Sabtu, 4 Mei 2013

NAYA IBRAHIM ALI....TAPI IBRAHIM BEBAS SOKONG BN...LEPASLAH

Selangor umumkan 6 Mei cuti umum

3 Mei 2013
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan Isnin ini, 6 Mei sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan semua rakyat di Selangor yang pulang mengundi di kampung pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.
  
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian hari kelepasan itu selaras dengan Akta Hari Pelepasan 1951, perenggan 9, yang menyatakan bahawa Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan satu hari sebagai hari pelepasan am.
  
"Kerajaan Selangor berharap hari pelepasan am ini digunakan sebaik mungkin untuk pengundi pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi dan tidak perlu tergesa-gesa untuk kembali bekerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau turut mendoakan para pengundi dan rakyat Selangor pulang dengan selamat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. - Bernama
Merdeka Center: Saingan sengit, PR di depan
Wartawan Sinar Harian
3 Mei 2013
PRU13
PRU13
SHAH ALAM - Kajian terbaru Merdeka Center menunjukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berhadapan dengan saingan "amat sengit" dalam menguasai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) meskipun PR dilihat mempunyai sedikit kelebihan dan berada di depan.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, PR dilihat menguasai 89 kerusi sekarang berbanding 85 bagi BN.

Kedua-dua perikatan itu bersaing keras untuk merebut baki 46 kerusi manakal parti Star dan Parti Pekerja Sarawak (SWP) boleh menguasai masing-masing satu kerusi.

Kerusi-kerusi BN itu, 50 datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan (16) dan Sarawak (19).

Sementara itu, daripada 89 kerusi PR, 81 datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan (tiga) dan Sarawak (lima).

Kajian terbaru ini dikendalikan antara 28 April dan 2 Mei. Pengundian PRU13 akan diadakan Ahad ini.

Tempoh berkempen 15 hari akan berakhir tengah malam ini.

Ketika mengulas lanjut berkata, Ibrahim berkata, daripada 46 kerusi yang menjadi rebutan BN dan PR, sebahagian besar berada di Pantai Barat Semenanjung.

Antara kerusi-kerusi yang termasuk dalam senarai 46 itu ialah Balik Pulau, Setiawangsa, Bandar Tun Razak, Padang Rengas dan Merbok.

Pada PRU 2008, BN memperoleh 140 kerusi manakala komponen PR menguasai 82 kerusi.

Ketika Parlimen dibubarkan pada 3 April lalu, BN menguasai 137 kerusi di Parlimen.

"Dalam kajian yang kami kendalikan, 42 peratus pengundi bersetuju bahawa Pakatan Rakyat perlu diberi satu peluang untuk memerintah negara ini manakala 41 peratus merasakan BN masih boleh memerintah negara ini," kata Ibrahim dalam kenyataannya.

Sebanyak empat peratus responden enggan mengulas manakala 13 peratus mengatakan mereka tidak tahu.

Kajian ini melibatkan seramai 1,600 pengundi berusia 21 tahun ke atas. Kajian dikendalikan menerusi telefon.

Ibrahim berkata, hasil kajian pihaknya juga menunjukkan tahap populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merosot daripada 64 peratus kepada 61 peratus.

Populariti Najib dalam lingkungan 64 peratus ketika tempoh kajian dikendalikan dari 12 hingga 17 Mac lalu.

"Ini menunjukkan penurunan dalam persekitaran 'mesra' yang dijana susulan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan insentif-insentif lain," katanya lagi.
Najib: Barisan Nasional yakin mendapat majoriti dua pertiga

3 Mei 2013
Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Dengan sokongan yang terus meningkat daripada semua lapisan rakyat Malaysia dan faktor-faktor positif yang lain, Barisan Nasional (BN) yakin kembali memerintah dengan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
  
Ketika membuat penilaiannya kira-kira 48 jam sebelum pusat pengundian dibuka di seluruh negara Ahad ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak mustahil untuk mendapat majoriti dua pertiga jika diiringi dengan sedikit usaha keras.
  
"Sebenarnya, saya akan terkejut jika kita tidak mendapat majoriti dua pertiga," kata Najib penuh yakin semasa bertemu beberapa ketua pengarang media menjelang pengundian di sini hari ini.
  
Najib, yang menerajui BN buat kali pertama sejak menjadi perdana menteri pada 2009, berkata perkembangan di lapangan menunjukkan BN mendapat antara 140 dan 155 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum yang amat dinanti-nantikan itu.
 
BN perlu mendapatkan 112 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sementara majoriti dua pertiga memerlukan ia mendapat 148 kawasan Parlimen.

Semasa Parlimen dibubarkan pada 3 April, BN menguasai 137 kerusi Parlimen.
 
Dalam perbincangan dengan para pengamal media, Najib, yang juga Pengerusi BN

Selangor BN, agak optimis BN menguasai kembali Selangor daripada pakatan rakyat.
  
Peluang menguasai kembali Kelantan daripada pemerintahan PAS selama 23 tahun semakin bertambah baik, katanya dan menjangka satu perubahan haluan yang menyebelahi BN di Pulau Pinang yang dikuasai DAP.
  
Dengan menyediakan penilaian mengenai peluang BN mengekalkan pusat pentadbiran persekutuan Putrajaya yang ditandingi BN dan PAS, Najib melahirkan keyakinan bahawa para pengundi yang kebanyakannya terdiri daripada penjawat awam akan mengundi menyebelahi BN.
  
Katanya sokongan masyarakat Cina dan India kepada BN sedang meningkat berdasarkan sambutan positif yang boleh dirasai semasa berkempen selain respons menggalakkan bagi inisiatif mesra rakyat bagi meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

Najib menjelaskan bahawa kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat Cina dan kerana ini, beliau tidak nampak sebarang sebab bagi mereka untuk enggan memberi sokongan kepada BN.
  
"Dengan kedudukan ekonomi yang kukuh, pasaran saham yang pada setiap masa berada pada kedudukan yang tinggi, projek-projek besar seperti kereta api berkelajuan tinggi, semua ini telah memberi manfaat kepada masyarakat Cina.  

"Malah BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), mereka juga mendapat manfaat daripadanya kerana penerima bantuan itu membelanjakan wang mereka di kedai-kedai yang dikendali orang Cina," katanya.
  
Najib menganggap bahwa perhatian yang diberikan terhadap pendidikan Cina seperti pembinaan lebih banyak sekolah-sekolah Cina, telah meletakkan BN pada kedudukan yang baik pada pandangan masyarakat itu.
  
Menyentuh mengenai tahap sokongan daripada masyarakat India, Najib berkata: "mereka kini bersama BN sekarang, malah Hindraf (Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu) kini bersama kita sekarang."
  
Mengenai pengundi muda, Perdana Menteri berkata majoriti golongan itu bersama dengan BN yang telah bertungkus lumus menangani kebimbangan mereka dengan cara melaksanakan program-program yang mesra golongan muda.
  
Najib juga menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh dengan cara jahat DAP dalam usaha mendapat kuasa.
  
Beliau menyelar pakatan rakyat kerana memainkan isu perkauman dan mengeluarkan kenyataan menghasut yang boleh membawa kepada polarisasi kaum yang serius di negara ini, apatah lagi kesan buruk terhadap kestabilan dan persekitaran perniagaan.
  
Sambil mengingatkan pengundi supaya berfikir dengan bijak sebelum memangkah kertas undi Ahad ini, Najib berkata begitu banyak yang dipertaruhkan dalam pilihan raya dan jika tersilap memilih parti yang salah untuk mentadbir negara, segala usaha penah lelah yang dibuat BN bagi membangunkan negara ini akan menjadi sia-sia.
  
Beliau berkata satu undi untuk BN bermakna satu undi untuk dasar yang adil bagi semua kaum dan ini tidak akan berlaku jika rakyat mengundi pakatan rakyat.
 
Menurut Najib, pasaran yang sudahpun berada pada trend menaik sejak kebelakangan ini sudah pasti akan terus memuncak jika BN mendapat mandat besar daripada para pengundi.
  
Sentimen terhadap Bursa Malaysia terus mendapat keyakinan sejak minggu lalu berikutan usaha belian yang kukuh daripada pelabur asing dan institusi dengan indeks mencatat bacaan baharu yang tinggi sepanjang masa iaitu 1,717.65 mata pada Selasa.
  
Para pelabur menjangkakan pasaran akan terus mendapat sokongan jika kerajaan BN yang menyokong perniagaan mendapat mandat baharu bagi tempoh lima tahun lagi.
  
Para peniaga berkata para pelabur asing begitu yakin bahawa BN akan kembali berkuasa dan ini akan memastikan kesinambungan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang dalam proses meningkatkan aktiviti perniagaan di semua sektor, yang memperkuat ekonomi dengan asas yang kukuh.
  
Sesi Najib bersama ketua pengarang media dihadiri Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid dan pengarah eksekutif Star Publications dan ketua pengarang kumpulan Datuk Seri Wong Chun Wai.
 
Mereka turut disertai pengarang kumpulan Berita Harian Datuk Mior Kamarul Shahid, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak, pengarang kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar dan Ketua Pengarang BERNAMA Datuk Zulkefli Salleh. - Bernama
PRU13 pilihan raya 'paling lucah', kata Kadir
SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
3 Mei 2013
A Kadir Jasin
A Kadir Jasin ketika berucap di forum sempena Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf , hari ini.
SHAH ALAM – Ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tinggal dua hari sahaja lagi, media arus perdana yang menjadi nadi kepada parti pemerintah dikritik tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin.

Bercakap di pentas forum sempena Sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, Kadir berkata, dunia media pada hari ini seolah-olah dicemari oleh pemberitaan yang berbeza dalam pilihan raya lalu.

"Pada 2008, media arus perdana ini menghina, mencaci media baru.

"Blogger-blogger ini dahulunya dipanggil 'goblok' dan 'monkey'. Tetapi sekarang media arus perdana menggunakan alasan media baru ini untuk mengeluarkan benda-benda yang sebelum ini tidak dikeluarkan?," ujar beliau.

Kadir merupakan salah seorang penalis Public Forum In Conjunction With Press Freedom Day, "Safe To Speak : Securing Freedom Of Expression In All Media".

Forum yang diadakan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini adalah anjuran Asian Institute for Development Communication, Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel) dan Sinar Harian.

Selain Kadir yang juga Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd, panelis lain ialah Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

Sekiranya menjadi calon PRU kali ini, Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang NSTP berkata, beliau sendiri bimbang dengan suasana politik semasa dan peranan media yang mula menghidangkan berita-berita yang tidak sepatutnya kepada umum.

"Sekarang ini di mana-mana ada kamera. Payah. Saya tidak tahu berapa banyak video yang sudah dibuat mengenai saya. Belum keluar lagi.

"Tetapi kalau saya jadi calon pilihan raya, mesti keluar. Sebab itu, saya tak nak jadi calon pilihan raya seba takut banyak video saya keluar," sindir Kadir sinis.

Berdasarkan pengamatan yang membimbangkan beliau, Kadir berkata, PRU13 mencatatkan sejarah politik paling teruk di matanya.

"Kita sebenarnya terlalu bebas dan lucah pada hari ini. Pilihan raya ini adalah pilihan raya paling lucah dalam sejarah kita yang saya pernah lihat.

"Ini bukanlah lagi soal keselamatan bersuara mendapatkan hak kebebasan, untuk bercakap, berekspresi untuk semua media, untuk konteks Malaysia hari ini, saya ingin bertanya kerana saya merasa gusar, sejauh manakah lagi
kita hendak pergi untuk membusukkan dunia media pada hari ini?" ujarnya.

Kadir juga mengingatkan supaya pihak yang menjadi mangsa tidak menuding jari ke arah pihak lain pula.

"Sekarang ini kita bercakap tentang kebebasan untuk bersuara yang mana sebenarnya kita tak perlu minta.

"Anda hanya perlu layari Malaysiakini. Apa yang tidak ada dalam Malaysiakini?

"Kadang-kadang, kita sendiri suka buat video. Hari ini, kalau video anda keluar, jangan salahkan orang lain, salahkan diri sendiri," katanya lagi yang merujuk kepada minat orang ramai untuk mengambil klip video secara spontan di mana-mana sahaja.
Muhyiddin: Tiada simpati calon bebas menentang BN

3 Mei 2013
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
LEDANG - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata calon Bebas yang merupakan bekas anggota Umno atau Barisan Nasional tidak harus diberi simpati kerana mereka jelas menentang parti apabila membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas.
 
Timbalan perdana menteri berkata walaupun mereka pernah menjadi anggota atau pemimpin Umno tetapi mereka kini dianggap musuh Umno dan BN.
 
"Jawatankuasa Disiplin sudah pecat. Dia (calon Bebas) tidak lagi di dalam Umno, jadi jangan beri simpati kepada dia.
 
"Saya tahu Wanita (Pergerakan Wanita) akan kata kasihan...kasihan...tetapi tiada maaf tuan-tuan dalam pilihan raya," katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia dan pelancaran Gelombang Biru Wanita BN Ledang, di Stadium Foong Yoon Kong, Bukit Gambir, di sini hari ini.
 
Seorang pemimpin Wanita Umno turut dipecat keanggotaannya kerana bertanding atas tiket Bebas iaitu Naib Ketua Datuk Kamilia Ibrahim bagi kerusi parlimen Kuala Kangsar.
 
Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abd Rahman, calon BN bagi kerusi parlimen Ledang Hamim Samuri dan calon BN untuk kerusi dewan undangan negeri (Dun) Gambir M. Asojan.

Pilihan raya umum Ahad ini akan menyaksikan Asojan, yang merupakan penyandang kerusi Dun itu sejak dua penggal lepas ditentang Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan dua calon Bebas, Mohd Zan Abu dan Yunus Mustakim.
 
Mohd Zan ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang sebelum dipecat kerana bertanding atas tiket Bebas dan Yunus pula ialah bekas Ketua Umno Cawangan Kampung Parit Rabu.
 
Muhyiddin yang akan mempertahan kerusi parlimen Pagoh berkata para pengundi khususnya kawasan parlimen Ledang dan DUN Gambir bukan sahaja perlu memberikan sokongan padu kepada calon BN demi kejayaan yang cemerlang tetapi memastikan kemenangan itu memberi tamparan hebat kepada calon Bebas berkenaan.
 
Beliau berkata tiada istilah kasihan dalam Umno dan BN terhadap calon Bebas itu kerana tindakan mereka boleh menyebabkan kekalahan parti sekaligus mencemar maruah BN.
 
"Jangan kita beri satu undi pun kepada calon Bebas. Ada yang kata tidak mengapa nanti mereka (calon Bebas) akan jadi rakan BN apabila menang. Tetapi tiada istilah mesra BN di sini. Ini suatu pertarungan. Mereka akan dipecat seumur hidup," katanya.
 
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata dalam tempoh berkempen yang tinggal hanya dua hari lagi, anggota jentera pilihan raya perlu menggiatkan kempen mereka supaya calon BN yang bertanding akan mendapat majoriti kemenangan yang besar.
 
Terdahulu, Muhyiddin yang tiba di pekan berkenaan pada kira-kira pukul 9 pagi, berkesempatan melakukan tinjauan mesra dengan isteri, bertemu penduduk setempat, peniaga dan orang ramai di pasar lambak di sini.  - Bernama
Detik untuk buat pilihan semakin hampir

3 Mei 2013
KUALA LUMPUR - Ahad ini, lebih 8,000 pusat mengundi akan dibuka di seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia mengundi dalam apa yang disifatkan sebagai pilihan raya umum (PRU) paling sengit untuk membentuk kerajaan dalam sejarah 56 kemerdekaan negara ini.

PRU13 dilihat amat penting berikutan wujudnya kesedaran dalam kalangan pengundi bahawa kini mereka benar-benar memegang kunci untuk menentukan masa depan negara ini.

Walaupun persaingan untuk merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri merupakan perkara paling utama pada PRU kali ini, namun perkara yang tidak kurang pentingnya untuk dilihat ialah sama ada rakyat menerima kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu tekun berusaha untuk melaksanakan transformasi atau mereka menyerahkan negara ini untuk julung kalinya kepada Pakatan Rakyat, yang belum pernah teruji, dengan anggotanya pula berkongsi amat sedikit persamaan, kecuali cita-cita untuk menduduki Putrajaya.

Buat julung kalinya, Najib menerajui Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU sebagai perdana menteri sejak mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2009, 12 bulan selepas tsunami politik melanda PRU 2008, yang menyaksikan BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, manakala Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor terlepas kepada Pakatan Rakyat.

Sebaik saja menduduki kerusi perdana menteri, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia dan melaksanakan transformasi kerajaan, politik serta sosioekonomi untuk merintis jalan ke arah masa depan negara yang lebih bersifat terangkum untuk semua rakyat.
Tempoh berkempen selama 15 hari, tempoh paling panjang dalam tiga dekad,, menyaksikan tercetusnya ketegangan dalam kem pakatan rakyat apabila PAS bertegas untuk melaksanakan hukum hudud sekiranya pakatan mengambil alih kepimpinan negara selepas PRU13 dan pendirian PAS ini menyebabkan pengerusi DAP Karpal Singh menuntut pemimpin umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian beliau tentang perkara itu.
  
Tindakan Anwar yang mengambil masa seminggu untuk memberi respons terhadap perkara itu menimbulkan keresahan dalam kalangan pengundi bukan Islam dan pendirian yang beliau ambil kemudian menghalang daripada berlakunya keretakan meluas dalam hubungan antara PKR dan DAP dengan PAS.
  
Melalui catatan dalam blognya hari ini, Anwar berkata hukum hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa wujudnya majoriti dua pertiga di Parlimen untuk membolehkan perlembagaan negara dipinda dan pelaksanaan hukum hudud bukan menjadi objektif pembangkang.
  
Jelas sekali, antara pertarungan paling sengit pada PRU13 ialah bagi kawasan parlimen Gelang Patah di Johor, yang mempunyai majoriti penduduk Cina, yng melibatkan Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan penasihat DAP Lim Kit Siang - pertarungan pertama yang melibatkan tokoh besar Umno dan Lim, yang kali ini bertanding di kawasan parlimen ketujuh dalam 10 PRU yang disertainya.
  
Walaupun menyuarakan kebimbangan beliau tentang percubaan pembangkang untuk mempolarisasikan pengundi Cina, namun Abdul Ghani, yang terkenal sebagai pemimpin berperibadi luhur, yakin rekod pencapaian dan prestasi cemerlangnya sebelum ini memberi kelebihan kepadanya.- Bernama

Tiada ulasan: