Rabu, 8 Januari 2014

KEJAHATAN KITA BOLEH DITUTUP DIDUNIA....JIKA ALLAH IZINKAN...KAWAN2 RAPAT TAHU....DENGAN ALLAH TAK BOLEH SOROK WALAUPUN SATU ZARAH...CUMA TERPULANG ALLAH NAK HUKUM DIDUNIA ATAU AKHIRAT....ATAU KEDUA2 SEKALI DIDUNIA DAN DIAKHIRAT...SAMA2 KITA TUNGGU DAN LIHAT

TEMERLOH: Bagi menyemarakkan lagi ‘Temerloh Pusat Ilmu’, Sektetariat Parlimen Temerloh menubuhkan jabatan khas untuk memantau pembangunan dan kebajikan pusat-pusat pengajian Islam persendirian di daerah ini.

Ahli Parlimen Temerloh, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, inisiatif tersebut diambil bagi membantu menyalurkan sumbangan orang ramai kepada pusat-pusat pengajian Islam di sini dalam bentuk kewangan dan juga keperluan lain.

“Kita mengharapkan sumbangan orang ramai untuk diagihkan kepada semua pusat pengajian ataupun kepada yang prihatin boleh menyumbang terus ke pihak pusat pengajian,” jelasnya ketika melawat Pusat Pengajian Al-Mukmin, semalam.

Katanya, Pusat Pengajian Al-Mukmin dalam proses membangun untuk menampung sekitar 126 pelajar termasuk pelajar yang mengambil program Hafiz Al-Quran.

“Ini kali kedua saya menziarahi Pusat Pengajian Al-Mukmin. Kali pertama sewaktu pusat pengajian ini ditenggelami air separas pinggang sewaktu banjir melanda Temerloh baru-baru ini,” katanya.

Jelasnya, sekarang kerja-kerja pemulihan masih berjalan dan kepada insan budiman yang berhasrat untuk menyumbang bolehlah disalurkan melalui akaun Sek. Ren. Agama Al-Mukmin 06028010009648 Bank Islam Malaysia Berhad.

Menurut Nasrudin, di Temerloh terdapat 12 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Tahfiz Al-Amin  Berhala Gantang, Tahfiz Al-Furqan Paya Pulai, Tahfiz Intelek Sungai Gau, Tahfiz Al-Mukmin, Tahfiz Faqeh, Tahfiz Jergoh, SMA/Tahfiz Chatin,  Pondok Ismailiah Paya Jauh, Pondok Paya Siput Lanchang.

Sementara itu ketika menziarahi Pasti Luqmanul Hakim di Kampung Pangsenam sebelum itu, Nasrudin berkata pusat pendidikan awal itu sedang dalam proses baik pulih bangunan bagi menampung pelajar yang semakin ramai. Angaran kos diperlukan  untuk kerja pemasangan siling, mengecat bangunan dan membaiki tandas ialah sekitar RM2,500 sahaja.

Kepada siapa yang ingin menyumbang boleh salurkan ke Akaun Sekretariat P.088 Parlimen Temerloh MBB: 556057504238. Setiap sumbangan hendaklah dimaklum kepada pihak sekretariat untuk tujuan rekod melalui talian 019-9168182.
KUALA LUMPUR: Mengenakan syarat dan garis panduan untuk membuka cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya membuktikan kerajaan Umno BN lebih mesra pelabur daripada kemaslahatan rakyat.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohd Noor Mohamad berkata, kerajaan Umno BN akan berusaha sedaya untuk memenuhi keperluan pelabur termasuklah membuka Hard Rock Cafe di Putrajaya walaupun rakyat membantah.

"Kita sedia maklum Umno BN memang suka berjanji itu ini, kalau sebelum ini minyak tidak dinaikkan malangnya sebaliknya berlaku.

"Syarat di keluarkan kepada Hard Rock Cafe sebagai meredakan kemarahan rakyat, bermakna memang kerajaan benar-benar mahukan cawangan cafe itu di Putrajaya," katanya ketika dihubungi.

Bagi PAS, katanya pembukaan kelab-kelab dan cafe eksklusif seperti Hard Rock Cafe bukan sahaja tidak boleh dibuka di Putrajaya bahkan ditempat-tempat lain kerana ia boleh mengundang masalah sosial kepada anak muda negara ini.

Beliau percaya syarat yang dikeluarkan itu supaya tidak ada penentangan terbuka oleh rakyat tetapi akhirnya ada usaha untuk membuka cawangan di pusat petadbiran kerajaan itu.

"Sebab itu kerana pentingkan dasar mesra pelabur kerajaan tidak fikir apa yang mudarat kepada rakyat. Mereka akan terus fikir bagaimana mahu mendapatkan dana daripada pelabur, seberapa boleh mereka akan penuhi keperluan pelabur," katanya.

Justeru, beliau mendesak agar rakyat terus membantah penubuhan cawangan Hard Rock Cafe yang akan mencemarkan pusat pentadbiran kerajaan.

Isu pembukaan cawangan Hard Rock Cafe di Putrajaya telah mendapat bantahan rakyat, namun bagi meredakan kemarahan itu hari ini Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberi kenyataan bahawa permohonan cafe terkemuka itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam.

Syarat itu bagi memastikan imej Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara yang mengamalkan sistem pentadbiran Islam terus dipelihara.

Tengku Adnan mengulas kemungkinan pengusaha Hard Rock Cafe membuka cawangan itu di sini berikutan perkongsian Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat mengenai perjumpaan beliau dengan pelabur Hard Rock Cafe di negara ini, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir, dalam laman sosial Facebook.

Aseh bagaimanapun menjelaskan tiada permohonan rasmi dibuat mengenainya, malah Hard Rock International turut menafikan mahu membuka cawangannya di Putrajaya.
KUALA KANGSAR: Seluruh penyokong Pakatan Rakyat, khususnya ahli-ahli PAS dimohon untuk bermunajat dan berdoa bagi perbicaraan petisyen Dewan Undangan Negeri (Dun) Lubuk Merbau yang bermula hari ini.

Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini menegaskan iringan doa dan munajat itu diperlukan bagi memastikan perbicaraan itu akan memihak kepada Pakatan Rakyat.

"Kami mengharapkan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat untuk mengiringi doa agar perbicaraan kelak akan berpihak kepada Pakatan. Ianya secara tidak langsung akan mengubah iklim politik di Perak jika perbicaraan tersebut akan berpihak kepada PR.

"Kami juga yakin perbicaraan tersebut, akan menjadi perhatian ramai oleh kerana BN di Negeri Perak hanya berbekalkan dua kerusi sahaja untuk memerintah kerajaan negeri Perak, " tegas beliau.

Meletakkan keyakinan ke atas persediaan barisan peguam yang terlibat dengan perbicaraan ini, Raja Iskandar berkata segala hujah lengkap berkaitan fakta dan bukti kukuh di bawa peguam diharapkan dapat mempertikaikan kemenangan BN di kerusi tersebut.

Dalam masa yang sama, Raja Iskandar mengharapkan semua jentera Pakatan Rakyat agar bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku hasil daripada perbicaraan tersebut.

Katanya, sokongan moral rakyat amat penting bagi Pakatan Rakyat meneruskan agenda untuk membela rakyat jika diberikan kemenangan sama ada dalam pilihan raya kecil(PRK) jika ianya tidak mustahil boleh berlaku.

Perbicaraan bagi kes itu akan berlangsung bermula hari ini sehingga Jumaat ini.
SHAH ALAM: Kisah pelajar yang membayar yuran sekolah menggunakan wang syiling yang dimuat naik ke facebook turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Cempaka, Iskandar Abdul Samad.

Ekoran pendedahan itu, Iskandar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar negeri Selangor, tampil menghulur bantuan peribadi kepada waris pelajar terbabit.

Menurut Iskandar,  pihaknya sebelum ini pernah menziarahi keluarga berkenaan sebanyak dua kali selain menghulur bantuan sumbangan.

“Mereka juga pernah menerima bantuan seperti Jom Shopping, bantuan Hari Raya dan membeli kasut sekolah, baru-baru ini,” katanya menerusi laman Facebook miliknya.

Selain itu, Iskandar turut memaklumkan perkara itu akan diketengahkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk permohonan bantuan yang sesuai.

Kisah pelajar terbabit, Nurkhatijah Abdullah yang merupakan anak yatim, mendapat perhatian masyarakat apabila kisahnya membayar yuran sekolah menggunakan syiling yang dikumpulnya dimuat naik di facebook.

Beliau yang merupakan pelajar Sekolah Agama Integrasi Ar-Rahmaniah Taman Dagang dilaporkan membayar RM64 kepada pihak sekolah.

Namun, jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk membayar jumlah yuran berkenaan dan atas inisiatif guru, mereka menambah wang untuk melengkapkan jumlah yuran.

Ibu pelajar berkenaan meninggal dunia sejak umurnya sebulan sementara bapa dipenjara kerana masalah dadah, manakala neneknya masih bekerja sebagai pembantu kebersihan dan akan tamat kontrak pada bulan Jun ini sementara datuknya sudah tidak berdaya hanya menerima bantuan PERKESO RM350.

MANCHESTER: PAS Representative Council (PRC) United Kingdom dan Ireland telah menganjurkan ceramah dan sesi dialog di British Muslim Heritage Centre, Manchester, United Kingdom, baru-baru ini.

Dengan membawa tajuk Menuju Malaysia Baru, program ini telah dihadiri oleh lebih daripada 100 hadirin dari seluruh United Kingdom dan Ireland.

Penceramah terdiri daripada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Isi utama ceramah menyentuh mengenai masa hadapan Malaysia yang ingin dilihat dan dibentuk melalui kaca mata PAS.

Program ini juga menjadi platform yang baik bagi rakyat Malaysia di luar negara untuk mengetahui rancangan dan pelan tindakan PAS pasca Pilihanraya Umum ke-13 dan Muktamar Tahunan PAS ke-59.

Tuan Guru dalam ceramah beliau menekankan kepentingan untuk menegakkan syiar Islam dalam mentadbir sesebuah  negara.

Katanya, sesebuah pentadbiran sama ada dalam peringkat keluarga, masyarakat mahupun negara perlulah berasaskan kepada Al-Quran dan As-sunnah.

Tuan Ibrahim pula berkata, perjuangan dan "Malaysia Baru" yang ingin dibentuk dan dilihat oleh PAS adalah sebuah negara yang mendidik pemimpin dan rakyat melalui semua aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik dan pendidikan dengan garis panduan Islam.

Sementara Mustafa juga menegaskan bahawa pentadbiran berdasarkan garis panduan Islam adalah bersifat adil tanpa mengira agama dan bangsa.

Program ini diikuti dengan sesi dialog dengan para hadirin. Antara persoalan yang dikemukakan berkisar mengenai usaha dan tindakan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menarik pengundi di luar bandar serta persoalan mengenai isu ajaran Syiah yang kerapkali dibincangkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Segala persoalan dapat dijawab dengan baik oleh ketiga-tiga penceramah, namun masih banyak persoalan yang tidak berkesempatan untuk diajukan kepada para penceramah kerana kekangan masa.

Program ini seterusnya diakhiri dengan sesi ramah mesra di mana para hadirin dilihat mengambil kesempatan ini untuk berkongsi ilmu dan beramah mesra dengan para pimpinan PAS yang hadir.

Secara keseluruhannya, program ini mendapat reaksi yang sangat positif daripada para hadirin.

Mereka berpendapat bahawa penjelasan secara langsung daripada pemimpin PAS dalam program ini memberi pandangan yang jelas kepada rakyat Malaysia di luar negara terutamanya di United Kingdom dan Ireland mengenai "Malaysia Baru" yang ingin dilihat pada masa hadapan.

Menurut Pengerusi PRC UK Eire, Ir Jupri Bade, pihak PRC berbesar hati dengan sambutan baik yang diterima dan akan berusaha untuk mengadakan program seumpama ini pada masa yang akan datang.
SHAH ALAM: Polis Selangor semalam telah mengambil keterangan Pengarang majalah mingguan Katolik, 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew (gambar) berhubung isu penggunaan kalimah Allah.
  
Peguam Lawrence, Francis Pereira berkata anak guamnya dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 3.30 petang dan selesai merakamkan keterangannya kira-kira pukul 5 petang semalam.
  
"Kami dimaklumkan polis menyiasat perkara ini mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan berhubung kenyataannya kepada wartawan portal berita (The Malaysian Insider.com) Eileen Ng, minggu lalu," kata Pereira ketika dihubungi.
  
Paderi Lawrence dipetik oleh portal berita itu pada 27 Dis lepas sebagai berkata bahawa semua gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka.
  
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Harga barang basah dan kering seperti daging ayam, lembu, cili merah, kacang bendi dan telur ayam di beberapa negeri kebanyakannya mematuhi harga siling yang ditetapkan Lembaga Pemasaran Persekutuan (Fama).
  
Analisis Bernama berdasarkan perangkaan dalam portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menunjukkan pematuhan harga siling yang ditetapkan Fama, walaupun ada segelintir yang meletakkan harga melebihi sedikit daripada harga siling untuk beberapa barangan.
  
Menurut portal itu, di ibu negara harga ayam dijual antara RM6.50 hingga RM7.70 sekilogram berbanding harga siling yang ditetapkan Fama RM7.50 sekilogram.  
  
Portal itu mencatatkan harga daging lembu di ibu negara dijual antara RM26 hingga RM28 sekilogram berbanding harga siling RM26 sekilogram manakala cili merah dijual antara RM6 hingga RM11.90 sekilogram berbanding harga siling RM10 sekilogram.
  
Dalam pada itu kacang bendi dijual antara RM5.50 hingga RM8.90 sekilogram berbanding harga siling RM8 sekilogram manakala telur ayam dijual antara 35 sen hingga 40 sen sebiji berbanding harga siling 39 sen sebiji.

Di Pulau Pinang, harga ayam dijual antara RM6 hingga RM8.50 sekilogram berbanding harga siling RM8 sekilogram manakala daging lembu dijual dengan harga RM26 sekilogram seperti harga siling.
  
Selain itu, cili merah dijual pada harga RM8 hingga RM9 berbanding harga siling RM8.50 manakala kacang bendi dijual pada harga RM5 hingga RM6 sekilogram berbanding harga siling RM6.50 sekilogram dan telur ayam dijual pada harga 30 sen hingga 35 sen sebiji berbanding harga siling 34 sen sebiji.
  
Di Selangor, ayam dijual antara RM6 hingga RM8.50 sekilogram berbanding harga siling RM8 sekilogram, manakala daging lembu dijual pada harga RM26 hingga RM28 sekilogram berbanding harga siling RM26 sekilogram.
  
Menurut portal itu, harga cili merah dijual pada RM8 hingga RM11 sekilogram berbanding harga siling RM10 sekilogram, kacang bendi dijual pada harga RM3 hingga RM8 sekilogram berbanding harga siling RM6 sekilogram dan telur ayam dijual antara 36 sen hingga 43 sen sebiji berbanding harga siling 41 sen sebiji.
  
Di Sabah, ayam dijual pada harga RM8.80 sekilogram berbanding harga siling RM9.60 sekilogram manakala daging lembu dijual pada harga RM18 sekilogram seperti harga siling.

Selain itu, harga cili merah dijual antara RM10 hingga RM12 sekilogram berbanding harga siling RM14 sekilogram, kacang bendi dijual pada RM4.70 hingga RM7 sekilogram berbanding harga siling RM5 sekilogram dan telur ayam dijual antara 36 sen hingga 40 sen sebiji berbanding harga siling 40 sen sebiji.
  
Di Sarawak, ayam dijual dengan harga RM8.50 sekilogram berbanding harga siling RM10 sekilogram, manakala daging lembu dijual pada harga RM35 sekilogram seperti harga siling.
  
Menurut portal itu, harga cili merah dijual antara RM12 hingga RM16 sekilogram berbanding harga siling RM12 sekilogram, manakala kacang bendi dijual antara RM6 hingga RM9.50 sekilogram berbanding harga siling RM9 dan telur ayam dijual antara 34 sen hingga 38 sen sebiji berbanding harga siling 36 sen sebiji. - Bernama
KUALA LUMPUR: “Saya menuduh pentadbiran Abdullah dan Mohd Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat jelata,” tulis Datuk A Kadir Jasin di dalam blognya, semalam.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan NST Bhd itu, ketika rakyat dilanda banjir, Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan yang pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke luar negara.

Mohd Najib pula dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau memansuhkan  dan mengurangkan subsidi secara serentak.

“Apakah salah saya dan sesiapa juga menegur dan mengkritik Mohd Najib dan para penasihat beliau yang bernilai berbilion ringgit itu?” tanya beliau.

Seterusnya beliau bertanya adakah Najib raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?

“Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?” soal Kadir lagi.

Berikut tulisan penuh beliau.

ADA pembahas yang mengherdik saya kerana mengkritik Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, mengenai pengurusan ekonomi tetapi tidak memberi nasihat dan tunjuk ajar.

Saya rasa pembahas berkenaan tidak terbaca "nasihat" saya yang berjela-jela kepada Mohd Najib dan kerajaan melalui blog ini dan dalam tulisan saya di tempat-tempat lain berkaitan pengurusan ekonomi, mata wang, percukaian dan sebagainya.

Kadang-kadang, bila kita membincangkan isu ekonomi, banyak orang tidak peduli atau mudah bosan.  Tetapi kalau kita tidak bincang, mereka kata kita hanya pandai kritik.

Sejak tahun 2006 lagi, apabila kerajaan Abdullah Ahmad Badawi membuat potongan drastik subsidi petroliam sehingga menyebabkan harga minyak dan gas naik mendadak dan dengannya harga barang dan perkhidmatan, saya menulis beberapa buah rencana mengingatkan kerajaan mengenai kesan buruk tindakan itu dan bagaimana mengurangkan beban pengguna.

Pada 28 Februari 2006 saya menyiarkan dalam blog ini rencana bertajuk “Mengatasi Beban Kenaikan Harga Minyak” (kalau berminat baca arkib ini.)

Bukan tugas saya memberi tunjuk ajar terperinci kepada kerajaan mengenai pengurusan ekonomi. Itu tugas kementerian, jabatan, agensi dan para penasihat Perdana Menteri yang sangat ramai, hebat dan tersohor.

Tugas saya adalah memberi maklum balas dan membuat kritikan. Malangnya ada pihak menganggap kritikan sebagai penentangannya. Inilah akibatnya apabila masyarakat tidak berfikiran kritis ditambah pula oleh sikap partisan yang melampau.

Saya berulang kali berkata subsidi tidak lestari (unsustainable), mengherotbenyotkan (distort) ekonomi dan menyebabkan pergantungan terhadap kerajaan.

Tetapi saya mempertikaikan cara kerajaan, khasnya pada zaman Abdullah dan Mohd Najib, menguruskan subsidi, memantau dan mengawal kenaikan harga, mengagihkan penjimatan subsidi dan mengurangkan pembaziran sumber kewangan negara.

Tidak cekap urus kewangan

Saya menuduh pentadbiran Abdullah dan Mohd Najib boros dan cemerkap menguruskan kewangan negara dan tidak sensitif terhadap perasaan rakyat jelata.

Ketika rakyat dilanda banjir, Abdullah sibuk ke Perth, Australia untuk merasmikan pembukaan kedai makan. Beliau pulang sebentar menjenguk mangsa banjir di Johor dan terbang semula ke luar negara.

Mohd Najib pula dua tahun berturut-turut bercuti di luar negara ketika tahun baru dan kali ini, pada saat tahun baru menjanjikan khabar buruk kepada rakyat jelata akibat dasar beliau memansuhkan  dan mengurangkan subsidi secara serentak.

Apakah salah saya dan sesiapa juga menegur dan mengkritik Mohd Najib dan para penasihat beliau yang bernilai berbilion ringgit itu?

Adakah beliau raja berkuasa mutlak yang tidak boleh disentuh barang sedikit pun?

Atau adakah dia keramat hidup yang bebas daripada segala bentuk kesilapan?

Mohd Najib dan kerajaannya wujud kerana rakyat jelata yang memilih mereka. Lagipun bukan rakyat jelata yang berjanji dan berikrar tidak menaikkan harga malah mengurangkannya. Yang berjanji tidak menaikkan harga adalah Mohd Najib dan para perancang Bilik Perang pilihan raya beliau. Sekarang siapa yang mungkir?

Ada masalah lain selain subsidi

Sebenarnya, bukan subsidi dan kenaikan harga saja yang wajar kita bahaskan. Banyak lagi isu yang bercanggah dengan dakwaan yang diuar-uarkan melalui media arus perdana.

Contohnya nilai ringgit yang terus merosot berbanding dengan dolar Amerika dan mata wang utama lain sedangkan ekonomi kita lebih kukuh daripada ekonomi Amerika.

Kenapa defisit belanjawan dan hutang negara semakin meruncing sedangkan kita dilambakkan dengan berita bahawa ekonomi kita mantap, hasil kerajaan meningkat dan pengurusan kewangan berhemah?

Tetapi adakah orang yang mengherdik saya kerana mempertikaikan pengurusan ekonomi Mohd Najib sedar bahawa ada rancangan untuk menjual aset negara bagi mengatasi masalah kewangan kerajaan?

Ini bukan cerita khayalan rekaan saya. Bukan fitnah. Ini adalah kata Bank Dunia yang kita menjadi anggotanya. Saya ambil ringkasan dari “Malaysia Economic Monitor: December 2013” ( muka surat 10) seperti berikut:

“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…”

Ringkasnya Pentadbiran Mohd Najib telah, sedang atau akan menjual harta negara dan mengubah gadaian kerajaan menjadi saham untuk dijual kepada orang ramai bagi menampung defisit belanjawan. Perniagaan "derivatives" macam inilah yang membawa kepada krisis kewangan dunia pada tahun 2008 dan 2009.

Blog ekonomi “Economics Malaysia” dalam rencana bertajuk “Debt, Deficits, and Government Assets” pada 26 Disember 2013, antara lain mengulas:

“Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.”

Pemilik blog itu menambah:

“Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara….” (Baca di sini).

Pendek kata, masalah kita sebenarnya tidak terhad kepada kesan-kesan negatif rasionalisasi subsidi sahaja. Ada banyak isu dan masalah lagi yang membimbangkan. Kita perlu terus bertanya, menegur dan mengkritik.

Tetapi kalau ada orang yang berasa itu salah kerana mereka terlalu sayangkan Perdana Menteri, saya rasa tidak perlulah kita bersusah payah mengadakan pilihan raya untuk memilih kerajaan. Kita hapuskan demokrasi dan lantik saja kerajaan yang ada sekarang  sebagai pemerintah seumur hidup. Habis cerita. Wallahuaklam.
KOTA KINABALU: Komander Taktikal dalam insiden pencerobohan di Kampung Tanduo Datuk Abdul Rashid Harun dimaklumkan bahawa satu serangan berlaku di kampung itu pada 11 Mac tahun lepas, yang meragut dua nyawa anggota keselamatan Malaysia.
  
Maklumat itu disalur menerusi walkie-talkie daripada tiga ketua lima sektor di mana penembak tepat VAT69 ditempatkan.
  
Abdul Rashid, bekas Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerak Khas) Bukit Aman, berkata seorang daripada ketua sektor itu memaklumkan bahawa lokasi mereka diserang dan beliau mendengar bunyi tembakan menerusi walkie-talkie.
  
"Ketika itu kira-kira pukul 10 pagi dan saya dimaklumkan oleh seorang daripada ketua sektor, Superintenden Macha, bahawa berlaku serangan.
  
"Kemudian seorang lagi ketua sektor, DSP Anwar, turut memaklumkan berlaku serangan di tempat beliau dan saya mendengar bunyi tembakan.

"Sejurus kemudian (komunikasi dengan Anwar), saya dimaklumkan oleh ketua sektor ketiga, DSP Rani, bahawa seorang anggota pasukannya terkorban dan selepas itu, saya dimaklumkan seorang lagi maut oleh Superintenden Macha," katanya ketika memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan 30 individu yang didakwa dengan pelbagai pertuduhan berkaitan keganasan di Sabah di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di penjara negeri di sini semalam.
  
Abdul Rashid, yang kini Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di Lahad Datu, juga berkata beliau dimaklumkan bahawa anggota yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabaruddin Daud manakala tiga lagi cedera.
  
Beliau turut dimaklumkan bahawa kumpulan penceroboh itu yang memulakan serangan dan ketika itu, Abdul Rashid berada di Pangkalan Taktikal VAT69 di Felda Sahabat, Lahad Datu.
  
Terdahulu, Abdul Rashid memberitahu mahkamah beliau bertemu seorang daripada  tertuduh iaitu Datu Amirbahar Hushin Kiram dan dua lelaki yang menyertainya dalam lawatan kedua ke Kampung Tanduo pada pagi 16 Feb.
  
Katanya, beliau tidak tahu siapa mereka dan tidak mempersoal tujuan kedua-dua individu pada lawatan itu kerana perhatiannya tertumpu pada tugas untuk menilai kawasan berkenaan apabila tiba di kampung tersebut.

Daripada 30 individu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah antara 12 Feb dan 10 April, 22 termasuk dua rakyat Malaysia, didakwa menganggotai kumpulan pengganas, dan jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara seumur hidup dan denda.
  
Mereka turut berdepan pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.
  
Seorang daripada mereka turut berdepan dua pertuduhan tambahan iaitu merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.
  
Lima individu daripada lapan tertuduh lagi berdepan pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas manakala seorang lagi, iaitu satu-satunya wanita dan merupakan warganegara Malaysia, didakwa melindungi individu yang diketahuinya anggota kumpulan pengganas.
  
Dua lagi berdepan pertuduhan cuba melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Sejumlah 27 tertuduh merupakan warga Filipina manakala bakinya adalah warga tempatan.
  
Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung dibantu pasukan pendakwaan tujuh anggota diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail manakala sejumlah 10 peguam mewakili tertuduh termasuk pasukan pembelaan enam anggota diketuai peguam Datuk N. Sivananthan bagi 28 tertuduh.
  
Perbicaraan bersambung hari ini. - Bernama


PUTRAJAYA: Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (TTPT), Perak yang dikekalkan sebagai pusat tahanan dengan konsep penjara agro akan memberi latihan vokasional kepada penghuni untuk menghasilkan produk pertanian dan penternakan.
  
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamad Khalid berkata TTPT yang lebih dikenali sebagai Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) akan membekal kemahiran dalam bentuk pertanian dalam penanaman sayur-sayuran, penternakan haiwan dan ikan serta perladangan kenaf (penanaman dan pemprosesan).
  
Untuk mempelbagaikan latihan pemulihan diri penghuni dan bentuk kemahiran, beliau berkata penghuni juga didedahkan kemahiran dalam penyelenggaraan dan pengurusan golf di tempat tahanan tersebut yang mempunyai padang golf sembilan lubang dengan keluasan 40 hektar.
  
"Kawasan sesuai turut dikenal pasti untuk diaplikasikan konsep pelancongan agro dan konsep mesej dari penjara (pendidikan pencegahan jenayah).
  
"Konsep lawatan menyertai aktiviti pertanian, pendidikan pencegahan jenayah dan perkhidmatan restoran untuk pelawat dapat diketengahkan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

TTPT yang beroperasi sejak 1 Nov 1973 telah menempatkan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan banduan di bawah kategori Pra Bebas (baki hukuman bawah dua tahun).
  
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan TTPT tidak lagi menempatkan tahanan ISA sejak Ahad akan kekal sebagai pusat tahanan untuk menempatkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan Langkah-langkah Pencegahan Khas.
  
Ahad lepas, enam tahanan terakhir ISA dibebaskan dari pusat itu berikutan pemansuhan ISA yang digantikan dengan SOSMA.
  
Kini terdapat seramai 314 banduan yang masih menghuni di bangunan berkenaan. Mereka yang tinggal di pusat itu boleh membuat kerja-kerja pertanian, ternakan dan bengkel perusahaan.
  
Mohamad Khalid berkata TTPT yang mempunyai keluasan tanah keseluruhan tempat tahanan berjumlah 93.3 hektar yang subur  dan sesuai digunakan bagi aktiviti kemahiran yang melibatkan bidang pertanian dan penternakan.

Beliau berkata perancangan menjadikan TTPT sebagai penjara agro adalah memberi keutamaan memulih, membina semula diri penghuni serta membekalkan mereka dengan kemahiran yang diiktiraf merupakan tumpuan utama yang diberikan penekanan dan bukannya keuntungan semata-mata.
  
"Dengan pelaksanaan cadangan ini dijangkakan seramai 800 banduan yang ditempatkan di sini akan menerima kemahiran yang bersesuaian secara bersijil.
  
"Jabatan Penjara akan mengambil langkah positif dari segi keperluan latihan kepakaran dan peralatan untuk melaksanakan perancangan tersebut," katanya.
  
Berasaskan kapasiti keseluruhan, TTPT masih boleh menempatkan seramai 486 banduan lagi. Penjara ini tidak menerima kemasukan terus banduan dari mahkamah sebalik menerima mereka daripada penjara lain yang dipilih dan dipindahkan.
  
Selain digunakan untuk penempatan banduan yang menjalani kemahiran pertanian dan bengkel perusahan, TTPT  juga digunakan untuk menempatkan sejumlah kecil banduan kes jenayah pecah amanah (CBT) iaitu di bawah pengkategorian penjara yang dilaksanakan.
  
Pengkategorian berkenaan bertujuan untuk penambahbaikan/pengkhususan pemulihan penjara bagi meningkatkan lagi keberkesanan pemulihan yang dilaksana berasaskan kesalahan. - Bernama


[BONGKAR] Isu Jet: Siapa Sebenarnya Yang Menipu, Dr. Asri Atau Blogger UMNO?



Siapa kata Dr.Maza memfitnah? @drmazacom OLEH blogger Aku-Tak-Peduli

Kalau bukan macam dibawah, gambar macam di atas itulah agaknya keadaan dalaman pesawat yang disewa Kerajaan Malaysia dengan belanja ratusan juta RM?
Atau...
Macam kat bawah siap bawa Permata Negara sekali?









 


Tiada ulasan: