Jumaat, 3 Mei 2013

RAKYAT DAH TAK SUKA...CITER2 BOHONG...BODEK MELAMPAU2....KONDEM MELAMPAU2....INGAT RAKYAT TAK BERPELAJARAN KE

Lapor kes dakwat kekal: Mejar ditukar serta merta

Mohd Sabri Said,03 Mei 2013
PULAU PINANG:Pegawai Pemerintah Skuadron No 12 Pengkalan Udara DiRaja Malaysia (TUDM)  Butterworth, Mejar Zaidi Ahmad ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur bermula hari ini kerana membuat laporan polis isu dakwat kekal yang tidak kekal.

Bagaimanapun beliau memohon perpindahan itu ditangguhkan sehingga hari Isnin 6 Mei minggu depan  ekoran beliau sedang disiasat oleh Lembaga Siasatan TUDM di sini.
(Laporan polis yang dibuat oleh Mejar Zaidi, isteri dan rakan-rakannya tersebar merata. Kerana membuat laporan polis beliau dipersalahkan dan ditukar serta merta)

"Surat arahan telah dikeluarkan oleh TUDM di mana saya ditukarkan ke Kuala Lumpur hari ini. Tetapi saya minta tangguh ke Isnin kerana di sini pun sedang diadakan satu Lembaga Siasatan berhubung kes saya, " beritahunya kepada Harakahdaily.

Kata Zaidi lagi, bukan sahaja pertukaran dibuat akibat arahan tersebut malahan secara rasminya telah dilucutkan dari jawatan Pegawai Pemerintah No 12 Skuadron Pengkalan Udara Butterworth dan terlepas peluang dinaikan pangkat ke Leftenan Kolonel TUDM.

Dua hari lepas Zaidi, isterinya Shafinah Abdul Hamid dan Juruteknik TUDM, Jamal Ibrahim membuat lapuran polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas.

Laporan itu dibuat kerana dakwat kekal yang dicalit di jari telunjuk tangan kirinya semasa pembuangan undi awal luntur apabila di basuh dengan sabun dan pencuci tangan.

Mereka antara pengundi awal yang menyangkal kenyataan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) kononnya dakwat yang digunakan boleh bertahan seminggu.

Kami sedia jadi khadam rakyat - Ustaz Abu Bakar

Muhammad Faeez Azahar, 03 Mei 2013
IPOH: Kami sudah bersedia jadi khadam rakyat,” demikian tegas Pesuruhjaya PAS Perak dalam sidang media di Pejabat PAS Perak dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh, Ustaz Hakim Mohd Nor dan Safarizal Saleh.

Jelasnya, pimpinan Pakatan Rakyat tidak mempunyai kepentingan peribadi seperti pimpinan BN khususnya Umno yang mengambil kesempatan dengan kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk mengkayakan kroni dan anak-beranak.

Ustaz Abu Bakar menjelaskan, Pakatan Rakyat komited untuk merealisasikan janji yang ditawarkan kepada rakyat.

“Kami optimis akan dapat laksanakan semua janji kami dalam manifesto peringkat negeri Perak termasuklah tawaran di peringkat persekutuan jika diberikan mandat,” katanya lagi.

Calon PAS Dun Titi Serong itu berkata, PAS yakin rakyat akan mengembalikan mandat yang dirampas oleh BN pada 2009 lalu selepas hanya sempat memerintah selama 11 bulan sahaja.

Tegasnya, Pakatan Rakyat akan membuktikan kepada rakyat negeri Perak bahawa gabungan tiga parti itu lebih berintegriti berbanding BN.

“Kami tekad merealisasikan tema TAKWA iaitu telus, amanah, kebajikan, wawasan, dan adil yang disepakati semua parti gabungan iaitu PAS, PKR dan DAP selaras dengan keperluan negeri ini yang jauh tertinggal walaupun Perak sebuah negeri yang kaya dengan sumber dan hasil.

“Walaupun pada dulu kita sempat memerintah 11 bulan, tapi banyak yang telah kami berikan kepada rakyat dan kami yakin rakyat dapat menilai semua itu,” jelasnya lagi.

Jesteruitu, pihaknya menyeru agar anak-anak Perak di perantauan dapat balik mengundi Pakatan Rakyat pada 5 Mei ini.

100 bekas ahli Umno Kg Pandan sertai PAS

Hazayani Zakaria, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Seramai 100 bekas ahli Umno Kawasan Kampung Pandan akan menyerahkan borang permohonan menyertai PAS dalam majlis minum petang esok.

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS Titiwangsa Khairul Anuar Abdul Manap, majlis minum petang itu akan diadakan di Padang Blok A, Flat Desa Pandan, Kapung Pandan jam 2 petang esok.

Majlis tersebut akan dihadiri bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyertai PAS baru-baru ini dan calon PAS Parlimen Titiwangsa Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi.

"Ianya merupakan majlis kemuncak PAS sebelum hari membuang undi Ahad ini dan kami menjemput orang ramai untuk hadir," katanya ketika ditemui Harakahdaily hari ini.

Beliau dalam pada itu menyelar tindakan Umno menyalahgunakan kuasa membenarkan calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani merasmikan majlis pecah tanah pembinaan tapak baru Masjid Alam Shah, Jalan Pudu.

"Apa kapasiti Datuk Johari merasmikan majlis itu dan ianya dilakukan di luar pengetahuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Ini jelas menyalahgunakan kuasa," katanya.

Beliau juga berkata, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali secara terang-terangan dalam majlis itu menyebut 'Hidup Umno'.

"Secara jelas menreka menggunakan majlis itu untuk berpolitik dan saya cabar Che Mat letak jawatan dalam Jawi dan berpolitik sepenuh masa," katanya.

Harakah palsu diedar di seluruh Selangor

Harakahdaily, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Pencetak rasmi akhbar Harakah, Angkatan Edaran Sdn. Bhd hari ini membuat laporan polis berhubung Harakah palsu yang dipercayai diedar di seluruh Selangor hari ini.

Pengarah Urusan Angkatan Edaran, Azlan Jan membuat laporan polis tersebut di balai polis seksyen 15, Shah Alam hari ini.

Menurut laporan, dipercayai penyebaran Harakah palsu itu hari ini mensasarkan seluruh masjid di Selangor sempena solat Jumaat hari ini.

Naskah palsu itu turut dijumpai para petugas PAS sebelum memaklumkannya kepada Azlan untuk membuat laporan polis.

Sehubungan itu juga, semua pihak diseru tidak termakan propaganda murahan yang dimuat dalam Harakah palsu terbabit khusuanya menjelang pilihan raya umum 5 Mei ini.

Buat pertama kali Harakahdaily potong Thestar, Utusan

Hazayani Zakaria, 03 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Buat pertama kalinya dalam sejarah,  Harakahdaily sebagai portal berita dan juga lidah rasmi PAS berjaya memotong dua laman berita perdana iaitu Thestar.com.my dan Utusan.com.my.

Laporan ini dikeluarkan oleh pencerap ranking laman web seluruh dunia, Alexa.com.

Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong dalam satu kenyataan media berkata, pencapaian terbaru Harakahdaily ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia sangat dahagakan maklumat seimbang selepas hanya disuap dengan maklumat sebelah pihak oleh media arus perdana.

"Ianya juga lambang sokongan rakyat kepada pemilik laman ini iaitu PAS dan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

"ini juga hasil kerja keras semua keluarga Harakahdaily khasnya wartawan dan pasukan IT kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zulkifli, selama ini, laman The Star (yang dimiliki MCA) dan Utusan (yang dimiliki Umno) adalah dua laman web berita yang sangat popular.

Kedua-duanya hanya berada dua anak tangga di belakang laman web berita yang paling popular di Malaysia iaitu Malaysiakini.com.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada para pembaca yang telah memberi kepercayaan kepada Harakahdaily. Komitmen kami untuk terus memberi maklumat kepada rakyat Malaysia," katanya.

Media milik PAS versi cetak iaitu Harakah pula pernah mencapai kedudukan sebegini pada pilihan raya 1999 lalu.

Ketika itu cetakan Harakah adalah 350,000 naskah purata dan 380,000 naskah menjelang hari pengundian dalam pilihan raya 1999 lalu.

Kesan dari populariti akhbar ini, PAS berjaya mendapat dua negeri dalam pilihan raya itu (Kelantan dan Terengganu) di samping berjaya menghantar 28 pemimpinnya ke Parlimen.

Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pembangkang selepas pilihan raya tersebut.

"Kini mood dan suasana itu berulang kembali. Menjelang 5 Mei 2013, kami di Harakahdaily yakin Pakatan Rakyat mempunyai jalan yang sangat cerah untuk ke Putrajaya," katanya.

Tiada ulasan: