Rabu, 15 Mei 2013

MASIH BERHARAP UJUDKAN JAWATAN TIMBALAN MENTERI BESAR...AGAR DIBERI PENDEDAHKAN BAGAIMANA CARA MENTADBIR SESEBUAH NEGERI DAN JUGA SEBAGAI PEMIMPIN PELAPIS

Pengalaman faktor sultan perkenan Khalid jadi MB

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Perlantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ekoran pengalaman baik beliau mengurus tadbir negeri itu pada penggal lalu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Abdul Khalid juga diperkenan kerana persetujuan Pakatan Rakyat yang telah mencalonkan namanya.

“Beliau juga memenuhi syarat perlantikan seperti yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Selain itu, pengalaman Abdul Khalid sebelum ini sebagai Menteri Besar yang banyak membantu melicinkan pentadbiran Kerajaan Selangor turut menjadi faktor penting,” kata Mohamad Munir dalam satu kenyataan yang dipetik KeadilanDaily.

Abdul Khalid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang pagi ini.

Beliau mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan negeri sekaligus menafikan penguasaan BN di negeri itu.

Semalam, Abdul Khalid Ibrahim ketika ditemui selepas menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam berkata, barisan baharu exco kerajaan negeri Selangor akan dibuat selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua minggu.

Exco Selangor diumum selepas dapat perkenan Sultan

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim memberitahu pelantikan barisan ahli majlis kerajaan negeri (Exco), proses pemilihan telah pun bermula dan akan diumumkan setelah mendapat perkenan Tuanku Sultan.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan selepas Majlis Mengangkat Sumpah Menteri Besar, hari ini, sebagaimana di bawah.

Berikut adalah kenyataan penuh Khalid:

Alhamdulilah, saya bersyukur kepada Allah SWT akhirnya majlis angkat sumpah telah selamat disempurnakan.



Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku Sultan, kerana telah memberi perkenan serta menyempurnakan majlis angkat sumpah saya sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.



Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor yang telah memberi sokongan yang padu kepada saya serta barisan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain sehinggakan kami telah diberi kemenangan yang besar sekaligus membolehkan kami mewujudkan kerajaan negeri dengan majoriti mudah dua pertiga.

Begitu juga semua pimpinan Pakatan Rakyat, saya berterima kasih kerana terus memberi kepercayaan kepada saya untuk memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Saya amat yakin kerjasama kita bersama boleh menghadapi cabaran kuat yang akan mendatang pada penggal kedua ini.

Tidak lupa kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya ingin merakamkan penghargaan atas sokongan serta keprihatinan mereka terhadap keperluan untuk mewujudkan satu proses pemilihan yang adil terhadap pelantikan Menteri Besar.

Tidak lupa juga kepada semua penjawat awam yang selama ini telah menjalankan tugas dengan professional sehinggakan Pakatan Rakyat berjaya menterjemahkan polisi Merakyatkan Ekonomi Selangor serta Hasil Negeri Untuk Rakyat. Saya percaya kerjasama mereka telah membolehkan kita mendapat kejayaan besar pada pilihanraya baru-baru ini.

Saya juga berterima kasih kepada media tradisional dan arus perdana atas liputan yang telah diberikan. Sebagai kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbirannya, kita menerima kritikan dan persoalan terhadap polisi serta pelaksanaan program kerana ini akan membuat kita berusaha dengan lebih keras lagi.

Tumpuan saya dalam masa terdekat adalah untuk menyambut hasrat Perdana Menteri untuk memulakan proses national reconciliation di mana ujian pertama adalah untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor. Saya telah menyediakan surat kepada Perdana Menteri tentang perkara ini dan amat berharap beliau akan memberi tindak balas positif sejajar dengan Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA. Selangor memberi komitmen bahawa projek Langat 2 akan dirangkumkan bersama proses penstrukturan semula industri air supaya ia tidak dikendali secara berasingan.

Berkenaan isu pelantikan barisan ahli majlis kerajaan negeri (Exco), proses pemilihan telah pun bermula dan akan diumumkan setelah mendapat perkenan DYMM Tuanku Sultan.

Mampat gesa tukar Menteri Besar Terengganu

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA TERENGGANU: Penaung Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Tengku Ibrahim Sultan Ismail kesal dengan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bahawa tiada rumah mampu milik di kawasan BN kalah seperti dilaporkan Bernama, kelmarin.
Katanya, kenyataan itu amat mendukacita dan memalukan rakyat Terengganu.

"Ini menunjukkan dan menggambarkan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu amat tidak berwibawa dan cetek di dalam pemikiran beliau sebagai pemimpin yang baru dilantik semula sebagai Menteri Besar,” katanya ketika dikunjungi wakil Harakahdaily.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menggunakan wang royalti minyak kepada projek-projek yang akan menaikkan taraf hidup rakyat dan bukannya projek-projek membazir seperti apa yang berlaku sebelum ini.

"Dengan pendapatan wang royalti minyak yang begitu lumayan pada tiap-tiap tahun seharusnya dibelanjakan untuk rakyat miskin yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Kita tak mahu lagi mendengar panggilan ‘Terengganu Kaya Rakyat Miskin’," ujar bapa saudara kepada Sultan Terengganu itu.

Katanya lagi, para nelayan, petani dan penoreh getah dan mereka yang bekerja di kampung-kampung masih perlu kepada pembelaan kerajaan bagi menaikkan taraf hidup mereka.

Beliau berharap rakyat Terengganu khususnya pemimpin-pemimpin Umno negeri ambil iktibar dengan perangai tidak rasional yang diambil oleh Ahmad itu.

Di samping iru, ujar beliau Umno BN yang hanya menang 17 kerusi Dun dapat mengawasi projek-projek yang diberikan pada masa hadapan dilakukan secara kolektif dan bukannya ditentukan oleh Ahmad mengikut kehendak dan seleranya sahaja.

Beliau menegaskan, Terengganu berkehendakkan seorang Menteri Besar yang baru yang dapat memberi nafas kepada seluruh rakyat, bukan kepada 17 Dun yang dimenangi oleh BN sahaja serta cara pentadbiran yang lebih matang untuk membangunkan negeri ini.

Henti perkauman, selami aspirasi rakyat pasca PRU13

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia amat kesal dengan kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang mahu kaum Melayu memulakan tindakan agresif untuk berdepan dengan kaum Cina bagi mempertahankan hak mereka dan menyusun kembali masyarakat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, ianya adalah kenyataan provokasi yang boleh membakar semangat perkauman apatah lagi ianya dibuat di ambang ulang tahun insiden 13 Mei yang menjadi titik hitam di dalam sejarah hubungan antara kaum di negara kita.

Katanya, kenyataan sedemikian tidak mencerminkan kelayakan bagi seorang individu yang pernah diangkat oleh masyarakat berbilang kaum di negara kita ini dengan gelaran ‘Yang Arif’.

“Demi kehormatan profesion yang pernah beliau sandang dan jaminan keharmonian masyarakat, kami menuntut Datuk Mohd. Noor segera menarik semula kenyataan beliau dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas ketegangan suasana yang timbul dari pandangan beliau itu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan kumpulan-kumpulan think-tank perdana yang menganggap keputusan PRU13 bukanlah satu tsunami politik mana-mana kaum.

Beliau menambah, ianya adalah ketetapan golongan muda dan rakyat yang menetap di bandar dan luar bandar yang di antaranya terdapat perbezaan besar dari aspek pendidikan politik dan akses kepada maklumat.

Oleh itu, ujar beliau mendasarkan apa jua hujah di atas alasan perkauman untuk mentafsirkan keputusan piliharaya ini adalah merupakan pandangan dangkal yang dibuat bagi memenuhi nafsu politik sesetengah pihak yang tidak mahu redha dengan pemilihan rakyat.

“Kami menggesa supaya semua pihak khususnya media pemerintah untuk menghentikan tindakan-tindakan provokasi yang menyalahkan kaum tertentu sebagai justifikasi kepada prestasi buruk BN di dalam PRU13 ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Sebaiknya, gesa Nasrudin semua pihak berperanan memulakan dialog nasional untuk mengenalpasti aspirasi sebenar rakyat yang telah menyatakan pendirian mereka di dalam pilihanraya bersejarah ini.

Terima kasih kepada penyumbang dana PRU13

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang budiman yang telah menghulurkan sumbangan sama ada berupa wang ringgit, tenaga serta buah fikiran dalam menjayakan kempen pilihanraya umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut bendahari DPPM Muhd Khairil Nizam, sepanjang kempen PRU13 lalu, pihaknya telah menerima sumbangan daripada pelbagai golongan, sama ada golongan profesional, ulama’, usahawan, teknokrat dan lain-lain lagi.

"Selain penyumbang dalam negara, DPPM juga menerima sumbangan daripada luar negara termasuk daripada United Kingdom, Dubai (UAE), Mesir, Australia, dan lain-lain negara.

"Mereka ini terdiri daripada kalangan umat Islam serta bukan Islam yang merasa simpati terhadap perjuangan PAS serta mahu melihat PAS bersama Pakatan Rakyat memenangi PRU ke 13," katanya.

Sumbangan tersebut jelas Khairil telah disalurkan untuk kegunaan calon-calon Dewan Pemuda PAS segenap peringkat yang bertanding di peringkat parlimen mahupun Dewan Undangan Negeru (Dun).

"DPPM mendoakan semua penyumbang diberikan kerahmatan dan keberkatan dalam hidup mereka serta dilimpahi dengan rezeki daripada Allah SWT.

"Segala jasa dan sumbangan mereka hanya Allah SWT yang membalasnya," katanya.

Pada PRU13 lalu, beberapa calon dari Pemuda PAS telah berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing.

Ketua DPPM Nasrudin Hassan menang bagi Parlimen Temerloh, timbalannya Nik Mohd Abduh pula menang bagi Parlimen Pasir Mas, sementara dua exconya Ahmad Baihaki Atiqullah dan Ahmad Marzuk Shaari masing-masing menang di Parlimen Kubang Kerian dan Bachok.

Selain itu, beberapa ketua Pemuda PAS Negeri turut menang dalam PRU13 lalu.

Antara mereka termasuklah ketua Pemuda PAS Kedah Ahmad Yahya yang menang di Dun Alor Mengkudu, Ketua Pemuda PAS Kelantan Ahmad Latif Abdul Rahman di Dun Mengkebang, Ketua Pemuda Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan di Dun Gombak Setia, Ketua Pemuda PAS Perak Mohd Zawawi Abu Hassan di DUN Gunung Semanggol serta Ketua Pemuda PAS Terengganu Mohd Noor Hamzah di Dun Bukit Payong.

Selain itu, beberapa lagi calon pemuda PAS turut menang iaitu Mohd Rozi Muhammad bagi Dun Tendong dan Nazlan Mohamad bagi Dun Limbongan di Kelantan, manakala Ridzuan Hashim menang di Dun Teluk Pasu, Terengganu.

‘Saya berjaya tebas hutan belantara di Johor’

Harakahdaily, 14 Mei 2013
KUALA LUMPUR: “Saya berjaya menebas hutan belantara di Johor,” begitulah ungkapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Hussin (gambar) yang pertama kali bertanding di Johor kira-kira 27 tahun lalu.

Sewaktu diamanahkan calon PAS di Tanjung Puteri pada Pilihan raya Umum 1986 dahulu, Abdullah berkata beliau telah hilang deposit gara-gara bertanding di suatu tempat yang asing bagi PAS.

“Saya bertanding banyak kali. 5 kali sama dengan Pak Ungku (calon PAS Pulai Sebatang). Apa ada hal. Orang kata tempat saya (Puteri Wangsa) tempat selamat. Mana ada jamin selamat, harapan menang ada sebab Pakatan Harapan Rakyat.

“Saya pernah hilang deposit tahun 1986, pertama kali bertanding di Dun Tanjung Puteri. Hanya dapat 400 undi, lebih sikit daripada tentera Badar. Wartawan datang jumpa saya, apa perasaan. Dalam hati, sabar aje lah.

“Saya kata, saya amat puas. Semua terkejut sebab apa? Saya amat berpuas hati masuk (bertanding). Ini ibarat berjaya ‘tebas hutan belantara di Johor,” katanya lagi dipetik Selatan Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 1,000 orang dari pelbagai kaum pada majlis kesyukuran di pekarangan Markas Tarbiyyah Parit Markom Benut, Pontian dekat sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Pontian dan Tanjung Piai, Raden Sarobo Pono, dan Ustaz Ahmad Sani serta bekas calon PAS Pulai Sebatang dan Machap, Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood dan Ustaz Mohd Khalid Salikan.

Kemenangannya kini, kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Johor adalah kemenangan bersama.

Ujarnya, hutan yang tebal dengan frasa keramat ‘Tiang Seri Umno’ sudah ditebas dan petanda lonjakan sokongan PAS naik 100 peratus di negeri Johor.

“Masa dulu Cina takut (dengan PAS). Sekarang tidak. Ini yang Umno tak boleh tidur.

“Tahun 1999 saya bertanding di Serom, Tempat Abdul Ghani Othman, lawan Menteri Besar. ingat hilang deposit tapi saya dapat undi 7,000 dia dapat 15,000, kata orang not bad.

“Tahun 2004, saya bertanding di Machap. Dulu banyak kali kalah. Alhamdulillah, sekarang menang dengan majoriti lebih 3,000. Ini kemenangan semua, bukan saya seorang. Saya wakil rakyat semua orang di Johor,” jelas beliau lagi.

Pada PRU13 ini, beliau yang mendapat 20,357 undi menewaskan calon BN dan Bebas dengan majoriti 3,469 undi. Pada PRU12, calon BN menang dengan majoriti 5,721 undi.

Hati dan tarbiyah insaniah

Ustaz Ahmad Dusuki bin Abdul Rani, 14 Mei 2013
Tidak ada manusia yang dilahirkan di dalam keadaan yang bebas daripada cengkaman kejahilan. Manusia lahir dalam keadaan tidak mengerti apa-apa sebagaimana firman Allah;

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu dengan keadaan  tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan untuk kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur." (Surah an-Nahl : ayat 78)


Mereka bertatih untuk mengetahui segenap penjuru kehidupan. Kemudian, dalam kekalutan dan kepenatan membina kehidupan itulah mereka mula tersentak dan tergerak untuk mengenal dan mencari-cari matlamat sebenar kehidupan ini. Tidak mudah untuk keluar dari kepompong jahiliah ini, kecuali bagi mereka yang berusaha dan mencuba dengan segenap daya dan upaya untuk menjadi manusia yang tahu nilai serta hakikat tujuan kehidupan ini.

Ar-Rasul sallaLlahu alaihi wasallam diutus oleh Allah untuk mentarbiah manusia ke arah jalan yang sebenar kehidupan ini. Baginda dikurniakan al-Quran untuk dibacakan kepada manusia agar ia mampu memandu dan menunjuki ke arah jalan kebenaran. Segala kasih sayang Allah dijelmakan melalui pengutusan dan penurunan ini kepada manusia. Tanpa Rasul dan al-Quran, sudah pasti manusia gagal mengenal erti kehidupan, apatah mengenal Allah dan alam ghaib. Justeru ia adalah tanda kasih sayang Allah yang tiada taranya kepada manusia.

Kita pun tahu bahawa proses kejadian manusia yang diciptakan oleh Allah ini cukup unik, dicipta bukannya seperti malaikat dan juga bukannya seperti syaitan. Di antara kedua kejadian inilah diciptanya manusia, yang mempunyai sikap dan akhlak sekiranya diasuh dengan al-Quran dan akal yang waras maka terbentuk insan yang soleh. Sebaliknya jika dibiarkan kepada nafsu dan syahwat maka terjerumuslah manusia kearah kehinaan dan kesesatan.

Sementelahan pula pandangan Allah tidak tertumpu kepada jasad luaran manusia, bahkan Allah memandang hati manusia dan amalan yang di kerjakan oleh manusia. Walau bagaimana cantik rupa parasnya, mancung hidungnya, mengurai lembut rambutnya, ia tidak memberi setitik kesan pun di sisi Allah untuk menaikkan darjatnya. Hatinyalah menjadi keutamaan. Maka manusia yang mengenal diri akan dapat memperakui apa yang diajar oleh agama bahawa hatilah pusat dan benteng kekuatan manusia menghadapi ancaman kehidupan yang ganas ujiannya.

Hati manusia sentiasa menjadi tumpuan para Malaikat Allah dan juga syaitan yang sentiasa berusaha untuk mengerumuninya agar mereka mampu menguasainya. Kita pula diberi oleh Allah akal yang waras untuk memilih dan membuka ruang yang luas ini samada untuk syaitan atau untuk para malaikat. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya;

"Maka Dia mengilhamkannya kepada kejahatan diri dan kepada ketakwaannya." (Surah as-Syams : ayat 8)

Justeru, terpulanglah kepada manusia sendiri untuk memilihnya. Ini adalah gambaran ujian dan cabaran yang besar. Berbahagialah mereka yang memahami dan menyahut hikmat kejadian ini dengan sebenar-benarnya. Sebaliknya, alangkah besarnya kecelakaan yang bakal menimpa diri di hari pembalasan bagi mereka yang lalai dan melupakan tanggung jawab mereka yang hakiki di dunia ini.

Bagi mereka yang hatinya hidup, sudah tentu ia tidak akan membiarkan perjalanan yang panjang ini menjadi sempit dan kusut dengan membiarkan hatinya di kuasai oleh syaitan yang sentiasa berusaha untuk memperdayakan manusia. Inilah janji Iblis kepada Allah dalam firman-Nya;

"Iblis berkata; Oleh sebab Engkau (ya Allah) menyebabkan daku tersesat, demi sesungguhnya aku akan menghalangi manusia dari menjalani jalan-Mu yang lurus."

"Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dari kanan mereka dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka menjadi orang yang bersyukur." (Surah al-A'raf : ayat 16-17)

Jelas, ujian kehidupan sungguh berat. Halangan dan rintangan sengaja diciptakan Allah untuk memperteguhkan maksud ujian dan penapisan orang-orang benar daripada orang-orang yang menolak dan membohongi tujuan sebenar hidup ini. Setiap insan terlalu bergantung kepada rahmat dan kasih sayang Tuhannya sendiri. Pertarungan dengan Syaitan sahaja sudah cukup menggambarkan bagaimana manusia, dan bila-bila masa sahaja mereka boleh tewas di tangan makhluk Tuhan yang melihat mereka, sedang mereka tidak pula mampu melihatnya.

Justeru tarbiyah diri, atau latihan yang berterusan sangat diperlukan untuk menghadapi kesukaran ini. Manusia hidup bagai tentera sepanjang masa, berlatih sebagai tentera dan bekerja dan bertugas sepanjang masa sebagai tentera buat menghadapi serangan musuh.

Hatilah sasaran tarbiyah. Ia mesti dibina sekukuhnya buat menjadi benteng iman dan ubudiyah kepada Allah. Ia ibarat kota yang dipenuhi ciri-ciri keselamatan dalam segenap segi. Bukankah musuh hanya akan berhenti sesudah kota digempur dan ditawan?

Proses  tarbiyyah ini bukan bersifat sementara dan semasa sahaja bahkan ia bersifat keperluan yang berterusan dalam kehidupan seorang hamba. Sebagaimana perlunya kita terhadap makan dan minum, tidur dan bangun, air serta udara untuk kehidupan, maka kita juga perlu untuk ditarbiyah dan dididik dalam kehidupan ini. Betapa ramai dalam kalangan manusia yang sibuk menjaga jasad luaran yang akan hancur tetapi sayangnya ia tidak sibuk menjaga dalaman jiwanya yang akan dipertontonkan di hadapan Allah nanti. Marilah kita memulakannya.

http://www.tarbawi.my/

YB Puteri Wangsa yang dikenali

http://www.selatanonline.net, 14 Mei 2013


BeritaOleh Mazlan Aliman

Pagi subuh ini saya mulakan kembali catatan dan perkongsian dengan rakan2 FB. Meskipun saya kalah dalam PRU 13, ia bukan penghujung perjuangan. Berjuang dan berkorban tetap menjadi rutin hidup sampai mati. Kemanisan dan kepuasan dalam Jamaah Islam!

Alhamdulillah, sahabat baik saya, Ust Abdullah Husin, Ketua Dewan Ulama' PAS Johor menang kali ini. Dia lebih senior dari saya. Bertanding di Dun Puteri Wangsa dalam Parlimen Tebrau, memperolehi 20,357 undi berbanding lawannya, Soorianarayanan A/L Muniandy dari BN, 16,888 dan Ravindaran A/L Doraisamy 973; majoriti 3469, cukup tinggi!

Namun, kesederhanaan hidup beliau saya cukup kagum. Kenderaan beliau, kadangkala buat hal. Kebetulan, 1 Rejab kelmarin, saya dalam perjalanan nak ke KL menghadiri Mesyuarat PAS Pusat, ternampak beliau di tepi lebuhraya, hanya beberapa km selepas Sedenak.

Temperature sangat tinggi. Air kering dalam tangki. Bersama temannya, Azman Md Desa, Ustazah dan anaknya. Sempat bergurau, dah jadi YB boleh le cari kereta baik sikit...seperti biasa, Ust Lah hanya tersenyum sahaja. Penampilan biasa macam dulu2 juga.

Moga2 YB Ust Abdullah Husin, YB Hj Aminulhuda Hassan, YB Dr Syeikh Ibrahim Salleh dan YB Dr Mohamad Taslim dari PAS diberi nikmat kesihatan yg baik dan kekuatan untuk berfungsi sebagai Wakil Rakyat berkesan bersama2 13 lagi ADUN DAP serta seorang ADUN PKR.

Pencapaian luarbiasa PAS di negeri UMNO paling kuat di dunia. Pru 2004, satu kerusi di Senggarang, 2008, meningkat 2 di Sg Abong dan Maharani, kali ini sudah ada 4. Syukur Alhamdulillah...

Tiada ulasan: