Jumaat, 1 November 2013

HIJRAH YANG BAIK MENINGGALKAN MAKSIAT@BERDOSA....KEPADA TAAT KEPADA ALLAH SWT

Sg Limau: PAS letak minimum majoriti 500 undi

Harakahdaily, 31 Okt 2013

JERAI: PAS menjangkakan mampu menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau yang dijadual 4 November ini dengan meletakkan minimum majoriti 500 undi.

Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berkata sasaran itu mengambil rujukan keputusan yang diperoleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak ketika kali pertama bertanding di Dun itu lima penggal lalu.

Ketika itu katanya, Allahyarham menang sekitar majoriti tersebut dan calon PAS kali ini Ustaz Mohd Azam Abd Samad juga diletakkan kayu aras yang sama.

"Kita jangka majoriti lantai tidak akan kurang daripada 500 undi seperti kali pertama Allahyarham Ustaz Azizan bertanding dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keyakinan semasa PAS terhadap PRK kali ini pada sidang media di Markas Induk PAS di Sungai Limau hari ini.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau yakin dengan kebijaksanaan pengudi di sini yang akan membuat pilihan tepat pada 4 November ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu terlalu yakin kerana tempoh berkempen masih berbaki beberapa hari dan banyak perkara lagi yang harus dilakukan.

Beliau turut ditanya keadaan di mana jentera BN di dakwa telah berjaya masuk ke beberapa kawasan yang dikatakan kubu kuat PAS selama ini.

"Kita tidak terlalu gusar, kita yakin dengan pengundi.

"Kita amal demokrasi, politik damai, dan kita tidak halang pihak lawan nak masuk kempen ke mana sahaja mereka mahu," katanya.

Dun Angkat

Ditanya berhubung cadangan agar Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjadikan Sungai Limau sebagai Dun angkat jika menang, Mahfuz berkata rakyat boleh menilai perkara itu.

"Kalau Datuk Mukhriz ikhlas, tak perlu tunggu menang pilihan raya, sepatutnya dia dah ambil Dun Sungai Limau ini sebagai Dun angkat sewaktu Allahyarham Ustaz Azizan sakit lagi.

"Jadi kenapa baru sekarang, bila ada pilihan raya kecil, baru perkara ini ditimbulkan," soalnya.

Siapa bertanding

Dalam pada itu, Mahfuz turut persoal siapakah sebenarnya calon BN yang bertanding ekoran wujud beberapa kain rentang yang boleh mengelirukan.

Beliau merujuk kepada kain rentang serta poster yang meletakkan gambar Mukhriz dengan tulisan "N20 PRK Sungai Limau" iaitu seolah-olah Menteri Besar itu yang bertanding.

"Biasa kita letak gambar pemimpin lain sebelah calon ke, atau letak undilah BN ke. Ni macam dia yang kadi calon. Ini boleh mengelirukan.

"Saya minta SPR jelaskan adakah perkara ini dibenarkan," katanya.

Zunar terbit animasi “Antutuya”

Harakahdaily, 01 Nov 2013

KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque sekali lagi muncul dengan idea baru apabila mengumumkan pernerbitan animasi “Datuk Nazak & Antutuya”.


“Ketika semua orang sibuk pasal (kontroversi) nama Allah, saya teringat nama ‘ALtantuya’. Kerana itu saya menerbitkan animasi ‘Datuk Nazak & Antutuya’  dalam episod ‘Antutuya bunuh diri’,” katanya ketika menghubungi Harakahdaily.


Animasi 4.28 minit ini, ujarnya bagi mengenang kematian model asal Mongolia yang dibunuh dengan kejam pada bulan ini tujuh tahun lalu.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada animator, kartunis Jonos yang berkerja keras menyiapkan animasi ini,” ujarnya.

Zunar pernah bertugas sebagai kartunis di Harakah pada kemuncak era reformasi tahun 1999.

Siapa nak kena kapak keretanya

http://omakkau.blogspot.com, 31 Okt 2013

SIAPA NAK KENA KAPAK KERETANYA DIPERSILAKAN LETAK KERETANYA DI CAR PARK INI!!!!!


Bunyi sama tapi lain makna .. dimaksudkan Car Park Kereta atau tempat letak kereta tapi ditulis KAPAK KERETA ...

Rosak jahanam punah ranah dibuatnya apabila terlampau ramai warga asing tinggal di negara ini sampaikan kerja dan tugas menulis papan tanda pun diserahkan kepada mereka.

Rakaman gambar yang bakal diputar

http://omakkau.blogspot.com, 31 Okt 2013

Thursday, 31 October 2013

RAKAMAN GAMBAR DAN CERITA YANG BAKAL DIPUTAR OLEH MEDIA ARUS PERDANA.


Hari ini telah berlaku upacara serah menyerah kunci bagi kenderaan rasmi Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Speaker Dewan Undangan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Semua Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Setiap dari mereka menggunakan kereta Toyota Camry 2.5 bagi menggantikan kenderaan yang sudah uzur dan usang.

Apakah nanti akan berlaku putaran berita dan cerita dari media arus perdana milik dan kawalan UMNO kononnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan YAB Sdr Lim Guan Eng tidak patriotik kerana tidak membeli kereta nasional keluaran Proton.

Sg Limau: Pemuda PAS serah memo kepada Agong

Harakahdaily, 31 Okt 2013


JERAI: Dewan Pemuda PAS Kedah hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong berhubung dakwaan penyalahgunaan premis awam dan eksploitasi kakitangan kerajaan untuk kempen BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau.

Penyerahan memorandum itu dibuat ketuanya Mohd Nasir Zakaria di Wisma Darul Aman petang ini.

Kandungan memorandum itu antara lain mahu baginda selaku penaung kepada kakitangan awam, agar campur tangan dengan menasihatkan perdana menteri agar tidak menyalahgunakan premis awam dan tidak mengeksploitasi kakitangan kerajaan untuk kempen BN.

Dalam memorandum itu juga turut dilampirkan bebarapa bukti sokongan termasuk program Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama calon BN yang menggunakan pejabat Mada, Bukit Besar pada 26 Oktober lalu.

Selain itu mereka juga mempersoal program Muhyiddin bersama calon BN di SMK Sungai Limau pada tarikh sama yang turut mengerah guru-guru menghadirinya.

Satu lagi program berlangsung pada 31 Oktober iaitu pertemuan Datuk Shafie Afdal dengan seluruh PIBG sekolah bertempat di Sekolah Kebangsaan Sedaka.

BN juga didakwa telah menggunakan pegawai kebajikan masyarakat sebagai perayu undi mereka menjelang pilihan raya kecil ini.

Sehubungan itu mereka mahu perjalanan pilihan raya kali ini berlangsung adil dengan pihak BN tidak menyalahgunakan premis awam dan kakitangan awam untuk kempen mereka.

Antara 'Berani Hijrah' dan 'Kekal' di Sungai Limau

M Faqih, 31 Okt 2013
SUNGAI Limau menjadi medan Datuk Mukhriz Mahathir “menebus” kekecewaan.

Selepas gagal meraih kedudukan dalam hirerki utama Umno, beliau perlu bangkit di Sungai Limau.

Menteri Besar Kedah itu tidak mungkin membiarkan nasib malangnya berulang lagi.

“Mukhriz dianggap wira setelah berjaya menyingkirkan PAS dan Pakatan Rakyat di Wisma Darul Aman. Mukhriz mahu mara dan melonjat ke atas.

“Sebab itulah beliau mengharap nasibnya lebih baik di Sungai Limau. Beliau sedang all out sekarang. Kegagalan 4 November ini bermakna laluan politiknya semakin berliku,” kata seorang pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu.

Mukhriz muncul selepas Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menebas segala semak dan halangan yang ditinggalkan Datuk Mahathir Khalid.

Akhirnya usaha Bashah disepah madunya oleh Mukhriz. Bekas pengerusi Umno Kedah itu dipindah ke Kuala Lumpur bagi mengelakkan Mukriz diganggu dengan kisah lama.

Di saat-saat akhir menjelang hari mengundi pada pilihan raya umum lalu, Mukhriz diumumkan sebagai calon Menteri Besar Kedah.

Laluan anak Dr Mahathir itu kurang berliku kerana ada kemuncup pula melekat pada stokin pemimpin PAS Kedah. Akibat alpa membuang kemuncup tanpa sedar Wisma Darul Aman sudah dikepung Umno.

Jasa Bashah dilupakan

Bashah terpaksa akur. Umno pusat seperti tidak menghargai keringat dan jasanya sebelum ini. Bagi mengurangkan hangatnya, beliau dianugerah jawatan timbalan menteri.

“Mukhriz sedang berhempas pulas sekarang. Beliau dibantu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyuddin Yassin bagi memecah kubu PAS di Sungai Limau.

“Antara strateginya membawa Muhyuddin ke sekolah-sekolah agama dan pondok sebagai gambaran mudah, kubu pecah sudah pecah,” kata pensyarah terbabit.

Hujah serupa diamati Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff. Kata beliau kehadiran Timbalan Perdana Menteri ke sekolah agama di Sungai Limau sebagai strategi akhir.

Gambaran yang diperlihatkan, kemesraan terjalin antara pemilik pondok dengan Muhyiddin. Ia setidak-tidaknya membuat jentera PAS panas punggung.

Tidak dapat dinafikan ada kesan positif yang cuba mereka raihkan. Golongan atas pagar antara harapan mereka.

“Umno tahu mereka sukar untuk menggugatkan ideologi politik guru-guru pondok, namun mereka mengharap ada umpan bagi menarik pengundi atas pagar,” kata seorang sarjana politik lulusan UKM.

Bagaimanapun Wan Nik memberitahu jentera PAS tidak membiarkan Umno dengan mudah keluar masuk sekolah agama dan pondok.  Ceramah dan majlis penerangan seringkali diadakan di kawasan berkenaan.

Malah kunjungan dari rumah ke rumah Ustaz Mohd Azam Abdul Samad menjadi sentuhan yang lebih berkesan.

Biar pun Umno cuba menghulur salam bersalut janji kepada sekolah-sekolah agama, namun warga pondok tidak membelinya dengan harga murah.

Calon berbeza

“Berdasar kepada pengamatan kasar, nampak calon PAS berada di hadapan berbanding calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim. Ustaz Azam tinggal di Sungai Limau dan sudah lama dikenali penduduk kampung.

“Berbeza Dr Sohaimi sebelum ini tinggal di tempat lain. Tidak ramai penduduk tempatan mengenalinya,” kata seorang penduduk dari Kampung Titi Batu.

Situasi itu tidak jauh berbeza dengan calon BN di Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, beliau juga tinggal di luar Terengganu.

Ustaz Azam sama dengan calon PAS di Kuala Besut, Endot @ Azlan Yusof kerana tinggal di kawasan mengundi.   

Biar pun beberapa faktor dianggap menyebelahi PAS, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat cuba mencari helah. Pengundi yang tinggal di luar kawasan sukar balik mengundi kerana bekerja.

Amalan mengundi pada hari bekerja seperti menjadi “trend” baru SPR. Strategi mengundi hari bekerja di Dun Galas dan Kuala Besut ternyata memberi pulangan kepada Umno.

Dan sekarang teori itu dipraktik pula di Sungai Limau. Di Dun berkenaan kira-kira 2,000 pengundi tinggal di luar kawasan. Mereka mencari rezeki di bandar.

Pengundi yang tinggal di bandar lebih mudah akses terhadap isu semasa.

“Maka pilihan mengundi pada hari bekerja juga dilihat menjadi salah satu cara SPR membantu mengurangkan kehadiran pengundi luar kawasan.

“SPR bukan mahu menyuburkan demokrasi, sebaliknya seperti ada agenda lain,” kata seorang lagi sarjana.

Langkah SPR itu juga disokong kerajaan Kedah. Mukhriz sebelum ini dilaporkan berkata, mengisytiharkan cuti umum di Kedah pada 4 November ini tidak praktikal.

Sedangkan ketika pilihan raya kecil Dun Galas pada November 2010, kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa.

Biar apa pun kepulangan pengundi yang tinggal di luar kawasan cukup penting. 

Faktor kampung nelayan

Gerak kerja kempen Umno lebih terkesan di kampung nelayan. Peti undi Dulang Besar dan Dulang Kechik mudah dikawalnya.

Umpan sara hidup bulanan RM200, subsidi diesel, bot, pukat dan pelbagai lagi bantuan untuk nelayan tentunya mampu menambat jiwa pengundi.

Teori yang diguna pakai di Kuala Besut mengumpan bantuan segera ternyata mengena. Kampung nelayan di Seberang Barat dan Seberang Barat Luar menjadi deposit tetap buat Umno di Kuala Besut.

Begitu juga di Sungai Limau kaedah serupa juga digunakan. Oleh itu PAS dan Pakatan perlu pendekatan berbeza. Sentuhan di jiwa lebih melekat di kalbu.

Biar pun Muhyiddin dan Mukhriz mengharap ada kejutan di Sungai Limau, namun kemelut dalaman Umno di Jerai masih berbekas.

Bekas Ketua Umno Jerai, Datuk Suhaimi Abdullah pernah menyebut “saya dan Dato’ Jamil Khir Baharom tidak ada masalah lagi, kami kembali normal”. Maknanya, ribut rumah tangga Umno Jerai benar-benar berlaku.

Duka Suhaimi bertambah lagi apabila Dr Sohaimi dikatakan kenalan rapat Khir Baharom. Isnin ini masa terbaik Suhaimi dan pengikutnya melakukan sesuatu.

Tanpa ada keberanian hayat politiknya tentunya terperap di kaki Gunung Jerai. Mampukah Suhaimi dan Dr Sohaimi “Berani Hijrah” atau Ustaz Azam “Kekal” di Sungai Limau.

Tiada ulasan: