Rabu, 15 Mei 2013

HIDUP BERBILANG KAUM...MASING2 ADA SUMBANGAN...MAKA PERPADUAN ITU PENTING...TIADA GUNA SLOGAN SATU MALAYSIA JIKA KEHORMANIAN TAK DAPAT DILAKSANAKAN

‘Apa lagi yang Cina mahu?’

Subky Latif, 15 Mei 2013
GARA-gara kejayaan besar DAP dan kecundang teruk MCA dalam PRU13 bertanyalah orang-orang yang desprado dalam kalangan Umno, ‘Apa  lagi yang Cina mahu?’

Tidak dipastikan Perdana Menteri Najib tergamak bertanya begitu. Dia hanya menyifatkannya sebagai tsunami Cina. Bermacam-macam boleh ditafsirkan termasuklah maksud apa lagi yang Cina mahu?

Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka yang gagal dalam percubaannya untuk ke Parlimen ternayata kecewa kemenangan DAP lalu dia meluahkan persepsinya tidak senangnya kepada kecenderungan mengundi orang Cina. Demikian juga Noh Omar sekalipun menang di Tanjung Karang tetapi gagal merampas semlua Selangor.

Mereka berdua bersama-sama media dikuasai pemimpin Umno dan lain-lain membebel terhadap persepsinya terhadap pengundi Cina yang mereka  sifatkan tidak mengenang budi setalah dikatakan banyak yang diberi dan apa lagi yangCina mahu?

Semuanya baik tsunami Cina, tidak mengenang budi dan apa lagi yang Cina mahu, adalah meraban orang yang tidak pernah merasa kalah. Bukan sekadar jadi calon yang tidak pernah kalah, bahkan partinya sendiri amat jarang kalah.

Paling terkedu ialah calon yang tidak pernah kalah seperti Ali Rustam dan Ghani Othman. Apa rasanya mengalami kekalahan setelah berkali-kali tidak pernah kalah? Orang petama kali kalah seperti Kamilia Ibrahim, calon bebas Kuala Kangsar tidak kecewa sangat kerana dia sendiri tidak pernah merasa menang. Bagi yang berbelas tahun menang, tiba-tiba kalah, maka dunia ini dirasakan sentaisa gelap.

Orang yang tidak pernah kalah dan partinya pun jarang kalah, apabila ia berdepan dengan pengalaman hampir kalah dan partinya seandiri kalah dibanyak tempat seperi Najib dan Noh, pengalaman itu sendiri cukup melemahkan pertimbangan.

Bagi PAS yang sentiasa kalah, sudah lali dengan kekalahan, apabila mereka kalah mereka bersabar. Maka segala berkata Cina begitu dan begini adalah gara-gara kekalahan orang yang tidak pernah kalah.

Segala latah baik Najib, Ali dan Noh tidaklah mencerminkan kebijaksanan dan ketenangan sebagai pemimpin berwibawa.

Tetapi dengan bermacam-macam yang diberi selama ini, adakah semua sudah diberi dan semua  dapat apa yang diberi? Mungkin Robert Kok, Vincent Tan, Tan Koon Swan, Ling Liong Sik telah diberi semua tetapi  adakah semua Cina sudah diberi semua?

Sabda Nabi SAW  kepada bapa saudarnya Abu Talib yang menyampaikan bermacam tawaran manis musyrikin Quraisy bermaksud kira-kira, sekalipun matahari diletakkan  di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, tidak sekali-kali  aku meninggalkan dakwah.......

Apa-apa jua yang kita beri pada anak-anak dan isteri kita, tidak bererti kita telah memberi segala-galanya. Kita beri apa yang terdaya  dan tidak dapat beri apa yang tidak terdaya.

Adakah anak Mahathir merasa  cukup apa yang telah diberi? Mereka pun mahu banyak lagi. Sudah banyak yang Najib beri pada isterinya, tetapi banyak lagi yang dia mahu.

Adalah benar sudah banyak lesen dan peluang perniagaan diberi kepada saudagar-saudagar Cina, mungkin sama dengan memberi matahari dan bulan, tetapi yang belum diberi yang dituntut oleh Cina bersama Melayu, India dan lain-lain ialah sebuah pentadbiran yang bersih, adil, tidak rasuah, pemimpin yang tidak melarikan kekayaan negara, keadilan sosial, negara dan masyarakat berkebajikan.

Adakah semua itu sudah diberi? Kalau orang Umno dan orang  Melayu kampung tidak mahu apa yang orang Cina mahu itu, itu adalah kebodohan mereka sendiri. Tetapi Ali Rustam tidak boleh marah Cina yang minta  apa yang Umno dan BN tidak boleh beri. Semua yang Cina mahu lagi itu adalah yang Pakatan Rakyat sedia beri, bukan saja untuk mereka tetapi untuk kita semua.

PRU13: Bukan tsunami bangsa tapi tsunami nilai

Harakahdaily, 15 Mei 2013


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menolak sama sekali pandangan yang mengaitkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan tsunami bangsa.

Sebaliknya menurut Raja Bahrin, apa yang belaku adalah lebih tepat dipanggil sebagai tsunami nilai.

"Ini bukan tsunami bangsa, ini tsunami nilai.

"Pengundi bukan memilih warna kulit lagi, mereka memilih wakil rakyat melihat kepada apa nilai yang akan dibawa oleh wakil rakyat itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wacana Sinar Harian yang bertajuk "Pasca PRU13: Ke mana haluan politik Melayu" yang diadakan di Auditorium Kompleks Karangkraf, di sini petang ini.

Pandangan itu turut dikongsi oleh seorang lagi panel, bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga menolak berlakunya tsunami bangsa pada PRU13 lalu.

Beliau berpendapat, keputusan PRU13 lalu dipengaruhi oleh keputusan yang dibuat oleh dua kelompok.

Kelompok pertama katanya mereka yang mengundi dengan harapan pembangunan, manakala kelompok kedua adalah yang mengundi dengan harapan demokrasi.

"Kita boleh melihat bahawa kawasan kelompok pengundi mahukan pembangunan ini BN menang, tetapi di kelompok pengundi yang mahukan demokrasi ini BN kalah," katanya.

Menurutnya, jika BN ingin lebih selamat pada pilihan raya akan datang, parti itu perlu menangani kelompok demokrasi dengan baik.

"Pada PRU14 harapan demokrasi tentunya akan mengatasi harapan pembangunan," katanya.

Wacana hari ini juga turut menampilkan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Sumpah taklik, pil khayal warnai kempen PRU?

Dr Azman Ibrahim, 15 Mei 2013
PRU telah menjangkau kali yang ke-13, jika bagi seseorang manusia, usia 13 tahun adalah usia baligh atau menghampiri baligh. Usia menuju tempoh kematangan. Usia peralihan fasa hidup seorang manusia.
Pilihanraya sebagai medan perlaksanaan sistem demokrasi bukan hanya bermakna memangkah kertas undi, tapi demokrasi juga bermakna pengundi yang ingin memilih perlu diberikan hak dan kebebasan, tanpa tekanan, tanpa ugutan serta tanpa sogokan walau atas nama apa sekalipun pemberian tersebut.

Kempen pilihanraya adalah pertandingan agenda parti melawan agenda parti, idea melawan idea, manifesto melawan manifesto. Kalau inilah makna dan amalan demokrasi di Malaysia, mungkin lanskap politik Malaysia sudah lama berbeda. Tapi hakikatnya kita belum sepenuhnya mencapai tahap kematangan demokrasi.

Kalah menang sesuatu parti dalam pilihanraya faktornya pelbagai. Ianya lumrah dalam sesuatu perjuangan. Tiada ada yang perlu ditangisi dan dikesalkan bagi yang kalah.

Postmortem adalah proses untuk meneliti semula segala faktor, data, maklum balas, kritikan, pujian, cadangan, penambahbaikan dan sebagainya dalam rangka untuk membentuk pelan bertindak yang lebih mantap bagi menempuh hari depan perjuangan yang tentunya lebih mencabar, berstrategi dan bergerak pantas.

Ketika gelombang penolakkan terhadap Umno BN terlalu ketara, ramai yang terkejut dan terkedu akan ketidakmampuan Jabi dikembalikan kepada PAS. Diketika mood rakyat serta suasana kempen berada di pihak kita, natijah akhirnya berbeza walaupun dengan sedikit peningkatan.

Postmortem lanjut mendapati, antara faktor utamanya, masyarakat Melayu luar bandar seperti Jabi masih longlai  dengan wang. Taburan wang dengan jumlah yang sangat besar terutamanya menjelang 3 hari terakhir kempen berhasil menaikkan graf sokongan kepada Umno BN secara mendadak. Dengan jumlah antara RM350 – RM500 seorang yang diagihkan secara berleluasa, kita meyakini jumlah keseluruhan yang diperuntukkan mencecah jutaan ringgit.

Terima pitih bukan terima saja. Kena pulak sumpah taklik.

Ambo ambik pitih ni dan ambo bersumpah dengan nama Allah akan pakoh BN dalam pilihanraya ni. Kalu ambo dok pakoh BN, jatuh talak terhadap isteri ambo.”

Ternyata sumpah ini mengikat ramai orang. Suka atau tidak, ambo mesti pakoh BN! Kita menerima hakikat ini dengan kesedaran bahawa tahap kefahaman dan penghayatan agama masyarakat Jabi masih di tahap sederhana.

Ini suatu cabaran besar yang perlu ditempuh dalam rangka untuk membangunkan jiwa pengundi yang mantap, kebal dan kukuh dengan prinsip dan keyakinan terhadap kebenaran lantas mereka tidak mampu dibeli dengan mudah.

Bukti pengagihan wang dengan jumlah yang sangat banyak dikukuhkan lagi apabila suara-suara tidak berpuas hati di kalangan Umno kedengaran di sana-sini. “Dok padan dengan pitih hok kito bui, menang banyok ni jah!”

“Sepatutnya kito kena menang paling kurang 1,500,” itulah antara ungkapan yang kedengaran umpama rumah siap, pahat berbunyi. Bermakna dengan majoriti 782 yang diperolehi, ramai di kalangan ‘kepala-kepala’ Umno Jabi merasakan meraka kalah dalam menang. Apatah lagi ketika Dun-Dun lain dalam Setiu menunjukkan peningkatan ketara majoriti kemenangan BN, Jabi adalah sebaliknya.

Di samping mengucapkan tahniah dan mengucapkan selamat memikul amanah kepada YB Mohd Iskandar Jaafar yang saya anggap sebagai rakan walaupun kita berbeda wadah perjuangan, suka saya memberikan pandangan bahawa masalah sosial anak-anak muda Jabi adalah antara cabaran terbesar yang perlu ditempuh. PRU13 sudah berakhir. Rakyat sudah membuat keputusan. Walau dengan apa pun faktor, YB telah diangkat sebagai wakil rakyat Jabi.

Masalah dadah dan pil khayal adalah antara barah perosak di bumi Jabi yang kita cintai ini. YB perlu melihat dengan serius dakwaan beserta bukti bagaimana mudahnya dan berleluasanya bekalan pil khayal diperolehi sepanjang tempoh kempen PRU baru-baru ini. Siapa yang mengagihkannya? Dari mana dana diperolehi? Penerimanya juga tentunya bukan pengundi PAS.

Walaupun medan demokrasi memperuntukkan hanya satu undi untuk seorang pengundi, walau siapa pun status mereka, saya tetap melihat tindakan membiarkan orang muda hanyut asalkan mereka mengundi BN adalah suatu kesilapan besar jangka pendek dan jangka panjang.

Saya tidak menuduh dan menyalahkan sesiapa atas gejala yang sangat mendukacitakan ini, biarlah ianya disiasat sedetailnya oleh pihak berkuasa.

Bagi PAS, kita bekerja bukan hanya untuk mendapat undi sahaja, tetapi juga untuk membina manusia. Kita tidak beramal dengan kaedah, apa nak jadi pun biarkanlah, asalkan dapat undi! Walau jalannya mungkin jauh dan sukar…

Penulis ialah Naib Yang Dipertua PAS Setiu dan calon PAS di Dun Jabi pada PRU13.

Petugas SPR dikurung untuk pangkah kertas undi - PKR

Harakahdaily, 15 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PKR semalam mendedahkan satu maklumat yang didakwa mereka sebagai bukti berlakunya penipuan dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Maklumat tersebut berkaitan 24 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didakwa dikurung untuk memangkah kertas undi di Parlimen Besut.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut dipetik portal rasmi parti itu, KeadilanDaily.

Portal itu memetik Saifuddin sebagai berkata, bukti tersebut baru diterima Sekretariat Pakatan Rakyat pagi semalam dan ia dihantar oleh petugas SPR di Besut.

Bukti tersebut berupa satu laporan polis yang mendakwa pada hari mengundi 5 mei lalu, beliau dan 23 lagi petugas SPR telah dikurung untuk memangkah kertas undi.

Salinan laporan polis tersebut diserahkan kepada pasukan penyiasat penipuan PRU13 Pakatan Rakyat yang diketuai Rafizi Ramli, lapor portal itu lagi.

“Kita ada bukti kukuh untuk menjelaskan kenapa kita menolak keputusan di sesetengah kawasan, dan proses pengumpulan bukti masih berjalan,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, calon BN Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menewaskan calon PAS Riduan Mohamad Nor dengan majoriti 8,342 undi.

Idris memperoleh 35,232 undi manakala Riduan mendapat 26,890 undi.

Ahmad harap Tok Guru kekal Mursyidul Am

Harakahdaily, 15 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmah Yakob melahirkan harapan agar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS.

Menurutnya, khidmat dan tunjuk ajar Tuan Guru masih diperlukan untuk terus memimpin parti biarpun tidak lagi menjadi Menteri Besar.

Beliau merujuk kepada laporan akhbar semalam bahawa Tuan Guru melahirkan kesediaan untuk terus memegang jawatan Mursyidul Am PAS sekiranya mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.

"Pada saya, kesediaan tokguru tersebut sangat wajar memandangkan pandangan dan tunjuk ajar beliau masih diperlukan dalam memandu halatuju parti.

"Saya yakin semua pihak dalam PAS sangat-sangat menyayangi beliau. Insya-Allah saya berharap agar beliau akan terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS selagi hayat dikandung badan," katanya dalam Facebook.

Dalam sidang media semalam Tuan Guru Nik Aziz berkata beliau sedia untuk terus menggalas amanah sebagai mursyidul Am PAS sekiranya mendapat persetujuan PAS pusat.

Katanya, biarpun tugas itu berat berbanding tugas sebagai Menteri Besar Kelantan sebelum ini, namun jika diamanahkan, beliau akan menerimanya.

“Mursyidul Am itu lantikan dari pusat, dia beri, saya terima, kalau tak bagi pun tak apa, kalau dilantik, saya bersedialah.

"Inilah jawatan yang paling membebankan saya. Menteri besar tak banyak bebanan.

"Mursyidul am ini tiru Nabi Muhammad SAW, tutur kata, makan minum, tingkah laku, ini bebanan yang berat,” katanya.

Mengikut perlembagaan PAS, perlantikan Mursyidul Am diputuskan oleh mesyuarat Majlis Syura Ulamak selaku badan tertinggi parti itu.

Ahmad Said tidak layak jadi Menteri Besar - Mustafa

Muhammad Faizal, 15 Mei 2013
SHAH ALAM: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyelar tindakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said  yang menyatakan pembinaan rumah mampu milik hanya akan dibina di kawasan Dun yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Sebagai Menteri Besar kita jangan meletakkan diri kita setaraf Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dengan mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang Menteri Besar, tindakan tersebut juga menunjukkan beliau tidak layak menjadi Menteri Besar.

"Membina rumah kos rendah ini adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih, siapa pun kerajaan menjadi tanggungjawab dia bagi memberi kemudahan kepada rakyat," ujar beliau kepada Harakahdaily.

Katanya lagi, kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahmad itu merupakan politik balas dendam serti bersifat peribadi.

Beliau berkata, politik balas dendam intu tidak sepatutnya berlaku di dalam negara ini.

"Semua ini disebabkan oleh sikap balas dendam dan peribadi, sepatutnya sebagai sebuah negara maju politik sedemikian sudah tidak ada lagi dalam negara ini," kata beliau mengulas kenyataan Ahmad yang meminta rakyat di kawasan Parlimen dan Dun dimenangi Pakatan Rakyat meminta bantuan daripada wakil rakyat yang mereka pilih.

Mustafa berkata, jika cukai yang diperolehi dari rakyat dikembalikan kepada calon Pakatan Rakyat yang menang di sesebuah kawasan parlimen, ia tidak menimbulkan masalah.

"Duit yang diambil dari cukai rakyat jika dikembalikan kepada Pakatan Rakyat pasti tidak timbul masalah untuk kita meneruskan menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Tapi ini tidak berlaku, kerajaan jangan ingat itu duit Barisan Nasional atau Umno, dan siapa yang menjadi kerajaan ia bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat setempat bukannya kepada mereka yang menyokong sahaja," tegasnya.

Beliau mengulangi bahawa kerajaan Terengganu tidak faham apa itu tanggungjawab sebuah kerajaan yang dipilih.

"Ahmad ini tidak faham apa itu tanggungjawab sebuah kerajaan yang dipilih, hentikan politik balas dendam serta bersifat peribadi tetapi jika ini yang beliau tekankan saya rasa beliau tidak layak menjadi seorang Menteri Besar," jelasnya.

Beliau yang berharap sebagai rakyat yang perihatin seharusnya tahu bahawa tindakan seperti itu tidak wajar dilakukan oleh kerajaan.

Ini, katanya proses demokrasi apabila pilihanraya selesai, maka siapa yang dipilih bertanggungjawab untuk semua rakyat tanpa mengira mereka menyokong Pakatan Rakyat ataupun BN.

Pada PRU13 ini, BN Terengganu kekal memerintah apabila memenangi 17 kerusi daripada 32 Dun manakala PAS (14) dan PKR (satu).

PR mahu KPN baru tangani isu perkauman

Hazayani Zakaria, 15 Mei 2013
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mahu Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi perhatian kepada isu perkauman yang dicetuskan kerajaan Umno BN.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli (gambar) berkata, Khalid harus menjadikan penyelesaian isu ini sebagai tugas pertamanya.

"Kita nak ingatkan umno BN supaya tidak terus menimbulkan isu perkauman untuk merosakkan keharmonian dalam negara.

"Oleh itu tugas profesional ketua polis negara  yang pertama untuk memantau dan menyelesaikan isu perkauman yang ditimbulkan," kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut menegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang bertanggungjawab memulakan kenyataan berbaur perkauman.

"Kenyataan berbaur perkauman ini semua berpunca daripada kenyataan pertama Najib pada malam keputusan, dia kata keputusan pilihan raya adalah chinese tsunami.

"Lepas itu keadaaan tak dapat dikawal, semua menambah kenyataan macam simbah minyak ke bara api," katanya.

Pertemuan

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengadakan pertemuan dengan Khalid bagi menjalinkan hubungan yang baik antara Pakatan dan pasukan keselamatan.

"Kita ucap tahniah kepada IGP yang baru dan harap pelantikan beliau ini dapat meningkatkan tahap profesional anggota polis.

"Pakatan akan mengadakan pertemuan dengan IGP yang baru bagi menjalinkan hubungan yang baik antara kedua pihak," katanya.

Turut bersama pada sidang media ialah penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Khalid yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Negara dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Jumaat ini.

Khalid menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak esok.

PAS harap Khalid mampu angkat imej polis

Salmiyah Harun, 15 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Khalid Abu Bakar diharap berupaya membersih dan mengangkat imej polis kepada satu tahap yang lebih tinggi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, kepimpinan Khalid ini sangat diharap untuk mengembalikan imej PDRM sebagai sebuah badan yang lebih berintegriti dan profesional termasuklah bebas dari campur tangan politik.

"Imej polis hari ini banyak menimbulkan pelbagai persepsi negatif di mata masyarakat dan inilah masanya yang sesuai untuk kepimpinan baru PDRM membuat perubahan agar PDRM dilihat sebuat institusi keselamatan yang terus mendapat kepercayaan rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Malah katanya harapan rakyat amat besar kepada PDRM dan imej mereka boleh terus dilonjakkan dengan syarat kepimpinan baru mempunyai iltizam yang tinggi untuk membuat perubahan.

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa Jumaat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru berkuat kuasa tarikh sama.

Khalid menggantikan Tan Sri Ismail Omar, yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak esok.

Khalid, 56, yang berasal dari Seremban dan memiliki ijazah perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menjalani latihan sebagai inspektor di Pusat Latihan Polis pada 5 Disember 1976, dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Anti-Narkotik Kedah pada 1997.

Persempadanan: Pengundi Cina dalam satu kelompok

Salmiyah Harun, 15 Mei 2013
KAJANG: Pengarah Institut Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohd Redzuan Othman (gambar) menjangkakan BN akan memastikan pengundi-pengundi Cina dikelompokkan kepada satu kelompok dalam persempadan semula kawasan pilihan raya yang akan dibuat akhir tahun ini.

Ini kerana katanya, persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan senjata yang terbukti memberi kemenangan besar kepada BN.

Misalnya kata beliau, persempadanan semula pada tahun 2003 telah dibuat untuk mewujudkan kerusi campuran kerana selama ini pengundi Cina dan India adalah simpanan tetap kepada BN.

Namun, pada tahun 2008 berlaku tsunami politik yang memberi undi kepada Barisan Alternatif akhirnya usaha itu dilihat umpama 'senjata makan tuan'.

Redzuan yakin, jika persempadanan semula dilakukan, BN akan membuat seperti mana pada tahun 1974 di mana digabungkan kawasan-kawasan Cina terutama di bandar.

"Apa yang dibuat sebelum ini kawasan-kawasan Cina dipadatkan saya ambil contoh Lembah Pantai bersempadan dengan Seputeh. 99 peratus adalah pengundi Cina di Seputeh dipecahkan dan akan pergi ke Lembah Pantai, ini yang akan berlaku.

"Dan kalau persempadanan dibuat,  dia akan banyakkan kawasan Felda, sekarang ada 54 Felda tambah 20 lagi Felda. BN akan menang sebab Felda memang sapu bersih," katanya dalam Wacana Isu Semasa: Analisis Keputusan PRU13; Memahami Makna Pilihan Rakyat anjuran Abim, PKPIM dan Wadah.

Bagaimanapun katanya, oleh kerana tidak ada dua pertiga majoriti, BN tidak semudah itu untuk membuat persempadanan semula sebagaimana yang dijangka.

Jika diteruskan juga persempadanan semula, katanya sudah tentu Pakatan Rakyat akan memohon dan menuntut persempadanan yang adil.

"Kalau ini tidak adil, Pakatan Rakyat buat penat sahaja. Tetapiitulah yang berlaku sebelum ini persempadanan semula dibuat sewenang-wenangnya," kata beliau.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 113 (2) (ii), persempadanan semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya akan dibuat dalam tempoh tidak kurang dari 8 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun daripada siapnya urusan persempadanan terdahulu.


Turut bersama menjadi ahli panel wacana yang berlangsung malam tadi antaranya, Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Idris Jauzi, manakala Prof Madya Dr Saharuddin Badaruddin selaku moderator.

Tiada ulasan: