Sabtu, 4 Mei 2013

JANGAN KITA BERSIKAP BUSUK HATI

Penyokong PAS bakar Harakah palsu

Mohd Sabri Said, 04 Mei 2013

(Cikgu-cikgu Pasti membakar Harakah palsu lambang kemarahan kepada mereka yang melampau)

KEPALA BATAS: Guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dan Hal Ehwal Wanita (HelWa) Kepala Batas  bertindak membakar akhbar Harakah palsu yang disebarkan seluruh Pulau Pinang mulai semalam.

Harakah palsu lapan muka surat bertajuk 'Media Baru jadi faktor penting PRU13' dicetak di atas kertas yang agak tebal.

Selain di Pulau Pinang, semalam ia disebarkan di seluruh masjid di negeeri Selangor dan Perak.

Ia melambangkan taktik kotor musuh PAS yang tidak cukup dengan menguasai media sendiri dan kerajaan sehingga terpaksa cuba sabotaj akhbar lawan.

Manurut Ketua HelWa Kepala Batas,  Puan Naenah Fadhil sebahagian kecil akhbar berkenaan telah disebarkan kepada orang ramai di pasar Kepala Batas namun sempat mengutip semula sebelum diberikan semula kepada orang ramai.

Harakah cetak keluaran terbaru terpampang wajah Mursyidul Am PAS yang mengajak  Rakyat pangkah Pakatan  Rakyat.

"Daripada ia dibaca oleh orang ramai kami ambil keputusan membakarnya,"  terangnya.

Ke arah Malaysia yang terunggul

Abdul Khalid Ibrahim*, 04 Mei 2013
RAKYAT Malaysia seharusnya menikmati yang terbaik untuk semua.


Pemimpin kita seharusnya mencerminkan kewibawaan sebenar rakyat Malaysia, layak mendukung harapan dan aspirasi kita, dan mampu merealisasikan potensi sebenar kita.


Hakikat ini disedari jutaan rakyat Malaysia yang berusaha tanpa mengenal penat lelah demi kehidupan yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Masanya telah tiba untuk kita membuang segala ketakutan dan keraguan yang selama ini menjadi penghalang dan mengejar masa depan yang lebih cerah.


Kita tidak perlu lagi dibebankan dengan pemimpin yang hanya tahu 'mengambil', kerana rakyat sepatutnya berhak mendapat pemimpin yang lebih mahir ‘memberi’.


Kita tidak mahukan habuan dari pemimpin kita; sebaliknya kita hanya perlukan pemimpin yang mampu menguruskan negara dengan bijak dan mewujudkan peluang yang adil untuk semua.


Yang kita dahagakan adalah kesamarataan di mana kemewahan boleh dicapai oleh sesiapa yang sanggup rajin berusaha dan di mana kejayaan diperolehi hasil daripada usaha kita, bukan hubungan kita dengan mana-mana pihak.


Kita perlukan pemimpin yang sanggup berkhidmat dengan rendah diri, bukan pemimpin angkuh yang menganggap rakyat wajib syukur atas 'sumbangan yang diberikan'.


Jika khazanah negara digunakan untuk mengisi poket pihak berkepentingan dan bukan dilaburkan untuk masa depan kita bersama, maka sudah tiba masanya untuk harapan baru.


Rakyat Malaysia berhak mendapat pentadbiran yang telus yang akan membolehkan kita semua melihat dengan jelas bagaimana kekayaan negara diuruskan.


Rakyat Malaysia berhak hidup tanpa pemisahan antara kaum atas sebab-sebab politik. Terlalu lama kita sudah dibebankan dengan pemimpin yang mengapi-apikan sentimen perkauman demi memenuhi kepentingan peribadi.


Rakyat Malaysia berhak mendapat pemimpin yang menyemai dan mengukuhkan semangat muhibah yang sememangnya sedia wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.


Rakyat Malaysia juga berhak merasai demokrasi sebenar – iaitu keupayaan untuk menentukan nasib mereka sendiri secara bebas dan adil.


Kuasa yang dibiarkan berleluasa terlalu lama selalu melahirkan pemimpin sembrono yang bertindak sesuka hati tanpa melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat yang sepatutnya.


Kita mesti sentiasa beringat bahawa kita bukan sekadar ingin menukar kerajaan. Kita juga bukan sekadar ingin menggantikan individu atau parti tertentu sahaja. Kita bertekad menggantikan keseluruhan budaya politik feudalisme dan rasuah yang berleluasa.


Oleh itu kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana musuh dalam selimut yang mengaku kononnya sekutu kita tetapi masih mengamalkan budaya dan politik yang lama.


Sebarang kegagalan untuk menggantikan budaya lama ini akan bermaksud usaha pembaharuan kita tidak bermakna dan lompong. Harapan perubahan yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia bukan calang-calang tanggungjawab malah merupakan amanah besar.


Walau apapun keputusan pada 5 Mei ini, banyak lagi cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi. Walaubagaimanapun, Insya’Allah, ia akan menjadi langkah pertama ke arah membina Malaysia yang unggul seperti yang kita idamkan sejak sekian lama.


Malaysia yang kita impikan ini memang sudah berada dalam genggaman kita. Kita hanya perlu bangunkan semangat yang sedia ada dalam diri kita, dan mara seiringan dengan penuh keberanian untuk merealisasikan Malaysia yang terunggul.
* Penulis adalah Menteri Besar Kerajaan Sementara Selangor.

DAP pertahan Islam agama rasmi - Lim Guan Eng

Harakahdaily, 04 Mei 2013
KUALA LUMPUR: DAP tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mendaulatkan Raja-Raja Melayu, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, mempertahankan Islam sebagai agama rasmi dan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, oleh kerana fitnah yang ditabur oleh para pemimpin Umno dan Barisan Nasional yang disebarkan pula oleh media arus perdana, sama ada akhbar harian, TV dan radio semakin menjadi-jadi terhadap DAP dan Pakatan Rakyat, beliau tampil untuk menjelaskan hakikat yang sebenar serta mendedahkan pembohongan Umno-BN yang amat berbahaya itu.

Katanya, DAP adalah parti politik yang sah yang menerima dan menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan 1957 yang menjadi kontrak sosial untuk kita rakyat Malaysia.
Inilah pendirian DAP sejak parti ini ditubuhkan pada tahun 1966, dan sejak dahulu hingga sekarang tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Malah, untuk menjelaskan sekali lagi pendirian DAP, pada tahun lalu, iaitu pada 8 Januari 2012, Persidangan Kebangsaan DAP telah meluluskan DEKLARASI SHAH ALAM 2012 yang dengan terang dan jelas menghasratkan impian bangsa Malaysia yang beteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam usaha untuk mengecapi impian ini, DAP antara lain telah mengulangi komitmen untuk:

1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel  3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.

4. Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan, serta menggalakkan penggunaan dan pengajian bahasa-bahasa ibunda lain untuk membentukkan masyarakat yang cemerlang dan berbilang bahasa.

Justeru, tegasnya, deklarasi dan pendirian serta prinsip DAP selama ini tetap kekal untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga dengan jelas mendedahkan fitnah, pembohongan dan penipuan para pemimpin UMNO-BN serta para pecacai mereka, termasuk cybertroopers UMNO-BN, yang sering mmenyemarakkan api perkauman dengan menuduh kononnya DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, tegas beliau,

"Semoga semua pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu dan Islam, menolak fitnah dan menerima kebenaran. Mari kita ubah. Ambil yang jernih, buang yang keruh. Masanya sudah tiba untuk menerima yang benar dan menolak yang batil," katanya.

100 bas sewa khas anak Kelantan tidak muncul

Aslani M, 04 Mei 2013
KOTA BHARU: Campur tangan pihak tertentu menyebabkan 100 bas sewa khas yang ditempah anak-anak Kelantan di Lembah Klang tidak muncul malam tadi.
Bas-bas tersebut disewa khas mereka untuk balik mengundi, sepatutnya bertolak malam tadi, namun bas yang ditempah tidak tiba.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, disyaki kemungkinan pemilik bas terbabit ditekan pihak tertentu menggunakan kuasa politik bagi menghalang bas tersebut mengangkut anak-anak perantau.

Sedangkan katanya, ketika tempahan dibuat pemilik bas terbabit sudah menyatakan persetujuan untuk mengangkut anak-anak Kelantan balik mengundi.

“Namun pada saat-saat akhir bas yang ditempah mereka tidak muncul. Ini menyebabkan mereka mengesyaki ada campur tangan pihak yang memiliki kuasa bagi menghalang perantau pulang mengundi.

“Ekoran itu mereka berpakat mencari kenderaan lain termasuk menyewa van dan kereta secara berkumpulan. Ada yang sudah sampai dan sebahagian lagi masih dalam perjalanan,” katanya.

Wan Nik berkata, kemungkinan besar ada pihak yang berada di belakang tabir menekan pemilik bas supaya membatalkan tempahan dipersetujui sebelum ini.

Menurutnya, anak-anak Kelantan melahirkan rasa kesal sehingga menyebabkan semangat untuk menolak Umno pada pilihan raya esok semakin membuak-buak.

Kata beliau juga sebahagian anak-anak perantau yang tiba di Kelantan semalam menyebabkan program-program ceramah yang diadakan malam tadi semakin melimpah.

Detik akhir antara solat hajat dan politik wang

Aslani M, 04 Mei 2013


KOTA BHARU: Antara solat hajat dan umpan politik wang menjadi pilihan sekarang. Inilah versi yang berlaku di mana-mana menjelang hari pembuangan undi esok.

Solat hajat dan munajat dianjurkan PAS di merata tempat. Selepas solat Jumaat kelmarin ribuan jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Muhammadi. Dan hampir kesemua masjid di Kelantan juga mengadakan program serupa.

Mimbar Jumaat pula memberi panduan kepada orang ramai bagaimana cara hendak memilih pemimpin kerana semuanya ada hubung kait dengan agama.

Manakala jam 4 pagi kelmarin puluhan ribu rakyat Kelantan menunaikan solat hajat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Pada malam penamaan calon ribuan menyertai solat hajat di Masjid Beijing di Rantau Panjang yang dianjur Bahagian Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Di peringkat madrasah boleh dikatakan setiap malam diadakan solat hajat oleh penyokong dan ahli PAS. Inilah senjata akhir yang ada pada PAS.

Sebaliknya Umno dan BN menggunakan kaedah tradisional iaitu wang dan kerahan tenaga hadir pada program pemimpin Umno.

Semalam dan kelmarin kakitangan kerajaan pusat menjadi mangsa apabila dikerah hadir pada program Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Di Tumpat penduduk mendakwa ada pesakit yang dikunjungi wakil Umno diberi saguhati sehingga RM500. Begitu juga di Dun Melor, rumah-rumah penyokong PAS mulai menjadi tumpuan mereka.

Namun resepi mudah bagi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi merungkai isu tersebut dengan berkata, bagi duit ambil, bagi kain pakai, bagi gula kacau, namun undi pangkah Bulan.

“Islam mendidik masyarakat dengan ilmu namun Umno dan BN mengajar rakyat dengan kebendaan yang tidak boleh dibawa ke alam akhirat,” katanya di sini.

Manakala bagi tukang urut terkenal, Md Kushairi Md Salleh, 63 berkata, mengundi pemimpin yang mahu melaksanakan syariat Islam hukumnya wajib.

Katanya, agama dan politik tidak boleh dipisahkan kerana kedua-dua saling melengkapi bagi kehidupan manusia.

“Banyak ayat-ayat al Quran menjelaskan perkara itu,” katanya yang pernah mendalami ilmu agama di Pondok Chabang Empat, Tumpat.

Beliau yang sedang menyiapkan buku “Panduan Kahwin dan Poligami Muslim” mempunyai banyak pengalaman kerana pernah menjalankan khidmat mengurut pemimpin-pemimpin Umno dan BN sepanjang bekerja di Kuala Lumpur.

Nasihatnya juga, jangan ibu bapa membiarkan anak-anak mereka terbabit dengan Umno kerana dakwanya banyak kes perlakuan moral yang pernah disaksinya sendiri.

IKRAM: Wajar pilih wakil dari Pakatan Rakyat

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, 04 Mei 2013
Para pengundi yang budiman!
Setelah sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU13).  Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan  Negeri dan Persekutuan.

IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh.  Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara.  Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.

Kepentingan penglibatan politik

IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul.  Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.  Justeru, penglibatan  umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.

Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13

Matlamat  utama penglibatan PRU13 ialah untuk memastikan:

1.      Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa.  Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah).  Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين     (kebolehan dan integriti).

2.      Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.

Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai  sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat.  Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.

Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:

1.      Nilai kehidupan manusia (human values):
a.       Pemeliharaan agama
b.      Pemeliharaan kemanusiaan manusia:
i.      Fitrahnya
ii.      Kemuliaan dirinya
iii.      Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv.      Kebebasannya

2.      Diri manusia (human person):
a.       Tubuh dan nyawanya
b.      Rohani dan jiwanya
c.       Aqal dan pemikirannya

3.      Masyarakat manusia (human society):
a.       Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b.      Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya

4.      Persekitaran (Environment):
a.       Pemeliharaan harta benda
b.      Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia

Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.

Pertimbangan dan Perbandingan

Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:

1.      Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia.  Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.

2.      Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian.  Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia?  Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.

3.      Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara.  Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini.  Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.

4.      Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting.  Rakyat hendaklah memilih blok yang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.

5.      Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat.  Rakyat mestilah memilih blok manakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
Rumusan

IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.

Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.

أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)

IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.

Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah.

Para pengundi yang budiman!

IKRAM menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.  Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman Ummat Islam.  Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa.  Penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.

Para pengundi yang budiman!

Ingatlah, golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok masing-masing.

Sebenarnya negara  ini  dilimpahkan oleh Allah SWT dengan  kekayaan potensi dan sumber manusia serta alam.  Ia terletak di laluan strategik dunia antarabangsa.  Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa dan agama di dunia.  Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap negara maju.  Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya maju dan bersaing.  Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia.

Lantaran itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.

Para pengundi yang budiman!

Alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih.  Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka.  Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.

Alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.

Budaya dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan negara perlu diusahakan segera.  Negara mempunyai keupayaan untuk merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah serta maslahat Islam.

Negara juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara.  Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia.  Mereka ini merupakan satu golongan rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat pengurusan negara.  Dengan itu rakyat berpeluang menyahut cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.

Untuk memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat.  Dalam kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber, rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh dipercayai.  IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui integritinya sewajarnya diketepikan.

Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU 13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.

Sekian, selamat mengundi.  Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.

Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad

Presiden

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Tiada ulasan: