Ahad, 26 Januari 2014

JADILAH PENEGAK AGAMA@ISLAM / PERJUANG ISLAM YANG BENAR2 TULEN@IKHLAS

KUALA LUMPUR: Selepas berjaya menubuhkan unit polis syarie dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia atau Jakim untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan penguatkuasaan dan perundangan Islam, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi mengorak selangkah lagi memperluaskan tugas anggota polis dengan memberinya peranan memantau harga-harga barang pula.

Langkah yang dilakukan bukan bertujuan menidakkan peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diketuai oleh Hasan Malek itu, menurut Zahid lagi akan dilakukan dengan menghantar anggota polis berpakaian biasa dan berlakon sebagai pelanggan untuk memantau harga barang dan mengambil tindakan mengikut bidang kuasa yang ada.

Menurut Ahmad Zahid lagi, pihaknya telah membuat kajian mengenai harga yang dibeli oleh pemborong sebenarnya adalah murah tetapi apabila dijual dengan harga melampau kepada peruncit, maka peruncit terpaksa menaikkan harga barang yang mereka jual.

Beliau juga menambah, tindakan pihak polis memantau harga barang ini bukan bertujuan mengganggu peniaga tetapi semata-mata dilakukan atas dasar keprihatinan terhadap kenaikan harga barang yang menjadi rungutan ramai sekarang.

“Hebatkan Zahid Hamidi sejak beliau mengetuai Kementerian Dalam Negeri? Macam-macam idea beliau ada,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya, semalam.

Baca lagi

PORT DICKSON: Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, jentera penerangan PAS mesti bekerja kuat untuk menerangkan ajaran Islam sebenar khususnya kepada orang kampung.

Timbalan Ketua Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat itu menambah, orang kampung beragama tetapi mengapa mereka tidak menyokong PAS malah begitu kuat menentang parti itu.

"Jentera penerangan PAS mesti bekerja kuat, turun padang dengan pelbagai kaedah, mereka menentang PAS adalah kerana mesej Islam dan mesej kita tidak sampai kepada mereka," ujar beliau ketika membentangkan pandangan beliau pada program 'retreat' PAS Melaka di sini semalam. (Gambar atas)

Mohamad berkata, antara isu terkini yang mesti diambil perhatian ialah isu ekonoml, harga barang dan kegagalan BN memerintah dan sebagainya.

Katanya, isu ekonomi, kenaikan harga barang dan penderitaan rakyat benar-benar nemberi kesan kepada rakyat bawahan.

Program retreat PAS Melaka yang diadakan itu telah merangka KPI lajnah-lajnah, program-program bagi mencapai KPI tersebut dan juga perkara-perkara lain yang berkaitan dengan aktiviti dan hala tuju PAS.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari berkata antara perkara penting yang akan dilaksanakan pada sesi ini ialah pembinaan Kompleks PAS Melaka yang dijangka siap dalam masa dua rahun.

Retreat PAS Melaka kali ini dihadiri oleh kesemua pimpinan PAS negeri termasuk dewan-dewan.
SHAH ALAM: Kerajaan BN perlu bertanggungjawab memberi penjelasan secara telus kepada rakyat berhubung slogan “Cukai Turun Pendapatan Bertambah” yang diuar-uarkan dalam kempen pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di seluruh negara sekarang.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad menegaskan tujuan dilaksanakan GST adalah untuk menambah pendapatan kerajaan tetapi bagaimana pula maksud slogan kerajaan jika diturunkan cukai boleh menambah pendapatan rakyat?

Beliau berpendapat kempen yang dilakukan kerajaan seperti memasang papan tanda serta slogan di belakang kenderaan pengangkutan awam adalah satu pembohongan terhadap rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga mendesak kerajaan BN mendedahkan jumlah wang negara yang digunakan untuk kempen GST.

"Kos yang digunakan untuk iklan di papan tanda dan slogan di kenderaan pengangkutan awam itu memerlukan bayaran yang tinggi, sedangkan itu duit rakyat," tegasnya dalam sidang media di pejabatnya.

Beliau menegaskan, dengan pelaksanaan GST golongan berpendapatan rendah turut dipaksa membayar cukai.

Pelaksanaan GST juga lebih menguntungkan mereka yang kaya kerana cadangan kerajaan untuk menurunkan kadar cukai individu dan korporat apabila GST terlaksana.

"Orang berpendapatan rendah dan golongan miskin yang dulu tidak pernah bayar cukai tetapi sekarang mereka kena bayar cukai apabila mereka makan di restoran mamak atau menyewa hotel bajet," katanya.

"Kerajaan BN jangan menipu rakyat dengan iklan yang menggunakan duit rakyat bahawa GST tidak membebankan rakyat. Saya minta Menteri Penerangan jelaskan berapa kos untuk menipu rakyat dengan kempen GST," tegas beliau.
Wajah manis seorang pejuang
Tarikh 25 Jan dikau disemadikan
Seluruh ummat menangis hiba
Atas pemergianmu di alam dunia.

Bersemadilah dengan tenang
Mendapat rahmat dari Pencipta Agung
Walau dikau ditangisi disisi manusia bumi
Namun dikau dinanti-nanti oleh makhluk langit.

Belasungkawa Tuanguruku yang dicintai
Perjuangan mu akanku terusi
Semoga ummat manusia mengerti
Islam harus dijulang tinggi.

Tegasmu dikenali lawan dan kawan
Penat lelah mu dalam berjuang tak kenal siang dan malam
Andaikata dicari ganti amat tak kesudahan
Doakan agar timbul pula pejuang sehebat tuan.

Suhazeli Abdullah
De Palma Kuala Lumpur

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah melancarkan Gerakan Perit di pekarangan Plaza Tol Batu 3, di sini petang semalam.

Pelancaran dilakukan Ketua Penerangannya, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan bagi menggantikan ketuanya, Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim yang berada di Kuala Terengganu untuk menghadiri pengebumian Almarhum Datuk Harun Taib.

Kira-kira 250 orang ahli Pemuda PAS Selangor telah hadir dengan berpakaian hitam berlogo Perit.

Sepanduk-sepanduk yang membantah kenaikan harga barang turut diangkat sekitar plaza tol dan orang ramai masing-masing membunyikan hon sebagai tanda sokongan.

Upacara pelepasan belon berwarna hitam juga turut dilakukan sebagai gimik pelancaran.

Pemilihan plaza tol sebagai tempat pelancaran merupakan simbolik kepada salah satu perkara yang telah menekan rakyat sekelian lama.

Mohamad Rosharizan menerangkan bahawa Perit ditubuhkan dengan matlamat utama adalah untuk mendidik masyarakat supaya jelas akan hak mereka dan menyedarkan pihak-pihak yang bertanggungjawab agar tidak leka dengan amanah besar untuk menjaga kebajikan rakyat.

Katanya, Perit adalah sebuah gerakan menyeluruh yang aktivitinya akan berterusan mengikut fasa-fasa tertentu sepertimana yang telah dirancang. Ia akan meliputi kempen-kempen kesedaran, ceramah, edaran risalah dan lain-lain aktiviti. Manakala pelancaran secara besar-besaran juga telah dirancang untuk meluaskan capaian maklumat kepada masyarakat.

Jelasnya, walaupun dinaungi Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Perit merupakan gerakan induk kepada kempen-kempen mengenai kenaikan kos sara hidup dan bergerak melangkaui sempadan politik kepartian.

Sehubungan itu, kata beliau gerakan itu mengalu-alukan sama ada pertubuhan, gerakan, parti politik atau mana-mana pihak yang ingin bekerjasama atau bergabung di bawah nama Perit.

Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam:
"Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (Hadis sahih riwayat Imam Muslim)

Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi. Al Marhum Tuan Guru adalah Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Nama Al Marhum Tuan Guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan. Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung dari beliau. Buah fikiran Al Marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala' serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.

Komitmen Al Marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, Al Marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar. Keilmuan yang ada pada Al Marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan Terengganu.

Al Marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan di dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus. Ianya dapat disaksikan di dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca PRU ke 12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan plural di dalan masyarakat. Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, Al Marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jatidiri Islam dan PAS.

Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah swt sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.

Al Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan 5 orang anak. Anak al Marhum, YB Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dun Manir yang pernah disandang oleh Al Marhum.

Semoga roh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada' dan solihin. Al Fatihah.
23 Rabiulawwal 1435 / 25 Januari 2014
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
PATTANI: Pengundian awal yang dijadualkan hari ini bagi pilihan raya umum Thailand mungkin akan menghadapi tentangan daripada pihak yang mahukan ia ditunda, terutamanya di bahagian selatan.
         
Pengerusi Pesuruhanjaya Pilihanraya Pattani, Nipon Narapitakkul berkata beliau bimbang akan kemungkinan besar pengundian awal hari ini tidak boleh dijalankan.
         
Kedua-dua pusat pengundian di Pattani masih ditutup dengan pintu masuk kedua-duanya terdapat notis daripada penunjuk perasaan antikerajaan melarang mana-mana pegawai membuka kunci dan jika dibuka juga, pihak tersebut akan bertindak ganas.
         
Di Wilayah Pattani, terdapat dua pusat pengundian awal, iaitu di Dewan Pentadbiran Wilayah Pattani dan Sekolah Decha Pattanayanukul Pattani.
         
Lebih 30,000 pengundi telah mendaftar untuk mengundi hari ini di Pattani dan kira-kira 90 peratus terdiri daripada anggota tentera dari luar Pattani tetapi bertugas di sana.

Beliau berkata walaupun pihak Suruhanjaya Pilihanraya di Pattani telah bersedia mengadakan pengundian hari ini, kedua-dua tempat pilihan raya itu tidak boleh diguna untuk mengundi berikutan tentangan kumpulan yang dikenali sebagai "Reform Before Election" yang mahukan reformasi sebelum pilihan raya.
         
Beliau berkata Suruhanjaya Pilihanraya Thailand di Bangkok sudah menghantar surat memberi peringatan bahawa sekiranya ada pihak yang menghalang hari ini, maka pengundian akan dibatalkan bagi mengelak perbalahan.
         
Walaupun Mahkamah Perlembagaan semalam telah memutuskan bahawa pilihan raya pada 2 Feb ini boleh ditunda serta Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Thailand Supachai Somcharoen secara bersama menetapkan tarikh baharu, tetapi nasib pengundian awal hari ini tidak disebut.
         
Sementara itu, Suthep Thaugsuban Ketua People's Democratic Reform Committee, iaitu kumpulan utama yang mahukan pilihan raya ditunda dan mendesak Yingluck meletak jawatan, berkata kumpulan itu tidak akan mengganggu pengundian awal hari ini.
         
Walaupun begitu, penyokong mereka akan berada di pusat-pusat pengundian untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang pilihan raya berkenaan.
         
Setiausaha Agung Perdana Menteri, Suranand Vejjajiva berkata perkembangan mengundi esok akan diteruskan mengikut jadual kerana tarikh pilihan raya pada 2 Feb telah ditetapkan. - Bernama

 

 

 


Tiada ulasan: