Idris Jusoh Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II
15 Mei 2013
Anggota Parlimen Besut itu, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan selama sepenggal pada 1995, turut memainkan peranan dalam memantapkan pembangunan Islam di Terengganu.
Beliau memperkenal Sekolah IMTIAZ, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab, Pintar Quran serta pelbagai inisiatif dalam pendidikan di Terengganu, khasnya sekitar Besut dan Setiu.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu dari 2004 hingga 2008, memiliki Ijazah Sarjana MBA University of New Haven, Amerika Syarikat (1988) dan Ijazah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia pada 1980.
Anak kelahiran Kampung Tok Has Jertih itu juga merupakan orang yang memainkan peranan besar dalam menaikkan semangat 'gelombang biru' sehingga berjaya menumbang kerajaan negeri Pas di Terengganu pada pilihan raya umum 2004 dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi. - Bernama
PRU13 : Pas tembusi Felda
15 Mei 2013
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, walaupun mengalami kesukaran, kini sokongan semakin meningkat dari kumpulan itu.
“Salah satu faktor kesukaran ini disebabkan golongan ini tidak mendapat maklumat yang tepat dan secara menyeluruh.
“Namun, melalui anak-anak Felda yang terdiri daripada golongan cerdik pandai yang pulang ke kampung halaman dan menyalurkan maklumat tepat kepada ibu bapa mereka sedikit sebanyak boleh membuka (hati) golongan ini,” katanya pada Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pengendali wacana, pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin tentang usaha Pas memenangi sokongan peneroka Felda yang dilihat kurang berhasil.
Mengakui kebenaran perkara itu, Raja Kamarul Bahrin bagaimanapun berkata, masyarakat hari ini sudah sedar tentang kebenaran dan menolak untuk terus bergantung kepada pihak kerajaan.
“Yang menyedihkan hari ini, kerajaan seolah-olah sangat suka jika peneroka masih bergantung kepada kerajaan sehingga mereka susah untuk bergerak sendiri.
“Kalau pada tahun 1970an hingga 1980an, kita pernah mendengar perkataan berdikari tetapi terminologi itu langsung tidak lagi kedengaran seolah-olah kerajaan tidak ingin orang tertentu terutamanya yang tinggal di luar bandar berdiri di atas kaki sendiri seperti sepatutnya,” katanya lagi.
Namun ujar beliau, kini peneroka Felda sudah mula menyedari hakikat ini dan Pas sentiasa komited untuk menyalurkan maklumat sebanyak mungkin.
Katanya, melalui orang-orang muda yang menjadi teraju utama, Pas telah masuk ke kawasan-kawasan terpencil untuk memberi penerangan sebagai usaha memecahkan halangan terhadap kebergantungan ini.
“Masanya sudah tiba dan kita tidak perlu takut untuk melakukan perubahan,” katanya lagi.
Dakwa perkauman : GPMS bela Mohd Noor
15 Mei 2013
Setiausaha Agung GPMS, Zambry Mohd Isa berkata program wacana yang dianjurkan GPMS hanya mencakupi perbincangan ilmiah bukan bertujuan untuk melakukan hasutan.
Menurutnya, ucapan Mohd Noor adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan untuk mempertahankan hak orang Melayu di Malaysia.
"Apa yang diperkatakan (Mohd Noor) tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau ada kelayakan, beliau berkata ikut Perlembagaan.
"Adakah itu 'kotor'? Tak jadi isu soal untuk membuat hasutan... ini hanya perbincangan ilmiah untuk mempertahankan orang Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Pada Isnin lalu, selepas berakhirnya wacana yang membincangkan hala tuju orang Melayu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa ucapan Mohd Noor yang juga panelis untuk program itu berbaur hasutan.
Manakala, rakan perikatannya juga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan ugutan Mohd Noor itu sebagai ugutan bertujuan menutup kegagalan menjawab isu rasuah oleh pelbagai bangsa dalam Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Zambry juga mengingatkan supaya pemimpin politik tidak menjadikan perkara tersebut sebagai 'double standard' untuk kepentingan parti politik masing-masing.
"Kalau nak ambil tindakan kepada Mohd Noor, ambil tindakan kepada Namawee sekali yang telah menghina lagu Negaraku dan sebagainya.
"Jangan jadikan isu ini 'double standard'...jangan buat-buat buta atau buat-buat bodoh dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.
Analisis : Siapa calon BN Selangor akan sertai kabinet Najib
15 Mei 2013
Dengan kekuatan jentera pilihan rayanya yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengarah Pilihan Raya Selangor di samping tawaran manifesto aku janji yang hebat, BN Selangor hanya mampu memperoleh lima daripada 22 kerusi parlimen dan 12 daripada 56 kerusi Dun pada PRU13 ini.
Keputusan PRU13 turut memberi kejutan kepada BN Selangor apabila kehilangan beberapa kerusi daripada calon ‘winnable candidate’ dan kubu kuatnya antaranya Parlimen Sepang yang ditandingi oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Selangor, Datuk Seri Mohamed Zin Mohamed.
Manakala bagi kerusi Dun, BN Selangor turut kehilangan kerusi yang disandangnya sebelum ini iaitu Paya Jaras, Templer, Morib, Dusun Tua, Sabak, Tanjung Sepat, Sri Serdang, Kuala Kubu Baru, Sementa dan Sungai Pelek.
BN Selangor hanya memenangi lima kerusi Parlimen iaitu empat kerusi ditandingi oleh calon Umno manakala satu kerusi iaitu Parlimen Hulu Selangor dimenangi oleh calon MIC, P Kamalanathan.
Dua kerusi tersebut dimenangi oleh calon muka baru dari Umno iaitu Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang bertanding kerusi Parlimen Sabak Bernam manakala Datuk Irmohizam Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor.
Manakala dua lagi kerusi parlimen masih kekal milik penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Tanjung Karang lima penggal berturut-turut, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon.
Persoalan kini tertumpu kepada siapakah di antara ahli parlimen di Selangor ini yang akan dipilih sebagai menteri atau timbalan menteri kabinet baru Najib?
Bagi ahli parlimen di Selangor, penyandang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh diyakini akan kekal dalam kabinet baru Najib.
Manakala, Noriah yang kini penyandang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat berpotensi tinggi dinaikkan pangkat dipilih sebagai Menteri Kabinet.
Beliau yang sebelum ini Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkuat kuasa 20 November 2012.
Atas pengalaman dan kejayaannya mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar, Noriah dilihat sebagai pemimpin paling layak menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam senarai kabinet baru nanti.
Noriah ketika dihubungi mengenai hal itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Walaupun BN tewas banyak kerusi parlimen di Selangor namun kemenangan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Irmohizam di kubu kuat Pas memberi kejutan kepada BN.
Nama Irmohizam mungkin tidak sepopular pemimpin belia lain yang telah menempa nama di peringkat nasional, namun pemimpin berusia 37 tahun itu sebenarnya sudah banyak menabur jasa kepada golongan belia di negara ini.
Atas kekuatan kepimpinan yang ditunjukkannya itu, tidak menghairankan apabila beliau dipilih sebagai calon muka baru BN bagi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU13 sekali gus berjaya menewaskan penyandangnya, calon Pas, Dr Dzulkefly Ahmad.
Sebagai pemimpin muda yang aktif, Irmohizam memegang pelbagai jawatan penting dalam NGO belia antaranya bekas Naib Presiden Majlis Belia Malaysia, Naib Presiden 2 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Presiden Majlis Belia Selangor, membuktikan kehebatan dirinya memimpin golongan belia.
Irmohizam yang juga bekas pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara itu juga pernah terlibat dalam merangka Dasar Belia Antarabangsa 2012, Jawatankuasa Teknikal Parlimen Belia Malaysia dan Exco iM4U dan antara tulang belakang program My Beautiful Malaysia.
Atas kredibilitinya itu, tidak hairan jika beliau menjadi pilihan Perdana Menteri sebagai timbalan menteri dalam kabinet baharu nanti dan mungkin posisi paling sesuai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.
Siapa Ketua Pembangkang Selangor
Selepas nama bekas Adun Seri Serdang, Datuk Dr Mohamad Satim tercicir daripada senarai calon pada PRU13 lalu, kini timbul pula spekulasi siapakah yang paling layak untuk mengisi tempat sebagai Ketua Pembangkang di Dun Selangor.
Jika sebelum ini wakil BN menduduki 20 kerusi Dun Selangor, namun keputusan PRU13 lalu ternyata memberi tamparan yang besar apabila BN kehilangan lapan wakil mereka. Apatah lagi dengan ketiadaan hampir separuh jaguh lama mereka seperti Datuk Abdul Rahman Palil, Datuk Subahan Kamal dan juga Satim sendiri, kini hanya tinggal dua tiga nama sahaja yang boleh dianggap layak mengisi kekosongan itu.
Adun Kuang, Datuk Abdul Shukur Idros menjadi satu-satunya calon BN yang berjaya mempertahankan kerusi Dun dalam Parlimen Selayang, sekali gus memperlihatkan kemampuan beliau mengharungi cabaran PRU13.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno Selangor dilihat oleh pemerhati politik cukup berpotensi memikul amanah baru itu di samping keupayaan dan 'kesudian' menjawab kebanyakan isu-isu panas membabitkan Umno dan BN Selangor sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Selain itu, Adun Permatang, Sulaiman Razak juga dilihat berpotensi menjadi Ketua Pembangkang memandangkan beliau sentiasa aktif mengambil bahagian dalam perbahasan dan sesi soal jawab sepanjang sidang Dun Selangor berlangsung penggal lalu.
Setiap isu yang dibentangkan oleh Adun Permatang itu memperlihatkan beliau berpengetahuan dan sentiasa membuat kajian malah bersedia menangkis hujah–hujah yang diutarakan oleh PR.
Bagaimanapun terserah kepada 12 Adun untuk memutuskan siapa dalam kalangan mereka yang paling layak diangkat sebagai Ketua Pembangkang Selangor.
Walaupun hanya 12 orang Adun BN, itu tidak mematahkan semangat mereka untuk memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik serta menjadi mata dan telinga rakyat terhadap kepincangan yang bakal dicetuskan PR dalam tempoh lima tahun ini.
Mereka adalah Adun Kuang, Abdul Shukur Idrus; Adun Sungai Panjang, Budiman Zohdi; Adun Sungai Burong, Datuk Mohamad Shamsudin Lias; Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak; Adun Bukit Melawati, Jakiran Jacomah; Adun Jeram, Datuk Amiruddin Setro; Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan; Adun Dengkil, Shahrum Mohd Sharif; Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan; Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik dan Adun Hulu Bernam, Datuk Rosni Sohar.
Keputusan PRU13 di negeri Selangor menyaksikan pencapaian paling terburuk BN turut memberi tamparan hebat kepada Najib yang berperanan sebagai Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor.
Kedudukan Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN di negeri ini sepatutnya menguatkan pengaruh BN untuk merampas Selangor daripada PR, bagaimanapun ianya gagal mendapat lebih sokongan rakyat di negeri ini.
Pasca PRU13, PR mula memainkan serangan psikologi mendesak supaya Najib meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi BN Selangor kerana kegagalan beliau menawan negeri ini apatah lagi BN juga dilihat gagal mendapat mandat besar rakyat keseluruhannya.
Adakah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar akan memainkan peranan Najib menerajui BN Selangor jika Najib melepaskan jawatan tersebut untuk memberi fokus kepada hal-hal negara khasnya?.
Jika sebelum ini pemerhati media melihat BN Selangor berada dalam dua kem iaitu kem Noh dan kem Mohamed Zin, kini tumpuan lebih diberikan kepada Noh yang dilihat individu terpenting untuk mengemudi BN Selangor buat masa sekarang selepas Mohamed Zin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sepang.
Bagaimanapun, terpulang pucuk pimpinan BN membuat pemilihan individu terbaik sebagai Ketua Pembangkang Selangor, Penyelaras Dun, Penyelaras Dun dan Koordinator BN Selangor untuk berkhidmat dalam penggal ini bagi merampas kembali Selangor pada pilihan raya akan datang.
Presiden Maybank Abdul Wahid Omar dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri
15 Mei 2013
Beliau akan dilantik sebagai Senator pada 5 Jun, demikian umum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Anak Johor berusia 49 tahun ini merupakan antara muka-muka baru dan salah seorang daripada dua teknokrat yang dipilih oleh Najib dalam barisan Kabinet barunya selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Selain beliau teknokrat yang turut dilantik ialah Datuk Paul Low, daripada Transparency International dan bekas pengerusi Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia.
Manakala Datuk Seri Idris Jala, daripada Shell, dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Abdul Wahid, yang menerajui Maybank sejak 1 Mei, 2008, menggantikan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang tidak bertanding dalam pilihan raya pada 5 Mei lepas. - Bernama
Lima Senator dinamakan dalam kabinet Najib
15 Mei 2013
Mereka ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Presiden Transparency International Malaysia Datuk Paul Low Seng Kuan yang masing-masing dinamakan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah pula dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koprasi dan Kepenggunaan.
Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Pulau Pinang Datuk Dr J. Loga Bala Mohan dinamakan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan manakala Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P.Waytha Moorthy dinamakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Low, Ahmad Bashah, Loga Bala dan Waytha Moorthy dijangka mengangkat sumpah sebagai senator esok manakala Abdul Wahid akan berbuat demikian pada 5 Jun.
Sementara itu, Senator Datuk Seri Idris kekal sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Bernama
Azizah Mohd Dun kembali jadi Timbalan Menteri Persekutuan
15 Mei 2013
Bekas Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah itu sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Kemenangan pada pilihan raya umum 5 Mei lepas menewaskan Datuk Seri Lajim Ukin di Parlimen Beaufort dengan majoriti 673 undi membolehkan beliau kembali ke pusat dan diberi tanggungjawab sebagai timbalan menteri.
Bekas penuntut Maktab Sabah itu pernah melanjutkan pelajaran ke England di peringkat A Level sebelum mengikuti pengajian undang-undang sehingga memperoleh Bachelor in Laws dan ditauliah sebagai peguam di Lincoln Inn's England.
Sekembalinya ke Sabah, Azizah menjadi wanita pertama menjadi Majistret pada 1981 dan memegang jawatan itu hingga tahun 1984.
Pada 1985, beliau menceburkan diri dalam bidang politik dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri Klias. Bagaimanapun, setahun kemudian beliau kalah dalam pilihan raya namun masih bergiat aktif dalam politik.
Pada 2004, beliau bertanding di Parlimen Beaufort dan dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.
Pada pilihan raya 2008, Azizah bertanding dan menang kerusi Dun Klias yang menyaksikan beliau menganggotai Kabinet negeri Sabah. - Bernama
Adun Pulai Sebatang sedia terima tindakan MCA
15 Mei 2013
Beliau yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan dikatakan melanggar pendirian MCA yang enggan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan berikutan prestasi kurang memuaskan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
Namun dalam masa yang sama, beliau turut berharap kepimpinan parti dapat memahami situasinya dan bersedia untuk menjelaskannya jika dipanggil untuk berbuat demikian.
"Saya tahu sebagai ahli parti saya kena sentiasa mengikut keputusan parti terlebih dulu, tetapi dalam masa yang sama saya juga berharap pemimpin dan ahli MCA tahu bagaimana kedudukan saya sekarang.
"Walau apapun saya kena hadapi juga keputusan yang bakal dibuat oleh pucuk pimpinan (MCA)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mahu mengenakan tindakan disiplin ke atasnya kerana menerima pelantikan jawatan Exco itu.
Chua dalam kenyataannya semalam, bagaimanapun mengakui pelantikan Siew Kiong adalah atas aspirasi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri yang mahukan barisan Exco negeri turut diwakili kaum Cina dan India. - Bernama
Pemimpin Hindraf Waythamoorthy terima kejutan pelantikan
15 Mei 2013
Berikutan memorandum persefahaman (MoU) antara badan bukan kerajaan (NGO) itu dengan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, pelantikan mengejut peguam berusia 47 tahun itu dijangka membawa gelombang harapan bagi meningkatkan tahap kehidupan masyarakat India di negara ini.
Pada 18 April lepas, Hindraf dan BN memeterai MoU merangkumi enam perkara utama dengan tujuan membawa masyarakat India yang miskin ke arus perdana pembangunan negara.
Sebalik sokongan kepada BN, NGO tersebut, yang memainkan peranan dalam menarik pengundi kaum India menyokong pembangkang sebelum ini, mengambil pendirian untuk beralih angin dengan menyokong BN pada PRU13.
Waythamoorthy, anak kelahiran Kelantan, meninggalkan Malaysia tiga hari selepas bantahan besar-besar oleh badan itu pada 25 Nov 2007 yang menyaksikan beberapa aktivis kumpulan itu ditahan pada 13 Dis 2007.
Terdahulu, pada Mac 2008, kerajaan Malaysia membatalkan pasport Waythamoorthy. Berikutan itu, beliau memohon dan diberi suaka politik oleh kerajaan Britain. Pada bulan Oktober tahun yang sama, kerajaan mengharamkan Hindraf.
Pada 1 Ogos tahun lepas, Waythamoorthy kembali ke Malaysia dengan pasport dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura selepas tinggal di England selama 56 bulan.
Bagaimanapun, pada Januari lepas, kerajaan menarik balik pengharaman selama tahun tahun itu bagi membolehkan Najib, selaku Pengerusi BN dan Waythamoorthy mengadakan rundingan untuk menyelesaikan masalah kaum India. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan