Khamis, 23 Januari 2014

BILA KITA NAFI HUKUM ALLAH....BALA AKAN BERTIMPA2

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Sweden telah menemu ramah beberapa keluarga rakyat Malaysia beragama Islam untuk menempatkan empat beradik, yang kini berada di bawah jagaan keluarga angkat bukan Islam, selepas ibu bapa mereka ditahan pihak berkuasa negara itu.
  
"Pemilihan yang mana satu keluarga rakyat Malaysia itu layak menjaga empat beradik berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat," kata seorang pegawai Wisma Putra ketika dihubungi Bernama hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) di sini, dua tahun lalu.
  
Hakim Mahmud Abdullah memerintahkan Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
  
Bagaimanapun, Mahmud membenarkan permohonan peguam Eric Paulsen yang mewakili pemimpin pembangkang itu, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu selesai.
  
Mahkamah menaikkan jumlah wang jaminan daripada RM500 kepada RM1,000.
  
Mahmud dalam keputusannya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, selepas mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

Tian Chua, yang juga Anggota Parlimen Batu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah pegawai polis DSP A.Rajagopal untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-Kawasan Larangan 1975.
  
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak, di sini pada 2.30 pagi 29 April 2012, iaitu sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.
  
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius walaupun tiada kecederaan berlaku semasa tertuduh berada di Pulapol.
  
"Sebagai Yang Berhormat, tertuduh perlu memberi contoh yang baik kepada masyarakat, tetapi dia telah melanggar perintah polis. Pohon beri hukuman setimpal dalam bentuk pemenjaraan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan sama," katanya.
  
Eric pula memohon mahkamah mengenakan hukuman denda sahaja kepada anak guamnya atas alasan ia adalah satu kesalahan teknikal yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada orang ramai dan juga tertuduh. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz secara dasarnya menyokong seruan yang dikeluarkan Ketua Whip PAS, Datuk Mahfuz Omar, agar ahli parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berganding bahu bagi mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Nik Abduh secara dasarnya bersetuju dengan seruan tersebut memandangkan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan kegagalan apabila banyak janji-janji yang diucapkan ketika pilihan raya umum (PRU) lalu tidak ditepati.

"Saya tidak ada masalah untuk menyokong cadangan tersebut. Biarpun perkara itu perlu diputuskan bersama rakan Pakatan Rakyat yang lain sebelum sebarang keputusan dibuat, saya menyokong supaya perkara itu diangkat untuk dibincangkan bersama konsensus parlimen PR," kata beliau.

Mengulas keperluan undi tidak percaya itu dikemukakan, Nik Abduh berkata negar sudah berhadapan dengan pelbagai kenaikan dan kepayahan selepas PRU lalu, yang bukan sahaja dirasai penyokong PR, tetapi turut dirasai penyokong BN.

Justeru, beliau juga bersependapat dengan Mahfuz yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, agar ahli parlimen BN turut serta menyokong undi tidak percaya itu demi kepentingan rakyat dan negara.

"Ahli parlimen BN pun perlu turut serta kerana bukan sahaja rakyat ditipu, tetapi mereka juga sebagai wakil rakyat. Demi kepentingan rakyat dan negara ini," kata beliau.

Mahfuz, dalam kenyataannya semalam berkata usul tidak percaya itu wajar dilakukan demi kepentingan negara dan rakyat, di mana negara tidak mampu lagi mempunyai PM 'kangkung'.

Sebelum ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan agar bekas PM, Tun Mahathir Mohamad dilantik ke kabinet Malaysia.

Saranan itu seolah-olah memperlihatkan bahawa ahli kabinet yang sedia ada tidak mampu menangani dan mentadbir negara sehingga memerlukan Mhathir untuk bersama-sama membantu kabinet Najib.

Zainuddin yang melontarkan idea tersebut di blognya berkata, pengalaman lebih 20 tahun Mahathir dalam memimpin negara dan mengendalikan soal keselamatan dengan jayanya, tidak seharusnya dibazirkan begitu saja oleh Najib.

Katanya, cadangan ini bukannya untuk mengembalikan Mahathir kepada kedudukan kerusi Perdana Menteri tetapi perlu diberikan kuasa dalam kabinet untuk membantu Perdana Menteri dan kerajaan dalam menangani isu keselamatan, perkauman, agama dan ekonomi yang kian meruncing sekarang ini.
KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2013 akan diumumkan pada 30 Jan ini.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan hari ini, calon yang menduduki peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan dimaklumkan melalui pos atau mereka boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar dahulu dan pengumuman analisis keputusan STAM 2013 akan diadakan serentak pada hari yang sama pukul 9 pagi di Putrajaya," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 8,613 orang calon telah menduduki peperiksaan STAM 2013 di 116 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 4,094 adalah calon sekolah Kementerian Pendidikan, Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebanyak 2,601 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 685 dari Sekolah Menengah Agama Rakyat, 1,185 calon persendirian manakala baki 48 calon adalah dari Sekolah Menengah Swasta.

Menurut kenyataan itu, kementerian juga menyediakan perkhidmatan semakan keputusan STAM melalui mySMS 15888 dengan menaip STAM jarakkan taip angka giliran dan hantar ke 15888.
  
Perkhidmatan itu akan diaktifkan bermula 10 pagi, 30 Jan dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 5 Feb ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat Kedah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan berlaku salah tadbir dalam penyelesaian saman oleh anak syarikat Kedah, Bina Darulaman Berhad (BDB) berhubung isu pembalakan di sepanjang Lebuh Raya Trans Eastern Kedah Interland (Tekih).

Ketua Pembangkan Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, pihaknya bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat kes ini.

Siasatan ini tegasnya amat penting kerana pihaknya amat meragui proses tender balak yang diserahkan kepada sebuah syarikat pembalakan pada tahun 2006 itu.

"Secara amat ganjil, BDB telah menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan pembayaran yang dikatakan mencecah RM2.5 juta.

"Bagi kami, penyelesaian ini adalah suatu tindakan yang amat pelik memandangkan Syarikat BDB sebelum itu telah melantik peguam bagi mewakili mereka dan BDB dikatakan berpeluang cerah menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah.

Berdasarkan maklumat pihaknya, syarikat ini telah mendapat tender melalui proses yang amat pelik serta tatacara bukan konvensional yang sepatutnya diperoleh syarikat yang lain.

Selepas kerajaan negeri bertukar kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008, syarikat pembalakan ini telah menyaman BDB atas alasan BDB telah melanggar kontrak.

BDB yang bukan menjalankan perniagaan berteraskan pembalakan telah bertindak melantik peguam bagi menguruskan kes saman tersebut.

BDB adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di papan pertama Bursa Malaysia dan pemegang saham yang terbesarnya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). PKNK dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah.

Selepas beberapa kali perbicaraan kes dijalankan, sekali lagi Kerajaan Negeri bertukar tangan kepada Barisan Nasional selepas pilihan raya umum 2013.

Secara amat ganjil, BDB telah menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan pembayaran yang dikatakan mencecah RM2.5 juta.

"PKNK yang mewakili kepentingan rakyat Kedah yang mempunyai wakil di dalam Lembaga Pengarah BDB juga sepatutnya bertindak bagi kepentingan rakyat Kedah dengan menghalang penyelesaian ini," katanya yang juga Adun Anak Bukit.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Kedah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak dan Mobilisasi Isu bagi bekerjasama dengan NGO Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) yang diketuai Sulaiman Ibrahim untuk terus mendedahkan penyelewengan balak ini.

Mereka meminta kerajaan negeri menjelaskan status aktiviti pembalakan yang rancak dilakukan di kawasan Gulau, Sik membabitkan hutan Simpan Ulu Muda.

Difahamkan, kegiatan itu ketara sejak Oktober lalu di kawasn berhampiran Lebuhraya Tekih dari Durian Burung melalui Galau ke Baling.

Ir Amiruddin (empat dari kiri) menunjukkan dokumen berkaitan pada sidang media yang turut dihadiri pemimpin Dewan Pemuda PAS negeri dan aktivis Panglima.
ALOR SETAR:  Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir didesak memberikan  penjelasan berhubung isu penyelesaian luar mahkamah anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darul Aman Berhad (BDB) membabitkan  pembayaran RM2.5 juta kepada sebuah syarikat pembalakan.
Desakan itu dibuat Ketua Pembangkang Dun Kedah, Dato’ Ir  Amiruddin Hamzah dalam satu sidang media bersama Dewan Pemuda PAS Kedah dan Pertubuhan Angkatan Muda Bersama Ulama (Panglima) yang diadakan di Kompleks PAS Kawasan Pokok Sena, semalam.
“Kami amat meragui proses penyerahan tender balak kepada sebuah syarikat pembalakan pada tahun 2006. Syarikat ini memperolehi tender melalui proses yang amat pelik serta tatacara bukan konvensional, sedangkan ada syarikat lain yang lebih layak,” ujarnya.
Menurut Amiruddin, selepas kerajaan negeri bertukar tangan pada 2008, syarikat pembalakan tersebut telah menyaman BDB atas alasan melanggar kontrak.
BDB adalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan tidak menjalankan perniagaan berteraskan pembalakan.
“Selepas beberapa kali perbicaraan dijalankan, kerajaan bertukar semula kepada BN pada PRU 2013 dan secara ‘amat ganjil’ BDB telah menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan pembayaran sebanyak RM2.5 juta,” ujarnya.
Amiruddin mempersoalkan pihak yang membuat arahan supaya penyelesaian di buat di luar mahkamah sedangkan perbicaraan telah berlangsung sekian lama.
Beliau mahu tahu sama ada arahan itu datang daripada Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga Pengarah PKNK atau mana-mana ahli lembaga pengarah.
Sepanjang pengetahuan beliau, BDB mempunyai asas yang cukup kuat untuk memenangi kes tersebut.
 “Adakah peguam yang membela kes ini termaklum dengan keputusan BDB itu? Mukhriz kena jelaskan semuanya kerana antara pemegang saham PKNK adalah rakyat Kedah kerana PKNK adalah milik kerajaan negeri Kedah.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan setelah RM2.5 juta duit rakyat hangus begitu saja,” tegasnya.
Menurut Amiruddin, di awal pentadbiran Pakatan Rakyat keuntungan yang dicatat BDB adalah di sekitar  RM16 juta namun meningkat kepada RM30.6 juta pada akhir 2012.
Tambah beliau, tidak wajar keuntungan BDB dihabiskan oleh pentadbiran BN begitu sahaja melalui penyelesaian kes di luar mahkamah.
“Kita memandang serius kes ini dan akan melaporkan kepada SPRM supaya menyiasat jika terdapat sebarang penyelewengan yang berlaku seterusnya mengambil tindakan,” tegasnya.
Sementara itu Amiruddin terus mempersoalkan tindakan Mukhriz melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Percetakan Nasional Malaysia Berhad, Izham Yusof yang dikaitkan dengan siasatan penyelewengan dalam beberapa buah syarikat oleh Juruaudit Khas Kementerian Kewangan.
“Sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan BDB mulai 1 Februari 2014 ini, beliau sudahpun dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas BDB sekitar bulan September 2013.
“Bulan September beliau dilantik, bulan Disember berlaku penyelesaian kes di luar mahkamah.. . Apakah ada kaitan keputusan yang dibuat dengan masuknya individu ini dalam BDB?” soal Amiruddin.
SUNGAI PETANI: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menyifatkan tindakan Datuk Seri Najib Razak yang terlalu mengikut telunjuk para penasihatnya dalam menentukan dasar negara akhirnya akan merugikan orang Melayu.
Berucap di Dewan Kismec pada majlis anjuran Umno Bahagian Merbok, dekat sini, Daim menganggap perbelanjaan besar dalam perkara yang bertujuan ‘mengambil hati’ masyarakat Cina adalah kerja sia-sia yang dilakukan oleh Perdana Menteri kerana orang Cina sama sekali tidak akan menyokong BN.
Daim turut mendakwa kononnya BN masih kuat sebagai pemerintah.
“Sepatutnya Melayulah yang perlu mendapat manfaat lebih di bawah pemerintahan BN,” ujarnya.
Mengenai kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat, Daim mengakui bahawa kerajaan gagal untuk mengawalnya.
Beliau memetik beberapa punca berlakunya kenaikan, antaranya Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan tidak bijak menguruskan perbelanjaan negara, kenaikan gaji dan elaun kakitangan kerajaan serta pemborosan.
“Terlalu banyak wang dibelanjakan untuk perkara yang tidak patut dan tidak memberi pulangan yang baik kepada rakyat dan negara,” ujarnya.
Berhubung kenaikan harga tol, Daim berpendapat kerajaan sepatutnya mengkaji perjanjian lama dengan pemegang konsesi bukan menaikkan kadar tol dengan sewenang-wenangnya.
Daim juga meramalkan bahawa BN akan tewas sekiranya pilihan raya umum (PRU) diadakan ketika ini atau dalam keadaan rakyat gelisah dengan tekanan kos sara hidup yang meningkat.
Ia ditambah dengan sikap menteri yang tidak bijak membuat kenyataan dalam isu tersebut sehingga menambahkan kemarahan rakyat.
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menegaskan ia akan terus berusaha membantu kes tahanan reman pasangan Malaysia oleh pihak berkuasa Sweden.
  
Wisma Putra dalam satu kenyataan lewat malam ini berkata keutamaan segera ketika ini ialah memindahkan penjagaan empat orang anak pasangan itu dari keluarga angkat tempatan kepada keluarga Islam Malaysia.
  
Ia menyatakan Jabatan Perkhidmatan Masyarakat Sweden telah memberi kerjasama penuh setakat ini dan menganggapnya sebagai kes khas.
  
"Ia telah mula mpenenemuramah beberapa keluarga Malaysia yang kini tinggal di Sweden sebagaimana diminta oleh kementerian untuk kesesuaian diberikan penjagaan itu," tambahnya.
  
Kenyataan itu menambah Kedutaan Malaysia di Stockholm akan menemui Jabatan Perkhidmatan Masyarakat pada 24 Jan untuk perbincangan selanjutnya berhubung isu berkenaan. - Bernama

 
KUALA LUMPUR: PAS Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan saudara mara mangsa susulan penemuan mayat kanak-kanak perempuan Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah berumur 2 tahun di sebuah rumah beralamat Lot 8428 Taman Permint Sri Paka, Dungun.

 “Mewakili seluruh rakyat negeri Terengganu, PAS merasa terkejut dan kesal dengan kejadian jenayah berat; rompak, rogol dan bunuh yang menjadi semakin dekat dengan kejiranan setiap keluarga di negeri Terengganu dan negara kita Malaysia amnya,” ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan media beliau yang juga Adun Paka.

Susulan penemuan mayat kanak-kanak perempuan Nursyafiqah Adawiyyah Binti Abdullah berumur 2 tahun di sebuah rumah beralamat Lot 8428 Taman Permint Sri Paka, PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan saudara mara mangsa terbabit.

Mewakili seluruh rakyat negeri Terengganu, PAS merasa terkejut dan kesal dengan kejadian jenayah berat; rompak, rogol dan bunuh yang menjadi semakin dekat dengan kejiranan setiap keluarga di negeri Terengganu dan negara kita Malaysia amnya.

Selepas kejadian pembunuhan peniaga nasi kukus di Paka pada 13 Ogos 2013, dua lelaki bertopeng bersenjatakan sepucuk pistol dan parang telah menyamun stesyen minyak di Rantau Abang.

Di peringkat nasional pada tahun lalu, sebanyak 23 kes tembak telah dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan, antara April hingga Julai.

Walaupun ‘Ops Cantas’ dilaporkan berjaya mengurangkan kadar jenayah berat, namun Polis Terengganu terpaksa menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dua kes tembak yang sangat mengejutkan, berlaku dalam tempoh 48 jam di Hulu Terengganu dan Besut, pada awal bulan ini.

Justeru, kejadian jenayah yang begitu banyak berlaku, apakah kita tidak menginsafi sesungguhnya ia adalah satu ‘malapetaka’ yang memberikan peringatan kepada manusia bahawa undang-undang ciptaan manusia bukan sahaja tidak berjaya mengawalnya, bahkan tidak mampu menyelesaikan masalah sosial yang dihadapi.

Oleh itu, PAS mendesak kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Terengganu khususnya, untuk menuruti jejak langkah kerajaan Aceh di Indonesia dan kerajaan Brunei Darussalam yang telah berjaya melaksanakan Undang-undang Syariah.

Mengapakan kerajaan Terengganu Darul Iman masih belum menguatkuasakan Enakmen Jenayah Hudud dan Qisas yang telah diluluskan? Inilah masa yang sesuai untuk menunjukkan Hukum Allah itu sebagai sebaik jalan penyelesaian. Apatah lagi ia telah mendapat perkenan Sultan pada tahun 2002, untuk dilaksanakan sebagai undang-undang dan peraturan di negeri Terengganu.

Apakah kita mahu melihat ‘bala’ yang lebih dahsyat terjadi, barulah kita sedar dan kembali kepada hukum Allah dan rasul-Nya?

Marilah kita tunjukkan kecintaan kita kepada Allah dan rasul-Nya, bukan hanya sekadar menyambut dan merayakan MaulidurRasul Muhammad SAW, tetapi dengan melaksanakan undang-undang yang telah diasaskan baginda sejak penubuhan negara Islam Madinah al-Munawwarah.

Sesungguhnya ini sebagai tanda hilang dan tercabutnya rahmat Allah ke atas suatu umat itu berlaku akibat mereka meninggalkan syariat dan melakukan maksiat terhadap Allah SWT. Ingat peringatan-Nya sebagaimana firman Allah dalam al-Quran surah Taha ayat 124 ومن أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا
yang bermaksud: Dan barang siapa yang menolak peringatan-Ku maka sesungguhnya kehidupannya di dunia ini akan menjadi hina.
KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen Barisan Nasional sepatutnya kembali kepada perdebatan rasional dan berkeyakinan menyangkal kritikan parti pembangkang.

Justeru, Radio Televisyen Malaysia (RTM) harus merancang dengan secepat yang mungkin satu debat terbuka di antara Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Reezal Merican dan Adun Macang Bubok Lee Khai Loon mengenai isu kenaikan harga pelbagai barangan.

Dengan gesaan 35 NGO pertubuhan masyarakat sivil dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Bagi mereka, biarlah rakyat jelata mendengar penjelasan Barisan Nasional dan dasar alternatif Pakatan Rakyat dan dengan ini Malaysia akan bergorak langkah ke satu kebudayaan demokrasi yang lebih matang.

Berikut kenyataan mereka.

Kami, pertubuhan masyarakat sivil yang menandatangani di bawah, mengutuk Umno negeri Pulau Pinang memutarbelitkan himpunan kangkung yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Macang Bubok Lee Khai Loon dan menjadikannya satu isu perkauman.

Himpunan kangkung tersebut cuma membantah kenaikan harga barangan, tetapi telah diputarbelitkan menjadi isu kerajaan Pulau Pinang yang meminggir dan menindas kaum Melayu.

Selepas Umno Pulau Pinang menjalankan dua demonstrasi, Lee Khai Loon telah menerima beberapa sms berunsur ugutan bunuh.

Malah peserta demonstrasi Umno Pulau Pinang telah membawa sepanduk yang dituliskan ‘Mahu lagi 13 Mei’ dan memukul seorang pemuda yang melalui tempat demonstrasi tersebut. Motosikal pemuda tersebut hilang selepas beliau diserang oleh peserta demonstrasi.

Tindakan keganasan terhadap warganegara biasa dan mengugut Ahli Undangan Negeri telah melanggar undang-undang jenayah Malaysia, oleh yang demikian pihak polis mestilah menyiasat suspek di bawah Kanun Acara Jenayah dengan segera.

Apabila politikus perkauman memanipulasikan isu-isu palsu yang memecah-belahkan kaum-kaum serta menggunakan taktik ugutan bunuh dan keganasan, fokus isu-isu ekonomi yang mempengaruhi semua rakyat telah dialihkan dan wacana awam kesusahan hidup rakyat jelata terpaksa berundur berikutan politik samseng parti pemerintah.

Sebenarnya dasar kerajaan yang mengurangkan subsidi telah menyebabkan kenaikan harga petrol, gula, bekalan elektrik, cukai taksiran dan bayaran tol lebuhraya, tambahan pula cukai GST akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Dasar-dasar tersebut telah menyebabkan kehidupan rakyat kelas bawahan semakin perit.

Malangnya parti pemerintah telah menggunakan taktik keganasan dan ugutan untuk memadam kritikan dasar-dasar ekonomi kerajaan dan sekali gus mengalih perhatian menjadikan kritikan dasar ekonomi sebagai isu perkauman. Ini memang merupakan kemerosotan politik demokrasi.

Sehingga kini, Perdana Menteri Najib Razak masih berdiam diri terhadap tindakan Umno Pulau Pinang.

Adakah beliau bersetuju dengan tindakan keganasan dan ugutan berdarah oleh parti pimpinan beliau?

Sifat Najib yang tidak mengutuk keganasan politik yang berlaku menunjukan dasar-dasar kerajaan seperti transformasi kerajaan, transformasi ekonomi dan slogan rakyat diutamakan telah gagal dan sekarang bergantung kepada politik perkauman untuk menghentikan kritikan terhadapnya.

Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional hari ini masih tiada banyak perbezaan jika dibandingkan dengan pemerintahan autokrasi Mahathir Mohamad.

Kami ingin menasihati Umno dan kerajaan BN bahawa politik perkauman telah menemui kekalahan pertama dalam pilihanraya umum ke-12 dan Barisan Nasional mengalami kehilangan lebih banyak kawasan parlimen dalam pilihanraya ke-13.

Ini menunjukkan rakyat seluruh negara bertekad menolak politik perkauman dan menuntut demokrasi dan keadilan masyarakat secara menyeluruh.

Sekiranya Umno terus memanipulasi isu-isu perkauman dan semakin menjauhi dari kehendak rakyat serta trend dunia, tentunya rakyat akan membuat penghakiman yang sewajarnya terhadap politik samseng dan perkauman Umno dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Parti-parti komponen Barisan Nasional sepatutnya kembali kepada perdebatan rasional dan berkeyakinan menyangkal kritikan parti pembangkang.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) harus merancangkan dengan secepat yang mungkin satu debat terbuka di antara Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Reezal Merican dan Adun Macang Bubok Lee Khai Loon mengenai isu kenaikan harga pelbagai barangan.

Biarlah rakyat jelata mendengar penjelasan Barisan Nasional dan dasar alternatif Pakatan Rakyat dan dengan ini Malaysia akan bergorak langkah ke satu kebudayaan demokrasi yang lebih matang.

Yang Menandatangani:
1.      Baram Kini
2.      Bersih Sibu
3.      Bukit Koman Ban Cyanide Action Committee
4.      ENGAGE
5.      Group of Concerned Citizens (GCC)
6.      Hands of Malaysians Extended (HOME)
7.      Islamic Renaissance Front
8.      Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor
9.      Jihad for Justice
10.  Johor Yellow Flame (JYF)
11.  Kelab Bangsar Utama
12.  Kill the Bill
13.  Lightup Borneo
14.  Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA)
15.  Malaysians for Beng Hock
16.  Mamas Bersih
17.  National Indian Action Team (NIAT)
18.  Northern Green Youth
19.  Pemuda Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor
20.  Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Melaka
21.  Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan
22.  Pemuda Persatuan Wui Leng KL dan Selangor
23.  Perak Young Graduate Association
24.  Persatuan Kesedaran Kominiti Selangor (EMPOWER)
25.  Persatuan Prihatian KL dan Selangor
26.  Persatuan Alumni PBTUSM Bahagian Utara
27.  Persatuan Alumni PBTUSM Selangor & KL
28. Semparuthi Iyakkam
29.  Solidarity for Civil Rights in China
30.  Sunflower Electoral Education Movement
31.  Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
32.  Universiti Malaya New Youth Association
33.  Xue Le Shu Yuan
34.  Youth for Change (Y4C)
35.  528 Media Action Group

Tiada ulasan: