Jumaat, 10 Januari 2014

YANG JAHIL ITU YANG TAK KENAL PENCIPTANYA IAITU ALLAH....KEDUA TAK TAHU YANG MANA MUNGKAR DAN YANG MANA MAKRUF....KETIGA TAK MAHU BELAJAR MENGENAL ALLAH SWT....MEREKA AKAN KESAL BILA BERADA DIAKHIRAT KELAK TAPI DAH TERLAMBAT

PUTRAJAYA: Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa kerajaan akan membenarkan kewujudan kelab hiburan Hard Rock Cafe di Putrajaya jika beropersi secara Islamik hanya untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Kenyataan itu juga dianggap sekadar untuk menutup kesilapan beliau dengan kenyataannya sebelum ini yang akan mempertimbangkan permohonan Hard Rock Cafe di pusat pentadbiran negara itu.

 "Takkanlah Tengku Adnan tak tahu macamana Hard Rock Cafe sehinggakan mahu menetapkan syarat tiada sebarang penjualan minuman keras, serta hanya menyediakan hiburan versi nasyid.

"Beliau sebenarnya saja mengatakan demikian bagi meredakan kemarahan orang ramai dan menutup kesilapan beliau ekoran kenyataannya sebelum ini," tegas Yang Di Pertua PAS (YDP) Putrajaya, Kamaruzzaman Mohamad.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Kamaruzzaman berkata pihaknya akan menentang sebarang usaha untuk menubuhkan Hard Rock Cafe di pusat pentadbiran negara itu yang dianggapnya tidak perlu.

Bagaimanapun, Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat, sebelum ini menyatakan tiada sebarang permohonan yang diterima perbadanan daripada pihak Hard Rock Cafe untuk mewujudkan kelab hiburan tersebut.

Justeru, Kamaruzzaman berkata pihaknya menyambut baik kenyataan tersebut dan mengharapkan tiada sebarang permohonan untuk tujuan sedemikian.

"Kami harap biarlah tiada permohonan seperti itu kerana tidak nampak sebarang keperluan untuk Putrajaya ini untuk sebuah kelab hiburan begitu. Jika selepas ini ada permohonan dan akan dipertimbangkan, kami di Putrajaya akan menentang usaha tersebut," tegas beliau.

Sebelum ini, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan membenarkan Hard Rock Cafe membuka cawangan di pusat pentadbiran negara itu jika beroperasi secara Islamik dan tidak melanggar garis panduan Perbadanan Putrajaya.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan membantu mangsa kebakaran di Rantau Panjang melalui beberapa kaedah selain bantuan Tabung Serambi Mekah yang diumum Menteri Besar sebelum ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, untuk membina semula kedai yang terbakar itu, kerajaan negeri akan menunggu laporan lengkap berhubung status kedai tersebut.

“Ini kerana kita mendapati sebahagian besar unit kedai tersebut milik individu,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco, di sini semalam.

Menurutnya, pada masa yang sama kerajaan negeri juga akan fikirkan cara untuk menyelesaikan masalah peniaga yang hilang tempat mencari rezeki.

“Sebelum ini Bazaar Siti Fatimah telah dibina dan mampu memuatkan seramai 150 orang penjaja,”ujarnya.

Tegasnya, memandangkan ianya terletak di kawasan bebas cukai popular, kerajaan negeri akan membantu agar ianya lebih proaktif.

Pada Isnin malam lalu sebanyak 74 deretan kedai di Rantau Panjang hangus terbakar kira-kira jam 11.00 malam.

Kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta apabila premis yang mempamerkan jualan peralatan dapur, pakaian dan alas tidur itu hangus terbakar.

Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan berlaku memandangkan semua peniaga telah pulang selewat-lewatnya jam 7.00 malam.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Hanifa Ahmad dan lain-lain pimpinan turut melawat tempat kejadian.
Kalau kereta accident, kemek sana-sini, maka nak baik pulih dia, kena ketuk body kuat-kuat. Kalau setakat gosok dengan kertas tisu, habis seratus kotak tisu pun tak ke mana. Ketika ini, ketuk itulah dikira cara yang paling berhikmah untuk nak baiki kereta tu.

Kalau satu anggota badan contohnya kaki pesakit diabetis dah buruk serta sel-selnya sudah mati, tidak berfungsi lagi, menyimpannya akan merbahayakan nyawa tuannya, maka ketika itu keputusannya ada perlu dipotong. Setakat kita sapu dengan losyen, ianya tidak bermakna lagi. Ketika ini, potong adalah cara yang paling berhikmah untuk mengubati masalah ini.

Seorang anak yang telah berusia 11 tahun, telah pelbagai cara nasihat dan suruhan dengan cara yang baik dilakukan supaya dia sembahyang tetapi tetap tak berjaya. Maka ketika itu Islam mengizinkan supaya dia dipukul. Maka ketika itu, pukul adalah cara yang paling berhikmah untuk mendidiknya.

Kalau ada orang yang susah nak makan nasihat, macam-macam cara tetap tak berkesan tetapi bila sekali kita kata “Kamu ni bodoh!” menyebabkan dia mula berfikir, ketika ungkapan “kamu ni bodoh!” adalah cara yang berhikmah.

Kalau sekiranya jalan dakwah Islam ini dihalang dengan kekerasan dan kekuatan, untuk membersihkannya kita perlu mengangkat senjata untuk menentang musuh, maka ketika itu mengangkat senjata adalah cara yang paling berhikmah.

Kalau sekiranya masyarakat seperti orang asli, mereka perlu diberikan hadiah dan dijamu dengan makanan, barulah mereka bersedia untuk mendengar dakwah kita, maka ketika itu, memberi hadiah dan mengadakan jamuan adalah cara yang berhikmah.

Kalau sekiranya pemerintah yang sudah ditegur dan dinasihati, tiada perubahan dan penambahbaikan dilakukan malah keadaan semakin hari semakin parah, mereka perlu diturunkan. Ketika itu tindakan menurunkan mereka dari puncak kuasa adalah cara yang berhikmah.

Kalau seseorang baling kita dengan tahi, kita balas baling balik dia dengan bunga tetapi balingan bunga kita tidak membawa sebarang erti dan makna, maka baling dengan bunga bukanlah cara yang berhikmah. Orang ini hanya akan berfikir apabila dia juga kena tahi, maka ketika itu balingan dengan tahi adalah cara yang berhikmah.

Saya reka senario-senario di atas untuk menerangkan salah faham yang sering berlaku berkaitan dengan kalimah ‘hikmah’. Ramai orang ingat hikmah itu bererti lemah lembut, kena belai, kena gosok, kena bagi bunga, tak boleh balas kejahatan orang kepada kita, kena pujuk dan pelbagai lagi.

Semua salah faham ini banyak saya perhatikan dalam komen-komen fb sebelum ini. Hikmah bermakna apakah cara dan kaedah yang paling balik dan berkesan  pada waktu itu, ketika itu dan untuk yang dituju itu.

KOTA BHARU:  Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, negeri Kelantan antara yang bakal dikunjungi oleh pelancong sama ada dalam atau luar negara.

Keunikan negeri itu sama ada kawasan pelancongan, kraftangannya, makanannya antara yang menarik minat orang ramai ke negeri itu.

Sambal daging atau serunding antara produk yang dihasilkan oleh pengusaha di negeri itu bakal menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Pasar Besar Siti Khadijah tempat jualan pelbagai produk penduduk setempat, turut memasarkan serunding sama ada dari daging tempatan atau import.

Harga yang ditawarkan RM50 untuk daging import, manakala daging tempatan RM60 sekilogram.

Hasnah Lohman, 45, antara peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah yang menjual serunding disamping keropok, dodol, belembung buaya dan lain-lain lagi.

Beliau yang tingal di Kampung Terial Bunut susu berkata bukan sahaja pelancong dalam negeri, sebaliknya luar negara seperti dari Amerika, Indonesia, Singapura dan beberapa buah negara lagi sering mengunjungi kedainya untuk mendapatkan produk berkenaan.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia, saya bersedia menyambut kedatangan pelancong luar negara terutama tempatan khususnya cuti perayaan Cina nanti dengan bekalan yang mencukupi.

“Semua peniaga di sini khususnya dit tingkat satu ini akan mendapat pulangan yang agak tinggi berbanding biasa diwaktu cuti umum,”ujarnya.

Hasnah yang memulakan perniagaan ketika masih belum berkahwin kira-kira 23 tahun lalu, kini dibantu suami Che Ilias Che Daud, 51.

Beliau mengakui pada hari biasa jualannya hanya mencecah RM100 hingga RM150.

Bagaimanapun, tambahnya bila cuti umum atau persekolahan jualannya meningkat RM350 sehari.

“Walaupun ianya jarang berlaku, namun ianya dapat menampung kehidupan kami sekeluarga,”ujarnya
KUALA LUMPUR: Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Mohd Bukhairy Sofian telah mendapat surat daripada pihak polis dan dikehendaki hadir ke IPD Dang Wangi Kuala Lumpur pada jam 3 petang, esok.

Menurutnya, antara keempat-empat NGO yang dinamakan oleh polis yang terlibat dalam penganjuran himpunan Turun pada 31 Disember lalu ialah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Jingga 13 dan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun).

Setakat ini, ujarnya tiada maklumat orang lain yang dipanggil oleh polis selain beliau.

“SMM  menyifatkan tindakan ini sebagai ingin memadamkan momentum protes rakyat terhadap kenaikan harga barang dan menakutkan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, himpunan ini adalah himpunan  rakyat, penganjurnya juga adalah rakyat yang hadir, bukan hanya 4 NGO yang disebut oleh polis.

“Himpunan yang dah aman macam ini pun masih lagi mereka ingin siasat, himpunan aman macam mana yang ingin mereka sebenarnya,” katanya lagi.
Kebanyakan dari kita masih lagi terkejut dengan berita bahawa juara 7 kali Formula 1, Michael Schumacher mengalami kecederaan serius di kepala setelah satu kemalangan bermain ski pada 29 Disember tahun lepas.  Doktor telah meletakkan beliau di dalam keadaan koma untuk meningkatkan peluang untuk hidup.

Dengan 91 kemenangan di dalam Formula 1, Schumi telah melakar nama sebagai salah satu lagenda bidang lumba permotoran dan menjadi piawaian yang mesti di atasi oleh para pelumba lain. Kini beliau melakar nama sebagai aktivis kemanusiaan dengan memperjuangkan isu-isu kemiskinan, perhambaan kanak-kanak dan keselamatan jalan raya. Malah penglibatan beliau sebagai duta UNICEF telah menggalakkan penyertaan lebih ramai personaliti dan selebriti sekaligus meningkatkan profail usaha-usaha kemanusiaan PBB.

Schumi juga sebenarnya dekat dengan Malaysia dan Asia Tenggara secara amnya. Beliau sememangnya tertarik dengan keindahan dan hospitaliti Langkawi dan kerap bercuti ke sana. Beliau pernah menyumbang sehingga 10 juta dolar untuk tabung tsunami Asia, satu jumlah yang lebih besar dari kebanyakan sumbangan yang dibuat oleh negara-negara penyumbang.

Persona profesional Schumi menampilkan watak yang serius dan kompetitif namun bagi yang mengenali beliau secara dekat, Schumi adalah seorang suami dan ayah yang penyayang yang gemar bergurau dan berkelakar, sifat yang kadangkala dipersaksikan kepada masyarakat awam. Peminat beliau pastinya masih ingat gurauan beliau yang muncul sebagai The Stig, pemandu handalan misterius di dalam rancangan automotif BBC, Top Gear. Beliau juga pernah muncul sebagai watak kereta Ferrari di dalam filem animasi Cars terbitan Disney-Pixar.

Adalah sesuatu yang ironi untuk mendapati Schumi di dalam keadaan parah setelah kemalangan di lapangan ski meskipun beliau saban minggu mempertaruhkan nyawa di sirkit perlumbaan. Mungkin ianya adalah satu peringatan dari Allah swt kepada kita semua bahawa ketentuan ajal maut adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka dan menjadi kemestian untuk kita lebih menghargai amanah kehidupan.

Semoga Schumi segera sembuh dan boleh terus berlumba di dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Forza Michael Schumacher!

Dari peminat anda di Malaysia,


*Penulis adalah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk membayar pampasan kepada semua mangsa dan keluarga tahanan ISA ke atas penahanan mereka yang tidak dibuktikan sama ada bersalah atau tidak ke mahkamah.

Isteri kepada bekas tahanan ISA, Aliza Jaffar, menegaskan penahanan suaminya, Saari Sungib pada 2001 selama dua tahun di bawah akta itu tidak pernah dibuktikan kesalahan atas dakwaan yang dikenakan.

Justeru, katanya adalah wajar bekas tahanan dan keluarga dibayar pampasan atas segala kesengsaraan dan keperitan yang dihadapi mangsa dan keluarga sepanjang penahanan tersebut.

Apatah lagi, tegas beliau suaminya telah dianugerahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pampasan sebanyak RM1 juta yang perlu dibayar oleh kerajan Malaysia melalui harbeas corpus yang difailkan.

"Sampai sekarang kami masih menunggu pampasan tersebut dibayar kerajaan. Memang pihak kerajaan memfailkan rayuan untuk mengetepikan perintah pembayaran pampasan tersebut, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan berkaitan," tegas beliau.

Saari, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang, pada 2002 bersama empat tahanan lain bertindak memfailkan harbeas corpus dan kemudiannya disahkan mahkamah bahawa penahanan kelima mereka adalah bersifat 'mala fide'.

Kemudiannya, pada 2003, mereka memfailkan saman sivil terhadap kerajaan kerana bertindak menahan mereka dan dianugerahkan agar dibayar pampasan RM1 juta seorang, namun kerajaan memfailkan rayuan.

Jelas Aliza yang juga aktivis Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuhkan ISA (PSK GMI), semua tahanan ISA dan keluarga melalui satu pengalaman yang begitu mengerikan dan menyakitkan sepanjang penahanan.

"Ada yang ditahan hampir lapan tahun, malah yang ditahan dalam tempoh 60 hari sekalipun sudah pasti memberi kesan terhadap tahanan dan keluarga. Apatah lagi jika yang ditahan itu merupakan ketua keluarga yang bertanggungjawab menyalurkan sumber kewangan terhadap keluarga," jelas beliau.

Tambah Aliza lagi, ia belum lagi keperitan dan trauma yang terpaksa dilalui oleh keluarga tahanan sepanjang penahanan ahli keluarga mereka, lebih-lebih lagi apabila diugut untuk tidak bertemu peguam, bergerak aktif dengan mana-mana NGO, mahupun diganggu kehadiran anggota cawangan khas (SB) di kediaman mereka tanpa mengira masa.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerajaan untuk tidak lupa membayar pampasan kepada semua tahanan ISA yang selama ini ditahan tanpa sebarang perbicaraan di mahkamah.

"Pampasan ini memang wajar dibayar atas segala kehilangan sumber pendapatan seperti pekerjaan asal, peluang pekerjaan yang samar-samar selepas dibebaskan, serta trauma yang dihadapi tahanan dan keluarga," tegas Aliza.

Ahad lalu, kerajaan membebaskan tahanan akhir ISA seramai enam orang, termasuk dua warga Indonesia dan Filipina, biarpun ISA sudah dimansuh secara rasmi pada 22 Jun 2012  selepas terbentuknya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA dan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 2013.
Soalan:
Mana yang lebih baik, solat berjemaah di rumah atau di masjid? Hal ini kerana, kadang-kadang saya solat di rumah bersama isteri. Isteri saya sukar untuk ke masjid kerana ada anak kecil. Adakah saya masih dapat 27 darjat solat berjemaah di rumah?

Jawapan:
Sudah tentu bagi seorang lelaki solat berjemaah di masjid adalah lebih baik berbanding solat berjemaah di rumah.

“Dari Ibnu Umar RA bahawa RasululLah SAW bersabda {Solat seorang lelaki berjemaah (di masjid) melebihi solat sendirian (sebanyak) 27 kali ganda}.” HR Muslim

Dalam hal ini, ulama ada berselisihan pendapat dari segi tempat mengerjakan solat jemaah, pendapat yang pertama boleh dilakukan di mana-mana termasuk rumah.

Manakala pendapat kedua, hanya boleh dilakukan di masjid. Maka, pendapat kedua adalah lebih rajih berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an Nur 36 :

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” [Surah an-Nur : 36]

Bagi wanita, lebih afdhal mereka solat sendirian di rumah tambahan pula jika ada anak kecil yang boleh mengganggu jemaah lain di masjid.

Nabi SAW bersabda:
Ertinya : "Bagi seorang wanita untuk menunaikan solat di tempat tidurnya adalah lebih baik dari menunaikannya di biliknya, dan menunaikannya di biliknya lebih baik dari menunaikannya di rumahnya, dan menunaikannya di rumahnya lebih baik dari menunaikannya di masjid." ( Riwayat Abu Daud, Ahmad, 6/371 ; Ibn Athir : Hasan 11/200 )
 
 
 
 
 
 
 




Tiada ulasan: