Sabtu, 11 Januari 2014

BAGAIMANA BANKRAP DIAKHIRAT....NERAKALAH TEMPATNYA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat yang lain dilepaskan daripada dakwaan menyertai perhimpunan Bersih 3.0 pada April 2012 yang dianggap kerajaan BN sebagai perhimpunan haram.

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Bache membenarkan permintaan peguam untuk menggunakan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak perhimpunan itu sebagai haram.

Pada hari Isnin, Mahkamah Rayuan telah membenarkan permintaan Timbalan Presiden PKR Mohd Azmin Ali dan Ketua Bahagian Badrul Hisham Shaharin untuk mengetepikan arahan mahkamah yang telah mengharamkan mereka daripada menyertai perhimpunan tersebut di bawah kanun acara jenayah.

"Asas dakwaan itu ada di dalam arahan. Kita mendapati dakwaan itu kini tidak lagi berasas," kata Hakim Ahmad sebelum mengarahkan pelepasan terhadap Anwar dan empat yang lain itu.

“Asas kepada dakwaan ini adalah arahan. Kami dapati dakwaan ini tidak ada asas," kata beliau lagi.

Peguam S.N. Nair yang mewakili Badrul memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka memberitahu hakim Mahkamah Sesyen tentang keputusan Mahkamah Rayuan bahawa arahan itu tidak sah.

"Kami beritahu hakim bahawa dakwaan ini berasaskan arahan yang telah diisytiharkan sebagai tidak sah oleh mahkamah yang lebih tinggi. Oleh itu, dakwaan ke atas keempat mereka tidak berasas," katanya.

Nair yang bertindak bersama Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin berkata, pihak yang didakwa telah memohon kepada pendakwaraya untuk menarik semua dakwaan tetapi telah ditolak.

Pihak pembela tidak ada cara lain melainkan memohon hakim untuk memberikan pembebasan tanpa pelepasan.

Anwar; Azmin; Badrul Hisham; Timbalan Ketua PKR bahagian Rasah R. Tangam, 50; Exco Pemuda PKR Farhan Ibrahim @ Alias, 29; dan peguam G.N Rajesh Kumar, 44, didakwa merusuh dan tidak mematuhi arahan pejawat awam dan didakwa di bawah Penal Kod.

Mereka juga didakwa menyertai demonstrasi jalanan, satu kesalahan di bawah Akta Perhimpunan Aman.- The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR: Dua pegawai Wisma Putra (Kementerian Luar) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana mengemukakan penyata perbelanjaan palsu berjumlah US$126,681 tiga tahun lepas.
  
Shahril Effendi Abd Ghany, 48, dan Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin.
  
Shahril Effendi yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan ketua perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii dari 3 hingga 16 Nov 2011 dan resit rasmi Aloha Way Transportation bertarikh 3 Nov 2011, berjumlah US$126,681.
  
Tertuduh didakwa telah mengesah dan mengaku membayar US$126,681 sebagai deposit sewaan kenderaan kepada Syarikat Aloha Way Transportation semasa persidangan itu, sedangkan jumlah sebenar yang dibayar adalah US$88,500.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, 3516 International Court N.W, Washington DC, Amerika, pada 8 Dis 2011.

Mohd Hadtamizi, yang ketika itu berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Washington DC, didakwa bersubahat dengan Shahril Effendi melakukan kesalahan sama di lokasi dan tarikh yang sama.
  
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.
  
Rosbiahanin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 10 Feb untuk sebutan semula kes.
  
Shahril Effendi yang kini bertugas selaku pegawai tadbir diplomatik di Wisma Putra dan Mohd Hadtamizi yang kini bertugas sebagai penolong pegawai tadbir, di tempat sama, membayar ikat jamin itu.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Shahril Effendi diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Mohd Hadtamizi diwakili peguam Ridha Abdah Subri.

Di mahkamah sama, seorang peneroka hutan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menawarkan rasuah wang tunai RM20,000 kepada Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang.
  
Tan Meng Lee, 43, didakwa menawarkan rasuah itu kepada Abdul Rahim Sulaiman, 50, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atasnya (tertuduh) yang melakukan penerokaan secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, kedua-duanya terletak di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tanah kerajaan di Blue Valley, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands antara 4 petang dan 5 petang, 7 Okt 2013.
  
Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
  
Rosbiahanin membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes. Dia membayar ikat jamin.
  
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini gagal mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara, yang mengenakan denda terhadapnya berhubung salah laku profesion.
  
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof menolak rayuan Muhammad Shafee setelah mendapati mahkamah itu tidak patut campur tangan dalam keputusan lembaga berkenaan berkaitan wawancara Muhammad Shafee dengan sebuah organisasi media.
  
Zaleha berkata mahkamah bersetuju dengan responden (Majlis Peguam) bahawa artikel berkenaan mengandungi kata-kata dan kenyataan berbentuk memuji perayu dan firmanya, yang melampaui skop atau maklumat yang dibenarkan Akta Profesion Guaman.
  
"Pada pendapat saya, apa yang penting di sini ialah pandangan Majlis Peguam tentang yang diperuntukkan di bawah Peraturan 15(1)(b) Peraturan-peraturan Publisiti dalam Profesion Guaman 2001.
   
"Saya berpendapat mahkamah tidak patut campur tangan dalam keputusan Majlis Peguam itu. Oleh itu, saya menolak rayuan ini tanpa perintah membayar kos," katanya.

Muhammad Shafee memfailkan rayuan terhadap keputusan lembaga itu pada 5 Okt 2012 yang mendapatinya melanggar Seksyen 94(3)(k) Akta Profesion Guaman dan memerintahnya membayar RM5,000 kepada Tabung Tatatertib.
  
Dalam saman pemula yang difailkannya pada 16 Nov 2012, Muhammad Shafee mendakwa lembaga itu mendendanya RM5,000 berikutan aduan yang dibuat presiden Majlis Peguam ketika itu K. Ragunath pada 23 Sept 23 2010 bahawa beliau membuat publisiti tentang diri dan firmanya dalam satu temu bual dengan The Star.
  
Dua artikel berkenaan yang bertajuk 'Counsel rests his case' dan 'Keeping within the letter of the law', tersiar pada 27 Sept 2009.
  
Lembaga itu mendapati Muhammad Shafee membuat publisiti tentang diri dan firma peguam caranya dengan cara yang melanggar Peraturan Publisiti Dalam Profesion Guaman 2001.
  
Muhammad Shafee diwakili peguam Sarah Abishegam, manakala Majlis Peguam oleh peguam Tan Sheong Leong. - Bernama
KERAHMATAN adalah perkataan yang indah namun sukar dinikmati dan kerana hakikat ini, mengecapi kerahmatan adalah sesuatu yang merupakan kemuncak perasaan belas dan ihsan kepada ciptaan Allah.
Tidak mungkin kerahmatan ini dihargai jikalau tidak terasas dalam diri kita sebagai seorang muslim sifat Insaniah yang dianjurkan oleh Islam.
Mukadimah di atas membuka ruang untuk saya menyinggung perkembangan terkini rampasan beberapa ratus naskhah Injil dari premis Persatuan Injil Selangor oleh unit penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
MEMBETULI SALAH TANGGAP
Adalah jelas di sini pertikaian betul atau tidak tindakan JAIS boleh dibahaskan dari sudut perundangan dan kebijaksanaan bertindak dan inilah yang berlaku kepada setiap penguatkuasaan yang dilaksanakan.
Saya tidak berminat untuk membahas aspek itu kerana JAIS pasti akan mempertahankan tindakannya dan terserahlah kepada pihak pengamal undang-undang untuk membuat penilaiannya.
Saya lebih cenderung untuk melihat dalam artikel ini dari sisi prinsip yang memantulkan sifat rahmatan Islam yang mencakupi keseluruhan alam ini termasuk kepada penganut agama lain.
Apa yang saya nyatakan sebelum ini dalam kenyataan saya selepas peristiwa rampasan kitab injil itu berpandukan kepada prinsip Islam dalam konteks hubungannya dengan penganut agama lain supaya kejelasan kita kepada isu tidak diheret dengan sentimen dan emosi buta yang boleh mencemarkan nama baik Islam.
Saya bimbang dengan sesetengah pihak dari kita yang memandang serong kepada saya sehingga mereka tidak dapat membezakan apa yang saya katakan dari kerangka prinsip dan kemarahan mereka yang tidak berasas.
Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip, walaupun dalam keadaan marah sekalipun, kita memerlukan prinsip untuk memandukan kita dan Islam sarat dengan prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan agama lain.
Semoga prinsip yang saya akan jelaskan di bawah difahami oleh mereka yang kenyataan dan tindak-tandok mereka telah mencemarkan nama baik Islam.
PRINSIP PERTAMA: RAHMATAN LIL ALAMIN
Prinsip Rahmatan diambil dari kenyataan Al Quran yang mengasaskan و ما ارسلناك الا رحمة للعالمين iaitu, "Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat ke alam ini." (Al Anbiya' 107)
Sebarang tindakan ataupun undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan sifat Rahmatan yang diasaskan oleh Islam. Demikianlah kita menentang ISA dan lain-lain akta yang tidak bersandarkan prinsip utama Syariat. Bagi sesebuah autoriti yang bertindak atas nama Islam prinsip ini lebih-lebih lagi hendaklah diutamakan kerana walaupun bertindak atas nama Islam tetapi apabila tidak memantulkan makna Rahmatan maka ia bukanlah dari Islam.
Makna Rahmatan bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah kepada manusia walaupun manusia tidak dapat menerimanya.
Hak Allah ke atas hamba-hamba-Nya tanpa mengira keturunan dan agama adalah menghormati kebebasan mengamalkan agama masing-masing termasuklah upacaranya dan kitab sucinya. Islam hanya menentang dan tidak dapat menerima aspek teologinya (akidah) dan caranya adalah dengan menjelaskan kepada mereka melalui dakwah dan berdebat dengan cara yang terbaik.
Allah berfirman dalam surah An-Nahl ayat 33 yang bermaksud:
"Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah dari kalangan muslimin."
Para mufassirin (ahli tafsir)  berpendapat bahawa kerana ayat ini turun di Makkah maka ia adalah ayat tentang tugas Nabi yang besar dalam menerangkan kebenaran Tauhid melalui hujah dan keterangan dari Allah. Kecuali Aisyah (r.a.h) menyatakan ayat ini adalah pujian kepada para muazzin yang menyeru untuk mendirikan solat (sedangkan azan hanya disyariatkan selepas hijrah).
Kerahmatan Islam juga terserlah dalam menegakkan keadilan tanpa mengira bulu atau agama dan salah satu keadilan yang dibela oleh Islam adalah hak untuk beragama malah segala keperluan ibadat mereka adalah hak yang tidak boleh dirampas dan hendaklah diperuntukkan kepada mereka.
PRINSIP KEDUA: MELARANG KUTUK AGAMA LAIN
Nabi menunjukkan contoh kepada kita bahawa seorang muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran tetapi tidak boleh mengecam tuhan-tuhan golongan yang tidak beriman kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain akan memaki hamun Allah pula sebagai tindak balas.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-An'am ayat 108 yang bermaksud:
"Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan membalas memaki Allah dengan permusuhan sedangkan mereka tidak ada pengetahuan tentang-Nya (Allah). Demikianlah dihiaskan pada setiap umat (yang menganuti sesuatu agama, mereka amat menyukainya dan akan mempertahankan apa yang mereka ada) perbuatan mereka, dan kemudian kepada Tuhan mereka akan dikembalikan dan diberitakan kepada mereka (apa kesesatan yang mereka lakukan, dan kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.)."
Ayat sebelum 108, iaitu 107, dengan tegas menyebut bahawa Muhammad s.a.w bukan penjamin dan boleh memaksa mereka untuk beriman kerana hakikatnya Allah SWT menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menjadikan mereka beriman tetapi Allah tidak berbuat demikian. Nabi dan orang Islam hanya dituntut dengan penuh hikmah menyeru mereka.
"Jikalau dikehendaki Allah, pasti mereka tidak akan mensyirikkan diri dengan Allah, Kami tidak jadikan engkau wahai Muhammad sebagai penjaga mereka (untuk beriman) dan engkau bukanlah penjamin mereka ( supaya beriman)."
PRINSIP KETIGA : TIADA PAKSAAN DALAM AGAMA
Islam tersebar ke seluruh dunia bukan dengan kekerasan dan pemaksaan. Telah terbukti bahawa penerimaan Islam berlaku secara pilihan dan pemerintahan Islam tidak pernah memaksa mana-mana bangsa yang dikuasainya untuk memeluk Islam. Malah rumah ibadat dan kitab suci mereka dibiarkan untuk penganut masing-masing tanpa ada urusan campurtangan dalam urusan agama orang lain.
Sebenarnya umat Islam dipandu dengan prinsip 'Tiada Paksaan dalam memeluk Islam' Ia diasaskan oleh firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 256 yang bermaksud:
"Tiada paksaan dalam agama, telah jelas petunjuk dari kesesatan, barang siapa yang kufur dengan Thagut (selain dari Allah) dan beriman dengan Allah maka dia telah berpegang dengan ikatan yang kuat, tiada tercerai daripadanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Ayat ini turun di Madinah di kalangan ibu-ibu yang Islam bertanya kepada Rasulalah s.a.w apakah dizinkan mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Yahudi untuk peluk Islam?
Menjadi amalan kepada ibu-ibu yang susah mendapat anak untuk bernazar dengan berkata: "Jikalau aku dapat anak akan kujadikan anak ini nanti memeluk agama Yahudi".
Apabila mereka mendapat anak, mereka memenuhi nazar ini lalu setelah mereka menerima Islam, mereka mahukan anak -anak mereka dipaksa supaya memeluk Islam.
Dalam riwayat yang lain apabila Bani Nadhir dihalau dari Madinah, anak-anak mereka berada dalam kota itu lalu untuk menyelamatkan anak mereka, mereka mahu memaksa anak -anak mereka memeluk Islam. Maka turunlah ayat menerangkan prinsip besar ini iaitu "tiada paksaan dalam agama".
Prinsip ini konsisten hatta semasa Nabi di Makkah apabila Allah menegaskan bahawa jika dikehendaki semua orang akan beriman. Sifat Nabi yang ambil berat kepada kaumnya menyebabkan dia bimbang keengganan mereka untuk tidak beriman lalu Allah SWT menegur nabi-Nya dalam surah Yunus ayat 99 yang bermaksud:
"Jika Tuhan mu kehendaki maka akan berimanlah semua yang di bumi, apakah engkau mahu memaksa mereka sehingga mereka beriman?"
Kaedah tiada paksaan menerangkan kepada kita juga tentang perlunya umat Islam menghormati agama lain termasuk rumah ibadatnya dan segala apa yang mereka anggap suci termasuklah kitab mereka.
Hormat bukan bererti mengiktiraf mereka tetapi akur kepada realiti kepelbagaian dan bersikap terbuka lewat interaksi dakwah dan mendorong mereka ke arah menghayati keindahan Islam. Abu Bakar As-Siddiq menulis surat kepada pemuka Kristian Najran dengan berkata:
" Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyang, ini adalah surat dari hamba Allah Abu Bakar, pengganti Muhammad sebagai pemimpin kamu untuk penduduk Kristian Najran bahawa Aku melindungi  mereka dengan perlindungan Allah dan jaminan Muhammad, Rasulallah ke atas diri mereka dan tanah mereka, agama mereka, harta mereka, binatang ternakan mereka, ibadat mereka dan semua yang ada serta uskop mereka, rahib mereka dan jual beli mereka dan apa yang ada dalam milikan mereka sedikit pun tidak dikurangkan atau diambil dari mereka, tiada uskop yang ditukar dan rahib yang ditukar." (dalam Kitab Kharaj)
Abu Bakar selaku Khalifah Islam pertama meletakkan asas hubungan atas prinsip "tiada paksaan" menjadi ikutan sepanjang sejarah Islam dalam hak orang bukan Islam khususnya Ahlul Kitab yang perlu dilindungi oleh pemimpin Islam. Tidak pernah dalam sejarah Islam mana-mana kitab suci dirampas atas apa juga alasan kerana ia mencemari prinsip tiada paksaan.
"Tiada paksaan" juga bermakna bahawa setiap penganut mempunyai caranya tersendiri memahami keperluan agamanya tanpa ada hak untuk kita mencampuri urusan agama dan kitab suci mereka; apatah lagi menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh untuk mereka kerana mereka mempunyai undang-undang dan cara mereka tersendiri.
Dalam surah al-Maidah ayat 48, Allah SWT menegaskan dengan maksud:
"Pada setiap umat kami jadikan mereka undang undang dan cara masing-masing, jikalau dikehendaki Allah dijadikan kamu atas satu agama  tetapi adalah untuk menguji kamu apa yang diberikan maka berlumbalah berbuat baik."
Kitab suci Taurat dan Injil ada undang-undangnya dan caranya walaupun Islam merangkumi kitab sebelumnya, tetapi hakikatnya Injil dan Taurat masih ada hari ini dan tiada hak untuk kita menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipakai dalam keperluan kitab mereka kerana itu juga adalah satu bentuk paksaan.

PRINSIP KEEMPAT : BERDIALOG
Keindahan Islam dan rahmatnya kepada agama lain terserlah dengan jambatan dakwah dan dialog sebagai interaksi Islam dengan bukan Islam. Walaupun kebenaran Islam tidak diragui lagi, Allah SWT tetap menyatakan prinsip berdialog dan berbincang dengan cara yang baik seperti firman-Nya dalam surah An-Nahl ayat 125 yang bermaksud:
"Serulah kamu ke jalan Tuhanmu dengan penuh bijaksana dan hikmah dan jika berdebat maka berdebatlah dengan cara yang terbaik (lembut); maka Tuhanmu mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk."
Prinsip dialog menuntut supaya dalam apa jua hal maka rundingan dan dialog adalah lebih baik dalam menentukan hubungan dengan agama lain, apatah lagi jika berlaku kekeliruan ataupun sesuatu yang sensitif yang boleh menjejaskan hubungan antara agama di negara ini.

RUMUSAN PRINSIP
Prinsip-prinsip di atas membentuk "rahmat Islam kepada seluruh alam" khususnya dalam hubungan Muslim dan non-Muslim.
Kita diajar bahawa setiap apa yang kita lakukan tidak boleh bercanggah dengan prinsip di atas selagi tidak ada apa-apa keadaan dan situasi yang membolehkan orang Islam bertindak sebaliknya seperti mempertahankan diri ataupun apabila terbukti sesuatu ancaman itu berlaku.
Adalah sesuatu yang bertentangan dengan prinsip juga apabila Islam cuba mencampuri urusan agama orang lain dengan menentukan mana yang boleh dan mana yang tidak boleh lalu bertindak ke atas mereka.
Premis hubungan muslim dengan bukan Islam diasaskan oleh kedamaian dan situasi sebaliknya seperti permusuhan adalah sesuatu yang mendatang atas sebab-sebab yang jelas dan bukti yang nyata.
Dakwaan kristianisasi jika benar hendaklah ditangani dengan bukti kerana itu bertentangan dengan semangat negara ini yang terbina atas Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Apa yang berlaku hari ini adalah hubungan dengan bukan Islam seolah-olah berada atas premis permusuhan manakala kedamaian adalah pengecualian. Asas fahaman ini amat bahaya dalam konteks membina negara bangsa dan perpaduan nasional kerana ia rapuh, dan perpaduan yang dibina selama ini boleh dirampas oleh pihak-pihak yang sempit gagasan negaranya pada bila-bila masa.

Saya menyeru kepada mereka yang tidak setuju dengan pandangan saya bahawa berhujahlah atas prinsip yang saya kemukakan dan jangan berhujah atas emosi dan amarah apatah lagi tuduhan pro-Kristian dan malah ada yang mempersoalkan keIslaman saya.
Apakah sebahagian kita ini sudah hilang kewarasannya dengan menyebarkan kejahilan dan kebodohan dan menyerang prinsip dan menidakkannya atas nama Islam?
_________________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.
Kebanyakan dari kita masih lagi terkejut dengan berita bahawa juara 7 kali Formula 1, Michael Schumacher mengalami kecederaan serius di kepala setelah satu kemalangan bermain ski pada 29 Disember tahun lepas.  Doktor telah meletakkan beliau di dalam keadaan koma untuk meningkatkan peluang untuk hidup.

Dengan 91 kemenangan di dalam Formula 1, Schumi telah melakar nama sebagai salah satu lagenda bidang lumba permotoran dan menjadi piawaian yang mesti di atasi oleh para pelumba lain. Kini beliau melakar nama sebagai aktivis kemanusiaan dengan memperjuangkan isu-isu kemiskinan, perhambaan kanak-kanak dan keselamatan jalan raya. Malah penglibatan beliau sebagai duta UNICEF telah menggalakkan penyertaan lebih ramai personaliti dan selebriti sekaligus meningkatkan profail usaha-usaha kemanusiaan PBB.

Schumi juga sebenarnya dekat dengan Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya. Beliau sememangnya tertarik dengan keindahan dan hospitaliti Langkawi dan kerap bercuti ke sana. Beliau pernah menyumbang sehingga 10 juta dolar untuk tabung tsunami Asia, satu jumlah yang lebih besar dari kebanyakan sumbangan yang dibuat oleh negara-negara penyumbang.

Persona profesional Schumi menampilkan watak yang serius dan kompetitif namun bagi yang mengenali beliau secara dekat, Schumi adalah seorang suami dan ayah yang penyayang yang gemar bergurau dan berkelakar, sifat yang kadangkala dipersaksikan kepada masyarakat awam. Peminat beliau pastinya masih ingat gurauan beliau yang muncul sebagai The Stig, pemandu handalan misterius di dalam rancangan automotif BBC, Top Gear. Beliau juga pernah muncul sebagai watak kereta Ferrari di dalam filem animasi Cars terbitan Disney-Pixar.

Adalah sesuatu yang ironi untuk mendapati Schumi di dalam keadaan parah setelah kemalangan di lapangan ski meskipun beliau saban minggu mempertaruhkan nyawa di sirkit perlumbaan. Mungkin ianya adalah satu peringatan dari Allah swt kepada kita semua bahawa ketentuan ajal maut adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka dan menjadi kemestian untuk kita lebih menghargai amanah kehidupan.

Semoga Schumi segera sembuh dan boleh terus berlumba di dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Forza Michael Schumacher!

Dari peminat anda di Malaysia,


*Penulis adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu mengambil serius terhadap pendedahan pakar ekonomi bahawa semakin ramai rakyat negara ini akan bankrap ekoran kos sara hidup meningkat.
Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara, Dr Rosli Yaakop (gambar) berkata, terdapat tiga item perbelanjaan besar yang ditanggung oleh rakyat negara ini iaitu pinjaman perumahan, kenderaan dan kad kredit.

Dengan itu, katanya sebahagian besar pendapatan individu tiap-tiap bulan digunakan untuk membayar pinjaman tersebut menyebabkan sedikit sahaja daripada pendapatan mereka digunakan untuk perbelanjaan harian yang lain.

Keadaan ini ditambah pula dengan kadar inflasi dan kos sara hidup meningkat, jelasnya ramai individu dan peminjam akan semakin terhimpit membawa kepada ketidakmampuan mereka membayar hutang.

"Tidak dinafikan akan bertambah ramai rakyat negara ini bankrap sekiranya tidak ada tanda-tanda pendapatan mereka akan bertambah.

"Harga barang meningkat khsusnya selepas penarikan subsidi minyak, gula dan tarif eletrik, kos hidup rakyat meningkat ditambah pula komitmen membayar hutang," katanya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, jika keberhutangan ini diukur dengan nisbah jumlah hutang dengan KDNK pada masa ini iaitu 85% adalah situasi yang tinggi berbanding di kalangan negara-negara Asean.

"Bermakna kita sama ada kerajaan, sektor korporat atau individu bekerja yang berbelanja lebih besar daripada pendapatan akan menyebabkan kita terpaksa berhutang," katanya.

Bahkan katanya, bukan sahaja rakyat negara ini terjebak dengan situasi keberhutangan yang tinggi, malangnya kerajaan dan sektor perniagaan korporat pun turut sama.

"Nampaknya, negara kita dalam keadaan 'tidak menentu' kerana disebabkan fenomena berhutang ini," katanya.

Justeru bagi mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini bankrap, Rosli mendesak kerajaan agar subsidi gula dan petrol disemak semula dan membatalkan pelaksanaan GST nanti.

Di samping itu, katanya Bank Negara pula hendaklah mengenakan syarat ketat dalam penggunaan kad kredit bagi mengelakkan rakyat terjebak dengan hutang dan kebankrapan.

Terkini, Ketua Ekonomi Dr Yeah Kim Leng RAM Holdings mendedahkan bilangan rakyat negara ini akan terus bankrup berikutan langkah rasionalisasi subsidi kerajaan untuk menangani defisit bajet.

"Kami menjangkakan bilangan tunggakan meningkat, terutama di kalangan pekerja muda dalam sektor swasta yang mempunyai akses kepada kredit yang berlebihan melalui kad kredit dan pinjaman peribadi , tetapi tidak mencukupibahawa ia akan menjadi setara dengan gaya hidup mereka.

"Persoalannya ialah , dengan berapa banyak, dan itu adalah sebahagian yang membimbangkan," katanya dipetik .

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pengurusan Kredit dan Kaunseling (AKPK) Koid Swee Lian berkata di Malaysia, hanya kira-kira separuh daripada pemegang kad kredit membayar jumlah minimum yang diperlukan sebanyak 5% daripada jumlah yang terhutang kepada bank setiap bulan, manakala di Jepun dan Korea, ia adalah 89% dan 87 masing-masing.
KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan rakyat negara negara ini perlu ada kebijaksanaan dalam konteks mereformasikan masyarakat khususnya melalui media sosial seperti twitter, facebook dan blog.

Timbalan Pengerusi Lajnah Teknologi Maklumat dan Komunikasi PAS Pusat Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin tidak menafikan peranan media sosial kini menjadi medium utama dalam menyampaikan maklumat dan berita.

Namun, katanya kebanyakkan rakyat negara ini terlalu taksub untuk menyebarkan maklumat walaupun maklumat itu adalah tidak benar.

Beliau yang juga pimpinan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) berkata, Islam menuntut supaya umatnya melaporkan berita dan menyebarkan maklumat dengan berhati-hati untuk tidak menyebabkan sesiapa terkena fitnah.

"Dalam masyarakat, kesejahteraan umat harus ada, dan inilah perlu menjadi keprihatinan masyarakat.

"Kalau kita sudah tersiar berita yang tidak betul, segera tarik balik dan inilah dasar dan etika Islam supaya kita tidak menyebabkan orang lain teraniaya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambahnya, pelbagai maklumat palsu yang disebarkan akan mengundang dendam kesumat antara kumpulan tertentu yang ada dalam masyarakat antaranya seperti Syiah, Kristian dan banyak lagi.

Ekoran ini, katanya pendirian serta sikap 'errogant' dan tidak bertanggungjawab akan menuduh kumpulan tertentu akan menyebabkan masyarakat sengsara.

"Akhirnya sesama sendiri akan bergaduh, senanglah musuh. Kita pula tidak dapat apa-apa, yang buruk akan menjadi lebih buruk.

"Budaya kebencian dibawa oleh iblis dan syaitan agar kita dihalang mengingati Allah padahal apa yang dituntut oleh Islam ialah kasih sayang dan harga menghargai bukannya kebencian. Sesuai dengan Islam itu rahmat untuk semua.

"Ini semacam, usaha untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap masalah ekonomi yang semakin mendesak. Bertembung kerana agama ianya sangat bahaya untuk rakyat," jelas beliau.

Abdul Ghani berkata demikian mengulas beberapa maklumat yang disebarkan melalui media sosial antaranya logo halal di tin minuman keras 'Carlsberg'.

Bagaimanapun,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menafikan memberi perakuan dan sijil logo halal kepada produk atau syarikat yang mengeluarkan minuman keras.
  
Pengarah Hab Halal jabatan itu Hakimah Mohd Yusoff berkata Jakim telah membuat laporan polis di Balai Polis Putrajaya hari ini berhubung perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa kerajaan BN akan memastikan kadar kenaikan tol- yang belum dimuktamadkan itu- tidak akan membebankan rakyat, sekali lagi mengguris hati rakyat terbanyak.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata, pemimpin BN seharusnya memahami bahasa rakyat bahawa 'setiap kenaikan adalah membebankan'.

Menurutnya, pada rakyat tiada istilah 'kenaikan yang tidak membebankan' dan kenyataan itu hanya keluar dari mulut-mulut menteri BN sejak sekian lama, sedangkan rakyat yang menanggung beban.

"Kita masih ingat, sebelum pilihan raya dahulu mereka janji akan menurunkan tol secara berperingkat.

"Tapi hari ini, mereka tidak menunaikan janji itu apabila bertindak mahu menaikkan lagi kadar tol tersebut," katanya kepada Harakahdaily.

Perdana Menteri semalam menegaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan mengenai kenaikan kadar tol dan pertimbangan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan selepas kajian makmal secara mendalam dilakukan.

Najib berkata, kajian makmal itu penting kerana kerajaan mahu pendekatan terbaik bagi memastikan 'pengguna tidak terbeban' jika pengumuman kadar baharu tol terpaksa dibuat kerana penangguhan kenaikan seperti dituntut konsesi telah dilaksanakan sejak 2008 lagi.

Mengulas lanjut perkara itu, Suhaizan berkata, jika BN sebuah kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat, langkah yang sewajarnya diambil adalah mengkaji untuk menurunkan harga sekaligus menghapuskan tol pada masa akan datang dan bukannya mengkaji untuk terus dinaikkan.

"Inilah yang kita lihat kelemahan ketara kerajaan BN hari ini. Semua benda yang dibuat kajian oleh makmal kajian adalah untuk tujuan dinaikkan harga.

" Petrol naik, tol naik, gula naik, elektrik naik, gas memasak naik, ais naik dan kita jangka beberapa barangan lagi akan naik.

"Ini tidak termasuk kesan berantai dari kenaikan itu yang menyebabkan kos perkhidmatan, barangan keperluan harian serta harga makanan meningkat mendadak," katanya.
Beliau juga menegaskan,jika pemimpin BN sukar baham bahasa keluhan rakyat, maka rakyat bersedia untuk menggunakan bahasa 'jalan raya' untuk membuat bantahan.
Kedudukan penyandang jawatan Perdana Menteri paling dipertikaikan ketika ini. Ketika rakyat bergelut dengan bermacam-macam masalah dan kesulitan, di samping isu demi isu yang muncul serta menjadi perdebatan ramai, seorang Perdana Menteri yang seharusnya memainkan peranan meredakan keadaan dan menunjuk jalan penyelesaian lebih banyak membisu dan menghilangkan diri daripada memainkan peranan yang sewajarnya.

Ketika rakyat bising dengan kenaikan harga barang dan melakukan demonstrasi bantahan mengenainya, Najib yang menjadi Perdana Menteri lebih selesa menghabiskan masanya bercuti bersama keluarga. Sehingga kini ke mana percutian hujung tahun Najib, sama ada ke Sydney, Los Angelas atau hujung dunia yang lain, masih lagi menjadi misteri.

Tapi yang pastinya, ketika rakyat bising, merungut dan digelar bughah, beliau sedang bersenang-lenang di luar negara.

Ketika isu kalimah Allah muncul kembali dan menghangatkan pertikaman antara Islam dan Kristian, walaupun beliau ada di dalam negara tetapi keberadaannya tidak memberi erti. Sudah berminggu-minggu isu ini menjadi perdebatan, apa pendirian Najib sebagai Perdana Menteri langsung tidak diketahui.

Beliau bukan saja tidak mahu menyatakan pendiriannya, malah tidak mahu bercakap dengan media mengenainya. Begitu juga, walaupun beliau turut mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet ketika isu kalimah Allah ini sedang hangat diperkatakan, kita juga tidak tahu sama ada ia dibincangkan atau tidak. Yang kita tahu, sehingga ini Najib masih membisu mengenai isu Allah ini sedangkan sebahagian punca timbulnya masalah ini adalah daripada tindakannya menyetujuinya formula 10 perkara dengan penganut agama Kristian pada 2010 dahulu.

Begitu juga, ketika harga barang naik, kos sara hidup meningkat dan rakyat dipaksa mengikat perut, apa yang kita dengar perbelanjaan kerajaan untuk menampung kehidupan keluarga Perdana Menteri terus bertambah, termasuk bertambahnya jet mewah yang disewa.

Hutang negara yang semakin membesar dan hampir mencecah tahap 55 peratus iaitu kategori yang boleh dianggap muflis, ia langsung tidak menzahirkan perubahan kepada gaya hidup, gaya perbelanjaan dan langkah berjimat cermat Perdana Menteri dan kerajaan.

Dalam analogi yang mudah, Perdana Menteri adalah umpama nakhoda bagi sebuah kapal. Dalam pelayarannya kapal itu, nakhoda inilah yang semestinya memainkan peranan untuk memastikan perjalanan sentiasa selamat, cukup bekalan makanan, anak-anak kapal terpelihara, tiada kemalangan atau kecederaan apabila ribut dan badai melanda serta menentukan pelbagai perkara lagi. Yang penting, nakhoda mesti tahu peranannya dan sentiasa berperanan ketika saat-saat genting.

Tidak dikatakan nakhoda yang baik apabila seseorang nakhoda itu tidak memainkan peranan sepanjang pelayaran sehingga kapal sering terumbang-ambing, dimasuki air dah tidak tentu hala tujunya.

Dalam kedudukan Najib yang sering tidak berperanan, membisu dan mendiam diri terhadap berbagai isu yang muncul sedangkan beliau sebagai nakhoda begitu dituntut peranannya, beliau kini tidak ubah seperi nakhoda yang gagal dan tidak berguna. Tindakannya yang tidak mahu bersuara atau takut bersuara di ketika rakyat dibebankan dengan banyak permasalahan menjadikan beliau semakin tidak berperanan di mata rakyat.

Negara seolah-olah tiada Perdana Menteri ketika isu kalimah Allah ini hangat diperkatakan. Ia seperti dibiarkan begitu saja tanpa sebarang kawalan dan panduan. Semua orang boleh bercakap, menuduh, mengkritik, menghentam dan melemparkan tuduhan kepada sesiapa saja.

Amatlah malang dalam keadaan yang boleh mencetuskan perbalahan bila-bila masa ini, Mahathir terpaksa bersuara dan mengajar Najib seperti menyarankan supaya kerajaan berjimat cermat dan mengurangkan kos serta meminta pihak swasta menyuarakan kebimbangan dalam isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan mengembalikan ISA dalam menangani kemelut isu kalimah Allah yang kian memuncak sekarang ini.

Ini nyata berbeza ketika era Mahathir dulu. Semua perkara dalam kawalannya dan semua isu yang berbangkit akan mendapat perhatian daripadanya. Tidak pernah, walau sekecil mana sesuatu isu itu yang tidak mendapat perhatian daripadanya. Begitu juga ketika zaman Pak Lah, walaupun beliau dituduh lemah dan tidak sepantas Mahathir tetapi dalam semua isu yang berlaku, suaranya tetap kedengaran.

Apabila seorang Perdana Menteri bersuara dan memberi kenyataan dalam sesuatu isu, sekurang-kurangnya petunjuk kepada jalan penyelesaian dapat dilihat. Berbanding sekarang, dalam isu kalimah Allah misalnya, oleh kerana Najib memilih untuk berdiam diri dan membisu, ke arah mana penyelesaiannya masih lagi menjadi kabur dan tidak ketahuan. Semua orang seperti dibiarkan menyalakan api dan mencurahkan minyak.

Dalam hal ini, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri atau nakhoda kepada sebuah kapal, hampir tidak ada. Oleh kerana peranan Perdana Menteri lebih terlihat dalam aspek perbelanjaan mewah dan pemborosan sahaja, kelakuannya tidak ubah seperti nakhoda yang asyik tidur ketika kapal sedang belayar tetapi hanya muncul ketika waktu makan sahaja. Sungguh jelek nakhoda seperti itu.

Di mata rakyat, itulah kedudukan Najib sekarang. Ada atau tiada beliau, hampir tiada bezanya. Kedudukan Perdana Menteri sebagai nakhoda, penunjuk jalan dan pembimbing dalam meredakan keadaan apabila berlaku krisis, nampaknya sudah tidak berfungsi lagi. Malah dalam banyak keadaan, kedudukan Najib sebagai Perdana Menteri lebih merupakan beban dan masalah kepada rakyat.

Sudah ramai yang menyoal, apa gunanya seorang Perdana Menteri kepada kita sekarang ini?

Selagi Najib atau yang sefesyen dengannya menjadi nakhoda negara ini, jawatan Perdana Menteri bukan saja tidak memberi manfaat kepada rakyat, malah lebih dianggap beban yang hanya meningkatkan kos saraan semata-mata. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
PUTRAJAYA: Tiga individu termasuk seorang pegawai khas menteri ditahan reman semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan permintaan dan pemberian wang suapan berkaitan pemberian tender.
  
Majistret Nur Dahlia Azmi mengeluarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap pegawai khas itu dan seorang ahli perniagaan manakala seorang wanita berjawatan setiausaha ditahan reman selama tiga hari, bermula semalam.
  
Mereka yang berusia antara 31 dan 48 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
  
SPRM mengemukakan permohonon tahanan reman itu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. - Bernama
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee (gambar) memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad dan satu pihak lagi berhubung penerbitan sebuah artikel yang disiarkan akhbar Utusan.
  
Dalam saman itu, Pua menamakan Ahmad Zahid, yang ketika itu Menteri Pertahanan, Kumpulan Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan pertama hingga ketiga.
  
Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Thomas Philip pada 9 Dis tahun lepas dan media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu semalam ketika kes disebut di dalam kamar di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Norliza Hussin.
  
Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Kumpulan Utusan Melayu, memberitahu pemberita bahawa Norliza menetapkan 11 Feb untuk pengurusan kes sementara menunggu kesemua defendan memfailkan pernyataan pembelaan mereka.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Pua mendakwa Ahmad Zahid menyebabkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk 'Tony Pernah Ditahan di Singapura' itu diterbitkan, dan defendan kedua dan ketiga gagal untuk mengambil langkah menyiasat terlebih dahulu sebelum menerbitkannya pada 18 Mac 2011.

Beliau turut mendakwa artikel itu memberi gambaran seoalah-olah bahawa beliau pernah ditangkap oleh polis di Singapura kerana melakukan kesalahan jenayah dan pernah dituduh di mahkamah.
  
Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, mendakwa ekoran artikel fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai anggota Parlimen telah terjejas dan kesemua pihak gagal menarik balik artikel berkenaan walaupun notis tuntutan telah dihantar pada 17 Jun tahun lepas.
  
Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah yang sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - Bernama
KOTA KINABALU: Pasukan penembak hendap VAT69 (gambar hiasan) yang menjalankan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan ke arah pengganas Sulu jika mereka dikesan.
  
Supt Mancha Anak Laga dari unit Komando VAT69 Pasukan Gerakan Am (PGA) berkata arahan itu diberi oleh Komander Taktikal Operasi Datuk Abdul Rashid Harun dalam satu taklimat di sebelah pagi sebelum Mancha dan pasukannya selain empat pasukan lagi memasuki kampung itu untuk menjalankan operasi berkenaan.
  
"Kami tidak dibenarkan menyerang atau melepaskan tembakan ke arah penceroboh bersenjata (jika dikesan) melainkan kami diserang atau ditembak terlebih dahulu oleh penceroboh itu," beliau memberitahu Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah, di sini hari ini.
  
Mancha memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang berdepan pelbagai pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan di Sabah tahun lepas.
  
Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed berhubung kedudukan sekumpulan 35-40 pengganas ketika mereka meneriak kepada pasukan penembak hendap "Tiger! Berambus kau dari sini. Ini bumi kami!" sebelum pertempuran tercetus pada hari berkenaan, Mancha berkata: "berselerak, tetapi dekat antara satu sama lain)."

Dua puluh dua daripada 30 individu dibicarakan bersama, termasuk dua lelaki rakyat Malaysia, terhadap pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, dan menjadi anggota kumpulan pengganas, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
  
Daripada 22 orang itu, seorang berdepan dua pertuduhan tambahan merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas.
  
Lima daripada lapan lagi tertuduh didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas; seorang daripada mereka, satu-satunya wanita daripada 30 orang itu yang juga warga Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya menjadi anggota kumpulan pengganas, manakala dua lagi didakwa cuba melindungi orang yang diketahui menjadi anggota kumpulan pengganas.

Bakinya adalah warga Filipina.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.
  
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung, bersambung esok. - Bernama

 



 




Tiada ulasan: