Mengapa PAS menentang GST?
- Jan 08, 2014
- TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
أَمَّا السَّفِينَةُ
فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ
أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja dilaut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba”
Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا
الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ
فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ
سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95)
آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ
قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ
عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh (95)
bawalah kepadaKu ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya" (96)
Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar dizaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan diantara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu kenegerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khadir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus, sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
Islam adalah membawa rahmat kepada seluruh manusia. Dalam konsep mengumpul sumber kewangan negarayang dilaksanakan dalam sistem ekonomi diperingkat masyarakat dan negara, nasional dan antara bangsa daninter negara - negara, Islam menentang pengambilan kekayaan secara rakus tanpa mengira batas timbang rasa kemanusiaan.
Dalam hal ini,Islam tetap menggalakkan kemajuan ekonomi sehingga berkemampuan untuk diri dan membantu pihak yang memerlukan bantuan. Islam juga tidak menyekat kekayaan yang diambil dengan cara yang baik dan membelanjakannya juga untuk kebaikan, dengan menetapkan sempadan dan kewajipan, serta menghalang kekayaan negara berpusing dikalangan orang-orang yang kaya dan pihak yang berkuasa. Batas halal dan haram dalam segala aspek, barangan, operasi dan akhlak dalam semua urusan, adalah sempadan dalam kegiatan ekonomi. Sistem ekonomi liberal kapitalis tidak mempunyai roh akhlak, halal – haram ini. Semua ini bertujuanuntuk menjaga kesaksamaannya dan keharmonian dalam kehidupan manusia yang bermasyarakat madani.
Dalam aspek sumber kewangan masyarakat dan negara, maka Islam mewajibkan sumber zakat secara ibadat yang menjadi rukun Islam kepada penganutnya. Para ulama juga mengizinkan percukaian dilaksanakan sekiranya sumber kewangan negara tidak mencukupi dengan konsep yang adil seperti zakat juga.
Zakat diwajibkan keatas penganut Islam sehingga dimasukkan dalam rukun agama dan ibadat yangtidak boleh dibatalkan. Maka zakat tidak boleh dikenakan kepada penganut bukan Islam kerana hak yang berbeza dalam prinsip ibadat dan konsepnya. Adapun cukai dikenakan kepada penganut bukan Islam dan penganut Islam juga dalam konsep bermasyarakat dan bernegara.Sekiranya kewangan negara mendesak maka cukai boleh ditambah; dikurang dan boleh pula dihapuskan sekiranya sudah ada sumber kewangannya mencukupi atau sebab-sebab yang lain.
Zakat terhadap penganut Islam diwajibkan kepada kalangan berkemampuan dan kaya sahaja, dimana kalangan miskin tidak diwajibkan zakat. Maka hukum Islam menetapkan kadar mewajibkannya yang dinamakan nisob. Dimana nisob ini juga dikira kadar lebihan daripada keperluan diri, keluarga dan pengurusan, dengandikecualikandaripada perkiraannya. Mereka yang berpendapatan tidak mencapai nisob dikira miskin atau yang tegarnya dinamakan fakirdan tidak diwajibkan zakat. Pungutan zakat pula mengikut haul (tahunan) atau musim bagi hasil pertanian.
Maka cukai yang dikenakan bagi keperluan negara yang melibatkan rakyat supaya menyumbang, tanpa mengira agama hendaklah berpandukan konsep pungutan zakat dengan mengecualikan kalangan miskin daripada cukai dan juga tidak membebankan lebih daripada kemampuan, serta menghalang bebanan daripada kesannya seperti berlakunya inflasi.
Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. dan Umar bin Abdul Aziz yang banyak memperkenalkan cukai yang dinamakan jizyah,kharaj dan usyur, daripada sumber kegiatan ekonomi, berpandukan kepada konsep yang tidak membebankan rakyat miskin dalam sistem zakat. Maka cukai tidak dikenakan terhadap kalangan rakyat yang pendapatannya tidak mencapai tahap selesa atau kalangan penganggur atau kalangan yang bergantung sumbangan daripada pihak lain seperti paderi dan samiatau yang berkhidmat kepada negara dan masyarakat.
Cukai boleh dihapuskan kerana tidak berkait dengan ibadat, tidakseperti zakat yang diwajibkan dan tidak boleh dibatalkan kepada penganut Islam keranaianya dimasukan dalam perkara ibadat sepanjang masa. Sejarah membuktikan bagaimana cukai lebih rendah kadarnya dibandingkan dengan zakat. Penurunan dan sehingga penghapusan cukai pula berlaku tidak seperti zakat, apabila tujuan daripada pungutannya tidak ada lagi kerana hasil lain yang mencukupi atau pihak berkenaan tidak berfungsi menunaikan tanggungjawab terhadap pembayar. Contohnya Abu ‘Ubaidah (Pemerintah wilayah Syam) membatalkan cukai jizyah yang bertujuan menjaga keselamatan pihak yang membayar daripada kalangan bukan Islam, apabila beliau menghadapi ancaman pihak tentera Rom, sehingga tidak mampu menjaga keamanan pembayar, atau mereka yang terlibat bertugas menjaga keamanan dan keselamatan.Cukai juga dikurang bahkan ditiadakan apabila sumber yang lain telah mencukupi, contohnya Khalifah Umar bin Al Khattab pernah menghapuskan Usyur (cukai perniagaan) yang dikenakan kepada barangan asasi keperluan harian rakyat ditahun kemelesetan ekonomi bagi menurunkan harganya. Adanya kalangan negara Arab yang mempunyai sumber petroleum yang banyak membatalkan beberapa cukai kerana mewarisi kesan pemerintahan Islam.
Khalifah Umar bin Al Khattab dan Umar bin Abdul Aziz adalah contoh yang paling ideal kerana memerintah dizaman paling majmuk, wilayah yang luas dan mencabar. Diantara arahan mereka ialah melarang sekeras-kerasnya mengenakan cukai tanpa kemampuan pembayarnya. Mereka menggalakkan pengurusan yang menambahkan sumber yang ada tanpa membebankan rakyat bahkan mengancam untuk memecat sesiapa sahaja yang menaikkan cukai tanpa berlaku adil dan menujukkan tidak berkemampuan mengendalikan urusan kewangan wilayahnya yang diberi autonomi.
Terkini negara kita sedang menghadapi krisis kewangan walaupun pihak kerajaan sentiasa menafikannya. Maka dilakukan kenaikan cukai yang telah sedia ada dan mengadakan cukai baru. Terakhir pula diperkenalkan GST, cukai terhadap barangan dan perkhidmatan. Alasannya supaya berlaku adil dengan melibatkan semua rakyat tanpa mengira kaya dan miskin menanggung bebanan menampung keperluan negara. Pendekatan ini adalah salah tafsir tehadap prinsip keadilan, konsep dan objektifnya.
Adil mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya, bukannya membebankan kepada semua tanpa mengira tahap kemampuan. Sudah pasti ada kalangan yang miskin yang terbeban dengan terlalu sedikit penambahan cukai daripada barangan keperluan dan menanggung kesan inflasi juga terhadap barangan yang kononnya tidak bercukai atau dalam kawalan. Dalam masa yang sama ada segelintir kalangan yang kaya raya yang tidak bermasalah dalam semua keadaan, mereka inilah yang sepatutnya mengambil tanggungjawab cukai tambahan.
Sepatutnya pihak kerajaan yang diamanahkan melakukan muhasabah diri secara ikhlas, terhadap ketirisan daripada sumber yang telah sedia ada dan membetulkan kesilapan yang berlaku serta berani,tegas dan telus bertindak terhadap penyelewengan, disamping melakukan islah(reformasi) sebelum transformasi. Transfomasi tanpa Islah boleh membawa keadaan yang lebih parah.
Saya tegaskan dalam ucapan bajet, bahawa ketirisan berlaku dengan sebab projek mewah sehingga meninggalkan perkara aulawiyyat (keutamaan) bagi rakyat menyebabkan keborosan dan pembaziran .Masih berlakunya rasuah yang mencacatkan projek yang dirancang dengan baik dan menggagalkannya. Hutang bersama riba yang terpaksa dibayar daripada peruntukan negara dan bencana alam disebabkan kesalahan manusia dan lain- lain. Kebocoran ini menyebabkan defisit yang memerlukan penampungan daripada sumber kewangan tambahan. Semuanya daripada kesalahan kerajaan, bukannya rakyat.
Penyelesaiannya bukan dengan membebankan rakyat yang lemah,dengan menaikkan cukai sedia ada, mengadakan cukai baru dan kenaikan harga barangan daripada kesannya yang tidak terkawal, termasuklah bayaran tol yang sepatutnya diturun dan akhirnya dihapuskantetapi dijadikan kesempatan mengambil duit rakyat tanpa mengira kaya dan miskin.
Penyelesaiannya ialah menyekat ketirisan dan menghapuskannya. Bertindak terhadap sumber dan puncanya dengan berani, ikhlas dan tegas. Menampung kekurangan sementara waktu terhadap mereka yang berkemampuan sahaja dengan menukarkan bayaran rasuah untuk segelitir manusia, digantikan kenaikan cukai untuk semua rakyat. Memayungi rakyat yang lemah supaya tidak menerima tempiasnya dengan langkah yang bijak, saperti kawalan harga barangan keperluan, penurunan dan penghapusan cukai dan subsidi dengan cara yang sistematik daripada sumber kekayaan dan keuntungan pihak tertentu.
Malangnya kerajaan mengambil jalan pintas tanpa peduli rakyat. GST adalah percukaian zalim, kalau zakat dikira nisob nya, adapun GST tanpa nisob mengambil daripada sekecil-kecil barangan dan mencakar paling miskin, sehinggalah paling mahal dan paling kaya, bahkan yang kaya lebih selesa. Kalau zakat mengikut haul (tahun) dan musim, maka GST setiap hari dan saat. Kalau cukai mengikut Islam mengambil iktibar daripada zakat, maka GST mengikut selesa tanpa iktibar. Laksana lebih daripada raja yang merampas kapal yang elok, adapun yang dirosakkan tidak dirampas. Maka jauh sekali daripada menyontohi raja yang adil, Dzulkarnain yang disanjung oleh Al Quran apabila tidak menerima cukai kerana kewangannya surplus, bahkan GST adalah menyontohi raja zalim yang merampas setiap kapal.
PRESIDEN PAS
Pertahan kalimah Allah, judi pertahan juga
- Jan 08, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
Ahli awatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, Kerajaan BN bermati-matian mempertahankan kalimah Allah daripada digunakan orang bukan Islam tetapi dalam masa yang sama menggalakkan perjudian di negara ini.
"Kerajaan pertahankan penggunaan kalimah Allah, nak pertahankan kesucian kalimah Allah tapi dalam masa yang sama pertahankan juga judi.
"Ini sikap yang sangat kontradiks yang ditunjukkan kerajaan," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Baru-baru ini kerajaan meluluskan tambahan permit kepada Syarikat Magnum, Damacai dan Sports Toto.
Ketiga-tiga syarikat perjudian ini akan mengadakan cabutan khas melibatkan 22 hari Selasa sepanjang tahun 2014.
Ini bermaksud terdapat tambahan sebanyak 66 kali cabutan nombor ekor untuk diperjudikan di Semenanjung Malaysia untuk tahun ini sahaja. Untuk Sabah dan Sarawak, jumlah cabutan adalah lebih banyak kerana terdapat 3 lagi syarikat perjudian NFO yang hanya beroperasi di Sabah dan Sarawak.
Menurut Idris lagi, kerajaan seolah-olah sangat bergantung kepada hasil perjudian untuk menampung pendapatan negara.
"Ini merupakan petunjuk bahawa Malaysia merupakan salah satu pusat judi yang hebat seperti Las Vegas.
"Kerajaan seolah-olah menggalakkan rakyat Malaysia termasuk orang Islam sendiri berjudi.
"Pendapatan dari hasil judi ini cukup tinggi tetapi kerajaan perlu fikirkan sensitiviti agama dan ada di kalangan orang bukan Islam sendiri tidak setuju dengan judi termasuk judi bola," katanya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.
Tambah beliau lagi, walaupun kerajaan mengutip pendapatan yang tinggi daripada hasil judi, kerajaan harus bermuhasabah terhadap segala bencana alam yang terjadi.
"Banyak perkara-perkara aneh berlaku di Malaysia akhir-akhir ini. Banjir besar, jenayah meningkat, ini semua mungkin pembalasan dan peringatan dari Allah akibat perbuatan kita," katanya yang juga Pengarah Jabatan Tarbiyah PAS Pusat.
Mengikut satu jawatan Menteri Kewangan di Parlimen, jumlah cukai pertaruhan daripada 6 syarikat operator nombor ramalan bagi tahun 2008 hingga 2012 ialah sejumlah RM6.3 billion.
Pekerja asing; patutlah ramai menganggur
- Jan 08, 2014
- HAMBALI AKRAM
Namun, sesuatu yang menarik perhatian saya ialah salah satu punca ramai rakyat tempat kurang bekerja di restoran makan segera ialah kerana faktor gaji yang rendah. Berbanding pekerja asing, jumlah gaji tersebut secara relatifnya tinggi berbanding nilai wang di negara asal mereka.
Bukan setakat di restoran makanan segera, malah dalam sektor lain pun, ramai pekerja asing yang menerima gaji yang rendah. Majikan pula, tentulah mereka mahu meminimunkan kos gaji pekerja supaya keuntungan dapat digandakan.
Persaingan dari sudut ini menyebabkan rakyat tempatan semakin sukar mendapat pekerjaan. Ramai yang menganggur bukanlah semata-mata atas faktor memilih kerja atau tidak mahir berbahasa Inggeris – berkait juga dengan faktor majikan yang lebih suka memilih pekerja asing.
Bagi seorang pekerja asing, menerima gaji RM600 sebulan sudah cukup baik. Dengan jumlah tersebut mereka boleh menanggung makan-makan minum di negara ini dan sedikit untuk dihantar ke negara asal mereka.
Saya pernah berbual dengan seorang tukang gunting dari India. Dia mengatakan bahawa RM100 mempunyai nilai RM1,000 di tempat asalnya! Jadi setiap bulan, jika dia dapat mengirim RM100, nilainya sudah cukup mewah. Namun jika pekerja tempatan mengirim wang RM100 sebulan ke kampung, apakah yang dapat dibeli dengan nilai tersebut?
Oleh itu, saya berpandangan, kerajaan bukan sahaja perlu menyekat pengambilan pekerja asing ini malah turut perlu mengambil kira gaji yang ditawarkan setara dengan nilai dan kos sara hidup semasa. Jika tidak, dasar ini tidak ke mana dan pekerja asing terus mendapat tempat di hati majikan.
Sedikit pencerahan terhadap kekeliruan isu 'bughah'
- Jan 08, 2014
- AHMAD FADHLI SHAARI
"Dalam kes Abu Bakar al-Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didukung oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.."
Di sini saya kira Mufti Perak agak keliru di dalam usahanya untuk mewajarkan tindakan memerangi golongan yang disifatkan bughah sekalipun tidak mempunyai kekuatan senjata (syaukah). Wajar diingatkan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq memerangi golongan yang tidak mengeluarkan zakat ialah kerana mereka menganggap zakat itu tidak wajib. Justeru, mereka telah dianggap sebagai murtad kerana menafikan salah satu daripada kewajipan Rukun Islam. Inilah yang dinyatakan oleh Saidina Abu Bakr As-Siddiq RA di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ وَاللَّهِ لَوْ مَنَعُونِي عَنَاقًا كَانُوا يُؤَدُّونَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهَا
yang bermaksud: “Sesungguhnya aku akan (tetap) memerangi orang yang membezakan antara (kewajipan) Solat dan Zakat, kerana sesungguhnya Zakat itu adalah hak harta. Demi Allah! Sekiranya mereka menegah aku (mengambil zakat) sekadar ‘inaq (seekor anak kambing betina) yang pernah mereka tunaikannya pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, nescaya aku akan memerangi mereka disebabkan tegahan itu.” - Al-Bukhari, Muhammad Ibn Isma’il, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, 2: 507, No: 1335 dan 6: 2538, 2657, No: 6526 dan 6855.
Dalam hal ini, Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:
ولا بد مع هذا من الإيمان بجميع ما جاء به الرسول صلى الله عليه وسلم كما جاء في الرواية الأخرى لأبي هريرة.
Maksudnya: “Tidak dapat tidak, bersama (ucapan syahadah) ini mesti beriman dengan semua perkara yang dibawa oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana ia datang dalam riwayat yang lain oleh Abu Hurairah” - An-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Minhaj Fi Syarh Sahih Muslim Ibn Al-Hajjaj, Dar Ihya' At-Turath Al-Arabi, Beirut, Lubnan, 1991, 1: 203.
Ertinya menyatakan zakat tidak wajib ialah murtad. Inilah asas yang diambil oleh Abu Bakar RA sebelum membuat keputusan untuk memerangi golongan yang tidak mengeluarkan zakat yang kemudiannya menjadi ijma para sahabat. Ia tidak ada kaitan dengan persoalan 'syaukah' ataupun 'tidak'. Adakah Harussani ingin menyamakan golongan yang menyertai himpunan TURUN sebagai murtad sehingga wajib diperangi sebagaimana zaman Abu Bakar RA?
Saya harap Harussani lebih banyak melakukan siasatan sebelum membuat pelbagai dakwaan. Dalam hal ini pengalaman Harussani sebagai anggota polis cawangan khas Bukit Aman mungkin boleh membantu.
Penulis ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan.
Siar gambar lama, kuatkan lagi tanggapan kematian Al-Sisi
- Jan 08, 2014
- HARAKAHDAILY
KAHERAH: Tindakan sebuah akhbar pro kudeta Mesir, meyiarkan gambar lama Al-Sisi yang menjadi dalang kepada rampasan kuasa Presiden Dr Mohamed Morsi, menguatkan lagi tanggapan tentang kehilangan bekas jeneral tentera itu.
Dalam satu laporan awal minggu ini, akhbar kudeta menyiarkan gambar kononnya majlis akad nikah anak perempuan Al-Sisi.
Sedangkan gambar asal disiar akhbar Assha`ab iaitu akhbar (gambar atas) pro Morsi menyiarkan gambar tersebut adalah gambar lama perkahwinan anak panglima tentera udara.
Kehilangan Al-Sisi (gambar) sejak bulan Oktober lalu mengundang persoalan, apakah perancangan senyap kudeta ketika ini.
Kelibat Al-Sisi yang tidak lagi tampil di media kudeta menyebabkan tersebar khabar angin kononnya As-Sisi telah mati dibunuh.
Satu lagi berita terbaru turut mengaitkan kehilangan Al-Sisi sebagai mati dibunuh, apabila memaparkan wajah seorang pemuda yang di dakwa sebagai wira yang telah membunuh As-Sisi.
Gambar itu didakwa disiarkan di Facebook Gerakan Mahasiswa Al-Azhar Anti-Kudeta.
Menurut gerakan itu, pemuda yang diangkat sebagai 'wira' tersebut bernama Ahmad Khouli itu berasal dari daerah Helwan.
Beliau dikatakan berjaya menembak dua das di kepala Al-Sisi yang menyebabkan jeneral tentera itu mati di tempat kejadian.
Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat oleh kerajaan kudeta berhubung dakwaan itu.
Ada juga yang menyebut, kudeta sengaja menyembunyikan berita kematian Al-Sisi karena sedang merancang sebuah keadaan bagi menyalahkan Ikhwanul Muslimin sebagai pihak yang bertanggung jawab atas kematian Al-Sisi.
Menurut mereka, jika perancangan itu berhasil, maka ianya memudahkan kerajaan kudeta untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk Morsi yang sedang ditahan dan dibicarakan.
Sebelum ini juga, rangaian berita Sky News pada 28 Disember 2013 memetik kenyataan Pakar Tentera Britain, bahawa mayat Al-Sisi ditempatkan di Kem Tentera di Iskandariah.
Pakar tentera tersebut mendakwa Tentera Mesir menunggu masa yang sesuai untuk meletupkan bangunan dalam kawasan tentera, supaya boleh dizahirkan kematian Al-Sisi sebagai mangsa letupan dan didalangi Ikhwan Muslimin.
Isu ini menjadi bualan rakyat Mesir, kerana mereka melihat sendiri tiada langsung kelibat Al-Sisi selama hampir tiga bulan ini.
Tanah runtuh: Jalan Mahameru dibuka dua lorong
- Jan 08, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Dua daripada tiga lorong Jalan Mahameru - dari arah Parlimen ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) - yang ditutup semalam ekoran runtuhan tebing, dibuka kepada lalu lintas pagi ini.
Menurut jurucakap polis trafik, ekoran daripada pembukaan lorong-lorong itu, keadaan lalu lintas di kawasan berkenaan berjalan lancar.
Semalam, tebing bukit di tepi jalan itu runtuh pada kira-kira pukul 5.20 petang berikutan hujan lebat.
Runtuhan seluas 10x10 meter persegi itu telah menutupi jalan berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk sepanjang lebih 10 kilometer. - Bernama
Mualaf hairan kalimah Allah jadi polemik
- Jan 08, 2014
- HARAKAHDAILY
Penyampai itu yang kini merupakan pensyarah mengenai Islam, yang memeluk agama Islam pada 1995, dan telah menerbitkan memoir beliau bertajuk From MTV to Mecca", semalam menyifatkan isu itu sebagai luar biasa dan orang ramai patut gembira mengenainya.
"Anda tahu 'Allah' ialah nama untuk Tuhan dalam bahasa Arab. Ia digunakan dalam dunia Arab oleh penganut Kristian untuk Tuhan (God)...untuk menggambarkan God (mereka). Jadi kenapa kita perlu merungut mengenainya?" soalnya semasa menjawab soalan daripada audien di Pusat Maklumat Islam (IIC), di sini.
Sambil mengakui beliau masih tidak faham kenapa kalimah Allah menjadi isu kontroversi di Malaysia, tidak sepertimana di negara-negara Islam yang lain dengan kalimah itu digunakan penganut Kristian, beliau percaya isu itu telah dipolitikkan.
Backer berada di sini atas jemputan IIC untuk menyampaikan syarahan mengenai "From MTV to Mecca: How Islam Inspired My Life".
Syarahan itu merupakan satu daripada usaha pusat itu untuk menggalakkan dan menyebarkan kesejagatan Islam, serta meningkatan kefahaman dan penghargaan terhadap Islam dalam kalangan penduduk pelbagai etnik dan agama di Sarawak.
Selain sering dijemput menjadi penceramah dalam acara-cara peringkat antarabangsa, Backer juga baru-baru ini menjadi pengacara program pengembaraan 'Travel Channel'. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan