Jumaat, 10 Januari 2014

LEBIH MALANG BILA ORANG ISLAM MENGKHIANAT ISLAM ITU SENDIRI....NI BERERTI MEREKA MENGKHIANAT ALLAH SWT YANG CIPTANYA


Polis Di Raja Malaysia (PDRM) mengumumkan melakukan operasi anti rasuah dengan melibatkan siasatan dan tangkapan terhadap 60 orang anggota tersebut yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Operasi tersebut melibatkan usaha bersama antara SPRM, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Ia berikutan terdapatnya aduan bahawa pegawai polis termasuk yang berpangkat tinggi menerima rasuah dan habuan daripada perniagaan haram seperti perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran.

Pendedahan berhubung operasi dan tangkapan ini menandakan pasukan tersebut berada dalam krisis yang paling membimbangkan.

PDRM memerlukan agensi luar dan bantuan penguatkuasaan lain bagi membanteras anggotanya yang didapati terlibat kesalahan. Ia menandakan bahawa PDRM sudah semakin hilang kedudukannya, dipandang rendah serta kurangnya kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tersebut.

Padanlah dengan berseleraknya pusat-pusat hiburan termasuk yang haram, rumah-rumah pelacuran dan rumah urut yang tumbuh melata ditengah ibu kota.

Apa yang menghairankan, kebanyakan perniagaan haram selama ini seperti dibiarkan berleluasa tanpa tindakan, rupanya memang ia sengaja dipelihara demi kepentingan sendiri pihak tertentu.

Mungkin segala operasi yang dijalankan selama ini hanya sandiwara golongan penyangak untuk mengabui mata masyarakat bahawa PDRM bertegas pada kemungkaran, walhal dibelakangnya, mereka saling bersalaman sambil mengedar wang habuan sesama mereka.

Kesannya menjadi lebih besar dengan gejala sosial menjadi semakin parah dalam masyarakat. Dadah, pil khayal, pelacuran, perzinaan, minuman keras adalah pakej pelengkap apabila sesuatu pusat hiburan serta rumah pelacuran beroperasi.

Tambahan lagi, kumpulan samseng, kongsi gelap dan keganasan membudaya dan menjalar sekitar masyarakat, kumpulan yang kuat akan menongkat langit manakala yang lemah akan mengemis minta simpati dan perlindungan.

Jika ini berlaku di negara lain, Ketua Polis Negara serta menteri terbabit akan mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas kesalahan pegawai bawahannya.

Bagi mereka, kes seumpama ini adalah suatu perkara yang amat serius dan meletakkan jawatan adalah jawapan bagi permasalahan yang menimpa.

Namun bagi negara ini, ia dianggap kes terpencil manakala pegawai tertinggi pasukan tersebut serta menterinya berlepas diri dengan menuding jari pegawai bawahannya yang terlibat, seolah-olah mereka tidak bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

Apapun, PDRM memerlukan suatu anjakan bagi mengubah tanggapan dan persepsi buruk pada mereka. Perubahan tersebut bukan pada imej dan penampilan diri, tetapi kepada integriti dan maruah pasukan terbabit.

*Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat 
PDRM_Minta_Maaf
Lihat di sini
Pandangan rasmi Jabatan Agama Islam Kedah terhadap 14 orang Memali yang terbunuh bersama Ibrahim Libya yang menentang ISA adalah bughah.
   
Maksudnya menderhaka. Ia mesti menderhaka kepada Istana/kerajaan. Hukuman kepada penderhaka ialah bunuh atau antara Yahudi yang derhaka kepada perjanjian Madinah dengan Rasulullah SAW, ada yang perintah keluar dari wilayah Islam itu tanpa harta bendanya kecuali bekalan melapik perut untuk perjalanan ke tempat barunya.
   
Jika orang Memali itu bughah ke semuanya tentu dikukum mengikut hukum bughah seperti yang disebut oleh  Mufti  Perak, bukan sekadar yang terbunuh itu saja.
   
Yang menjadi lawak atas tohmah bungah itu Sultan Kedah, Yang Dipertuan Agong sekarang berangkat menziarahi pusara as-Syahid Ibrahim Libya dan rakan-rakannya. Ulil Amri tentu tidak mencemar duli ke kubur bughah. Di mana kita hendak letak maruah Jabatan Agama?
   
Sekarang Mufti Harussani dari Perak pula menghukum bughah terhadap penunjuk rasa terhadap kos sara hidup yang melambung kerana mereka dikatakan mahu menggulingkan kerajaan. Hukumnya darah mereka halal.
    
Adakah sabit tunjuk perasaan sedemikian sebagai bughah sekalipun motif dan agendanya menggulingkan kerajaan? Adakah penunjuk rasa di Thailand yang menentang Perdana Menteri wanitanya dari terus berkuasa sudah bughah? Apa juga tema dan slogan unjuk rasa adalah dihalalkan oleh demokrasi dan diiktiraf oleh PBB.
   
Mohamad Sabu, orang penting unjuk itu menolak ia mahu menggulingkan kerajaan. Unjuk rasa itu bagi membantah tanpa senjata tentang kenaikan kos rasa hidup yang melangit itu. Sekalipun ia permulaan kepada penggulingan kerajaan dalam PRU14 nanti, ia adalah proses penggulingan mengikut perlembagaan dan lunas demokrasi.
   
Mana ada tunjuk perasaan terhadap kerajaan dikira bughah  dan didakwa di mahkamah selain dari di Mesir terhadap Ikhwanul Muslimin. Tindakan itupun bukan bughah tetapi justeru gerakan keganasan.
   
Gerakan mengguling kerajaan tidak disebut-sebut dan diwarwarkan dalam unjuk rasa seperti malam tahun baru itu. Tiada dipapar dalam kain rentang. Orang yang sungguh hendak merampas kuasa bergerak  dalam diam-diam. Tiba-tiba berlaku saja penggulingan. Orang ramai tahu melalui siaran TV dan radio.
   
Biasanya yang buat kerja ini pempn-pemimpin tentera atau orang yang mendapat sokongan tentera.
   
Dr Mahathir tidak sukakan PM Abdullah Badawi dulu berpakat dengan orang-orang Umno yang dekat dengan PM itu. Mereka tidak runding dengan orang lain-lain. Mereka sesama Umno sepakat menggulingkannya dengan mendesaknya berundur.
  
Gerakan itu tidak dikatakan bughah. Walaupun kerja itu sudah macam bughah tetapi dari segi politik, ia biasa dilakukan oleh parti-parti yang memerintah. Ia buat cara diam-diam dulu dalam parti dan  kemudian baru kerajaan dipaksa berndur.
     
Menggulingkan biasanya orang buat dalam tempoh yang segera supaya kerajaan yang ada tidak sedar. Tetapi kalau dihebohkan dalam ceramah dan kain rentang, ia bukannya sungguh-sungguh mengguling kerjaan. Ia hendak meributkan  saja. Tidak apa yang mereka buat untuk menjadikan kerajaan dalam waktu yang sesengkatnya.
   
Mufti Perak  itu tiada pengalaman politik. Bagaimana rupa bughah dan bagaimana gendang-gendang saja.
   
Perak dihormati umum kerana kehabatan Raja Mudanya. Pandangannya mengkagumkan ramai orang. Baginda berjaya mengatasi kehebatan Ayahanda baginda. Ayahanda baginda adalah Ketua Hakim pertama dalam dunia jadi Sultan atau Raja. Pandangannya sangat dihajati. Tetapi cara baginda menghadapi penggulingan Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak, menyebabkan kebijaksanaan itu tidak menggambarkan wibawa Ketua Hakim. Maka yang menonjol di kalangan raja-raja ia Raja Muda. Ia mengkagum dan membanggakan.
   
Tiba-tiba dengan penonjolan Muftinya, tidak  seimbang dengan kehebatan Raja Muda. Raja Muda menjulang ke  angkasa. Mufti boleh  menyamai lawak Abu Nawas dengan fahaman bughahnya..
Pada 8 Januari 2014 (semalam), Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan mengharamkan suatu gabungan NGO yang dinamai Comango. Pada pandangan saya, pengharaman tersebut tidak akan sekali-kali mematikan apa yang diperjuangkan selama ini oleh pertubuhan-pertubuhan yang bergabung di bawah nama Comango tersebut.

Apatah lagi alasan tunggal pengharaman Comango ialah selain Comango itu tidak berdaftar, terdapat pertubuhan-pertubuhan yang bersama Comango tersebut turut tidak berdaftar. Dengan mengemukakan alasan dangkal ini, ia jelas bertentangan dengan mod keputusan perundangan mutakhir ini yang berpaksikan kepada pelbagai dokumen-dokumen antarabangsa dan domestik.

Saya tegaskan bahawa pandangan Comango dan gabungan pertubuhan yang bersamanya adalah satu isu yang khusus. Peka kepada apa yang dibawa oleh Comango bukan bermakna kita bersetuju sepenuhnya dengan mereka. Yang ingin saya nyatakan di sini adalah cara atau kaedah kerajaan atau KDN mendepani isu-isu kritikal yang kian melata.

Selain pelbagai hak rakyat kian dijelmakan melalui Perlembagaan Persekutuan, apakah KDN alpa tentang pelbagai gerakan masyarakat sivil hari ini yang tidak mungkin dimatikan dengan sekadar menghisytiharkan ianya haram? Yang disebut sebagai (civil society organisation, CSO) kian popular dan menjadi wadah terkini masyarakat dewasa ini.

Jika pun KDN tidak bersetuju dengan apa yang dibawa oleh Comango, pengharaman yang dilakukan sekali-kali tidak akan mematikan kewujudan Comango. Kesimpulan yang boleh saya katakan, pengharaman Comango adalah suatu kesilapan dalam bertindak.

Dalam mendepani isu-isu seperti Comango, kerajaan atau KDN perlu pelbagaikan kaedah  dan tidak hanya bergantung kepada kaedah pengharaman semata-mata. Perlaksanaan undang-undang yang keras tidak akan menyelesaikan pertikaian bahkan ia akan mencambahkan lagi tentangan terhadap pendirian kerajaan.

Apakah isu sebenar yang dibawa oleh Comango baru-baru ini? Yang jelas, masyarakat terlalu dimomokkan bahawa gabungan Comango bersifat menentang Islam, dan melaungkan amalan seks bebas termasuk gay dan lesbian yang dikenali dengan kumpulan LGBT.

Yang paling jelas, siri tuntutan yang dikemukakan oleh gabungan Comango adalah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan dibuat atas dasar suka-suka tanpa nas perundangan yang sahih, termasuklah hak berkaitan agama itu sendiri.

Dalam isu agama dan Islam misalnya, jikapun mereka menuntut kebebasan beragama termasuklah hak orang Islam bertukar agama, satu persoalan yang perlu saya dan sekalian muslim bertanya, sejauhmanakah kita mempamerkan sucinya Islam dalam memelihara aqidah penganutnya?

Hanya Islam yang meletakkan suatu halangan mutlak kepada penganutnya untuk tidak meninggalkan Islam. Namun apakah usaha-usaha yang cukup proaktif telah kerajaan lakukan bagi memelihara kesucian Islam dari noda-noda murtad di Negara ini?

Demikian juga kedudukan Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan agama yang menjadi ukuran dalam perundangan hari ini adalah turut dipengaruhi oleh sifat Islam sebagai agama persekutuan itu sendiri. Di manakah usaha proaktif kerajaan bagi menonjolkan Islam itu bukan sekadar dogma agama sepertimana agama lain? Masyarakat umum termasuklah mereka yang berada dalam kelompok intelek begitu jarang ditampilkan bahawa Islam itu suatu cara hidup dan bukan sekadar agama peribadatan.

Bila keadaan ini berlaku, Islam dilihat sama seperti agama-agama lain iaitu suatu dogma spiritual atau kerohanian semata-mata tanpa ada nilai-nilai kehidupan yang menyeluruh. Usah diberi alasan betapa kita mempunyai jabatan khusus bagi memelihara Islam dan adanya pelbagai sistem perbankan dan kewangan Islam.

Begitu juga dalam hal pertikaian penjagaan anak apabila salah seorang pasangan memeluk Islam. Dalam suasana langit terbuka hari ini, masyarakat terutamanya bukan Islam mencari-cari di manakah nilai keadilan Islam apabila kes sebegini berlaku.

Sekali lagi kerajaan melalui sistem perundangan yang ada gagal member ruang kepada masyarakat bukan Islam melihat nilai keadilan Islam untuk mereka. Kedudukan mahkamah syariah yang tidak terbuka untuk bukan Islam misalnya menambahkan lagi sempitnya Islam kepada bukan Islam.

Begitu pula halnya dengan isu jantina yang kita sebut sebagai kumpulan LGBT. Pernah saya menulis dalam salah satu ruang dalam Harakah betapa kumpulan LGBT ini berhadapan dengan suatu krisis biologi yang sukar. Saya lontarkan suatu pertanyaan untuk sama-sama kita renungkan, siapa yang pernah peduli tentang mereka?

Sekali-kali bukan hasrat saya untuk membenarkan setiap apa yang mereka lakukan. Namun kecuaian umat Islam terhadap saudara-saudara kita terutamanya yang berada dalam perangkap psikologi dan biologi ini telah menjadikan mereka mencari tempat untuk bergantung dan mengadu hal. Harus kita berhati-hati bahawa isu LGBT bukan hanya berkisar hubungan seks sejenis atau seks rambang. Ia lebih kompleks dari apa yang diwara-warakan kepada masyarakat.

Justeru, apabila KDN menunjukkan ketegasan dengan mengisytiharkan Comango sebagai haram, suatu kebimbangan yang bermain di fikiran saya adalah sejauhmanakah kesediaan kita sebenarnya mendepani isu-isu yang dibawa oleh gabungan ini. Isu berkaitan Islam, murtad, dan LGBT adalah sebahagian kecil sahaja yang dibawa oleh Comango.

Lebih dari itu, Comango mengemukakan pelbagai isu rakyat yang selama ini hanya dilihat sebagai terpencil dan terpisah. Pertikaian agihan kekayaan Negara, kelangsungan sistem keadilan dalam negara dan pencabulan berterusan terhadap hak-hak asasi rakyat adalah antara sekian banyak isu-isu yang turut dikemukakan tetapi dipadamkan begitu saja daripada diberi perhatian oleh masyarakat umum.

Yang jelas, tanggungjawab memelihara kesucian Islam bukan hanya keupayaan kita mengisytiharkan sesuatu itu halal atau haram. Jauh dari itu ialah keupayaan kita melaksanakan nilai-nilai Islam yang selama ini jauh dari perhatian kerajaan yang ada. Begitu juga dengan pelbagai isu rakyat. dengan gaya hidup yang cukup eksklusif yang ditonjolkan oleh pimpinan negara, adakah kita sebenarnya membuat setiap keputusan agihan kekayaan atas dasar tanggungjawab atau pun sekadar belian untuk memperkukuhkan kuasa yang ada?
Saya terbaca berita yang mengatakan bahawa DAP mencadangkan supaya cukai daripada hasil judi diletakkan dalam akaun khas bagi melindungi kepentingan umat Islam serta memberi manfaat kepada penganut bukan Islam.

Syor ini telah lama dibuat oleh PAS namun tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh kerajaan Umno-BN. Kini, bukan sahaja PAS, malah DAP juga mencadangkan perkara yang sama – setelah memahami asas syariat Islam.

Anthony Loke, yang juga ahli parlimen Seremban menyatakan bahawa, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang diterima pada Oktober tahun lalu mendedahkan kutipan cukai pertaruhan sejak 2008 hingga 2012 berjumlah RM6.29 bilion.

Bagi saya pendedahan dan cadangan Anthony itu sepatutnya membuatkan Umno-BN berasa malu. Apatah lagi Umno-BN dengan lantangnya menonjokan diri sebagai juara pembela Islam di Malaysia. Ke mana perginya penasihat agama dalam Umno-BN? Takkan lah tunggu sehingga DAP mengajar tentang Islam kepada Umno-BN!
Pilihan Raya Umum ke-13 belum sampai setahun berlalu. Datuk Seri Najib Razak mendapat mandat sendiri buat pertama kalinya dengan undi popular lebih rendah berbanding Pakatan Rakyat. Beliau hanya mempertahankan kerajaannya melalui jumlah kerusi yang kurang daripada 2/3 majoriti. Secara umumnya Melayu luar bandar dan pengundi luar bandar di Malaysia Timur yang mempertahankan Umno-BN pada kali ini.

Ketika menghadapi PRU13 yang lalu, pelbagai janji diberikan kepada pengundi dan pengundi Melayu khususnya bahawa nasib mereka akan terus terbela jika memilih Umno-BN sekali lagi memerintah negara. Bagi sebahagian orang Melayu, pesona janji itu menyebabkan mereka terus mengundi Umno-BN, walaupun telah diberi nasihat oleh Pakatan Rakyat tetang bahana yang bakal menimpa.

Kini, sebelum memasuki tahun baru 2014 lagi, segala telahan PR terbukti. Bermula dengan kenaikan harga minyak akibat pengurangan subsidi, kenaikan tarif elektrik, gula, dan seterusnya kenaikan pelbagai barangan keperluan harian – kesan berangkai – kos sara hidup meningkat mendadak. Itu belum lagi di kira kesan cukai barangan dan perkhidmatan, kenaikan tol dan sebagainya. Juga janji menurunkan harga kereta yang masih jauh dari jangkauan.

Yang jelas, segala janji manis sebelum pilihan raya menjadi masam dan pahit. Kesannya bukan sahaja kepada pengundi PR, malah pengundi Umno-BN juga terpaksa menanggung beban yang sama.

Sekali lagi Umno-BN mengkhianati pengundinya dan orang Melayu dengan segala kenaikan ini dan mencipta pelbagai alasan untuk mewajarkan tindakan. Jika anda rajin membuka lembaran sejarah silam, mungkin ada lagi pengkhianatan yang pernah dilakukan.

Namun, tiada apa yang perlu diperkatakan khususnya oleh pengundi Umno-BN sebab “nasi dah menjadi bubur”. Ingatan demi ingatan telah dilontarkan, nasihat demi nasihat telah diberikan. Pilihan telah dibuat. Rakyat terpaksa mengharungi lima tahun akan datang dengan segala kepayahan. Semoga bersabar dengan “ketentuan Allah” ini.
Kontroversi yang menyelubungi isu bersalin di rumah perlu dipandang serius serta ditangani dalam ruang lingkup yang berhemah dan bijaksana. Allah SWT yang Maha Penyayang lagi Bijaksana memuliakan wanita dengan tugas yang hebat iaitu melahirkan zuriat hambaNya ke muka bumi. Jika suatu masa dahulu, kelahiran di rumah adalah suatu kebiasaan; namun perkembangan peradaban membolehkan manusia lebih memahami proses di sebalik kandungan dan kelahiran serta mengenal pasti tanda serta rawatan bagi keadaan yang boleh membahayakan nyawa, untuk itu diwujudkan rumah bersalin serta hospital. Dewasa kini, dengan menggunakan hujah dan alasan yang pelbagai, muncul semacam gelombang kesedaran untuk wanita kembali bersalin di rumah.  

Pada dasarnya, setiap ibu yang mengandung sewajarnya mempunyai hak untuk membuat keputusan mengenai diri dan kandungannya dengan berdasarkan kepada kefahaman yang sahih. Pada masa yang sama, pengamal perubatan adalah orang yang paling sesuai dipertanggungjawabkan untuk membentuk kefahaman tersebut. Oleh itu, setiap ibu bertanggungjawab untuk mendapatkan nasihat daripada pengamal perubatan yang berhak untuk menentukan di manakah sempadannya apabila tiba masa untuk membuat keputusan. Firman Allah SWT, “Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43). Hadith Rasulullah SAW, “Jika setiap urusan telah diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kedatangan Hari Kiamat tersebut." [HR: Al-Bukhari 59, 6496; dari Abu Hurairah].

Namun demikian, zaman teknologi hari ini dimana dunia umpama sebuah kampung, semua pihak haruslah berwaspada apabila bersuara, khuatir isu ini menjadi sebahagian daripada himpunan polemik masyarakat yang tidak berkesudahan dengan suatu penyelesaian yang jelas apatah lagi konkrit. Sewajarnya kita berusaha untuk meningkatkan taqwa kepada Allah SWT dan berfikir sedalamnya sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. Perkara paling ditakuti dalam menghadapai isu sebegini adalah ia menimbulkan reaksi yang menjadi barah fitnah kepada kesucian Islam dan ketamadunan ilmu, serta lebih mendukacitakan apabila yang menjadi mangsanya adalah wanita dan zuriat manusia seluruhnya.

Perlu disedari, kebanyakan negara membangun terlibat dalam usaha Millenium Developmental Goal oleh Pertubuhan Bangsa Besatu di mana pengurangan kadar kematian ibu dan kanak-kanak adalah pengukur utama kemantapan sistem kesihatan sesebuah negara. Setakat ini, lebih-lebih lagi kebelakangan ini, negara kita masih belum berjaya untuk mencapai sasaran yang ditetapkan. Malah, dengan kes kematian yang berlaku baru-baru ini, kita wajar untuk kembali menilai di manakah silapnya serta apakah ruang dan peluang untuk mencari penyelesaiannya.

Walaupun dunia Islam hari ini dan masa lampau tidak pernah tandus dengan budaya keilmuan yang unggul, namun merujuk kepada isu bersalin di rumah, kita perlu insaf kerana belum banyak yang dapat dinukilkan daripada khazanah ilmuan Islam. Oleh itu, dengan semangat untuk mencari hikmah yang hilang, tulisan ini cuba untuk mengulas dengan rujukan dari sistem kesihatan di negara maju. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan bahawa wanita boleh memilih untuk bersalin di rumah seandainya kandungan tersebut telah ditentukan oleh pengamal perubatan sebagai berisiko rendah, mendapat penjagaan kandungan yang sewajarnya serta wujud pelan kecemasan untuk memindahkan pesakit ke pusat rawatan yang lengkap, jika masalah timbul. American College of Obstetrician and Gynaecologist (ACOG) pula menyatakan bahawa hospital dan pusat bersalin adalah paling selamat namun menghormati hak wanita untuk membuat keputusan, setelah memahami penilaian oleh pengamal perubatan. Manakala, American College of Nurse Midwives dan American Public Health Association telah menggariskan polisi bersalin di luar hospital kepada ibu-ibu yang memenuhi kriteria tertentu.

Belanda adalah negara yang mempunyai kadar kelahiran terancang di rumah yang tertinggi di kalangan negara maju iaitu pada anggaran 30% daripada jumlah kelahiran,  walaupun mencatatkan penurunan sebanyak 35% berbanding sedekad yang lalu. Antara ciri-ciri yang membolehkan ibu mengandung berisiko rendah di Belanda merancang untuk bersalin di rumah adalah:

1. Kewujudan bidan terlatih yang berupaya untuk mengenal pasti dan merawat komplikasi semasa bersalin di rumah, serta tahu bila untuk merujuk pesakit ke hospital. Bidan juga terlibat dengan penjagaan kesihatan sejak awal kandungan lagi.

2. Wujud konsensus di kalangan profession pengamal perubatan dari pelbagai bidang mengenai kes-kes yang dikategorikan sebagai berisiko rendah serta kes yang memerlukan rujukan kepada pakar perubatan sepanjang kandungan dan kelahiran

3. Pemindahan ke hospital untuk rawatan kecemasan adalah cepat di mana, 85% daripada kes yang memerlukan rujukan ke hospital, sampai dalam tempoh kurang setengah jam.

4. Sewaktu di rumah, suhu badan, nadi, tekanan darah dan jantung anak dalam kandungan diawasi dan direkod dengan lengkap. Kelengkapan bersalin yang bersih dan nyahkuman digunakan.

Hasilnya, kajian di negara maju menunjukkan kadar kematian ibu dan bayi adalah sama bagi kelahiran secara terancang di rumah mahupun di hospital; kecuali terdapat peningkatan kadar kematian bagi bayi yang dilahirkan di rumah, setelah berumur sekitar 2 hingga 4 minggu. Ini bermakna, walaupun ibu yang bersalin di rumah adalah daripada kategori berisiko rendah, namun kadar kematian adalah sama dengan ibu yang bersalin di hospital yang mengendalikan kelahiran berisiko tinggi. Kajian juga menunjukkan, seperti yang diharapkan, bagi ibu berisiko rendah yang merancang untuk bersalin di rumah, kadar pembedahan dan kecederaan pada kemaluan adalah rendah.  

Justeru, kita mengakui bahawa sememangnya wanita mempunyai hak untuk merancang namun beban kebertanggungjawaban dan amanah amat perlu dititikberatkan. Wanita bertanggungjawab untuk memastikan pilihan yang dibuat adalah didasarkan kepada sebab yang munasabah. Wanita juga harus sedar secara amnya, sistem kesihatan di Malaysia belum bersedia untuk semua ini. Masih banyak ruang dan lompang yang perlu diisi oleh kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia. Dengan daya kepimpinan yang lemah dan kurangnya keazaman politik oleh Barisan Nasional terhadap isu-isu kesihatan, barangkali wanita terpaksa menunggu sehingga pilihan raya akan datang sebelum boleh menyimpan cita-cita untuk bersalin di rumah dengan selamat. Kita meyakini bahawa Allah SWT menjadikan pada wanita semangat dan jati diri yang kuat untuk menggalas amanah yang mulia ini, sebagai ibu mahupun pengundi. Bersama, kita fahami dan laksanakan hak dan tanggungjawab kita! 
Nampaknya, memvonis bughah dan pemberontak terhadap orang  awam sudah menjadi trend pula sekarang. Kalau di Mesir kita melihat Mufti Mesir Dr Ali Jum’ah mengeluarkan fatwa halal darah mereka yang menentang kerajaan kudeta. Berdalilkan ‘El-Syar’iyyah’ (legitimasi) sudah berpindah kepada kerajaan yang dipaksakan kepada rakyat diketuai oleh Jeneral Abdel Fattah El-Sisi. Dan akhirnya mufti itu digelar ramai orang sebagai Mufti El-‘Askar (Mufti untuk mendukung askar).

Nah, tiba-tiba di Malaysia pasca himpunan aman Turun yang dikelola oleh NGO dan disertai parti-parti politik sewaktu malam tahun baru. Digelar oleh seorang mufti sebagai bughah, atau pemberontak yang boleh dihukum bunuh. Nampak, Identikal sekali!!

Namun menjadi mufti tidaklah menyebabkan semua apa yang dikatakan boleh diikut. Baik orang awam atau kerajaan. Ya, orang awam dan kerajaan boleh memilih untuk mengikut fatwa ‘ulama’ itu atau tidak. Dan penulis memilih tidak mengikutnya!

Budaya mem’bughah’kan orang

Bughah dan tidak bughah. Sudah lama isunya. Budaya membughahkan orang ini selalu menjadi  pilihan orang-orang agama. Dan selalunya, ia adalah demi untuk memenangkan pihak mereka yang diiktikad sebagai 100 persen benar. Dan pendapat serta jalur lain adalah menyimpang dari agama dan syariat Allah ta’ala.

Tidak tahu bagaimana pendalilan dan istinbat tuan mufti itu, kita dihidangkan satu hukum yang berat. Ya, siapa yang membuat perhimpunan aman, dibolehkan pancung!!

Dan satu lagi, pastilah. Anda akan menjadi pemberontak!!

Berhati dalam mengeluarkan fatwa

Di dalam fiqh Islam, bughah adalah sekumpulan atau individu yang keluar dari kepimpinan dengan senjata.

Dalam sejarah beberapa kali kita melihat bahawa bughah di zaman khilafah Islam berbeza sekali dengan terma yang diberikan kepada orang Malaysia yang berhimpun secara aman yang menuntut hak-hak mereka yang dirogol secara rakus oleh golongan-golongan yang tidak punyai rasa belas dan kasihan terhadap peri permasalahan mereka.

Walaupun, boleh mufti-mufti dan orang-orang agama cuba membuat justifikasi-justifikasi dan membuat qiyas-qiyas untuk menyamakan ‘bughah’ di Dataran Merdeka dengan bughah-bughah yang pernah ada di sepanjang zaman sejarah Islam.

Tetaplah, jiwa dan akal yang sihat tidak boleh menerima penjelasan yang amat berat sebelah, dan pro kepada pihak yang menentang peserta-peserta perhimpunan. Apakah Malaysia  ini sudah menjadi negara komunis, atau paling tidak menjadi Arab Saudi?

Ironinya, Mesir yang lebih tegar sekularnya, pun sekarang ini cuba menjustifikasi fiqh-fiqh dan fatwa-fatwi dari Arab Saudi. Lantas di Malaysia, ‘ulama-ulama’ kita ingin juga tidak ketinggalan mahu menunjukkan mereka juga up-to date dengan apa yang dihadapi oleh ‘ulama-ulama’ Mesir.

Sebagai orang agama, fatwa haruslah dikeluarkan dengan berhati-hati. Jangan sampai ia menjadi garam yang ditabur ke dalam luka. Rakyat yang terluka kemudian diasak dengan provokasi seperti ini akan mendatangkan kemarahan yang bukan kecil! Apa tidak takutkah akan azab Allah kepada mereka yang mengapi-apikan permusuhan? Apa tidak terasakah bibit-bibit kehuru-haraan dari fatwa-fatwa anda?

Negara Malaysia tidak harus mengikut Negara Arab

Negara Malaysia ini memang negara rakyatnya. Bukan negara orang lain. Rakyat yang membinanya, dan meneruskan legasi perjuangan para pejuang kemerdekaannya dari British. Mana sanggup hati ini tiba-tiba ada usaha ingin merubah negara Malaysia ini menjadi negara lain pula. Bermodelkan Saudi, bermodelkan Mesir atau bermodel Amerika atau Eropah. Atau mungkin mahu berkiblat Cuba dan Iran. Seperti mufti itu yang mahu kerajaan menjadi seperti British-bertindak keras kepada mereka yang tidak bersetuju dengan kuasa orang berbahasa Inggeris itu!

Kelakar sekali jika difikirkan. Negara bukan milik penguasa-penguasa itu, tetapi milik rakyat. Ia bukan milik Sultan, tetapi milik rakyat. Ya, rakyatlah yang membentuknya. Pemimpin hanya mengikut aspirasi rakyat bukan aspirasi keinginan dan nafsu sendiri(hanya kerana mereka dipilih oleh sebahagian rakyat). Tiba-tiba ada yang cuba ingin memilikkan Malaysia ini kepada sang penguasa. Kelakar dan kelakar.

Apa ada udang di sebalik batu, atau ada harta yang takut hilang? Jika kita mengeluarkan fatwa yang benar.

Yang benar itulah. Yang memberikan solusi kepada ketegangan. Merapatkan jurang permusuhan antara rakyat dan pemimpin. Dan dekat dengan hati rakyat bukan dekat kepada hati pemimpin(yang sedari awal kononnya khadam kepada rakyat!).

Yang benar itulah. Yang membuat rakyat dapat menarik nafas lega. Dan sang kapitalis-pengaut untung besar menjadi kelemasan. Yang membuat rakyat aman dan harmoni- dapat hidup dalam suasana selamat dan persekitaran berakhlak dan bermoral!

Tuan Mufti Perak, insaf dan muhasabahlah!

Saat ini, sewaktu melihat ulah dan fe’el agamawan Malaysia. Tidak hairanlah. Ramai yang senang hendak murtad menjadi ateis atau masuk ke dalam agama lain. Kerana fatwa pelik dan berat sebelah boleh menjadi antara sebabnya. Begitulah kira-kiranya.

Betapa asing agama yang tuan mufti tawarkan. Membuat jiwa tak tenteram lagi dengan agama. Sedang tuan mufti antara orangnya.

Janganlah sampai nanti, tuan mufti digelar orang, Mufti El-Hukumah (Mufti pendukung kerajaan). Atau lebih teruk Mufti El-Zibalah (Mufti sampah)!

Penulis ialah penterjemah buku-buku yang sekarang ini menemani isteri yang sedang belajar dan menjaga anak di Mesir.

 

 

 

 

 

 

 

 

Tiada ulasan: