Isnin, 6 Januari 2014

BILA SALAH DIPERJUANGKAN....YANG PATUT DIPERJUANGKAN TAPI TAK DIPERJUANGKAN....CONTOHNYA HUDUD

KUALA LUMPUR: Sekiranya sejak dari awal masalah kalimah Allah timbul, Najib dan kerajaan menunjukkan ketegasan dan pendirian yang satu dan tidak dipengaruhi oleh faktor untuk mendapat sokongan di Sabah dan Sarawak manakala di Semenanjung pula lebih untuk menonjolkan sebagai pejuang dan pembela kalimah Allah agar tidak kehilangan undi Melayu, masalah ini tidak akan berlarutan sehingga kini, tulis Shahbudin Husin.

Justeru, kepada Umno, khususnya Umno Selangor yang terlihat cuba menjadi hero dalam isu ini, beberapa NGO dan sesiapa saja yang mahu mempertahankan kalimah Allah ini dengan berdemonstrasi di mana-mana padang atau tanah lapang, mereka sepatutnya melakukannya di depan pejabat Perdana Menteri atau Seri Perdana kerana di situlah bersarang punca masalahnya.

“Jika tidak cukup, bolehlah juga berdemonstasi di depan pejabat KDN atau di depan rumah menterinya yang turut mempunyai saham dalam masalah yang berlaku ini,” tulis beliau di dalam blognya.

Baginya, tidak guna melalak,menjerit dan berdemonstasi di tempat-tempat lain atau menuding jari kepada pihak-pihak lain selagi ketegasan, kelemahan dan sikap dua wajah Najib dalam isu ini tidak diperbetulkan terlebih dahulu.
Baca di sini
1. Tahniah buat negeri Johor Darul Takzim yang telah merealisasikan hari Jumaat sebagai hari cuti umum bagi negeri tersebut. Tentu sahaja terlalu banyak kebaikannya kepada ummat Islam. Tanpa menafikan hari-hari lain juga mampu memberi kebaikan kepada ummat Islam, namun tentu sahaja istimewa apabila ummat Islam dibenarkan bercuti pada hari Jumaat.

2. Pasti sahaja ummat Islam dapat fokus kepada usaha menuntut ilmu dan memperbanyak ibadah. Sudahlah hari-hari lain sibuk dan padat dengan pelbagai komitmen terhadap kerjaya dan lainnya. Maka hari Jumaat adalah hari yang sangat sesuai dan terbaik bagi ummat Islam rehat dari segala kesibukan dan menumpukan kepada kebajikan diri dengan mendalami ilmu Islam dan menekuni aktiviti ibadah yang sememangnya digalakkan oleh Nabi s.a.w. agar ianya dilakukan terutama pada hari Jumaat.

2. Sebagai contoh, Nabi saw pernah menyaran aktiviti ibadah berikut pada hari Jumaat. Antaranya:

a} Dari Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma; Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْكَهْفِ فِى يَوْمِ الْجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّورِ مَا بَيْنَ الْجُمُعَتَيْنِ

“Barang siapa yang membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (An-Nasa’i dan Baihaqi; Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini adalah sahih)

b} Dari Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu; Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bercerita mengenai hari Jumaat, kemudian beliau bersabda:

فيه ساعة لا يوافقها عبد مسلم وهو قائم يصلي يسأل الله تعالى شيئا إلا أعطاه إياه

“Di hari Jumaat, ada satu waktu, apabila ada seorang muslim melakukan shalat dan dia memohon sesuatu kepada Allah, pasti Allah tunaikan.”

Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengisyaratkan dengan tangannya untuk menunjukkan bahwa waktu itu hanya sebentar. (Bukhari dan Muslim)

3. Hari Jumaat disifatkan sebagai hari raya bagi ummat Islam. Jika hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha kita bercuti pada setiap tahun, maka hari Jumaat adalah hari raya yang wajar diberi cuti pada setiap minggu.

Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ يَوْمَ الْجُمْعَة يَوْمُ عِيدٍ ، فَلَا تَجْعَلُوا يَوْم عِيدكُمْ يَوْم صِيَامكُمْ , إِلَّا أَنْ تَصُومُوا قَبْله أَوْ بَعْده

“Sesungguhnya, hari Jumaat adalah hari raya. Juateru itu, janganlah kalian jadikan hari raya kalian ini sebagai hari untuk berpuasa, kecuali jika kalian berpuasa sebelum atau sesudah hari Jumaat.” (Ahmad dan Hakim; dinilai sahih oleh Syu’aib Al-Arnauth)

4. Tidak selayaknya ada pihak yang merendahkan kemuliaan dan kelebihan hari Jumaat di sisi ummat Islam. Sementelah dengan niat menghina dan memperlekeh Islam dan ummatnya. Sikap sedemikian sangatlah tidak wajar apatah lagi datang dari seorang yang mengaku Islam. Kelebihan hari Jumaat bukan suatu yang karut. Memberi cuti kepada ummat Islam pada hari tersebut memberi peluang kepada mereka merebut segala kelebihan yang ada. Bayangkan betapa indahnya hidup sebagai hamba Allah swt ini. Setelah sibuk sepanjang minggu memburu kelebihan dunia untuk hidup selesa, maka diperuntukkan sehari dalam seminggu paling tidak, untuk mengejar kelebihan dan memperbanyakkan ibadah.

5. Bermula pagi Jumaat, solat subuh berjamaah membaca surah as-Sajdah, kemudian disudahi dengan kuliah subuh selepas solat. Tanpa perlu tergesa-gesa kerana hari Jumaat adalah hari cuti. Waktu Dhuha, setelah rukuk dan sujud kepada Allah, bersila pula mendengar tazkirah dan kuliah sebelum rehat di waktu qailulah sementara menjelang detik yang afdhal untuk datang awal ke masjid menunggu solat Jumaat. Bila petang bertandang, surah al-Kahfi dibaca berulang kali serta memperbanyakkan selawat dan munajat, suatu yang sudah tentu luput peluangnya pada hari-hari lain yang padat dengan schedule masing-masing. Inilah yang telah diisytiharkan oleh Negeri Kelantan sejak lama dulu oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa Jumaat adalah hari ilmu dan ibadah sementara Sabtu pula adalah hari untuk keluarga. Maka hari-hari lain adalah untuk kerja dan mencari rezeki. Hakikatnya, jika semua dilakukan kerana Allah, segalanya adalah ibadah dan amal yang soleh.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Kewujudan Pas sebagai sebuah Harakah Islamiah dan Siasah mempunyai matlamat yang jelas  seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Pas. Perjuangannya menuntut kepada semua pendokong memahami perjuangan yang dibawa. Pas tidak mahu ahli yang tidak faham erti perjuangan Pas. Pas bukan parti untuk orang menumpang dan berehat di R&R di lebuh raya, setelah hajat ditunai maka ia cabut lari. Ia bukan platform sementara untuk mencari matlamat duniawi tetapi ia adalah jamaah yang mesti mempunyai ahli dan pimpinannya faham erti mereka berintima' dengan perjuangan Pas. Kita tidak mahu ahli yang tidak faham, sebab apa mereka bersama dengan perjuangan Pas. Allah marah jika bersikap demikian. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jangan kamu berpendirian pada perkara yang kamu tidak ketahui".

Pas sebagai jamaah Islam mempunyai malamat untuk  Membentuk Peribadi Muslim. Ini adalah asas yang perlu ada kepada ahli Pas. Menjadi tugas Pas mendidik ahli supaya mempunyai peribadi Muslim yang unggul. Kerana ini adalah asas kepada Gerakan Islam. Mengambil manhaj yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada para sahabat pada peringkat permulaan dakwah baginda di rumah al Arqam bin Abi Arqam. Penekanan kepada kefahaman akidah yang benar, menjadi tunjang kepada manhaj tarbiah. Apa makna perjuangan jika tidak ada kefahaman akidah yang benar. Penilaian amal bermula daripada akidah yang benar.Akidah sebagai penggerak utama dalam segala perkara. Keyakinan untuk menentang kezaliman kerana akidah yang merupa tuntutan agama. Perjuangan tidak boleh berpaksi kepada kebendaan terlebih dahulu. Benda datang kemudian, jika benda yang didahulukan sampai bila kita tidak boleh berjuang. Mana ada sejarah Nabi Muhammad SAW memulakan dakwah dan perjuangan bila kaya. Kekayaan dan kebendaan datang kemudian apabila kemantapan akidah dan keyakinan perjuangan telah dilaksanakan. Ada orang berpandangan biar kaya baru hendak berjuang. Kalau kaya, akidah tidak mantap tetap tidak berjuang juga kerana takut hendak tinggal kekayaan, akhirnya bertemu Allah dalam keadaan tidak berjuang.

Pas mesti memastikan ahlinya mempunyai akhlak dan keperibadian yang tinggi dan unggul. Biarlah ketika ahli Pas berada di mana-mana tempat, kehadiran mereka dirasai dan kehilangan mereka dikenang. Kita mahu ahli Pas ketika berada dengan orang ramai, seolah-olah mereka ialah individu yang berjalan menaiki bukit sedangkan orang lain berada di tanah rata. Ertinya akhlak mereka dikagumi dan diikuti kerana ada kelainan. Ahli Pas ketika bekerja di mana- mana sektor sama ada awam atau swasta mesti menunjukkan profesional mereka sebagai penjawat yang baik. Selesaikan tugas dan amanah dengan baik. Jangan curi tulang. Jangan biarkan fail bertimbun di atas meja, sehingga menjejaskan kepentingan orang ramai yang berurusan dengan kita. Walaupun mereka tidak melilit bendera di kepala, tetapi tingkah laku mereka boleh diperhati dan dinilai oleh orang lain.

Pas kena mendidik ahlinya supaya jangan bersikap adu domba dan menyebarkan fitnah sesama ahli. Mereka jangan berlakon menjadi ahli Pas, tetapi tidak berakhlak sebagai mana tuntutan seorang ahli. Kita sebagai ahli Pas kena awas jika ada yang mengaku ahli Pas, tetapi  mengadu domba di dalam jamaah. Mereka ini kita kena hazar, mungkin ini adalah talibarut yang hendak musnah daripada dalam. Jika ahli Pas yang tulin mereka tidak tergamak berkelakuan demikian rupa.

Pas mesti mendidik ahlinya memelihara aurat dan pergaulan sesama sendiri. Memakai pakaian yang menurut syariat bukan adat adalah asas utama yang mesti diberi keutamaan. Perkara ini tidak perlu tunggu ada negara Islam. Tidak perlu tunggu hukum hudud, kerana ia menjadi tanggungjawab kepada semua ahli walaupun kita tidak ada negara. Pakaian ialah cermin keperibadian seorang, di dalam hati Allah SWT sahaja yang tahu. Kita tidak boleh biarkan ahli Pas melakukan dosa sepanjang ia mendedahkan aurat apabila berhadapan dengan bukan mahramnya. Lebih malang lagi kita telah melakukan dosa kering, kerana membiarkan orang lain turut berdosa kerana memerhati aurat kita. Biarlah pakaian menjadi "lisanul hal" kepada orang ramai untuk medekati perjuangan Pas. Biarlah pakaian menjadi pembeza antara ahli Pas dengan orang lain. Jika pakaian ahli Pas tidak menepati syarak macama mana orang lain mahu mendekati Pas. Mereka akan mendakwa jika perkara mudah seperti ini pun orang Pas gagal laksanakan, macam mana perkara yang lebih besar hendak diharapkan.

Pas mesti mendidik ahlinya bersikap benar di dalam urusan hidup mereka. Jangan sama sekali menipu di dalam muamalat. Mesti jujur di dalam berurusan. Tidak boleh kita membiarkan diri memungkiri janji  dengan orang ramai. Akhlak ini menjadi tinjauan orang ramai kepada kita. Sekiranya perlakuan ini dilakukan ia akan tersebar keburukan aklak ahli Pas kepada orang ramai. Akhirnya, Pas jua yang terpalit. Ingatlah Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Bercakap benar itu akan membawa kepada kebaikan dan bahawasanya kebaikan itu membawa kepada syurga, bahawa seorang itu sentiasa bercakap benar sehingga ditulis di sisi Allah sebagai seorang ang benar, dan bahawa pembohongan itu membawa kepada kecelakaan dan kecelakaan ini membawa ke dalam api neraka, seorang itu sentiasa berbohong, sehingga ditulis di sisi Allah sebagai pembohong".

Pas mesti mendidik ahlinya untuk menjauhkan diri daripada beramal dengan amalan ribawi. Tidak sepatutnya kita sebagai anggota Harakah Islamiah yang membawa cita-cita suci di negara ini terlibat dengan amalan riba. Sekarang tidak boleh menjadi alasan kepada kita untuk mengelak daripada terlibat dengan muamalat riba. Wajib kita berurusan dengan bank yang melaksanakan perbankan Islam dan takaful. Ahli dan pimpinan Pas wajib membeli kereta, motor menggunakan sistem perbankan Islam. Wajib mengambil takaful dalam semua urusan kereta bermotor. InsyaAllah di sana ada keberkatan hidup jika kita mengamalkan muamalat selaras dengan Islam.

Allah telah menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud: "Allah menghapuskan keberkatan riba dan memelihara sedekah".

Amat tidak molek jika sebagai pejuang Islam bergelumang dengan amalan riba. Sebenarnya untuk membentuk peribadi Muslim ahli Pas tidak perlu menunggu adanya negara. Cukuplah perkara ini mesti diamalkan dahulu, sebelum kita mendapat negara. Sebagaimana yang pernah disebut oleh Hasan Hudhaibi pemimpin Ikhwan Muslmin"Tegakkan Islam di dalam diri kamu, sebelum kamu tegakkan Islam di negara kamu".
Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat.


 

 
PADA 2 Januari lalu berlaku satu lagi insiden yang dilihat bakal menajamkan lagi salah faham di antara penganut pelbagai agama di Malaysia apabila sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di bantu oleh anggota polis telah menyerbu pejabat Bible Society of Malaysia (BSM) di Damansara Kim.

Menurut laporan media, di dalam serbuan tersebut JAIS telah merampas  300 naskah ‘Al Kitab’ yang merupakan kitab Injil dalam Bahasa Melayu dan juga ‘Bup Kudus’, kitab Injil dalam Bahasa Iban . Serbuan oleh JAIS ini telah mengundang kemarahan dari kalangan pemimpin agama Kristian dan juga aktivis hak asasi dan pengamal undang-undang di mana JAIS di dakwa telah melanggar hak kebebasan beragama yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan di samping JAIS sendiri bertindak di luar dari bidang kuasa yang ada padanya.

Bagaimanapun JAIS di dalam respon balasnya menegaskan bahawa serbuan tersebut adalah sah di sisi undang-undang dan JAIS mempunyai kuasa untuk berbuat demikian memandangkan serbuan dan rampasan kitab Injil tersebut di buat berdasarkan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 (Enakmen 1 Tahun 1988) (selepas ini dirujuk sebagai “Enakmen” sahaja) oleh kerana kitab Injil yang dirampas tersebut menggunakan kalimah ‘Allah” yang dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut.

Tulisan ringkas ini tidak bermaksud untuk meyemarakkan lagi kemarahan mana-mana pihak. Tetapi tulisan ini akan memberi analisa ringkas secara  objektif dan rasional terhadap undang-undang yang didakwa digunakan oleh JAIS bagi menjustifikasikan tindakannya menyerbu premis milik BSM dan seterusnya merampas kitab-kitab Injil yang disimpan di premis tersebut.

Pertamanya, harus difahami bahawa Enakmen tersebut yang digunakan oleh JAIS adalah suatu enakmen yang telah diperbuat dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sejak tahun 1988 lagi.

Enakmen ini adalah selaras dengan peruntukan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa undang-undang negeri boleh diadakan untuk MENGAWAL atau MENYEKAT pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain di kalangan orang yang menganut agama Islam.

Dalam hal ini, bukan hanya negeri Selangor sahaja yang mempunyai undang-undang seperti ini. Kebanyakan negeri-negeri di Malaysia (kecuali Wilayah Persekutan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak) juga mempunyai undang-undang yang sama yang diluluskan oleh badan perundangan negeri masing-masing.

Sungguhpun demikian kandungan peruntukan  enakmen ini tidaklah sama meskipun mempunyai hasrat dan semangat yang sama iaitu untuk mengawal dan seterusnya menghalang sebarang bentuk penyebaran iktikad agama-agama lain ke atas penganut agama Islam.

Rampasan kitab Injil

Seterusnya, pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan serbuan JAIS ini menghujahkan bahawa JAIS telah bertindak di bidangkuasanya dan dengan itu serbuan dan rampasan kitab Injil yang dibuat adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang (iilegal). Dalam menilai hujah ini dalam konteks peruntukan Enakmen tersebut, terdapat dua perkara yang perlu diteliti, iaitu :

1) Apakah JAIS mempunyai bidangkuasa untuk menguatkuasakan atau menjalankan kuasa-kuasa yang diperuntukkan di dalam Enakmen tersebut?

2) Adakah menerbitkan, memiliki atau menyimpan kitab Injil  yang mengandungi kalimah “Allah” adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut?

Bagi menjawab soalan samada JAIS mempunyai bidangkuasa untuk menjalankan apa-apa kuasa atau tindakan dibawah Enakmen tersebut, kita perlu melihat peruntukan khusus di dalam Enakmen tersebut.

Di dalam Seksyen 12 Enakmen tersebut yang berkaitan dengan kuasa untuk menyiasat dan menangkap, dinyatakan bahawa “Pegawai bertauliah boleh menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu.”

Jelas bahawa Seksyen 12 ini tidak memberikan JAIS atau pegawai-pegawainya kuasa secara automatik menjalankan kuasa siasatan dan tangkapan bagi maksud kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini. Tetapi yang diberikan kuasa ialah “Pegawai Bertauliah”. Isunya sekarang siapakah dia yang dimaksudkan dengan ‘Pegawai Bertauliah’ ini dan siapa pula yang berkuasa melantik “Pegawai Bertauliah” tersebut?

Pegawai Bertauliah

Di dalam Seksyen 2 (Tafsiran) bagi Enakmen tersebut, “Pegawai Bertauliah” ditafsirkan sebagai “pegawai awam yang bertauliah di bawah Seksyen 10 supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini;”.

Seksyen 10 Enakmen pula memperuntukkan “Raja Dalam Mesyuarat boleh secara bertulis mentauliahkan mana-mana pegawai awam supaya menjalankan kuasa-kuasa pegawai bertauliah di bawah Enakmen ini”.

Berdasarkan Seksyen 2  dan Seksyen 10 ini, ‘Pegawai Bertauliah’ yang boleh menjalankan penguatkuasaan Enakmen ini hendaklah dari kalangan pegawai awam dan yang berkuasa membuat perlantikan Pegawai Bertauliah ini ialah Raja atau Sultan bagi negeri Selangor. Harus diingat Istilah ‘pegawai awam’ tidak ditakrifkan di dalam Enakmen ini. Bagaimanapun dengan merujuk kepada Akta Tafsiran 1967 (Akta 388), pegawai awam atau ‘public officer’ ditakrifkan sebagai ‘a person lawfully holding, acting in or exercising the functions of public office”.

Dengan melihat kepada peruntukan Seksyen 2 dan 10 Enakmen ini, apa yang jelas ialah meskipun JAIS adalah sebuah jabatan kerajaan yang termasuk di dalam kategori perkhidmatan awam (public services) sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 132(1)(g) Perlembagaan Persekutuan, namun ianya tidak bermaksud JAIS di atas kapasitinya sebagai sebuah jabatan kerajaan boleh terus dianggap sebagai ‘Pegawai Bertauliah’ yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan tangkapan di bawah Enakmen ini.

Merujuk kepada Seksyen 2 dan 10, perlantikan ‘Pegawai Bertauliah’ di bawah Enakmen ini hendaklah dibuat atas kapasiti peribadi atau jawatan yang disandang dengan syarat orang yang dilantik hendaklah dari kalangan pegawai awam. Ini sebenarnya adalah bertepatan dengan peruntukan Seksyen 96 Akta Tafsiran 1967.

Ini bermakna, dari segi undang-undang kesemua pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS dan anggota polis yang datang menyerbu premis milik BSM di Damansara Kim hendaklah setiap seorang dari mereka memiliki tauliah perlantikan bagi membolehkan mereka menjalankan kuasa-kuasa di bawah Enakmen tersebut.

Sebagaimana yang ditegaskan sebelum ini, menjawat jawatan sebagai pegawai JAIS atau pegawai polis tidak secara automatik membolehkan pegawai JAIS atau anggota polis ini menjalankan serbuan ke atas premis BSM tersebut. Oleh yang demikian, tindakan JAIS hanya boleh dianggap tidak sah dan berlawanan dengan undang-undang sekiranya berjaya dibuktikan pegawai-pegawai JAIS yang terlibat dengan serbuan semalam tidak dilantik dengan sempurna sebagai ‘Pegawai bertauliah” menurut Seksyen 10 Enakmen tersebut.

Hak kebebasan beragama

Berhubung dengan persoalan kedua iaitu adakah memiliki dan menyimpan kitab Injil  yang mengandungi kalimah “Allah” adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen tersebut, Presiden kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST), Jagir Singh di dalam kenyataannya kepada portal The Malaysian Insider (TMI) 3 Januari lalu menyatakan bahawa tindakan serbuan oleh JAIS adalah melanggar hak kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau lagi naskah kitab Injil yang dirampas adalah hanya untuk kegunaan penganut Kristian dan tidak bertujuan untuk digunakan bagi menyebarkan ajaran Kristian kepada penganut agama Islam di Selangor (lihat laporan bertajuk “Selangor Islamic authorities wrong to seize Bibles, say lawyers, non-Muslim Group” bertarikh 4 Januari 2013 di dalam portal The Malaysian Insider).

Dalam hal ini sekali lagi kita harus merujuk kepada peruntukan-peruntukan di dalam Enakmen tersebut untuk melihat apakah peruntukan kesalahan yang berkemungkinan besar digunakan JAIS yang membawa kepada serbuan tersebut.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan JAIS sebelum ini, penulis percaya JAIS menggunakan Seksyen 9 Enakmen tersebut yang memperuntukkan “kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam”. Seksyen 9 menyatakan :

(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia---

    (a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau

    (b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau

    (c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau

    (d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan,

menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam.

(2) Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan suatu kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan.

(3) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit.

(4) Raja dalam Mesyuarat boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual.

Secara ringkasnya, meskipun seseorang itu menerbitkan apa-apa tulisan yang menggunakan mana-mana perkataan yang dilarang di dalam Bahagian I kepada Jadual di dalam Enakmen tersebut bukan dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam, ianya tetap dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum denda seribu ringgit.
Dalam kes serbuan oleh JAIS ini, serbuan dan rampasan ke atas naskah kitab Injil tersebut dibuat kerana di dalam naskah tersebut terdapat perkataan ‘Allah’ yang telah sedia disenaraikan di dalam Jadual I kepada Enakmen tersebut sebagai antara ‘Perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam’. Jadual 1 ini adalah sebahagian dari Enakmen dan kalimah ‘Allah’ ini rupanya telah dilarang untuk digunakan oleh penganut agama bukan Islam sejak dari tahun 1988 lagi.

Berdasarkan kepada fakta di atas, alasan bahawa naskah-naskah kitab Injil tersebut adalah ekslusif kepada penggunaan di kalangan penganut Kristian sahaja untuk upacara ibadat mereka nampaknya tidak boleh menyelamatkan BSM dari penguatkuasaan Enakmen ini. Namun, sekiranya berlaku pendakwaan ke atas BSM atau pemegang-pemegang jawatan di dalamnya kelak, pihak pendakwa harus membuktikan bahawa naskah kitab Injil yang dirampas adalah diterbitkan oleh BSM. Sekadar memiliki atau menyimpan naskah Injil tersebut biarpun dalam kuantiti yang banyak tidak merupakan suatu  kesalahan yang boleh di dakwa di bawah Enakmen tersebut.

Kesimpulan yang boleh dibuat terhadap kedua-dua persoalan pokok yang diajukan di atas untuk melihat samada tindakan JAIS itu bercanggah dengan undang-undang nampaknya tidak boleh ditentukan secara melulu kerana terdapat perkara-perkara yang memerlukan penelitian lanjut. Penulis percaya sekiranya tindakan JAIS ini dicabar di mahkamah atau pendakwaan dijalankan ke atas BSM di bawah Enakmen ini, barulah dapat ditentukan secara tuntas samada tindakan JAIS ini berlanggar dengan undang-undang atau pun tidak.

Hal seterusnya yang juga menarik untuk dilihat ialah mahkamah manakah yang mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes–kes yang didakwa dibawah Enakmen ini.

Memandangkan intipati utama Enakmen ini adalah berkaitan dengan  kesalahan menyebarkan iktikad atau kepercayaan agama lain kepada penganut agama Islam, maka logiknya sudah tentulah kesalahan tersebut dilakukan oleh orang bukan Islam. Dalam hal ini, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa ke atas mereka yang menganut agama Islam sahaja.

Oleh itu, tentulah kesalahan di bawah Enakmen ini adalah di bawah bidangkuasa mahkamah sivil untuk membicarakannya. Tambahan pula terdapat kesalahan-kesalahan di dalam Enakmen ini yang membawa hukuman maksimum melebihi dari had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah. Contohnya, jika seseorang itu disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 4 Enakmen tersebut, dia boleh dijatuhkan hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau keduanya sekali.

luar bidang kuasa

Jika dilihat dari kuantum hukuman yang boleh dijatuhkan dibawah Enakmen ini, adalah jelas ianya diluar bidangkuasa Mahkamah Syariah memandangkan Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan denda maksimum setakat RM5000 sahaja berdasarkan peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965.

Akhir sekali, adalah menarik juga untuk dikaji kes-kes pendakwaan yang pernah dibuat berdasarkan Enakmen ini atau enakmen-enakmen yang seumpanya yang dikuatkuasakan di lain-lain negeri. Setakat kajian yang dibuat, hanya sekali sahaja pendakwaan pernah dibuat berkait dengan kesalahan menyebarkan ajaran agama lain ke atas penganut agama Islam iaitu kes yang berlaku di negeri Pahang pada tahun 2002.

Di dalam kes tersebut iaitu kes Pendakwaraya v. Krishnan a/l Muthu  dimana Orang Kena Tuduh (OKT) telah didakwa dan disabitkan di bawah Seksyen 4(2)(i) Enakmen Kawalan dan Sekatan  Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam Negeri Pahang 1989 kerana telah memujuk dan memaksa seorang wanita beragama Islam untuk memeluk agama Hindu.

Di dalam kes ini, OKT telah djatuhkan hukuman penjara selama 20 hari dan denda sebanyak RM1,500.00 (lihat kertas kerja bertajuk “Undang-Undang Kawalan Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam – Satu Penilaian Selepas 50 Tahun Perlembagaan Persekutuan” yang ditulis oleh Dr Nurhafilah Musa, Pensyarah Fakulti Undang-Undang UKM untuk dibentangkan di dalam Persidangan Tuanku Jaafar pada 2007).

Sesungguhnya, insiden yang berlaku ini akan sekali lagi menguji kematangan rakyat Malaysia dalam menghadapi polemik yang terbit dari perkara yang amat sensitif, iaitu hal yang menyangkut persoalan agama.

Meskipun penulis mengupas dari aspek undang-undang, penulis percaya penyelesaian yang ada bukan hanya melalui kaedah penguatkuasaan undang-undang semata-mata. Yang lebih utama ialah ialah perlunya wujud sesi perundingan dan dialog bagi mengendurkan ketegangan yang terbit dari isu-isu yang sensitif sebegini.

Islam adalah agama rahmat dan tidak memulakan permusuhan terhadap mana-mana agama. Harapnya apa jua tindak tanduk penganutnya adalah juga berpaksikan kepada intipati ajaran Islam itu sendiri.
 ________________________
Penulis ialah graduan undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada masa ini beliau adalah Presiden kepada NGO Persatuan Jaringan Siswazah Malaysia (JASA).
Saya sering ditanya oleh banyak pihak untuk gunakan perkataan IT atau ICT, kenapa PAS menamakan ICT kepada Lajnah  ICT PAS serta mengekalkan nama IT pada Jabatan IT PAS (JITP) dari mereka yang terlibat dalam bidang ini secara langsung atau tidak dalam bidang ini.

Sebelum itu, perkataan IT dan ICT semenangnya saling digunakan dalam industri pengkomputeran dan akdemik. Perkataan IT lebih popular digunakan dalam industri, manakala ICT pula lebih dominan digunakan dalam akademik dan pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti.

Sepanjang ingatan saya, saya telah terlibat dan melalui berbagai-bagai peringkat bermula dengan EDP (Elektronik Data Processing), kemudian MIS (Management Information System), IS (Information System), IT (Information Technology) dan sekarang pula ICT (Information Communication Technology).
 
Sebelum kita ‘pening kepala’ dengan istilah-istilah ICT atau IT, lebih baik kita kembali melihat perkembangan ia digunakan sebelum ini. Cuba kita fokus kepada tiga perkataan disebalik perkataan ICT;

- INFORMATION- COMMUNICATIONS- TECHNOLOGY

Secara asasnya, IT merujuk kepada Teknologi Maklumat (Information Technology). Manakala ICT pula merujuk kepada Information Communication Technology. Keduanya saling berkaitan antara satu sama lain.

Bezanya adalah pada perkataan Communication, bermaksud ada dua, iaitu merujuk kepada Teknologi Maklumat (Information Technology) dan satu lagi Teknologi Komunikasi (Communication Technology).

Perbezaannya adalah pada komunikasi data secara elektronik melalui jarak yang jauh selalunya boleh dibuat secara rangkaian (network) dengan perhubungan peralatan, pendawaian dan satelite.

Teknologi komunikasi (CT) pula terdiri daripada perkakasan telekomunikasi yang digunakan untuk menyalur dan mengakses maklumat untukpenghantaran maklumat dari jarak jauh tanpa mengubah kandungan maklumat tersebut seperti penggunaan  fiber optik, satelit, telegraf dan sebagainya.

Teknologi Maklumat (IT) lebih dirujuk kepada kepada perkara khusus untuk menggambarkan hal-hal persekitaran dalaman teknologi digital melibatkan pemprosesan  data dan pengurusan maklumat yang tiada kena mengena dengan komunikasi seperti computer hardcoding, sofware development, hadware development, scripting dan seumpamanya.

Teknologi Maklumat (IT) ditakrifkan sebagai teknologi yang digunakan untuk mengumpul data dan menganalisis data menjadi maklumat berguna dan bermakna serta untuk menghasilkan maklumat dalam pelbagai bentuk seperti teks, grafik, suara, animasi dan maya.

Saya tidak bercadang untuk membincangkan perkara ini secara akademik, cukup sekadar pembaca dapat memahami  IT dan ICT itu hampir sama tetapi tidak serupa.

Kita biasa guna kedua-dua perkataan ICT atau IT ini dalam konteks hari ini.  Biasanya perkataan ICT lebih dominan digunakan dalam pendidikan tetapi perkataan IT pula lebih popular dalam bidang industri.

Sebagai contoh, terdapat perjawatan seperti Guru ICT, IT Network Manager, IT Manager, IT Specialist, IT Consulatant, IT Security Officer, IT Operator dan sebagainya.

Seseorang yang mengaku “I am an ICT guru” bermakna dia seorang yang tahu bagaimana untuk mencari, menilai dan mengeksploitasi apa yang orang lain dan bina pada peringkat penggunaan.

Sekiranya seseorang itu berkata, “ I’am an IT specialist” bermakna dia seorang yang berpengetahuan tentang fungsi bagaimana web tersebut bekerja dan boleh menulis ‘source code’ dan lain-lain kerja teknikal seperti operasi server dan sebagainya.

Sekiranya ada masa dan peluang, kita akan membincangkan hal berkaitan dengan IT atau ICT dan yang berkaitan dengannya pada masa yang lain dengan isu yang lain pula.

Sebagai kesimpulan, secara ringkasnya, bila sebut tentang ICT, umumnya terbahagi kepada dua kumpulan yang melibatkan perkara berikut;
1.Teknologi Pengkomputeran yang tradisi seperti PC sama ada di rumah atau pejabat.
2.Teknologi komunikasi digital yang cepat dan pesat berkembang yang membolehkan orang dan organisasi berhubung dan berkongsi maklumat secara digital.

Perbahasan ini tidak akan habis dan boleh berlarutandalam masa yang panjang  tetapi saya ingin mengambil pendekatan  berikut;

1.ICT atau Information Comunication Technology dirujuk lebih kepada teknologi komunikasi yang melibatkan aspek sosial kehidupan dalam dunia digital sekarang ini seperti media sosial, web 2.0 dan sebagainya.
2.IT atau Teknologi Maklumat boleh diringkaskan sebagai satu proses pengaliran, penyebaran, pemprosesan dan penyimpanan maklumat menggunakan perantaraan teknologi. Teknologi maklumat tidak terhad kepda internet dan komputer sahaja tetapi ia melibatkan  televisyen, telefon, telefon mudah alih, fax, telegram, PDA dan sistem satelit dalam menyampaikan maklumat kepada penerima.
Dataran Merdeka sebuah nama besar dalam sejarah tanah air. Ia bukan manusia yang boleh berfikir, bernostalgia, gembira, marah dan benci. Ia bukan pemimpin politik yang mengeluarkan pidato yang membakar. Bukan juga seniman yang mengalunkan suara medunya.

Tetapi ia hanya sebidang tanah di tengah jantung Ibu Kota yang digelar Dataran Merdeka, sebuah dataran yang penuh sejarah, menyaksikan jatuh bangun rakyat, di atasnya dikumandangkan perisytiharan kemerdekaan 57 tahun lalu.

Di zaman penjajah British, ia dikenal sebagai padang Kelab Selangor kerana di situ ada kelab tempat golongan elit penjajah British berkumpul, minum-minum ada dan bermain hoki. Namun ada juga segelintir pegawai Melayu yang ‘tumpang semangkuk’ bersantai di kelab itu.

Di depan Dataran Merdeka itu ialah bangunan Sultan Abdul Samad, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Federasi Malaya dinaikkan buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Sejak itu, Dataran Merdeka menjadi tempat perarakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia setiap tahun sejak 1957. Pelbagai acara diadakan di sini. Antaranya ialah Citrawarna dan Larian Merdeka dan pelbagai pesta hiburan.

Namun sejak beberapa tahun lalu Dataran Merdeka telah digegarkan dengan pelbagai himpunan rakyat, antaranya Bersih 2.0 dan Bersih 3.0 dan di sanalah rakyat meluahkan perasaan mereka, menuntut pengisian erti kemerdekaan dan kebebsan. Himpunan itu, yang sangat berwarna warni, terutamanya deklamasi sajak ‘Unggun Bersih’ oleh Sasterawan Negara, A Samad Said yang menyuarakan perjuangan rakyat menuntut demokrasi yang murni.

UNGGUN BERSIH

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.

Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

Ia adalah sebuah sejarah yang mungkin dilihat kecil, tetapi penuh erti. Suara seorang sasterawan ternama yang menuntut kebebasan dan demokrasi, diucapkan di malam yang kudus di Dataran Merdeka pada 9 Julai 2011, disaksikan awan, gugusan bintang di langit biru. Bahkan jam besar di Bangunan Sultan Sulaiman, mercu tanda yang pernah berbunyi di malam kesambutan kemerdekaan tanah air 31 Ogor 1957.

Selepas demonstrasi Bersih yang menuntut pilihan raya bersih itu, berlanjutanlah beberapa siri perhimpunan rakyat di dataran tersebut.

Terkini, pada malam 31 Disember lalu, ketika berada di ambang Tahun Baru 2014, suara rakyat, suara orang muda, tiba-tiba meledak di Dataran Merdeka itu. Apa yang telah terjadi, ada yang bertanya. Ya, rakyat membantah kenaikan harga barangan keperluan harian, puluhan ribu ramainya.
Inilah suara rakyat yang disampaikan melalui himpunan di Dataran Merdeka yang kebanyakannya anak muda, dengan tulus menuntut pemrintah berlaku adil kepada rakyat dan jangan menghimpunkan kekayaan kepada segelintir golongan elit semata-mata. Ini selaras dengan tuntutan Islam supaya pemerintah berlaku adil supaya kemakmuran negara dinikmati bersama.

Malangnya, tiba-tiba Mufti Perak, Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa karut bahawa mereka yang berhimpun itu adalah ‘bughah’, iaitu menderhaka kerana menentang kerajaan, maka itu darah mereka adalah halal.

Adakah perjuangan rakyat menentang kenaikan harga barang yang menyusahkan kehidupan mereka dianggap penderhaka dan halal darah mereka? Adakah Islam yang  mahu kita tonjolkan sama sekali tidak membenarkan kebebasan berhimpun dan bersuara hingga melaksanakan hak tersebut membolehkan negara mengambil nyawa kita?

Inilah reaksi himpunan rakyat di Dataran Merdeka itu di mana seluruh media yang dikuasai Umno/BN memberian gambaran buruk bahawa himpunan itu haram, jahat dan mahu menggulingkan kerajaan. Pada hal rakyat hanya menuntut penurunan harga barang.

Saya kira, jika Dataran Merdeka ini manusia yang boleh berfikir sudah tentu merasakan simpati dengan tangisan rakyat ini. Namun ia hanya sebuah dataran yang bisu bertemankan jam besar di bangunan Sultan Abd Samad, yang sepanjang sejarahnya, telah menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah.

Itulah Dataran Merdeka, sebuah medan penting tempat perisytiharan kemerdekaan tanah air untuk mendapatkan kebebasan bagi rakyat bagi membentuk jalan hidup mereka sendiri. Malangnya, kini, selepas 57 tahun tanah air kita merdeka, kebebasan rakyat untuk bersuara semakin sukar.

Bayangkan jika para pejuang rakyat yang mahu membela rakyat supaya kehidupan mereka tidak tertekan disebabkan kenaikan harga barang telah dianggap penderhaka dan halal darah mereka, maka kita bertanya apa yang telah terjadi kepada negara ini.

Sebelum ini himpunan rakyat di Dataran Merdeka berdepan dengan kawat berduri yang tajam, polis bertopi merah, gas pemedih mata, tetapi kini bentuk tekanan dan ancaman terhadap mereka yang berhimpun di situ ialah dengan mereka dianggap ‘bughah’, penderhaka dan halal darah mereka. Tentunya ini lebih dahsyat.

Selama ini tentu ada yang mengharapkan bahawa selepas merdeka, Dataran Merdeka akan menjadi medan rakyat untuk menyuarakan hak mereka, tetapi harapan mereka itu tidak kesampaian, justeru Dataran Merdeka dilihat hanya untuk program pesta hiburan, sukan dan memperingati ulang tahun kemerdekaan dengan permainan bunga api. Sekali lagi rakyat kecewa.

Di sini saya teringat ucapan A Samad Said di Himpunan Unggun Bersih pada 9 Julai tiga tahun lalu:
“Kita merindukan suara pemerintah yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan pemerintah yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

“Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan taufan.”

Itulah perihal Dataran Merdeka yang tidak merdeka. Namun ia dijangka akan menyaksikan lebih banyak lagi himpunan yang meneriakkan dengan nyaringnya suara rakyat.

Tiada ulasan: