Sabtu, 25 Januari 2014

DAH BAHAYA....BERHENTILAH MEROKOK


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menziarahi Ustaz Harun ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib kembali ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada jam 12.05 tengah malam ini.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh anak Allahyarham.
Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri memberitahu jenazah Almarhum Ustaz Harun dijangka disolatkan pada jam 10 pagi nanti di Markas Tarbiyah Kubang Lembik, Manir, Kuala Terengganu.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh ahli PAS agar beramai-ramai hadir mendoakan kebaikan untuk almarhum.

“Moga Allah merahmati roh beliau dan meletakkan beliau bersama roh para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily

Bagi pihak Dewan Ulamak PAS Pusat dan seluruh jawatankuasanya, beliau mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Jasa dan amal perjuangan dakwah almarhum sepanjang berkecimpung dalam gerakan Islam seawal remaja sehingga ke akhir hayat  insya Allah diganjari dengan yang terbaik oleh Allah subhanahu wa taala,” ujarnya lagi.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat dan seluruh kepimpinan PAS negeri turut mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum, semoga bersabar dan tabah dalam menghadapi dugaan Allah tersebut.
BINTANGOR: Dua bot panjang yang membawa 18 orang, yang sedang dalam perjalanan untuk satu upacara pengebumian, karam di Sungai Sian awal hari ini selepas dipukul ombak daripada sebuah kapal yang melalui kawasan itu.

Bagaimanapun, 17 daripada mereka dapat menyelamatkan diri atau diselamatkan oleh bot yang melalui kawasan itu manakala seorang lagi yang berumur 28 tahun masih hilang dalam kejadian 6.50 pagi itu.

Mangsa dikenali sebagai Kenny anak Bisa, seorang penyelia ladang kelapa sawit, dari Rh Usop di Sungai Sian.

Dia menaiki bot panjang kedua yang sedang dalam perjalanan untuk upacara pengebumian saudara mereka, seorang wanita tua, di tanah perkuburan Iban di Nanga Bangkit, Selidap.

Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk rumah panjang masih dijalankan.

Insiden ini merupakan tragedi kedua membabitkan bot panjang di negeri ini.

Sabtu lepas, sebuah bot panjang dengan membawa 27 tetamu dari Kampung Tekajong di Daro, bahagian Mukah, yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di sebuah kampung berdekatan Kampung Saai, karam di Batang Lassa selepas dipukul ombak.

Dalam kejadian itu 16 orang terselamat, 10 disahkan mati dan seorang lelaki berumur 55 tahun masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamat masih berjalan bagi mengesan mangsa. - Bernama
Peristiwa Ghazwah Bani Mustaliq pernah merekodkan satu pengalaman pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah SAW, di mana Saydatuna Aishah dituduh bermukah dengan Safwan bin Mu’attal, seorang Sahabat Nabi juga tentera Islam yang tabiatnya suka tidur selepas selesai berjuang di medan pertempuran. Di dalam sirah Ibnu Hisham, diriwayatkan Safwan bin Mu'attal memang suka tidur selepas perang sehinggalah beliau ditinggalkan keseorangan oleh kumpulan tentera-tentera Islam yang lain.

Itulah rutin yang kerap dilakukan oleh Safwan, seorang Sahabat Nabi setiap kali berakhirnya perang. Namun, setelah Safwan tersedar daripada lenanya beliau mendapati Aishah, isteri Baginda SAW tertinggal keseorangan daripada kumpulan yang sepatutnya beliau bersama Rasulullah SAW menuju pulang ke Madinah.

Peristiwa itu menyebabkan kota Madinah gempar. Segala rekayasa media dipaparkan oleh kaum munafiq semahu-mahunya. Fitnah keji dan tuduhan jahat terhadap keluarga Nabi SAW kedengaran merata ke pengetahuan masyarakat Muslim dan non-Muslim di Madinah, di mana Aisyah, isteri Nabi SAW dituduh berselingkuh dengan Safwan bin Mu'attal.

Sementara Abdullah bin Ubai dan kaum munafiq melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah SAW dengan mengambil kesempatan, mencipta dan menaburkan fitnah terhadap isteri Baginda sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut. Beberapa orang sahabat berkelahi dengan Safwan bin Mu'attal, antaranya ialah Hassan bin Thabit, tukang penyair Rasulullah.

Tuduhan itu dirumus berdasarkan tindakan Safwan yang mengiringi Saydatuna Aishah radhiAllahu anha sehingga tiba ke Madinah. Peristiwa itu dijaja sebagai fakta kukuh, tentang kecurangan Aishah terhadap Rasulullah SAW.

Disebut oleh Ibnu Hisham di dalam sirahnya, fitnah tersebut menyebabkan Rasulullah melontarkan persoalan kepada Aishah, "Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya."

Sedih Aishah mendengar teguran Baginda, suara Baginda bagaikan guruh yang mengegarkan tiang langit. Lantaran persoalan bernada keraguan itu, Saydatuna Aisyah mengalirkan air mata, dengan sebak menangis melihat tawarnya keyakinan Baginda kepadanya. Aishah kemudiannya melontarkan perkataan yang membuktikan kejituan imannya kepada Allah Taala, "Aku tidak dapati suatu contoh perkataan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf alaihissalam; ...Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (maksud surah Yusuf ayat18)."

Allah telah mentaqdirkan satu ujian yang pahit diterima Baginda SAW, lebih-lebih lagi apabila wahyu tidak turun sebulan lamanya sejurus dari peristiwa itu. Semua itu agar kita agar generasi umat Islam hari ini mengambil iktibar sebagai umatnya yang beriman kepada Allah dan Rasul, sebagai umatnya yang menjulang tinggi makna kesetiaan dan persaudaraan.

Lalu, apa sebenarnya yang dilakukan Baginda Nabi SAW mengatasi beban ini selain menunggu petunjuk dan wahyu dari Allah? Lembaran sejarah mengajarkan kepada kita, bagaimana sikap Baginda Nabi sebagai qiyadah terunggul membanteras fenomena "media puaka" yang dikelolai Abdullah bin Ubai sampai ke akarnya.

Antara yang dilakukan Rasulullah SAW adalah menyibukkan para sahabat daripada membicarakan fitnah terhadap Saydatuna Aisyah. Ini kerana masyarakat yang tidak sibuk, menghabiskan masa mengatur dam dan melepak di kedai kopi, biasanya tiada urusan lain yang akan dilakukan oleh mereka selain membicarakan isu-isu panas dan fitnah.

Khabar angin, cakap-cakap mulut adalah senjata klasik yang menjadi makanan empuk orang-orang munafik sejak dahulu lagi untuk memecah belahkan umat Islam. Di dalam kitab sirah yang dikarang Ibnu Hisyam, ketika fitnah ini berleluasa radarnya, Rasulullah SAW bertindak keluar ke lokasi yang berbeza dari suasana di Madinah. Rasulullah SAW keluar bersama beberapa orang sahabat untuk beberapa hari dan berhenti di suatu tempat sehingga masing-masing mengantuk dan tertidur. Rasulullah SAW melakukan semua itu agar mereka dapat melupakan "gossip liar" kaum munafiq seputar kejadian sebelumnya.

Begitu juga apabila Rasulullah SAW mengutarakan pandangan dan mengemukakan pendapat tentang hal yang terjadi berikutan tuduhan terhadap isterinya, Aisyah, Baginda hanya berbicara kepada orang-orang yang rapat dengannya sahaja. Baginda tidak berbicara soal tuduhan terhadap Aisyah itu kepada semua orang. Kerana cinta Baginda SAW kepada Aisyah begitu mendalam, manakala tuduhan yang dihadapi oleh Aisyah amat pedih untuk dipendam.

Berbeza dengan sikap orang-orang munafik. Mereka menyebarkan desas-desus dan menikmati rasa kepedihan yang menimpa jiwa Rasulullah SAW.

Safwan bin Mu'attal radhiAllahu anhu disaksikan Rasulullah SAW sendiri sebagai seorang yang soleh dan Allah telah memberikan rezeki kepadanya kesyahidan di jalan-Nya sesudah fitnah liar ini ditamatkan dengan penurunan ayat ke 11-18 daripada surah an-Nur. Allah menjelaskan perihal sebenar dan telah memuji pendirian Abu Ayub al Ansari dan Ummu Ayyub berdasarkan asbaabun nuzul ayat tersebut kerana sikapnya tidak mempercayai tuduhan buruk yang dilemparkan kepada isteri Baginda SAW.

Ketika peristiwa berita fitnah mengenai kerendahan moral Aishah merebak dengan liarnya, Abu Ayyub al Ansori beserta isterinya Ummu Ayyub berkata, "Ya kami mendengar berita itu, tetapi kami tidak percaya dan ini adalah fitnah terhadap Aishah!"

Wahyu Allah yang turun ketika itu sangat menenangkan jiwa Baginda, ia laksana gerimis di saat kekeringan dan kemarau panjang. Firman Allah Taala:

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata; Ini ialah tuduhan dusta yang nyata” (Surah an Nur : ayat 12).

Inilah sikap Muslim yang menjadi panduan kepada kita apabila menilai sesuatu isu atau berita. Benarlah Allah Taala memuliakan Para Sahabat dan mensucikan Para Ahli Bait Baginda SAW. Sekalipun peristiwa ini sulit dan menyakitkan, namun sedarilah bahawa orang-orang yang diuji dengan peristiwa seumpama ini, pahalanya di sisi Allah tidak akan dizalimi sekecil manapun. Sabda Rasulullah SAW, “Tidaklah seorang hamba dizalimi lalu ia bersabar atas kezaliman itu maka Allah pasti menambah kemuliaan baginya.” - Riwayat at-Tirmizi, hadis ini sahih.

Mari kita renungi dalam-dalam jika fitnah seumpama ini berlaku di hadapan kita. Ketika itu di manakah kedudukan hati kita sekarang?

Adakah kita tergamak mengapi-apikan orang lain supaya turut mempercayai berita yang masih belum dipastikan keabsahannya?

Adakah kita mengambil posisi berdiam diri lantaran sikap tidak mahu ambil peduli?

Atau kita tidak percaya khabar tersebut malah mempertahankan peribadi mangsa sebagai orang yang dizalimi, menegaskannya sebagai Muslim yang baik bahkan wajar dipertahankan martabatnya.

Jika hari ini kita di zaman Baginda SAW, di manakah posisi iman kita? Adakah posisi kita bersama Para Sahabat radhiAllahu anhum, ataukah posisi kita di tempat "asfala safilin" di mana kaum munafiq yang mewarisi sikap Abdullah bin Ubai bin Salul ditempatkan? Na'uzubiLlahi min zaalik.
KUALA LUMPUR: NGO Islam mengalu-alukan usaha Pakatan Rakyat untuk duduk bersama Umno BN bagi membincangkan isu perkauman dengan segera bagi mencari formula terbaik demi memelihara kesejahteraan rakyat negara ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abd Manan berkata, saranan Pakatan Rakyat itu wajar disambut oleh Umno BN sekiranya mereka benar-benar ikhlas mahu menjaga kesejahteraan rakyat negara ini.

"Terutama kepada Umno yang sering dilihat membakar api perkauman dan wajar diterima oleh Umno jika benar-benar memikirkan kesejahteraan negara," katanya kepada Harakahdaily.

Namun, Abim kesal apabila perkara sensitif yang dijaga dengan tertib oleh kerajaan dipermainkan sewenang-wenangnya untuk meraih sokongan tanpa memikirkan risiko yang berlaku.

"Emosi rakyat sedang dibakar dengan api perkauman sebelum perkara ini jadi tidak terkawal wajar pihak yang terlibat terutama pemimpin parti politik duduk bersama berbincang," katanya.

Cadangan Pakatan Rakyat itu, bagi beliau satu tindakan yang menunjukkan kematangan berpolitik dan wajar disambut oleh Umno BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Zaid Kamaruddin berkata, walaupun saranan ini 'overdue' tetapi ianya satu usaha yang bagus kerana ianya memperlihatkan kemuafakatan parti-parti politik demi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Tambahnya, kepentingan itu terutamanya bagi mengelak membawa isu-isu perkauman yang boleh mengundang perpecahan.

Namun kata beliau, perkara ini harus ditangani dengan tepat dan bijaksana bukan dipolitikkan.

"Lebih baik parti-parti politik duduk bersama bagaimana hendak selesaikan isu perkauman yang sering ditimbulkan oleh pihak tertentu, jika tidak ditangani dengan baik rakyat akan rugi.

"Jika dibiarkan dibimbangi suasana akan bertambah buruk dan semakin sukar untuk ditangani. Kenyataan Pakatan Rakyat yang baik dan wajar untuk Umno BN sahut," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Majlis Pakatan Rakyat sepakat mengajak Umno BN untuk duduk bersama membincangkan isu perkauman yang dilihat semakin dijadikan modal oleh pihak tertentu bagi menimbulkan suasana tegang di kalangan rakyat.

Keadaan ini berikutan, ada pihak cuba menimbulkan provokasi seperti mahukan peristiwa 13 Mei berulang setelah tidak berpuas hati apabila rakyat mengadakan demonstrasi 'Kangkung' sebagai bantahan terhadap kenaikan harga barang di Pulau Pinang tempoh hari.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohamad Sabu juga menegaskan bahawa demonstrasi 'kangkung' itu tiada kaitan dengan isu perkauman sebaliknya ianya adalah isu ekonomi iaitu kenaikan harga barang yang telah membuatkan rakyat semakin terhimpit.
KUALA LUMPUR: Pentas wanita muda yang akan membicarakan isu kenaikan harga barang dari sudut pandang wanita akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak pada Ahad ini.

Ceramah bertajuk 'Kenaikan Harga Barang Menggugat Kebebasan Wanita' akan menampilkan Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Faridah Samad dan Ketua Srikandi PRK, Siti Aishah Shaik Ismail.

Ia diadakan bersempena perasmian pelancaran Ameerah Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada akhir 2013, hasil persetujuan saf kepimpinan baru Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sesi 2013-2015.

Majlis pelancaran akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh Faridah sendiri.

Ketua DMPWP, Nuridah Salleh yang juga penasihat Ameerah Wilayah Persekutuan akan turut hadir menyerikan majlis.

Majlis ini terbuka kepada semua wanita muda di sekitar Wilayah Persekutuan dan pendaftaran untuk menjadi ahli Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan dibuka.

100 orang terawal mendaftar sebagai Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan menerima cenderahati menarik.

Sementara itu, Nuridah berkata, sudah tiba masanya wanita muda PAS di Wilayah Persekutuan digabungkan dalam satu organisasi bagi mendekati pengundi-pengundi muda di ibu kota.

Menyahut seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang agar muslimat memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi muda wanita, Nuridah berkata Ameerah Wilayah Persekutuan akan berusaha mengajak wanita muda agar cakna politik dan peka kepada isu-isu semasa khususnya berkaitan wanita.

"Gerak kerja pilihan raya kena bermula dari sekarang secara tersusun. Jadi menjadi tugas Ameerah Wilayah Persekutuan mendekati wanita muda untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan memilih pemimpin," katanya kepada Harakahdaily.

Ameerah Malaysia ditubuhkan pada 1 Oktober 2011 dan dirasmikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di majlis sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang.

Ameerah Malaysia seterusnya melebarkan sayap ke seluruh negeri dan bergerak secara langsung sebagai tenaga musimat muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.


TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara.  Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan.
      
Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan ‘kangkung’ yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan.  Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau.
  
Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib  tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat,  tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi."

obses perkataan
  
Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit ‘obses perkataan’ apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan.  Perkataan kegemaran Najib ialah ‘transformasi’.  Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman.
  
Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun.
  
Kini Najib bercakap tentang ‘lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi’.  Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi’ hanya dengan satu ‘lonjakan’?  Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang?
  
Barangkali filem Hollywood ‘The Transformer’ memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan ‘transformasi’.  Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia.
  
Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup ‘bombastik’ kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi.
  
Kini perkataan ‘lonjakan’ kian menjadi perkataan ‘favourite’ Najib.  Walaupun tidaklah sebombastik ‘transformasi’ namun ia memberikan semacam ‘ummph’ kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau.

bukan sekadar lonjakan
  
Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar  lonjakan.  Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah.
  
Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen ‘Lonjakan Besar Kehadapan’ (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri.

Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, ‘lonjakan’ yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai  ‘Great Chinese Famine’ (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban.

Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao’s Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia".
  
Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat  sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine.  Tetapi  dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus.

Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi.
  
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya.”
  
Dalam sebutan masyarakat Melayu pula:  "Bagai tikus membaiki labu."   

MEROKOK adalah penyebab utama penyakit dan kematian pada usia muda. Tidak dapat dinafikan kaitan antara perokok dan kematian akibat darinya boleh menyebabkan keluarga mereka menyesal seumur hidup.

Hampir separuh dari perokok meninggal dunia akibat penyakit berkaitan rokok seperti serangan sakit jantung, darah tinggi dan angin ahmar. Jika anda perokok tegar, pada puratanya, jangkahayat anda adalah kurang 10 tahun daripada orang yang tidak merokoahma

Kebanyakan kematian yang diakibatkan oleh merokok bukan kematian mengejut dan tiba-tiba. Sebaliknya penyakit seperti kegagalan sistem paru-paru (pernafasan) menyebabkan anda hidup bertahun-tahun dengan kelelahan dan masalah pernafasan sebelum anda menghembuskan nafas terakhir.

Sesungguhnya kehidupan sebegini amat menyeksakan, terpaksa mengejar udara di saat manusia lain boleh bernafas seperti biasa. Bahana dari kegagalan sistem pernafasan ini.

Hasil dari kefahaman ini jugalah para alim ulama terkini seluruh dunia telah meletakkan hukum merokok sebagai haram kerana ia boleh membawa seseorang itu bahkan orang di sekelilingnya kepada kebinasaan. Apatah lagi apabila anugerah Tuhan yang diberikan percuma berupa keupayaan untuk bernafas dengan baik kita sia-siakan dengan merokok sehingga akhirnya kita tercungap-cungap dan bertegang urat untuk bernafas apabila fungsi paru-paru yang kita miliki telah rosak akibat rokok.

BERHENTILAH SEKARANG!

Anda masih belum terlambat untuk berubah. Bernafaslah dengan udara segar dan selamatkan badan anda dari kebinasaan yang berpanjangan. Berhentilah sekarang! Hak membuat keputusan adalah ditangan anda. Berhenti merokok boleh membawa kesan yang sangat besar kepada kesihatan dan kehidupan anda.

Pastinya anda belum terlambat untuk menikmati kesan baik ini. Contohnya, jika anda berhenti merokok pada usia pertengahan sebelum mendapat penyakit serius seperti barah, anda boleh mengelak daripada mendapat kebanyakan kesan bahaya merokok.

Ramai orang telah berjaya berhenti merokok dan ia bukan sesuatu yang mustahil. Jika anda merasakan ia sesuatu yang sukar dan memerlukan bantuan, rujuklah doktor anda dan rujukan boleh dibuat ke klinik berhenti merokok yang terdapat di premis kesihatan seluruh negara

Mungkin nota ini membolehkan anda beringat-ingat dan meneruskan langkah untuk berhenti. Tahukah anda bahawa rokok berbahaya kerana mempunyai beberapa bahan cemar. Salah satunya nikotin. Nikotin adalah bahan kimia yang merangsang otak. Jika anda adalah seorang perokok, apabila kadar nikotin dalam darah berkurang, anda mula mengalami tanda-tanda ‘withdrawal’ sama seperti penghisap dadah, contohnya gian, keresahan, sakit kepala, mudah marah, lapar dan masalah konsentrasi. Anda akan berasa pulih semula apabila kembali menghisap rokok. Oleh kerana itulah perokok tegar perlu sentiasa menghisap rokok untuk kembali berasa ‘normal’.

ROKOK KANDUNGI 4000 BAHAN KIMIA

Tar dalam rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia dan lebih 50 penyebab barah. Tar daripada rokok akan masuk terus ke dalam paru-paru dan seterusnya mengalir ke dalam salur darah anda ke bahagian lain tubuh anda. Dengan hanya sebatang rokok, anda menyeksa badan anda dengan menyebarkan racun merbahaya ke seluruh organ dalaman.

Karbon monoksida merosakkan kebolehan darah untuk membawa oksigen. Ini penting terutamanya kepada ibu mengandung kerana karbon monoksida akan mengurangkan kadar oksigen kepada bayi yang sedang mengembang dalam rahim ibu. Ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan jangka masa panjang dan kecacatan kepada bayi. Dan anda perlu ingat, karbon monoksida itu datang dari rokok yang anda sebagai bapa menghisap!

Melihat kepada kemudaratan-kemudaratan yang boleh dibawa oleh rokok, apa lagi alasan yang anda mahu berikan untuk tidak berhenti merokok? 
 
 
 
 

Tiada ulasan: