Khamis, 16 Mei 2013

TAPI KITA KENA BERCAKAP BERDASARKAN KENYATAAN@KEADAAN SEKARANG...SERTA BERDASAR SUMBER QURAN DAN HADIS SEBAGAI ORANG ISLAM...AGAR NAMPAK ISLAM ITU INDAH

Mohd Noor: Apa yang benar, itulah yang saya cakap

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata adalah tidak wajar beliau dilabel sebagai rasis kerana beliau perlu diberi ruang untuk menerangkan sesuatu isu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit, saya hendak terangkan sesuatu menurut Perlembagaan patutnya diberi ruang untuk rakyat mendengar, bukannya ditutup dengan mengatakan saya rasis, Datuk Mohd Noor Klu Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler.

"Janganlah macam itu, bagi ruang untuk saya terangkan apakah parameter di dalam Perlembagaan yang menjamin rakyat hidup dalam aman damai," katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan Bernama TV di saluran 502 Astro.

Rancangan satu jam yang mengupas tajuk 'Memperkasakan Perlembagaan' itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd Noor dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berunsur hasutan berhubung sekolah vernakular pada satu forum bertajuk 'Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah' anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Mohd Noor berkata Perkara 152 menyatakan bahawa Perlembagaan hanya mengiktiraf satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia untuk satu Malaysia dan bagi urusan rasmi.

"Cuma kelonggarannya ialah sesiapa sahaja di negara ini hendak belajar bahasa ibundanya sama ada Bahasa Cina, Bahasa Jepun, Bahasa Tamil belajarlah, tetapi belajar sendiri, jadi Sekolah Cina dan India swasta itu hak yang tidak boleh dihapuskan," katanya.

"(Jika) Sekolah Kebangsaan (SK) untuk orang Melayu, SJKC untuk orang Cina, SJKT untuk orang India, bila masa anak cucu cicit kita belajar dalam kelas yang sama, makan di satu kantin, bila? Tidak ada langsung ruang untuk itu," katanya.

Beliau berkata istilah yang lebih tepat ialah mencorakkan SJK kepada sekolah kerajaan seperti 'Government English School' pada zaman dahulu di mana para pelajar berpeluang mempelajari pelbagai bahasa.

"Di sana nanti kita adakan mata pelajaran Bahasa Inggeris yang wajib dipelajari kerana ia bahasa antarabangsa, Bahasa Malaysia wajib dipelajari kerana ia menjadi bahasa yang menyatu-padukan rakyat Malaysia.

"Selepas itu, kita galakkan pelajar-pelajar kita belajar Bahasa Arab kerana orang Melayu beragama Islam, pada masa sama galakkan semua orang Malaysia belajar Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kerana kedua-dua bahasa ini bahasa ekonomi dunia, bukankah cantik macam itu," katanya.

Mohd Noor berkata sekiranya rakyat Malaysia memahami Perlembagaan, ia akan dapat mengelak daripada berlaku pergeresan sesama masyarakat.

"Malangnya, orang yang tidak faham Perlembagaan, mereka interpret Perlembagaan itu mengikut kepentingan dan hala tuju politik masing-masing, dan yang menanggung akibat buruknya adalah masyarakat yang terikut-ikut," katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Tamil turut menyampaikan pesanan kepada Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dalam Bahasa Tamil bahawa beliau bercakap benar dan hanya menyatakan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan.

"Maksudnya saya bukan orang politik yang bercakap mengenai politik, saya tidak diupah dan tidak bercakap bagi mana-mana pihak, apa yang benar itulah yang saya cakap.

"Tetapi di dalam budaya India kalau saya cakap begitu maknanya ada yang tidak benar, jadi saya tidak cakap yang bohong, apa yang saya kata hari ini kalau ada terkecil hati, saya hanya nyatakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak ada tokok tambah," katanya.

Sementara itu, Zainul berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Noor tidak bersifat rasis dan bukan menghasut atau mencetuskan ketegangan kerana ia berdasarkan kepada Perlembagaan itu sendiri.

"Apa yang dikatakan berdasarkan peruntukan, terpulang kepada penerimaan kita, kalau hendak tapis sesuatu itu berdasarkan tapisan politik, kita akan cari alasan tertentu bagi justifikasikan pandangan parti-parti tertentu.

"Tetapi, kalau tapisan kita berdasarkan tapisan Perlembagaan dan perundangan, saya tidak nampak ia satu masalah besar, apa yang dikatakan Datuk Mohd Noor saya tidak nampak apa-apa perkara pun yang melanggar Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata tiada peruntukan secara spesifik mengenai SJK di dalam Perlembagaan, tetapi di dalam Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, menyatakan bahawa menteri boleh mewujudkan SJK dan SK.

"Apa kata perkasakan SK kita, berikan guru-guru yang terbaik di SK, tingkatkan kemudahannya, sudah pasti ia akan menarik minat bangsa-bangsa selain Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke SK," katanya.

- Bernama
Umcedel: Gagal urus kritikan antara punca PAS Kedah tewas

Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Mohd Redzuan Othman berpendapat PAS gagal mengekalkan pentadbiran di Kedah kerana tidak mampu menguruskan kritikan dan juga prestasi yang ditunjukkan menteri besar negeri itu.

Katanya, perkara ini amat menonjol jika dibandingkan dengan negeri Kelantan, di mana PAS berjaya mengekalkan pentadbiran.

"Untuk menang, anda tidak boleh cuma katakan bahawa kami parti kuat yang telah bekerja keras untuk tempoh yang lama.

"PAS di Kedah bukan seperti PAS di Kelantan. Di Kelantan, di antaralapan orang yang ditinjau, empat akan sokong PAS, tiga BN, tapi kesemua lapan orang akan sokong (bekas MB) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya tidak mahu mengulas terlalu panjang memandangkan (bekas MB Kedah) Datuk Seri Azizan Abdul Razak kini berada di hospital, tapi kita semua tahu keputusannya (pilihan raya),” katanya.

Berucap dalam satu forum untuk membincangkan mengenai kesan pilihan raya tersebut, beliau berkata trend sama dilihat di Selangor, di mana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi faktor utama kemenangan Pakatan di negeri itu.

Jelasnya, tinjauan menunjukkan sokongan setinggi 60 peratus di seluruh negeri itu, yang kebanyakannya merupakan penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan, katanya.

Kegagalan BN untuk menamakan calon MB juga menyumbang kepada faktor kekalahan di negeri tersebut, katanya.
Bekas hakim: Saya nak transformasi, bukan perang

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, beliau tidak bermaksud hendak berperang, sebaliknya menyarankan "transformasi daripada buruk kepada baik" apabila mengeluarkan pandangan kontroversi berhubung kuasa politik Melayu sebelum ini.

Menurutnya, istilah "jihad" yang dilontarkannya dalam satu forum hujung minggu lalu telah disalah anggap sebagai hendak "berperang" dan ia sebenarnya tanggapan semata-mata.

"Apabila kita guna istilah jihad, persepsi orang ramai ialah untuk berperang. Ia bukan begitu, transformasi daripada yang buruk kepada yang baik, itu juga berjihad," katanya.

Tegasnya, beliau telah lama berjihad untuk menyelamatkan Malaysia daripada "kancah buatan sesama sendiri".

"Macam saya, saya sayangkan anak bangsa saya, anak saya, cucu saya, keturunan saya, semua rakyat Malaysia ini. Yang saya takut ialah bencana buatan sendiri sesama kita.

"Jadi saya berjihad untuk menyelamatkan orang Malaysia ini daripada terjerumus ke dalam kancah pergaduhan sesama kita," jelasnya dalam wawancara "Helo Malaysia" di saluran Bernama TV pada Rabu malam.

'Beri peluang saya terangkan'

Mohd Noor dalam satu forum Ahad lalu lalu mencuri perhatian apabila mengingatkan orang Melayu agar berwaspada dengan "pengkhianatan orang Cina" ekoran keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.

"Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi," katanya hujung minggu lalu.

"...Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah," katanya lagi.

Kenyataannya itu diselar Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai berbaur perkauman dan lebih teruk daripada kumpulan pelampau kulit putih Klu Klux Klan.

Setiausaha Biro Guaman DAP, Gobind Singh Deo pula menggesa agar Mohd Noor didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Mengulas reaksi negatif terhadapnya itu, Mohd Noor percaya hanya ahli-ahli politik sahaja yang menganggapnya perkauman sedangkan kenyataannya sebelum ini dirumuskan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

"Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit.

"Saya ini hendak menerangkan sesuatu menurut perlembagaan (jadi) sepatutnya diberi peluang untuk rakyat mendengar.

"Bukan ditutup mulut saya dengan mengatakan Datuk Mohd Noor rasis, Datuk Mohd Noor Klu Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler, janganlah macam itu.

"Berilah saya (peluang) untuk menerangkan apakah parameter dalam perlembagaan yang menjamin rakyat hidup aman damai," katanya lagi.
Mat Zain: AG tidak akan dakwa Mohd Noor
2:06PM Mei 16 2013
Seorang bekas pegawai tinggi polis berpendapat, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan mendakwa bekas peguam Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah atas tuduhan hasutan ekoran kenyataan yang dibuat pada hujung minggu lalu.

Bekas ketua jabatan siasatan jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim memberi alasan, bekas hakim tersebut terlibat membersihkan nama Gani dan dan bekas ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan dari perbuatan jenayah dalam 'insiden mata lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mohd Noor merupakan salah seorang hakim kanan yang dilantik sebagai anggota dan panel bebas untuk meneliti siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam tuduhan ke atas Gani, Musa, doktor Hospital Kuala Lumpur Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri," kata Mat Zain dalam satu kenyataan hari ini.

Dua lagi anggota berkenaan adalah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Ahmad.

Panel berkenaan melepaskan Gani dengan keputusan majoriti 2-1, dengan bantahan oleh Abdul Kadir.
10 exco k'jaan negeri Pahang angkat sumpah

Sepuluh anggota Dewan Undangan Negeri hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang di Istana Abu Bakar, Pekan.
Lima daripada mereka ialah muka baharu dan seorang bekas Exco tahun 2004, Datuk Shahiruddin Ab Moin, yang dilantik semula.

Majlis angkat sumpah diadakan bermula pukul 11 pagi di Istana Abu Bakar, Pekan di hadapan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, seminggu selepas Datuk Seri Adnan Yaakob, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang untuk penggal ke-4 pada 9 Mei.

Muka baharu Exco negeri ialah Datuk Abu Bakar Harun (Adun Chini), Datuk Mohd Johari Hussain (Tioman), Norul Azali Sulaiman (Guai), Datuk Shahaniza Shamsuddin (Kuala  Sentul) dan Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau).

Empat muka lama turut dilantik semula iaitu Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (Lanchang), Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak (Benta), Datuk Wan Rosdy Wan Ismail (Jelai) dan Datuk Shafik Fauzan Sharif (Inderapura).

Tiada Adun MCA yang dilantik. Pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas, MCA hanya menang dua daripada lapan kerusi yang ditandingi mereka iaitu Datuk Lau Lee (Damak) dan Datuk Fong Koong Fuee (Cheka). MCA telah menyatakan tidak akan menerima pelantikan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu pada PRU13.  

Pada 2008, Fong dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang.

Majlis angkat sumpah hari ini turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menteri besar.

- Bernama
Kit Siang: Saya dah tonton ucapan 'perkauman' itu
1:20PM Mei 16 2013
Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata, beliau telah menonton sendiri rakaman video yang memuatkan kenyataan kontroversi bekas hakim mahkamah rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah dan mendapati ia benar-benar bersifat perkauman.

dap special meeting 110313 lim kit siang"Saya telah menonton video ucapan Mohd Noor dan tidak tidak ragu lagi mengatakan ia ucapan yang paling memecah-belah, memudaratkan, bersifat perkauman dan berunsur hasutan pernah diucapkan di Malaysia dalam tempoh 44 tahun," katanya.

Dalam kenyataannya semalam, Lim menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap pihak seperti Mohd Noor sebagai bekas hakim yang didakwanya "menaburkan racun perkauman" tetapi terlepas daripada hukuman.

Justeru, katanya, laporan Malaysiakini tentang perkara itu tidak berniat jahat dan bukan tidak profesional, malahan adil dan munasabah.

Sekumpulan NGO sebelum ini tampil mempertahankan Mohd Noor yang dikritik hebat pelbagai pihak ekoran kenyataan berhubung isu amaran "membalas dendam" orang Melayu jika dikhianati.

Gabungan NGO-NGO Malaysia dalam kenyataannya mendakwa, laporan Malaysiakini berhubung perkara itu tidak tepat, berniat jahat dan bertujuan melaga-lagakan keharmonian dan perpaduan kaum.

Malaysiakini pada 12 Mei melaporkan Mohd Noor sebagai menyeru orang Melayu bertindak lebih agresif mempertahankan hak serta menyusun semula masyarakat, ekoran keputusan pilihan raya umum 5 Mei.

Mohd Noor menyeru demikian kerana orang Cina didakwanya mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

Beliau juga mempertegaskan amaran bahawa orang Melayu akan membalas dendam sekiranya dikhianati ekoran ia sebahagian daripada pantang larang kaum itu.

Mohd Noor malam tadi menjelaskan, beliau tidak bermaksud hendak berperang, sebaliknya menyarankan "transformasi daripada buruk kepada baik" apabila mengeluarkan pandangan kontroversi berhubung kuasa politik Melayu sebelum ini.
NGO: Himpunan bantah penipuan p'raya bukan 18 Mei
12:23PM Mei 16 2013
Kumpulan aktivis yang merancang untuk menghimpunkan seramai sejuta orang bagi membantah penipuan pilihan raya berkata perhimpunan tersebut akan diadakan pada satu tarikh lain dan bukannya pada 18 Mei.
Kumpulan aktivis pelajar Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan juga NGO Solidariti Anak Muda Malaysia dalam satu kenyataan hari ini menyebut, mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menghimpunkan sejuta orang ke perhimpunan tersebut.

“...Gerakan ini perlu sedikit penyusunan untuk memastikan lebih 1,000,000 rakyat bersedia. Satu tarikh baru akan diumum tetapi ia pasti dalam masa terdekat, mungkin dalam bulan yang sama,” kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu timbul ekoran amaran keras oleh pasukan polis semalam yang akan bertindak tegas ke atas penganjur perhimpunan yang mengajak rakyat turun ke jalan raya bagi menggulingkan kerajaan yang sah.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar dalam laporan Bernama semalam menyifatkan tindakan penganjur itu sebagai provokasi untuk menghasut rakyat dan boleh menimbulkan kekacauan.

Laporan Utusan Malaysia pula hari ini memetik kenyataan NGO pro-Melayu PERKASA yang mengecam tindakan aktivis politik Hishamuddin Rais – salah seorang individu yang hadir semasa isu perhimpunan tersebut dibangkitkan dalam satu perbincangan antara pemimpin NGO pada Isnin lalu.

Pemimpin PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata tindakan Hishamuddin, yang didakwa bertanggungjawab mengajak rakyat turun ke jalan itu, mencabar perlembagaan serta keselamatan negara.

Maka tindakan berbahaya itu tidak boleh dibiarkan, katanya lagi yang mahu polis segera mengambil tindakan ke atas Hishamuddin.
Tolak pelantikan, penyokong Salang kecewa tak diberi menteri penuh

Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang telah menolak pelantikannya sebagai timbalan menteri pelancongan dan Kebudayaan dalam barisan baru Kabinet Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Salang, yang juga naib presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), ketika dihubungi berkata jika beliau perlu memilih antara menjadi timbalan menteri dan keluarganya, maka "saya memilih keluarga saya".
  
Katanya beliau mungkin mempertimbangkan jika ianya adalah jawatan yang lebih tinggi atau jawatan menteri penuh.
  
"Saya fikir adalah lebih baik memberi laluan kepada orang lain untuk jawatan timbalan menteri," katanya yang menjadi timbalan menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas.
  
Dalam PRU13, Salang mempertahankan kerusinya dengan menewaskan calon Parti Pekerja Sarawak, Wong anak Judat dan Andy Wong Hong Yu dari PKR dengan majoriti 5,955 undi.
  
Sementara itu, penyokong Salang di Julau kecewa apabila wakil rakyatnya itu tidak diberi jawatan menteri penuh walaupun berkhidmat sebagai timbalan menteri di tiga portfolio berlainan sebelum ini.
  
"Memandangkan pengalaman luas, komitmen, dedikasi dan keikhlasan beliau, kita jangka beliau dinaikkan pangkat tetapi beliau telah diberi jawatan yang agak rendah, " kata Desmond Sunok, seorang jurucakap kumpulan itu.

Beliau berkata Salang juga telah menghubunginya atas keputusan untuk tidak menerima jawatan baru itu.
  
- Bernama

Tiada ulasan: