubungi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memaklumkan lokasi, sebelum terputus panggilan dipercayai kehabisan bateri telefon. - Bernama

 

 

Tiada ulasan: